DUNIACACAMARBA |
- Budak Tahun 6 Antara yang Dicekup Kerana Dadah
- [Video] BN akan Kalah di Selangor Kata Pemimpin MIC
- PKR Dakwa Orang Kuat UMNO Selangor Terlibat Pengurupan Wang Haram
- Tidak Iktiraf CEC DAP: Tindakan ROS Dipersoal, DAP Sedia Guna Logo PAS dan PKR
- BN dalam Bahaya, Wanita UMNO Kecewa!
- [Gambar] UMNO dan Lembu Berpisah Tiada
Budak Tahun 6 Antara yang Dicekup Kerana Dadah Posted: 18 Apr 2013 07:00 AM PDT
[Bernama] KUANTAN: Seorang murid lelaki Tahun Enam antara 22 individu yang ditahan pihak polis dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Kuantan. Murid sekolah rendah itu ditahan bersama penagih lain di sebuah bengkel besi dekat Gudang Rasau di sini dalam operasi pukul 6 petang kelmarin. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata murid itu disahkan positif dadah jenis pil kuda. "Murid itu juga mengaku menghisap rokok sejak awal usia sembilan tahun," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis. Bengkel itu dipercayai menjadi tempat kanak-kanak itu dan penagih lain berkumpul bagi melepaskan gian, katanya. Katanya, kanak-kanak terbabit dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Baki 21 penagih lain berusia 20 hingga 30 tahun itu pula ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 12 (2)serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta memasukkan dadah dalam badan. | ||
[Video] BN akan Kalah di Selangor Kata Pemimpin MIC Posted: 18 Apr 2013 05:28 AM PDT [TMI] Barisan Nasional (BN) akan kalah di Selangor pada 5 Mei ini jika gabungan tersebut bertegas untuk meletakkan Datuk Zulkifli Noordin di Shah Alam, kata S Vell Paari dari MIC hari ini dalam kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel. Menurut pemimpin MIC itu, dengan meletakkan Zulkifli, BN berisiko untuk kehilangan undi India, yang beliau katakan akan menjadi faktor penentu di negeri seperti Selangor - kini diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR). Menurut SMS yang dihantar ke The Malaysian Insider dari sumber dalaman parti itu malam ini, Vell (gambar) mendesak Palanivel untuk menyampaikan kebimbangannya kepada Datuk Seri Najib Razak dan meminta tindakan dari pengerusi BN itu, memberi amaran "keadaan buruk" jika tiada tindakan diambil. "Kepada Datuk Seri G Palanival, Zulkifli Noordin sebagai calon di Shah Alam adalah penghinaan kepada orang Hindu di Malaysia. Di mana-mana orang emosi mengenai perkara ini," katanya dalam SMS tersebut yang turut dihantar kepada ahli jawatankuasa pusat MIC. Anak kepada bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu memberitahu terdapat 15,000 pengundi India di Shah Alam, 31,000 di Kota Raja, 21,000 di Kapar dan 17,000 di Subang, kebanyakkannya menurut beliau marah dengan pemilihan Zulkifli oleh Najib. "Kira boleh kehilangan hampir 50 peratus hingga 70 peratus undi India yang akan menyebabkan kekalahan calon MIC terutamanya di Selangor dan dengan pengundi India menjadi faktor penentu, ia boleh menyebabkan BN gagal untuk merampas Selangor," katanya dan memberi amaran sentimen tersebut turut merebak ke negeri lain. "Dato Seri kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan semua orang terlepas dengan memohon kemaafan selepas menghina agama dan komuniti. "Pemimpin kita di bawah terutamanya di Shah Alam telah didera secara lisan," katanya. Vell mengakhiri SMSnya dengan mengatakan beliau hanya memerhatikan secara tertib dengan memohon tindakan tentang pencalonan Zulkifli melalui rayuan kepada presiden parti. "Ini nasihat strategik saya sebagai seorang pengarah strategi," katanya. Vell kemudiannya mengesahkan kepada The Malaysian Insider beliau telah menghantar SMS tersebut. Apabila ditanya apakah beliau menerima cabaran DAP untuk meletakkan jawatan parti jika Zulkifli tidak digugurkan sebagai calon BN, pemimpin tersebut tidak memberikan jawapan "ya". "Saya juga boleh tanya soalan sama kepada DAP. Hari ini PSM mempunyai masalah dengan PR berhubung isu kerusi dan logo. PSM menyatakan 'PKR menggunakan faktor kaum untuk menafikan kerusi kami'. "Jadi apakah DAP akan keluar PR kerana penggunaan faktor kaum untuk menafikan kerusi kepada PSM oleh PR? katanya dalam satu SMS. Najib mengesahkan pencalonan Zulkifli di Shah Alam semasa mengumumkan senarai calon BN Selangor semalam, membenarkan penyandang kerusi Kulim Bandar Baharu untuk bertanding secara langsung di bawah tiket BN. Keputusan tersebut menyebabkan perdana menteri kerajaan sementara itu dikritik hebat, sebahagian besarnya disebabkan reputasi Zulkifli sebagai seorang Muslim berhaluan kanan, jawatannya sebagai naib presiden Perkasa dan kontroversi terbarunya mengenai penghinaan terhadap penganut Hindu. Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan "Keling", yang masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut Hindu. Zulkifli pernah menjadi salah seorang panel peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempersoalkan kesuciaan Sungai Ganges yang turut dikenali sebagai Ganga di India, dianggap suci oleh penganut Hindu. Zulkifli menjadi ahli parlimen bebas mesra BN selepas dipecat daripada PKR pada 6 Mac, 2010 disebabkan laporan polis yang dibuatnya kepada penyandang kerusi parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad. Calon Umno, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin kalah kepada Khalid pada 2008 dengan majoriti 9,314 undi. Pada 2004, beliau mengalahkan Khalid dengan majoriti 13,410 undi. | ||
PKR Dakwa Orang Kuat UMNO Selangor Terlibat Pengurupan Wang Haram Posted: 18 Apr 2013 05:21 AM PDT [Selangorku] PKR hari ini mendakwa calon BN Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed terlibat dalam salah laku pengurupan wang haram melibatkan dua ahli perniagaan dari Bangladesh. Menurut Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasiah, pada tahun 2000 Mohd Zin menubuhkan sebuah syarikat di Dakar Bangladesh bersama dua rakan kongsinya iaitu Sheikh Farid Ahmad yang dikenali sebagai Manik di Bangladesh dan Sheikh Riaz Ahmad. Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Mohd Zin mempunyai pegangan 49 peratus pegangan dan dikongsi bersama rakan di Malaysia, Mohamad Tahir Fazal Mohd dengan 24 peratus. Pada tahun 2004 Mohd Tahir membuat laporan terhadap Badan Pencegah Rasuah(BPR) tetapi dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa kes berkenaan tidak boleh diambil ekoran 'tidak mendapat lampu hijau dari pihak atasan'. "Kenyataan bersumpah menunjukkan 63 Cores of Taka (RM31 juta pada ketika itu) dihantar Farid kepada Mohd Zin bermula Ogos 2000 hingga 2004. "Kenyataan tersebut menyebut sebahagian dana berkenaan dihantar kepada Mohd Zin melalui Hundi (terma yang digunakan di Bangladesh berhubung pengurupan wang). "Ketika itu beliau merupakan Menteri Kerjaraya," katanya pada sidang media di Ibupejabat PKR. Kemudian pada 2007, Tahir membuat laporan kepada pihak berkuasa Dakar. Farid ditahan pada 27 Julai 2007 serta disiasat akhirnya beliau didapati mempunyai hubung kait dengan kes berkenaan. Farid dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun. "Fakta ini menunjukkan Mohd Zin diketahui sebagai penerima wang berkenaan sebanyak RM31 juta. "Saya merujuk akuan bersumpah berkenaan. Farid dijatuhkan hukuman di Bangladesh sementara Mohd Zin masih bebas," tambah Sivarasa. Dakwanya lagi, Mohd Zin turut memainkan peranan supaya Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) melantik mereka (Silkways Cargo Services Ltd) sebagai agen dalam menguruskan semua urusan tiket dan kargo. "Saya minta SPRM menjelaskan bagaimana Mohd Zin dianggap sebagai 'calon bersih' untuk bertanding dalam PRU-13 sedangkan dikaitkan dengan perkara ini," ujar beliau lagi. Sehubungan itu, Sivarasa akan membuat laporan polis di Balai Polis Tropicana esok agar siasatan dapat dilakukan oleh polis dan SPRM. | ||
Tidak Iktiraf CEC DAP: Tindakan ROS Dipersoal, DAP Sedia Guna Logo PAS dan PKR Posted: 18 Apr 2013 04:56 AM PDT [HD] KUALA LUMPUR: DAP hari ini mendakwa, Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertujuan menyusahkan parti itu apabila memutuskan barisan kepimpinannya tidak sah 48 jam sebelum hari penamaan calon. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya berkata, surat yang diberikan kepada beliau dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke pada tarikh yang sama juga berbeza. Dalam surat kepada Guan Eng, ROS menyatakan wujud pertikaian berhubung pemegang jawatan dalam parti itu namun surat kepada Anthony menyatakan siasatan dakwaan itu ditangguhkan ke tarikh 9 Mei. Guan Eng mempertikai tindakan ROS yang mengeluarkan surat tersebut sebelum siasatan selesai dilakukan. Guan Eng berkata demikian dalam sidang mediannya hari ini selepas menerima surat dari ROS petang semalam. Turut serta dalam sidang media ini adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail. "Tujuan utama mereka tak iktiraf pimpinan DAP kerana nak nafikan hak kami untuk bertanding menggunakan lambang sendiri," kata Guan Eng. Sehubungan itu, DAP akan bermesyuarat malam ini untuk menimbangkan keputusan menggunakan lambang PAS di Semenanjung Malaysia dan lambang PKR di Sabah dan Sarawak. PAS PKR SEDIA BENAR Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut berada dalam sidang media sama menyatakan kesediaan untuk membenarkan DAP menggunakan lambang PAS. "Perkara ini telah dibincangkan beberapa minggu sebelum ini dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tak ada masalah dengan perkara ini, " katanya. Nada yang sama turut disuarakan Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution yang menyifatkan tindakan ROS itu sebagai cara untuk meletakkan DAP dalam kesukaran. "48 jam sebelum penamaan calon, sepatutnya kami tidak berada dalam sidang media ini. Kami harus membuat persiapan terakhir untuk penamaan calon tapi kerana tindakan ROS, kami terpaksa buat mesyuarat tergempar. "Atas semangat kekitaan, PKR bersedia memberi laluan kepada DAP di Sabah dan Sarawak untuk guna lambang PKR," katanya. Berita Berkaitan: Pengerusi SPR kata DAP masih boleh bertanding [MK] DAP masih boleh mengemukakan calon seperti biasa pada hari penamaan calon tanpa mengira keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menggantung jawatankuasa pusat parti itu. Ini telah disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff. "Tidak affect bolih bertanding," kata Abdul Aziz kepadaMalaysiakini dalam jawapannya melalui SMS. ROS telah memaklumkan kepada DAP bahawa ia tidak mengiktiraf barisan baru jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu yang dipilih akhir tahun lalu ekoran kesilapan teknikal dalam penjadualan (tabulation) undi. Berikutan itu, ROS telah mengarahkan jawatankuasa pusat parti itu dibekukan sehingga siasatan selesai. Satu salinan surat ROS kepada DAP telah dihantar kepada SPR. | ||
BN dalam Bahaya, Wanita UMNO Kecewa! Posted: 18 Apr 2013 04:46 AM PDT [SH] SHAH ALAM – Tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengecewakan dan dianggap penghinaan kepada wanita, kata Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim. Menurutnya, ia menunjukkan BN tidak beri pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin wanita yang berada dalam hierarki tertinggi organisasi wanita untuk bersama-sama saf kepimpinan parti bertanding pada PRU13. Beliau, yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, beliau sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita Umno dan BN sepatutnya diberikan peluang bertanding di Parlimen supaya dapat terlibat sebagai pembuat dasar dan keputusan politik. "Tindakan kepimpinan BN memeranjatkan saya dan wanita lain. Saya kecewa kerana tidak ada pengiktirafan sewajarnya diberi kepada pemimpin Wanita Umno dan BN yang mewakili seluruh wanita Umno dan BN," katanya kepada Sinar Harian. Kamilia berkata, beberapa ketua Wanita Umno negeri tidak diberikan tempat dalam PRU13, antaranya di Kedah, Johor dan Terengganu, termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. "Kami banyak berjasa, tetapi tidak diberikan tempat. Adakah kepimpinan tertinggi tidak mengiktiraf kelayakan yang kami ada. Kebanyakan kami golongan profesional," katanya. "Pucuk pimpinan parti jangan menganggap wanita tidak kisah dengan pencalonan yang diumumkan baru-baru ini. Jangan ingat wanita tidak ada perasaan," katanya. Kamilia, seorang peguam, berkata, hakikatnya, wanita membuat kerja bersungguh-sungguh untuk membantu parti sejak tiga tahun lalu. Beliau, bagaimanapun berkata akan 'berjuang habis-habisan' walaupun tidak terpilih di saat akhir. "Jika permintaan tidak diberi, wanita mempunyai pelbagai pilihan lain kerana perjuangan saya berpandukan negara, agama dan bangsa. Sekiranya pintu tidak dibuka kepada saya, saya akan perjuangkan di tempat lain. "Pintu ditutup, mungkin ada pintu lain sama ada saya akan pecahkan atau membuat sendiri. Saya mungkin pertimbangkan pilihan lain kerana perjuangan saya tidak perlu berakhir di tahap ini sahaja," katanya. Beliau juga tidak menafikan, rata-rata wanita di seluruh negara mempersoalkan calon-calon yang ditampilkan. "Saya akan mencabar sehingga ke akhir untuk membantah kerana saya merasakan ini tidak adil. Selama ini saya bersabar, saya berjuang bersama-sama selama enam penggal dan melalui enam kali pilihan raya. "Tunggu dan lihat, Saya tidak mengugut, tetapi saya menunggu keputusan parti. "Saya ada perjuangan dan tidak akan berputus asa. Dunia ini luas, mesti teruskan perjuangan demi bangsa, agama dan negara. Terpulang apa yang akan ditafsirkan," katanya ketika ditanya adakah beliau akan menjadi calon Bebas sekiranya tidak dicalonkan oleh BN dalam PRU13. Kamilia disebut-sebut untuk bertanding di Parlimen Kuala Kangsar, tetapi pada Selasa lepas, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Adun Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad bertanding untuk Parlimen tersebut. | ||
[Gambar] UMNO dan Lembu Berpisah Tiada Posted: 17 Apr 2013 05:00 PM PDT |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan