SIASAH |
Politik global 2012: Isu, idea dan tokoh Posted: 06 Jan 2013 06:14 PM PST Politik dunia Islam: 10 isu utama (Bahagian 1 daripada 2) 10. Dasar luar Qatar Lanjutan daripada perkembangan 2011, Qatar menggiatkan lagi usaha yang bermatlamat meningkatkan pengaruhnya di rantau Asia Barat dan global. Lawatan berprofil tinggi emir negara itu ke Gaza yang menjadi tumpuan dunia Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan citi-cita besar negara ini. 9. Iraq dan Nouri al-Maliki Perdana Menteri Iraq Nouri al-Maliki berdepan kritikan hebat dan memasuki penggal keduanya mula menampakkan kelemahan dalam pentadbiran dan dipertanggungjawabkan atas keganasan sektarian di negara ini. Kesannya turut menarik penglibatan Turki, yang kini didakwa terlibat dalam usaha menjatuhkan beliau. 8. Protes Mesir Mohamed Morsi memenangi pemilihan presiden Mesir dan menjadi presiden pertama selepas era Mubarak, dengan diletakkan harapan yang besar. Persaingan kuasa beliau dengan kepimpinan tentera, pembangkang, hakim-hakim berpengaruh dan rakyat menjadikan 2012 tahun yang penuh drama bagi Mesir dan kepimpinan beliau. 7. Konflik Kurdi Masyarakat Kurdi, kaum terbesar tanpa negara di dunia menghadapi 2012 yang sukar, tetapi juga kelihatan menjanjikan sesuatu. Kurdi Turki, terus berperang dengan dengan Turki berterusan tanpa tanda akan selesai, dan Kurdi Syria pada masa sama dimusuhi tentera Syria dan pemberontak Syria. Walau bagaimanapun, perkembangan ini menyimpan manfaat kerana penyatuan Kurdi dan penubuhan negara Kurdi Di Iraq dilihat semakin hampir dapat direalisasikan. 6. Iran Tahun 2012 meningkatkan lagi tekanan terhadap Iran, dengan tekanan Amerika Syarikat terhadap institusi-institusi kewangan memberi kesan negatif kepada perdagangan minyak Iran. Pakatan tidak formal anti-Iran yang ditingkatkan lagi sepanjang tahun juga mengukuhkan kuasa-kuasa pesaing serantau, dan konflik Syria melemahkan cengkaman Iran di wilayah Syam. 5. Serangan dron Serangan dron Amerika Syarikat di Pakistan merosot berbanding tahun lalu dan 2011, tetapi terus dilaksanakan sehingga memungkinkan pelbagai reaksi balas kepada AS. Tahun 2012, 43 serangan dijalankan, berbanding 72 pada 2011 dan 122 pada 2010. Pada masa sama, Yaman turut menyaksikan peningkatan serangan dron pada 2012. 4. Konflik utara Mali Konflik di Mali, yang bermula dengan pemberontakan Tuareg akhirnya menyaksikan penguasaan militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda, yang kini menguasai wilayah utara Mali. Konflik ini tenggelam daripada perhatian umat Muslim yang tertumpu pada isu Syria, malah turut kurang mendapat perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC. Satu kesan besar yang juga kurang mendapat perhatian umat ialah pemusnahan dan ancaman terhadap warisan sejarah di Timbuktu, pusat aktiviti perdagangan dan keilmuan Islam pada abad ke-12. 3. Pembunuhan massa Rohingya Sejurus selepas Burma membuka ekonomi, mereformasi politik dan cuba memulihkan hubungan dengan dunia luar terutama Amerika Syarikat, masyarakat Rohingya menghadapi gelombang baharu keganasan yang disokong kerajaan dan pemimpin agama Buddha. Sensitiviti berhubung kegiatan perdagangan dan hubungan serantau turut menyukarkan sebarang tindakan daripada pertubuhan serantau Asean. 2. Gaza dan Hamas Perang Gaza, melibatkan kumpulan-kumpulan di kawasan kecil Palestin itu dengan tentera Israel berlaku lagi pada 2012, tetapi untuk tempoh yang lebih singkat dan jauh lebih mudah diselesaikan. Berbeza dengan perang Gaza sebelumnya, konflik kali ini melibatkan peranan lebih besar kumpulan lain seperti Jihad Islami dan Jawatankuasa Penentangan Popular, kumpulan-kumpulan yang mempunyai hubungan baik dengan Syria dan Iran. 1. Konflik Syria Konflik di Syria mempertemukan persaingan kuasa-kuasa serantau dan global, melibatkan pertembungan sektarian antara mazhab yang pergelutan dan kesannya berlangsung di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia. Tumpuan yang jauh melebihi isu lain di dunia Islam diberikan oleh umat Muslim kepada konflik ini, disebabkan sisi politiknya yang lebih menarik minat dan sentimen. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan