Rabu, 6 Februari 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Yahaya Sulong Kembali Ke Rahmatullah

Posted: 06 Feb 2013 05:52 AM PST

MSO

Pelawak veteran yang popular di tahun 70-an Yahaya Sulong, 84 telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 6:00 petang tadi. Beliau meninggal di hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua. Tidak pula diketahui bila Allahyarham dimasukkan ke hospital. 

Kenangan bersama Yahaya.
Kebetulan selepas Zohor tadi saya bertanya kepada Dr Wan Suhaimi Wan Daud mengenai perkembangan Yahaya takut-takut beliau ada maklumat mengenainya. Bulan lepas saya mengunjunginya untuk menyampaikan sedikit bantuan berupa wang tunai yang disedekah oleh rakan-rakan Facebook saya bagi meringankan bebanannya untuk melunasi tunggalkan sewa rumah. 

Beliau dan isteri Anisah bergembira menerima kedatangan saya bersama isteri dan anak-anak. Beliau berkali-kali bertanya siapa saya, saya hanya menjawab saya adalah peminatnya. Memang beliau tidak pernah mengenali saya dan kami tidak pernah bersua.

Insya-Allah sekejap lagi saya akan ziarah jenazahnya di Sentul. Menurut maklumat jenazahnya akan dikebumikan di kampung halamannya di Telok Intan esok. Saya bersama keluarga dan rakan-rakan Fb mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al Fatihah.

Ada pula Bible Jawi?

Posted: 06 Feb 2013 04:25 AM PST

Oleh Subky Abdul Latif

Amat menakjubkan di tengah keributan isu Bible Melayu menggunakan kalimah Allah, ada pula kononnya ditemui naskhah Bible tulisan Jawi.

Demikian dipetik dari kenyataan seorang timbalan menteri. Saya tidak pasti di mana Bible Jawi itu ditemui dan setakat ini belum saya temui gambar kitab itu disiar oleh media.


Mengapa tiada pula media  memburu berita Bible Jawi itu bagi mengesahkan berita itu betul?

Saya tidak mahu kata kenyataan sang timbalan menteri itu betul dan tidak juga kata ia karut. Tetapi saya amat musykil akan kebijaksanaan pengembangan agama Kristian menerbitkan versi Bible Jawinya pada masa penggunaan tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu hampir pupus.

Saya tidak tahu kalau dicetak pada masa Jawi adalah tulisan rasmi bagi Bahasa Melayu sebelum merdeka dulu. Satu-satunya akhbar Melayu tulisan Jawi yang dibaca ramai ialah Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura sejak ia diterbitkan tahun 1939 hingga tahun 80an. Sebuah akhbar Jawi lagi yang hidup beberapa tahun selepas merdeka ialah Warta Negara yang diterbitkan di Pulau Pinang.

Ia mati kerana kelemahan perniagaannya. Akan tetapi Utusan Melayu menjadi rebutan antara Tun Razak dan Lee Kuan Yew kerana siapa yang menguasainya akan dapat menguasai politik orang Melayu. Siapa yang menguasai politik orang Melayu, dialah yang berkuasa di Malaysia.

Ternyata Tun Razak berjaya menguasai Utusan Melayu. Maka atas pengaruh itu logik adanya Bible Melayu tulisan Jawi bagi menyebarkan Kristian di kalangan orang Melayu. Masa itu miskipun tulisan rumi ada, tetapi ia tidak populer. Tiada surat kepada Sultan dan daripada Sultan melainkan dalam tulisan Jawi. Urusan pejabat dan komunikasi dalam tulisan Jawi.

Tetapi tulisan Jawi sekarang sudah mati. Utusan Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan itu pun sudah lama mati. Orang yang mengamalkan tulisan habis mati belaka. Peratus orang yang tahu sekarang amat kecil. Itupun sekadar membaca, tetapi tidak lagi mampu menulis.

Yang boleh membaca dan sikit-sikit menulis ialah ustaz dan orang lepasan sekolah agama. Orang-orang yang faham agama ini tidak mudah untuk dipengaruhi Kristian kerana mereka tahu apa yang betul dan apa yang salah pada ajaran Islam.

Maka pada ketika orang sudah tidak tahu Jawi, apa yang Bible dapat buat dengan versi Jawinya? Ia hanya menguntungkan satu dua orang saudagar yang dapat mencetak kitab itu. Bila ia diedarkan tidak siapa dapat membacanya.

Saya rasa Kristian tidak dapat apa-apa dengan mengeluarkan Bible Jawi sekarang. Ia akan menghabiskan duit saja.

Masakan pengembang agama Kristian begitu bodoh menerbitkan kitab yang tidak ada siapa dapat menggunakannya kecuali anai-anai dan gegat.

Dalam suasana yang ada adalah menakjubkan Bible Jawi diterbit dan diedarkan. Tidak mustahil ia ditemui dalam mimpi saja.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Hadiah Najib kepada Syabas: Jangan ingat rakyat Selangor bodoh!

Posted: 06 Feb 2013 04:21 AM PST




Oleh DR DZULKEFLY AHMAD

1.       Tindakan PM Najib 'menghadiahkan' Syabas pinjaman RM120 juta tidak dapat ditanggapi umum kecuali ssebagai satu usaha menyelamatkan syarikat tersebut. Syabas, pemegang konsesi edaran air dan Puncak Niaga, pemegang konsesi rawatan air di Selangor, adalah sebagai milik majoriti Tan Sri Rozali Ismail. Tuduhan 'bailout' atau 'tindakan menyelamat' sebuah syarikat kroni adalah wajar dan tidak kerlaluan bahkan amat menasabah, mentelahan Tan Sri Rozali adalah juga mantan bendahari Umno Selangor.

2.       'Keberanian' Najib memberi pinjaman kepada Syabas adalah sangat mengejutkan ramai. Najib mungkin berpandangan bahawa rakyat tak faham selok-belok dan sebab-musabab isu krisis air Selangor. Kejahilannya tentang tahap pengetahuan dan pencerahan minda rakyat masakini menggalakkan Najib cuba membohongi rakyat sekali lagi bahawa pinjaman untuk Syabas adalah kerana kegagalan tadbir-urus kerajaan negeri. Sangat dangkal bahkan bangsat sekali alasan Najib ini.

3.       Untuk ingatan Najib, rakyat tahu bahawa kerajaannya memberi pinjaman mudah (softloan) kepada Syabas pada Disember 2009, sebanyak RM320 juta berbentuk pinjaman tanpa faedah (interest-free), tanpa cagaran (non-collatarised) dan boleh dibayar 20 tahun kemdudian (back-loaded). Pernahkah mana-mana pihak mendapat pemberian hadiah seperti itu termasuk peminjam golongan dhaif seperti dalam program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

4.       Mungkin Najib juga lupa bahawa rakyat sekali lagi tahu bahawa kerajaan telah memberi satu lagi pinjaman bayaran balik 20 tahun sebanyak RM110 juta pada Oktober 2011. Senang-senang sahaja.

5.       Seoalah-olah rakyat buta dan tuli, Najib pada bulan berikutnya yakni November 2011, telah membayar pinjaman bon Syabas yang telah matang (facing payment) sebanyak RM2.9 bilion. Nah itu sahaja telah menelan sebanyak 'bailout' RM3.41 bilion, dengan tidak mengambil pelbagai pemberian geran dan pinjaman terdahulunya sejak penswastaan.

6.       Mengapakah Najib-Umno terus-terusan melakukan tadbir-urus yang jelek dan buruk seumpama ini? Mengapakah Najib sanggup 'berkorban' habis-habisan seperti ini untuk Tan Sri Rozali? Najib wajar insaf bahawa soalan ini bukan lagi menjadi tanda-tanya rakyat untuk beliau. Najib tidak perlu lagi berselindung dengan jawapan yang terus mengaibkan dan menghilangkan saki-baki kepercayaan yang masih ada untuknya.

7.       Najib tidak perlu diingat bahawa Laporan Ketua Audit Negara telah secara tajam dan kritis mengingatkan tadbir-urus korporat Syabas yang sangat dipertikaikan termasuk membuat iklan,  pembelian asset-aset yang tidak punya hubungkait dengan urusan mengurangkan air-tak berfaedah atau Non-Revenue Water (NRW).

8.       Segala dakwaan tentang kelemahan kerajaan negeri dan halangan-halangan yang kononnya dicetuskan oleh kerajaan negeri adalah meleset kalau persoalan NRW yang merupakan tugas besar Syabas untuk turun (capai sasaran KPI yakni 20% (2011) berbanding tahap kini kekal pada 32%) tidak dicapai dan tertunai. Syabas, mengikut perjanjian mesti berbelanja kapital (Capex) untuk tambahbaik paip dan sebaginya bagi tujuan tersebut bagi menurukan NRW.

9.       Amaran pihak kerajaan negeri untuk mengambil alih Syabas dalam 14 hari bukan sahaja terdapat dalam peruntukan perjanjian konsesi penswastaan, bahkan ditanggapi beberapa pihak sebagai sangat wajar dan menasabah. Kegagalan Syabas dalam membekalkan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah dan Putrajaya sudah tidak dapat lagi dijamin khasnya di ambang pilihanraya. Kekhuatiran berdepan dengan krisis akibat sabotaj seperti yang berlaku baru-baru ini akibat faktor penyelenggaran pam adalah sangat  serius.

10.   Pelbagai pihak termasuk beberapa operator konsesi loji rawatan air bahawa pengambilan  Syabas oleh kerajaan negeri adalah baik bagi mereka. Sebabnya mudah. Syabas adalah 'bad paymaster' dan puratanya hanya membayar 40% - 45% menyebabkan mereka tidak berminat untuk mengeluarkan lebih dari kapasiti biasa. Penulis mendapat faham bahawa kapasiti loji rawatan air ini, seandainya diperlukan, masih punya 'reserve capacity' untuk dipertingkatkan bekalan air terawat, sekaligus mampu menghindarkan krisis kekurangan air.

11.   Dalam suasana bayaran Syabas pada tahap ini, mereka tidak berminat untuk mempertingkatkan kapasiti kerana akan mencetuskan masalah 'aliran-tunai' atau 'Cashflow' yang lebih parah. Pengambilan oleh kerajaan negeri akan merubah imej status 'bad-paymaster' kepada 'good-paymaster'.

12.   Pengambilalihan Syabas oleh kerajaan negeri juga akan dapat menangani dakwaan amalan kronisme dan nepotisme yang lazim diamalkan oleh pihak Syabas terhadap kontraktor-kontraktornya yang membekalkan paip, bahan kimai, barang-barang elektrik, pam dsbnya. Ramai yang ingin bertanya apakah kaitan Tan Sri Rozali dalam syarikat seperti Mewah Kota SB,Damini SB, Semarak Niaga SB dan beberapa syarikat lain.

13.   Di samping pemberian kerja penyelenggaraan dan perolehan kepada vendor-vendor  akan menjadi lebih adil dan saksama, tindakan kerajaan negeri utuk mengambil alih Syabas akan menyuntik tahap kayakinan rakyat kepada Syabas.

14.   Sudah sampai waktunya, Najib dan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, mengakui bahawa pengurusan air di Selangor tidak lagi mampu diberikan kepada kroninya Tan Sri Rozali Ismail. Tegasnya, Penswastaan Air oleh Tun Mahathir telah gagal dalam gelombang pertama. Dengan penstrukturan semula air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) dan pembelian aset2 air oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), maka perlu diberi amaran kepada Najib supaya jangan ulangi pengkhianatan kepada rakyat dan pengguna dalam gelombang kedua ini.

15.   Najib mesti memberi laluan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Syabas. Lebih baik lagi, Najib juga mesti bertindak rasional untuk merawat hati rakyat dengan memberikan pengurusan air kepada kerajaan negeri dan tidak kepada Tan Sri Rozali Ismail. Kalau tidak rakyat akan menghukumnya dengan lebih berat dan dahsyat lagi dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Ingat!

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif  PusatPenyelidikan PAS.

Lagi Pemimpin Umno-BN Selangor Didakwa Terlibat Skandal Tanah

Posted: 06 Feb 2013 03:24 AM PST


Hannah Yeoh Skandal Tanah BN 01

SUBANG JAYA : Dua nama pemimpin Umno Selangor didakwa menerima sekeping tanah berkeluasan 5,000 kaki persegi di kawasan USJ3B dan USJ3D di sini dengan harga RM2 sekali.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan ahli politik Umno tersebut adalah Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas yang merupakan Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya (1985-1995), Pengerusi Tetap Umno Subang (1995-2001) dan Adun Kelana Jaya Selangor (1986-1995).

Megat Najmuddin juga adalah ahli Lembaga Pengarah Petronas, Presiden Malaysian Institute of Corporate Governance dan anggota Lembaga Disiplin Umno (2002-2009).

Hannah Yeoh Skandal Tanah BN 03

Ujar Nik Nazmi, turut menerima lot tanah tersebut ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Kelana Jaya, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin yang merupakan bekas Adun Seri Setia pada 2004.

"Ia perkara yang amat mendukacitakan ketika mana rakyat susah untuk mendapat sekeping tanah dan untuk membeli rumah di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya.

"Tetapi mereka mendapat tanah dengan mudah dan menjadi 'jutawan segera' dengan mendapat kelebihan seperti ini," kata Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung Skandal Sapu Tanah 1Malaysia (SAT1M) yang diadakan di USJ 3 di sini.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, pemberian tanah itu tidak munasabah kerana mereka memperolehinya pada harga RM2 sekaki sedangkan nilai pasaran hartanah ketika ini berharga sekitar kira-kira RM175 sekaki.

Hannah Yeoh Skandal Tanah BN 02

"Tanah-tanah tersebut mempunyai 99 lot tanah banglo dengan tempoh pajakan 99 tahun di mana diluluskan oleh mesyuarat Exco ketika itu pada 20 Februari 2001," kata Hannah.

Ujarnya dalam pemberian tanah itu terdapat tiga nama ahli politik MCA Kelana Jaya, Lee You Hin, Yap Yun Fatt dan Lim Kok Sai.

"Kita mahu pemimpin BN memberikan respon berkenaan isu ini apabila mereka berkempen di Subang Jaya nanti kenapa mereka memperolehi tanah pada harga yang murah," kata Hannah.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pendedahan skandal pemberian tanah itu membuktikan pimpinan Umno-BN lebih mementingkan kroni parti mereka sendiri.

"Kita menyeru rakyat Selangor membuat penilaian yang tepat dalam PRU ini," tegas Ng.

Turut hadir dalam sidang media pendedahan skandal tanah itu Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Kerajaan Negeri Peruntuk RM70.4 Juta Bantuan Pelajar Masuk Universiti

Posted: 06 Feb 2013 03:21 AM PST


Halimah Ali PC EXCO 6 FEB 2013 01

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM70.4 juta sepanjang lima tahun ini khusus bagi bantuan pendidikan untuk rakyat di Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, sejumlah RM32.1 juta diperuntukkan untuk Hadiah Pengajian Intitut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada 32,130 anak negeri Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Katanya, program yang dimulakan sejak 1 Julai 2008 lalu diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) menerima sebanyak 45,164 permohonan daripada pelajar dan hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja layak dipertimbangkan untuk proses pemberian HPIPT sebanyak RM1,000.

Manakala, sebanyak RM38.3 juta pula diperuntukkan untuk Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri yang diberikan kepada 4,770 orang pelajar sejak lima tahun kebelakangan ini.

Dr Halimah berkata, seramai 758 pelajar diberikan pengurangan dan pelupusan bayaran balik atas sebab Penilaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang cemerlang mulai tahun 2004 hingga 2012.

Katanya, sejumlah RM5.05 juta jumlah pinjaman pelajaran yang dilupuskan sejak lapan tahun lalu.

"Bagi PNGK di antara 3.75 hingga 4.00 pinjaman diubah kepada biasiswa penuh dan bagi 3.49 hingga 3.74 diberi kadar pengurangan pinjaman sebanyak 50 peratus dan bagi 3.20 hingga 3.49 diberi pengurangan sebanyak 25 peratus," katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang tadi.

Rumah Exco dipecah masuk

Posted: 06 Feb 2013 03:19 AM PST

Wartawan Sinar Harian

Rumah Exco dipecah masuk
Saleha bersama Che Abdullah yang juga Adun Wakaf Bharu memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat IPD Tumpat, Inspektor Firli Fairulyzan Arias Yahaya.
 
TUMPAT –  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Datuk Che Abdullah Mat Nawi kerugian RM25,000 apabila rumahnya di Taman Mimi, Wakaf Bharu dipecah masuk awal pagi semalam.

Isterinya, Datin Saleha Yaakob berkata, dia percaya kejadian itu berlaku antara jam 4 pagi hingga 4.30 pagi ketika dia sekeluarga sedang tidur nyenyak.

"Ini kejadian yang ketiga kali rumah kami dipecah masuk sejak mendiami rumah ini  lapan tahun lalu. Akibat kejadian itu wang tunai RM500, gelang emas, cincin perkahwinan saya dan cincin pusaka lesap dikebas pencuri tersebut," katanya.

Saleha berkata, dia menyedari rumahnya dimasuki pencuri kira-kira jam 5 pagi selepas bangun dari tidur untuk menunaikan solat subuh.

"Saya perasan laci almari terbuka, lalu saya memeriksa dan mendapati bekas tempat simpanan cincin hilang.

"Curiga dengan kehilangan cincin tersebut, saya periksa semua tingkap dan pintu dan syak ada pencuri masuk. Mungkin pencuri itu panjat balkoni dan masuk melalui tingkap bilik tidur di tingkat atas," katanya.

Menurutnya, beg tangannya yang mengandungi wang RM500 yang hilang itu dijumpai di belakang rumah, ditinggalkan pencuri bersama dokumen penting yang lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Sharipudin Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

"Siasatan dilakukan untuk mengenal pasti suspek dalam kejadian tersebut," katanya.

SPR jamin daftar pemilih bersih

Posted: 06 Feb 2013 03:17 AM PST

SINAR HAIAN

Abdul Aziz Mohd Yusof
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
KOTA KINABALU - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberi jaminan senarai daftar pemilih adalah bersih dan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan menjadi yang terbaik.

Beliau berkata SPR membersihkan senarai daftar pemilih dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana JPN mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu adalah warganegara atau bukan warganegara.
  
"Daftar pemilih yang kita ada sekarang iaitu sekitar 13.3 juta pengundi (termasuk di Sabah) sehingga Disember tahun lepas, adalah bersih. Pilihan raya umum ke-13 mungkin panas, mungkin mencabar tetapi tidak terkotor," katanya.
  
Beliau berkata meskipun timbul pelbagai persepsi ekoran pendedahan baru-baru ini dalam siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah, namun SPR yakin proses PRU13, terutama di Sabah akan menjadi yang terbaik.
  
Persepsi itu tidak seharusnya wujuh hanya semata-mata berdasarkan kenyataan satu atau dua orang saksi kerana terdapat lebih 100 orang yang akan memberikan keterangan kepada RCI, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati tempatan pilihan raya umum ke-13 bagi negeri Sabah dan Labuan di sini hari ini.
 
Tiga NGO itu ialah Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Sabah, Majlis Belia Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah.
  
Abdul Aziz berkata empat pegawai SPR akan dipanggil menjadi saksi dalam sesi pendengaran RCI itu termasuk daripada bahagian komputer, pengurusan, pendaftaran dan pengarah SPR Sabah.
  
"Bila mereka dipanggil nanti mereka akan beri penerangan sejelas-jelasnya," katanya.
  
Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara yang disebut dalam prosiding RCI itu.
  
Katanya, SPR telah memperkenalkan pembaharuan dalam usaha mengemaskini serta memperbaiki proses pilihan raya, termasuk penggunaan dakwat kekal, undi awal, wujudnya akses media bagi parti-parti politik, pemerhati antarabangsa dan pemerhati tempatan.
 
"Banyak lagi pembaharuan yang kita lakukan termasuk kemudahan undi pos untuk semua rakyat Malaysia di luar negara (tetapi ada syarat) bagi elak kemungkinan berlaku penipuan... berasaskan itu takkanlah pilihan raya umum ke-13 akan jadi yang terkotor," katanya.
  
Katanya,  SPR akan membelanjakan kira-kira RM52 juta bagi mengurus pilihan raya umum di Sabah yang mempunyai pengundi berdaftar seramai 969,497, dan menurutnya RM400 juta diperuntukkan bagi mengurus pilihan raya umum di seluruh negara.
  
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berharap NGO yang dilantik sebagai pemerhati pilihan raya dapat menjalankan tugas dengan jujur dan profesional, sekali gus menjadikan pilihan raya tersebut terbaik daripada segi sistem, proses dan pembaharuan pilihan raya.
  
Katanya, sebanyak 16 NGO dilantik sebagai pemerhati pilihan raya di seluruh negara iaitu lima di Semenanjung, lapan di Sarawak dan tiga di Sabah.
  
Abdul Aziz berkata kesemua NGO yang dilantik memenuhi syarat ditetapkan, antaranya mempunyai keupayaan bertindak sebagai pemerhati, tidak berpihak kepada mana-mana parti dan menerima syarat lantikan, selain dibenarkan masuk ke pusat mengundi, dewan penamaan calon dan bilik pengiraan undi. - Bernama

Perogol bersiri 'Rambo Bentong' dijel 115 tahun

Posted: 06 Feb 2013 03:15 AM PST

WAN JUHAIDA WAN HASSAN

Perogol bersiri 'Rambo Bentong' dijel 115 tahun
Rabidin dibawa keluar dari mahkamah sesyen, semalam.
 
RAUB - Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan ke atas Rabidin Satir, 43, bagi empat kesalahan rogol serta satu kes liwat, semalam.

Rabidin atau dikenali dengan gelaran 'Rambo Bentong' tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi kelihatan tenang dan bersahaja memasuki kandang tertuduh.

Sebanyak tiga kenderaan polis memantau perjalanannya dari Bentong yang turut disertai Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.

Selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan demi pertuduhan, Rabidin mengaku bersalah terhadap kesalahan rogol pada 9 Julai 2009 antara jam 2 pagi dan 3 pagi dalam bilik sebuah rumah di Taman Sri Marong, Bentong, melibatkan mangsa, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun 5 bulan.

Kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan itu diakui benar oleh Rabidin termasuk ketika gambar kes ditunjukkan kepadanya.

Bagi kes kedua, Rabidin mengaku bersalah melakukan jenayah rogol pada 21 Jun 2010 antara jam 1 pagi dan 3 pagi dalam bilik di KM5, Jalan Kuala Lumpur - Bentong, melibatkan mangsa, remaja berusia 17 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu juga diakui benar selepas Juru Bahasa Mahkamah menunjukkan gambar kes kepadanya.

Rabidin juga mengaku bersalah bagi kes ketiga melibatkan jenayah rogol kanak-kanak berusia 8 tahun 2 bulan di tepi sungai belakang rumah dekat Ketari, Bentong antara jam 12.30 pagi hingga 1.30 pagi pada 29 April tahun lalu.

Sementara itu, Rabidin turut mengaku bersalah bagi kes keempat melibatkan mangsa, remaja berusia 16 tahun 5 bulan iaitu rogol dan liwat dalam bilik sebuah rumah di Ketari, Bentong antara jam 1 pagi dan 2.30 pagi.

Ketika diberi peluang berbicara, Rabidin mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kesalahan yang dilakukan dan berharap agar diampunkan dunia akhirat.

Rabidin juga memohon maaf atas kesalahan bagi kes kedua kerana ia dilakukan dalam keadaannya khayal dan mabuk.

Dia turut meminta agar mahkamah mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atasnya bagi kes pertama dan kedua.

Bagaimanapun, Rabidin bertindak mendiamkan diri dan tidak mahu memohon sebarang rayuan ketika diberi peluang untuk kes ketiga, keempat dan kelima.

Hakim Murtazadi Amran membacakan hukuman yang dijalankan secara berasingan iaitu masing-masing 25 tahun penjara dan 10 sebatan bagi empat kesalahan rogol, sementara kesalahan liwat pula dikenakan 15 tahun penjara serta 10 sebatan.

Secara keseluruhannya, Rabidin perlu menjalani hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan bagi keseluruhan kes yang diputuskan semalam.

Dalam perkembangan lain, Rabidin turut hadapi pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh anggota polis pada hari dia ditangkap 14 November tahun lalu berhampiran Taman Syahbandar Hussain, Bentong.

Rabidin dituduh mencederakan anggota polis dengan senjata miliknya dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Mahkamah menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Remaja hilang dipercayai dirogol

Posted: 06 Feb 2013 03:02 AM PST

Wartawan Sinar Harian
Remaja hilang dipercayai dirogol
Keratan Sinar Harian semalam
 
KLANG - Polis mengesahkan terdapat kesan koyak pada kemaluan remaja perempuan yang menghilangkan diri bersama adiknya selama lima hari sebelum ditemui selamat di Taman Sentosa, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kesan koyak itu disahkan doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini yang melakukan pemeriksaan kesihatan selepas dua beradik itu dijumpai.

"Kita percaya ada aktiviti seksual antara remaja itu dengan teman lelakinya sejak dia dilaporkan hilang oleh ahli keluarga.

"Kesan koyak itu dipercayai berlaku lebih 72 jam. Adiknya pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam.

Mohamad berkata, polis kemudiannya menahan teman lelakinya, warga Myanmar, berusia 23 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan mendapati, kali terakhir dua beradik itu dilihat menaiki sebuah teksi berhampiran kawasan sekolah sambil ditemani suspek yang bekerja di sebuah pasar raya di sini.

Menurutnya, remaja terbabit sudah empat kali keluar bersama suspek sejak berkenalan pada 12 Disember lalu.

"Siasatan juga mendapati rakan suspek berusia 20 tahun merupakan teman lelaki kepada adik remaja berkenaan," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Katanya, dua remaja tersebut masih menerima rawatan di HTAR dan akan diserahkan kepada Jabatan Kemasyarakatan untuk tindakan lanjut berikutan mereka enggan pulang ke rumah.

Dalam kejadian itu, dua beradik berusia 13 dan 15 tahun dilaporkan keluar rumah, kira-kira jam 12 tengah hari untuk ke sekolah, namun tidak pulang selepas tamat sesi persekolahan.

Mereka ditemui selamat ketika berjalan di kawasan rumah kedai di Taman Sentosa, kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Mereka bagaimanapun enggan pulang ke rumah dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

SU Agung: Pas akan kekal bersama Pakatan

Posted: 06 Feb 2013 03:00 AM PST

NIZAM ZAIN
Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
 
SHAH ALAM – Pas menafikan dakwaan bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa bahawa komponan Pakatan Rakyat (PR) telah melanggar muafakat politik dalam perikatan itu, sebaliknya menegaskan hanya wujud sedikit perbezaan pendapat yang tidak memudaratkan kerjasama dibentuk sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam mana-mana kerjasama politik baik PR mahupun Barisan Nasional (BN) sendiri.

Namun katanya, dalam banyak perkara, ikatan PKR, DAP dan Pas sentiasa mencapai kata sepakat dan mempunyai banyak persamaan.

"Kita akan terus dengan PR, tidak timbul isu Pas mahu bersendirian, Pas akan terus bersama PR bagi hadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"... cuma ada perbezaan pendapat tetapi lebih banyak persamaan pendapat seperti menegakkan keadilan dan menetang kezaliman," katanya yang dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menggesa Pas supaya keluar dari PR dan bergerak secara bersendirian bersandarkan kekuatannya jika ingin terus kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Nasharudin juga mendakwa PR telah melanggar syarat tahaluf siyasi hingga mengusik kesucian Islam susulan tuntutan DAP supaya kalimah ALLAH dibenarkan digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.

Dakwa Nasharudin lagi, pengaruh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melemahkan Pas susulan campur tangannya dalam hal ehwal dalaman dan pentadbiran parti itu.

Ahli Parlimen Bachok itu menyesyorkan supaya Pas menjauhkan diri daripada anasir luar berkepentingan peribadi termasuk pihak yang memiliki ikatan tahaluf siyasi jika mahu mengekalkan asas perjuangannya.

Dalam pada itu, Mustafa turut menolak gesaan Nasharudin supaya Pas mengkaji semula tahaluf siyasi bersama PR kerana tindakan DAP yang lantang menyuarakan penggunan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.

"Ketiga-tiga parti itu telah sebulat suara dan bersetuju mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan dan memastikan hak keistimewaan orang Melayu terpelihara seperti yang termaklub dalam Perlembagaan.

"...kenyataan Nasharudin itu dilihat sebagai pandangan peribadinya saja," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar melihat desakan Nasharudin itu sekadar meraih simpati dan cuba menarik perhatian orang ramai setelah keahliannya dalam Majlis Syura dilucutkan baru-baru ini.

"Biarlah dia melalak sorang-sorang," katanya secara ringkas ketika dihubungi.

Speaker Dun Perak saman 5 pemimpin DAP RM25 juta

Posted: 06 Feb 2013 02:53 AM PST

ROSDALILAH ZAHARI

 Datuk R. Ganesan
Datuk R. Ganesan
 
IPOH - Speaker Dun Perak, Datuk R Ganesan hari ini memfailkan saman RM25 juta ke atas lima pemimpin tertinggi DAP negeri berhubung pendedahan rakaman video seks, yang didakwa membabitkan aksi beliau bersama seorang wanita.

Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh pagi tadi.

Writ saman yang dihantar melalui peguamnya pada jam 11.53 pagi  itu menamakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham: Setiausahanya, Nga Kor Ming; Adun Tronoh, V Sivakumar; Adun Buntong, A Sivasubramaniam dan Adun Menglembu, Lim Pek Har sebagai defendan.

BN hidu mereka akan tewas, ugut rakyat agar jadi penakut

Posted: 06 Feb 2013 02:51 AM PST

Roketkini.com.


SUNGAI SIPUT: Tindakan Barisan Nasional (BN) yang menakut-nakutkan rakyat Malaysia membuktikan parti itu semakin lemah dan mereka bimbang mandat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti diberi kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah negara.

Ia termasuk amaran dangkal yang diberi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan media bahawa banyak perkara boleh 'musnah' walaupun lima tahun PR diberi mandat memerintah negara dengan mengambil contoh apa yang berlaku di Greece.

Sambil membidas kempen jahat BN itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran berkata, tindak-tanduk mereka itu adalah berdasarkan hakikat bahawa PR semakin mendapat sokongan rakyat.

"Rakyat sudah cerdik kerana mereka dapat melihat pencapaian cemerlang kerajaan negeri yang ditadbir PR. Rakyat sendiri dapat lihat manfaat yang mereka terima dan kejayaan yang dicapai PR.

"PR bukan sahaja boleh mentadbir negara malah boleh memberi khidmat yang jauh lebih baik daripada BN, sebagaimana yang telah dibuktikan," katanya dalam satu majlis di sini.

Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, BN yang memerintah negara ini selama 55 tahun telah banyak melakukan kerosakan dan dapat dilihat seperti gejala rasuah dan fitnah melampau yang mampu menjejaskan ekonomi negara, keharmonian dan perpaduan rakyat.

"Cukuplah. BN tidak layak berhak memerintah dan rakyat kena berani mengubah, jika tidak negara akan terus rosak dan sukar bagi negara untuk mencapai kemajuan yang setanding dengan negara lain di Asia, termasuk Korea Selatan dan Jepun.

"Kini sudah tiba masanya rakyat memberi peluang kepada PR untuk mengubah lanskap pentadbiran negara ke arah yang lebih baik," katanya.-Roketkini.com.

Guan Eng nafi adik perempuannya bakal calon PRU13

Posted: 06 Feb 2013 02:49 AM PST

SINAR HARIAN

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
 
GEORGETOWN - Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan konon adik perempuannya Lim Hui Ying turut tersenarai sebagai calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
  
Beliau berkata adiknya tidak berminat untuk bertanding dan pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow juga mengesahkan nama Hui Ying tidak tersenarai dalam senarai bakal calon DAP.
  
"Adik saya tak berminat bertanding dan YB Chow berkata nama adiknya tidak ada dalam senarai. Jika adik saya ingin bertanding, tentu beliau telah bertanding dalam tiga pilihan raya lepas.
  
"Jangan heret saya punya ahli keluarga macam ini," kata Lim pada sidang media di sini hari ini.
  
Beliau mengulas laporan akhbar The Star yang menyebut adiknya adalah antara muka baru bertanding pada PRU13.
  
Lim menyifatkan laporan itu sebagai fitnah dan berharap pembaca tidak mempercayai apa yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris itu.

"Saya tak tahu sama ada The Star seterusnya akan bercakap mengenai saudara lelaki saya. Jika anak lelaki saya berumur 21 tahun kamu akan juga bercakap mengenainya, saya pasti. Tetapi saya tak fikir ini baik," katanya.
  
Dalam perkembangan lain, Lim berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat serangan peribadi terhadap beliau apabila menyifatkan sebagai "tindakan bodoh" gesaan beliau supaya rakyat memakai baju warna tertentu untuk menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) pada 11 Februari ini.
  
"Saya berasa dukacita bahawa beliau menggunakan bahasa yang tidak senonoh terhadap saya. Saya tidak mahu buat serangan peribadi (seperti) dibuat Timbalan Perdana Menteri khususnya berkaitan persembahan Psy pada hari Isnin ini... Saya tidak mahu menjawab (membalas) dengan nada yang sama," katanya.
  
Isnin lepas, Lim menggesa rakyat Pulau Pinang mengunjungi rumah terbuka Tahun Baru Cina yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan memakai baju warna kuning, hijau dan merah.
  
Beliau berkata kuning sebagai tanda sokongan kepada Bersih, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang. - Bernama

Pojok: Cabai Burung – UMNO apa lagi?

Posted: 06 Feb 2013 02:47 AM PST

Roketkini.com

DISANGKA panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah dilema yang sedang menghantui UMNO-BN membuatkan mereka hilang arah dalam rangka politik buruk-memburuk dan fitnah-memfitnah yang sering mereka putarkan.

Di sebalik sensasi isu kalimah Allah yang dimomok-momokkan, dalam kekecohan Perkasa yang konon mahu membakar Bible versi bahasa Melayu, dua tokoh politik negara, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh bertemu dalam suasana penuh mesra memberi renjatan mengejutkan UMNO-BN.

Apalagi, ia bukanlah pertemuan formal di pentas ceramah. Malahan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyambut hari lahir beliau ke-82 di rumah Pengerusi DAP itu.

Mungkin hasil pertemuan ini polemik isu kalimah Allah yang dicipta balaci dan propagandis UMNO-BN terbantut tidak sampai klimaksnya.

Ada yang kata PAS dah lain. Ada yang kata DAP pun dah lain. "Dulu bujang sekarang dah kahwin," sindir seorang teman UMNO. Lebih ekstrim, ada juga pencacai UMNO menuduh yang bukan-bukan, "Tengok, ini bukti PAS barua DAP."

Sudah tentu orang yang melabel 'barua' bagi pertemuan dua tokoh utama oposisi ini cetek akal.

Ia sama dangkal kalau kita menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi barua kepada Kristian apabila beliau mengunjungi Pope Benedict XVI di Rom, pada 18 Julai 2011.

Apapun persepsi yang tercipta dengan pertemuan bersejarah dua tokoh yang sering dilaga-lagakan itu, ia telah mengukir satu lembaran baru ukhwah yang terpahat di kalangan parti gabungan Pakatan Rakyat (PR).

Bila mana seorang pemerintah Kristian, Raja Najashi yang memerintah Habsyah memberi suaka politik kepada sekumpulan umat Islam yang memohon perlindungannya, ia telah memulakan satu era baru dalam sejarah awal ketamadunan Islam dan menggambarkan ketinggian sifat manusiawi. Ini yang UMNO-BN cemburui.

Dominasi UMNO terhadap parti gabungan di bawah BN seperti MCA dan MIC jauh bezanya dengan amalan PR. Amalan jahiliah 'dominasi' UMNO ini sudah tak terbendung lagi sehingga melingkupkan ekonomi negara. Sebab itulah banyak benda yang tak mampu dijawab Najib sendiri.

PR menjunjung prinsip hak untuk berbeza pendapat, bekerjasama memartabatkan rakyat. Sudah tentu ia tidak lari daripada acuan demokrasi. Yang pasti, UMNO gagal memperbodohkan rakyat Malaysia.
Kesedaran dan sensitiviti di kalangan kita semakin kukuh. Jadi, UMNO apa lagi? -Roketkini.com

Husam: Nasha salah platform desak Pas keluar PR

Posted: 06 Feb 2013 02:45 AM PST

SINAR HARIAN

Husam Musa
Husam Musa
 
KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata bekas timbalan presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berada di platform yang salah bila beliau mendesak parti itu keluar dari pakatan pembangkang.
 
Husam berkata desakan Nasharudin itu tidak relevan lagi kerana (beliau) sudah tidak menjadi anggota Majlis Syura Ulama Pas.
 
"Ustaz Nasha kini berada di luar (Majlis Syura Ulama Pas). (Maknanya) tak guna saluran (yang betul)," kata Husam kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di sini, hari ini.
 
Bercakap dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan semalam, Nasharudin mendesak agar Pas keluar dari pakatan pembangkang dan bergerak secara bersendirian bersandarkan kekuatannya jika ingin terus kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.
 
Menurut Nasharudin walaupun Pas menjalin hubungan dengan DAP dan PKR berasaskan konsep tahaluf siyasi atau muafakat politik, pelanggaran beberapa syarat dalam ikatan itu jelas mengusik kesucian Islam.

Menjelaskan perkara itu lagi, Husam berkata jika Nasharudin masih berada dalam Majlis Syura berkenaan sudah tentu pandangan anggota Parlimen Bachok itu akan diberi perhatian sewajarnya.
 
"Ustaz Nasha boleh membuat rayuan terhadap pelucutannya dalam Majlis Syura itu jika mahu berada kembali," katanya.
 
Nasharudin dipecat dari Majlis Syura Ulama pada 13 Jan lalu atas alasan beliau kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan.
 
Sementara itu Husam secara sinis meminta Umno memberi ruang kepada Nasharudin agar mempertahankan kerusi Parlimen Bachok atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
 
Beliau berkata adalah lebih baik jika Umno berbuat demikian jika Nasharudin sememangnya tidak lagi berminat berjuang melalui Pas yang kini dilihat lebih cenderung menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
"Saya rasa Datuk Dr Awang Adek Hussin perlu memberi ruang kepada Ustaz Nasha mempertahankan Parlimen Bachok atau meletakkan Ustaz Nasha ke tempat lain yang dirasakan boleh menang," katanya. - Bernama

Tentang parodi Gangnam dan dapur Ketua Menteri

Posted: 06 Feb 2013 02:35 AM PST

 Oleh Izmil Amri

BAGAIMANAKAH caranya untuk Barisan Nasional (BN) menang di Pulau Pinang? Soalan ini susah. Banyak jawapan sudah diberikan, tidak kurang juga cadangan yang dilaksanakan untuk mengambil semula Pulau Pinang yang bagi kebanyakan penganalisis politik sebagai kawasan putih bagi Pakatan Rakyat, terutamanya DAP.

BN melalui Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengakui bahawa adalah tidak mustahil untuk parti pemerintah itu mentadbir semula negeri berkenaan. Cuma yang tinggal ialah apa strategi yang perlu dan patut untuk memenangi kembali hati pengundi Pulau Pinang yang menolak parti komponen BN dalam tsunami politik Mac 2008 lalu?

Sebagai sebuah koalisi politik yang sudah lama memerintah negara dan mendapat manfaat banyak daripada hasil negara sepanjang pemerintahan, BN adalah sebuah koalisi politik yang kaya. Bukan setakat kaya yang boleh beli kereta mahal dan rumah besar, tetapi kaya yang boleh beli jiwa raga dan maruah manusia.

Politik wang Barisan Nasional

Baru sahaja beberapa hari sudah Perdana Menteri, Najib Razak turun ke Ampang dan melancarkan kempen politik wangnya yang popular diberi nama BR1M 2.0. Seperti yang sebelumnya, kali ini bantuan kewangan RM500 itu dipohon oleh lebih ramai orang. Sekaligus membuatkan Najib Razak kembang dan bangga sambil merasakan pendekatan dan kempennya mendapat sambutan ramai. Konon rakyat sudah semakin sayang dan menyokongnya kembali.

Ada beberapa pertimbangan yang dapat kita buat daripada perihal BR1M 2.0 ini. Pertamanya ialah mengapa mesti Najib Razak melalui kerajaan dan jentera politiknya mengeluarkan wang tunai sebanyak itu untuk diagihkan kepada rakyat? Adakah rakyat sedang berada dalam kesempitan wang dan menjadi mangsa ekonomi? Adakah rakyat begitu susah sampai tidak ada duit untuk hantar anak ke sekolah dan memastikan tempayan beras sentiasa berisi?

Apa sebabnya bagi duit kepada rakyat? Ya, mungkin sebab rakyat tak ada duit. Tapi sebab apa rakyat tak ada duit? Adakah rakyat malas bekerja? Adakah sebab gaji tak naik? Adakah sebab harga barang melambung tinggi?

Pertimbangan seterusnya ialah mengenai naik turun sokongan rakyat terhadap Najib Razak dengan pemberian wang tunai. Ini jelas nyata adalah politik wang. Tidak semestinya disebut rasuah, tetapi lebih kurang begitulah keadaannya. Politik wang yang dilakukan oleh Najib ini adalah langkah paling mudah untuk meraih sokongan. Hanya kerana bangsa ini begitu mudah termakan dan rasa terhutang budi.

Makcik, pakcik; saya nak bagi tahu. Duit yang makcik dapat itu ialah sebahagian daripada duit makcik sendiri yang kerajaan kutip selama ini. Itu bukan duit daripada poket Najib Razak, makcik. Najib Razak tidak berhempas pulas jual pisang goreng dan cucur kodok untuk kaut untung dan beri zakat kepada kita semua, tidak. Najib Razak dan Rosmah Mansor tidak juga turun ke bendang membanting padi untuk kumpul duit dan berikan kepada pakcik. Tidak sama sekali.

Itu duit makcik lah yang mereka ambil. Sekarang dia bagi balik. Nanti bila makcik guna duit itu untuk beli barang dapur, dapat ke dia balik duit tu makcik.

Inilah dia politik wang. Rakyat tidak harus tertipu dengan politik wang yang menjadi kekuatan pemerintah yang telah gemuk menelan hasil kekayaan negara setelah puluhan tahun memerintah. Sudah berapa juta dia makan, hampas dan sisanya yang dibagi ke kita.

Orang Pulau Pinang tahu ini. Sebab itu orang Pulau Pinang dengan manis muka boleh selamba ambil duit BR1M, tetapi hatinya tetap tekad akan mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang.

Disebabkan kekayaan BN ini, mereka juga mampu membawa artis antarabangsa untuk menghiburkan kita semua. Pakatan Rakyat tidak begitu kaya. Yalah, tiada pengalaman makan rasuah atau rompak harta negara. Tidak macam BN. Mereka kaya. Apalah sangat DAP ini sekadar mampu buat parodi Gangnam Style. BN mahu bawa penyanyinya datang sendiri untuk menyanyi dan menari sambil menghibur hati rakyat demi memujuk sokongan terhadap mereka.

Pakatan Rakyat tidak mampu buat begini. Kami tidak kaya macam mereka. Kami tidak rompak harta negara.

Gong-xi-fa-PSY

Semenjak artis Korea, PSY yang popular dengan tarian Gangnam Style-nya diumum akan mencemar duli membuat persembahan di Pulau Pinang, meloncatlah sekalian yang patut meloncat. Paling kuat meloncat pasti lah pendokong BN Pulau Pinang yang begitu gembira dengan kedatangan artis berkenaan.

PSY sebenarnya telah dijadualkan untuk membuat persembahan di Future Music Festival Asia pertengahan Mac nanti; pastinya dengan dukungan Tourism Malaysia memandangkan (entah bagaimana) festival itu adalah sebahagian daripada program transformasi ekonomi. Kehadiran beliau untuk meraikan perayaan Tahun Baru Cina ini pastinya tidak termasuk dalam program, dan bayarannya juga pasti berbeza.

Apa yang kita tahu ialah sebagai artis bertaraf antarabangsa, PSY tidak akan melayan jemputan yang menjanjikan bayaran kurang daripada sejuta Dolar Amerika. Ya lah, artis popular. Takkan nak bayar guna Ringgit Malaysia. Satu juta Dolar Amerika (ini minimum ya) samalah dengan 3.5 juta Ringgit Malaysia; untuk satu lagu, daripada seorang penyanyi demi memikat hati pengundi Cina (katanya).

Hatta ada yang mencemuh kononnya DAP hanya mampu membuat parodi, dan BN juga yang hebat sehingga mampu membawa penyanyi asalnya ke mari. Inilah dia kesan pembodohan terancang oleh media yang dikawal pihak pemerintah pimpinan United Malays National Organisation sehingga tidak dapat meletakkan nilai kepada wang dan kemampuan sehingga boleh mengukur kebolehan memimpin dengan membandingkan artis mana yang dibawa masuk.

Ya benar, Pakatan Rakyat ada koalisi yang sederhana gayanya. Ia tidak mampu berbelanja besar dan menabur wang untuk membeli undi orang ramai. Tidak ada bayaran untuk datang berhimpun dan merelakan diri disepak terajang oleh pihak polis. Tidak ada bayaran untuk bawa sepanduk dan angkat bendera. Tiada bayaran untuk letakkan pelekat kempen pada kereta.

Tidak macam UMNO. Selagi tak ada yang 'masyuk' tidak jalan lah kerja.

Dapur Guan Eng

Cuba kita perhati sekeping gambar yang dimuatnaik oleh Puan Betty Chew, isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang memperlihatkan Lim Guan Eng sedang memasak di dapur. Mungkin apa yang orang hanya pandang ialah perbuatan Guan Eng memasak di rumah. Santai di dapur dengan rambutnya juga yang tidak diminyak.

Tetapi cuba pandang sedikit ke belakang dan lihat ruang dapurnya yang serba sederhana itu. Rak plastik yang bersepah dijual di pasar borong. Kain lap yang selalunya dijual lima helai sepuluh ringgit di pasar malam. Siap ada lesung batu yang terceruk. Pemimpin yang rendah hati dan baik budi inilah yang ditohmah siang malam dengan fitnah yang akhirnya dibuktikan tidak benar di mahkamah.

Bayangkan pula dapur pemimpin BN. Bayangkan Najib Razak menumbuk sambal belacan. Bayangkan isterinya sedang potong bawang. Mampu?

Benar, perjuangan ini adalah perjuangan kelas. Yang kaya semakin kaya, yang miskin dibaginya RM500 sudah mahu tunduk sujud menggadai masa depan. Yang kaya rompak harta negara, yang miskin dapat tengok PSY menari sudah melompat-lompat sayang ke Perdana Menteri. Pembodohan dan kebuntuan begini yang mesti kita lawan.

Tidak BN, undi kami orang Pulau Pinang tidak boleh dibeli dengan ang pau dan tarian Korea. Harga diri kami lebih tinggi daripada itu. Teruskanlah merancang bagaimana caranya untuk menawan kembali Pulau Pinang. Pergilah tidur dan bermimpi. Mudah-mudahan kalian mendapat ilham.-Roketkini.com

Muhyiddin bayang Chang Yeow Ketua Menteri Pulau Pinang jika BN menang

Posted: 05 Feb 2013 08:45 PM PST

SINAR HARIAN

Teng Chang Yeow
Teng Chang Yeow
 
BUTTERWORTH - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow boleh menjadi ketua menteri jika BN diberi mandat mentadbir semula negeri ini.

Ia bayangan pertama BN di negeri yang kini ditadbir Pakatan Rakyat.

Dipetik Bernama, beliau berkata, ini bukanlah satu pengumuman tetapi ia menggambarkan BN mempunyai pemimpin yang lebih layak untuk menerajui negeri ini dengan lebih baik.

"BN mempunyai banyak perancangan untuk majukan Pulau Pinang termasuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi mengatasi masalah perumahan di negeri ini, juga pelbagai projek pembangunan lain.

"Ketika ini banyak projek pembangunan yang dirancang di bawah agensi atau jabatan kerajaan persekutuan berdepan dengan pelbagai halangan untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri, oleh itu berilah BN peluang untuk mentadbir kembali Pulau Pinang untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran gelombang biru dan himpunan rakyat 1Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Inderawasih, Perai di sini malam tadi.

Turut sama pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30,000 orang itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Naib Presiden MCA yang juga Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Chang Yeow, 48, adalah bekas anggota exco kerajaan negeri dan dilantik memegang jawatan pengerusi BN negeri tahun lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon.

Muhyiddin menegaskan segala pencangan yang telah dilaksanakan kerajaan persekutuan di bawah program transformasi mencapai kejayaan yang membanggakan dan faedahnya dikongsi bersama dengan rakyat.

[VIDEO WAJIB TONTON] Sidang DUN K'tan vs TV3 Kes Geran Tanah Di RKT Lebir

Posted: 05 Feb 2013 08:26 PM PST

 
KELAB GREENBOC
 
Umno/BN Cuba Gagalkan MB Agih Geran Kepada Peneroka

GUA MUSANG: Sekumpulan penduduk di Paloh 2 difahamkan dipengaruhi Umno cuba menggagalkan program Kerajaan Negeri Kelantan mengagihkan geran kepada peneroka di RKT Lebir beberapa hari lalu.

Kira-kira 40 penduduk mengadakan demonstrasi di Simpang Paloh 2 dengan mengangkat sepanduk kertas ketika Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui kawasan itu untuk ke RKT Lebir.

Mereka melaungkan kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

Seorang ahli Umno yang mahu dikenali sebagai Pak Leh mendakwa kumpulan penyokong Umno Paloh 2 cuba menggagalkan program penyampaian geran di Lebir.

"Saya juga merima panggilan mlm tadi supaya hadir pada demontrasi tersebut.

"Saya diberitahu mereka mahu gagalkan program penyampaian geran. Tetapi tadi ada peneroka di sini yang pergi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Lot Kediaman kepada 84 peneroka.

Penyampaian geran tersebut disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Penyelia Parlimen Gua Musang, Dr Zulkifli Muhamad, Dun Paloh, Shah Aminudin, Penyelia Dun Nenggiri, Zuki Ibrahim, Penyelia Dun Galas, Abdullah Husin dan Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Husin.

Program penyampaian geran diteruskan biarpun Umno cuba menggagalkannya .

Malah di majlis itu, 54 orang ahli Umno turut menerima geran.

Turut kelihatan di tempat demontrasi ialah isteri Adun Paloh, Datin Mariah Din.

Adun Paloh Datuk Nozula Mat Diah juga ditemui tidak jauh dari lokasi demonstrasi.

Menteri Besar turut mengakui ada pihak tidak senang dengan program berkenaan.

Katanya, rakyat tanpa mengira politik turut diberi geran hak milik bagi membolehkan mereka memiliki tanah secara sah.

Orang ramai menyifatkan tindakan kumpulan penyokong Umno itu tidak wajar kerana cuba menghalang Menteri Besar mengagihkan geran kepada rakyat. -HD (30/1/13)


Saya yakin PR menang - Strategis tentera

Posted: 05 Feb 2013 08:14 PM PST

Harakahdaily,


AMPANG: "Saya yakin kali ini Pakatan Rakyat akan menang," kata bekas strategis Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafiz Abdul Hamid (gambar).

Penegasan itu dibuat beliau ketika memberikan ucapan dalam Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS.

Datuk Ghafir, bekas Timbalan Ketua Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu berkata, semasa pilihan raya 2008, beliau tidak yakin Pakatan boleh menang.

"Pada pilihanraya lepas, Pakatan Rakyat mungkin tidak menang. Itu sebab saya tidak mengeluarkan apa-apa statemen.

"Tetapi saya begitu yakin kali ini PR akan menang," kata beliau disambut tepukan dan teriakan takbir dari para hadirin.

Menurut Datuk Ghafir, mesej ini bukan beliau buat untuk anggota tentera tetapi lebih kepada orang awam.


Klik gambar untuk menonton ucapan Datuk Ghafir

Ceramah Anak di Felda Teloi Timur disekat lagi

Posted: 05 Feb 2013 08:04 PM PST

Gaya Peneroka,
Ceramah Anak disekat lagi!
 
Kali ini disekat di pintu masuk Felda Teloi Timur. OCPD Sik, DSP Ismail Ibrahim dan lebih 30 orang anggota polis gagal menyuraikan samseng jalanan yang membuat benteng menghalang saya dan hampir 500 orang dari kawasan berhampiran untuk masuk ke tapak ceramah.

Adalah sangat memalukan, samseng ini bermaharajalela dan hanya diperhatikan pihak polis. Sedihnya, OCPD dan anggotanya hanya bertindak mengawal lalu lintas bukan menghalau samseng jalanan!

Sekali lagi hak bersuara dinafikan. Saya kesian tengok peneroka Felda Teloi Timur. Tanam semula dah 3 tahun tak siap, hutang sara hidup bertimbun, kami datang nak membantu, disekat pula.

Pengkhianat yang merompak harta peneroka seperti Isa Samad disanjung, manakala Anak dan Pakatan Rakyat yg membela dan mempertahankan hak peneroka dihalang dari menyampaikan maklumat.

Saya dan Sanusi, Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah sempat berucap atas Hilux sebelum membuat laporan polis di IPD Sik.

Alhamdulillah, walaupun ahli PAS dari Sik dan Baling yang datang lebih ramai dari samseng jalanan tajaan Umno; kami tetap sabar.

Kita tinggal beberapa bulan sahaja lagi menawan Putrajaya. Kalau hampir 5 tahun boleh bersabar dengan berbagai ujian dan provokasi Umno, takkan tinggal 2 hingga 3 bulan tidak boleh menahan sabar. 

Berundur bukan bererti kalah, tapi berpandangan jauh dengan agenda lebih besar setelah menguasai Putrajaya!
Simpati dari warga Felda akan diperolehi. Gelagat samseng jalanan dirakam. Sebagaimana di Felda Sungai Tengi, laman sosial dan media baru menunjukkan aksi-aksi hodoh para samseng ini.

Manusia yang waras tak akan menyokong samseng jalanan ini.

Sesungguhnya, kita bukan jadi kuda tunggangan DAP; tapi samseng jalanan ini sedia diperalat oleh Ahmad Maslan, Isa Samad dan Faizoull Ahmad!

Pemimpin Umno seronok beri arahan, dok dalam bilik aircond; peneroka dan generasi 2/3 jadi korban.

Kesian sungguh.... (http://gayapeneroka.blogspot.com)

Deepak di Pejabat Agung PAS, bincang imuniti

Posted: 05 Feb 2013 08:00 PM PST

Harakahdaily,

 


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar bertemu dengan Deepak Jaikishan di Pejabat Agung PAS hari ini.

Ia berkaitan dengan permohonan Deepak untuk mendapat imuniti dari Pakatan Rakyat bagi membolehkannya mendedahkan lebaih banyak lagi berhubung isu yang turut mengaitkan pemimpin kanan negara.

Deepak, yang berkemeja kelabu dilihat tiba bersorangan di sini kira-kira jam 10.55 pagi.

Pertemuan secara terbuka di depan wartawan ini akan diadakan kira-kira jam 11 pagi ini.

Turut serta dalam pertemuan ini adalah Peguam PAS Asmuni Awi dan juga Dr Syed Azman Nawawi di samping beberapa pegawai kanan PAS.

Satu sidang media berhubung hasil perbincangan dan tidakan lanjut akan dibuat selepas pertemuan itu nanti.

Gwo Burne dedah satu lagi 'video isu hakim'

Posted: 05 Feb 2013 07:56 PM PST

 


 
MP Kelana Jaya Loh Gwo Burne yang meraih populariti selepas mendedahkan klip video VK Lingam pada 2007, hari ini mendedahkan satu lagi video yang didakwa menunjukkan bahawa badan kehakiman mudah terlibat dengan rasuah.

Video berkenaan direkodkan bapanya, Mui Fah beberapa tahun lalu semasa pertemuan dengan seorang akauntan untuk membincangkan satu kes sivil melibatkan beliau dan bapanya itu.

Klip video sepanjang dua minit itu antara lainnya menunjukkan Mui Fah bercakap mengenai hubungan akauntan tersebut dengan seorang yang dinamakan sebagai "W" yang didakwa sebagai seorang hakim kanan.

"Anda amat mengenali W. Dia kawan baik anda! Jadi anda boleh minta W tolong," kata Mui Fah.

"Ya... tapi tidak perlu. J ada di situ! Kawan baik saya. J, broker licik saya sejak lama," jawab akauntan tersebut.

Nama samaran "W" dan "J" itu tidak didengar daripada klip video berkenaan kerana disunting, namun dinyatakan dalam transkrip yang diedarkan Gwo Burne.

Gwo Burne mengakui bahawa bapanya sengaja "mengenakan" akauntan tersebut sebagai satu jaminan, selepas akauntan berkenaan menyebut mengenai hubungan dengan seorang hakim kanan.

Persembahan Psy: BN didakwa khianati artis tempatan

Posted: 05 Feb 2013 07:50 PM PST

 


 
Di saat kelembapan industri muzik Malaysia sejak lebih sedekad, langkah mengundang penyanyi luar, Park Jae-sang atau dikenali sebagai "Psy" untuk membuat persembahan percuma di Pulau Pinang sempena majlis rumah terbuka Gong Xi Fa Chai dengan bayaran lebih RM1 juta tak lain adalah satu bentuk pengkhianatan kepada industri muzik, penyanyi dan artis tempatan.

Biar apapun alasan atau pihak mana sekalipun yang dikononnya membayar, mengundang artis sepopular Psy untuk majlis sambutan Tahun Baru Cina kali ini yang akan pula melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tak lain diyakini sebagai usaha memancing sokongan undi khususnya golongan muda menjelang Pilihanraya Umum.

NONEHal ini cukup mendukacitakan terutama ketika artis veteran tempatan hanya dihulur RM2 ribu seorang baru-baru ini melalui Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M). Kalau bayaran kepada Psy berjumlah RM2 juta, ia bersamaan dengan peruntukan keseluruhan kepada YA1M untuk tahun ini.

Sekiranya persembahan Psy di Pulau Pinang itu kelak tidak mengenakan bayaran tiket kepada penonton, maka tentulah tidak akan ada apa-apa duti atau cukai langsung boleh dipungut oleh kerajaan.

Dalam kata lain, jemputan berbayar itu semata-mata akan merugikan dana rakyat. Perkara ini boleh disemak di bawah Akta Duti Hiburan 1953 dengan syarat-syarat untuk kerajaan mengutip duti atau cukai hiburan.

Isu ini berbeza dengan artis warga asing yang bekerja dan bekarya dalam Malaysia apabila mereka perlu membayar tarif cukai sebagaimana pekerja asing profesional lainnya.

Perihal artis luar menetap di Malaysia sebenarnya lebih mendatangkan keuntungan kepada industri berkaitan seni hiburan di samping memberikan hasil pungutan cukai kepada negara.

Pemerintah mungkin juga tak menyedari bagaimana ada ribuan penyanyi tempatan yang menerima bayaran persembahan sangat rendah atau mungkin sahaja secara percuma untuk mempromosikan bakat mereka.

Langkah mengundang Psy sekaligus membuktikan bahawa dasar kebudayaan nasional sekian lama telah gagal melahirkan artis Malaysia yang mampu popular dan setanding di peringkat antarabangsa.



Hasmi Hashim adalah penulis lirik yang tersohor dengan nama Buddhi Hekayat.

Penganalisis persoal harga jualan saham FGV dalam Tradewinds

Posted: 05 Feb 2013 07:45 PM PST



 
Keputusan Felda Global Ventures (FGV) untuk menjual 20 peratus kepentingannya dalam syarikat tersenarai Tradewinds (M) Sdn Bhd  pada harga RM9.30 sesaham tidak mencerminkan nilai sebenar pegangan, yang menurut penganalisis, sepatutnya  lebih tinggi.

Walaupun Tradewinds tidak dinilai tinggi di pasaran, tetapi urusniaga persendirian aset yang sama kepada mereka yang dipegang oleh Tradewides, yang dimiliki oleh jutawan Syed Mokhtar al-Bukhary, memberi cerita yang berbeza.

Sebagai contoh, penganalisis berkata Tradewinds Plantation - anak syarikat yang 73 peratus milik Tradewinds sahaja memiliki lebih 150,000 hektar tanah.

"Tanah perladangan di Malaysia diurusniaga setinggi RM20,000 sehektar," kata seorang penganalisis yang biasa dengan sektor perladangan.

Tradewinds juga memiliki kepentingan majoriti dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan memegang aset dalam industri gula.

FGV minggu lepas menerima tawaran untuk menjual kepentingannya dalam Tradewinds pada harga RM9.30 seunit, atau RM550 juta. Harga seunit itu sekurang-kurangnya 30 sen lebih rendah daripada penilaian bebas.

Menurut pekeliling kepada pemegang saham daripada firma broker M & Keselamatan A, harga nilai saksama Tradewinds ialah antara RM9.60 dan RM11.10 seunit.

Pada harga ini, FGV boleh memperolehi RM569 juta hingga RM658 juta, atau RM108 juta lebih.

Kes gajah Sabah: Ganjaran RM50k

Posted: 05 Feb 2013 07:39 PM PST

 
KL TODAY
 
Siasatan mengenai kematian 14 gajah pigmy Borneo secara misteri di Hutan Simpan Rara kira-kira 139km dari Tawau baru-baru ini diperhebat dan ganjaran tambahan sebanyak RM50,000 ditawarkan kepada mereka yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab bagi kematian haiwan itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata beliau diberi taklimat tentang perkara itu oleh setiausaha tetapnya Datuk Micheal Emban, yang mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas berhubung kematian gajah berkenaan.

"Sekiranya laporan ahli kimia menunjukkan gajah itu dibunuh secara sengaja, maka kementerian bersedia menawarkan ganjaran RM40,000 kepada pemberi maklumat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Malindo Air bagi laluan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Masidi berkata demikian apabila ditanya tentang perkembangan terkini siasatan berhubung kematian haiwan berkenaan.

Sebelum ini, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pensabitan kesalahan mereka yang menyebabkan kematian gajah yang diancam kepupusan itu.

"Jadi, dengan tawaran RM10,000 oleh MATTA, jumlahnya kini menjadi RM50,000," kata Masidi.

Bagaimanapun, tawaran itu tertakluk kepada laporan ahli kimia, yang dijangka dikeluarkan Jumaat ini, kata beliau, yang sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa berdasarkan pemeriksaan awal terhadap bangkai gajah terbabit, kematian haiwan itu mungkin kerana diracun.

Sementara itu, Masidi berkata dua pegawai kanan polis dilantik menyiasat kes berkenaan.

Pada 1 Februari, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dipetik sebagai berkata bahawa polis Sabah telah membuka kertas siasatan berhubung kematian gajah itu.

Hamza berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana melakukan kejahatan dengan membunuh atau mencederakan haiwan, yang memperuntuk hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Penyiasatan kami melibatkan aspek jenayah," katanya

Tiada ulasan: