DIALOG RAKYAT |
- Kakitangan JPNINP cedera
- BN bazir RM2 juta bawa ‘Gangnam’, rakyat miskin terabai
- 430 Projek Tertangguh Didakwa BN, Sudah Diselesaikan Kerajaan Negeri
- Tentera yakin Pakatan mampu jaga kebajikan
- Jumlah Pampasan Air : Selangor Tunggu Keputusan Timbang Tara
- ‘Tipu PRU, rakyat bangkit humban kamu’ pecutan akhir PRU 13
- ROS Diminta Selesai Kemelut Kepimpinan Persatuan Bekas Polis
- Malaysia tunggu laporan kes kematian wartawan
- MB: Pusat tidak minat bantu Selangor
- Ambrin dilantik semula sebagai ketua audit negara
- Yahya yakin Pakatan dapat 18 kerusi
- Antara badut dan calon kitar semula
- Pornthip sedia periksa mayat Sugumar, kata peguam
- Guan Eng gembira dengan kedatangan 'Gangnam'
- Peminat rayu Psy: Jangan jadi alat BN
Posted: 04 Feb 2013 04:50 AM PST KUANTAN – Seorang kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pahang (JPNINP) cedera selepas khemah yang diduduki terbalik dan terbang dalam kejadian hujan serta ribut di Teluk Chempedak, semalam. Wanita berkenaan yang juga Penolong Guru Tadika Perpaduan Balok Makmur 1, Norhashimah Sulaiman, 23, dikatakan berada di khemah berhadapan pantai bersama beberapa lagi rakan untuk menyediakan makanan kepada peserta dan pengunjung sempena program My Beautiful Malaysia. Norhashimah dikatakan cedera di beberapa bahagian badan, bagaimanapun tindakan cepat orang ramai dan pasukan keselamatan dapat membawa wanita itu dengan segera ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut. Pengarah JPNINP, Fairojibanu Zainal Abidin mengesahkan kejadian itu tetapi belum pasti kecederaan yang dialami kakitangannya. "Kita sudah maklum kejadian ini dan Norhashimah sudah dibawa ke HTAA untuk rawatan lanjut," katanya. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kecederaan yang dialami kakitangannya sehingga doktor mengesahkannya. Pengunjung panik Pengunjung pantai Teluk Chempedak, dekat sini, panik dan lari bertempiaran menuju ke bawah bangunan berdekatan selepas ribut dan hujan lebat tiba-tiba melanda kawasan berkenaan, semalam. Akibat kejadian itu juga, dua pokok tumbang. Kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 pagi ketika semua peserta siap mengadakan gotong-royong dan berkumpul di bawah khemah di dataran Teluk Chempedak untuk mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui skrin gergasi di situ. Seorang petugas, Hazlina Ismail, 43, berkata, dia bersama rakan lain terpaksa melarikan diri apabila tiba-tiba khemah mereka terangkat dan terbalik bersama dua pokok berdekatan khemah terbabit. "Saya dah nampak keadaan laut putih manakala angin sangat kencang dan kami yang berada di bawah khemah terasa seperti terbang," katanya yang bertugas di bahagian jamuan. Menurutnya, dia dan beberapa rakan lain cuba bertahan dan duduk di situ sehinggalah khemah terbalik akibat angin terlalu kencang. Berlari selamatkan diri Rakannya, Sy Zaharah Sy Abd Rahman mengakui kejadian itu pertama kali dialaminya dan tidak menyangka ribut kuat memusnahkan khemah yang menjadi tempat mereka menyajikan makanan kepada tetamu. Katanya, sebaik sahaja khemah 'terbang' dia berlari menyelamatkan diri ke bawah bangunan gerai makan berdekatan. "Saya tidak mendengar apa-apa pun kecuali angin kencang," katanya yang masih terkejut dengan kejadian rakannya cedera dalam kejadian itu. Ketika kejadian juga, polis dan anggota keselamatan turut membantu mengawal keadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Sementara itu, semua pemimpin yang bersama meraikan My Beautiful Malaysia dan pengarah agensi kerajaan terus berada bersama ketika kejadian ribut dan meneruskan acara jamuan selepas itu. Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan dilihat menyajikan makanan kepada pengunjung dan peserta My Beautiful Malaysia. LIHAT VIDEO DI SINI ( Ehsan : darisungaiderhaka.blogspot.com ) |
BN bazir RM2 juta bawa ‘Gangnam’, rakyat miskin terabai Posted: 04 Feb 2013 01:16 AM PST Oleh Mohd Arif KUALA LUMPUR: Perbelanjaan BN membawa penyanyi pop Psy yang popular dengan lagu 'Oppa Gangnam Style' dan tarian kuda sebanyak RM2 juta adalah pembaziran melampau ketika rakyat dibebani kos sara hidup tinggi dan dihimpit kemiskinan. Mengulas demikian, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, kerajaan gagal memikirkan strategi terbaik untuk menarik sokongan rakyat pada acara sambutan Tahun Baru Cina itu. Katanya, MCA dan Gerakan khusus di Pulau Pinang makin hilang keyakinan untuk memulihkan imej politik apabila memilih tindakan membazir itu. "MCA dan Gerakan gagal memilih program yang baik untuk sambutan Tahun Baru Cina dengan menjemput Psy sekaligus menunjukkan mereka hilang tarikan dan arah tuju politik untuk menarik sokongan dan kehadiran ramai orang ke program BN," katanya ketika dihubungi. Tian berkata, tidak mustahil masih banyak lagi pembaziran wang rakyat oleh Umno BN secara tersembunyi. "Pembaziran secara jelas tersebut boleh diguna untuk meringankan beban ramai lagi rakyat miskin," ujar Ahli Parlimen Batu itu. Penyanyi Korea Selatan yang nama sebenar Park Jae-Sang bakal membuat persembahan pada 11 Februari ini di padang Sekolah Han Chiang, lokasi menjadi simbolik kemenangan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada Pilihan Raya 2008. Psy dilaporkan oleh portal hiburan tempatan meminta penganjur konsert dari Malaysia sejumlah US$750,000 (RM2.3 juta) jika mahu beliau tampil di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Acara ini dijangka akan turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Difahamkan, dengan kos RM2 juta itu, Psy mungkin akan membuat penampilan ringkas hanya sejam. Mengulas sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyeru Malaysia mengambil iktibar kejayaan dicapai Korea Selatan sehingga mampu mencapai taraf negara maju. "Jangan mengagumi Psy dan Gangnam Style tetapi lebih penting lakukan perubahan dalam PRU 13 sebagai pra-syarat memacu Malaysia setaraf Korea Selatan," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu. Beliau berkata, langkah BN menjemput Psy adalah senjata rahsia Najib untuk menarik 60,000 pengunjung sempena Rumah Terbuka BN Pulau Pinang. Dalam isu berasingan, Kit Siang menolak tuduhan kononnya perubahan kerajaan pasca PRU 13 akan huru hara seperti 'Arab Spring' dan Malaysia akan bankrap beberapa tahun selepas itu sebagai tidak berfakta. "Pakatan akan melakukan reformasi ekonomi dan politik dengan meniru Korea Selatan yang mampu menjadi negara maju walaupun lewat 1960an dulu, negara itu antara paling miskin di dunia," jelasnya dalam kenyataan. |
430 Projek Tertangguh Didakwa BN, Sudah Diselesaikan Kerajaan Negeri Posted: 04 Feb 2013 01:13 AM PST SHAH ALAM : Krisis air yang menyebabkan 430 projek pembangunan ditangguhkan seperti yang didakwa oleh Umno-BN kini sudah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hal itu diselesaikan selepas Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) membenarkan perkara itu diluluskan. Katanya, selain Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Kerajaan Negeri turut mempunyai kuasa bagi memberi kelulusan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perjanjian konsesi. "Semua pentadbiran air ini dibawah Pengarah Kawal Selia Air di bawah UPEN, jadi jika Syabas tidak beri kelulusan tetapi UPEN beri kelulusan maka ia boleh dilaksanakan. "Jadi ia tidak ada masalah, sebab UPEN sudah beri kelulusan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 di Universiti Selangor (Unisel). Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ; Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa krisis air di Selangor menyebabkan 430 projek pembangunan terpaksa ditangguh dan berbilion pelaburan tidak diperoleh di Selangor. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba menyelamatkan Syabas dengan tambahan peruntukan sebanyak RM120 juta. Peruntukan ini dakwanya lagi menjadikan jumlah dana yang diberi kepada Syabas meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun. Katanya, peruntukan tambahan itu juga membuktikan bahawa krisis air di Selangor dan Kuala Lumpur tiada kaitan dengan keperluan untuk penyaluran air dari projek Langat 2. "Sebaliknya, ia membuktikan bahawa krisis itu adalah disengajakan oleh SYABAS untuk menaik taraf loji rawatan, membina kapasiti air tambahan yang dirawat serta membaiki dan menggantikan paip lama dan pecah," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. |
Tentera yakin Pakatan mampu jaga kebajikan Posted: 04 Feb 2013 01:12 AM PST Oleh Norutul Ilham KUALA LUMPUR : Menjaga kebajikan tentera bukan kerana mereka penjawat awam, tetapi pengorbanan yang diberikan demi menjaga keamanan negara. Demikian menurut Pengerusi Majlis Perundingan Keselamatan Tentera KEADILAN, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab, menyifatkan kerajaan Umno BN lepas tangan isu kebajikan tentera menyebabkan golongan itu kecewa. "Kebajikan bukan bermula apabila mereka pencen, tetapi isu kebajikan perlu diutamakan ketika mereka masih berkhidmat termasuk untuk keluarga tentera. "Mereka bekerja 24 jam untuk jaga keamanan negara. Cuti kalau dipanggil (bertugas), mereka terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anak," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, dalam keadaan negara aman, sepatutnya keperluan dan kebajikan tentera diutama berbanding membeli peralatan yang difikirkan tidak perlu. "Kerajaan patut tumpu dan utamakan kebajikan tentera seperti peruntukan perumahan dan agihan bantuan. "Bukan kita menolak daripada membeli peralatan senjata, tetapi tengok apa yang lebih penting. Sekiranya keperluan mereka lengkap, tiada apa yang akan dipertikaikan asalkan berguna untuk menjalankan tugas," ujarnya yang berkhidmat 30 tahun dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kata Penasihat Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) itu lagi, jika kerajaan mengutamakan kebajikan tentera, mereka akan lebih bersemangat menabur bakti kepada negara seperti dijanjikan Pakatan Rakyat. "Kalau keluarga dan kebajikan mereka kita jaga betul-betul, mereka akan lebih bersemangat untuk bekerja. "Itu adalah motivasi kepada mereka. Saya yakin ramai yang akan sertai tentera. Tiada sebab mereka menjalankan tugas sambil lewa," katanya. Pakatan Rakyat mahu tingkat kebajikan anggota tentera, polis apabila diberi mandat mentadbir negara. Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebajikan badan itu sama ada masih berkhidmat atau bersara akan diberi setimpal dengan pengorbanan menjaga keselamatan negara. Berucap pada majlis Hi-Tea bersama 500 rakyat di Kampung Gangsa, Durian Tengah, Melaka petang semalam, Anwar berkata, jasa dan pengorbanan polis dan tentera tidak boleh sama sekali dipandang rendah. |
Jumlah Pampasan Air : Selangor Tunggu Keputusan Timbang Tara Posted: 04 Feb 2013 01:08 AM PST SHAH ALAM : Tawaran harga pampasan kepada empat syarikat konsesi air Selangor dalam usaha mengambil alih perkhidmatan air akan ditentukan melalui proses timbang tara antarabangsa. Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd. Sementara pengagihan air terawat pula dikendalikan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian selepas semua prosedur dilaksanakan. Katanya, syarikat konsesi boleh memaklumkan jangkaan harga tawaran itu kepada media tetapi Kerajaan Negeri menunggu hasil keputusan perunding timbang tara antarabangsa. "Buat masa ini kita tidak umumkan berapakah jumlahnya kerana ia ada hubungan dengan 'security commision', kita tidak boleh membuat pengumuman sekarang kerana ia adalah maklumat sensitif dan melibatkan bursa saham. "Jadi kita akan umumkan semasa kita mahu ambil alih nanti," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvesyen Pendidikan Antarabangsa di Universiti Industri Selangor (Unisel) 2013. Minggu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan akan mengambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari. Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut. Usaha mengambil alih perkhidmatan air daripada empat syarikat tersebut adalah sebahagian daripada objektif Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menstruktur semula industri air. |
‘Tipu PRU, rakyat bangkit humban kamu’ pecutan akhir PRU 13 Posted: 04 Feb 2013 01:03 AM PST Oleh Aedi Asri KUALA LUMPUR : Jelajah anak muda dengan tema 'Tipu PRU, rakyat bangkit humban kamu' merupakan pecutan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13). Program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Asal Bukan Umno (ABU) itu khusus untuk menyampaikan maklumat terus kepada rakyat setiap kawasan tumpuan di seluruh negara. "Antara objektif jelas SAMM sebagai organisasi massa ialah persiapkan rakyat untuk perubahan, dan menyedarkan hakikat perubahan hanya boleh bermula dengan jatuhnya Umno BN," kata Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin. Beliau berkata, peluang menang berdasarkan sokongan amat cerah, namun penipuan PRU jadi musuh utama. "Justeru regim (Umno BN) harus diberi amaran, rakyat harus bersiap sedia. Berlaku sahaja penipuan yang memenangkan BN, dalam tempoh 24 jam rakyat harus turun ke jalan tanpa arahan," tegasnya pada sidang media pelancaran jelajah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, hari ini. Jelajah ini dijayakan bersama NGO-NGO bersekutu, organisasi mahasiswa dan anak muda serta pelbagai peringkat Pakatan Rakyat. "Turut diedarkan di sepanjang jelajah, set risalah diterbit oleh ABU dan SAMM, selain memastikan maklumat Pakatan Rakyat terus kepada rakyat," kata Badrul Hisham. Jelajah merangkumi 16 lokasi dan kemuncaknya Konvensyen Tuntutan Rakyat di Kuala Lumpur 23 Februari ini. Berikut adalah jadual dan lokasi jelajah: 1 Feb – Kg Parit Perawas, Sg Rambai, Melaka (012-2478016) 3 Feb – Jalan Seroja 1, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor (012-3312364) 4 Feb – Kg Bahagia Teluk Intan, Perak (012-5595258) 5 Feb – Dewan Sepak Takraw Sg Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor (012-3312364) 6 Feb – Dataran Pasti Bandar Putra, Kulai, Johor (012-7030747) 7 Feb – Taman Kenanga, Jalan Bakri, Muar, Johor (017-3563823) 9 Feb – Felda Palong 2, Gemas, N.Sembilan (Pertanyaan 0123696474) 11 Feb – Depan Kem PGA Kubang Badak, Kuala Terengganu, Terengganu 12 Feb – Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan (019-9317608) 13 Feb – Pejabat KEADILAN Paya Besar, Permatang Badak, Kuantan, Pahang (017-9573855) 18 Feb – Depan Pasaraya C-Mart Arau, Perlis (019-4342244) 19 Feb – Kg Sungai Layar Hujung, Sg Petani, Kedah (017-5568557) 20 Feb – Bukit Panchor, Nibong Tebal, P.Pinang (012-4702074) 21 Feb – Unit Peti Undi (UPU) Pas Teluk Sarih Kg Gajah, Perak (012-5595258) 22 Feb – Palm Grove, Persiaran Raja Muda Musa, Klang, Selangor (019-9809974) 23 Feb – Kemuncak: Konvensyen Di Kuala Lumpur (010-2675872) |
ROS Diminta Selesai Kemelut Kepimpinan Persatuan Bekas Polis Posted: 04 Feb 2013 12:58 AM PST KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) diminta menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku di dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) sekaligus memutuskan pucuk pimpinan sebenar yang layak mengemudi persatuan berkenaan. Kemelut yang bermula sejak tahun 2005 ini timbul ekoran penyelewengan RM200,000 daripada RM500,000 Geran Bantuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak khusus untuk Tabung Kebajikan dan Pentadbrian Persatuan Bekas Polis yang melibatkan seorang ahli PBPM bernama Shafie Bakri daripada Ibu Pejabat PBPM Pusat. Naib Presiden PBPM, Nasiruddin Mohamad dalam satu sidang media berkata, sehingga kini pihak ROS masih berdiam diri dan tidak memberikan sebarang jawapan terhadap aduan yang dibuat sebelum ini. "Menghormati nasihat daripada Penasihat PBPM yang juga Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, satu laporan polis dibuat Mohd Hanafiah Abd Manap, Bendahari Agung PBPM yang juga Pengerusi PBPM Selangor mengenai penyelewengan tersebut. "(Jumlah) RM200,000 dipindahkan ke akaun sebuah syarikat atas nama KT Solution Enterprise beralamat di Kelang yang kononnya bertindak sebagai orang tengah untuk mendapatkan geran tersebut serta bayaran komisyen," katanya. Selain ROS, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dibuat oleh Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) bersama SAMM Pulau Pinang. Nasiruddin mendakwa, Shafie yang kini kononnya menjawat jawatan Presiden PBPM didapati terlibat perlanggaran fundamental peruntukkan undang-undang kerana terlibat mengatur kehadiran 'Perwakilan Haram' dari Pulau Pinang yang hadir ke Perhimpunan Agung pada 24 Januari 2009 untuk mengundi dan memilih beliau sebagai Presiden sedangkan Pendaftar Persatuan Pulau Pinang dibubarkan oleh ROS pada 25 Jun 2008. "Dibuktikan juga wujud pemalsuan tandatangan semasa beliau mengendalikan Mesyuarat Agung Negeri Kedah pada 15 Disember 2008 sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Pemilihan Ahli Majis Tertinggi PBPM pada 24 Januari 2009. "Beliau juga didapat terlibat menghantar laporan palsu kepada ROS Wilayah Persekutuan bahawa pemilihan Ahli Majlis tertinggi yang diadakan di Kelab Golf Titiwangsa Kuala Lumpur pada 24 Januari 2009 sebagaimana perintah mahkamah sedangkan semasa melaksanakan perhimpunan tersebut, beliau bersubahat dan dengan sengaja gagal mematuhi Undang-Undang Tubuh serta Akta Pertubuhan 1966 yang boleh menjurus kepada pertuduhan di bawah Seksyen 15 Akta Pertubuhan (Person Responsible For Suplying Information)," ujar beliau lagi. Sehubungan itu, Nasiruddin mendesak agar ROS mencari jalan penyelesaian alternatif tanpa melibatkan pembubaran persatuan ekoran kesalahan yang dibuat oleh seorang individu. Tegas beliau, sekiranya berlaku pembubaran persatuan, satu Himpunan Bekas Polis Seluruh Malaysia akan dibuat bagi menuntut hak mereka yang dinafikan akibat penyelewengan pihak tidak bertanggungjawab. |
Malaysia tunggu laporan kes kematian wartawan Posted: 04 Feb 2013 12:50 AM PST Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa Lubnan berhubung kes kematian wartawan Malaysia, Claudia Theophilus. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata laporan awal pihak polis Lubnan memaklumkan kematian mendiang disebabkan kemalangan ketika menggunakan senjata api. "Kes ini masih dalam siasatan pihak polis Lubnan dan keluarga mendiang telah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Claudia, 42, petugas di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu, 2.30 pagi waktu Lubnan. Laporan media menyebut mendiang dipercayai ketika itu sedang melakukan kunjungan tiga hari ke Baakleen, Lubnan bersama dua rakannya yang merupakan rakyat negara itu. Anifah berkata kementeriannya akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan selain memberi khidmat konsular kepada keluarga mendiang. Dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia mengecam serangan bom ke atas Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Ankara, Turki pada Jumaat yang mengorbankan seorang pengawal keselamatan warga Turki. Turut terbunuh suspek yang meletupkan bahan letupan itu. Anifah melahirkan rasa simpati Malaysia dengan kematian dan kecederaan terhadap orang awam akibat letupan itu. - Bernama |
MB: Pusat tidak minat bantu Selangor Posted: 04 Feb 2013 12:44 AM PST KL TODAY SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memberi secara terperinci bentuk perbelanjaan membabitkan bantuan kewangan RM120 juta yang diterima syarikat konsesi itu daripada kerajaan persekutuan. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, desakan itu akan dibuat kerajaan negeri sekiranya kerajaan persekutuan masih bertekad membantu syarikat itu. "Kerajaan Selangor mempertikaikan tindakan kerajaan persekutuan membantu Syabas meluluskan bantuan kewangan walaupun terbukti syarikat konsesi berkenaan didakwa gagal menguruskan bekalan air bersih, sumber air secara profesional dan berkesan. "Dana ini membuktikan kerajaan pusat sebenarnya tidak berminat membantu Kerajaan Selangor mengambil alih air demi kebajikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau menambah, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih mengutamakan syarikat konsesi yang dikuasai kroni Umno yang selama ini berusaha menaikkan kadar tarif air tetapi berjaya dihalang oleh Kerajaan Selangor. Namun katanya lagi, Kerajaan Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan serta kemampanan generasi sekarang dan akan datang supaya tidak dibebani dengan pelbagai hutang tidak perlu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyokong usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor yang memberikan penyelesaian secara menyeluruh dalam memastikan perkhidmatan air diuruskan dengan profesional, berhemah dan cermat oleh kerajaan negeri. Dakwa beliau lagi, sebelum ini walaupun Syabas menerima pinjaman mudah daripada kerajaan pusat tetapi syarikat itu yang menerima konsesi selama 30 tahun untuk menguruskan air di Lembah Klang namun tetap gagal menurunkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini pada paras 33 peratus. "Dalam Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 antara tiga pihak iaitu Syabas, kerajaan negeri dan Pusat, Syabas perlu mematuhi perjanjian dengan menurunkan NRW kepada 19.98 peratus pada 2011. "Bagaimanapun, selepas membelanjakan RM1,169.64 juta – yang jauh melebihi jumlah yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi – kadar NRW masih pada paras 33 peratus," ujarnya. Sehubungan itu katanya, kegagalan menurunkan NRW kepada 19.98 eratus seperti dijanjikan dalam Perjanjian Konsesi sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi kerana kelemahan Syabas merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan. Katanya lagi, kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 juta liter sehari (JLH) yang mana jumlah ini dapat menampung permintaan air hingga 2017. |
Ambrin dilantik semula sebagai ketua audit negara Posted: 04 Feb 2013 12:40 AM PST Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu adalah untuk tempoh sehingga 22 Feb 2015. Beliau berkata pelantikan semula itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Pelantikan semula itu adalah memandangkan perkhidmatan Ambrin sebagai Ketua Audit Negara masih diperlukan, katanya. Ambrin dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun mulai 23 Feb 2006 dan seterusnya perkhidmatan beliau disambung sehingga pelantikan semula yang baharu ini.- Bernama |
Yahya yakin Pakatan dapat 18 kerusi Posted: 04 Feb 2013 12:39 AM PST KL TODAY AMPANG: Bekas Timbalan Menteri persekutuan Datuk Yahya Lampong yakin Sabah akan membentuk kerajaan baru dari Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke 13 (PRU13) nanti. Beliau yakin Pakatan akan menang 18 kerusi parlimen di Sabah yang mana 13 kerusi adalah dari kawasan Kadazan, Dusun, Murut dan Cina (KDMC) dan lima lagi kerusi Bumiputra Islam. Yahya yang merupakan orang Bajau pernah menjadi timbalan menteri ketika Tun Dr Mahathir adalah perdana menteri. Beliau adalah penyokong kepada Tun Datuk Mustapha ketika itu pernah menjadi anggota Parlimen dan Adun Sabah beberapa kali. Hari ini beliau berucap dalam Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS bersama tokoh-tokoh yang baru menyertai PAS. "Saya berkeyakinan penuh pada pilihanraya kali ini Sabah akan menyumbangkan 18 kerusi parlimen dari kawasan KDMC. (Tokoh-tokoh baru PAS bertakbir bersama dalam himpunan hari ini) "Di Sabah kita telah kena pasti majoriti pengundi Cina sudah menolak Barisan Nasional dan mereka memberi sepenuhnya sokongan kepada kita (Pakatan)," jelas beliau. Menurutnya lagi, rakyat Sabah kecewa apabila tidak bersama-sama negeri di semenanjung pada 2008 membentuk kerajaan yang baru. "2008 kita sepatutnya telah bersama-sama membentuk kerajaan baru di peringkat negeri. "Kali ini pada PRU13 saya yakin perubahan besar akan berlaku dan menjamin perubahan kerajaan akan berlaku," tambah beliau lagi. Yahya yang menjelaskan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu yang telah berjaya mengabungkan semua kaum untuk duduk bersama. Tindakan inilah yang telah menyebabkan rakyat Sabah semakin berani untuk membuat perubahan tampuk pemerintahan, jelas beliau di Hotel De Palma hari ini. |
Antara badut dan calon kitar semula Posted: 04 Feb 2013 12:32 AM PST Abdul Rahman Hashim Saya terpaksa tidak bersetuju jika ada sesiapa yang cuba melabelkan Ibrahim Ali, Hassan Ali, Ezam Mohd Nor, Zulkifli Nordin, Zahid Md Arip, Ruslan Kasim, Zaharin Hashim, Nallakarupan, Gobalakrishnan, Wee Chee Keong sebagai 'Badut-Badut Politik' untuk memPERKASAkan UMNO yang dahulunya pernah mereka perkasamkan. Antara PERKASA dan PERKASAM memang ada perbezaannya. Bukankah mereka sanggup mengorbankan maruah politik mereka dengan mengkhianati perjuangan parti yang telah memenangkan sebahagian daripada mereka dalam pilihan raya umum yang lepas? Ibrahim Ali sanggup menghina dan mencerca PAS walaupun dia menang di Pasir Mas atas tiket PAS berlawan dengan UMNO/BN dan kini menjadi orang paling perkasa menyokong UMNO. Dr Hasan Ali, ADUN Gombak Setia juga sedemikian, sebelum ini begitu lantang mengkritik dasar perjuangan UMNO yang dianggap tidak islamik, tetapi hari ini setelah dipecat darpada PAS beliau beralih arah untuk bersekongkol dengan UMNO dan melupakan sahaja bahawa parti UMNO bukanlah serasi dengan perjuangan Islamnya. Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang bertanding atas tiket PKR walaupun kemenangannya dalam PRU12 dahulu penuh dengan kontroversi akhirnya beliau diiktiraf juga sebagai pemenang menumpaskan calon UMNO. Hari ini sebagai Ahli Parlimen Bebas beliau dianggap sebagai orang kuat Najib yang mendapat berbagai layanan istimewa melebihi tokoh-tokoh UMNO yang lain. Sebelum ini Zul Nordin begitu alergik dengan perjuangan UMNO yang pernah dianggapnya sebagai tidak Islamik. Begitu juga dengan Ezam Mohd Noor yang pernah menjadi tonggak perjuangan 'Reformasi' dalam PKR dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Anwar pada zaman kegemilangan Anwar di dalam UMNO, kini menjadi kesayangan UMNO untuk menibai Anwar. Beliau pernah mendakwa memiliki 6 peti tentang salah laku pemimpin-pemimpin kerajaan BN, namun hari ini beliau mungkin menyesal membuat dakwaan itu sebaliknya hari ini beliau menyatakan bahawa pemmpin-pemimpin UMNO hari ini lebih bersih daripada pemimpin-pemmpin Pakatan Rakyat. Zahid Md Arip cucu Tun Ghafar Baba pula hari ini dijulang sebagai Mursyidul Am TIBAI yang menyamai Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau di antara tokoh pemuda PKR yang jijik melihat perlakuan songsang pemimpin-pemimpin UMNO; namun hari ini beliau bagaikan menarik semula apa yang dilontarkannya itu demi untuk membelai hati Perdana Menteri Datuk Seri Najib. Zahid Md Arip merasakan perjuangan TIBAI yang mendedahkan keaiban Anwar Ibrahim bagaikan dituntut oleh Islam. Sebagai Mursyidul Am TIBAI, perbuatan menibai orang lain mungkin menjadi halal di sisinya. Ruslan Kassim bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia yang pernah menjadi Ketua Penerangan PKR kini terpaksa pasrah bersama UMNO kembali. Beliau sering menghentam UMNO semasa dalam PKR, namun hari ini demi suvival dirinya beliau bukan sahaja bersukaria di dalam UMNO malah Ibrahim Ali juga adalah ikon perjuangan politiknya dengan memberikan tempat kepada Ruslan Kassim sebagai Ketua Penerangan PERKASA. M. Nallakarupan rakan baik Anwar Ibrahim hari ini bukan sahaja bergelar Datuk tetapi lebih dariipada itu, beliau juga diberi kepercayaan oleh boss barunya Najib sebagai seorang Ahli Dewan Negara@Senator. Begitu pantas pendakian politik Nallakarupan sehingga melangkahi tokoh-tokoh MIC lain yang banyak berjasa kepada BN. Nalla kini mengetuai sebuah sebuah parti India yang mesra BN dan rasanya beliau akan teus mendapat layanan istimewa oleh Najib selagi beliau sanggup menjadi pencacai mendedahkan tembelang Anwar Ibrahim., Wee Chee Keong Ahli Parlimen Wangsa Maju yang menang majoriti 150 undi dalam PRU12, kini meninggalkan PKR untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas. Beliau tak boleh menyertai UMNO, tetapi beliau juga tidak dikehendaki oleh MCA dan juga GERAKAN. Wee Chee Keong kini begitu akrab hubungannya dengan Najib dan beliau sanggup berdansa di pentas aidilfitri bersama-sama Najib dan Rosmah untuk melorongkan dirinya menjadi calon semula di Wangsa Maju. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang atas tiket DAP sebelum dsingkirkan oleh parti itu. Dalam PRU12, Wee Chee Keong bertanding atas tiket PKR menewaskan Yew Teong Look dari MCA di Wangsa Maju. Datuk Seri Zaharin Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru juga sanggup berkorban meninggalkan PKR untuk menyokong UMNO. Hari ini beliau memperolehi 'specal treatment' daripada Najib di atas jasa-jasanya memburukkan Anwar dan PKR. Sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra BN, rasanya Zaharin Hashim akan diberikan pertimbangan untuk menjadi calon BN menentang PKR di Bayan Baru? Saya terdorong untuk membuat kupasan atas isu ini, kerana ada rasa kebimbangan di sudut hati saya bahawa pengorbanan mereka mengkhinati parti mereka sebelum ini tidak dapat diterima oleh sebahagian pemimpin UMNO terutama di kawasan parlimen masing-masing. Rasanya tidak adil jika wujud penolakan terhadap mereka ini, kerana UMNO harus membuat pengorbanan memberikan laluan kepada mereka yang berjasa ini untuk bertanding dalam PRU13 nantI. Usaha menampilkan Ummi Hafilda dan Ustadz Nasharudin Mat Isa sebagai calon mesra BN dalam PRU13 juga adalah yang terbijak jika ia mampu mencipta kejayaan menawan hati rakyat. Ummi Hafilda yang sanggup berpatah arang dengan abangnya Azmin Ali wajar diberikan peluang melawan adik beradik kandungnya sendiri di Parlimen Gombak. Jika kemenangan yang diperlukan, rasanya Ibrahim Ali, Hassan Ali, Ezam Mohd Noor, Zaharin Hashim, Nallkarupan, Ruslan Kasim, Zahid Md Arip, Gobalakrishnan termasuk Datuk 'T' pengedar video lucah Anwar merupakan rangkaian badut politik UMNO/BN yang wajar dilonjakkan menjadi rangkaian calon 'Kitar Semula' untuk masa depan UMNO yang lebih cemerlang, gemilang dan terbiilang. Saya bimbang jika kesetiaan mereka ini tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan parti, akan wujud pula sindrom TIBAI untuk menibai pemimpin-pemimpin UMNO selepas ini. Jika mereka boleh tibai Anwar, rasanya mungkin perbuatan yang sama akan berlaku kepada UMNO selepas ini apabila nama mereka tidak dihargai menjadi calon winnable UMNO/BN. Sudah tiba masanya UMNO tidak mensabotaj mereka. Penulis adalah Ketua UMNO Cawangan Bukit Wangsa, juga salah seorang AJK UMNO Bahagian Setiawangsa. Beliau memiliki laman web di locengwangsa.blogspot.com |
Pornthip sedia periksa mayat Sugumar, kata peguam Posted: 04 Feb 2013 12:25 AM PST Keluarga kepada C Sugumar, pengawal keselamatan yang ditemui mati pada 23 Januari lalu, memohon khidmat ahli patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand untuk menjalankan bedah siasat kedua di Hospital Serdang. Peguam N Surendran berkata mereka telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Raza, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan ketua setiausaha kementerian tersebut untuk mengeluarkan arahan. Surendran berkata keluarga berkenaan berhak menjalankan bedah siasat kedua secara bebas untuk menentukan sebab sebenar kematian Sugumar dan mahu ia dijalankan oleh Pornthip. "(Pornthip) menunjukkan bahawa beliau sedia untuk menjalankan pemeriksaan bedah siasat kedua," katanya dalam satu kenyataan. Pornthip merupakan individu yang bertanggungjawab menjalankan bedah siasat kedua ke atas pembantu politik Teoh Beng Hock yang meninggal dunia selepas terjatuh daripada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam. |
Guan Eng gembira dengan kedatangan 'Gangnam' Posted: 04 Feb 2013 12:20 AM PST Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng gembira dengan kedatangan penyanyi rap Korea Psy akan mengadakan persembahan di negeri tersebut ketika majlis rumah terbuka BN pada 11 Februari. "Pulau Pinang mendahului sekali lagi dengan kedatangan Psy ke Malaysia. Kita boleh kata bahawa kali pertama Psy datang ke Malaysia, beliau datang ke Pulau Pinang," kata Lim selepas mengagihkan limau mandarin di Chowrasta Market hari ini. Katanya, beliau yakin ia akan membantu industri pelancongan di negeri itu dan turut menjangka kehadiran orang ramai dari negara jiran ke persembahan tersebut. Beliau juga menyeru orang ramai yang hadir untuk memakai warna kuning sebagai tanda sokongan kepada BERSIH, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang. |
Peminat rayu Psy: Jangan jadi alat BN Posted: 04 Feb 2013 12:16 AM PST MALAYSIA KINI Kumpulan peminat Psy memuatkan rayuan di laman Facebook penyanyi rap Korea itu agar tidak menjadi alat politik BN dengan membuat persembahan di majlis rumah terbuka parti tersebut di Pulau Pinang. Ramai pengguna Facebook Malaysia dikesan menyalin dan memuatkan semula rayuan berkenaan di laman berkenaan. Ada juga yang dikesan memuatkan mesej berkenaan dalam bahasa Korea dan merayu agar Psy tidak berkunjung ke Malaysia buat masa ini. "Jika anda memilih untuk datang ke Malaysia, anda akan menjadi alat politik BN. Ia adalah parti politik dan sangat korup dan selalu menyalahgunakan kuasa untuk menganiaya rakyat Malaysia," mesej tersebut dipetik. Kenyataan berkenaan juga mendakwa acara tersebut dibayar dengan menggunakan wang rakyat. BN bagaimanapun semalam menjelaskan bahawa ia ditaja oleh sebuah syarikat swasta. Mesej berkenaan juga mendakwa BN cuba mengolah pemikiran generasi muda dengan mewujudkan illusi bahawa negara ditadbir dengan baik memandangkan pilihan raya umum akan dijalankan tidak lama lagi. "Kami tiada pilihan selain menggesa dan berharap anda akan membaca surat ini. Kami dengan ikhlas merayu demi kebajikan rakyat, tolonglah, dengar suara kami. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan