Jumaat, 18 Januari 2013

.

.


Bolasepak, Annuar, Komando & Anak Raja Johor

Posted: 18 Jan 2013 12:06 AM PST

TAZKIRAH JUMAAT                                                                                                        

Dunia bola sepak negara ini bukan saja kontroversi dengan pertukaran pemain dari satu pasukan ke satu pasaukan menerusan perdagangan pemain, tetapi ia juga menjadi kontroversi dengan elemen-elemen lain yang setengah tidak ada kena mengena langsung dengan dunia bola sepak.

Komando yang dikatakan ternampak di stadium.
Misalnya perpindahan pemainan bernama Mat Yo dari Kelantan ke Johor menimbulkan sedikit kegawatan, iaini perasaan marah penyokong Kelantan. Mereka tidak boleh menerima perpindahan Mat Yo itu kerana dengan ketiadaan penyerang itu mereka merasakan Kelantan tidak akan menyengat  lagi.

Nama Mat Yo itu sendiri sudah sebati dengan budaya orang Kelantan dalam memanggil nama seseorang yang disukainya dengan sebutan pendek dan ringas. "Mat Yo", adalah nama manja dan kesayangan. Jadi bila Mat Yo ini dibeli oleh Johor dan Mat Yo pula setuju timbullah kemarahan. Penyokong Kelantan tidak bersikap profesional dalam hal ini dan mereka tidak tahu bahawa bola sepak di Malaysia hari ini bukan lagi bersifat kenegerian.

Perkara ini tidak membimbangkan kerana ia fenomena biasa. Ia seperti hujan musim banjir. Lepas banjir fobia kepada hujan akan berhenti. Demikian dengan Mat Yo (nama sebenarnya NorAzlan Talha... betul ke?) apabila Kelantan menggantinya dengan pemain lain sebagai pengganti, lama kelamaan isu Mat Yo dan rasa marah kepadanya pun akan sirna. Selebat mana hujan semua air akan mudik ke lautan.

Dalam konteks bola sepak di negara ini, kontroversi juga berlaku dalam pengurusan atau teknikal pentadbiran dalam organisasi bola itu sendiri. Contohnya apabila Presiden KAFA, Annuar Musa dikenakan hukuman gantung oleh FAM disebabkan kesalahan (yang sebenarnya boleh dialpakan), iaitu kerana memberi pandangan untuk kebaikan bola sepak Malaysia, tetapi ia dikenakan tindakan kerana bercakap melampau persatuan.

Siap dengan senjanta. Nak tembak siapa? 
 FAM tidak boleh dikritik. Status itu samalah dengan status raja-raja Melayu yang dilindungi oleh undang-undang di mana ianya tidak boleh dikritik. Raja-raja Melayu tidak boleh ditegur atau diberi pandangan (secara terbuka) kerana mereka ada imuniti. Saya sendiri pernah disoal siasat oleh polis berhari-hari kerana memberi pandangan kepada seorang sultan, walhal pandangan saya itu hakikatnya untuk memperteguh dan mensucikan institusi itu.

Demikain  dengan FAM. Bila Annuar memberi pandangan untuk kemajuan bola sepak, beliau dikenakan tindakan. Annuar dirujuk kepada perlembagaan FAM kononnya ianya manifestasi tindakan diizinkan FIFA. FIFA membenarkan tindakan diambil ke atas Annuar. Apa salahnya kalau pandangan Annuar itu diterima dengan penuh keinsafan. Tidak semua ketegasan FIFA itu perlu dituruti asalkan ia bukan percanggahan memudaratkan kemajuan bolasepak negara.

Keadaan bertambah buruk lagi, apabila kebetulan Presiden FAM ialah seorang raja yang juga memiliki imuniti-imuniti tertentu. Tetapi kalau kita faham dan mengerti imuniti raja tidak terbawa dalam apa-apa persatuan baik bola sepak, hoki atau apa-apa. Presiden atau ahli jawatankuasa yang mempunyai imuniti istimewa itu, mereka hendaklah mencampaknya di luar apabila mereka menjejak kaki ke dalam persatuan sukan atau apa-apa persatuan pun. Sukan bukan dunia feaudal.

Jangan sesekali cuba meletakkan harga diri lebih mahal dari perlembagaan.

Annuar Musa terlupa itu, atau dia sengaja dilupakan bahawa bosnya ada imuniti itu. Sebab Annuar Musa ini pun jenis anak jantan yang berani, walaupun tanpa keris. Dia mengkritik bukan saja raja FAM tetapi sultan Kelantan juga. Belum ada seorang bertaraf atau berkedudukan dalam politik di negara ini berani menabalkan anak Raja lain untuk menjadi raja. Tetapi ia berlaku dan dilakukan oleh Annuar Musa.

Tinggal isu Mat Yo dan Annuar Musa, saya nak komen mengenai isu tebaru yang berlaku di Kelantan dua tiga hari lepas, iaini mengenai kewujudan dua tiga orang komando (anggota Gerak Khas) di dalam stadium Sultan Mohamad ke-IV sewaktu pasukan 'gedebe merah' (Kelantan) berjumnpa dengan 'samseng kuning' (Johor). Semua orang bengong melihat kehadiran komando itu di mana sebelum ini tidak pernah ditengok orang ada komando dalam stadium semasa perlawanan bola hatta melibatkan pasukan ATM sekalipun.

Walaupun perlawanan melibatkan pasukan dari ATM, namun tidak ada komando atau askar yang tegok bawa senjata. Akhir-akhir ini ATM nampaknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada bola sepak. Khabarnya Panglima ATM pada masa kini begitu berminat dengan bola. Minat tidak minat katanya sampai dalam mesyuarat melibatkan Panglima-Panglima tentera juga hal bola turut sama dibincangkan.

Kalaulah benar maklumat ini ia sesuatu yang tidak sihat berlaku dalam ATM. Apa guna ATM memberi tumpuan kepada bola sepak. ATM adalah bertanggungjawab menjaga keselamatan luar negara bukannya sukan. Apakah kerana soal keselamatan sudah terjamin maka askar boleh turun padang. Askar kena siapsiaga sepenuhnya sama ada waktu musuh ada atau pun tidak. Menteri yang jaga askar perlulah memerhati dan jangan pula beliau jadi tukang sokong.

Peruntukan diberikan kepada pasukan bola bukan sedikit. Ia melibatkan jutaan ringgit. Tidak kiralah sama ada wang itu hasil tajaan atau tidak dari peruntukan kementerian. Alangkah baiknya kalau wang yang banyak itu digunakan untuk kebajikan anggota yang memerlukan. Lagi pun yang menyertai pasukan ATM itu bukannya 100% anggota tentara?

Saya hairan mengenai perkara ini. Apakah pasukan tentera negara lain juga memiliki team bola sepak yang hebat. Ataupun ada rancangan untuk mengadakan liga merebut piala panglima tentera di peringkat dunia. Atau Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersatu sudah membuat satu polisi baru kekuatan sesebuah negara itu mestilah berdasarkan kepada kekuatan pasukan bola sepak? Hamlau...

Kembali semula kepada isu komando di stadium Sultan Mohamad ke IV. Kata anak raja Johor, kehadiran itu bukan atas arahannya. Ia menafikan anggota itu adalah dari pasukan TSN. Ia adalah atas arahan ketua gerak khas. Kononya bila beliau nak turun ke Kelantan, ketua gerak khas meghantarkan anggota mereka ke stadium. Soalnya untuk apa, tentulah untuk jaga keselamatan anak raja Johor itu. Tidak mungkin untuk jadi refree atau pun penjaga garisan sebab FAM dah hantar pengadilnya sendiri.

Bila untuk jaga keselamatan, ia menimbulkan persoalan apakah keselamatan untuk anak raja Johor itu tidak terjamin di Kelantan? Bukankah setiap kali diadakan perlawanan bola sepak,  polis mengerakkan pasukannya untuk mengawal keadaan stadium? Seburuk-buruk bola sepak di Kelantan belum ada penononton dan pemain mati kerana dibunuh atau dibom. Orang Kelantan masih waras dan belum gila semuanya.

Isu kewujudan komnado itu baik atas arahan sesiapa tidak boleh dipandang ringan. Baik KAFA dan FAM kena mengambil berat perkara itu. Perkara paling utamanya apakah wajar kehadiran komnado yang lengkap berbedil bedal begitu? Jika ianya bertentangan dengan semangat sukan bola sepak, pihak yang membawanya hendak diambil tindakan.

Katanya Setiausaha Agung FAM (tak tahu nama) kewujudan komnado itu ada prosuder biasa. Biasa apa... biasa kerana kehadiran anak raja Johor. Kebiasaan disebabkan kehadiran komando itu sebagai pakaian anak raja Johor itu, ia tidak boleh dibenarkan didalam bola sepak. FAM kena keluarkan syarat-syarat khas kepada Pengurus Pasukan Johor Takzim itu. Beritahu kepadanya di dalam peraturan FAM, askar atau komando atau askar persendirian tidak boleh dibawa masuk. Mungkin beliau tidak mengerti peraturan atau standard ini. Maklumlah sajalah anak raja banyak perkara yang mudah tetapi tidak dihafalnya.

Mungkin anak raja Johor tidak mengetahui hal ini. Makanya FAM kena berani melaksanakan peraturan. Jangan lihat apakah dia seorang anak raja atau siapa, di dalam hal ini peraturan atau undang-undang standard yang diturunkan oleh FIFA hendaklah dipatuhi. Saya sangat berharap insiden berkenaan dibawa kepengetahuan FIFA kerana FAM bernaungan dibawah FIFA.  Sekiranya FAM malu untuk sampaikan kepada FIFA, FAM sebagai badan bernaungan boleh melakukannya.

Kalau tindakan ke atas Annuar Musa kerana mengambil semangat FIFA, kenapa soal komando itu tidak boleh dirujuk kepada FIFA? Tampar baru tahu? Mat.. Mat mana lagi..Mat Maslanlah..... bila nak pelawa minum tea? [wm.kl.4:04 pm 18/01/13]

Mahathir Pemanipulator Sejarah : Azmin

Posted: 17 Jan 2013 07:57 PM PST

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                        

Mahathir seorang yang angkuh tidak pernah menyesal dengan kesalahan dan manipulator sejarah yang tidak bertanggungjawab, demikian tegas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. 

Katanya percubaan Mahathir untuk mengheret bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman dalam kekotoran yang dilakukan adalah satu perbuatan kekotoran dan hina. 

Kata Azmin, Mahathir cuba mengheret nama Tunku untuk menghalalkan perbuatannya memberi IC palsu kepada warga asing di Sabah sama dengan apa yang Tunku Abdul Rahman laksanakan selepas merdeka yang memberikan IC menerusi dasar Jus soli. 

Berikut adalah kenyataan penuh Azmin:


Kenyataan terkini oleh Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membersihkan dirinya daripada segala salahlaku dalam pemberian kad pengenalan haram yang sedang dalam siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja menggambarkan dirinya sebagai angkuh, tidak menyesal dan manipulator sejarah yang tidak bertanggung jawab.

Percubaan Dr. Mahathir untuk mengheret Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman, dalam kekotoran ini adalah keji dan hina. Beliau cuba untuk mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang dikendalikan dalam keadaan sembunyi semasa beliau memegang tampuk kuasa Perdana Menteri dengan pemberian kewarganegaraan di semenanjung Malaysia semasa era Tunku.

Beliau berterusan menghina akal kita dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia yang sememangnya suatu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan kita. Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut. Oleh itu Dr. Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalih beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama.

Projek haram ini berlaku hanya dua minggu sebelum Plihan Raya Umum 1994 dan Dr Mahathir harus berhenti berpura-pura yang beliau tidak mampu melihat kaitannya dengan konklusi yang jelas bahawa wujud skim kewarganegaraan untuk undi.

Saya tetap terkejut apabila mendapati bahawa pesalah-pesalah dalam penipuan tersebut telah menginap di rumah Aziz Shamsuddin dan membuat manfaat daripadanya sebagai pusat operasi untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu tersebut. Tidak lebih mengejutkan apabila ada keterangan bahawa Megat Junid Megat Ayub pernah mengarahkan pegawai atasan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan resit penerimaan kad pengenalan itu.

Aziz Shamsuddin dan Megat Junid tidak mungkin mampun melaksanakan penipuan yang sebegitu rapi tanpa arahan atau persetujuan daripada orang atasan mereka, yang tentunya ketika itu adalah Dr. Mahathir.

Saya tetap dengan seruan saya bahawa Dr. Mahathir harus disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan Negara dengan menjual kedaulatan kita dengan mengizinkan skim keji ini hanya untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional kekal di Sabah.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
[wm.kl.11:56 am 18/01/13]

Sudah Sediakan PAS Kelantan Untuk Berdepan Dengan UBN?

Posted: 17 Jan 2013 08:39 AM PST

ANALISA                                                                                                                           

Mungkin masa masa ada sedikit lagi untuk PAS Kelantan memperbetulkan mana-mana yang tidak betul dan menyempurnakan mana-mana yang cacat. Gunanya untuk memantapkan semua jentera bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13. Saya tidak tahu apakah PAS sudah berada dalam keadaan siap sedia seratus peratus dari semua segi atau macam mana. Logistiknya, bilik gerakannya, petugas-petugas pilihan raya ataupun senarai calon-calonnya.

Mustapa dan Nik Aziz: Kedua-duanya harapan rakyat.
Sebagai parti yang menerajui kerajaan yang berusia 22 tahun dan sudah melalui beberapa kali pilihan raya, saya  mahu menganggap PAS sudah pun siap sedia mengenai perkara itu. Kesiapsiagaan PAS barang kali jauh lebih baik dari UBN. Apa lagi PAS Kelantan yang dianggap sebagai universiti kepada PAS negeri-negeri lain, tentulah PAS Kelantan lebih bersedia dan mantap.

Saya tampak hari ini PAS Kelantan masih steady dan selesa saja. Kenapa saya berkata begitu, kerana kalau PAS masih belum siap sedia tentulah PAS tidak ralik dengan beberapa program yang saya fikir tidak memberi impak bear kepada PAS dalam persiapan menghadapi pilihan raya. PAS akan mulai serius dan mengaturkan gerak kerja memantap dan mengemaskan pasukan untuk berdepan dengan ketumbukan musuh kalau PAS tidak dalam zone selamat kini? PAS boleh melupakan program-program lara atau pun bersifat kosmetik hiburan.

Misalnya pada 20 Januari 2013 ini khabarnya satu lagi program hiburan menerusi slot acara Bicara Seleberiti akan diadakan. Dalam program kali ini katanya selain menampilkan artis jelita dari Indonesia ia juga melibatkan seleberiti sukan.

Saya sudah menulis mengenai progam ini, bertanya sejauh manakah ia mencapai matlamat dan tujuan selaras dengan dasar hiburan yang digarispadukan oleh kerajaan Kelantan yang memakai slogan Membangun Bersama Islam. Lanjutan itu saya juga bertanya apakah program ini dapat membantu kemenangan PAS?  Saya juga telah mencadangkan agar semua program yang dipancar secara live menerusi stremax di Balai Islam Ludang dibuat post mortem sejauh mana akan keberkesanannya.

Jawaban-jawaban dan reaksi yang diberikan ke atas persoalan saya itu menampakkan program ini diyakini dapat menarik pengundi muda. PAS dipercayai akan dapat menambah undi dan sokongan dengan program tersebut. Selain itu ia dipertahankan segaris dengan dasar hiburan kerajaan negeri. Kononnya program ini adalah langkah ke arah menjadikan Kelantan sebagai hub hiburan di rantau sini. Saya telah ditakrufkan oleh pegawai seorang Exco mengenai perkara ini. Oh saya tidak tahu akan planning ini.

Di sini saya tidak mahu mengulas mengenai motif dan tujuan program berkenaan atau mengemukakan pandangan saya akan keberkesanannya atau tidak. Cuma apa yang saya hendak katakan, adalah elok kalau kerajaan Kelantan mewujudkan dulu hub makanan halal ataupun hub pendidikan ataupun hub pelancongan, kerana ketiga-tiga aspek ini lebih aulia dan utama serta penting dalam konteks Kelantan sebagai sebuah negeri yang bergantung kepada sumber semulajadi dan lokaliti.

Rasanya hiburan di Kelantan sudah mencukupi menerusi hiburan tradisi dikit barat dan segala macam yang ada. Hiburan di Kelantan sudah tidak kasih, sebab Jom Heboh dan macam-macam konsert pun ada. Kelantan rasanya tidak perlu untuk menjadi juara di dalam bidang itu kerana ia kontras dengan kedudukan Kelantan sebagai serambi Makkah.

Apa paling afdal diusahakan bagi memberi sumbangan kepada anak-anak muda ialah dalam bidang bacaan al-Quran dan penghayatan isi kandungannya. Kenapa tidak ada plan untuk melahirkan atau menjadikan Kelantan sebagai madrasah tahfiz al-Quran dan baccan bertaranum?

Malang dan sayang belum ada tindakan seserius dan serajin usaha mewujdukan program Bicara Seleberiti ini diusahakan untuk mewujudkan hub-hub berkenaan. Kalau PAS menghantar wakilnya untuk mengenal dan memburu artis Indonesia untuk dibawa ke Kelantan memenuhi slot itu, kenapa tidak juga memburu tokoh-tokoh atau qari dan qariah yang hebat dengan bacaannya. Bagi saya dalam konteks kita menghadiri majlis itu juga sebahagian hiburan. Kehebatan Kelantan akan dilihat apabila mereka berjaya mempopularkan bacaan al-Quran daripada mempopularkan artis Indonesia.

Apakah kerana hub hiburan halal yang dirancangkan dan akan ditunas menerusi Bicara Seleberiti itu menyeronokkan, membingkas nafsu dan semangat kerana ia melibatkan artis jelitawan maka ia agresif berbanding dengan usaha untuk membuka hub-buh lain?  Hanya mereka terlibat dalam mengadakan program itu saja dapat menjawab dengan jujur dan seikhlasnya. Dalam hal ini usaha PAS itu bukan satu pembaharuan tetapi mengikuti jejak Umno hanya bezanya melebelkan ia dengan nama Islam saja.

Biarlah kita menerima program yang diuruskan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan itu berjaya mencapai manfaatnya. Kalau pun ia tidak memberi kesan besar kepada pilihan raya, tetapi nescaya pihak penganjurnya dan juga kerajaan negeri serta rakyat Kelantan seluruhnya akan mendapat pahala di akhirat besok menerusi program berkenaan.

Lagipun perjuangan PAS bukan saja ingin menang di dunia, tetapi juga ingin keredhaan Allah di akhirat besok. Dan sekiranya PAS bermasalahan di dalam pilihan raya ini unit itu kena bertanggunjawab kerana ia merupakan nadi bagi penerangan dan dakwah di Kelantan.

Isu-isu dari UBN

Apa sebenarnya yang hendak saya tanya di sini ialah apakah isu-isu yang akan PAS bawa dan jajakan kepada rakyat dalam tempoh kempen nanti. Apakah PAS sudah menyenaraikan satu persatu dan mengenali pasti sejauh mana isu-isu berkenaan berkesan atau sebaliknya.

Isu adalah penting dalam pilihan raya. Dalam tempoh kempena itu, kira-kira 10 atau 12 hari atau kurang, rakyat akan memberi fokus kepada isu-isu yang disuakan oleh kedua-dua parti politik menerusi pelbagai medium, kempen dan juga sebaran. Rakyat akan meneliti satu persatu. Mereka akan renung dan hadam kemudian membuat pilihan. Cara isu ditampilkan juga turut mempengaruhi rakyat untuk menelannya walaupun ianya sudah disebut berkali-kali. Dalam hal ini kemahiran memasar dan convince adalah cukup penting.

Mungkin sebahagian pengundi sudah ada keputusan siapa atau parti mana mereka hendak pilih. Mereka sudah set minda mereka. Tetapi perlu diingat pemikiran atau akal manusia itu senantisa bergerak dan berubah. Pergerakan itu bergantung kepada pola maklumat. Jika mereka diasak secara bertubi-tubi apa yang disetkan itu boleh berganjak. Akal manusia akan berubah apabila ada maklumat baru, maksudnya mind setnya akan terombak. Jadi apa yang diset hari ini bukan bermakna kekal sampai ke hari mengundi.

Isu-isu yang dibangkit itulah nanti akan menyentuh perasaan rakyat dan seterusnya membuka hati mereka untuk menyokong. Di dalam pilihan raya nanti sudah tidak relevan kalau hendak bercerita yang kerajaan PAS telah memanggil berbagai selebertiti popular datang ke negeri itu. Rakyat tidak tertarik dan termakan dengan kempen sebegitu. Gambar-gambar cantik seleberti bukan menjadi sihir yang boleh mempengaruhi mereka. Hiburan apa saja sifat dan fitrahnya hanya seketika saja. Hiburan adalah tetap hiburan untuk meria dan menyorakkan hati yang rawan.

Tidak bermakna apabila orang mengingati seleberiti jelita dari Indonesia yang duduk bersimpuh dan menangis di hapdapan tok guru, kerana kagum dengan gaya hidup tawaduk dan zuhur tok guru, maka mereka akan pilih PAS. Itu ada insiden dan peristiwa yang berlaku kepada peribadi manusia dan bukan satu benda membuat mereka berfikir dan bertindak. Tangisan seleberiti di hadapan tokguru bukan modal besar sebenarnya.

Jadi apakah isu-isu yang PAS ada? Sudah cukup dan yakin dengan isu yang hendak dikemukakan. Pertanyaan ini tidak perlu dijawab. Tetapi di sini suka saya hendak membilang isu-isu yang bakal dimainkan oleh UBN di Kelantan dan juga saya nampak jelas akan perkara ini. Mudah-mudahan dengan apa yang saya senaraikan ini diambil perhatian, iktibar dan action oleh PAS untuk menyediakan peluru penangkisnya awal-awal lagi.  Ataupun kalau Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) Kelantan sudah menyusun dan menyediakan peluru penangkis istimewa, alhamdulilah.

Kalau begitu bolehlah dianggap apa yang saya himpun dan senaraikan ini sebagai maklumat tambahan saja dan jika perlu menyediakan penangkisnya, bolehlah. Atau kalau PAS Kelantan sudah yakin dengan strategi, senjata, bahan kempen dan modus operandinya tidak mengapa.

Dalam hemat saya PAS tidak ada isu besar dalam pilihan raya kali ini. Isu yang boleh menggegar dan menyentuh hati nurani rakyat. Yang boleh melantunkan satu kejutan seterusnya mengampungkan ke udara isu-isu dari UBN. Setakat ini apa yang dianggap sebagai isu besar ialah berhubung simpati rakyat kepada kerajaan ekoran penafian hak kerajaan Pusat ke atas negeri Kelantan seperrti isu royalti petroleum dan juga lebuh raya. Inilah dua isu besar yang sudah pun diganyangkan PAS sejak beberapa bulan lalu.

PAS tidak boleh bersedap hati dengan isu ini. Isu ini boleh ditangkis dengan mudah oleh UBN. Atau rakyat sendiri yang arif dan tahu apa itu politik, boleh memberi jawaban dengan sendiri terhadap dua isu ini. Isu ini bukan gah dan mengejutkan. UBN atau mereka yang berpendidikan dan arif dalam politik akan menjawab kedua perkara menjadi tuntutan itu akan tertunai dengan sendirinya jika UBN menang dan memerintah Kelantan. Bahkan dengan meletakkan UBN akan melaksanakannya lebih afdal daripada PAS kerana UBN dilihat lebih berpeluang menjadikan kerajaan. Isu-isu itu itu adalah tanggungjawab kerajaan, yang akan dipikul oleh mana-mana parti yang menjadi kerajaan.

Mengenai ini PAS tidak cukup setakat menjawab UBN zalim atau kejam saja. Umum sudah tahu dan menerima kezaliman itu. Tetapi kezaliman itu perkara yang subjektif di alam politik yang boleh menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Makanya bagi saya isu tuntutan dan kezaliman itu ia hanya gema tetapi kesannya tidak begitu tinggi.

Berlaku kesilapan dilakukan PAS dalam soal ini. Sepatutnya isu tuntutan itu (royalti) dibuat secara senyap kemudian diletupkan setelah pilihan raya berlangsung. Tetapi malang PAS telah membawa isu ini ke mahkamah di mana mereka yang faham prosuder mahkamah akan menanti keputusan mahkamah dan apa-apa 'ogehan' dari PAS tidak membawa apa-apa makna kerana ia terlekat di bawah bidang kuasa mahkamah.

Berbalik kepada soal isu yang akan dibawa oleh UBN, ada beberapa isu lain yang akan dimainkan oleh BN di Kelantan di mana isu ini sesuatu yang hampir dengan rakyat. Isu-isu ini adalah mesra rakyat. Isu ini menyentuh hati nurani rakyat kerana mereka terlibat secara langsung dengan isu-isu ini. Isu sebegini boleh dianggap sebagai isu, "nasi makan air minum" buat mereka. Bagi saya isu-isu sangat berkesan dan makan.

Itu-isu itu ialah:

1. Tanah. 

Persoalan tanah merupakan isu besar di Kelantan dan ibu segala isu. Masih ada rakyat yang tidak mempunyai tanah ataupun tanah mereka tidak diberi hak milik ataupun dicuri oleh orang lain sehingga dianggap sebagai satu penganiayaan. Ini banyak berlaku di kawasan Hulu Kelantan. Pengundi di Hulu Kelantan sangat terasa dengan isu-isu ini. Berangkaian dengan isu ini ialah mereka yang merasa bimbang dengan pemajakan tanah oleh kerajaan Kelantan untuk tujuan komersial kepada orang asing.
Rakyat tidak mengetahui akan prosuder dan peraturan tanah di Kelantan yang membenarkan hal itu. Apabila diberi figure-figure tertentu mengenai tanah ini rakyat menerima seadanya.

Sebab itu bagi saya lebih auliya kalau peruntukan untuk program Bicara Seleberiti digunakan untuk majlis penerangan isu-isu berhubung tanah, mengenai proses permohonan dan pemilikan.

2. Kelemahan pentadbiran kerajaan Kelantan. 

Beberapa kelemahan pentadbiran kerajaan juga akan dijadikan isu. Isu ini juga penting dan sedang diperhati oleh pengundi yang berpendidikan. Kalau 10 tahun lalu isu ini tidak mudah mengusik rasa taksub dan seronok mereka kepada Tokguru Nik Aziz, tetapi tidak lagi sekarang. Setelah kerajaan Kelantan berusia 22 tahun bab kelemahan ini tidak boleh dimaafi lagi. Kelemahan adalah sesuatu yang fatal.

Alasan kelemahan itu disebabkan kerajaan Kelantan dalam proses pematangan tidak boleh diterima lagi. Orang akan berfikir berapa lama peluang latihan untuk diberikan, 20 tahun atau 30 tahun? Rakyat yang berpendidikan akan meletakkan masalah ini atas kelemahan PAS dan anggota kerajaan Kelanatan.

Ia akan diterjemahkan sebagai ketidakmampuan PAS. Kegagalan beberapa projek politik yang diperkenalkan di Kelantan; projek ternakan kambing, debu, padi organik, IT (Darul Digital) dan sebagainya, adalah contoh kelemahan dan ketidakmampuan kerajaan Kelantan mengendali dan menguruskannya. Kandati kegagalan projek itu kerana kesilapan dan ego individu tertentu tetapi ia akan dipukul sebagai kelemahan kerajaan Kelantan.

3. Pembangunan kerajaan tempatana (PBT).

Perkara ini juga akan dijadikan isu, akan diungkitkan dan ditilik. Keadaan kerajaan tempatan (PBT) sungguh menyedihkan. Kelemahan dan kemunduran dalam serba serbi nampak dengan jelas.  Apa yang akan ditimbulkan bukan soal pembangunan prasarana bertaraf lima bintang, tetapi penjagaan alam sekitar, kesihatan serta kelestarian mereka yang tidak memuaskan. PerSkekitaran PBT tidak mencerminkan ia sebagai sebuah negeri berasaskan prinsip -prinsip Islam.

Pergilah ke mana daerah (PBT), isu ini diperkatakan dan menjadi sebutan. Ia akan dikaitkan dengan urustadbir dan juga perlantikan ahli majlis yang tidak kompitem. Walaupun isu ini bukan isu negeri, tetapi ia cukup difahami dan dirasai oleh masyarakat setempat. Justeru kalau ia diungkit rakyat akan teus menerimanya kerana ia berlaku di depan mata.

4. Air terawat.  

Isu air tetap akan diungkitkan dan dijaja kepada rakyat. Tetapi isu ini tidak sebesar dan menjadi utama seperti isu disebut di atas tadi. Ini kerana rakyat memahami masalah air bergantung bukan saja kemahiran mentadbiran tetapi ia bergantung juga kepada sumber asli. Isu air adalah isu alam semulajadi yang tidak dapat diatasi oleh mana-mana kerajaan waima kerajaan di negara maju sekalipun. Jadi isu air tidak akan dianggap isu terdesak.

5. Kepimpinan di dalam PAS. 

Mungkin sebelum ini tidak ramai melihat kepimpinan akan dijadikan isu oleh UBN kerana ia tidak ada sangkut paut secara langsung dengan rakyat. Di dalam politik apa saja perkara yang boleh dijadikan isu akan ditimbulkan. PAS berdepan dengan masalah kepimpinan. Rakyat sudah tahu bahawa Tokguru tidak lagi akan terus menjadi MB selepas ini kalau PAS menang. Atas faktor usia beliau bersedia untuk berundur. Soal siapa pengganti tokguru akan ditimbulkan. Rakyat pula melihat dan menanti siapakah yang layak menjadi pengganti tok guru. Mereka sedar tidak ada tokoh yang setanding degan tok guru hatta untuk 50 tahun akan datang, tetapi sekurang-kurangnya kiri tokguru pun dah di kita okey.
Kepimpinan ini juga akan dijadikan isu.

UBN akan melemparkan pertanyaan untuk direnungi oleh rakyat siapakah tokoh dalam PAS yang akan mengganti tokguru. Apakah mereka berkelayakan? Dalam masa sama UBN akan cuba menjaja tokoh dari sebelahnya yang layak untuk mengganti tokguru sebagai MB. Mereka sudah pasti akan menyenaraikan nama Mustapa Mohamed sebagai calon MB untuk dinilai bersama dengan Ahmad Yaacob atau pun Mohd Amar Nik Abdullah.

Itulah lima perkara besar yang akan dijadikan isu oleh UBN dalam pilihan raya nanti. PAS hendaklah bersedia untuk menjawab atau pun menyelesaikan kelima-lima isu ini dengan tuntas. PAS tidak boleh berilusi bahawa rakyat sudah faham, rakyat sudah tahu, usaha memberi pencerahaan dan kefahaman dalam erti kata sejati perlu dilakukan.

Saya sudah kata tadi, isu-isu ini tidak boleh dikambus dengan program untuk anak-anak muda seperti bola sepak dan Bicara Seleberiti itu. Ia haruslah dilawan dengan penangkis yang kekuatannya sama hebat dengan isu-isu berkenaan. Sekiranya PAS gagal menahan isu-isu itu PAS boleh goyah dan tidak mustahil akan tumbang.

Kecualilah ada ombak besar dari Kuala Lumpur datang menerpa Kelantan, segala isu-isu yang saya sebutkan tadi tidak menjadi kudis gatal kepada PAS. Tetapi persoalannya apakah ada gelombang besar? Sejauh manakah riak di ombak kali ini akan mengalunkan gelombang ganas. Ingat tidak, ribut Sonamu yang dijangka hendak langar negeri-negeri di Pantai Timur baru ini, tiba-tiba berpatah balik. Jadi boleh jadi juga gelombang besar menuju ke Putrajaya akan melambung tinggi sahaja ke udara tetapi tidak memecahkan ombak ganas hingga ke Kelantan. [wm.kl.9:16 pm 17/01/13]

Tiada ulasan: