MIMPI SENJA |
- Pengakuan Mahathir: Terbukti Umno Jual Negara Demi Kuasa!
- FAKTA PRU 13 - 8139 pusat mengundi, 24,522 saluran mengundi dengan 240,000 petugas bagi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN
- Bolasepak Kelantan vs JDT : Mereka bukan JMF tapi anggota Rejimen 21 Grup Gerak Khas [Komando] - TMJ
- Beri IC pada pendatang -Tunku lebih teruk dari saya : Mahathir
- Najib, hang nak dengar kata rakyat atau nak rakyat ubah kerajaan?
- Dakwaan Megat Junid izinkan warga asing mengundi ‘mengejutkan’, kata Bersih
Pengakuan Mahathir: Terbukti Umno Jual Negara Demi Kuasa! Posted: 17 Jan 2013 07:14 PM PST Kenyataan Umum 18 Januari 2013 Pengakuan Tun Mahathir: Akhirnya Terbukti Umno Jual Negara Demi Kuasa! Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bingkas membidas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir di sebalik pengakuannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya. Pertama sekali, Tun Mahathir sudah mengaku menjadi dalang utama projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing dua minggu sebelum pilihanraya 1990. Inilah jawapan yang dicari-cari selama ini, telah dilafaz sendiri oleh Tun Mahathir. Walau apapun alasannya, pemberian kewarganegaraan segera khususnya di musim pilihanraya harus diterjemah sebagai jalan singkat untuk regim terus berkuasa. Pemberian kad pengenalan secara terburu-buru sempena pilihanraya secara langsung membolehkan si penerima anugerah warganegara segera ini terus mengundi. Ia sangat tidak adil khususnya buat rakyat Sabah ketika itu dan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Maka dengan pengakuan Tun Mahathir hari ini setelah lama mendiamkan diri, apakah ada lagi pengakuan atau pendedahan yang lebih sensasi untuk membolehkan rakyat seluruh tanahair sedar bahawa regim pemerintah tergamak menjual negara ini demi mengekalkan kuasa melalui kewarganegaraan segera? Hanya selepas negara dikejutkan dengan pendedahan oleh bekas Ketua Jabatan di JPN Sabah dan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, menjadikan Tun Mahathir tidak punya pilihan selain mengaku perbuatannya. Pengakuan Tun Mahathir ini wajar dipandang serius terutamanya apabila menyedari modus operandi yang sama dijangka bakal digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam pertembungan PRU-13, berdasarkan mood kebangkitan rakyat yang akan menyaksikan pemerintahan 56 tahun mampu ditamatkan. Umno dan BN tidak mampu mengekang arus perubahan malah turut sedar betapa mereka akan tumbang kali ini. Maka operasi Sabah 1990 diperluas ke semenanjung! Kedua, Tun Mahathir mendakwa bahawa tindakkannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah tidak seteruk Tunku Abdul Rahman Putra yang kononnya telah memberi kerakyatan kepada sejuta penerima yang tidak layak. Lupakah Tun Mahathir bahawa ketika sejuta kerakyatan yang diberi suatu ketika dahulu adalah demi membentuk sebuah negara merdeka? Apakah kesumat yang melanda Tun Mahathir sehingga tergamak mengungkit pemberian hak sejuta kerakyatan yang dikontra dengan 'hak keistimewaan orang melayu'? Apakah hari ini Tun Mahathir ingin katakan bahawa orang cina dan india tidak layak mendapat kerakyatan? Ternyata sentimen perkauman itu tetap menebal walaupun Tun Mahathir di hujung usia, dan barangkali ia satu candu untuk Tun Mahathir melupakan salahsiah asal usulnya. Penghinaan Tun Mahathir terhadap bekas Perdana Menteri yang Umno sendiri gelar sebagai Bapa Kemerdekaan dilihat agak keterlaluan. Kekalutan Tun Mahathir cuba membela diri dengan mensabitkan seseorang yang sudah mati, yang sudah tentu tidak mampu menjawab tuduhan bagi membela diri adalah sangat tidak 'gentleman'. Tidak cukupkah penghinaan yang Tun Mahathir lakukan kepada Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih hidup? Ketiga, Tun Mahathir turut mendakwa pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu kononnya mengikut landas undang-undang walaupun ketika itu secara kebetulan menjelang pilihanraya. Ya, memang secara kebetulan kerana inilah 'kebetulan' yang dicari bagi menghadapi pilihanraya. Ini satu kebetulan yang membolehkan kuasa dirampas di Sabah, dan akan menjadi satu lagi 'kebetulan' untuk Umno merampas Selangor pula. Ketika ini PRU-13 menjelang tiba, dan secara kebetulan negeri Selangor menjadi sasaran utama untuk dirampas oleh Umno maka secara 'kebetulan' juga negeri Selangor dipenuhi oleh pendatang asing yang mempunyai kad pengenalan biru. Perkara ini telah acap kali didedahkan dan sering menjadi perhatian. Dari aspek nasional pula, Umno dan Barisan Nasional begitu lemah dalam survivalnya untuk pertahankan Putrajaya. Secara kebetulan juga, ratusan ribu pendatang asing telah dipanggil 'interview' secara besar-besaran di Kompleks Imigresen Precinct 2 Putrajaya di atas nama pemutihan 6P. Projek 6P ini dilakukan secara terburu-buru demi perlaksanaan sistem biometrik untuk warga asing. Sistem biometrik ini juga merupakan sistem yang dicadang oleh SPR sebagai alternatif kepada tuntutan penggunaan dakwat kekal. Mujurlah sistem biometrik tidak diguna dalam pilihanraya atas desakan penggunaan dakwat kekal, jika tidak pastinya satu lagi 'kebetulan' berlaku. Sesungguhnya insiden kebetulan yang berlaku pada tahun 1990 di Sabah sepertimana yang disebut oleh Tun Mahathir kini berlaku semula menjelang PRU-13 dan kali ini ia menjalar ke seluruh negara. Pelbagai 'kebetulan' yang melampaui keraguan munahsabah, apakah rakyat masih tidak sedar? Ingatlah, pemberian kad pengenalan kepada warga asing adalah satu pengkhianatan. Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang jauh lebih 'advance' memiliki syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing yang belum layak ini diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi membantu Umno dan BN menang pilihanraya, akhirnya rakyat akan merempat di bumi sendiri! Justeru itu, pengakuan Tun Mahathir ini menjadi rujukan terpenting untuk rakyat bangkit menghumban pemerintah yang menipu pilihanraya khususnya dalam soal kewarganegaraan segera. Paling penting, pengakuan Tun Mahathir yang juga bekas 22 tahun Presiden Umno membuktikan, sah sahih muktamad, Umno sanggup jual negara ini kepada warga asing demi untuk terus kekal berkuasa! Demi rakyat dan kecintaan terhadap negara ini, SAMM dengan kerjasama pelbagai organisasi massa akan sekali lagi menjelajah ke seluruh tanahair termasuk Sabah dan Sarawak bagi meniup kesedaran awam dalam isu babitkan warga asing dan juga menggerakkan massa untuk mengekang warga asing daripada menjadi pengundi talibarut regim pemerintah. Turut akan dipersembahkan sepanjang jelajah ialah teknik mengenalpasti pendatang asing yang cuba mengundi dan teknik tangkapan awam yang berkesan. Ayuh anak muda bersama SAMM, bangkit dan lawan ! EDY NOOR REDUAN Pengarah Propaganda SAMM |
Posted: 17 Jan 2013 06:49 PM PST KUALA LUMPUR 18 Jan. - Seramai 240,000 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terlibat dalam memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata jumlah itu meningkat daripada kira-kira 180,000 petugas SPR pada PRU-12 tahun 2008. Beliau menjelaskan pertambahan petugas itu disebabkan beberapa faktor seperti jumlah pengundi yang bertambah saban tahun. "Sehingga suku ketiga 2012, terdapat seramai 13.1 juta pengundi berdaftar dengan SPR. Sekiranya pilihan raya diadakan selepas bulan Mac, kita menjangkakan pertambahan seramai 164,000 pengundi lagi yang didaftarkan pada suku keempat tahun lepas," katanya. Beliau berkata demikian pada sesi taklimat PRU-13 dan isu-isu berkaitan proses pilihan raya kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan pemangku Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong. Pada PRU-13 akan datang, sebanyak 8,139 pusat mengundi akan dibuka di seluruh negara melibatkan 24,522 saluran tempat mengundi. Wan Ahmad menjelaskan 80 peratus daripada pusat mengundi melibatkan bangunan sekolah, manakala selebihnya melibatkan dewan serbaguna dan balai raya. Selain itu, katanya lebih ramai petugas juga diperlukan bagi memastikan proses pengundian awal yang pertama kali diperkenalkan dapat dijalankan sebaik mungkin. "Kami benar-benar mahu memberikan yang terbaik. Petugas yang lebih ramai perlu untuk membantu pengundi dan pemerhati yang dilantik sepanjang proses pilihan raya berlangsung," katanya. Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata SPR menjangkakan kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan ditandingi, sekali gus pertambahan petugas diperlukan bagi menampung tanggungjawab yang bakal dipikul badan itu. "Berdasarkan senario politik sekarang, kita rasa tak mungkin ada lagi kerusi yang menang tanpa bertanding," katanya. Semasa sesi taklimat hari ini, petugas Bernama didedahkan dengan simulasi proses pengundian di mana dakwat kekal akan digunakan buat kali pertama. |
Bolasepak Kelantan vs JDT : Mereka bukan JMF tapi anggota Rejimen 21 Grup Gerak Khas [Komando] - TMJ Posted: 17 Jan 2013 06:32 AM PST Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan mereka yang lengkap bersenjata itu merupakan anggota tentera daripada pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (TSN). "Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu," titah baginda pada sidang media di kediaman baginda di sini hari ini. Baginda bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK menyaksikan perlawanan terbabit. Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang telah ditetapkan dan tidak perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak. "Kita boleh tanya kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka ditugaskan bersedia untuk kehadiran Sultan Johor," titah baginda. Media hari ini melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan berikutan kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka daripada TSN pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas. Sementara itu, Tunku Ismail juga melahirkan kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang tidak melakukan persediaan bagi mengawal keselamatan penyokong Johor yang hadir di stadium semasa perlawanan itu. Tindakan Kafa tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium adalah amat dikesali, titah baginda. Tunku Ismail bertitah pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan. "Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium," titah Tunku Ismail. - Bernama |
Beri IC pada pendatang -Tunku lebih teruk dari saya : Mahathir Posted: 17 Jan 2013 06:07 AM PST Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman melakukan perkara "lebih teruk" dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing. Mahathir ketika ditanya pemberita, mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya. Namun beliau mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang. "Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah? "Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang," katanya dalam sidang media selepas program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam hari ini. Ditanya sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk pilihan raya kerana ia dijalankan dua minggu sebelum pilihan raya Sabah, Mahathir berkena beliau "tidak tahu". Bekas perdana menteri – yang menjawat jawatan itu selama 22 tahun – itu berkata, perkara itu mungkin berlaku secara kebetulan tetapi menegaskan sekali lagi bahawa ianya mengikut undang-undang. "Saya buat sebelum pilihan raya. Mungkin kebetulan. Saya tak tahu. Tapi ia mengikut undang-undang. Perkara itu berlaku sebelum pilihan raya tak bermakna melanggar undang-undang," katanya lagi. Ditanya lagi sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk membolehkan Umno merampas kuasa di Sabah, Mahathir berkata penerima kad pengenalan itu bebas untuk mengundi mana-mana parti selepas menjadi warganegara. "Itu hak mereka. Bila dah jadi warganegara, mereka nak sokong Umno, BN atau apa-apa itu mereka punya hak," katanya. Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan oleh saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah. Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah semalam memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing. Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya. Turut hadir dalam program di Shah Alam hari ini ialah bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. |
Najib, hang nak dengar kata rakyat atau nak rakyat ubah kerajaan? Posted: 17 Jan 2013 01:49 AM PST 17 January 2013 Apabila klip video "listen, listen, listen!" seorang pendokong 1Malaysia Sharifah Zohra Jabeen memandang rendah pelajar tahun dua undang-undang Bawani KS tersebar luas, ia mencerminkan mencerminkan dua kegagalan dasar Datuk Seri Najib Razak sepanjang empat tahun menjadi perdana menteri. Pertama, kegagalan program "transformasinya", sama ada kerajaan, ekonomi, politik, pendidikan atau sosial yang semuanya bersandarkan prinsip "era kerajaan tahu semua telah berlalu". Kedua, kegagalan dasar 1Malaysia untuk mewujudkan negara yang mana rakyatnya melihat diri mereka rakyat Malaysia dahulu kemudian barulah kaum, agama, tempat atau latar belakang ekonomi. Sekiranya pelbagai program transformasi Najib berharap untuk berjaya, ia haruslah bersandarkan komunikasi dan dialog dua hala antara pemerintah dengan yang diperintah dan bukannya "listen, listen, listen!" secara satu hala dipaksakan ke atas yang diperintah oleh pemerintah. Kes Azrul dan Bank Islam Adakah Najib dan kerajaan UMNO-BN bersedia untuk "listen, listen, listen"? Jelas sekali tidak. Jika benar bersedia untuk mendengar pastinya Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin pasti tidak akan digantung kerja berikutan laporan media berkenaan pembentangannya di Regional Outlook Forum Singapura Khamis lepas yang meramalkan kemenangan tipis Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ke-13. Sebenarnya, media melaporkan hanya SATU daripada TIGA senario yang dikemukakan oleh Azrul tentang PRU13 berdasarkan kajiannya, iaitu: * Senario "kemungkinan besar" – Kemenangan yang tipis untuk PR (115 hingga 125 kerusi Parlimen), PR memenangi lapan negeri, iaitu: Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu and Perlis; * Senario "kemungkinan sederhana" – Kemenangan yang tipis untuk BN (112 hingga 122 kerusi Parlimen), PR memenangi enam negeri, iaitu: Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan; dan * Senario "kemungkinan kecil" – Kemenangan besar PR (130 hingga 140 kerusi Parlimen),PR memenangi sembilan kerajaan negeri, iaitu: Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis dan Pahang; BN secara tipis mengekalkan Johor dan Melaka. Azrul serta merta digantung daripada Bank Islam apabila media melaporkan senario "kemungkinan besar" bahawa Barisan Nasional akan kalah PRU13 memandangkan BN hanya dapat mempertahankan hanya 97 hingga 107 kerusi Parlimen, tanpa menyatakan ramalannya untuk pilihan raya negeri – bahawa BN akan gagal untuk mendapatkan semula Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dan akan kalah di empat negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis sementara "mengekalkan Pahang dan Johor dengan tipis". Adakah Azrul akan dipecat serta-merta oleh Bank Islam sekiranya media telah melaporkan senario "kemungkinan kecil" BN mengalami kekalahan teruk dalam mempertahankan hanya 82-92 kerusi Parlimen sementara kalah sembilan kerajaan negeri, "mengekalkan dengan tipis Johor dan Melaka"? Atau adakah Azrul akan dinaikkan pangkat sekiranya beliau telah meramalkan di forum Singapura itu seperti mana kata Menteri Besar, Perdana Menteri dan sesetangah pemimpin UMNO-BN bahawa dalam PRU13, BN akan mendapat semula dua pertiga majoriti Parlimen dan memenangi semua lima kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak? Menteri Besar Johor sependapat dengan Azrul? Azrul membuat ramalan PRU13 beliau di forum Singapura Khamis lalu. Sejak itu, ramalannya bahawa PRU13 berkemungkinan memihak PR berbanding BN telah diperkukuhkan dengan kejayaan dan penganjuran bersejarah KL112 dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat Malaysia dari serata negara untuk menyokong agenda perubahan. Akan tetapi sebelum KL112, Menteri Besar Johor Datuk Ghani Othman telah meramalkan senario PRU13 yang hampir serupa seperti Azrul, secara terbuka memberi tahu pertubuhan Cina Kulai Selasa lepas bahawa Pakatan Rakyat boleh memenangi PRU13 dengan majoriti tipis 5% hingga 10% kerusi Parlimen – iaitu PR menang 117 hingga 122 kerusi Parlimen atau hampir kepada senario "kemungkinan besar" Azrul. Adakah Ghani Othman disuruh meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor kerana membuat pernyataan senario PRU13 yang tidak beza dengan pernyataan Azrul? Apa yang Najib cuba tegakkan? Adakah ia cara fikir "era kerajaan tahu semua telah berlalu" atau budaya "listen, listen, listen!" yang diajukan Sharifah Zohra yang telah menjadi fenomena terkini internet? Kes Sharifah 1Malaysia buli siswi Bawani Kejadian Sharifah-Bawani menonjolkan kehampaan dan kepura-puraan dasar 1Malaysia Najib, yang terkena tamparan hebat sejak awal lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjauhkan dirinya dari dasar itu dengan mengisytiharkan bahawa dirinya adalah "Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian". Walaupun Sharifah Zohra adalah aktivis dan pendokong 1Malaysia, dia tiada langsung semangat 1Malaysia apabila dia menyelar Bawani dengan mengatakan sekiranya mahasiswa tahun kedua jurusan undang-undang itu kritis terhadap dasar di Malaysia, Bawani boleh "pergi ke Cuba, pergi ke Argentina, pergi ke mana-mana sahaja", dan bertanya, "Apa yang kamu buat di Malaysia?" Saya teringat kepada peristiwa di Parlimen pada tahun tujuh puluhan sewaktu ucapan saya dihentikan oleh seorang Menteri Kabinet UMNO yang mengatakan pada saya bahawa sekiranya saya begitu kritis dengan dasar UMNO-BN, saya boleh tinggalkan Malaysia. Dengan pantas saya membalas, sekiranya dia tidak mahu mendengar apa yang saya mahu katakan bagi pihak rakyat Malaysia yang menghantar saya ke Parlimen, dia yang sepatutnya meninggalkan Malaysia! Sharifah adalah watak terbaru dalam barisan sentimen anti-1Malaysia diluahkan oleh kononnya pendukung dan penyokong dasar 1Malaysia Najib. Semuanya produk Biro Tata Negara, daripada pegawai khas Najib, Datuk Nasir Safar sehinggalah pegetua sekolah Hajah Siti Inshah Binti Mansor, Datuk Nasir Safar bukan sahaja melabel kaum India dan Cina sebagai pendatang, tetapi bagai meletakkan garam ke luka dengan menyatakan bahawa "Orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis dan orang Cina datang untuk jual tubuh". UMNO-BN mahu dengar rakyat atau diubah oleh rakyat? Di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (semalam), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelesaikan saman fitnah selepas Khairy menarik balik kata-katanya dan menyatakan beliau tidak menggelar Anwar pengkhianat dan boneka Amerika Syarikat dan Yahudi. "Listen, listen, listen!" Najib – adakah Perdana Menteri bersedia demi membawa politik yang jujur dan beretika di Malaysia, untuk segera mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin UMNO-BN dan media perdana untuk menghentikan pembohongan dan penipuan serta tuduhan tak berasas bahawa pemimpin Pakatan Rakyat adalah pengkhianat dan benci negara? Adakah para pemimpin PR dituduh dnegan fitnah sedemikian semata-mata kerana mereka tidak bersetuju dengan UMNO-BN, terutamanya apabila pemimpin PR juga sama patriotik dan sayangkan negara seperti pemimpin UMNO-BN? Sekiranya usaha supaya "Najib listen, listen, listen!" tidak berkesan, maka satu-satunya pilihan untuk rakyat Malaysia adalah undi untuk ubah Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dalam PRU13 – buat pertama kalinya dalam 55 tahun. – Roketkini.com |
Dakwaan Megat Junid izinkan warga asing mengundi ‘mengejutkan’, kata Bersih Posted: 17 Jan 2013 12:26 AM PST January 17, 2013 KUALA LUMPUR, Jan 17 — Pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyuarakan rasa terkejut terhadap tuduhan yang mengatakan bekas menteri mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah untuk membenarkan warga asing mengundi. Semalam, bekas Pengarah JPN Sabah, Ramli Kamarudin, berkata kepada inkuiri, almarhum Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mengarahkannya untuk memberikan resit JPN kepada warga asing, dokumen sementara, yang membolehkan mereka mengundi pada 1994. Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar, kiri), menggambarkan testimoni Ramli di hadapan Ikuiri Diraja (RCI) terhadap warga asing Sabah "mengejutkan", dan ini berkailtan dengan "penipuan" daftar pemilih. "Bukti ini sangat mengejutkan, namun pada satu pihak, inilah yang telah rakyat menjangkakan. Apa yang telah dan berlaku di Sabah dilaporkan berlaku di Malaysia Barat juga! Inilah penipuan," katanya kepada The Malaysian Insider. Beliau turut tidak menolak adanya konspirasi dan ada wujudnya keraguan. "Ini bermakna ada konspirasi peringkat atasan. Memang tidak elok untuk komen selagi inkuiri belum tamat, buat masa ini apa yang timbul ini menimbulkan keraguan." Maria Chin Abdullah (gambar, kanan), ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 turut meluahkan rasa terkejut. "Kami terkejut, tapi lega apabila orang-orang ini tampul membuat pendedahan walaupun SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) seringkali membuat penafian." "Ini sebabnya kita perlukan pemerhati," katanya kepada The Malaysian Insider. Bersih 2.0 bersama MAFREL dan Pusat Komas telah mula merekrut pemerhati melalui kempen PEMANTAU bagi memerhati kempen dan pilihan raya untuk Pilihan Raya Umum 2013, dan Tindak Malaysia melatih agen pengundian sebagai pemerhati. Kumpulan ini berkata melalui pemerhati ia dapat mengelakkan penipuan daripada belaku, yang menurut mereka jangkaan persaingan sengit untuk mendapat undi. Semalam, Ramli berkata Megat Junid, yang kemudiannya menteri dalam negeri, pada 1994 kemudian mengarahkannya untuk memadankan butiran resit JPN dikeluarkab kepada warga asing untuk nama dan no kad pengenalan unttuk pendaftaran pengundi. "Kami berikan mereka (warga asing) RM20," kata Ramli kepada inkuiri semalam. "Kami ajar mereka untuk mengundi. Kami kumpulkan mereka di sebuah runah. Kami menggunakan bas ke tempat mengundi dan menghantar mereka balik. Resit untu hanya untuk mengundi. Kami tidak berikan mereka kad pengenalan," katanyta. Ramli berkata sekitar 200 resit JPN dikeluarkan di lima atau enam kerusi dewan undangan negeri di Sabah yang ditakrifkan sebagai kerusi "hitam yang sukar dimenangi kerajaan." Ramli, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1995 hingga 1997 juga menafikan menerima rasuah. "Ia hanyalah arahan terus daripada timbalan menteri dalam negeri, walaupun saya tahu ia salah," katanya. Tambahnya, arahan itu diberikan dalam mesyuarat antara Megat Junid, Datuk Seri Osu Sukam dari Umno (yang kemudiannya menjadi ketua menteri Sabah pada 1999), seorang pegawai JPN, Asli Sidup, di Hyatt Hotel, Kota Kinabalu dua minggu sebelum pilihan raya 1994. "Resit itu hanya untuk mengundi. Kemudian, kami akan mengumpul resit itu semula dan memusnahkannya," kata Ramli. Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh, yang memerintah daripada 1976 hingga 1985 menafikan wujudnya komplot "Projek IC." Inkuiri di hadapan pengerusinya, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bersambung hari ini. |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan