Rabu, 29 Mei 2013

.

.


Apa Cerita Lebuh Raya dan Stadium Bukit Merbau?

Posted: 28 May 2013 08:50 PM PDT

RENUNGAN PAGI                                                                                

Orang yang sihat dan waras serta tahu sejauh mana kemampuan sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan, atau mereka yang sering mengikuti pembentangan bajet tahunan negeri Kelantan dapat mengagak atau mengesan apakah motif projek Lebuh Raya Rakyat Kelantan (LRRK) sejauh 73 kilometer dari Kota Bharu ke Kuala Krai dan begitu juga dengan projek stadium Bukit Merbau di Selising Pasir Puteh yang canggih 'manggih' itu.

Bagi mereka adalah sesuatu yang mustahil untuk kerajaan Kelantan membina kedua-dua projek berkenaan kalau bergantung kepada pendapatan kewangan negeri yang ada hari ini semata-mata. Justeru saya sendiri sudah menduga kenapa projek itu dilancar ialah untuk dijadikan tarikan pilihan raya. Ia untuk menjadi modal dan rangsangan kepada orang ramai agar mengekalkan kerajaan PAS Kelantan. Sekadar itu saja.


Untuk menghadapi gelombang merah Umno dalam pilihan raya lalu yang dilihat berjaya mengelorakan kebangkitan semangat rakyat, maka sesuatu harus dilakukan oleh PAS. Antara sesuatu itu ialah 'menggelarkan' dua projek itu. Lebuh raya sangat diperlukan manakala stadium bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri ke atas kehendak rakyat (golongan muda) kandati ia tidak sepenting lebuh raya. Sebagai bangsa politik PAS juga harus berani berjanji.

Itulah tujuan sebenar di sebalik kedua-dua projek berkenaan. Lantaran itu pelancaran atau perletakkan batu asasnya tergesa-gesa seolah-olah mengejar tarikh pilihan raya. Bagaimana pun mereka yang tidak mengetahui kemampuan kerajaan negeri sangat 'bergumbira' dengan kedua-dua projek berkenaan. Mereka yakin kerajaan Kelantan akan mampu melaksanakannya. Apa lagi yang menjadi juara projek berkenaan ialah Husam Musa yang dicanang sebagai pakar iktisad Kelantan apabila beliau tanpil dengan pelbagai idea canggih.

Ada kebenarannya mengenai Husam ini tetapi tidak mungkin untuk membiayai kedua projek berkenaan yang bernilai berbillion ringgit ia perlu disangkutkan ke atas bahunya bersendirian sementara 18 bahu lain (Exco) melepas tangan begitu saja atau menanti masa untuk gelak.

Tidak dinafikan juga, ibarat kata kalau hendak seribu daya dan kalau tidak hendak seribu dalih. Kerajaan Kelantan boleh berusaha dengan apa saja untuk mewujudkan projek berkenaan. Tetapi malangnya usaha itu tidak ada. Ia hanya, atas pandai-pandai dan inisiatif Husam seorang diri saja menjadikan dua projek itu sebagai projek politik. Husam meletakkan dirinya sebagai pemimpin berpandangan jauh dan berani menerusi projek itu.

Kenapa dikatakan ia projek Husam bersendirian? Kerana perbincangan untuk projek berkenaan katanya tidak pernah dibawa ke pengetahuan Exco secara detail. Tidak ada proposal yang dikemukakan dan tidak ada perbahasan mengenai projek itu. Projek itu dilakukan secara ad hoc dengan mendapat restu daripada bekas MB Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di sinilah kesilapan exco lain kerana tidak berterus terang dan membiarkan Husam memikul projek itu bersendirian dengan huyung hayang. Sepatutnya kalau persiapan projek itu sudah nampak pincang patut ada Exco yang membantahnya.

Perihal lebuh raya dan stadium itu kini menjadi persoalan dan tanda tanya. Saya sebagai salah seorang pemungut derama untuk membina lebuh raya sering ditanya, apa sudah jadi dengan projek berkenaan. Orang ramai yang senang dengan rancangan itu dan menghulurkan derma ingin mengetahui progresnya. Bukan mereka tidak halalkan duit derma mereka, tetapi ingin mengetahui perkembangannya kerana mereka suka dengan projek berkenaan.

Tanda tanya menjadi-jadi lagi apabila Husam kini sudah tidak menjadi Exco. Sebelum ini beliau terlibat dalam perancangan ekonomi dan kewangan negeri Kelantan. Porfolio beliau kini sudah dipegang oleh MB Ahmad Yakob. Apa yang orang ramai ingin tahu, apakah projek itu diteruskan ataupun dibatalkan?

Bagi Husam sendiri dia boleh angkat tangan berhubung kedua-dua projek itu kerana beliau sudah tidak menjadi Exco lagi. Dia boleh kata; apa yang ana boleh lakukan, ana sekarang sudah tidak menjadi anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan, ana sudah tidak seperti dahulu. Ana sudah muflis.. ada enta faham!" Satu segi nasib yang diterima Husam adalah untuk menyelamat air mukanya.

Tetapi jawaban Husam sebegitu tidak boleh menutup mulut dan mata orang ramai dari memperkataka projek berkenaan. Setiap kali mereka akan melalui jalan Selising Pasir Puteh mereka akan tercari-cari mana stadium yang dirancangkan itu. Mereka akan bterjenguk-jenguk dari tingkat kereta untuk melihat bumbung stadium yang bentuk macam rebana ubi itu. Begitu juga setiap kali rakyat akan dihimpit kesesakan di jalan raya terutamanya di musim perayaan dan cuti sekolah mereka akan teringat kepada wang derma yang mereka berikan untuk pembinaan lebuh raya berkenaan.

Hendak tidak hendak kerajaan negeri perlu bertanggungjawab. Sama ada projek itu tidak dibincang secara mendalam dan mendapat persetujuan Exco, itu soal lain. Kerajaan Kelantan kini dipertanggungjawabkan ke atas kedua-dua projek berkenaan. Kerajaan negeri tidak boleh mengatakan mereka tidak tahu, kerana semua orang sudah tahu mengenai projek berkenaan. Projek itu juga sudah ada dalam geoogle.

Hari ini baik Ahmad Yakob, sebagai MB dan Mohd Amar Nik Abdullah TMB atau semua Exco tidak boleh melepas tangan dengan mengatakan projek itu projek Husam dan sesiapa yang menyoal tentangnya boleh dijawab tanyalah Husam. Semangat kolektif (pinjaman istilah yang sering disebut Abdul Hadi Awang) hendaklah diterima pakai. Kerajaan negeri jangan saja hendak mengakui apa-apa yang baik Husam lakukan tetapi menolak yang tidak baik. Prinsip telor boleh dimakan tetapi tidak ibunya, tidak relevan dalam hal ini.

Cara terbaik untuk menyelesaikan perkara itu ialah kerajaan negeri khasnya Ahmad Yakob kena berani dan tegas sama ada ianya hendak diteruskan atau tidak. Sekiranya kerajaan hendak meneruskannya maka usaha lain perlu dicari. Jalan terbaik ialah Ahmad Yakob meminta bantuan dari kerajaan Pusat untuk melaksanakannya. Dalam hal ini Ahmad boleh berbincang dengan Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed bagaimana hendak merealisasikan kedua-dua projek berkenaan. Kalaulah tidak kedua-duanya sekali tetapi pembinaan lebuh raya perlu difikirkan.

Kebetulan Umno juga telah berjanji untuk membina lebuh raya. Janji itu menjadi manifesto. Apakah kata kalau manifesto Umno itu dikombinasikan dengan projek yang diterajui oleh Husam itu? Rasanya tidak menjadi dosa dan kesalahan. Yang penting rakyat Kelantan mendapat manfaatnya.

Dalam usaha ini mungkin Ahmad Yakob boleh mempersembahkan kepada Tunku Sultan untuk mendapat perkenan dan memohon kepada Tuanku supaya menyebutkan perkara ini kepada Mustapa Mohamed. Kalau soal royalti minyak Tuanku Sultan boleh meminta agar ia disempurnakan secara maufakat dan baik demi rakyat Kelantan, mengapa tidak dengan pembinaan lebuh raya. Saya yakin kalau Tuanku bertitih titahnya akan didengar oleh sekalian rakyat.

Mustapa Mohamed pula tidak perlu berdolak dalih atau hendak bina lebuh raya sendiri tanpa bekerjasama dengan kerajaan negeri. Lagipun dengan adanya jalinan kerjasama wang untuk pembinaan lebuh raya itu boleh dijimatkan bila mana kerajaan negeri bersedia menurunkan taksifr premimum tanah yang diambil untuk tujuan itu. Pembinaan lebuh raya ini boleh dijadikan titik mula ke aras pembinaan kerjasama lebih besar di antara kedua pihak untuk rakyat Kelantan tanpa mengorbankan prinsip dan dasar parti masing-masing.

Rasanya kalau dibina lebuh raya tidak ada siapa yang mengecualikan diri untuk menggunakannya. Baik orang PAS atau Umno atau orang Bebas, semuanya akan menggunakan lebuh raya berkenaan tanpa mempersoalkan siapa yang buatnya.

Sebaliknya sekiranya kerajaan negeri tidak berhajat untuk meneruskan projek lebuh raya berkenaan, Ahmad Yakob hendaklah mengistyharkan bahawa kerajaan negeri tidak meneruskan idea Husam Musa itu kerana tidak ada peruntukan. Dengan pengistyharan itu menamatkan spekulasi mengenainya. Ahmad dan barisan Exconya kena menerima cacian dan 'murihan' oleh rakyat. Sudah tentu rakyat akan mengatakan Ahmad dan Exconya lemah dan tidak tahu untuk menjana wang bagi membina lebuh raya berkenaan. Tidak ada guna bagi Ahmad dan Exconya memelihara itik mandul.

Ataupun sekiranya Ahmad dan Exconya tidak mahu terseset dengan getah nangka yang dicuri oleh orang lain, Ahmad hendaklah bersedia untuk menswastakan pembinaan lebuh raya dan stadium itu kepada Husam. Maksudnya kerajaan Kelantan hari ini perlu mewujudkan sebuah badan khas untuk menguruskan dua projek berkenaan dengan melantik Husam sebagai pelaksananya. Katalah badan itu dinamakan Projek Khas Kelantan (PKK), Husam perlu dilantik menjadi Pengarah Eksekutifnya. Kerajaan negeri perlu memberi mandat dan kuasa sepenuhnya kepada Husam untuk melaksanakannya. Dari mana dan cara mana Husam hendak dapatkan wang nuntuk melaksanakannya terserah kepada beliau, bukankah beliau pintar dalam soal itu?

Saya percaya kalau Ahmad bersedia melakukan ini ia juga menggembirakan Husam kerana cita-cita dan ideanya itu tidak terbantut. Dengan cara itu juga kita semua dapat mengetahui sejauh manakah Husam geliga dan pandai dalam menjana wang untuk pembangunan Kelantan. Selepas kejayaan Husam membangunkan projek itu nanti, sekiranya hendak dilantik beliau menjadi MB, molek juga sebagai membalas jasa dan khidmatnya.

Yang penting Ahmad Yakob perlu berbuat sesuatu ke atas kedua-dua projek itu kerana kalau ia dibiarkan ia akan menjadi simbol kepada kelemahan kerajaan Kelantan. Kita tidak mahu kelak rakyat akan menggelarkan kerajaan PAS Kelantan sebagai jantan yang gila nak berbini tetapi syahwatnya sudah wafat. [wm.kl.11:29 am 29/05/13]

Tamrin Akan Didakwa Pagi Ini

Posted: 28 May 2013 04:58 PM PDT

Tamrin Ghafar bersama Tian Chuu, Haris Ibrahim dan Safwan Anang akan didakwa di mahkamah seksyen Jalan Duta pagi ini. Mereka yang ditahan lewat petang semalam telah dibebaskan kira-kira jam 11:00 malam. [wm.kl.7:45 am 29/05/13]

Ahmad Yakob Tidak Ubah Bilik MB, Seakan Mahu Kekalkan Aura Tokguru

Posted: 28 May 2013 06:45 AM PDT

REGUT RASA                                                                                                    

Sewaktu pulang ke Kelantan untuk menjemput anak perempuan yang menjalani ujian 'badanian' di Pondok Diniah Pasir Tumbuh selama sebulan minggu lepas, saya sempat menjenguk Kota Darul Naim pusat pentadbiran negeri Kelantan sekejap. Tujuannya ialah untuk berjumpa dengan MB Kelantan yang baru Ustaz Ahmad Yakob bagi mengucapkan tahniah dan selamat kepadanya. Sebenarnya tiada keperluan lain, selain dari hanya untuk ucap tahniah saja dan memberi semangat.

Ahmad sedang membaca salah satu surat yang diterimanya.
Pertukaran ketua kerajaan Kelantan tidak membawa perubahan drastik. Macam seperti biasa saja. Bermula dari pintu masuk hingga ke lif hendak naik ke pejabat MB di tingkat satu tiada apa-apa perubahan drastik, biasa saja. Kawalan ketat tidak ada di pintu masuk kota pentadbiran itu. Di gate angkat tangan dan driver cakap nak hantar "YB" sudah lepas walaupun kita tidak calon pilihan raya pun. Tiada soal jawab.


Cuma di pintu untuk masuk ke bangunan menempatkan kantor MB dan Exco memerlukan KLPT iaini 'kad leset pintu terbuka'. Bila kita leset (dekatkan kad) ini di tombol kunci pintu akan terbuka, krekkkk. Saya tidak pasti bila sistem KLPT ini dipraktikan di Kota Darulnaim. Dengan adanya kad ini nampak modenlah sikit. Semoga urusan pentadbiran di Kota Darulnaim ini juga semoden kad berkenaan. Tetapi awas kalau kita tidak ada kad ini (saya tak ada), kita kena tunggu ada orang hendak masuk atau keluar baru boleh masuk dengan menumpang mereka.

Bersama TMB Kelantan Mohd Amar.
Mungkin kad ini diwujudkan selepas ada arahan bertulis melarang beberapa indvidu tertentu dari memasuki Kota Pentadbiran berkenaan. Kenapa sebab dan gerangan maka ada larangan ke atas indvidu tertentu saya tidak tahu. Tetapi arahan seperti ini dianggap ganjil sebab sebagai kota pentadbiran sesiapa pun boleh dibenarkan masuk selagi ianya tidak berniat jahat dan serong.

Sampai di tingkat satu langkah saya sedikit terjongket. Terasa agak canggung sedikit dan kekok untuk terus melangkah menuju ke pejabat MB. Semacam ruang itu ruang rumah orang yang tidak biasa dan tidak pernah saya masuki. Wal hal sudah kerap saya ke situ.

Entah kenapa semacam benda baru pula ada di situ. Saya memerhati ke segenap jerung dan peralatan yang ada. Di sudut kiri berdepan lif ada satu bangku pengawal dengan seorang pengawal lengkap berpakaian seragam. Umurnya sudah dimakan 'sempadan' pencen.

Entah saya terperasan persis ruang itu bersinar banar pula. Mungkin perasan saya kerana Kelantan mendapat MB baru maka suasana sekitar juga baru. Saya memerhati ke sekeliling, pandangan jatuh ke beberapa keping gambar yang diabadi kemas dalam bingkai (frame) yang agak eksklusif. Gambar itu dipasang setentang di ruang seluas kira-kira 10 kaki luas itu. Gambar potret itu ialah wajah bekas MB Kelantan dari yang pertama sampai yang ke lapan.

Selepas saya mengamat-amati satu persatuan potret bekas MB itu terperasan oleh saya bahawa bukan semua MB dianugerahkan Dato' Bergelar. Daripada lapan MB itu hanya empat orang saja mempunyai Dato' Bergelar sementara yang lain tidak.

Mereka ialah MB Kelantan yang pertama, Nik Mahmod Nik Ismail (1921 - 1947) yang digelar Dato' Bentara, MB yang kedua, Nik Ahmad Kamil Nik Mahmod (1948 - 1955) yang digelar Dato' Seri Setia, MB ketiga, Tengku Mohd Hamzah Tengku Zainal Abidin (1955 - 1959) digelar Tengku Seri Maharaja. Manakala MB Kelantan ke empat, Ishak Lotfi Omar, (1959 - 1964, 1973 - 1974) kelima, Mohd Asri Muda, (1964 - 1973) dan keenam Mohamad Nasir, (1974- 1977) ke tujuh Mohamed Yaakob (1977 - 1990) tidak mendapat nama gelaran itu.

Potret Tokguru dalam frame.
Hanya selepas MB ke lapan iaitu Nik Abdul Aziz Nik Mat (1990 - 2013) baru nama gelaran itu dikurnia atau diwujudkan semula dimana Tokguru Nik Aziz Nik Mat diberi gelaran Dato' Bentara Setia. Jika tidak salah ingatan saya Muhammad Nasir pernah mencatat di hujung namanya sebagai Dato' Biji Sura. Tetapi nama atau perkataan itu tidak dicatat di bawah namanya yang tersimpan kemas dalam bingkai di ruang pejabat MB itu.
 
Lama saya memerhati dan membaca nama-nama serta angka tahun tempoh mereka mentadbir yang dicatat pada gambar itu. Sehinggalah mata saya terpaku kemas ke frame Tokguru Nik Abdul Aziz yang berada di ruang paling hujung. Di atas frame itu dicatat tahun 1990 -.  Sebelum ini ramai yang sedang menanti bilakah ruang kosong itu akan terisi. Kini kekosongan ruang itu sudah terjawab, mulai 6 Mei 2013 lalu Tokguru Nik Aziz bukan menteri besar Kelantan lagi. Tempoh perkhidmatannya sebagai MB ialah 1990 - 2013. Selama 23 tahun, adalah tempoh paling lama dan satu rekod.

Saya terkedu dan mengeluh tanpa disedari bila menyedari hakikat itu. Fikiran menerawang bahawa orang yang berada di atas kerusi di bilik sebelah bukan lagi Tokguruku. Kerusi dan pejabat itu kini sudah dimiliki oleh orang lain. Walaupun penggantinya adalah orang kepercayaanya, hakikat MB adalah tetap orang lain bukan Tokguru lagi. Orang yang akan melayani saya dan bertanya itu dan ini bila sesekali menyinggahi pejabatnya, sudah tidak menjadi MB lagi. Kenapa beliau berhenti?

Masih terkemen di dalam ingatan, pada suatu hari saya mengunjungi Tokguru. Tatkala itu beliau baru saja selesai mengadakan mesyuarat Exco, hari Rabu. Kebetulan ketika saya masuk ke ruang bilik kecil tempat beliau makan dan solat, beliau sedang membuka nasi bungkus. Begitu nampak saya Tokguru suruh duduk.

"Bila sampai?" tegurnya. Itulah pertanyaan awal bila setiap kali bertemu dengannya. Kemudian sambung..."nak makan nasi sikit, baru sudah mesyuarat Exco. Nak bagi dua nasi ini tak boleh ini nasi kerajaan," katanya tersenyum mesra. Saya mengerti gurauan dan mengerti mesejnya. Menurut Tokguru menjadi amalan pentadbirannya selepas mesyuarat Exco, mereka akan diberi nasi sebungkus seorang untuk dimakan di bilik. Makan berjemaah tidak diamalkan kerana ia boleh melengahkan masa dan belanja agak mahal. Jadi untuk meringkaskan dan menjimatkan wang negeri dengan dibeli nasi sebungkus seorang.

Ini kontras sekali dengan apa diamalkan oleh menteri kabinet di mana setiap kali mesyuarat mingguan Rabu, menteri dan seluruh stafnya akan makan nasi berhidang di pejabat. Adakanya makanan bertimbun tidak habis dan terpaksa dibahagikan kepada staf untuk dibawa pulang.

"Ana kena makan dulu, perut dah masuk angin. Nak bagi ke enta tidak boleh.. ini dibeli dengan duit kerajaan," kata Tokguru lagi sambil tersenyum senyum. Senyuman itu masih melekat di hati dan ternampak dek mata sampai ke saat ini. Gurauannya cukup lunak dan membahagiakan. Sebab itu bagi saya menemui Tokguru samalah berada di bawah pokok rendang selepas melalui perjalanan di padang pasir yang panas 'ceng-ceng'. Saya melihat dia makan dan menuangkan air dalam cawan. Sambil makan dia bertanya beberapa perkara selalunya mengenai isu-isu politik orang Kuala Lumpur. Bersama Tokguru waktu dia makan kita sudah merasa kenyang dan puas. Inilah keberkatannya.

Sekejap kemudian, belum habis separuh Tokguru berhenti makan. Katanya; "eh rasa kenyang pula dah..." Saya mengerti dan faham dengan gelagat Tokguru itu. "Enta tolong perhabiskan...," katanya sambil menolak bungkusan nasi ke arah saya. Itulah yang saya nanti-nanti dan tuggu-tunggukan. Tidak payah minta dan mengedeng.. Tokguru faham dan dia tidak akan menelan nasi tanpa orang yang ada bersamanya juga ikut sama menelan. Cara Tokguru ini amat-amat saya faham dan akhlak ini menyebabkan saya mengkreditkan beliau sebagai mulia bagi sisi saya.

Mengenang kemesraan dan kehalusan budi Tokguru ini menjadi saya sebak dan air mata tergenang dengan sendirinya bila mengenangkan peristiwa dua atau tiga hari sebelum pilihan raya semasa saya mengunjunginya di Subuh hari di hotel penginapannya di Shah Alam. Sewaktu sampai pegawainya sedang menyiapkan makan pagi untuk Tokguru berupa nasi berlauk dan laksam.

Tokguru makan laksam. Beliau memang gemar laksam. Saya pula makan nasi berlauk ikan aya. Selalu bila bersama Tokguru sedang makan, menyebabkan cara makan saya akan 'njur'. Tokguru pagi itu begitu selera sekali. Sekejap sahaja habis laksam sepinggan. Sesuatu yang merujakan saya apabila beliau meminta nasi saya. Katanya; bubuh sikit, nampak sedap nasi enta. Saya angkat pinggan dan minta dia mengautnya ke dalam pinggan bekas laksam. Tetapi dia suruh saya menguis sendiri ke dalam pinggannya.

Beliau terus makan, dan sekejap pinggannya licin sekali lagi. Apa yang hendak saya sebutkan dengan peristiwa ini. Betapa halus dan seninya cara Tokguru mengajar dan mendidik. Begitu juga cara beliau menghubungkan ukhwah Islamiyah. Siapa yang tidak bangga dan akan mengenangnya sampai mati bila seorang Tokguru sanggup memakan nasi dari pinggan kita. Oh Tokguru...

Terus merasa kekok

Ahmad memberi pose istimewa bersama saya.
Berbalik semula kepada kisah kunjungan saya ke pejabat MB tadi; perasaan terus terasa kekok untuk masuk ke pejabat MB. Walaupun orang yang menggantikan Tokguru itu adalah orang yang sudah saya kenali. Tetapi rasa hormat menjadikan saya beperasaan begitu. Iya, walaupun kenal tetapi Ustaz Ahmad yang hendak saya temui itu adalah MB. Sebelum ini saya mengenali dia sebagai TMB tetapi hari ini dia adalah Menteri Besar. Yang taraf dan makamnya sama dengan Tokguru Nik Aziz.

Seperti biasa, setiap kali saya menjenguk masuk ke pejabat MB, saya akan menyopankan diri sebaik mungkin. Memberi salam dan bersalam setiap kerani yang ada atau sesiapa yang berada di situ. Ada juga kerani atau petugas di Pejabat Am MB itu senyum ada juga yang serius bekerja seperti Malik Zabaniah.

Menjelang tengah hari itu ramai orang di pejabat MB. Semua hendak bertemu dan mengucap selamat, saya kira. Mungkin macam saya juga. Melihat keadaan itu sudah tidak mungkin saya ada peluang untuk berjumpa dengan MB. Saya tidak mahu menyusah apa lagi menggangu. Lagipun kehadiran saya tidak begitu penting sangat.

Saya pulak jenis tidak dapat menunggu lama. Menunggu bagi saya membuang masa dan satu keadaan cukup membosankan. Baru saya berhajat untuk balik, tiba-tiba Setiausaha Akhbar sdr Fadzli Shaari terpandang dan terus berjalan mendekati saya. Fadzli menggunakan cara PRnya dan menguruskan saya. "Orang ramai abang Ti, tak pa abang Ti masuk sini dulu, ambo uruskan..." kata Fadzli sambil membuka pintu untuk masuk ke sebuah bilik. Bilik ini pernah saya gelar sebagai lorong tikus.

Pun begitu saya sudah membuat appoinment menerusi Setiausaha Sulitnya, sdr Rosdi. Malangnya Rosdi tidak ada dia telah berlepas ke Tanah Suci. Saya tidak tahu beliau serahkan temujanji saya itu kepada siapa, Ataupun Rosdi tidak merekodnya. Sebelum ke pejabat MB saya menghubungi seorang pegawai yang menjadi assistant kepada Rosdi. Malang, tiga kali call dan satu SMS tidak dibalas sampai kini. Mungkin nombor yang diberi itu tidak betul atau pegawai jenis burung wak-wak.

Sebenarnya teman yang bersama saya telah menghubungi rakannya yang berkerja di pejabat MB. Temannya itu memberi tahu datang saja sebab MB masih di pejabat. Sebab itu saya memberanikan diri, 'terak' untuk jumpa dengan MB. Nasib baik Fadzli melayan dengan baik. Terima kasih adinda Fadzli.

Alhamdulillah saya menunggu tidak lama dan belum sempat rasa bosan. Lagipun dengungan cakap dari dalam bilik sebelah menjadikan saya terhibur. Ustaz Ahmad sedang melayan beberapa orang tetamunya termasuk dari Korea. Ada pelabur dari Korea yang berminat dengan Kelantan. Ada sama ialah bekas CEO Proton Syed Zainal. Sesekali kedengaran ketawa pecah dan kedengaran suara halus Mohd Amar Nik Abdullah TMB Kelantan mengetuk cuping telinga. Saya memang panas dengan TMB ini?

Baru Fadzli membuka pintu untuk mempersilakan saya masuk ke bilik MB, terjolor Mohd Amar. Apa lagi, Mohd Amar memang ramah dan suka bergurau. "Oh MSO ada... apa khabar?" tanyanya. Sambil berjabat tangan dan mengucap tahniah kepadanya saya bergambar dengan TMB baru ini. Sambil memfokuskan kepada kamera, Mohd Amar terus bersenda; "ni ambil gambar masuk dalam blog. Jangan rembas ikut dan gat, nanti rabit hidung..," begitulah cara Mohd Amar bergurau. Kalau tidak bergurau semacam tidak sah berjumpa dengannya. Walaupun Mohd Amar suka pangkah orang tetapi dia boleh terima apa yang saya kata (pangkah) ke atasnya. Saya cukup faham dengan anak tokoh PAS Nik Abdullah Arshad ini. Saya sebenarnya lebih mesra dengan ayahnya dari beliau  sendiri.

Waktu saya masuk ke bilik Ustaz Ahmad dia dimeja sedang membaca sesuatu. Selepas memberi salam saya dan kawan mendekati mejanya. Jelas sekali beliau kesibukan dan beliau hanya menanti atau memberi peluang untuk saya saja. "Lorak sikit ni... nak ke Balai Islam, ada program di sana.." katanya seolah sedang menanti untuk dengar apa-apa yang hendak kami katakan.

"Tahu dah... saja ana singgah nak ucap tahniah kepada Ustaz. Kebetulan balik... ambil peluang. Tak mengapa nanti kita set lain kali..." kata saya memberi kelegaan kepadanya.

"Molek... terima kasih banyak. Ana sangat-sangat memerlukan bantuan dari semua pihak. Terima kasihlah." Katanya dalam serba salah kerana tidak dapat melayan saya lama. Rasanya tidak sampai 15 minit saya dan kawan minta diri dan beliau terus ke Balai Islam, katanya dalam rangka bertemu mesra dengan kakitangan Majlis Agama Islam.

Sebelum keluar saya sempat merenung ke segenap jerung bilik MB itu. Saya seakan mencari-cari di mana Tokguru Nik Aziz. Saya baru tersedar dari lamunan itu bila mana Ustaz Ahmad berkata; ikut sini pun boleh tubik juga. Arkh....

Bilik MB Kelantan itu masih seperti dulu. Tidak berubah. Position meja dan kerusi, serta tabir kayu (skrin) tidak pun berubah atau diubah. Hanya kalau berubah sikit ialah sofa untuk ruang tamu telah ditukar kepada set baru. Lain-lain masih dikekalkan seolah-olah Ustaz Ahmad mahu mengekalkan keadaan seperti sedia kala seperti mana Tokguru jadi MB 23 tahun lalu. Atau mahu sengaja dikekalkan agar aura Tokguru terus segar di bilik itu.

Cuma tengah hari itu yang terlupa saya kesan apakah bau attar Tokguru masih juga ada di ruang bilik yang penuh bersejarah itu. Saya akan menghidunya di lain kali. InsyaAllah. [wm.kl.9:32 pm 28/05/13]

Tamrin Ditahan Kali Kedua?

Posted: 28 May 2013 05:30 AM PDT

BERITA TERKINI                                                                            

Kira-kira jam 7:15 minit malam ini saya menerima panggilan telefon dari Tamrin Ghafar yang memberi tahu dia akan ditahan polis. Beliau memberi tahu seramai lapan orang anggota polis sedang berada di halaman rumahnya. Menurutnya polis ingin menahannya ketika itu juga dan membawanya ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Tamrin (kiri) ketika minum di KLCC petang tadi. 
Tetapi katanya dia minta ditangguhkan hingga beliau selesai menunai sembahyang Maghrib.

Sebelum jam 6:00 petang beliau bersama saya dan tiga rakan lain, Sabree Shafei, Dr Wan Suhaimi Wan Daud dan Mohd Arif Sabri Abdul Aziz ahli Parlimen Raub, minum kopi di KLCC.

Ketika minum saya sudah tergerak hati untuk bertanya macam mana dengan 'kes' beliau. Polis sebelum ini mengatakan akan membuat rayuan ke atas pembebasan Tamrin bersama Tian Chua dan Haris Ibrahim yang ditahan minggu lepas.

Kami berpisah dan Tamrin memberi tahu dia hendak ke masjid.

Mungkin ketika ini Tamrin sudah pun dibawa ke Balai Polis Dan Wangi. Semoga penahanan itu tidak menyusahkan ahli PAS seumur hidup itu. Kebetulan juga tadi beliau memberi tahu saya kedua-dua belah lututnya sakit dan bercadang untuk mendapatkan rawatan. [wm.kl.8:28 pm 28/05/13]

Tiada ulasan: