ANAK SENGAT |
Posted: 29 May 2013 01:11 AM PDT Saya sangat kesal apabila Syamsul Iskandar menunding jari menyalahkan presiden PAS di atas kekalahan beberapa kerusi bertindan di dalam PRU 13. Sepatutnya perkara ini diselesaikandengan post-mortem dalaman bukannya tunjuk hero di dalam persidangan dan dikhalayak. Saya hairan, kenapa isu Kota Damansara dijadikan antara alasan untuk menghentam TG Presiden PAS sedangkan di Jelapang dan di Semenyih berlaku perkara yang sama disalahkan kepimpinan PKR atau DAP kerana meletakkan calon lawan PSM dan seterusnya kalah di dalam PRU 13? Kenapa PKR tidak serahkan terus kerusi tersebut kepada PSM bertanding menggunakan lambang 'penumbuk'nya supaya undi bersatu? Berbalik kepada isu DUN Kota Damansara, di samping sebab-sebab yang banyak, di antara sebab berlaku pertindihan kerusi ialah disebabkan kegagalan PKR menyelesaikan isu kerusi DUN Kota Damansara (KD) dengan PSM lebih awal. PAS bukan melawan PKR di KD tetapi melawan PSM walau dengan apa lambang sekalipun. Sehari sebelum penamaan calon, pihak PAS Subang masih belum mendapat kata putus sama ada PSM atau PKR yang bertanding. Bagi PAS, jika bertanding 3 penjuru lawan PSM adalah sesuatu yang tiada masalah justeru PKR dan DAP juga bertanding 3 penjuru dengan PSM. Di sana terdapat tuduhan lain, iaitu PAS memecah belahkan undi di DUN Kota Damansara. Tuduhan ini sebenarnya salah dan tidak berfakta. Setelah pihak saraf PAS kawasan membuat post-mortem, di dapati bahawa jika PAS tidak bertanding sekalipun belum tentu 7 ribu undi PAS itu akan diperolehi oleh PSM. Protes terhadap reputasi dan penampilan calon PSM sepanjang satu penggal agak tidak menyenangkan ramai pengundi di DUN Kota Damansara. Ianya bukan sahaja disedari oleh PAS Subang bahkan ia juga disedari oleh akar Umbi PKR. Atas sebab itu PKR Dun Kota Damansara akar umbi DUN Kota Damansara membuat kenyataan akhbar menyokong PAS pada hari sabtu, sehari sebelum hari mengundi. Bagi saya, pihak tertinggi PKR juga wajar mendengar suara akar umbinya di DUN Kota Damansara tentang reputasi dan potensi calon PSM yang akan diletakkan. Dari satu sudut yang lain pula, jika dibanding dengan kawasan lain yang bertanding 3 penjuru, calon yang diisytiharkan tarik diri biasanya mendapat undi kurang daripada 1 ribu, iatu jumlah undi protes. Jadi, 7 ribu undi adalah satu jumlah undi protes yang sangat besar dalam keadaan calon PAS DUN Kota Damansara dilihat sebagai telah menarik diri khususnya dengan pengumuman dan kempen melalui ceramah oleh SUA di Kota Damansara serta billboard calon pas yang dipatahkan selain daripada Blast Mesej oleh pihak saraf musuh kepada pengundi memaklumkan Calon PAS tarik diri. Semua ini menampakkan PAS menarik diri, pun begitu berjaya mendapat undi yang tinggi. Sedari awal, respond yang pihak PAS Kawasan Subang perolehi, sebahagian besar pengundi mungkin akan mengundi BN jika PSM terus bertanding. Oleh itu PAS kawasan mengharapkan PKR bertanding di DUN Kota Damansara, bukannya PSM. Keputusan pengundian membuktikan bacaan PAS sedari awal adalah tepat. Jika PAS tidak bertanding, sebahagian besar akan menyokong BN di samping ada yang memberikan respond untuk tidak keluar mengundi jika PSM bertanding lawan UMNO. Saya yakin 7000 undi tersebut akan pergi kepada Pakatan Rakyat jika PAS atau PKR yang bertanding. Tetapi kegagalan PKR berunding dengan PSM menyebabkan undi-undi pakatan rakyat 'lari tidak bertempat'. Berkenaan pil kuda saya akan coretkan dalam masa terdekat, Isyaallah. Dari segi agihan kerusi, saya rasa cukup kesal untuk dua perkara, pertama ialah pemilihan beberapa calon PKR baru-baru ini tidak melihat dan membuat 'screening' lebih dalam tentang bakal-bakal calon PKR sehingga ada yang 'suspek penjual pil kuda' juga diambil sebagai calon. Ini menunjukan seolah-olah PKR masih belum mengambil pengajaran daripada lompatnya wakil rakyat Mereka sehingga jatuh kerajan PR di Perak dan telah menggugat keyakinan orang ramai kepada Pakatan Rakyat. Yang melompat bukan wakil rakyat PAS, tetapi PKR. Sayugia PKR mengambil pengajaran dan sayugia PAS turut serta bertindak kerana ini adalah masa depan bersama. Kedua, apabila ada pemimin PKR berhujahkan kesaksamaan kerusi untuk bertanding di tempat-tempat tertentu, apa yang boleh dibaca oleh orang ramai bahawa tuntutan kerusia oleh PKR berhujahkan kesaksamaan mempunyai tujuan 'kuasa'. PAS berebut kuasa dengan BN, tetapi sesama Pakatan Rakyat, PAS lebih mengutamaan potensi calon serta individu yang akan bertanding berbanding. Tambahan pula, semua calon PAS akan ditapis secara halus oleh Majlis Syura sebelum diluluskan untuk bertanding. Latar belakang dan akhlak diambil kira sebagai penilaian dan mesti ada tazkiah (sokongan) tentang laporan calon. Bagi PAS, perkara ini sangat penting kerana calon tersebut apabila menang, maka ia akan mencorakkan masa depan negara. Fokus penilaian PAS berkenaan calon ini cukup jelas apabila Tuan Guru Presiden dengan tegas menamakan ADUN PKR, Tan Sri Khalid sebagai menteri Besar sekalipun kerusi PAS adalah majoriti di Selangor berbanding PKR. Saya tidak akan mencoret luahan ini jika Syamsul Iskandar tidak memulakannya. Zaharudin Muhammad. |
KRITIKAN....NAK DIAM AJE KE...?? Posted: 28 May 2013 05:33 AM PDT Ramai pihak termasuk wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan saya mengenai kritikan yang dilemparkan kepada PAS mutaakhir ini, khasnya kepada batang tubuh Presidennya. Saya dimaklumkan berlaku berbalas kenyataan dan kononnya ini adalah "tunas perpecahan" yang sedang menimpa Pakatan Rakyat. Sedang realitinya ini bukanlah polemik yang pertama kali berlaku kepada PAS yang telah berusia lebih separuh abad. Malah sering berlaku kepada Pakatan Rakyat sepanjang usianya. Sejarah membuktikan tidak semestinya yang dikritik itu salah lalu ia wajib memenjarakan lidah dan mulutnya dari menjawab balas kritikan tersebut, sebagaimana pengkritik tidak selamanya benar sehingga ia bebas melemparkan kritikan sesedap rasa pada semua orang, keadaan dan masa. Asasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam, kami sentiasa terbuka dan sedia untuk dikritik dan diaudit serta meletakkan kami pada situasi sebagaimana yang diajar oleh Allah swt iaitu bersedia mendengar apa jua perkataan lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya. Namun terbuka dan bersedia menerima kritikan bukan bermakna kami mesti diam membatu atau bungkam membisu dalam menerima kritikan tersebut. Memberi jawab balas, menangkis serta membuat pencerahan semula terhadap kritikan adalah sebahagian dari kaedah mengurus dan menangani kritikan yang normal dan dibenarkan sebagaimana uslub biasa digunakan oleh al Quran al Karim sewaktu menjawab kritikan pelbagai pihak terhadap Islam dan syariat yang dibawa oleh Rasul utusan Allah swt. Ramai menyangka maksud menerima kritikan ialah "zip" mulut dan mendengar apa jua hamburan kata yang ditujukan kepadanya sehingga kadangkala kita boleh dianggap dungu dan naif. Pada saya itu adalah satu keadaan yang boleh dipilih, sementara menjawab serta menangkis kritikan pula satu keadaan lain yang dibenarkan malah tidak menghilangkan rasa hormat kita kepada pihak pengkritik. Bahkan keadaan kedua ini lebih menarik untuk mencetus pencerahan dan percambahan fikir kiranya ia diurus dan ditanggap dengan positif. Sebagaimana pihak pertama ada hak untuk mengkritik, kenapa pula kita mesti nafi dan hilangkan hak pihak kedua menjawab kritikan yang dilemparkan. Budaya nasihat menasihat, tegur menegur dan kritik mengkritik adalah budaya positif yang tidak perlu kita resah dan menaruh kebimbangan melampau apabila ia berlaku. Selayaknya pihak pengkritik, mesti bersedia menghadapi kritikan balas bagi menilai potensi kritikannya. Adakah ia berasas atau tidak. Adakah kritikan tersebut berpaksikan hujjah atau fitnah. Adakah kritikan itu dengan tujuan membina atau meruntuhkan. Sistem nilai ini hanya wujud apabila ada timbal balas pada kritikan yang dilemparkan. Justeru berapa banyak di luar sana jumlah kritikan yang hanya merupakan fitnah dan tohmahan demikian juga kritikan yang dirancang untuk menjatuh dan meruntuhkan. Maka untuk menilainya perlu ada jawapan atau pencerahan pada kritikan yang dikemukakan. Apatah lagi jika sesuatu kritikan itu dibuat secara terbuka. Ia boleh mencipta prasangka dan mencetus persepsi masyarakat awam, justeru itu mahu atau tidak, jawap balas mesti dikemukakan terhadap kritikan tersebut bagi meluruskan persepsi dan memurnikan prasangka. Contoh apabila pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada Presiden PAS, sememangnya menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli PAS membuat pencerahan dan mempertahankannya. Namun saya sangat setuju bahawa setiap kritikan mesti dinilai dengan jujur dan benar. Jika kritikan tersebut ada asas dan hujjah yang jelas, selayaknya kita akur dan bersyukur lantaran kritikan itu membuka jalan bagi berubah ke arah yang lebih baik. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut dan menerima apa jua kritikan yang dilemparkan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada PAS lantas sudi mengkritik PAS dan pemimpinnya. Kalian semua secara tidak langsung adalah agen yang membangun dan mendewasakan PAS dengan kritikan dan teguran yang dihulurkan. Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia |
You are subscribed to email updates from NAAK SANGAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan