Sabtu, 19 Januari 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Terlibat Beri IC Kepada Warga Asing, AMK Mahu Timbalan Pengerusi SPR Digantung Tugas

Posted: 19 Jan 2013 01:03 AM PST

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) memandang serius akan pendedahan dua orang saksi yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Kedua-dua saksi yang merupakan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah mendedahkan bagaimana wujud campur tangan langsung melibatkan tokoh-tokoh Umno termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Abd Aziz Shamsuddin dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.

Modus operandi yang dilaksanakan ialah dengan memproses kad pengenalan biru kepada pendatang asing bagi membolehkan mereka mengundi selaku 'pengundi berdaftar'.

Beban pembuktian paling besar kini berada di tangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Isu pengundi hantu merupakan isu yang secara konsisten diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat di dalam kempen saban waktu. Dan dalam setiap keadaan juga, SPR konsisten mempertahankan bahawa tidak ada pengundi hantu di dalam sistem pilihanraya Malaysia usai 55 tahun kemerdekaan.

Pendedahan di dalam Suruhanjaya Di Raja ini membuktikan secara jelas bahawa Projek IC yang didakwa sebelum ini ternyata wujud.Terdahulu pada tahun lepas tersebar luas pendedahan oleh seorang bekas staf Jabatan Pendaftaran Negara yang juga merupakan tahanan ISA, Yakub Damsah mengenai Ops Gembleng yang dilaksanakan untuk memastikan pertambahan pengundi melalui pemberian Kad Pengenalan Biru kepada warga asing untuk memastikan Barisan Nasional menang dalam PRU 1995.

AMK mencabar SPR untuk menyatakan pendirian mengenai pendedahan ini. Apakah selama ini SPR benar-benar melaksanakan tugas dengan amanah dan integriti yang tinggi ataupun sebenarnya menjadi pencacai Umno-BN selaku 'jentera kemenangan pilihanraya' Umno-BN?

Pendedahan ini tentunya menimbulkan keraguan mengenai tahap sebenar ketelusan sistem pilihanraya negara ini, kerana berdasarkan pendedahan ini, wujud kebarangkalian bahawa tindakan serupa juga akan terus dilakukan oleh Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, yang dibabitkan secara langsung di dalam projek IC ini apatah lagi kini beliau menjawat jawatan Timbalan Pengerusi SPR.

Maka AMK mendesak Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar digantung tugasnya serta merta demi menjaga nama baik SPR dan menghalang krisis kepercayaan terhadap badan itu, sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Suruhanjaya DiRaja.

AMK Malaysia juga mendesak sekiranya tuduhan ini tidak benar, maka Datuk Wan Ahmad Wan Omar harus dengan segera menafikan dakwaan ini dan bertanggungjawab serta berani untuk berhadapan dengan rakyat yang inginkan penjelasan, bukannya mengelak dan berselindung di sebalik alasan prosiding Suruhanjaya DiRaja masih berjalan.

Penelitian yang dibuat di laman sesawang www.spr.gov.my juga memaparkan bahawa antara jawatan yang pernah disandang oleh Datuk Wira Wan Ahmad ialah sebagai Penasihat Politik Kedutaan Malaysia di Filipina pada sekitar tahun 80an dan kemudiannya pada ketika Ops Durian Buruk dijalankan beliau menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Keselamatan dan Politik) Jabatan Perdana Menteri. Tentunya jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau memungkin secara kuat bahawa keterlibatan beliau tidak boleh disangkal lagi.

Pendedahan ini, jelas terbukti masa depan Malaysia makin tergadai di tangan pendatang asing dek keserakahan nafsu dan tamak kuasa pimpinan Umno untuk terus membolot kekayaan negara, khususnya negeri Sabah.

Rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia khususnya harus membuka mata dengan pendedahan ini, dan kembalikan kemerdekaan negara ke tangan rakyat.

Masa untuk Umno 'menjajah' Malaysia perlu dihentikan segera.

Ketua AMK
Shamsul Iskandar Mohd Akin


Pendedahan RCI Buktikan SPR Terlibat Proses Beri Kerakyatan


KUALA LUMPUR 18 JAN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa terlibat dalam proses pendaftaran memberikan hak kerakyatan kepada warga asing sepertimana dilaporkan dalam siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai isu yang berlaku di Sabah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan dalam siasatan RCI itu membuktikan penglibatan SPR dalam isu tersebut dan ini meragukan kerana perkara sama turut berlaku kini di Selangor.

"Yang dipertikaikan sekarang ialah tidak mengikut peraturan, isu rasuah dan lebih mengejutkan ialah peranan SPR dalam proses penipuan ini.

"Kita mahukan respon segera daripada SPR kerana ia berlaku pada masa lalu dan kita mempunyai bukti berhubung perkara ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Nasir Sugip memberi keterangan berhubung dakwaan kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada 1990-an.

Mohd Nasir ketika memberi keterangan kepada RCI mengenai masalah imigrasi Sabah mendakwa jabatannya pernah menerima arahan daripada SPR Sabah untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi.

Beliau yang pernah ditahan di bawah ISA mendakwa operasi yang digelar "Ops Durian Buruk" itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi 'Bumiputera Islam'.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah menjalankan kaji selidik mengenai pendaftaran pengundi baru berjumlah kira-kira 400,000 orang.

"Terdapat lebih kurang 138,000 tidak dapat dikesan.Adakah mereka ini dalam kategori sama sebagaimana dikatakan dalam RCI.

"Sekarang ini ialah tanggungjawab SPR supaya menghentikan penipuan dan penyalahgunaan kuasa ini," katanya.

Katanya, mereka yang didaftarkan ini mungkin tidak hanya mengundi di Sabah tetapi di Selangor, Kuala Lumpur atau Johor.



SAMM: Rakyat Sedia Turun Ke Jalanraya Lagi

Posted: 18 Jan 2013 11:32 PM PST


SSolidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran bahawa lebih ramai rakyat sedia keluar ke jalan raya pada masa akan datang.

NGO itu berkata Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu lalu adalah lambang penyatuan rakyat.

Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan berkata, jika kerajaan menipu dalam pilihanraya yang menjelang tiba, jutaan rakyat akan keluar ke jalan raya.

"HKR telah membuktikan himpunan KL112 dapat berlangsung dengan aman tanpa kekacauan dari pihak polis.

"Peniaga juga mengecapi keuntungan luar biasa, begitu juga dengan pengusaha hotel dan konsortium pengangkutan awam," katanya dalam satu kenyataan.

Kira-kira 100, 000 menghadiri perhimpunan di Stadium Merdeka Sabtu lalu.

Menurutnya, kerajaan memberi kebenaran menggunakan Stadium Merdeka kerana mereka sudah panik dan terpaksa akur dengan kebangkitan rakyat.

Tambahnya, ini satu simbol kemenangan rakyat dan pastinya ia akan diterjemah secara positif dalam PRU ke 13. -FMT

[ANGKARA SYAITAN DIKENALI] Papan Iklan PAS Dibakar

Posted: 18 Jan 2013 09:15 PM PST


Seremban - Sebuah papan iklan Pas di Kampung Sungai Jai, Lenggeng, di sini dipercayai dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penasihat Majlis Tindakan Dun Lenggeng, Zulkefly Mohamad Omar berkata, papan iklan 'Janji Pakatan Rakyat' tersebut dipercayai dibakar tiga hari lalu berdasarkan maklumat salah seorang saksi.

"Tindakan ini jelas melihat betapa terdesak dan takutnya pihak tertentu terhadap janji Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Ini menunjukkan Pakatan Rakyat lebih awal kemukakan manifesto berbanding Barisan Nasional (BN).

Ini terbukti kita telah bersedia untuk menunaikan janji negara berkebajikan kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Berikutan kejadian itu, Timbalan Ketua Cawangan Pas Kampung Sungai Jai, Ibrahim Jalil membuat satu laporan polis di Balai Polis Lenggeng, semalam. -SH

[VIDEO] Beranikah Sharifah Zohra Bedepan & Berdebat Dengan Bawani?

Posted: 18 Jan 2013 06:37 PM PST

Kumpulan pelajar cabar Sharifah berdebat dengan Bawani

Kesal dengan apa yang telah berlaku sewaktu forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) Disember lalu, sekumpulan pelajar mencabar Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin berdebat dengan pelajar UUM, KS Bawani.

Kumpulan itu memberitahu satu sidang akhbar bersama Bawani hari ini bahawa siri debat dan forum sedang dirancang untuk bincangkan isu pendidikan percuma.

Bawani sendiri telah mengesahkan akan menghadiri dua daripada program tersebut dan berharap Sharifah akan hadir sama.

"Kami akan mengadakan satu bengkel mengenai pendidikan percuma pada 26 haribulan ini, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

"Saya juga menjemput Sharifah untuk datang dan membincangkan isu itu dengan kami," kata pelajar undang-undang tersebut yang menjadi popular selepas video Sharifah menegurnya sewaktu forum anjuran SW1M di UUM bulan lalu, tersebar di di Internet.

Satu lagi program yang akan dihadiri Bawani ialah forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Dengan tajuk "kebebasan akademik dan hak asasi manusia", forum itu juga telah mengesahkan kehadiran bekas profesor undang-undang Abdul Aziz Bari dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maszlee Malik.

Seorang wakil dari SAMM, Wan Noor Faril Azli, berkata pihak penganjur telah menghantar jemputan ke pejabat SW1M beberapa hari lalu, dan mereka akan ke sana lewat petang ini untuk menyerahkan jemputan rasmi kepada Sharifah.

NGO lain yang menghadiri sidang akhbar hari ini ialah Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Mahasiswa Unisel, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Rangkaian Rakyat Tertindas (Jerits).

Sebagai menunjukkan sokongan kepada Bawani, mereka juga menuntut Sharifah memohon maaf secara terbuka atas pelakuannya terhadap Bawani sewaktu forum di UMM bulan lepas.

Bagaimanapun, Bawani berkata permohonan maaf tidak penting baginya. -mk

Siapa Terlondeh, Siapa Sebenanya Yang Tidak Kredible, Najib Atau Deepak?

Posted: 18 Jan 2013 04:04 PM PST

Mahfuz: PM harus saman Deepak

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan perundangan ke atas Deepak Jaikishan susulan kenyataan beliau berkenaan dengan usahawan itu semalam.

"PM harus ambil tindakan saman kerana tidak cukup hanya sekadar kata, 'apa yang dikatakan Deepak itu benar' dan tidak ada kewibawaan.... ini kerana apa yang dikatakan Deepak melibatkan pemimpin negara," kata Mahfuz hari ini.

Mahfuz berkata demikian susulan kenyataan Najib malam tadi, menyangkal dakwaan Deepak sambil menegaskan, beliau tidak ada sebarang kaitan dengan tindakan detektif bebas P.Balasubramaniam mengeluarkan akuan bersumpah kedua berhubung kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2008.

Justeru, tegas Najib, pengedar karpet itu bukan seorang yang ada kredibiliti.

"Tidak benar. (Deepak) bukan seorang yang ada kewibawaan.... ini bukan satu isu," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam ini.

Akhir bulan lalu, PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis segera menyiasat kenyataan lima individu yang terlibat dalam memalsukan akuan bersumpah Balasubramaniam.

Mahfuz berkata, beliau berpandangan bahawa Najib mengenali Deepak, sebab itu mengatakan ahli perniagaan itu bukan seorang yang berwibawa.

"Oleh itu, saya mencadangkan kepada Datuk Seri Najib agar mengambil tindakan saman ke atas Deepak," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, Mahfuz juga berkata, Pas bersedia bertemu dengan Deepak bagi mendengar permintaannya untuk mendapatkan perlindungan sebagai saksi.

Katanya, beliau bersedia untuk meluangkan masa selama dua jam kepada Deepak bagi mendengar "ceritanya."

"Jika sesuai saya akan membawa perkara ini ke Majlis Pimpinan Pakatan untuk dipertimbangkan," kata Mahfuz mengulas mengenai perlindungan yang diminta oleh Deepak sebelum ini.

Kata Mahfuz, memang ada peruntukan dalam undang-undang negara tentang perlindungan sebagai saksi.

"Deepak ada menyebut mengenai orang-orang kenamaan. Saya sedia menjadi seorang pendengar yang baik, dan saya akan mendengar apa yang hendak dikatakan oleh Deepak selama dua, saya mahu dia menghubungi saya, dan saya membawa ke Majlis Pimpinan Presiden Pakatan Rakyat hasrat dia untuk mendapatkan perlindungan sebagaimana diminta," katanya.


Cabar Najib buktikan pendedahan Deepak tak kredibel


KUALA LUMPUR 18 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dicabar buktikan segala pendedahan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan terhadapnya dan isteri tidak kredibel.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penafian Najib berhubung pendedahan Deepak yang mengaitkannya dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu hanya sia-sia kerana menambah kesangsian rakyat.

"Tiada erti kalau setakat nafi. Itu tak menjawab namanya. Ini tuduhan berat kerana melibatkan kes jenayah yang didakwa dilakukan oleh pemimpin nombor satu negara.

"Saya cabar Najib buktikan semua pendedahan Deepak itu tidak kredibel. Mengikut lunas undang-undang, saya juga cabar Najib saman atau gesa polis tahan Deepak untuk siasatan," katanya ketika dihubungi.

Najib juga kata Shamsul perlu menjelaskan pendedahan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkenaan dakwaan Deepak bahawa dia membayar RM13 juta untuk membeli isteri Perdana Menteri itu barang kemas.

"Apakah dokumen-dokumen yang didedahkan menunjukkan pembelian barang-barang kemas Rosmah Mansor itu tidak kredibel? "Bagaimana pula pembelian saham syarikat Deepak? Apakah itu juga tidak kredibel?" soal Shamsul.

Sedangkan, katanya, salinan dokumen yang disampaikan kepada Rafizi oleh pihak ketiga yang mendapatnya daripada Deepak, menguatkan lagi kenyataan peniaga permaidani itu sebelum ini bahawa beliau membayar jumlah tersebut dalam tempoh tiga bulan untuk pembelian barang kemas mewah Rosmah.

Dilaporkan semalam, Najib membuka mulut menafikan dakwaan Deepak selepas lebih kurang dua bulan beliau mendakwa Najib terlibat dengan pembunuhan Altantuya.

Itu adalah reaksi pertama Najib sementara menunggu pilihan raya yang akan berlangsung tahun ini.

Dalam satu wawancara dengan lidah parti PAS, Deepak mendakwa Najib memainkan peranan utama dalam tindakan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam yang menarik balik pengakuan bersumpah (SD) pertama pada tahun 2008.

Deepak mendakwa Najib berbuat demikian demi mengelakkan tindakan yang mungkin diambil seteru dalam Umno bagi menghalang cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

"Beranikah Najib nafikan beliau tidak mengetahui tentang bayaran yang dibuat adiknya, Nazim Razak kepada Bala bagi mendapatkan beliau untuk megeluarkan SD 2, yang menyatakan beliau dipaksa untuk membuat SD1 – penglibatan Najib dan isterinya dengan pembunuhan Altantuya? tekan Shamsul -KD


Beranikah Najib buktikan Deepak tak kredible?


Oleh Dr Dzulkefly Ahmad,

1) Akhirnya PM Najib memecah kesunyiannya tentang satu isu yang buat beberapa minggu ini telah menjadi kebingungan rakyat.> Akhbar BN media-arus perdana menggelapkan samasekali isu ini. Hanya sebuah majalah kewangan berwibawa 'The Edge' (31 Dis 2012) ada membuat sedikit liputan dalam bentuk komentar ringkas. Itu pun bersabit urus-tadbir kontroversi yang sangat diralatkan olih plebagai pihak 'analysts' dalam bidang kewangan korporat. Ketelusan dan pertanggungjawaban korporat nyata di langgar dalam urusniaga ini.

2) Najib semalam tiba-tiba memecah 'gag-order' atau 'tutup mulut'nya sendiri dengan secara tiba-tiba membuat kenyataan bahawa dakwaan Deepak tidak kredibiliti. Reaksi seperti itu biasa bagi orang yang didakwa. Apa kata kalau Deepak suruh Najib buktikan bahawa dirinya kredible? Parah! Najib silap menjawab tuduhan Deepak sebegini.

3) Setelah banyak kali penafian yang dibuat dek PM ini dalam pelbagai isu termasuk paling mutakhir dalam kes pemberian kontrak LRT Ampang dan George Kent, maka untuk kesekian kalinya dan sebesar isu ini, penafian beliau ditanggapi umum sebagai agak tidak mencukupi dan agak kelewatan...'too little too late'... untuk merelaikan kegusaran dan memuaskan umum.

4) Setelah seorang yang bernama Deepak Jaikishin, peniaga permaidani yang kini membuat pelbagai dakwaan serta tuduhan salah laku terhadap diri, isteri dan adiknya, maka bersediakah PM Najib, yang kini menuduh Deepak tidak kredible, untuk membuat beberapa penafian secara terbuka seperti berikut:

# Beranikah Najib membuat penafian bahawa beliau tidak kenal atau tidak tahu menahu tentang Deepak?

# Beranikah Najib yang ketika itu Menteri Pertahanan membuat penafian tidak tahu menahu tentang urus-niaga antara Deepak dan Raja Roopiah tentang pembinaan Puspahanas, yang berakhir dengan Deepak ditipu oleh Ketua Wanita Umno Selangor itu yang menjual tanah yang sama yang dijual ke Deepak kepada pihak ketiga?

# Bersediakah Najib membuat pengakuan bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan arahan LTAT melalui anak syarikatnya Boustead Holding Berhad, Bakti Wira, membeli 80% saham Asta Canggih? # Mampukah Najib manafikan bahawa beliau tidak ada pengetahuan tentang bayaran yang dibuat adiknya, Nazim Razak kepada PI Balasubramaiam bagi mendapatkan beliau untuk megeluarkan Akuan Bersumpah 2, SD2, yang menyatakan beliau dipaksa untuk membuat SD1 yang mensabitkan keterlibatan Najib dan isterinya dengan pembunuhan wanita Mongolia?

# Dapatkah Najib mengesahkan bahawa segala kerjasama Deepak adalah urusan dengan isterinya dan bukan dengan beliau secara langsung? Dengan kata lain dapat Najib menafikan bahawa beliau tidak mendapat apa-apa menafaat dari usaha Deepak?

# Akhir sekali beranikah Najib menyaman Deepak atas segala tuduhannya yang sangat menjatuhkan maruah dan kredibiliti-integriti dirinya, isterinya dan adiknya?

Buat ingatan umum secara ringkas diturun kesimpulan episode yang menekan Deepak utuk membuat expose' yang mungkin sahaja boleh merobek akan apa jua kepercayaan yang masih berbaki.

5)Tuduhan adalah bersabitan hal untuk mendapat seorang penyiasat persendirian (personal investigator - PI P Balasubramaniam untuk menukar akuan bersumpah pertamanya (Statutory Declaration – SD) bahawa PM dan isterinya terlibat dalam pembunuhan seorang wanita mongolia Altantuya Shaaribu.

6) Bagi melaksanakan langkah tersebut Deepak mendakwa bahawa beliau telah berperanan untuk mendapat Balasubramaniam menukar SD1 ke SD2 yang menarik balik segala pertuduhan tentang keterlibatan PM dan isterinya. Bagi melaksanakan itu Deepak mendakwa bahawa adik PM Najib Razak, Nazim Razak telah membayar PI Bala itu sejumlah wang.

7) Deepak telah melancarkan serangan ke atas PM dan isterinya, apabila beliau tidak dibantu olih isteri PM setelah ditipu dalam satu urusan perniagaan beliau dengan seorang wanita Dato Raja Roopiah, yang juga Ketua Wanita Umno Selangor bersabitan projek pembinaan Pusat Penyelidikan Pertahanan Nasional (Puspahanas).

8) Bagi tujuan pembinaan Puspahanas, yang berharga RM100 juta, LTAT telah menganugerahkan syarikat Raja Roopiah, Awan Megah Sdn Bhd melalui kaedah 'runding langsung'.

LTAT akan membayar Awan Megah RM27 juta tunai dan selebih kos pembinaan akan dibayar denga cara memberikan Awan Megah sekeping tanah 223 ekar di Kota Raja yang bernilai RM 72.5 juta.

9) Apabila Raja Roopiah gagal menerbitkan bon untuk membiayai pembinaan projek tersebut, Deepak telah diminta untuk membantu. Deepak telah membayar deposit RM13 juta kepada Raja Roopiah untuk menerbitkan bon tersebut (RM72.5 juta). Deepak akan membayar RM27 juta tunai kepada Raja Roopiah sebagai sebahagian bayaran untuk tanah 200 ekar dan selebihnya melalui bon yang diterbitkan.

10) Bagi cubaan untuk menutup mulut Deepak, Boustead Holding, sebuah badan pelaburan LTAT, telah mengarah anak syarikatnya, Bakti Wira, membayar Deepak RM30 juta sekaligus membeli 80% saham syarikat Deepak AstaCanggih Sdn Bhd. LTAT, anehnya pula membayar RM130 juta untuk mendapat 200 ekar tanahnya kembali yang diberikan kepada Awan Megah. 23 ekar selebihnya adalah kini kepunyaan Awan Megah. Menghairankan umum adalah mengapa LTAT perlu membayar RM130 juta untuk tanahnya sendiri (200 ekar) yang dijual pada harga hanya RM72.5 juta dan kini pulak berkurangan 23 ekar.

Tegasnya pelbagai pihak melihat tadbir-urus projek ini melanggari pelbagai amalan baik atau 'best practice'.

Mengapa tanah kementerian Pertahanan diberikan kepada pihak yang tidak punya pegalaman secara runding langsung, termasuk tidak punya kekuatan kewangan dan pada akhirnya rugi dalam pembelian kembali tanah milik mereka sendiri asalnya dengan perbezaaan harga sebanyak RM57.5 juta?

Sementara Najib spontan menghukum Deepak tidak kredible, sebenarnya umum cenderung untuk memikirkan sebaliknya.

Bagaimana Najib mahu meyakinkan rakyat dan pengundi bahawa beliau telah berubah dan atas dasar itu layak diberi peluang sekali lagi kalau pelbagai dakwaan Deepak gagal ditangkis secara tuntas dan muktamad?


Isu Air Selangor: Ternyata, Kerajaan Pusat Zalimi Rakyat Selangor!

Posted: 18 Jan 2013 07:03 AM PST


Kerajaan Pusat Memihak Kepada SYABAS Bukan Rakyat

Kerajaan Pusat dilihat lebih berminat menjaga kepentingan kroni dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berbanding rakyat dalam isu air di Selangor sehingga masalah itu berlarutan tanpa penyelesaian.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkara tersebut boleh diselesaikan cepat sekiranya Kerajaan Pusat mengutamakan rakyat dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

"Ia bukan isu politik tetapi isu rakyat. Kembalikan hak air kepada rakyat. Jangan diswastakan lagi, itu yang paling penting.

"Undang-undang bersetuju hak air boleh dikembalikan tetapi ada tiga pihak mesti bersetuju, Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan pemegang saham.

"Kerajaan Pusat tidak memihak kepada rakyat tetapi memihak kepada kroni. Kalau Kerajaan Pusat kata setuju ambil, esok kita boleh selesaikan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, penswastaan air dilakukan itu adalah satu kesilapan kerana diserahkan kepada syarikat yang tidak mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mengendalikan operasi air.

Katanya, ini diakui sendiri oleh bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan menyarankan ia diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri.

"Ini jelas kita sudah melihat beberapa perkara termasuk penjagaan pam yang tidak dijaga dibiarkan saja rosak selama setahun, baru sekarang sibuk nak betulkan hinggakan (Datin Seri) Rosmah sendiri kena angkut air," katanya -selangorku


Air S'gor: Siapa sebenarnya bermain politik


SHAH ALAM: Tindakan BN Selangor menuduh kerajaan negeri bermain politik dalam isu air seperti memperjudikan nasib lebih 5 juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, usaha kerajaan kegeri mengambilalih perkhidmatan air dengan niat semata-mata mahu menjaga kebajikan pengguna yang tidak mendapat pembelaan dari kerajaan sebelum ini hanya mementingkan tembolok dan kroni sendiri.

BN katanya bukan sahaja pandai menuduh, malah juga langsung tidak memberi kerjasama dalam usaha kerajaan negeri mengambil alih pegurusan air di negeri ini.

Katanya, sebagai bukti, sehingga kini rakyat dipaksa menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang langsung tiada kepakaran dalam industri air menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tidak munasabah.

"Malangnya, selepas empat tahun berunding usaha pengambilalihan ini masih gagal kerana kerajaan Pusat tidak menyokong usaha ini lantaran lebih mementingkan syarikat konsesi daripada kebajikan rakyat.

"Bukan sekadar itu, syarikat konsesi ini mendapat sokongan kuat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang turut melemparkan tuduhan tidak berasas mengenai isu air dan menghentam usaha Menteri Besar, Tan Sri Seri Abdul Khalid Ibrahim mengambilalih perkhidmatan air," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Tuduhan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Kerajaan Selangor bermain politik dalam isu air.

Siapa bermain politik

Menurut Faekah, jika sememangnya kerajaan Persekutuan tidak setuju perkhidmatan air diambil alih kerajaan negeri, mengapa kerajaan meluluskan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membenarkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.

"Mengapa penstrukturan air boleh dilaksanakan di Terengganu, Perak dan Melaka dan tidak Selangor? soalnya.

Faekah juga yakin, sekiranya Kerajaan Negeri diberi peluang mengurus sendiri air ia akan membuktikan dasar penswastaan BN yang diberi kepada kroni adalah gagal.

Oleh itu katanya, tidak hairan pemimpin Umno bermati-matian mempertahankan konsesi ini dan akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat Selangor di dalam isu air ini.

Ini kerana, BN percaya jika kerajaan Selangor dibenar mengambilalih perkhidmatan air maka peluang mereka untuk kembali menang di Selangor akan terus terkubur.



Mahathir Mengaku Beri IC, Berhelah Tuduh Tunku Lebih Teruk Daripadanya

Posted: 18 Jan 2013 04:01 AM PST

Beri IC: Tunku lebih teruk dari saya, kata Dr M

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman melakukan perkara "lebih teruk" dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

Mahathir ketika ditanya pemberita, mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.

Namun beliau mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.

"Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?

"Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang," katanya dalam sidang media selepas program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam hari ini.

Ditanya sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk pilihan raya kerana ia dijalankan dua minggu sebelum pilihan raya Sabah, Mahathir berkena beliau "tidak tahu".

Bekas perdana menteri – yang menjawat jawatan itu selama 22 tahun – itu berkata, perkara itu mungkin berlaku secara kebetulan tetapi menegaskan sekali lagi bahawa ianya mengikut undang-undang.

"Saya buat sebelum pilihan raya. Mungkin kebetulan. Saya tak tahu. Tapi ia mengikut undang-undang. Perkara itu berlaku sebelum pilihan raya tak bermakna melanggar undang-undang," katanya lagi.

Ditanya lagi sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk membolehkan Umno merampas kuasa di Sabah, Mahathir berkata penerima kad pengenalan itu bebas untuk mengundi mana-mana parti selepas menjadi warganegara.

"Itu hak mereka. Bila dah jadi warganegara, mereka nak sokong Umno, BN atau apa-apa itu mereka punya hak," katanya.

Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan oleh saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah semalam memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Turut hadir dalam program di Shah Alam hari ini ialah bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. -mk


Projek IC: Mahathir hentam Tunku untuk lepaskan diri


Kenyataan terkini oleh Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membersihkan dirinya daripada segala salahlaku dalam pemberian kad pengenalan haram yang sedang dalam siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja menggambarkan dirinya sebagai angkuh, tidak menyesal dan manipulator sejarah yang tidak bertanggung jawab.

Percubaan Dr Mahathir untuk mengheret Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman, dalam kekotoran ini adalah keji dan hina.

Beliau cuba untuk mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang dikendalikan dalam keadaan sembunyi semasa beliau memegang tampuk kuasa Perdana Menteri dengan pemberian kewarganegaraan di semenanjung Malaysia semasa era Tunku.

Beliau berterusan menghina akal kita dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia yang sememangnya suatu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan kita.

Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut. Oleh itu Dr Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalih beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama.

Projek haram ini berlaku hanya dua minggu sebelum Plihan Raya Umum 1994 dan Dr Mahathir harus berhenti berpura-pura yang beliau tidak mampu melihat kaitannya dengan konklusi yang jelas bahawa wujud skim kewarganegaraan untuk undi.

Saya tetap terkejut apabila mendapati bahawa pesalah-pesalah dalam penipuan tersebut telah menginap di rumah Aziz Shamsuddin dan membuat manfaat daripadanya sebagai pusat operasi untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu tersebut.

Tidak lebih mengejutkan apabila ada keterangan bahawa Megat Junid Megat Ayub pernah mengarahkan pegawai atasan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan resit penerimaan kad pengenalan itu.

Aziz Shamsuddin dan Megat Junid tidak mungkin mampun melaksanakan penipuan yang sebegitu rapi tanpa arahan atau persetujuan daripada orang atasan mereka, yang tentunya ketika itu adalah Dr. Mahathir.

Saya tetap dengan seruan saya bahawa Dr.

Mahathir harus disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan Negara dengan menjual kedaulatan kita dengan mengizinkan skim keji ini hanya untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional kekal di Sabah.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN



Pengakuan Mahathir beri IC pada pendatang bukti Umno 'jual' negara


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bingkas membidas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir Mohamad di sebalik pengakuannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.

Pertama sekali, Tun Mahathir sudah mengaku menjadi dalang utama projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing dua minggu sebelum pilihanraya 1990. Inilah jawapan yang dicari-cari selama ini, telah dilafaz sendiri oleh Tun Mahathir.

Walau apapun alasannya, pemberian kewarganegaraan segera khususnya di musim pilihanraya harus diterjemah sebagai jalan singkat untuk regim terus berkuasa. Pemberian kad pengenalan secara terburu-buru sempena pilihanraya secara langsung membolehkan si penerima anugerah warganegara segera ini terus mengundi. Ia sangat tidak adil khususnya buat rakyat Sabah ketika itu dan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Maka dengan pengakuan Tun Mahathir hari ini setelah lama mendiamkan diri, apakah ada lagi pengakuan atau pendedahan yang lebih sensasi untuk membolehkan rakyat seluruh tanahair sedar bahawa regim pemerintah tergamak menjual negara ini demi mengekalkan kuasa melalui kewarganegaraan segera? Hanya selepas negara dikejutkan dengan pendedahan oleh bekas Ketua Jabatan di JPN Sabah dan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, menjadikan Tun Mahathir tidak punya pilihan selain mengaku perbuatannya.

Pengakuan Tun Mahathir ini wajar dipandang serius terutamanya apabila menyedari modus operandi yang sama dijangka bakal digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam pertembungan PRU-13, berdasarkan mood kebangkitan rakyat yang akan menyaksikan pemerintahan 56 tahun mampu ditamatkan. Umno dan BN tidak mampu mengekang arus perubahan malah turut sedar betapa mereka akan tumbang kali ini. Maka operasi Sabah 1990 diperluas ke semenanjung!

Kedua, Tun Mahathir mendakwa bahawa tindakkannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah tidak seteruk Tunku Abdul Rahman Putra yang kononnya telah memberi kerakyatan kepada sejuta penerima yang tidak layak. Lupakah Tun Mahathir bahawa ketika sejuta kerakyatan yang diberi suatu ketika dahulu adalah demi membentuk sebuah negara merdeka? Apakah kesumat yang melanda Tun Mahathir sehingga tergamak mengungkit pemberian hak sejuta kerakyatan yang dikontra dengan 'hak keistimewaan orang melayu'? Apakah hari ini Tun Mahathir ingin katakan bahawa orang cina dan india tidak layak mendapat kerakyatan? Ternyata sentimen perkauman itu tetap menebal walaupun Tun Mahathir di hujung usia, dan barangkali ia satu candu untuk Tun Mahathir melupakan salahsiah asal usulnya.

Penghinaan Tun Mahathir terhadap bekas Perdana Menteri yang Umno sendiri gelar sebagai Bapa Kemerdekaan dilihat agak keterlaluan. Kekalutan Tun Mahathir cuba membela diri dengan mensabitkan seseorang yang sudah mati, yang sudah tentu tidak mampu menjawab tuduhan bagi membela diri adalah sangat tidak 'gentleman'. Tidak cukupkah penghinaan yang Tun Mahathir lakukan kepada Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih hidup?

Ketiga, Tun Mahathir turut mendakwa pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu kononnya mengikut landas undang-undang walaupun ketika itu secara kebetulan menjelang pilihanraya. Ya, memang secara kebetulan kerana inilah 'kebetulan' yang dicari bagi menghadapi pilihanraya. Ini satu kebetulan yang membolehkan kuasa dirampas di Sabah, dan akan menjadi satu lagi 'kebetulan' untuk Umno merampas Selangor pula.

Ketika ini PRU-13 menjelang tiba, dan secara kebetulan negeri Selangor menjadi sasaran utama untuk dirampas oleh Umno maka secara 'kebetulan' juga negeri Selangor dipenuhi oleh pendatang asing yang mempunyai kad pengenalan biru. Perkara ini telah acap kali didedahkan dan sering menjadi perhatian.

Dari aspek nasional pula, Umno dan Barisan Nasional begitu lemah dalam survivalnya untuk pertahankan Putrajaya. Secara kebetulan juga, ratusan ribu pendatang asing telah dipanggil 'interview' secara besar-besaran di Kompleks Imigresen Precinct 2 Putrajaya di atas nama pemutihan 6P. Projek 6P ini dilakukan secara terburu-buru demi perlaksanaan sistem biometrik untuk warga asing. Sistem biometrik ini juga merupakan sistem yang dicadang oleh SPR sebagai alternatif kepada tuntutan penggunaan dakwat kekal.

Mujurlah sistem biometrik tidak diguna dalam pilihanraya atas desakan penggunaan dakwat kekal, jika tidak pastinya satu lagi 'kebetulan' berlaku.

Sesungguhnya insiden kebetulan yang berlaku pada tahun 1990 di Sabah sepertimana yang disebut oleh Tun Mahathir kini berlaku semula menjelang PRU-13 dan kali ini ia menjalar ke seluruh negara. Pelbagai 'kebetulan' yang melampaui keraguan munahsabah, apakah rakyat masih tidak sedar?

Ingatlah, pemberian kad pengenalan kepada warga asing adalah satu pengkhianatan. Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang jauh lebih 'advance' memiliki syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing yang belum layak ini diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi membantu Umno dan BN menang pilihanraya, akhirnya rakyat akan merempat di bumi sendiri!

Justeru itu, pengakuan Tun Mahathir ini menjadi rujukan terpenting untuk rakyat bangkit menghumban pemerintah yang menipu pilihanraya khususnya dalam soal kewarganegaraan segera. Paling penting, pengakuan Tun Mahathir yang juga bekas 22 tahun Presiden Umno membuktikan, sah sahih muktamad, Umno sanggup jual negara ini kepada warga asing demi untuk terus kekal berkuasa!

Demi rakyat dan kecintaan terhadap negara ini, SAMM dengan kerjasama pelbagai organisasi massa akan sekali lagi menjelajah ke seluruh tanahair termasuk Sabah dan Sarawak bagi meniup kesedaran awam dalam isu babitkan warga asing dan juga menggerakkan massa untuk mengekang warga asing daripada menjadi pengundi talibarut regim pemerintah. Turut akan dipersembahkan sepanjang jelajah ialah teknik mengenalpasti pendatang asing yang cuba mengundi dan teknik tangkapan awam yang berkesan.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM

Tiada ulasan: