Khamis, 3 Januari 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Walaupun Ditindas, Dibunuh, Penduduk Palestine Dijangka Mengatasi Penduduk Yahudi pada Tahun 2016

Posted: 02 Jan 2013 10:00 PM PST


[BERNAMA] Baitulmaqdis: Orang Arab akan melebihi penduduk Yahudi di wilayah ditakluki Palestin tujuh tahun lagi, menurut anggaran Biro Perangkaan Palestin.

Perkembangan ini akan memberi implikasi besar kepada Israel, menurut laporan itu.

Pada masa ini, 5.8 juta penduduk Arab tinggal di Israel, Tebing Barat, Gaza dan timur Baitulmaqdis, kata biro berkenaan. Data Israel pula menganggarkan orang Yahudi seramai enam juta ketika ini.

Biro itu menekankan, berdasarkan kadar kelahiran masa kini, bilangan dua penduduk itu akan sama pada 2016.

Bagaimanapun, pada 2020, bilangan penduduk Arab akan mencapai 7.2 juta manakala Yahudi, 6.9 juta.

Isu demografi digunakan sebagai hujah penting bagi menubuhkan negara Palestin bagi penyokong hak Palestin di Israel.

Mereka berpendapat, menyerahkan kawalan wilayah Palestin dan penduduknya adalah cara tunggal memastikan Israel terjamin sebagai demokrasi dengan majoriti Yahudi pada masa depan.

Di New York, anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) mengeluarkan kenyataan mengutuk perluasan penempatan haram Yahudi di wilayah ditakluki Palestin, lapor agensi berita IRNA.

Anggota NAM menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memenuhi komitmen dengan menghalang kegiatan haram itu diteruskan sedangkan ia mencabul undang-undang antarabangsa.

NAM menegaskan, rejim Zionis itu bertindak balas atas keputusan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengubah status Palestin kepada 'negara pemerhati bukan anggota', November lalu. - AP



Apakah Modus Operandi "Macau Scam"? Baca Berita Ini...

Posted: 02 Jan 2013 08:38 PM PST

 
Lelaki Nyaris Jadi Mangsa 'Macau Scam'

[BERNAMA] KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang hampir menjadi mangsa sindiket penipuan melalui telefon atau 'Macau Scam' membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Hamdanawal Muhamad Sukri, 26, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, Rabu.

Menceritakan kejadian yang dialaminya, Hamdanawal berkata beliau menerima panggilan daripada 'unknown number' yang mendakwa kononnya panggilan itu daripada Pos Malaysia pada kira-kira 9.20 pagi.

"Seorang wanita meminta nama penuh dan nombor kad pengenalan saya, dan dia menyatakan saya mempunyai surat daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah dipulangkan sebanyak dua kali kerana saya tiada di rumah untuk menerimanya. 
 
"Kemudian dia meminta saya untuk menunggu panggilan daripada seorang polis dan memberikan saya nombor rujukan untuk dimaklumkan kepada pegawai polis berkenaan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Hamdanawal berkata seminit kemudian beliau menerima panggilan daripada 'pegawai polis' melalui nombor +0060321460522 dengan mendakwa mangsa mempunyai hubungan dalam kes pengeluaran wang haram ke luar negara.

"Bukan itu sahaja, 'pegawai polis' itu juga mengatakan terdapat dua transaksi berlaku di atas akaun bank saya dengan jumlah yang besar iaitu RM83,000 dan RM120,000," katanya sambil menambah suspek itu mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan seorang penjenayah yang bernama Ramli Yusof.

Hamdanawal yang bekerja sebagai Ekskutif Bantuan Khidmat Pelanggan, Pemasaran Foto di Bernama, turut diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menafikan dakwaan itu.

"Apabila sampai di Bukit Aman, saya diberitahu ia merupakan satu kegiatan penipuan terancang dengan menggunakan organisasi seperti Pos Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Pada 24 Dis lepas, polis berjaya membongkar sindiket 'Macau Scam' dari China yang mengakibatkan kerugian mencecah RM5 bilion dengan menjadikan negara ini sebagai lokasi pusat panggilan mereka ekoran penahanan 51 individu dalam dua serbuan di Petaling Jaya dan Bukit Damansara. 
 
 
Berita Berkaitan:
 
Polis Perak Buru Sindiket Macau Scam

IPOH – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan satu sindiket penipuan antarabangsa yang digelar sebagai `Macau Scam'.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata, sindiket terbabit didapati akan menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai Bank Negara atau polis Hong Kong.

"Sindiket akan memaklumkan mangsa bahawa kad kredit atas nama mangsa telah digunakan di merata tempat dengan perbelanjaan yang tinggi.

"Ada juga mangsa yang dimaklumkan kononnya akaun bank mereka dikesan terlibat dalam kes jenayah di luar negara," katanya di sini hari ini.

Shukri berkata, sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara atau polis itu akan menawarkan bantuan bagi mengelak akaun atau wang mangsa daripada dibekukan atau dirampas.

Bagaimanapun, mangsa diminta membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun bank yang dibekalkan oleh sindiket.

Justeru, katanya, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayani panggilan telefon yang mengarahkan mereka memindahkan wang daripada akaun peribadi kepada akaun orang lain.

"Sepanjang Januari hingga Oktober ini sebanyak 55 kes dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah RM935,984 dan polis sedang mengesan sindiket terbabit," katanya.

  
 
P/s: Hati-hati. Kalau ada sesiapa yang menelefon dan meminta butiran diri dan bank, matikan sahaja talian telefon anda. 
 
Jika ada sesiapa yang menawarkan polisi insurans dengan potongan kad kredit, berhati-hatilah kerana individu ini akan meminta nombor kad kredit ada termasuk nombor pin keselamatan. Lagi pelik, polisi yang ditawarkan itu "hebat" tetapi menetapkan bayaran serendah RM30 sebulan. Malah semua urusan yang dijalankan melalui komunikasi di telefon, tanpa perlu mengisi borang atau menandatangani borang. Jangan mudah terpesona, selidik dahulu dengan syarikat insurans berkenaan.




 
 

Tiada Sesiapa Bayar Wang Jaminan, Pelakon Seksi Dihantar ke Penjara Kajang

Posted: 02 Jan 2013 04:09 PM PST

ZARINA dan Mohamad Fakhruzaim semasa dibawa
ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan memiliki dadah
.

[Kosmo] PETALING JAYA - Pelakon dan model wanita kontroversi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bersama seorang lagi rakannya atas tuduhan memiliki dua biji pil eramin 5, empat hari lalu.

Zarina, 27, dan rakan lelakinya yang juga seorang pelajar kolej, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nazri Omran.

Zarina terpaksa ditahan di Penjara Kajang sementara menunggu tarikh sebutan berikutan tiada siapa membayar wang jaminan RM2,000 yang ditetapkan oleh mahkamah.

Selebriti yang pernah membintangi drama Anak Pontianak itu didakwa bersama-sama rakan lelakinya memiliki dua biji pil dadah tersebut dengan anggaran berat 0.6 gram di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai di sini pada pukul 5.30 petang, 30 Disember tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Bukhari Wan Mohd. menawarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Peguam Mohd. Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah agar mengurangkan wang jaminan tersebut atas alasan anak guam masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Nazri kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,000 dengan syarat penjamin merupakan ahli keluarga mereka.

Mahkamah menetapkan pada 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Mohamad Fakhruzaim membayar wang jaminan.

Sebuah akhbar kelmarin melaporkan pelakon dan model wanita terkenal dengan pelbagai kontroversi itu ditahan bersama teman lelakinya di kediaman mewah di Damansara Damai.

Semasa ditahan pasangan itu didapati menyimpan dua biji pil disyaki eramin 5 dengan anggaran berat 0.6 gram.

Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada di dalam rumah berkenaan dan mereka pada mulanya enggan bekerjasama walaupun polis sudah memperkenalkan diri.

Selepas pegawai yang mengetuai serbuan itu mengetuk pintu rumah tersebut, suspek wanita membuka tingkap tetapi segera menutup semula pintu itu selepas menyedari orang itu merupakan polis.

Pada 2011, Zarina pernah ditahan oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor bersama-sama seorang lagi rakannya dalam satu operasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang.

Bagaimanapun, ujian air kencing yang dilakukan terhadap Zarina yang ditahan ketika itu mendapati dia negatif dadah jenis ketamin.

Zarina yang lebih mesra disapa sebagai Anju menjadi perhatian ramai gara-gara gambar seksi dan mengghairahkan miliknya tersebar di alam maya yang dipetik daripada majalah FHM versi Indonesia.

Foto-foto tersebut menjadi kecaman dan kutukan banyak pihak kerana aksi-aksi panasnya itu.





Kenyataan Deepak: NAFI Beri Rafizi Dokumen, Tetapi TIDAK NAFI Bayar Barang Kemas

Posted: 02 Jan 2013 03:54 PM PST


"Saya tak pernah beri Rafizi apa-apa dokumen"

[MK] Ahli perniagaan Deepak Jaikishan berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dokumen yang dikemukakan pengarah strategi PKR Rafizi Ramli hari ini berhubung dakwaan pembelian barang kemas - didakwa sebahagian daripada sogokan untuk melicinkan satu urusniaga tanah.

Menurut Deepak lagi, beliau juga tidak pernah menyerahkan apa-apa dokumen sama ada kepada Rafizi mahupun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan pembelian barang kemas tersebut.

"Saya tak pernah beri (Rafizi) apa-apa dokumen. Saya sendiri tidak pernah lihat dokumen yang dikatakan.

"Oleh itu saya bersama peguam akan meneliti tentang perkara ini,"
katanya pada sidang media di ibu negara petang ini.

Deepak juga berkata beliau dinasihatkan peguam supaya tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa beliau membeli barang kemas tersebut.

"Saya dinasihatkan oleh peguam supaya tak cakap apa-apa.Beri saya dua tiga hari.

"Saya tak tahu apa-apa mengenai kandungan dokumen itu. Saya juga tak tahu apa yang dia (Rafizi) katakan. Saya disini bukan untuk politik tapi untuk kebenaran.

"Saya akan meneliti dokumen itu dulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya lagi.

Deepak ditanya mengenai tuntutan PKR hari ini supaya Datin Seri Rosmah Mansor menjawab dakwaan Deepak bahawa dia telah membayar RM13 juta untuk membelinya barang kemas.

Deepak dikatakan telah mendakwa bahawa pembelian 19 keping barang kemas tersebut dari dua firma di Hong Kong adalah sebahagian daripada sogokan untuk melicinkan satu urusniaga tanah.

Dalam sidang medianya hari ini, Rafizi berkata beliau percaya dokumen yang dikemukakannya berhubung pembelian barang kemas berkenaan adalah tulen. 



 P/s: Adakah Rafizi menamakan Deepak sebagai pembekal dokumen dan invois yang didedahkannya baru-baru ini? Sila baca tulisan Rafizi di sini.






Tiada ulasan: