Selasa, 9 April 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Singapura mahu Nik Aziz berundur (9/4/13)

Posted: 08 Apr 2013 07:27 PM PDT


Dalam akhbar The Star hari ini dimuatkan artikel yang dipetik dari akhbar The Straits Times Singapura bertajuk "Time to usher in a younger leader" atau "Masa untuk membawa masuk pemimpin muda".

Artikel berkenaan yang diceduk dari seberang tambak menumpukan pada Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat. Hujahnya lantaran usia Tok Guru, 82 tahun, serta kesihatannya yang sering terganggu, setelah meminpin dan mengetuai negeri Kelantan hampir 23 tahun, sudah tiba masanya Tok Guru atau PAS sendiri memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mengambil alih.
Walaubagaimanapun artikel yang sama memetik ulasan dari Setiausaha Politik Tok Guru yang menyatakan bahawa pengalaman, pengetahuan agama serta kewibawaan Tok Guru mengatasi mana-mana pencabarnya dari Umno.

Secara peribadi saya bersetuju bahawa keadaan fizikal Tok Guru memang tidak seperti pada tahun 1990 ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada usia 59 tahun. Saya percaya PAS Kelantan telah pun memiliki pelan peralihan, bagi menggantikan kepimpinan Tok Guru selepas PRU ke 13 ini. Walaubagaimanapun perlu diakui ilmu dan pengalaman Tok Guru memang mantap dan lantaran itu rakyat Kelantan dipercayai akan terus menerima beliau dalam PRU ke 13 ini dan sudah bersedia melihat peralihan kuasa setelah Tok Guru mengundurkan diri.

Ramai calon yang berkaliber dan sudah dilatih Tok Guru dari kalangan ulamak di Kelantan antaranya Timbalan Menteri Besar sendiri, Ustaz Dato Hj Ahmad Yakob dan ahli EXCO Ustaz Dato Hj Mohd Amar Nik Abdullah.
Dalam pada itu kembali kepada artikel NST Singapura itu, saya terfikir pula nampak-nampaknya seakan kawan-kawan dari Singapura terlepas pandang gajah di depan mata mereka. Kuman di laman kita pula tumpuannya.

Bagaimana pula dengan Lee Kuan Yew. Memang Harry Lee sudah tiada jawatan politik lagi hari ini. Tetapi menurut rekod beliau duduk dalam kabinet sehinggalah 2011 ketika usianya 88 tahun! Harry Lee pun keluar masuk hospital, tapi itulah budaya "kiasu" Singapura……yang hodoh kita yang cantik mereka.

Tiada ulasan: