Apabila MB dipanggil Pakcik...
Markas Pas Kawasan Jerai, rumah Ustaz Azizan di bangunan ini.
Apabila MB dipanggil Pakcik...
Kedai Pakaian Timor di Pekan Simpang Empat Kangkong yang jadi pilihan Ustaz Azizan.
"ASSALAMUALAIKUM," laung seorang anak muda sambil tertinjau-tinjau di sisi bangunan pinggir Terusan Wan Mat Saman yang selari dengan jalan Alor Setar - Sungai Petani, pada suatu pagi dua tahun lalu.Seketika kemudian, kedengaran suara salam dijawab dari  belakang bangunan. Anak muda bertubuh tinggi, berambut lebat itu segera mencari arah datangnya suara.

Tiba di sana, dilihat sekumpulan empat lelaki agak baya sedang bersembang di satu ruang yang pintunya terbuka. Seorang daripada mereka - yang paling tua - berbaring di pangkin.

"Saya Rizal, skuad Sinar (Harian) baru di kawasan Yan," kata anak muda itu dengan senyuman seperti dipaksa. Dia dipersilakan masuk.

Lelaki yang berbaring di pangkin bangun. Setelah berbasa basi untuk seketika, lelaki itu bertanya: "Hang tau dak saya ni sapa?"

"Minta maaf pakcik, saya tak tau ...," jawab si anak muda, jujur.

"Tak pa, hang boleh tanya depa ni," balas lelaki itu yang berkain pelikat dengan baju pagoda.

Barang kali kerana kasihan kepada si anak muda, seorang lelaki lain kemudian berkata: "Inilah Ustaz Azizan, Menteri Besaq Kedah."

Anak muda itu hilang kata-kata! Dia seperti tidak percaya.

"Saya bukan tak kenal MB Kedah, tapi hari tu dia nampak lain sangat. Dengan baju pagoda, kain pelikat, tak pakai cermin mata, kopiah pun tak pakai... itu yang saya panggil dia Pakcik," kata Rizal mengimbas peristiwa itu kepada saya beberapa minggu kemudian.

Ya, mungkin ramai yang tidak tahu, Ustaz Azizan sejak dilantik menteri besar, tidak pernah menghuni Seri Mentaloon di Alor Setar. Kediaman rasmi MB Kedah itu hanya diguna untuk acara rasmi.

Dia masih tinggal di rumah lamanya di bahagian belakang bangunan Markas Pas Jerai di Batu 15, Padang Lumat, dekat Guar Chempedak itu selain sebuah lagi rumah di Jalan Sultanah, Alor Setar yang dibeli daripada keluarga mertuanya.

Walaupun sudah bergelar MB, Ustaz Azizan masih mengekalkan gaya hidup biasa.

Setiausaha akhbarnya, Helmi pernah menceritakan,  Azizan hingga sekarang jika mahu beli seluar, baju, tempatnya adalah sebuah kedai di Pekan Simpang Empat Kangkong.

"Dia selalu suruh aku pi kedai tu, Kedai Timor. Kata dia, baju, seluaq di kedai tu murah-murah. Kita sendiri tak sanggup pakai yang tak dak brand macam tu," kata Helmi. Difahamkan, kebanyakan baju yang dipakainya berharga tidak lebih RM20 sehelai.

Selain Kedai Timor,  Azizan juga biasa beli pakaian di sebuah kedai India Muslim di Lebuh Chowrasta di Pulau Pinang.

"Satu hari, mamak kedai tu mungkin sebab baru  perasan tengok muka Ustaz  di TV, dia kata, Haji, ini hari saya tak mau jual lagi pada Haji. Ustaz tanya, sebab apa? Dia kata, sekarang Haji sudah jadi menteri, orang besaq. Elok pakai baju, seluaq yang tempah, bukan yang dia jual," katanya.

Ustaz Azizan tetap Ustaz Azizan.

Tidak lama dulu, saya dijemput hadir kenduri kahwin anaknya di Kampung Teras Jernang, Bangi. Lokasi kenduri sebuah rumah kampung tidak jauh dari kampus UKM.

Ketika bersalam, Ustaz Azizan berpesan, "mai makan kenuri sudah naa, jang dok buat berita buh dalam surat habaq."

Selepas makan, saya bertanya kepada setiausaha politiknya, Sanusi, apa sebab Ustaz tak buat kenduri di Alor Setar?

Jawab Sanusi: "Ini kenduri kahwin anak yang kedua dia buat lepas jadi MB. Kali pertama di Kedah. Belanja terlalu tinggi (sebab nak kena sedia hidangan banquet). Untuk tampung kos, Ustaz terpaksa pinjam dari beberapa orang exco RM20,000 seorang.

"Kali ni dia tak sanggup nak meminjam lagi, sebab itu dia buat di sini. Di sini tak perlu nak jemput orang-orang besar sebab kenduri kampung saja," katanya.

Ujar Sanusi lagi, Ustaz Azizan cukup menjaga integriti dan dia tidak mahu ada pihak ambil kesempatan menaja majlis peribadinya.

"Sebagai menteri besar, apa yang dia buat ini memang ambik risiko. Mungkin ada yang berkecil hati apabila dia tidak buat kenduri kahwin anak di Kedah. Tetapi inilah prinsip Ustaz yang tidak mahu timbul fitnah dalam pentadbirannya," katanya.
 _________________________________________________________________________________________
PRU 13 menyaksikan BN meletakkan Mukhriz anak harapan yang menyebabkan Mahathir ligat kembali politik demi menjaga legasinya... Mukhriz adalah calon MB Bn. Rakyat boleh menilai apakah Mukhriz yang dibesarkan dengan kemewahan bapanya mampu menjadi pemimpin yang mudah didekati rakyat seperti ustaz Azizan?
Sebab itu...PRU ialah perbandingan antara BN dan PR... perbandingan antara pemimpin Bn dan PR... perbandingan antara penyokong BN dan PR... Perbandingan antara menifesto BN dan PR... Tanpa perbandingan rakyat tak akan dapatmembuat penilaian yang adil... 
Penialaian dan perbandingan tak mungkin dapat dilakukan melainkan kedua pihak diberi akses media yang adil dan skasama... ketika rakyat dapat menilai mana baik mana salah... 
ITULAH YANG DIBIMBANGI BN!!!