Roslan SMS Corner |
Jadilah petugas yang komited dan bertaqwa (1/4/13) Posted: 31 Mar 2013 10:37 PM PDT Pilihanraya umum ke 13 suka tak suka akan tiba. Tempuhnya semakin hampir tak syak lagi. Ini bukan masanya untuk terus membuat ramalan, ini masanya untuk memastikan jentera masing-masing telah beroperasi sepenuhnya. Injin sudah panas dan tidak tersengguk-sengguk. Kurangkan bercakap banyakkan bekerja. Teringat saya bekas pemimpin ITM dizaman saya Allahyarham Prof Madya Pak Nik Abd Rashind pernah berkata: Allah swt jadikan kita manusia dengan satu mulut tetapi dua tangan, oleh itu kurangkan bercakap lebihkan bekerja. Disaat ini jentera perlu licin dan dalam waktu yang sama dipupuk dengan kekuatan rohani disamping motivasi untuk mengekalkan kecekalan jiwa. Bagi PAS yang ditubuhkan lebih 60 tahun lalu sudah pasti banyak pengalaman yang telah ditimba dan diceduknya. Berkemungkinan tenaga baru dan anak-anak mudanya hari ini tidak melalui apa yang telah dilalui golongan para pengasas parti. Oleh itu ada baiknya mereka didedahkan darihal sejarah yang lampau. Sesungguhnya pencapaian yang dikecapi pada hari ini bukan berdiri atas kehebatan mana-mana individu tetapi atas restu Allah dan doa serta pengorbanan mereka yang terdahulu. Orang PAS yang yakin pada perjuangan Islam, jangan sekali lupa-lupa pada hakikat ini. Allahyarham Khatijah Sidek menulis dalam memoirnya: Memoir Khatijah Sidek – Puteri Kesatria Bangsa: "Kami di dalam PAS tidak menduga akan dapat memenangi Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959 itu sungguhpun kedua-dua negeri itu kuat dari segi agama. Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman memang sangat kuat dan mereka menggunakan banyak wang sumbangan tauke besar Cina untuk menentang kami (PAS) sebuah parti orang Melayu yang daif. Kami hanya bersandar pada orang kampong yang miskin yang untuk menyewa sebuah mikrofon pun mereka tak mampu." Demikian dugaan dan cabaran serta kesusahan yang ditempuh oleh mereka yang terdahulu. Almarhum Hj Mohd Amin Yaakub dalam bukunya :Sejarah pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990 menulis: "Pada peringkat awal perkembangan pengaruh PAS d Kota Bharu, petugas-petugas PAS terpaksa memasuki kampong-kampung dengan berjalan kaki dan berbasikal kerana kebanyakkan petugasnya terdiri daripada golongan miskin dan golongan sederhana." John Funston : Malay politics in Malaysia menulis: "(terjemahan) Sokongan terhadap parti ini (PAS)t idaklah menyeluruh, kalau pun ada hanyalah sekitar mereka yang kuat berpegang teguh kepada penafsiran konservatif Islam, kakitangan jabatan-jabatan agama dan ulamak-ulamak kampong". Lantas jadilah petugas-petugas yang komited dan bertaqwa. Calon-calon pun nanti biar begitu. Lebih-lebih lagi pemimpin yang mewarisi kepimpinan hari ini. Ketika susah pada awal kemerdekaan dahulu, tanpa wang tanpa kekuatan ahli dan jentera, namun PAS terbit menawan 2 buah negeri (ketika itu ada Ccma 11 negeri dalam Malaya). Kemenangan itu lantaran aset terbesarnya iaitu keikhlasan para pemimpin dan kebergantungan teguh kepada Allah swt. Pemimpin-pemimpin seumpama Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi (KEAHLIAN 1956), Almarhum Prof Zulkifli Mohammad (KEAHLIAN 1956), Almarhum Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Husain (keahlian 1951), Almarhum Tuan Guru Hj Yahya Junid (1952), Allahyarmah Hj Hasan Adli (1951), Hamidon Husain (1958) (Allahyarham Hj Hamidon adalah datuk saudara penulis). Semoga PRU ke 13 ini terus begitu. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan