Pengakuan Tun Mahathir: Akhirnya Terbukti Umno Jual Negara Demi Kuasa! Posted: 17 Jan 2013 10:55 PM PST
Kenyataan Umum 18 Januari 2013
Pengakuan Tun Mahathir: Akhirnya Terbukti Umno Jual Negara Demi Kuasa!
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bingkas membidas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir di sebalik pengakuannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.
Pertama sekali, Tun Mahathir sudah mengaku menjadi dalang utama projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing dua minggu sebelum pilihanraya 1990. Inilah jawapan yang dicari-cari selama ini, telah dilafaz sendiri oleh Tun Mahathir.
Walau apapun alasannya, pemberian kewarganegaraan segera khususnya di musim pilihanraya harus diterjemah sebagai jalan singkat untuk regim terus berkuasa. Pemberian kad pengenalan secara terburu-buru sempena pilihanraya secara langsung membolehkan si penerima anugerah warganegara segera ini terus mengundi. Ia sangat tidak adil khususnya buat rakyat Sabah ketika itu dan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Maka dengan pengakuan Tun Mahathir hari ini setelah lama mendiamkan diri, apakah ada lagi pengakuan atau pendedahan yang lebih sensasi untuk membolehkan rakyat seluruh tanahair sedar bahawa regim pemerintah tergamak menjual negara ini demi mengekalkan kuasa melalui kewarganegaraan segera? Hanya selepas negara dikejutkan dengan pendedahan oleh bekas Ketua Jabatan di JPN Sabah dan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, menjadikan Tun Mahathir tidak punya pilihan selain mengaku perbuatannya.
Pengakuan Tun Mahathir ini wajar dipandang serius terutamanya apabila menyedari modus operandi yang sama dijangka bakal digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam pertembungan PRU-13, berdasarkan mood kebangkitan rakyat yang akan menyaksikan pemerintahan 56 tahun mampu ditamatkan. Umno dan BN tidak mampu mengekang arus perubahan malah turut sedar betapa mereka akan tumbang kali ini. Maka operasi Sabah 1990 diperluas ke semenanjung!
Kedua, Tun Mahathir mendakwa bahawa tindakkannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah tidak seteruk Tunku Abdul Rahman Putra yang kononnya telah memberi kerakyatan kepada sejuta penerima yang tidak layak. Lupakah Tun Mahathir bahawa ketika sejuta kerakyatan yang diberi suatu ketika dahulu adalah demi membentuk sebuah negara merdeka?
Apakah kesumat yang melanda Tun Mahathir sehingga tergamak mengungkit pemberian hak sejuta kerakyatan yang dikontra dengan 'hak keistimewaan orang melayu'? Apakah hari ini Tun Mahathir ingin katakan bahawa orang cina dan india tidak layak mendapat kerakyatan? Ternyata sentimen perkauman itu tetap menebal walaupun Tun Mahathir di hujung usia, dan barangkali ia satu candu untuk Tun Mahathir melupakan salahsiah asal usulnya.
Penghinaan Tun Mahathir terhadap bekas Perdana Menteri yang Umno sendiri gelar sebagai Bapa Kemerdekaan dilihat agak keterlaluan. Kekalutan Tun Mahathir cuba membela diri dengan mensabitkan seseorang yang sudah mati, yang sudah tentu tidak mampu menjawab tuduhan bagi membela diri adalah sangat tidak 'gentleman'. Tidak cukupkah penghinaan yang Tun Mahathir lakukan kepada Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih hidup?
Ketiga, Tun Mahathir turut mendakwa pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu kononnya mengikut landas undang-undang walaupun ketika itu secara kebetulan menjelang pilihanraya. Ya, memang secara kebetulan kerana inilah 'kebetulan' yang dicari bagi menghadapi pilihanraya. Ini satu kebetulan yang membolehkan kuasa dirampas di Sabah, dan akan menjadi satu lagi 'kebetulan' untuk Umno merampas Selangor pula.
Ketika ini PRU-13 menjelang tiba, dan secara kebetulan negeri Selangor menjadi sasaran utama untuk dirampas oleh Umno maka secara 'kebetulan' juga negeri Selangor dipenuhi oleh pendatang asing yang mempunyai kad pengenalan biru. Perkara ini telah acap kali didedahkan dan sering menjadi perhatian.
Dari aspek nasional pula, Umno dan Barisan Nasional begitu lemah dalam survivalnya untuk pertahankan Putrajaya. Secara kebetulan juga, ratusan ribu pendatang asing telah dipanggil 'interview' secara besar-besaran di Kompleks Imigresen Precinct 2 Putrajaya di atas nama pemutihan 6P. Projek 6P ini dilakukan secara terburu-buru demi perlaksanaan sistem biometrik untuk warga asing. Sistem biometrik ini juga merupakan sistem yang dicadang oleh SPR sebagai alternatif kepada tuntutan penggunaan dakwat kekal.
Mujurlah sistem biometrik tidak diguna dalam pilihanraya atas desakan penggunaan dakwat kekal, jika tidak pastinya satu lagi 'kebetulan' berlaku.
Sesungguhnya insiden kebetulan yang berlaku pada tahun 1990 di Sabah sepertimana yang disebut oleh Tun Mahathir kini berlaku semula menjelang PRU-13 dan kali ini ia menjalar ke seluruh negara. Pelbagai 'kebetulan' yang melampaui keraguan munahsabah, apakah rakyat masih tidak sedar?
Ingatlah, pemberian kad pengenalan kepada warga asing adalah satu pengkhianatan. Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang jauh lebih 'advance' memiliki syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing yang belum layak ini diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi membantu Umno dan BN menang pilihanraya, akhirnya rakyat akan merempat di bumi sendiri!
Justeru itu, pengakuan Tun Mahathir ini menjadi rujukan terpenting untuk rakyat bangkit menghumban pemerintah yang menipu pilihanraya khususnya dalam soal kewarganegaraan segera. Paling penting, pengakuan Tun Mahathir yang juga bekas 22 tahun Presiden Umno membuktikan, sah sahih muktamad, Umno sanggup jual negara ini kepada warga asing demi untuk terus kekal berkuasa!
Demi rakyat dan kecintaan terhadap negara ini, SAMM dengan kerjasama pelbagai organisasi massa akan sekali lagi menjelajah ke seluruh tanahair termasuk Sabah dan Sarawak bagi meniup kesedaran awam dalam isu babitkan warga asing dan juga menggerakkan massa untuk mengekang warga asing daripada menjadi pengundi talibarut regim pemerintah. Turut akan dipersembahkan sepanjang jelajah ialah teknik mengenalpasti pendatang asing yang cuba mengundi dan teknik tangkapan awam yang berkesan.
Ayuh anak muda bersama SAMM, bangkit dan lawan !
EDY NOOR REDUAN Pengarah Propaganda SAMM www.anakmudamalaysia.com twitter: @edyesdotcom
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan