DUNIACACAMARBA |
- [Terkini] Senarai 6 Anggota Polis yang Terkorban di Kampung Sri Jaya Simunul, Sumber Tidak Rasmi
- 8 Orang Anggota Polis Terbunuh Setakat Ini, Tiada yang Dipenggal Kepala
- [Video Wajib Tonton] Penjelasan Anwar Ibrahim tentang Usaha Kerajaan, Media, dan Blog UMNO Kaitkannya dengan Pencerobohan Lanun Sulu
- Empat Pegawai Malaysia Ditawan, Mayat Anggota Polis Masih Belum Dibawa Keluar
- Orang Mula Percaya Ceroboh Sabah Suatu Konspirasi Apabila...
- Anwar Akan Saman Fitnah Utusan dan TV3 Kaitkannya dengan Lanun Sulu
- Lebih Banyak Penceroboh Mendarat di Sabah, Penduduk Melarikan Diri, Polis Kawal Ketat
- Bangkang dari Longkang PERSENDA Isu Rumah Urut di Selangor
- [Video] Nabil Bangkang dari Longkang Persenda Dasar Pendidikan Percuma PR
- [Video] “Are you ready for Anwar?” Apa Jawapan Rakyat?....
[Terkini] Senarai 6 Anggota Polis yang Terkorban di Kampung Sri Jaya Simunul, Sumber Tidak Rasmi Posted: 03 Mar 2013 07:57 AM PST | ||
8 Orang Anggota Polis Terbunuh Setakat Ini, Tiada yang Dipenggal Kepala Posted: 03 Mar 2013 06:45 AM PST Sekitar pukul 10.05 malam tadi, KPN mengesahkan seorang lagi anggota polis terbunuh menjadikan jumlah anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul meningkat kepada 6 orang. Jumlah keseluruhan anggota polis yang terbunuh di tangan lanun Sulu setakat ini ialah 8 orang. Hal ini dimaklumkan kepada orang ramai dalam sidang media yang disiarkan oleh TV3. -DCM Kemas Kini: 6 Polis Maut, 6 Anggota Kumpulan Bersenjata Terbunuh [Bernama] LAHAD DATU - Seorang lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam, menjadikan jumlah terkini anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut kepada enam orang. Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, enam anggota kumpulan bersenjata itu juga terbunuh dalam kejadian pukul 8 malam di perkampungan atas air itu. Dalam operasi 'menyelamat' yang dilancarkan hari ini dan berakhir kira-kira 7 malam, Ismail berkata, polis turut berjaya mengeluarkan 19 anggota polis dengan selamat dari Kampung Sri Jaya Simunul itu. Pada sidang media kira-kira 9 malam tadu di Felda Sahabat, Kampung Tanduo di sini, Ismail berkata enam mayat anggota polis yang terkorban itu dihantar ke Hospital Semporna. "Identiti mangsa akan dimaklumkan kepada anggota keluarga terlebih dahulu sebelum dipaparkan di laman web rasmi PDRM," katanya. Pada sidang media terdahulu hari ini, Ismail mengumumkan lima anggota polis terkorban dalam insiden itu manakala dua anggota kumpulan itu terbunuh. Pada sidang media sebelum ini, beliau berkata kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu. Ismail juga memberitahu sidang media terdahulu itu bahawa anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri. Pada sidang media malam ini, Ismail menafikan terdapat insiden anggota polis yang didakwa menjadi tebusan kumpulan bersenjata itu dipenggal kepalanya. "Itu hanya khabar angin dan saya minta orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang khabar angin," katanya. Beliau memaklumkan keadaan di kampung berkenaan kini kembali seperti biasa. | ||
Posted: 03 Mar 2013 04:30 AM PST Anwar jelas menyatakan bahawa beliau menunggu tuduhan yang nyata dan beliau dan barisan peguam akan mengambil tindakan saman terhadap pihak yang memfitnahnya. Media dan blogger UMNO, bersiap siagalah! Kenyataan terbaru Anwar dan Wan Azizzah di sini. P/s: Sebarkan, kongsikan kiriman ini di laman sosial! Kemas Kini: Laporan semula SH berkaitan dengan video di atas. [SH] SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beberapa pihak termasuk pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengaitkan beliau dengan insiden pencerobohan sekumpulan rakyat Filipina ke atas Lahad Datu, Sabah sejak awal bulan lalu. Katanya, meskipun beliau mengenali beberapa pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), ia tidak bermaksud bersengkongkol menimbulkan huru-hara dalam negara, jauh sekali untuk menjemput mereka membuat onak dan menceroboh kawasan perairan negara untuk menuntut kembali Sabah. "Kalau tanya saya apakah kenal dengan tokoh-tokoh, pemimpin-pemimpin pejuang Islam atau militan Islam di Filipina? Saya kenal, DS Najib menemui mereka, dalam pemerintahan dulu kita menemui untuk membuat rundingan. "...Nur Misuari yang sekarang ketua MILF itu pernah menjadi gabenor Mindanau, dan saya diminta membuat lawatan, jadi saya menemui beliau, kenal beliau tidak timbul. "...sama juga Jeneral Murad, sekarang mengetuai kumpulan MILF yang berunding dengan pemerintah Filipina, Datuk Seri Najib sendiri dan Kerajaan Malaysia untuk melakukan rundingan dan pendamaian di Selatan Filipina," katanya dalam satu rakaman temu bual bersama Tv Selangor, hari ini. Anwar juga menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat yang mahu mengalih pandangan rakyat daripada kelemahan dan kezaliman kerajaan kerana gagal mengatasi isu keselamatan terbabit. "Saya dikaitkan dengan perkembangan terbaru ini (pencerobohan Lahad Datu), ia hanya suatu cara pimpinan Umno berdalih mengelak daripada dipersoalkan oleh rakyat mengapa mereka gagal," tegasnya. "... ia menunjukkan kelemahan kita, blog Umno mengatakan, ini satu lagi kerja Anwar, dengan kelompok ekstremis Islam pun Anwar, dengan Israel pun Anwar, dengan Amerika pun Anwar dengan India Hindu pun Anwar, dengan Cina pun Anwar," tegasnya. Susulan tuduhan tidak berasas itu, Anwar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya pimpinan Umon dan BN masih berdegil dan terus mengaitkan beliau dengan pencerobohan itu yang telah meragut tujuh nyawa anggota polis tempatan sehingga hari ini. "Saya hanya menunggu tuduhan yang nyata dan saya akan ambil tindakan setelah berbicara dengan barisan peguam insya-ALLAH," tegasnya. Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan sikap kerajaan yang lambat mengambil tindakan terhadap sekumpulan penceroboh asing yang telah menawan sebahagian wilayah Lahad Datu dan kini merebak ke bahagian Semporna. Malah beliau menegaskan isu terbabit tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia melibatkan keselamatan negara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi mengelakkan ia berulang lagi pada masa depan. "Agak aneh apabila Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan begitu lambat sekali memberikan reaksi seolah-olah wilayah Lahad Datu, Sabah itu boleh dikepong oleh tentera asing atau kelompok asing dan kita tak berupaya berbuat apa-apa. "...kita tidak boleh tolak ansur dengan mainan politik licik yang dimainkan oleh pimpinan Umno dalam hal ini, mereka gagal mengawal keamanan, mereka gagal menyelesaikan isu ini dengan baik dan hanya mampu menyindir," katanya. | ||
Empat Pegawai Malaysia Ditawan, Mayat Anggota Polis Masih Belum Dibawa Keluar Posted: 03 Mar 2013 03:34 AM PST [TMI] KUALA LUMPUR— Empat pegawai Malaysia didakwa telah tawan oleh Militan Muslim Filipina yang menuntut Sabah, lapor stesen radio Filipina hari ini. Sejam sebelum itu, pihak berkuasa Malaysia mengatakan mereka telah menawan tiga penceroboh militan Filipina itu diikuti dengan pertempuran di tiga lokasi di negeri Borneo itu yang menyebabkan kematian lima anggota polis dan dua suspek militan. Militan yang mendakwa mereka sebagai Tentera Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III, berkata kepada pemberita di Bandar Taguig, lapor syesen radio Filipina dzBB Divine Caraecle. Jamalul dipetik sebagai berkata dia tidak mengarahkan serangan terhadap pihak berkuasa Malaysia dan menegaskan pengikutnya juga diarahkan untuk menghormati hak rakyat Malaysia yang ditawan itu. Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar) sebelum ini dilaporkan berkata berlaku tiga insiden di tiga lokasi berlainan iaitu penahanan tiga anggota penceroboh yang cuba keluar dari kawasan kepungan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, lima anggota polis mati ditembak di Kampung Seri Jaya Simunul di Semporna dan laporan pencerobohan 10 lelaki di Kampung Lumalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak. "Saya juga telah memanggil Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin untuk mengukuhkan kedudukan dengan mengambil kira apa yang berlaku di tiga lokasi itu," katanya pada sidang akhbar di Residental Felda Sahabat kira-kira 130 kilometer dari sini. "Mereka juga dalam keadaan bersedia untuk tindakan selanjutnya." Ismail turut meminta orang ramai agar jangan mempercayai khabar angin dan berita yang tidak disahkan oleh polis tentang apa yang berlaku di negeri ini. Beliau berkata orang ramai tidak perlu membuat andaian melainkan disahkan pihak berkuasa terutama jika berdasarkan laporan di media sosial dan komunikasi lain. Ismail sekali lagi menegaskan bahawa sehingga hari ini polis tidak pernah mengeluarkan perintah berkurung kepada penduduk di negeri ini. Zulkifeli yang turut hadir dalam sidang media itu berkata bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka, dua lagi batalion tambahan tentera dihantar hari ini dan ditempatkan di beberapa kawasan di kawasan pantai timur negeri itu. Berkaitan: Polis Masih Cuba Bawa Keluar Anggota yang Gugur [MK] Pasukan keselamatan Malaysia masih belum berjaya membawa keluar kesemua lima mayat anggotanya yang menjadi korban kumpulan bersenjata dalam kejadian pada malam semalam di Semporna. Ketua polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pertentangan di antara pasukan keselamatan kita dengan kumpulan bersenjata tersebut, dianggarkan kurang dari 10 orang, masih berlarutan di Kampung Sri Jaya Simunul. Katanya, polis menjalankan usaha untuk membawa keluar mayat berkenaan daripada perkampungan yang terdiri daripada rangkaian rumah di atas air itu. Bercakap dalam sidang media di Lahad Datu hari ini, beliau berkata operasi tersebut berbahaya jika dilakukan pada waktu malam. Hamzah ketika diminta menjelaskan berkata, sebahagian daripada mayat berkenaan telah dikeluarkan namun beliau enggan mendedahkan jumlahnya. Ditanya sekiranya penduduk kampung itu juga terkorban, Hamzah berkata beliau tidak dapat memastikan perkara itu. Tambahnya, polis juga hanya akan dapat memastikan keadaan mayat anggota berkenaan selepas bedah siasat. Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar pagi ini berkata lima anggota polis terbunuh akibat serang hendap selepas memasuki kampung berkenaan susulan dakwaan terdapat individu membawa senjata di kampung tersebut. Hamzah berkata polis sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata tersebut baru tiba atau sudah lama menetap di situ. P/s: Macam-macam persoalan yang boleh kita bangkitkan daripada berita di atas. TM sudah letih menaip. | ||
Orang Mula Percaya Ceroboh Sabah Suatu Konspirasi Apabila... Posted: 03 Mar 2013 12:00 AM PST Baca Laporan Bernama: Ceroboh Sabah: Najib Arah Siasat Dakwaan Pemimpin Pembangkang Terlibat [Bernama] KANGAR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa terutama pihak risikan menyiasat dakwaan bahawa ada pemimpin pembangkang terlibat dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. Katanya dakwaan itu suatu perkara yang serius tetapi dakwaan itu memerlukan bukti kukuh bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu. Beliau juga hairan kenapa kumpulan itu datang ke Sabah ketika ini semasa negara sedang hampir untuk mengadakan pilihan raya umum sedangkan tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah sudah lama dibuat. "Semua pihak kena siasat. Filipina, Presiden Aquino pun nak tahu apa sebenarnya. Perkara ini satu embarrassment (penghinaan) yang besar kepada kerajaan Filipina. "Mereka tak reda warga mereka terlibat dengan pencerobohan, mengganas, guna senjata dan bunuh orang kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh, dekat sini hari ini. Baca pula laporan MK: SPR Sabah: Tak timbul Soal Tangguh P'raya [MK] Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah, Datuk Idrus Ismail berkata suruhanjaya itu akan membuat keputusan berhubung penangguhan pilihan raya "apabila tiba masanya" jika darurat terpaksa diisytiharkan di negeri itu. "Kita akan putuskan apabila tiba masanya. Marilah kita (bersikap) positif dan berdoa agar (kejadian pertempuran melibatkan penceroboh asing) akan tamat secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pilihan raya boleh ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan selepas parlimen dibubarkan. Idrus diminta menjelaskan perkara itu susulan serangan demi serangan oleh penceroboh bersenjata di kawasan pantai timur Sabah. Katanya, pilihan raya tersebut tetap perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas parlimen dibubarkan. "Tidak timbul sebarang penangguhan kalau perdana menteri sudah bubar parlimen. Ikut undang-undang, pilihan raya umum mesti diadakan dalam 60 hari," katanya. Beliau juga menyerahkan isu berkenaan untuk diputuskan pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof. Abdul Aziz pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau perlu mengkaji peruntukan undang-undang sebelum dapat memberi kenyataan berhubung soal berkenaan. "Biar saya kaji dulu dengan teliti semua undang-undang yang berkaitan sebelum menjawab soalan-soalan," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini. Beliau ditanya demikian hari ini susulan serang hendap oleh satu pasukan bersenjata ke atas sepasukan anggota polis kita di Semporna, Sabah dalam kejadian pada malam tadi.... P/s: TM bukanlah peminat tegar Anwar Ibrahim. Namun, usaha mengaitkan tokoh PR ini dengan pelbagai macam kejahatan dan perkara negatif amat melucukan. Beliaulah ejen Cina, ejen India, ejen Yahudi, ejen AS, ejen IMF, ejen LGBT, ejen maksiat, pengkhianat negara, dalang di balik kejadian amuk di Putrajaya, dan sekarang dikaitkan pula dengan pencerobohan lanun Sulu. Isu fundamentalnya ialah sempadan negara longgar hingga mengancam rakyat di Sabah. Rakyat asing bebas keluar masuk walaupun negara ini dikatakan memiliki kelengkapan tentera yang hebat. Kita ada radar, kapal selam, kapal peronda dan segala macam kelengkapan yang didakwa hebat. Tanggapan itu jika pencerobohan ini tiada agenda tersembunyi. Bagaimana jika isu pencerobohan ini ada agenda tersembunyi? Selain isu keselamatan yang longgar, isu kebanjiran pendatang asing di Sabah bukan lagi rahsia. Malah ada yang mendakwa pendatang asing di sana sudah mencecah satu juta orang. Sebahagiannya pula diberi kad pengenalan untuk mengundi parti pemerintah. Hal ini didedahkan di sini. Rakyat bukan bodoh dan mudah diperkotak-katikkan dengan lontaran tuduhan yang sukar diterima akal. Cuba baca komen pembaca sinar di sini. Logiknya, PM sepatutnya menyiasat bagaimana penceroboh itu masuk secara beramai-ramai ke Sabah dengan mudah, apakah sistem risikan dan keselamatan kita gagal, mengapa kawasan penceroboh dikepung tetapi tiada tindakan diambil untuk menangkap atau menghapuskan mereka, mengapa membiarkan penceroboh berada di Sabah sejak 9 Februari, mengapa tindakan dan strategi keselamatan kita amat lemah sehingga mengorbankan anggota polis, mengapakah pasukan polis boleh terpedaya dengan taktik perang gerila lanun Sulu...dll! Jika benar pencerobohan lanun Sulu ini tiada kaitan dengan konspirasi dan seumpamanya, wajarkah seorang PM menggunakan isu ini sebagai modal untuk menagih undi dalam pilihan raya akan datang. Bukan Anwar yang dipertanggungjawabkan sebagai PM tatkala negara diserang lanun Sulu, bukan Anwar yang memegang tanggungjawab mengarahkan pasukan keselamatan mengawal dan menjaga sempadan negara, bukan Anwar yang merencanakan projek IC yang kini mengancam kesejahteraan orang Sabah. Sabah sedang bergolak, di mana PM kita sekarang? Berkempen? Sibuk dengan BR1M? Sibuk memanipulasi kenyataan Tian Chua? | ||
Anwar Akan Saman Fitnah Utusan dan TV3 Kaitkannya dengan Lanun Sulu Posted: 03 Mar 2013 12:00 AM PST [KD] PERMATANG PAUH 3 Mac: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada Umno BN agar tidak mengheret beliau dalam isu di Lahad Datu, Sabah. Malah kata Anwar, sesiapa saja yang memfitnah dengan membabitkan namanya dalam isu pencerobohan tentera 'Sultan Sulu', di Lahad Datu akan berdepan tindakan undang-undang. "Saya akan saman Utusan (Malaysia) sekali lagi minggu depan kerana cuba memfitnah dengan mengheret saya dalam isu pencerobohan di Lahad Datu," katanya ketika berucap di hadapan hampir 5000 hadirin di tapak parkir, Pasar Tenggiri, Seberang Jaya semalam. Beliau juga mempertikaikan bagaimana pencerobohan perairan negara boleh bolos hingga memberi ruang kepada musuh mengancam keselamatan negara. "Ini membuktikan betapa lemahnya pertahanan serta kepimpinan negara hingga pencerobohan yang menggugat keselamatan negara boleh berlaku sejak tiga minggu yang lalu. "Sebagai rakyat Malaysia, saya tetap mahu kedaulatan negara serta bumi Malaysia dipertahankan," ujarnya serius. Anwar juga menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana tidak memberi peluang kepadanya menjawab segala tuduhan membabitkan pencerobohan Lahad Datu. Ia juga mencabar Najib supaya tidak menjadi pengecut dengan berselindung di sebalik media arus perdana, tanpa memberi ruang yang sama kepadanya untuk membalas kritikan. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Lt.Jeneral(B)Datuk Abdul Ghafir Abd Hamid dan pimpinan PR Pulau Pinang. Dakwaan Anwar Terlibat Tuduhan Liar - Wan Azizah [SH] KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'mendalangi' pencerobohan ke atas Lahad Datu, satu tuduhan liar dan tidak berasas, kata Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau menafikan laporan yang dikeluarkan oleh media antarabangsa itu apatah lagi apabila timbul isu terdapat pihak wartawan yang dibayar bagi mewujudkan perkara berkenaan. Menurutnya, apa yang dilaporkan media tempatan juga dengan secara jelas menyebut nama suaminya itu sebagai orang bertanggungjawab, adalah sama sekali tidak wajar. "Saya baca laporan, tidak ada sebut nama dan tidak ada apa-apa kaitan yang dikatakan dengan Anwar. "Laporan itu hanya menyatakan pembangkang, di Sabah ada beberapa pembangkang seperti The Star dan lain-lain. Jadi saya boleh katakan ia tidak menunjukkan kaitan dengan Anwar," katanya ditemui pada Program Nasihat dan Rawatan secara percuma anjuran Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Apartmen Pantai Indah Fasa 2, Pantai Dalam di sini, hari ini. Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula berkata, pihaknya bukan sekadar menafikan perkara yang ditimbulkan itu, namun tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah tersebut. Katanya, beliau tidak terkejut apabila perkara itu ditimbulkan kerana sebelum ini telah wujud penemuan bahawa seorang wartawan dibayar oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menulis berita-berita anti-Anwar. "Pada saya tidaklah menghairankan suara-suara untuk menyerang, yang penting kita bukan sahaja menafikan tetapi tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman kerana ini merupakan dakwaan yang terlalu berat, berkait soal keselamatan negara yang mengorbankan nyawa pejuang, rakyat kita. "Jadi pada saya perkara ini tidak lagi boleh dikompromi. yang kita minta adalah penjelasan terbuka apa sebenarnya yang berlaku sehingga memungkinkan kes serangan di Semporna malam semalam," katanya yang juga Naib Presiden PKR. Tambahnya, apa yang perlu ditumpukan kini adalah jaminan keselamatan negara termasuk memastikan perairan tidak dibolosi. "Saya minta kerajaan BN melihat dengan serius, gesaan ini bukan dari pakatan tetapi dari rakyat malaysia, bukan isu politik," katanya yang dalam masa sama akan meneliti dakwaan-dakwaan lain melibatkan Anwar untuk tindakan undang-undang yang bakal diambil. P/s: Saman sampai terbarai! Berkaitan: Tian Chua: Kenyataan saya disalah tafsir [SH] SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa kenyataannya yang mengaitkan insiden di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara Umno telah disalah faham. Menurutnya, kenyataan beliau yang disiarkan portal rasmi PKR itu langsung tidak merujuk kepada peristiwa penembakan yang mengorbankan dua anggota keselamatan negara. Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan tersebut dibuat sebelum berlakunya kejadian yang membabitkan pertempuran antara pihak keselamatan negara dengan penceroboh dari selatan Filipina. "Saya mengatakan ia sandiwara Umno kerana mereka sering mengaitkan pembangkang di sebalik insiden di Lahad Datu. Sedangkan, kerajaan sendiri asyik berdolak-dalik mengenai situasi sebenar di sana. "Secara kebetulan kenyataan saya itu disiarkan pada hari sama dengan kejadian penembakan tersebut. Lalu menyebabkan ramai yang tersalah tafsir kenyataan saya dan mengaitkannya dengan insiden yang meragut nyawa itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, beliau tidak sesekali mempersoalkan pengorbanan anggota keselamatan yang terlibat dalam pertempuran di Lahad Datu, kelmarin. "Saya berasa simpati dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban," katanya. PKR Cabar Dakwaan Kaitkan Anwar dengan Pencerobohan [TMI] KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pembangkang mencabar dakwaan daripada media antarabangsa yang mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, dan menegaskan laporan berkenaan telah di putar belit untuk mengalihkan fokus daripada kegagalan kerajaan menangani insiden berkenaan. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang dihubungi The Malaysian Insider semalam berkata laporan media antarabangsa seperti Reuters dan portal Filipina The Philipine Inquirer yang melaporkan sumber risikan Filipina mendakwa seorang pemimpin yang rapat dengan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan penceroboh bersenjata terbabit di Sabah bukanlah perkara mengejutkan. "Saya tidak terkejut kalau ada pihak luar digunakan untuk memburukkan Anwar," katanya kepada The Malaysian Insider. "Ini semua tuduhan yang tidak berasas dan cuba mengalihkan pandangan dari isu sebenar ... kita minta jangan alihkan pandangan rakyat, bagaimana keselamatan lautan dan wilayah kita boleh dicerobohi," tegasnya, dan menuntut jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara (KPN). Jelas ahli Parlimen Gombak itu lagi, setiap tuduhan yang dibuat juga perlu dikemukakan dengan bukti. "Siapa yang buat tuduhan kepada Anwar perlu kemuka bukti ... bukti kukuh perlu ada sebelum buat tuduhan," tegasnya, dan menambah, "ini memang kerja Umno, padamkan fakta dan mengalih perhatian rakyat." Portal Philipine Inquirer sebelum ini melaporkan seorang pemimpin utama pakatan pembangkang di Sabah yang rapat dengan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan penceroboh bersenjata terbabit di Sabah. Portal berkenaan turut melaporkan dipetik sumber risikan kerajaan Filipina, pertemuan berkenaan yang berlangsung pada November tahun lalu menyebabkan Sultan Sulu Jamalul Kiram III mengarahkan pengikutnya menceroboh Kampung Tanduo, lokasi penceroboh yang mendakwa mereka adalah Tentera Kesultanan Sulu berkubu. Reuters juga pada 14 Februari lalu memetik kenyataan seorang pegawai tentera Filipina mendakwa pencerobohan tersebut berlaku atas jemputan pembangkang negara ini Pertempuran kemudiannya tercetus Jumaat lalu selepas tiga minggu penceroboh berkenaan berkubu di sana dengan pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka dikatakan melepaskan tembakan ke arah pasukan polis. Insiden tembak menembak yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu turut menyaksikan dua anggota pasukan polis terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka diserang menggunakan mortar. Azmin turut berkata, tuduhan yang dikeluarkan terhadap Anwar itu juga bertujuan untuk melemahkan sokongan terhadap PR yang mana jelasnya mempunyai sokongan yang semakin kuat daripada rakyat Sabah. "Rakyat Sabah telah bangkit dan memberi dokongan kuat kepada PR, maka tuduhan seperti ini cuba melemahkan sokongan mereka. "Usaha ini dibuat Umno dalam pelbagai cara, dulu kita tahu Umno gunakan pihak luar dari AS (Amerika Syarikat) untuk memburukkan Anwar," katanya lagi Sementara itu, pegawai khas kepada Anwar, Najwan Halimi yang dihubungi The Malaysian Insider memaklumkan, ketua pembangkang itu telah mengarahkan peguamnya, Latheefa Koya untuk meneliti laporan media berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya. "Datuk Seri Anwar telah memaklumkan kepada peguamnya untuk mengkaji kenyataan itu ... sekiranya ada tindakan susulan, kita akan maklumkan," katanya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan Malaysia tidak akan berlembut dengan penceroboh bersenjata dari Filipina itu lagi kerana mereka telah melakukan kesalahan jenayah yang besar dengan menceroboh negara ini dan membunuh dua anggota polis daripada pasukan komando polis. Beliau juga menegaskan Malaysia tidak akan berunding untuk kali kedua dengan penceroboh berkenaan. "Kerajaan ambil pendirian, masa untuk mempertimbangkan permintaan kumpulan tersebut telah berakhir. "Kita bertegas dalam hal ini kerana apa yang mereka lakukan jenayah yang amat serius ... mereka ceroboh dan bunuh anggota polis, serta mencederakan anggota keselamatan kita ... mereka hanya ada dua pilihan, serah diri atau terima tindakan daripada pihak keselamatan," tegasnya. Inspektor Zulkifli Mamat, 29 dan Koperal Sabaruddin Daud, 46, terbunuh dalam pertempuran di Lahad Datu akibat serangan mortar. Manakala 10 anggota penceroboh berkenaan turut dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut. Dianggarkan 180 pemberontak Filipina, termasuk 30 lelaki bersenjata menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu dan enggan beredar, walaupun telah diarahkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Filipina. | ||
Lebih Banyak Penceroboh Mendarat di Sabah, Penduduk Melarikan Diri, Polis Kawal Ketat Posted: 02 Mar 2013 11:10 PM PST 5 Anggota Polis Terbunuh [SH] LAHAD DATU - Seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh. Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid. Ismail berkata, anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri. P/s: Sudah 7 anggota polis terbunuh. PM dan Menteri KDN masih bangga dengan jawatan masing-masing! Kata blogger Aspan, Malaysia tidak pernah ada kerajaan selemah sekarang. Tidak pernah lagi kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang paling 'controversial' dalam sejarah negara seperti yang kita ada sekarang. Tidak juga mengalami keadaan parti pemerintah yang paling lemah dan paling mahal untuk dikekalkan. Pak Lah yang dikatakan lembab pun tidak menghadapi situasi begini. Sudah banyak anggota polis terbunuh, Najib Tun Razak hanya memberikan kata dua kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, sama ada menyerah diri atau berdepan sebarang tindakan yang akan diambil pihak berkuasa Malaysia. Bangunlah daripada tidurlah!!!!!! Keselamatan negara longgar, perairan negara mudah diblosi lanun, demi undi rakyat asing diberi IC sehingga mengancam keselamatan negara! Adakah Menteri KDN masih berpegang pada kenyataan ini? Kemas Kini IGP: Lebih Banyak Penceroboh Mendarat di Sabah [MK] Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata lebih ramai kumpulan penceroboh bersenjata mendarat di Sabah susulan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dan pengikut Kesultanan Sulu. Ismail mengesahkan bahawa penceroboh berkenaan menyusup masuk ke Kunah, satu pekan di antara Semporna dan Lahad Datu. Ismail berkata pihak berkuasa mendapat maklumat lewat malam tadi bahawa sekurang-kurangnya 10 kurang penceroboh berada di Kunak. Katanya, tiga orang daripada kumpulan yang dilihat itu memakai celoreng tentera yang sama dengan kumpulan di Kampung Tanduo, Lahad Datu. Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata pasukan keselamatan sudahpun bertindak untuk mengawal keadaan di kawasan tersebut. Blog Apa yang Tersirat melaporkan penduduk kampung di lokasi pertempuran mula melarikan diri: Suasana Panik Di Kg Seri Jaya Simunul Semporna Kenderaan awam beratur panjang untuk mengisi petrol sebelum meninggalkan bandar Semporna ekoran kejadian tembakan di perkampungan air Simunul pada Sabtu Sidang Media KPN PENDUDUK mula meninggalkan kg Seri jaya Simunul, dimana berlakunya serangan hendap terhadap pasukan polis semalam yang mengakibatkan 5 anggota terkorban dan dua penjanyah mati ditembak. Dalam perkembangan lain, tiga penceroboh berjaya ditangkap di Kg Tanduo ketika cuba keluar daripada kampung itu. Di Kunak pula daerah jiran Lahad Datu dan semporna dikesan 10 penceroboh dan tiga orang bersenjata. Pihak polis sedang memburuh mereka. Penduduk: Polis Kawal Ketat Jalan ke Semporna [MK] Penduduk sekitar Semporna, Sabah berkata polis meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan susulan serangan hendap yang mengorbankan dua orang anggota keselamatan pada malam tadi. Seorang penduduk bandar Semporna yang dihubungi Malaysiakiniberkata jalan menuju ke kawasan berkenaan kini dikawal ketat pasukan keselematan yang menyekat lalu lintas. Beliau berhasrat untuk pulang ke Semporna dari Lahad Datu namun membatalkan hasrat itu atas nasihat pasukan keselamatan, kata surirumah tersebut, yang menambah beliau kemudiannya terpaksa berpatah balik ke Lahad Datu pada malam tadi. Wanita berkenaan, 40-an, berkata beliau kini bimbang memandangkan pihak yang bertempur dengan pihak keselamatan Malaysia itu masih tidak dikenalpasti. "Kami bimbang ini adalah kerja kumpulan yang sama (dengan penceroboh Lahad Datu)," katanya ketika dihubungi melalui Facebook pada malam tadi. Sementara itu, seorang pekerja penghantar barang ketika dihubungi berkata beliau juga dihalang di satu sekatan jalan raya apabila cuba memasuki Semporna pagi ini. "Kenderaan di dalam tak boleh keluar, kenderaan di luar tak boleh masuk. Tapi boleh masuk kalau jalan kaki (tidak menggunakan kenderaan)," kata lelaki tersebut, 44 tahun, ketika dihubungi.
| ||
Bangkang dari Longkang PERSENDA Isu Rumah Urut di Selangor Posted: 02 Mar 2013 08:00 PM PST Bangkang dari Longkang menyerang Selangor. Welcome to Selangor...rumah urut! Tawaran urut bergantung pada kerajaan... Video-video di atas menggambarkan perkara yang tidak benar tentang Selangor, seolah-olah di negeri lain tidak ada premis maksiat. Fakta tentang rumah urut dan pusat hiburan di Selangor
Kalau nak melawak biar berfakta. Salih Yaacob sudah mohon maaf. Bagaimana dengan yang lain? Bangkang dari Longkang turut membarisi Afdlin Shauki, Raja Azura, Nabil Raja Lawak, Dee Jangan Ketawa, Salih Yaacob, Sathiya, Harun Salim Bachik, Adlin Aman Ramlie, Sharifah Shahira, Harith Iskander, Douglas Lim, dan Johan Raja Lawak Mungkin Bangkang dari Longkang berminat untuk menyindir Najib berkaitan dengan Hub Hiburan dalam program ETPnya. Faktanya di sini. -DCM | ||
[Video] Nabil Bangkang dari Longkang Persenda Dasar Pendidikan Percuma PR Posted: 02 Mar 2013 06:30 PM PST Anda nilailah sendiri. Siri Bangkang dari Longkang turut membarisi pelawak Afdlin Shauki, Raja Azura, Dee Jangan Ketawa, Salih Yaacob, Sathiya, Harun Salim Bachik, Adlin Aman Ramlie, Sharifah Shahira, Harith Iskander, Douglas Lim, dan Johan Raja Lawak yang menyentuh pelbagai isu termasuklah dasar-dasar yang dirancang oleh Pakatan Rakyat seperti Buku Jingga, Gaji Minimum, serta perhimpunan BERSIH. Baru-baru ini Salih Yaacob dan Nabil dikecam teruk oleh masyarakat selepas sketsa mereka berjudul Buku Jingga disiarkan di Youtube. Orang ramai yang berang dengan tindakan artis itu mengancam untuk memboikot radio Sinar FM dan filem-filem yang yang membabitkan artis yang membintangi siri Bangkang dari Longkang. Mereka marah kerana sketsa yang disiarkan itu jelas memfitnah agenda PR dan dibuat tanpa merujuk fakta sebenar. Sebagai akibatnya, Salih Yaacob mengumumkan bahawa dia akan bersara daripada dunia hiburan. Salih juga memohon maaf secara umum daripada peminatnya. Apakah respons masyarakat terhadap artis-artis lain termasuk Nabil Raja Lawak? -DCM | ||
[Video] “Are you ready for Anwar?” Apa Jawapan Rakyat?.... Posted: 02 Mar 2013 04:30 PM PST [KD] BATU PAHAT 2 Mac: Jika Datuk Seri Najib Razak dimalukan apabila menerima jawapan 'No' di Pulau Pinang ketika bertanya sokongan rakyat terhadap BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengalami pengalaman berbeza di Johor. Soalan spontan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng iaitu 'Are You Ready For Anwar?' disambut sorakan 'Yes' dari lebih 2,000 rakyat negeri itu. Beliau bertanya soalan itu ketika memulakan ceramah di Pejabat KEADILAN Muar, Taman Seroja Jalan Abdul Rahman, Parit Jawa, Muar, 2 Mac. "Are you ready for Anwar?" teriak Jui Meng "Yes" jawab rakyat Johor. "Are you ready for PKR (KEADILAN)? tanya Jui Meng lagi. "Yes" sorak rakyat Johor Sekali gus, pemimpin Umno tak boleh berdalih kononnya sorakan 'No' terhadap Najib akibat ia berlaku di negeri yang ditadbir Pakatan kerana sorakan 'Yes' terhadap Anwar berlaku di Johor yang sinonim dengan label negeri kubu kuat Umno BN Bekas Menteri Kesihatan itu kemudian meneruskan ceramah dengan menyeru rakyat Johor supaya berani membuat perubahan pada PRU 13 demi masa depan generasi akan datang. "Saya minta kali ini, undi Pakatan Rakyat, saya keluar Umno BN, sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bawa perubahan kepada negara," katanya. - Norutul Ilham Anwar di Kuala Terengganu, 23 Feb 2013: |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan