. |
- Umno Akan Menang Percuma di 10 Kawasan Keselamatan Khas?
- PAS Tidak Perlu Beri Bulan Kepada DAP
- PAS Kelantan Jangan Perkecilkan Apa Dikatakan Mustapa
Umno Akan Menang Percuma di 10 Kawasan Keselamatan Khas? Posted: 24 Mar 2013 11:42 PM PDT ANALISA Hari ini Najib Razak mengistyharkan 10 daerah di Timur Sabah menjadi kawasan Selamat di Sabah berkuat kuasa hari ini. Sepuluh daerah itu ialah; Kudat, Kota Marudu, Pitas, Baluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Pemilihan kawasan itu sebagai kawasan keselamatan khas yang membawa kepada penubuhan satu jawatankuasa menurut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh Menteri Dalam Negeri. Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri manakala Najib selaku perdana menteri akan menjadi pemantau. Jawatankuasa lain akan diumum perlatikannya nanti. Menurut Najib beliau sendiri telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962 dikuatkuasakan bagi memastikan keselamatan rakyat di Sabah terus terjamin. Sememang tidak siapa dapat menyangkal hasrat kerajaan untuk mewujudkan keadaan selamat dan damai di Timur Sabah itu waktu ini. Sewajarnya kalau kerajaan mengambil langkah-langkah perlu seperti mengistyharkan atau meletakkan 10 kawasan itu dalam zon yang diberi kawalan keselamatan khas. Tindakan itu diambil semuanya gara-gara meletusnya tragedi pencerobohan yang menelan lebih 50 korban termasuk sembilan orang anggota keselamatan kita manakala ratusan yang ditangkap. Namun betapa suci usaha kerajaann itu ia tetap akan disuluh dengan berbagai maksud kerana ianya dibuat dalam edah pilihan raya umum akan menjelang tiba bila-bila masa saja. Mungkin ramai yang tidak sedar didalam 10 daerah itu ia merangkumi tujuh kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN Sabah. Kerusi-kerusi parlimen yang termasuk dalam zon keselamatan khas ini ialah, P167 Kudat, P168 Kota Merudu, P183 Baluran, P187 Kinabatangan, P 189 Semporna dan P190 Tawau. Manakala di dalam kawasan parlimen itu pula merangkumi sebanyak 15 kerusi state iaitu, N1 Baggi, N3 Pitas, N4, Manttagong, N5 Tandek, N39 Sugut, N40 Labuk, N42 Sungai Sebuga, N45, Elopora, N46 Tanjung Rapat, N47 Kuamut, N52 Sulabayan, N54 Bogaya, N53 Senaling, N55 Balung, N 56 Apas. Jumlah kerusi parlimen yang terlibat itu kira-kira 40% daripada 25 kerusi parlimen di Sabah dan kira-kira 25% daripada kerusi negeri yang berjumlah 60 kerusi. Kalau diandaikan kesemua kerusi parlimen yang berada didalam kawasan keselamatan khas itu akan ditawan semula oleh UBN ini bermakna UBN memerlukan kira-kira lima kerusi saja lagi untuk mendapat lebih separuh daripada 25 kerusi parlimen. Manakala kerusi Dewan Undangan Negeri pula, kalau kesemua 15 kerusi di dalam tujuh kawasan parlimen itu dimenangi UBN ini bererti UBN memerlukan 15 atau 20 kerusi sahaja lagi untuk menguasai semula kerajaan Sabah. Dengan kedudukan dan perangkaan itu menyebabkan ada tanggapan mengatakan pengistyharan 10 kawasan keselamatan khas itu dibuat bermotifkan politik untuk menjamin kekuasaan UBN di Sabah. Hari ini UBN terdesak dan menggeletar apabila pihak Pakatan Rakyat dengan kerjasama APS mendakwa mereka bakal menguasai 10 hingga 12 kerusi parlimen. Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai 10 hingga 12 kerusi parlimen Sabah seperti diuar-uarkan besar kemungkinan kerajaan Sabah pimpinan UBN juga akan tumbang. Persoalnya kini apakah motif disebalik pengistyharkan 10 kawasan yang diletakan dalam kawasan keselamatan khas itu bermotif politik atau sebaliknya? Sukar untuk kita menjawab di sini kerana tragedi yang berlaku di Lahad Datu itu telah memakan banyak korban yang menyebabkan tidak tergamak untuk dikatakan ianya sebagai sandiwara. Asasnya kejadian itu benar, mati itu benar, bom itu benar walaupun tak mengena sasaran, bagai mana pun mana rententan perkembangan-perkembangan seterusnya dan dapatan dari lapangan boleh dipertikaikan dan inilah menyebabkan ada mengatakan apa yang berlaku di Sabah itu tidak begitu tulen atau pun lebih tepat tragedi yang tidak tersangka itu telah digunapakai untuk kepentingan politik. UBN terutamanya Najib bernasib baik dengan kejadian itu kerana ia membantu baginya menyelamatkan Sabah. Apapun sama ada pengistyharan 10 zon keselamatan khas itu memberi laba politik besar atau tidak ianya akan terjawab selepas pilihan raya kelak. Ukuran mudah yang boleh dibuat kalau kedudukan UBN di Sabah tidak berubah, maka jelas ianya adalah plan politik yang sungguh drmatik dan penuh tektikal tetapi kalau Pakatan Rakyat menang pula menunjukkan kehendak rakyat Sabah mengatasi plan politik Umno? [wm.kl.2:31 pm 25/03/13] | ||
PAS Tidak Perlu Beri Bulan Kepada DAP Posted: 24 Mar 2013 09:14 PM PDT RENUNGAN TENGAHARI Saya tidak fikir ROS akan bertindak double standard untuk menggantungkan pendaftaran DAP sebagai sebuah parti politik pada saat-saat parlimen hendak dibubarkan. Kalau ROS mengambil tindakan itu ia tidak mencapai sasaran kalau pun agensi berkenaan sedia menjadi alat kepada kepentingan Umno. Tindakan menggantungkan pendaftaran DAP akan menambahkan kemarahan rakyat khasnya orang Cina. Mereka yang berilmu pula dan berada atas pagar akan melihat satu tindakan paling jahat, ianya lebih jahat dari serangan penceroboh Sulu ke atas Lahad Datu. Bagaimana pun mungkin Mahathir Mohamad akan terus bangun bercakap tindakan ROS itu tepat sekali. Malah dia akan tambah sepatutnya DAP sudah lama diharamkan. ROS harus berfikir dan senantiasa meletakkan dirinya atas garis keadilan. Sebelum hendak bertindak menggantungkan DAP, ROS seharusnya terlebih dahulu menggantung pendaftaran Umno. Pendedahan dibuat oleh ahli Umno Tanah Merah terhadap kolobrasi orang-orang Umno di Tanah Merah mempertahankan diri dan kedudukan sehingga sanggup mencerobohkan perlembagaan parti perlulah didahului dengan tindakan. Perbuatan itu dilihat lebih sadis apa yang berlaku ke atas DAP. Tetapi nampaknya ROS berdolak dalih dan terkial-kial untuk memangsakan Umno dengan peruntukan dan undang-udang yang ia ada. Jadi kalau tiba-tiba ROS sedia menjadi gila dengan menggantungkan pendaftaran DAP nampak sangatlah yang agensi itu juga sudah menjadi sebahagian sari komponen BN. Berhubungan perkara ini di mana Lim Kit Sing menggambarkan yang orang DAP akan bertanding atas lambang PKR atau PAS, saya merasakan tidak wajar kalau DAP diberi lambang bulan. Seelok dan tepatnya DAP diberikan lambang Mata milik PKR. Mungkin sesetengah ahli PAS khasnya di bandar boleh menerima pemberian itu - DAP bertanding atas tikit PAS, tetapi ia mungkin menjadi masalah dengan orang-orang PAS di kampung-kampung. Pemberian itu akan mengesahkan dakyah mereka sebelum ini mengatakan PAS menjadi kuda tunggang DAP. Mereka tidak akan melihat keserasian dan silaturahim antara DAP dan PAS kuat tetapi nampak ia satu lagi keganjlan perjuangan PAS. Alasan seperti mana disebut Setiausaha Agung PAS, Mustapa Ali yang di dalam PAS juga ada orang Cina dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bertanding atas tikit PAS ia tidak sama dengan orang DAP. Cina itu Cina yang menyokong PAS manakala Cina DAP yang yang menjadi rakan di dalam Pakatan Rakyat. Walaupun keduanya Cina tetapi status dan penerimaanya berbeza. Saya sedikit terperanjat dengan reaksi cepat Mustapa ke atas cadangan itu, DAP agar bertanding atas lambang PAS kalau pendaftarannya digantung? Kenapa? Apakah Mustapa mahu dunia melihat PAS akan mendapat kerusi banyak di dalam pilihan raya nanti dan dengan itu wakil daripada PAS akan jadi perdana menteri? Kalau begitulah tanggapan Mustapa, 'debek' sangatlah PAS. PAS harus menunjukkan kekuatan atas kediriannya sendiri dan bukan menempel dengan mana-mana parti politik. Kalau pun ada sesetengah orang PAS yang tidak senang nama Anwar Ibrahim dijual untuk diangkat menjadi PM, masakan pula ada orang PAS sedia memberi lambang kepada DAP untuk menampakkan PAS kuat? Sebenarnya reaksi atau cadangan-cadangan kemungkinan itu terlalu awal. Ia tidak perlu diperkatakan melainkan untuk memberi isyarat kepada ROS sekiranya apa dicadangkan itu benar. Saya tidak fikir Lim Kit Sing sedia mengambil mana-mana lambang kerana masalah teknikal itu. Saya lebih yakin dia akan mencari satu lambang baru yang dibenarkan untuk dijadikan simbol DAP dalam pilihan raya berkenaan. Mungkin ianya Naga? Tetapi apakah kepala Naga termasuk dalam 20 lambang yang dibenarkan oleh SPR? Sekiranya ini berlaku PAS harus berfikir banyak kali untuk memberi lambang kepada Lim Kit Siang atau DAP. PAS jangan melihat kekutungan dari satu sisi tetapi lihat implikasi keseluruhannya. Perkara ini sedang diperhati dengan jenak oleh Umno. Umno akan bersorak dan bertepok bukan saja dengan tangan tetapi dengan kedua belah sekali kalau DAP bertanding menggunakan simbol PAS. Takdir itu akan digunakan oleh Umno untuk menyakinkan apa yang didakyahkan selama ini. Tegasnya saya percaya ROS tidak akan gila dengan mengambil tindakan drastik. Sebetulnya kalau ROS benar-benar bertegas mengenai perkara seperti didakwa dialami DAP itu semua parti di dalam negera ini harus digantung pendaftarannya kerana tiada sebuah parti pun yang mengikuti peraturan ROS seperti mana dikehendakinya. Apatah lagi Umno yang mempunyai ribuan cawangan mustahil semua cawangannya senantiasa mengikut dan mematuhi kehendak ROS? [wm.kl.12;13 t/hari 25/03/13] | ||
PAS Kelantan Jangan Perkecilkan Apa Dikatakan Mustapa Posted: 24 Mar 2013 07:51 PM PDT RENCANA KHAS Sebelum saya mengambil 'cuti sakit' tiga hari dan berihat di Tapak Tuan Aceh Selatan saya telah pun menulis mengulas mengenai temubual Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed dengan 'talibising' (tv3) menerusi satu rancangan dinamakan temubual. Temubual itu dirakam terlebih dahulu bukan live.
Ia mungkin boleh mempengaruhi pemikiran orang tua saja, tetapi kerana lewat malam ia tidak mencapai sasarannya. Orang muda pula lebih leka melayan internet, fb dan blog. Kalau segelintir yang mendengarnya dapat menjawab dan membuat kesimpulan sendiri terhadap tujuan dan matlamat rancangan seumpama itu diadakan. Terutamanya soalan-soalann pancingan bodoh yang dikemukakan jurutanya, Ahmad A Taib dengan mudah dapat ditangkap ia salah satu pancingan yang membolehkan Mustapa berkempen atau memberi hujah-hujah untuk melebatkan kehebatan Umno Kelantan dewasa ini. Rancangan itu memakan masa satu jam. Kalau 'talibising' itu turut memberi ruang sama kepada pemimpin PAS Kelantan, khasnya Husam Musa dengan mudah saja apa dibangkitkan dan diceritakan Mustapa itu dijawab. Sesetengah jawaban Mustapa terjerat balik kepadanya. Tetapi kerana tidak ada lawan raliklah Mustapa bersilap di atas badang dalam rumahnya sendiri. Bagi saya satu perkara sahaja yang agak bernas dan perlu diberikan perhatian oleh PAS terhadap apa yang Mustapa dakwa atau pun psywar pada malam itu. Iaini dakwaan Mustapa yang mengatakan senario semasa di Kelantan kini agak berpihak kepada Umno. Umno berada dalam keadaan sedikit selesa dan menyakinkan. Menurutnya ada beberapa indikator menunjukkan Umno kini menjadi pilihan atau rakyat kembali kepada Umno dan mahu menukarkan kerajaan Kelantan dari PAS kepada Umno. Tiga indikator yang beliau sebutkan ialah, bilangan orang ramai yang hadir ke majlis atau program anjuran Umno ke belakangan ini ramai. Beliau menyebut contoh yang hadir semasa perdana menteri Najib Razak berkunjung Kelantan Jumaat lalu di empat lokasi kalau dicampur semua mencecah 100 ribu orang. Kedua, semangant yang ditunjukkan oleh para hadirinnya begitu terserlah sekali. Ketiga, penglibatan anak-anak muda atau orang muda dengan Umno. Acara larian motosikal dengan memakai baju merah begitu menggalakkan sekali. Menurut Mustapa gelombang merah dibangkitkan benar-benar mengayapkan PAS Kelantan. Perkembangan atau senario ini menurutnya sebelum ini tidak berlaku tetapi akhir-akhir ini berubah. Inilah satu lonjakan baru buat Umno. Antara faktor selain daripada rakyat Kelantan ingin menukar kerajaan kerana didakwa kerajaan kini gagal, ialah mereka teruja dengan isu-isu yang dibawa oleh Umno misalnya tanah, air bersih dan juga isu kalimah Allah. Sebenarnya dakwaan ramai yang hadir majlis Umno itu boleh dipertikaikan dan PAS Kelantan tidak perlu merasa gerun. Jumlah itu tidak mengejutkan kerana mereka diupah dan dikerah. Pegawai-pegawai kerajaan pula dipaksa dan kedatangannya wajib. Kalau Mustapa mengambil petanda ini sebagai mutlak ianya akan mengecewakan Mustapa sendiri. Mustapa akan tertipu dengan bayangan yang dia lihat itu. Berbeza dengan kehadiran di majlis anjuran PAS. Jumlah kehadiran diprogram besar antara 10 ribu hingga 30 ribu adalah kehadiran yang tulen. Mereka hadir sendiri tanpa diupah atau pun dikerah. Sudah pasti mereka hadir bukan atas dasar wang dan benda itu akan mengundi Pakatan Rakyat. Sekurang-kurang 70% yang hadir akan mengundi Pakatan Rakyat berbanding dengan kehadiran di program Umno hanya 40% atau 55% sahaja yang akan mengundi Umno. Ertinya mengenai angka dan bilangan PAS tidak perlu bimbang dan Umno tidak boleh mengharap kepadanya. Kalau Mustapa mengambil kira itu sebagai indikator konkrit beliau akan kecewa dan sekali lagi akan menangis tidak berlagu. Kehadiran di tempat program Umno ini bukan saja kali ini tetapi pada pilihan raya--pilihan raya sebelum ini juga menunjukkan ramai. Tetapi bila sampai saat pengundian jumlah itu tidak memberi kesan sepatutnya. Misalnya himpunan di Pasir Mas yang mengundang Mahathir Mohamad baru-baru ini, katanya 85 buah bas disediakan. Yang hadir bukan sebilangan besar pengundi Pasir Mas, tetapi pengundi di luar Pasir Mas. Jumlah yang ramai itu hanya dijadikan modal oleh orang tertentu untuk menunjukkan dia mendapat sokongan. Kalaulah situasi itu dijadikan indikator Umno akan kecewa dan bak kata orang hanya seronok sendiri saja. Daripada beberapa perkara disebut Mustapa dalam acara malam itu, apa yang perlu PAS Kelantan risaukan dan perlu bertindak segera ialah isu tanah. Umno telah menggerakkan NGO khas bernama "T" singkatan dari tanah untuk memainkan isu ini. NGO inilah menjadi tukang menguar-uarkan bahawa kerajaan Kelantan makan tanah. Menyebarkan kerajaan Kelantan PAS sebagai Jin Tanah. Telah merampas tanah rakyat yang telah mengusahakan berpuluh-puluh tahun. Kes-kes seperti itu tidak dinafikan. Ia berlaku dan merupakan kes terpencil terutamanya di Gua Musang dan Jeli. Tetapi ia telah dieksploitkan oleh Umno bagi menunjukkan kebuasan dan kerakusan kerajaan Kelantan mengambil hak rakyat. Walaupun kes-kes ini merupakan kes terpencil tetapi ia berjaya di capture oleh Umno dengan baik oleh NGO "T" itu. PAS nampak sedikit lemah dan kurang bersistemetik didalam menjawab isu ini. Jawaban dan penjelasan berterusan perlu dibuat sebagai melawan dakyah Umno itu. Kerajaan harus mengeluarkan butiran penuh mana-mana tanah atau kawasan yang terlibat dengan pengambilan untuk tujuan mewujudkan Ladang Rakyat untuk kesenangan dan merubah sosio ekonomi rakyat seperti mana dituduh Umno itu. Mustapa mengatakan projek itu tidak ada objektif, maka PAS kena mengemukakan objektif berkenaan dan pencapaiannya sejak ia diwujudkan. Dunia sekarang dunia realiti dan ilmiah. Orang tidak mahu mendengar hanya cakap tetapi mahu melihat angka dan fakta. Pihak PAS Kelantan perlu perbanyakkan angka-angka dan fakta ini. Bina billboard besar-besar dan letakkan di seluruh penjuru negeri Kelantan. Buanglah billboard untuk menayang bodi bersama tok guru ganti dengan billboard untuk memperjelaskan sesuatu yang penting kepada rakyat. Saya tengok billboard hendak jual bodi lebih banyak dari billboard atau papan tanda nak perjelaskan isu kepada rakyat. Satu senaraikan khas mengenai butiran itu perlulah dibuat biar rakyat mengetahui secara telus. Perkara mengenai pengambilan tanah atau pun pemberian tanah kepada mana-mana pihak baik menerusi apa cara sekalipun perlulah didedahkan agar rakyat mengetahui dengan jelas dan mendalam. Contohnya berhubung tuduhan kata kerajaan PAS memberi tanah kepada pemimpin DAP, hendaklah diratibkan penjelaskan perkara itu kepada rakyat. Semua pemimpin PAS harus memahami isu tanah ini agar ianya mudah dijelaskan kepada rakyat. Dalam masa sama juga PAS Kelantan harus membongkar semula kerakusan kerajaan BN di zaman Mohamad Yaacob (Allahyarham) lalu yang telah menukar status tanah di sekitar Kota Bharu dari tanah rezeb Melayu kepada pegangan bebas (free hold) untuk pembangunan. Perkara ini banyak orang tidak tahu bahawa apa dilakukan oleh kerajaan BN dulu jauh lebih kejam dan jahat daripada apa dikatakan dilakukan kerajaan PAS kini. Pemberian atau penjual tanah untuk pembangunan dan sumber kewangan negeri kini ada had masanya, manakala penjualan tanah oleh kerajaan BN - Umno adalah selama-lamanya (kekal abadi). Mengenai minat anak-anak muda cenderong menyokong Umno ia bukan menjadi masalah besar kepada PAS. Golongan ini tidak begitu tebal dengan semangat perjuangan dan idealisme. Mereka akan menghurung di mana sahaja busut yang dapat memberikan mereka wang. Mereka tidak ada political will. Mereka bergerak mengikut trend. Dunia anak muda dunia penuh dengan kerencaman. Mana-mana pihak boleh memberikan mereka keuntungan sekejap untuk keseronokan mereka akan ikut. Ikut bukan semestinya patuh dan mengikut kehendak orang yang memberikan mereka sesuatu. Hampir semua program anak-anak muda yang dianjurkan Umno melibatkan kewangan. Segala kemudahan termasuk wang ringgit diberikan. Minyak motor, baju T, rokok semuanya dibekalkan. Bagi anak-anak muda khasnya yang terlondeh alam persekolahan, akan merasa seronok kalau mereka diberikan seringgit dan sehelai baju T. Tahap pendidikan mereka tidak dapat untuk memintas tipu helah dan perangkap sang politikus. Boleh jadi juga separuh daripada menghadiri program itu mereka yang tidak boleh mengundi atau nama mereka tiada dalam buku pendaftaran mengundi. Apa yang berlaku setakat menunjukkan program itu digelewati ramai orang sahaja bagi membuktikan parti itu konon mendapat sambutan. Mengenai anak muda, himpunan dibuat PAS lebih berjaya dan menyakinkan. Bentuk acara atau majlis disediakan majlis berunsur ilmu dan pendidikan. Di mana mereka yang hadir sekurang-kurang sudah ada kesedaran mengenai tanggungjawab diri dan sosial mereka. Kalau hendak dikira dari segi kualiti program anak-anak muda dianjurkan PAS lebih berkualiti berbanding dengan program berarak motorsikal sambil mengenakan baju T merah oleh Umno. Hanya program anjuran NGO "R" yang menuntut royalti petroleum saja yang kelihatan sedikit janggal dan agak brutal di mana ia tidak sesuai untuk diadaptasikan dengan perjuangan PAS dari segi pendekatannnya kerana ia agak agresif. Perjuangan PAS lebih kepada pengutamaan kepada akhlak dalam kempen-kempen dan psywarnya. Kalau pun sedikit membimbangkan terhadap apa yang dijual Mustapa malam itu ialah mengenai kalimah Allah. Menurut Mustapa banyak golongan tua atas pagar yang dulu merupakan penyokong PAS kini telah bertukar arah, bermufarakah dari PAS, apabila timbul isu kalimah Allah ini. Ini boleh diakui ia mengoyahkan PAS. Umno benar-benar mengambil kesempatan 'merasuk dan merocah' pemikiran orang kampung agar makan dengan isu kalimah Allah. Umno menggunakan beberapa orang yang mengakui dirinya anak pondok untuk melaksanakan tugasan ini. Diambilnya beberapa orang yang pandai simpul serban, berjanggut dan reti slang arab sepatah dua buat sebuah NGO masuk kampung mendekati orang-orang tua. Hasut orang tua dan bercerita kononnya perjuangan PAS sudah lari sampai membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang kafir. Mereka memesongkan pemikiran orang kampung dengan memberi gambaran kalimah Allah itu adalah intipati agama (Islam) seluruhnya. Lebih dahsyat dari itu mereka ini juga membuat fitnah dan spekulasi politik kononnya kalau PAS menang negara ini akan terjual kepada kafir. Tindakan mereka paling busuk ialah mengeluarkan fatwa haram kalau mengundi PAS. Tindakan mengeluarkan fatwa ini satu tindakan politik kembali ke zaman batu yang nampaknya diizinkan oleh pemimpin Umno Kelantan. Golongan cerdik pandai atau orang muda tidak termakan dengan isu-isu yang dijual oleh ulama' atau anak pondok 'tempayan pinang jeruk' ini. Bagi orang yang tahu perlembagaan negara dan juga senario politik dan demokrasi dengan mudah menolaknya. Tetapi bagi yang tua, yang jauh dari maklumat atau 'gagap internet' akan menelannya bulat-bulat. Selamanya kalau yang bercakap itu pakai serban dan kopiah dan ada janggut sejemput mudah dipercayai. Sebab sesiapa saja bila bercakap berlandaskan Quran dan Hadith cakap mereka akan dimakan. Untuk isu ini PAS nampaknya mengabaikan sedikit. PAS tidak cuba menjejak para anak-anak pondok tempayan pinang ini yang masuk kampung keluar kampung menjaja fitnah. Anak-anak muda PAS berwajah ustaz lebih kepada program-program bersifat realiti seperti wacana dan hiburan yang lebih obses kepada menarik anak-anak muda. Perlu dibimbangi kerana terlalu memfokus kepada pengundi muda jangan pula pengundi di saluran 1 dan 2 terlepas kepada pihak lain. Seelokknya PAS menggunakan ulama'-ulama' muda mereka untuk ikut sama masuk kampung membasuh semua fitnah dan dakwah yang dijiruskan oleh ulama' atau ustaz tempayan pinang jeruk ini bukan saja demi kemenangan tetapi bagi menyelamatkan orang-orang tua tidak berdosa bau busuk dan masam dengan jeruk pinang. Kesimpulannya apa disebut Mustapa dalam rancangan temubual itu ada benar dan ada juga omong kosong. Pendeknya PAS jangan mengambil mudah untuk menang besar di Kelantan. Ada kemungkinan kalau beberapa masalah terutamanya berhubung soal teknikal dalam jentera pilihan raya tidak diperkemaskan, sebahagian besar calon tidak ditukar tidaklah pula mustahil kalau Mustapa mencatat rekod peribadi kedua di Kelantan dalam pilihanraya umum nanti. [wm.kl.10:16 am 25/03/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan