Rabu, 17 April 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


PSM oh PSM

Posted: 16 Apr 2013 09:42 PM PDT

Parti Sosialis Malaysia pada PRU 2008 memenangi kerusi Parlimen Sungei Siput melalui Dr Jeyakumar yang menewaskan taiko India- Samy Vellu MIC sementara Presiden PSM Doktor Nasir Hashim memenangi Dun Kota Damansara. Kedua-dua mereka menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat dan menggunakan logo PKR. Setiausaha PSM Arulchelvan kemudiannya dilantik menjadi Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Hari ini PSM menyertai PRU 13 dan parti ini sudah pun berdaftar. Tetapi status PSM di dalam Pakatan Rakyat masih kabur sama ada mesra PR atau menyertai PR.
Kecoh dan dilema hari ini apabila PR memberikan syarat bahawa PSM boleh bertanding di kawasan lama dan kawasan yang mereka mahu tetapi mesti menggunakan logo PKR. Paling kritikal di Semenyih bila mana dikatakan Arulchelvan sudah lama menabur khidmat di sana (pada PRU 2008 beliau bertanding di Dun Semenyih tetapi tewas tipis setelah dua tiga kali undi dikira) tidak dibenarkan guna logo PSM. Dan pertarungan tiga penjuru berlaku apabila PKR menghantar Hamidi Hassan sebagai calon.
Rundingan demi rundingan dilakukan untuk mengelak tiga penjuru dalam menjunjung semangat ABU tetapi menemui kebuntuan. Setelah PSM menerima syarat guna logo PKR tiba-tiba PKR keluar kenyataan perlu calon Melayu. Ini mengejutkan PSM.
Secara jujur Paparon tercekik dengan isu ini. Hamidi Hassan dan keluarganya sangat-sangat rapat dengan keluarga Paparon. Ini bukan isu Hamidi. Arul adalah rakan setugas Paparon semasa kami menjadi ahli majlis dan presiden PSM sebelum PRU 2008 adalah doktor akupunktur arwah Annisa dan An-Nur yang memberi khidmat harga yang sangat murah. Ke semua mereka Paparon kenal adalah insan yang sangat baik.
Inilah masalah parti politik kita yang selama ini gagal memainkan peranan mencerdikkan rakyat sebaliknya berceramah mengutuk umno sahaja. Sepatutnya parti politik mencerahkan minda rakyat tentang prinsip dan ideologi parti-parti. Bukan mengambil isu-isu untuk menyedapkan kutukan.
Barulah hari ini timbul isu logo tangan PSM tak sesuai, Syed Hamid Ali PKR tak terpilih sebab dia kiri walhal ketika isu Mat Indera pengganas, ke hulu ke hilir bawa kahak mempertahankan ia pejuang kemerdekaan yang mengangkat senjata.
Lima tahun patutnya benda-benda ini dah selesai. Jangan kerana semangat rasa dah nak takluk Putrajaya kali ini kita cuba kaut sebanyak mungkin dan membuli yang lain.
Paparon tidak ada masalah dengan fahaman sosialis walaupun tidaklah berminat menyertai PSM tetapi Paparon kenal mereka dan hormati perjuangan mereka. Kegagalan hari ini adalah kerana keegoan, berasa besar dan paling utama ialah meneruskan proses pembodohan kepada rakyat sama seperti yang umno lakukan.
Memang ada pro dan kontra. Itulah perbincangan yang perlu dilakukan sepanjang lima tahun. Di laman sosial berlaku kutuk-mengutuk antara budak-budak PKR dan PSM yang memburukkan keadaan.
Perkembangan terakhir dilihat, beberapa NGo dan pemerhati politik dalam dan luar negara melihat isu ini sebagai pembulian. Hakikat yang harus diterima walaupun pahit - PSM mendapat simpati tinggi dari mereka. Isu kemenangan di kerusi tersebut, jika sudah lama bekerjasama dalam menyampaikan mesej kepada rakyat, potensi untuk menang boleh jadi besar. Seorang pemerhati politik mengatakan trend kali ini cuba menyingkirkan sesiapa yang dilihat kiri kerana menjangkakan akan mendapat mandat memerintah Pusat.

Paparon - ditelan mati mutu, diluah mati pucuk.

di sebalik kenyataan Nik Nazmi

Posted: 16 Apr 2013 11:36 AM PDT


Apa di sebalik kenyataan ini?

baca dulu:

Calon KEADILAN Selangor terbaik dalam sejarah – Nik Nazmi

(Oleh Aisha Geoffrey)
PETALING JAYA 16 APRIL: Barisan calon KEADILAN bagi mempertahan kemenangan Selangor pada pilihan raya kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurutnya, gabungan itu merangkumi calon muka lama dan baru serta dari pelbagai latar belakang kerjaya, usia dan kaum.
Nik 1"Ia satu gabungan yang kuat, dan saya yakin PAS serta DAP juga akan menampilkan calon yang tidak kurang hebatnya.
"KEADILAN bersedia dan berbangga untuk berkempen bersama (PAS dan DAP)," kata Nik Nazmi pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.
Beliau yang turut sama dicalonkan untuk mempertahan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia juga mengalu-alukan calon baru.
Mereka termasuk dari wanita, Tengku Maraziah Tengku Sulaiman (Kuang) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa). Selain itu, Datuk Ramachandran Kandasamy (Batang Kali) dan G Manivanan (Kapar).
"Kita juga ada tokoh parti, antaranya Dr Abdul Aziz Bari (Sabak Bernam), Khalid Jaafar (Hulu Selangor), Wong Chen (Kelana Jaya), dan sahabat saya, Rafizi Ramli (Pandan)," katanya.
"Persaingan di Selangor pasti sengit, apatah lagi melihat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak terpaksa mengetuai kempen BN di negeri ini," kata Nik Nazmi lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau mengulas isu kerusi DUN Kota Damansara yang sedang dibincangkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
"Kita sentiasa menghargai sokongan PSM dan bekerjasama baik dengan mereka. Kita yakin status mengenai Kota Damansara akan diselesaikan secepat mungkin," jelasnya.

perhatikan! nik nazmi tidak sebut nama calon baru bekas ahli Gerakan yang membuatkan penyandang Adun Kajang lama iaitu Cikgu Lee tersingkir.
Apakah ini protes dalam diam?
Paparon - Wa cakap luuuuu....

mari fikirkan

Posted: 16 Apr 2013 08:27 AM PDT

ketika era reformasi, saya terbaca kolum yang ditulis oleh Syed Hamid Ali di akhbar Suara PRM (sudah tiada dan permitnya digunakan kepada Suara Keadilan ketika PRM dan PKN bergabung membentuk PKR) tentang kemungkinan terjadinya junta Myanmar di mana pemimpin pembangkang yang menang pilihanraya ditangkap termasuk Auu San Suu Kyi. Ini kerana bukanlah sesuatu mudah di Malaysia, regim hendak turun dengan lancar. Teori Syed Hamid Ali ini saya selalu ajukan kepada teman-teman khususnya pemimpin parti dan ramai cuba mengelak menjawab. Artikel ini sudah tidak wujud lagi dan saya hanya mengingatinya sahaja, namun Syed Hamid Ali ada juga berkongsi pandangannya di sini, untuk renungan:-

Mengenai Pilihanraya dan Pembangunan Parti
(oleh Syed Hamid Ali pada 19.6. 2006 dlm Suara Keadilan Bil. 86)

Sekurang-kurangnya terdapat dua tanggapan umum mengapa kerajaan yang ada sekarang mampu bertahan setengah abad hingga ke hari ini. Golongan pertama merasa yakin bahawa BN yang berkuasa itu sesungguhnya sangat kuat, dan setakat ini masih belum ada tandingannya, apa lagi untuk dikalahkan. Pihak yang satu lagi berlainan sedikit pula pandangannya. Mereka menganggap yang pertama itu dakwaan semata-mata dan bertujuan untuk menghayal serta menipu diri sendiri (termasuk orang lain).

Bagi golongan kedua, penyebab utama yang menjadikan BN kelihatan "kuat" untuk terus berkuasa ialah faktor "kelemahan" dan "perpecahan" yang tampak wujud di kalangan parti-parti lawan sekarang. Seandainya faktor-faktor tersebut berjaya diatasi, maka logiknya, gabungan parti-parti pembangkang juga, satu hari nanti, boleh menjadi "kuat" untuk menggantikan tempat BN.

Biar apa pun hakikatnya, kedua-dua pihak mempunyai alasan masing-masing. Mereka yang menganggap BN luarbiasa kuat itu berpegang semata-mata kepada keputusan pilihanraya yang sudah menjadi ritual empat atau lima tahun sekali. Mengikut pengertian golongan ini, proses pilihanraya yang diamalkan sekarang adalah sebaik-baik kaedah untuk mengukur sokongan rakyat terhadap mereka. Dan kononnya, itulah satu-satunya saja ciri atau komponen demokrasi dalam sesebuah negara. Jadi, apabila mereka "menang" dalam pilihanraya, tak kira sama ada jalannya lurus atau bengkang-bengkok, mereka rasa sudah mempunyai "mandat" dari langit untuk membolot atau menguasai segala-galanya – winner takes all!

Ditakdirkan pula, entah macam mana faktor-faktor "kelemahan" dan "perpecahan" seperti yang disebutkan tadi berjaya diatasi, maka logiknya pula ialah Malaysia akan mengalami perubahan. Jika Parti Kongres di India dan Parti Liberal Demokrasi di Jepun boleh tumbang, mengapa tidak BN di Malaysia? Begitulah sangkaan dan harapan mereka.

Di sini, timbul dua pertanyaan: Pertama, apakah dengan bergantinya pimpinan atau parti yang memerintah seperti di India dan Jepun itu, majoriti rakyat sudah pasti akan mengalami perubahan hakiki dalam hidup mereka? Kedua, seandainya dalam keadaan hari ini parti-parti pembangkang di Malaysia memenangi pilihanraya, apakah BN akan bersedia dan rela untuk turun takhta?

Pada hemat saya, kedua-dua jenis soalan tersebut penting untuk difikirkan oleh semua pihak yang sesungguhnya ingin melihat perubahan besar berlaku ke atas rakyat. Oleh kerana itu, tidak perlu menunggu lama atau menjadi pakar sains politik atau ahli akademik untuk mendapatkan jawapannya.

Dalam hal ini, tidak sedikit pengalaman dan pengajaran yang telah dan dapat kita himpunkan sepanjang sejarah perjuangan rakyat. Ambil saja yang paling mudah dan terdekat: Apa yang rakyat jelata dapat apabila Umno bertukar menjadi Umno Baru atau selepas Abdullah menggantikan Mahathir?

Siapa yang dapat menafikan bahawa hingga hari ini dasar ekonomi baru masih lagi menguntungkan segelintir kroni atau suku-sakat pemimpin-pemimpin tertinggi dalam Umno sementara yang lain mendapat habuknya saja? Tidak dapat tidak akibat daripada dasar-dasar yang tidak rasional sedemikian ialah jurang antara si kaya dengan si miskin semakin meluas, antagonisme kaum kian meruncing, nepotisme berleluasa dan korupsi jangan cerita…..

Hal-hal tersebut semakin ketara kebelakangan ini apabila Mahathir pula sudah merasa kecewa dengan Abdullah; segala-galanyapun mulai terburai dan terbongkar di khalayak ramai tanpa segan-silu lagi. Nasib baik jugalah bekas PM itu sudah goyah taringnya, kalau tidak, teruklah Abdullah dibuatnya – bukan sahaja mata, tapi hidung dan telinganya pun turut lebam kena karate chop.

Dalam pada itu, saya tidak menafikan langsung adanya sedikit perubahan. Tetapi soal pokok di sini ialah yang betul-betul menikmati perubahan itu siapa dan golongan mana? Bagi kebanyakan rakyat, permainan sandiwara dan wayang kulit seperti itu rata-rata tidak membawa erti besar dalam hidup mereka.

Kemudian, timbul pula masalah sama ada BN bersedia turun dari singgahsananya. (Nah, ini pertanyaan peringkat akhir untuk program Who Wants To Be A Millionaire. Siapa agaknya yang lebih layak menjawab serta memenangi hadiah sejuta ringgit ini kalau tidak daripada anggota jemaah menteri seperti Samy Vellu, Rafidah Aziz dan yang sebangsa dengannya? Orang lain jangan mimpi….!)

Dalam perkara ini, kita boleh belajar dari banyak pihak termasuk dari dalam dan luar negeri. Di Burma, umpamanya, Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Aung San Suu Kyi telah mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya tahun 1990. Tetapi apa telah jadi? Pihak tentera bukan sahaja enggan mengakui keputusan tersebut, sebaliknya ramai tokoh politik dan orang awam dibunuh atau dipenjarakan. Ini membuktikan bahawa bukannya senang bagi pihak yang sudah lama berkuasa untuk menyerahkan takhta pemerintahannya kepada pihak lain.

Di sini, tentu ada orang akan bertanya: Mengapa ambil contoh Burma – negara yang di bawah kekuasaan kuku besi tentera itu?

Saya tanya balik: Apa bedanya Malaysia? Bukankah negeri ini juga (hampir) dikuasai polis? Kalau tidak, tak akan berani pihak polis "melawan" kerajaan seperti dalam isu Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sudah menjadi rahsia terbuka itu.

Selain daripada itu, bukankah dalam negara ini kerajaan juga dilengkapi bermacam-macam akta/undang-undang/peraturan serta dengan agensi penguatkuasanya sekali untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan mereka dan sekali gus menindas rakyat? Induk kepada segala kejahatan tadi, tidak lain ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan terkutuk itu.

Dengan sejarah yang ada di mana beribu-ribu aktivis politik dan tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr Burhanuddin Helmy, Abu Bakar Bakir, Abdullah C.D dan lain-lain dikurung dan dizalimi di bawah kuatkuasa undang-undang tersebut, siapa boleh percaya dalam pilihanraya akandatang BN dengan mudah sahaja bersedia untuk mengosongkan takhtanya?

Gambaran yang saya berikan setakat ini mungkin agak gelap dan muram; tetapi itu bukan niat saya. Saya cuma hendak menegaskan bahawa jika kita terlalu gairah dan percaya kepada sistem pilihanraya yang ada sekarang serta menari pula mengikut paluan gendang mereka tanpa khusus mengambil berat pembangunan parti, sudah tentu kita akan kecundang lagi buat kesekian kalinya.

Petisyen sokong Cikgu Lee

Posted: 16 Apr 2013 08:07 AM PDT

Pihak PKR pusat tanpa memberi ruang bela-diri kepada Cikgu Lee KIm Sin Adun Kajang penggal lalu yang mana prestasi cemerlangnya di Kajang dan hubungan mesra dengan masyarakat setempat dan parti-parti PR yang lain dicemburui pesaing dan memberikan laporan buruk telah menyebabkan beliau tidak tercalon semula sebaliknya digantikan dengan calon luar yang tidak dikehendaki oleh pengundi Kajang. Rayuan terhadap pusat nampak seperti tidak berkesan.
Dengan itu JPRD dan pengundi Dun Kajang mengambil inisiatif melancarkan e-petitions bagi mengumpul tandatangan menyokong Cikgu Lee Kim Sin sebagai calon PKR Dun Kajang. Sila ke link ini untuk mengundi
http://www.ipetitions.com/petition/cikgulee-kajang/


Tiada ulasan: