Selasa, 12 Mac 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


Mengapa jadi begini?

Posted: 11 Mar 2013 09:41 PM PDT

Apabila kita memutar siaran radio, atau sedang menonton televisyen; kita kadang-kadang akan terdengar dan tertonton slot kempen 'ucapkan terima kasih', 'kempen berbudi bahasa', 'masyarakat penyayang', 'kempen senyum'. Terfikirkah anda mengapa ini berlaku?

Tolak sentimen politik kepartaian. Abaikan slot 'kempen mengenang budi', 'bersyukur' atau lagu-lagu membodek; itu propaganda. Yang saya maksudkan ialah tip-tip, nasihat atau kempen seperti mata pelajaran Moral yang diajarkan di sekolah. Di stesen radio pun ada masanya diajarkan tips untuk berhadapan dengan orang awam atau bagaimana nak berkomunikasi ketika berurusan.

Semua benda di atas ini jika kita renungkan dalam-dalam ia adalah lambang gagalnya Falsafah Pendidikan Nasional (dahulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara). Apakah yang digariskan di dalam Falsafah Pendidikan Nasional (FPN)? Bahawa objektif pengajaran dan pembelajaran di sekolah adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Bukan sekadar cemerlang mendapat A (bukan Hepatitis A) di dalam mata pelajaran tetapi sihat dan waras dari sudut Intelligent Quality (IQ) dan Emotion Quality (EQ).

Sekolah kita berorientasikan peperiksaan (exam oriented). Apa cara pun sama ada kita meniru atau plagiat, jika tidak tertangkap, itu tidak penting. Yang penting sijil kita A. Sekolah telah terlalu mengejar angka dan statistik, gurunya robot yang mesti menghabiskan sukatan sementara sukatan pelajaran yang disediakan Kementerian Pelajaran adalah untuk memastikan produk sekolah kekal bangang walaupun banyak A.

Sekolah atau lebih tepatnya sistem pendidikan yang baik harus sifatnya mendidik, mengajar manusia menjadi insan. Ajarkan tentang moral, kesedaran dan tanggungjawab terhadap Pencipta, sesama insan dan persekitaran. Ajarkan manusia berkomunikasi dengan baik dengan faktor-faktor tadi.

Maka itu tidak adalah insan yang curi parkir Orang Kelainan Upaya, memotong barisan ketika kesesakan lalu lintas, merokok dengan bebas sehingga mengganggu orang lain dan sebagainya. Amat malu jika masalah nak ucap terima kasih pun perlu dikempenkan, masyarakat penyayang harus didendangkan. Ia seperti tidak selesai lagi di peringkat asasnya.

Sistem pendidikan kita telah gagal! Ia perlu dikaji semula. Sangat perlu. Ada beberapa negara mengamalkan sistem yang baik sukatan pelajarannya seperti mengajar tentang kesedaran am. Ini perlu kita pelajari. Supaya kesedaran ditanam awal-awal dan dapat disemai secara semulajadi dan bukan dibuat-buat; agar peluang untuk kroni pembodek mengambil kesempatan mencari projek membikin kempen moral sambil tersenyum mengira untung.

Tiada ulasan: