Rabu, 30 Januari 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


M'sia catat prestasi kebebasan akhbar paling buruk

Posted: 30 Jan 2013 01:39 AM PST

MALAYSIA KINI


 
Malaysia mencatat rekod paling buruk dalam Indeks Kebebasan Akhbar tahun ini dengan menduduki tangga ke-145 daripada 179 negara sejak indeks tahunan itu diperkenalkan pada tahun 2002.

Reporters Without Borders yang mengeluarkan indeks berkenaan antara lainnya menyebut, kedudukan buruk itu antara lainnya disebabkan tindakan polis ke atas perhimpunan BERSIH 3.0 pada April tahun lalu.

Malaysia mencatat kedudukan ke-141 pada 2010 dan memperbaikinya ke tangga-122 pada 2011-2012.

Ia juga menyatakan bahawa negara Bangladesh, Libya, Kyrgyzstan, Thailand, Indonesia dan Brunei mencatat kedudukan lebih baik berbanding Malaysia.

Singapura mencatat kedudukan ke-149 manakala Burma melangkaui 18 kedudukan selepas mengalami "perubahan dramatik" pada tahun lalu

'Ahli PAS menangis pun tidak, ketawa pun tidak'

Posted: 30 Jan 2013 01:38 AM PST



Pengguguran Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama PAS nampaknya tidak memberi kesan yang besar baik kepada ahli PAS mahu pun para pengundi yang bukan ahli parti.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malysia (UKM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat ahli parlimen Bachok itu tidak mempunyai pengaruh yang kuat mahu pun jumlah pengikut yang ramai untuk memberikan impak kepada 'cuaca' politik tanah air.

"Saya lihat (pengguguran ini) biasa sahaja, tidak cukup signifikan untuk tukarkan pola pengundian - sebabnya Nasharuddin dah lama terpinggir daripada kepimpinan PAS Pusat.

"PAS pun tidak (akan bertambah) kukuh daripada pemecatan ini. Orang hendak menangis pun tidak, hendak ketawa pun tidak," katanya kepada Malaysiakini.

Pengguguran Nasharuddin diumumkan Setiausa Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh pada 27 Januari lalu.

Ia dikatakan berpunca daripada kegagalan beliau mematuhi beberapa peraturan majlis syura - antaranya ialah kegagalannya menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu.

Sebelum ini, Nasharuddin sendiri tidak hadir ke muktamar tahunan PAS yang lalu walaupun beliau pernah menyandang jawatan timbalan presiden PAS.

Mengulas lanjut, Agus menegaskan di luar lingkungan PAS, orang ramai melihat pengguguran Nasharuddin sebagai satu isu sampingan.

Justeru Agus meramalkan nasib politik Nasharuddin tidak akan mampu menimbulkan 'gelombang' rakyat - satu fenomena yang menurutnya hanya mampu dicetuskan personaliti seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah.

"Pengundi kini lebih memberi perhatian kepada isu-isu seperti keadilan sosial dan pentadbiran.

"Jikalau isu-isu sempit, ia tidak akan memberikan kesan melainkan ia melibatkan isu-isu sejagat," katanya.

Sebelum ini, Nasharuddin dilihat semakin intim dengan kepimpinan Umno terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penggugurannya juga berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas menemani Najib melawat Palestin.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Zainal Kling sependapat dengan Agus dan merasakan faktor Nasha tidak akan banyak mempengaruhi senario politik negara menjelang pilihan raya.

"Kita sendiri melihat Nasha tidak ada pengikut yang kuat, tidak banyak reaksi dari anggota PAS berkenaan pemecatan ini.

"Saya tak fikir dia (Nasha) akan beri sumbangan besar kepada kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang ini," katanya.

Bagaimana pun, beliau meramalkan Nasharuddin akan kekal di dalam PAS dan pengguguran ini membuka peluang yang lebih besar untuk beliau bersikap lebih kritis terhadap PAS.

Jelasnya, personaliti seperti Nasharuddin masih mempunyai perasaan yang kuat terhadap perjuangan asal PAS yang menekankan agenda negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud walaupun kedua-dua perkara itu tidak lagi dibincangkan kepimpinan PAS di peringkat nasional.

"Walaupun di peringkat nasional sudah kurang membincangkan hal itu, ahli-ahlinya masih lagi membincangkan perkara itu.

"Justeru, golongan-golongan yang telah 'tersingkir' ini merasakan mereka masih lagi ahli PAS," katanya.

Menurut Agus pula, pengajaran yang lebih besar daripada pengguguran Nasharuddin adalah - ia mencerminkan tahap tolak ansur parti-parti politik terhadap mereka yang mempunyai pandangan berbeza dengan pihak majoriti dalam parti.

Beliau menyifatkannya sebagai satu cabaran yang masih perlu ditangani semua parti di Malaysia.

"Yang penting pemecatan Nasharuddin menimbulkan persoalan kepada sejauh mana perbezaan pendapat diraikan dalam parti-parti politik.

"Ini seterusnya memberikan gambaran kepada tahap demokrasi yang masih rendah di dalam negara kita," kata Agus.

Mahkamah Tinggi batal notis SPRM panggil peguam

Posted: 30 Jan 2013 01:36 AM PST



 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan notis dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada dua peguam berhubung penyiasatan kes melibatkan National Feedlot Corporation (NFC).
  
Hakim Datuk Zaleha Yusof semasa membenarkan permohonan semakan kehakiman itu memutuskan notis dikeluarkan mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 adalah tidak sah dan salah guna kuasa, dan notis itu tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap
Latheefa Koya dan Murnie Hidayah Anuar.
  
"Saya tidak nampak sebarang logik untuk mengeluarkan notis kepada pemohon (dua peguam) bagi merekodkan kenyataan mereka, yang hanya mewakili anak guam mereka," kata Zaleha.
  
Beliau berkata ia merupakan satu perbuatan menakut-nakutkan dan cubaan mendapatkan maklumat tertentu di antara anak guam dan peguam yang mewakili mereka oleh pegawai SPRM.
  
Zaleha membenarkan tiga permohonan oleh pemohon, pertamanya bagi pembatalan notis itu, notis bertarikh 19 Mac 2012 itu diisytiharkan sebagai tidak sah dan  ketiganya pegawai SPRM tidak mempunyai kuasa untuk merekodkan kenyataan daripada peguam yang mengiringi anak guam mereka.
  
Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan permohonan gantirugi oleh pemohon.
  
Latheefa yang juga anggota jawatankuasa pusat Parti Keadilan Rakyat dan Murnie dalam permohonan mereka menamakan SPRM, kerajaan Malaysia dan Penolong Superintendan SPRM Suziana Ali sebagai responden.
  
Mereka menyatakan notis bertarikh 19 Mac itu meminta mereka hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 23 Mac 2012 untuk membantu siasatan melibatkan Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah tidak sah dan bercanggah dengan ketetapan Perkara 5(2), Perlembagaan Persekutuan.
  
Kedua-dua peguam mewakili bekas perunding NFC Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa mereka menerima notis itu pada hari yang sama (19 Mac) selepas mengiringi anak guam mereka ke pejabat SPRM untuk memberikan kenyataan berhubung kes Mohamad Salleh.
  
Gagal mematuhi notis itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 69 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  
Kedua-dua pemohon diwakili peguam R.Sivarasa manakala SPRM diwakili Peguam Kanan Persekutuan Effandi Nazila Abdullah.- Bernama

Isu PRU12: MB Selangor sedia berdepan saman

Posted: 30 Jan 2013 01:34 AM PST

NURULFATIHA MUAH, FOTO: FOTO SUK

Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid (kanan) menyerahkan buku In Search of Knowledge kepada Marzuki, semalam.
 
SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 'menggalakkan' tindakan undang-undang yang bakal diambil kira-kira 50,000 warga emas di Selangor berikutan dakwaan tidak menerima caruman takaful seperti dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Beliau menegaskan, pihaknya sedia berdepan dengan tindakan itu bagi membuktikan kebenaran berhubung isu berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah melaksanakan skim khairat kematian sebanyak RM2,500 menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk warga emas berdaftar dan ia akan diserahkan kepada keluarga setelah individu itu meninggal dunia.

"Untuk menambah baik usaha SMUE ini, kita masukkan juga program Jom Shopping yang tidak termasuk dalam rancangan kita dulu.

"Saya tidak tahu (mengenai tuntutan takaful).

Sebab itu saya minta pergi (perkara itu dibawa) ke mahkamah. Kalau tidak nanti mereka akan cakap di luar dan tiada bukti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Perhimpunan Guru-Guru Sekolah Agama Negeri Selangor, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Pengarah Jabatan Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin.

Kelmarin, 200 warga emas dari Parlimen Shah Alam mengadakan bantahan aman menagih janji caruman khas untuk perlindungan kesihatan dan kematian golongan tersebut di Seksyen 18, di sini.

Pengerusi Penyelaras Tuntutan Warga Emas Selangor, Datuk Ismail Kijo dilaporkan berkata, tindakan saman secara berperingkat terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) akan diambil untuk menuntut caruman berjumlah RM1.25 bilion sejak 2008.

Fokus PRU: Kamalanathan mahu kekal momentum di Hulu Selangor

Posted: 30 Jan 2013 01:32 AM PST

Wartawan Sinar Harian

 P Kamalanathan
Kamalanathan sentiasa berdamping dengan semua golongan rakyat.
 
HULU SELANGOR – Momentum dan semangat kemenangan yang diperoleh selepas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, pada 2010 terus kekal hingga ke Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Itu keyakinan diperlihatkan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan ketika ditanya kesediaan dan persediaannya sekiranya dicalonkan pada PRU13 akan datang.

Baginya, semangat kemengangan itu tidak pernah luntur malahan terus membara sampai bila-bila.

"Tamat saja PRK, saya sudah mulakan persiapan untuk menghadapi PRU. Saya mengekalkan semangat dan momentum itu hingga ke hari ini," katanya.

Menurutnya, kebanyakan janji-janji yang diberikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada PRK lalu juga kebanyakan sudah selesai dan ada yang masih dalam proses penyelesaian.

Beliau mengambil contoh pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Buaya dan Projek Perumahan Kampung Hassan di Hulu Bernam yang masing-masing dalam proses penyelesaian.

Katanya, secara keseluruhannya tidak ada satu aspek pun yang tertinggal dan jika ada beliau mengakui terlepas pandang, namun tetap akan didekati dan diselesaikan.

Modal politik pembangkang.

Melihat kepada beban berpanjangan dialami pembeli-pembeli projek terbengkalai yang menjadi isu utama di Parlimen Hulu Selangor, Kamalanathan mengakui ada pihak yang menjadikan isu tersebut sebagai modal politik menjelang PRU13.

Bagi beliau, kesempatan itu sudah menjadi lumrah terutama pakatan pembangkang yang ketandusan isu.

"Sikap pembangkang, kalau ada masalah hasrat mereka bukan mahu menyelesaikan masalah tapi bagaimana boleh membesarkan masalah ini, mempolitikkan perkara ini supaya mereka dapat keuntungan politik. Kita tidak begitu.

"Kita membawa penyelesaian. Tapi apakah pendekatan Kerajaan Negeri Selangor, berapa banyak projek perumahan di negeri ini yang mereka pulihkan sepanjang memerintah?" katanya.

Menurutnya, antara sebab rakyat memberikan kepercayaan kepada pakatan pembangkang kerana mahu melihat perubahan yang dibawa, tetapi malangnya dalam tempoh empat tahun pakatan gagal membawa sebarang perubahan.

Katanya, berbeza dengan kerajaan BN dalam tempoh lebih dua tahun selepas PRK 2010 sudah banyak perubahan dan pembangunan dibawa ke daerah ini.

Kamalanathan berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk menambah baik proses penyelesaian berkaitan projek terbengkalai di mana kerajaan telah membentangkan beberapa rang undang-undang yang baru agar pembeli dapat dipertahankan berbanding
pemaju.

Menurutnya, jika selama ini pemaju sering kali terlepas apabila sesuatu projek pembangunan gagal disiapkan di mana hanya syarikat di senarai hitam sedangkan pengarahnya terlepas, tetapi sekarang kerajaan mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap
pengarah yang terlibat.

"Kerajaan memberi syarat kepada pemaju sekiranya mereka mempunyai rekod buruk maka mereka tidak boleh laksanakan projek lain dan kita juga memastikan bahawa pemaju-pemaju perumahan menepati janji kepada pembeli.

"Kita akan pertahankan kuasa pembeli. Usaha kerajaan untuk memastikan pemaju lebih bertanggungjawab, menunjukkan komitmen dan lebih serius dalam pelaksanaan tanggungjawab mereka," katanya.

Beliau turut menjelaskan antara usaha lain kerajaan membangunkan semula projek terbengkalai adalah dengan membawa masuk pelabur ke daerah ini.

Menurutnya, langkah itu dilakukan melalui pengembangan bidang perindustrian, mewujudkan pelung-peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak ruang pendidikan.

Nilai diri, prestasi saya

Menurut Kamalanathan, segala pembangunan yang telah dibawa ke daerah ini dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini merupakan bukti pembaharuan atau transformasi yang mahu dilaksanakan kerajaan BN.

Menurutnya, untuk memastikan lebih banyak pembaharuan di bawa, beliau memerlukan tempoh lebih panjang untuk berkhidmat.

"Kita ada perancangan dan kita telah buktikan dalam masa dua tahun ini dan masa yang singkat.

"Saya dengan kerjasama 100 peratus kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak membuat pembaharuan. Kita boleh buat banyak pembaharuan, berikan kita lagi kepercayaan, mandat satu lagi untuk mentadbir Hulu Selangor kerana kerajaan BN banyak
lagi perancangan untuk membangunkan Hulu Selangor," katanya.

Hanya berbaki beberapa hari saja lagi sebelum medan PRU13 dibuka dan sudah pasti masa yang ada semakin suntuk.

Ketika ditanya bagaimana untuk beliau meyakinkan rakyat dalam tempoh berbaki ini, Kamalanathan dengan nada rendah menyatakan supaya rakyat membuat perbandingan dan menilai prestasinya selama ini.

"Apabila saya pergi berceramah politik di mana-mana pun, saya akan suruh mereka (rakyat) buat perbandingan, dua tahun zaman PKR dan dua tahun zaman BN.

"(Dalam ceramah) saya tidak akan menyentuh atau mencari kesalahan mereka. Saya hanya akan tanya dalam tempoh dua tahun apa yang telah mereka lakukan," katanya.

Menurutnya, kerajaan BN juga sedang melaksanakan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa, dalam cadangan membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Serendah, klinik kesihatan di Bukit Sentosa dan pembinaan dua universiti di Serendah.

Sindiket jual bayi: Polis rujuk kertas siasatan ke Pejabat Pendakwa Raya esok

Posted: 30 Jan 2013 01:24 AM PST

SINAR HARIAN

NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang telah menyiapkan kertas siasatan berhubung penahanan lapan individu termasuk doktor sebuah klinik swasta dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan kes sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya esok untuk tindakan selanjutnya.

"Kertas siasatan kes itu sudah siap dan kita akan hantar esok dan kita jangka keputusan untuk mendakwa mereka pada Jumaat ini," katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Ketua Polis Pulau Pinang ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jawi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata setakat ini polis menahan 36 individu, termasuk dua tangkapan baru iaitu pasangan suami isteri berumur lingkungan 50an di Bukit Mertajam serta menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun.

"Dua puluh dua daripada mereka yang ditahan sudah dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Khamis lepas, Polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur antara 23 hingga 52 tahun.

Dalam serbuan di sebuah tempat persembunyian bayi dan kanak-kanak itu, polis menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun.

Polis turut menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak perempuan pada Isnin dan menahan pasangan suami isteri menjadikan jumlah tangkapan 36 orang dan bayi serta kanak-kanak yang diselamatkan 10 orang.

Lima daripada yang ditahan sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth 25 Januari lepas sementara kesemua bayi dan kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - Bernama

Isu MyKid: Pas tuntut penjelasan JPN

Posted: 30 Jan 2013 01:23 AM PST

RISWANDI RAZAK

Mahfuz Omar
Mahfuz menunjukkan salinan surat Jabatan Pendaftaran Negara pada sidang media hari ini.
 
KUALA LUMPUR - Pas menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan isi kandungan surat jabatan itu berhubung arahan mengembalikan semua kad pengenalan dan MyKid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan ke Keningau sebelum dihantar ke agensi tersebut.

Salinan surat tersebut diterima sendiri oleh Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar seminggu lalu oleh pihak tertentu.

Mahfuz berkata, JPN perlu memberi penjelasan kerana berdasarkan maklumat surat tersebut terdapat keraguan berhubung prosedur sebenar bagaimana pelupusan kad pengenalan dibuat di negara ini.

"Perkara yang meragukan adalah arahan kepada semua pengarah bahagian, negeri dan ketua jabatan JPN daerah/daerah kecil adalah untuk menghantar kad pengenalan dan mykid ini terlebih dahulu ke Keningau, Sabah sebelum ke JPN.

"Ini kerana juruaudit JPN sedang berada di Keningau," katanya yang membacakan isi kandungan surat bertarikh 14 Disember 2012, dalam sidang media, di Ibu Pejabat Pas, hari ini.

Mkini paling dipercayai siswa, menurut kajian

Posted: 30 Jan 2013 01:21 AM PST



Satu kajian oleh sekumpulan ahli akademik menyebut, siswa di dua buah universiti terkemuka negara memilih portal berita Malaysiakini sebagai sumber maklumat politik yang paling dipercayai berbanding media lain.

Kajian oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) itu juga menunjukkan Malaysiakini merupakan laman web politik paling popular dan paling kerap dilayari mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seramai 66.4 peratus dari kalangan 1,009 siswa di UM berpendapat demikian berbanding laman berita lain – The Malaysian Insider (30.6 peratus), Utusan Online (23.6 peratus) dan Tranungkita Online (15.7 peratus).

Malaysiakini juga merupakan laman berita paling popular di kalangan siswa berkenaan (71.1 peratus) berbanding Utusan (24 peratus), The Malaysian Insider (21.2 peratus) dan MStar (19.7 peratus).

Trend sama juga dilihat di UKM – seramai 39.4 peratus daripada 1,006 siswa yang dikaji memilih Malaysiakini sebagai sumber maklumat politik yang paling dipercayai berbanding laman lain.

Sempena Tahun Baru Cina 2013 : AES Dihentikan Sementara! Adakah Nyawa Orang Cina Dalam Bahaya?

Posted: 30 Jan 2013 01:12 AM PST

Staff Berita Semasa
 
AES Malaysia Cina Sempena Tahun Baru Cina 2013 : AES Dihentikan Sementara! Adakah Nyawa Orang Cina Dalam Bahaya?

Sempena perayaan Tahun Baru Cina 2013 kali ini, yang merupakan perayaan terbesar sebelum menjelangnya Pilihanraya Umum ke 13 (DI SINI), kerajaan berbesar hati untuk menghentikan sementara operasi AES Malaysia ini.

Jikalau semasa berlangsungnya perayaan Thaipusam, Deepavali, Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan juga Krismas, AES tetap berjalan seperti biasa tanpa mengenal erti penat "menjaga keselamatan anda semua di jalanraya" dan dalam pada masa yang sama "mencari pelanggan baru mereka". Tetapi tidak sempena perayaan Tahun baru Cina 2013 kali ini. Ooh…..ada cuti juga rupanya AES ini.
Lumut: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak akan beroperasi sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina bulan depan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Begitupun, katanya, penguatkuasaan undang-undang jalan raya tetap diperketatkan di kawasan terbabit dan yang berisiko tinggi menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Trafik dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Kita tidak akan menggunakan AES sepanjang musim perayaan kerana perkara itu masih belum diputuskan oleh Peguam Negara"
Pelik juga, masih tidak diputuskan lagi? Jadi mengapa masih dipasang? Dan mengapa operasi AES ini boleh dihentikan sementara semata-mata perayaan kali ini? Kiranya selama ini siapa yang dikenakan saman AES, boleh "avoid saman" itu? Ini kerana sehingga ke Tahun Baru Cina masih lagi belum diputuskan!
"Bagaimanapun, operasi bersepadu tetap berjalan seperti biasa dan kita mahu semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan nyawa orang ramai," katanya selepas merasmikan Majlis Derma Darah anjuran Kelab Lions Sitiawan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Pundut di sini kelmarin.
Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut berkata, JPJ akan menempatkan anggotanya yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres sepanjang operasi bersepadu itu.
Katanya, langkah itu perlu bagi memerhati dan mencatatkan kesalahan lalu lintas serta tingkah laku pemandu bas ekspres sepanjang perjalanan bagi mengelak sebarang kemalangan membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam itu. Beliau berkata, JPJ juga menjalankan penguatkuasaan lain termasuk pemeriksaan bas ekspres di 64 depoh bas yang dimiliki syarikat bas ekspres utama.
"Penggunaan kenderaan perkhidmatan awam pada tahun ini dijangka meningkat kepada 21 peratus berbanding 17 peratus tahun lalu.
"Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan JPJ bagi memastikan bas dinaiki selamat dari segi teknikal serta pemanduan," katanya.
Adakah statistik AES yang mengatakan boleh selamatkan 6000 nyawa setahun tidak termasuk hari perayaan?

AES Chinese New Year 2013 Sempena Tahun Baru Cina 2013 : AES Dihentikan Sementara! Adakah Nyawa Orang Cina Dalam Bahaya?

Bukankah pihak berkuasa sendiri yang mewarwarkan kempen kesedaran dengan peripentingnya kewujudan AES di Malaysia ini sehingga mampu menjaga keselamatan pengguna jalan raya sekaligus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya? Itu kata merekalah.

Adakah dengan penghentian operasi ini bermakna orang Cina amnya dan rakyat Malaysia umumnya dalam bahaya sempena Cuti Tahun Baru Cina kali ini?

Jadi persoalannya ikhlaskah kempen kesedaran seperti ini atas nama keselamatan rakyat Malaysia di jalan raya dengan beroperasinya AES selama ini? Hakikatnya, selagi mana operasi AES ini diswastakan kepada pihak yang lebih gemar mencari keuntungan berbanding mencari jalan mengawal keselamatan pengguna jalan raya (seperti JPJ & pihak polis), tidak usahlah membuang duit untuk menjalankan kempen seperti di atas ini.

Jikalau setakat November 2012, Beta Tegap & ATES Sdn. Bhd. telah berjaya mengaut pulangan sehingga RM4.1 ++ juta (DI SINI BUTIRANNYA). Bagaimana pula dengan pungutan yang terkini? Apa pandangan anda pula?

ATM lancar pelan integriti banteras rasuah dan penyelewengan

Posted: 30 Jan 2013 01:09 AM PST

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan Pelan Integriti yang bertujuan mencegah serta membanteras segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan warga pasukan itu.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin yang melancarkan pelan tersebut di Kementerian Pertahanan di sini berkata ia merupakan agenda ATM dalam membudayakan integriti ke arah memartabatkan profesionalisme, komitmen, kecemerlangan dan imej institusi ketenteraan yang berprestij di mata rakyat.

"Berlandaskan semangat Pelan Integriti Nasional (PIN), pelan tindakan ini dirancang secara komprehensif dan pragmatik serta mampu memperkasakan agenda pengurusan dan pentadbiran ATM di tahap terbaik dan cemerlang," katanya dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Antara lain, pelan itu menggariskan lima lagi strategi iaitu memantapkan keutuhan organisasi serta tadbir urus terbaik, meningkatkan kesiagaan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan disiplin serta sistem pemerintahan rejimental.

"Strategi lain itu yang digariskan adalah mengukuhkan aspek-aspek kerohanian dan penghayatan nilai-nilai murni dan menambahkan kualiti hidup dan institusi kekeluargaan," katanya.- Bernama

Himpunan #KL112: Polis cari 14 saksi

Posted: 30 Jan 2013 01:08 AM PST

SINAR HARIAN

Himpunan #KL112 yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Himpunan #KL112 yang berlangsung di Stadium Merdeka Januari lepas.
 
KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengedarkan gambar 14 saksi bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh penganjur perhimpunan di ibu negara 12 Jan lepas yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dalam perhimpunan itu.
  
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata keterangan 14 saksi itu penting bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung pelanggaran syarat
oleh penganjur perhimpunan tersebut.
  
"Kita minta saksi yang gambar mereka telah kita siarkan agar tampil segera bagi membantu pihak polis. Perbuatan membawa kanak-kanak di bawah usia 15 tahun adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
  
Mohmad berkata jika disabit kesalahan melanggar syarat itu, penganjur boleh dihukum denda maksimum RM20,000 mengikut Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
  
Beliau berkata 14 saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Tony Lunggan di talian 014-6225262 atau 03-90516222 atau tampil di mana-mana balai polis.

Katanya, orang ramai yang mengenali 14 saksi yang gambar mereka diedarkan melalui media dan lama Facebook itu, boleh memberikan maklumat kepada polis atau memaklumkan di balai polis berhampiran.
  
Sementara itu, Mohmad berkata polis memburu enam suspek berumur 24 hingga 35 tahun berhubung kes serangan ke atas seorang lelaki di Flat Sri Johor di Cheras di sini, awal pagi semalam.
  
Katanya dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa berumur 25 tahun telah diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika dia sedang menggunakan telefon awam.
  
"Siasatan awal kita mendapati suspek telah menunggu mangsa di dalam dua buah kereta sebelum bertindak menyerang mangsa. Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada dendam di antara dua kumpulan kongsi gelap," katanya.

Katanya mangsa kini dirawat di sebuah pusat perubatan kerana mengalami kecederaan parah akibat ditetak di bahagian kepala dan telinga kiri.
  
"Mangsa kini dilaporkan stabil namun terpaksa menerima 158 jahitan di bahagian kepala dan telinga," katanya.  - Bernama

MB: Selangor ambil alih perkhidmatan air dalam 14 hari

Posted: 30 Jan 2013 01:03 AM PST

Wartawan Sinar Harian

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari dan perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Putrajaya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

"Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin untuk memaklumkan bahawa kita akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

"Kita berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini yang menyatakan Kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air," kata beliau dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya, dalam surat tersebut pihaknya telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas.

PRU13: Agama pula jadi cagaran Umno

Posted: 29 Jan 2013 04:27 PM PST

KL TODAY
 

KUALA LUMPUR: "Sekarang Umno terpaksa mengikut rentak PAS di dalam memperjuangkan agama," kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad. Katanya, dahulu Umno sering menuduh PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik sehingga ada cadangan supaya nama Islam pada parti PAS dibuangkan.

Jelasnya, PAS sememangnya wajib memperjuangkan Islam kerana tertera dengan jelas di dalam Perlembagaan PAS Fasa 3 "Dasar PAS ialah Islam".


Justeru, ujarnya apabila Umno bercakap tentang Islam, ianya agak janggal seperti pepatah "cakap tidak serupa bikin".

Menurutnya, oleh kerana Umno wajib mendapat sokongan Melayu, maka pemimpin Umno terpaksa berlakon untuk menunjukkan mereka pembela agama.

Contohnya, kata beliau dalam isu kalimah Allah, Umno berlagak mempertahankan nama Allah, tetapi Umno melawan hukum Allah dan kempen mereka kepada orang Melayu, kononnya bimbang gejala murtad berlaku.

"Peliknya mana suara Umno ketika Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin, Lina Joy meninggalkan agama Islam. Umno membisu seribu bahasa.

"Mereka mendakwa mereka mempertahan nama Allah, tetapi ulama yang hendak mempertahankan ajaran Allah, Umno hendak tangkap.

"Ini yang terjadi kepada Datuk Dr Harun Din, Almarhum Datuk Ishak Baharom, Datuk Ismail Kamus ketika Umno berkuasa di Selangor," ujarnya.

Oleh kerana itu, menurutnya lagi, benarlah pemimpin Umno sejenis makhluk yang boleh menyerupai berbagai warna demi kepentingan politik.

Begitu juga, katanya Najib hendak menunjuk juara Palestin sedangkan semua dunia tahu kepimpinan Najib tidak mengiktiraf Hamas.


"Tetapi demi kepentingan undi Melayu, Najib pergi mengadap pemimpin Hamas.


"Apabila balik ke Malaysia, tukang juak Najib mengarahkan untuk menyambut Najib sebagai wira Palestin. Semua dilakukan demi kepentingan undi orang Melayu kepada Umno," katanya lagi.

Exco Johor Zainal Abidin cedera kemalangan

Posted: 29 Jan 2013 04:25 PM PST

Murni Moksen

MERSING - Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang juga Adun Endau terlibat dalam kemalangan di KM41 Jalan Jemaluang Kota Tinggi-Mersing apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki berlanggar dengan sebuah kenderaan lain, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd Nor Rasid mengesahkan kejadian tersebut berlaku kira-kira jam  8.45 pagi.

Zainal Abidin yang mengalami kecederaan ringan di bahagian pipi dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.

Keldai siber wanita, lima lelaki warga Afrika ditahan tarbabit sindiket tipu e-mel

Posted: 29 Jan 2013 04:24 PM PST

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita tempatan dan lima lelaki Afrika yang disyaki terlibat dalam kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM515,095 di dua tempat di Lembah Klang pada 15 dan 16 Januari lepas.

Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman DSP Mohamad Lazim Ismail berkata wanita berumur 45 tahun itu ditahan ketika cuba mengeluarkan wang transaksi daripada akaunnya di sebuah mesin pengeluaran wang di bank pada pukul 3 petang 15 Januari.

"Pihak bank sebenarnya telah menghalang akaun itu daripada aktiviti pengeluaran wang kerana mengesyaki wang di dalam akaun wanita itu terlibat dalam kes penipuan dalam talian.

"Kami menemui beberapa buku bank daripada wanita itu yang dipercayai dijadikan keldai siber, jadi apa-apa bukti dan semua kesalahan yang berkaitan sindiket itu diletakkan terhadap wanita terbabit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Susulan itu, kira-kira pukul 1 pagi, polis menyerbu sebuah rumah di Puchong dan menahan lima lelaki Afrika serta merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit dan alat perkakasan komputer yang lain.

"Kelima-lima lelaki yang berumur 22 hingga 30 tahun itu merupakan pelajar sebuah kolej swasta di ibu Negara," katanya.

Mohamad Lazim berkata kegiatan sindiket itu bermula apabila syarikat A membuat urusan perniagaan dengan syarikat B yang menjalankan perniagaan penipuan iklan di laman-laman web termasuk urusan pembayaran wang menerusi kaedah e-mel.

"E-mel yang dihantar mengandungi arahan pembayaran dan nombor-nombor akaun bank di mana bayaran yang sepatutnya dimasukkan. Namun dalam situasi ini suspek akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang terdapat dalam e-mel yang dihantar syarikat A.

"Suspek akan memasukkan nombor akaun baharu milik suspek tanpa pengetahuan syarikat A. Apabila syarikat B menerima e-mel itu dan membuat pembayaran seperti dalam arahan e-mel tanpa menyedari nombor akaun berkenaan telah diubah oleh sindiket asing," katanya.

Beliau berkata wang yang dimasukkan dalam akaun lain itu akan diambil oleh keldai siber (wanita) dan menyerahkan kepada sindiket berkenaan.

Mohamad Lazim berkata sindiket itu berjaya ditumpaskan berikutan tindakan segera syarikat antarabangsa yang membuat laporan menerusi bank luar negara berkenaan yang menghubungi bank di Malaysia. - Bernama

Tayar letup, perkhidmatan monorel tergendala

Posted: 29 Jan 2013 04:21 PM PST

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan monorel di ibu negara tergendala selepas satu daripada tayar getah sebuah trennya yang dalam perjalanan ke Stesen Titiwangsa, meletup berhampiran Stesen Monorail KL Chow Kit.

Pengurus Kanan Komunikasi dan Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Berhad (Prasarana), Azhar Ghazali berkata, tindakan pantas pemandu tren berkenaan berjaya memastikan keselamatan penumpang.

"Pemandu berkenaan, Rizalman Rosli, 37, berjaya memberhentikan tren dengan selamat apabila tayarnya meletup pada 6.30 petang. Sebuah tren dihantar untuk menarik tren yang terkandas itu ke stesen terdekat.

"Selepas itu, sebuah tren penyelamat dihantar dan sampai di tempat kejadian pada 7.15 malam untuk memindahkan penumpang," katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi KL Monorail Abdul Hadi Amran berkata urusan pemindahan penumpang selesai menjelang 7.24 malam dan kesemua 200 penumpang selamat, manakala alat penyaman udara tren terbabit berfungsi sepanjang urusan pemindahan penumpang dijalankan.

Katanya pasukan penyelamat KL Monorail menjalankan kerja pemindahan penumpang itu dengan bantuan Jabatan Bomda dan Penyelamat.

"Kami sediakan perkhidmatan alternatif di stesen kami sehingga perkhidmatan monorel disambung semula," katanya.

Sementara itu, pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman dalam kenyatan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama berkata, 29 anggota bomba dan penyelamat dari balai bomba Hang Tuah, Setapak, Titiwangsa dan Sentul terlibat dalam operasi menyelamat itu.

Katanya mereka membantu memindahkan 164 penumpang iaitu 103 wanita, 60 lelaki dan seorang kanak-kanak. - Bernama

Peguam Negara “hanya ikut kemahuan tuannya”: Guan Eng

Posted: 29 Jan 2013 04:18 PM PST

 Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Sikap bermuka-muka Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap Perkasa yang menyeru untuk membakar Bible dan kegagalannya menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) menunjukkan Abdul Gani tidak boleh dipercayai termasuk rentetan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Abdul Gani pilih kasih dan membidas sikap Peguam Negara itu yang takut untuk bertindak terhadap pemimpin BN, kroni atau penyokong mereka.

"Contoh yang paling jelas, Abdul Gani takut mengambil tindakan terhadap Perkasa dan memberi alasan yang tidak masuk akal bahawa belum ada Bible yang dibakar, dan hanya akan bertindak setelah ada Bible yang dibakar!

"Pada masa yang sama, beliau tidak teragak-agak untuk bertindak ke atas Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh atas dakwaan hasutan," jelas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

"Bukan setakat itu, Abdul Gani juga membuktikan kegagalannya apabila gagal menyelesaikan kes kematian ngeri pengawal keselamatan, C Sugumaran dalam keadaan tangan digari," katanya.

Kematian itu, menurut Guan Eng, bukan yang pertama, malahan banyak kes kematian dalam tahanan yang dipandang sebelah mata termasuk Chang Ching Te di Subang, A Kugan dan remaja berusia 16 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis.

"Jaminan Abdul Gani bahawa beliau akan bertindak sekiranya ada kesalahan jenayah sekadar janji kosong yang memanifestasikan sindrom penafian kerajaan BN," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, Guan Eng meminta Peguam Negara itu digugur kerana tindakannya bersifat politik dan tidak berfungsi melainkan kerana memenuhi keperluan tuannya.

"Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai Peguam Negara yang bertanggungjawab, profesional dan tidak berat sebelah mengikut undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.

"Selagi juak-juak kroni dan pimpinan BN mempunyai imuniti undang-undang, selagi itu rakyat yang tidak bersalah dihukum hanya kerana berbeza pendapat atau menentang BN dan tidak ada keadilan untuk semua," ujar Guan Eng.-Roketkini.com

Ada lagi anggota Majlis Syura Pas dilucut?

Posted: 29 Jan 2013 04:16 PM PST

JAMILAH HAMZAH

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
 
SHAH ALAM - "Saya tidak tahu, saya tak pernah bermimpi pun mengenai perkara itu." Demikian kata Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh kepada Sinar Harian Online berkenan laporan bahawa akan ada lagi yang akan dipecat susulan kes bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Mengikut laporan terbaru, seorang  bekas pengikut setia Pas Zainon Ismail menyatakan seorang pemimpin kanan Pas, Datuk Harun Taib dijangka dipecat sebagai Ahli Majlis Syura.

Menurut Nik Zawawi, beliau tidak pernah mengenalinya, sekali gus mempersoalkan status Zainon dalam Majlis Syura.

Beliau juga berkata pihaknya tidak mahu melayan sesuatu kenyataan yang tidak dikeluarkan oleh Majlis Syura.

"Dia (Zainon) tahu mana? Saya juga nak tanya dia itu, siapa?

"Kalau kenyataan dari dia saya memang tak mahu komen," katanya.

Dalam laporan media, Zainon turut berkata tidak mustahil perkara itu berlaku selepas Nasharudin digugurkan sebagai ahli majlis itu pada 13 Januari lalu.

"Majlis Syura Ulama Pas adalah badan tertinggi parti itu dan apabila keputusan dibuat oleh majlis itu, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan," katanya  yang juga seorang penulis buku dengan nama penanya, C.N.Al-Afghani.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai adakah perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dan pihaknya ingin menafikannya, Nik Zawawi berkata, beliau tidak mahu megulas lanjut.

"Maaflah saya tak mahu komen lagi," katanya lagi.

Nik Aziz dapat cicit kembar

Posted: 29 Jan 2013 04:13 PM PST

Wartawan Sinar Harian

Nik Aziz - Tuan Sabariah Tuan Ishak
Nik Aziz bersama Tuan Sabariah Tuan Ishak mencium cicit sulung mereka semalam.
 
KOTA BHARU - Sambutan hari lahir Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kali ini lebih bermakna apabila beliau menerima kelahiran cicit sulungnya sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke-82.

Lebih menggembirakan cicit sulung tersebut yang dilahirkan 21 Januari lalu itu adalah pasangan kembar perempuan.

Nik Aziz, melahirkan kegembiraan beliau kerana kelahiran kedua-dua cicit sulungnya itu di saat menyambut ulang tahun kelahirannya dan menganggap ia adalah rezeki.

"Anak serta cucu cicit yang ramai ni merupakan anugerah ALLAH SWT yang tidak ternilai ertinya. Ia cukup membuatkan saya begitu gembira dan amat bersyukur sekali.

"Mudah-mudahan mereka dapat menyambung risalah perjuangan Islam sebaiknya," katanya ketika ditemui di kediamannya semalam. Nik Aziz mempunyai 57 cucu dan dua cicit kembar.

Nik Isya Zulfa dan Nik Isya Zaheera, selamat dilahirkan Isnin lalu kira-kira jam 7.15 pagi di klinik swasta An-Nur, Kubang Kerian. Bayi kembar itu adalah cucu sulung kepada anak Nik Aziz yang pertama iaitu pasangan Nik Aini, 50 dan Fakhruddin.

Pasangan kembar itu adalah anak sulung kepada Nik Farhana, 27 yang juga anak kedua Nik Aini.

Pakatan Rakyat perinci manifesto p’raya berasas Buku Jingga

Posted: 29 Jan 2013 04:02 PM PST

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menawarkan manifesto pilihan raya berasaskan dasar Buku Jingga untuk menawan Putrajaya.

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, T Kumar berkata, manifesto itu akan diperinci bagi mendekatkan tawaran kepada rakyat, namun tiada perubahan membabitkan dasar Buku Jingga.

"Buku Jingga diterima ketiga-tiga komponen parti. Setakat ini tiada perubahan akan dibuat, mungkin ada perincian.

"Berhubung tawaran-tawaran yang dibuat setakat ini, kita akan masukkan dalam manifesto. Buku Jingga adalah dasar kita (Pakatan), untuk dijadikan asas bagi menentukan manifesto," jelasnya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, beberapa tawaran Pakatan yang terbaru antaranya melibatkan ketenteraan dan isu anak muda sebagai kayu ukur untuk menghasilkan manifesto.

"KEADILAN, PAS dan DAP sepakat untuk memperincikan manifesto sementara menunggu pilihan raya semakin hampir.

"Jentera parti juga akan menggunakan risalah Buku Jingga turun berkempen untuk menerangkan kepada rakyat mengenai tawaran Pakatan demi hala tuju memenangi PRU 13," ujar Kumar.



Buku Jingga merupakan satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang diperkenalkan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 2010.

Ia bagi menangani krisis ekonomi, kerosakan institusi negara, ketegangan masyarakat berbilang kaum, bebanan rakyat, hak rakyat yang dinodai dan gejala rasuah yang berleluasa.

Buku Jingga turut menggariskan agenda 100 hari pertama pentadbiran Pakatan sekiranya diberi peluang menerajui negara.

Antaranya merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion setahun.

Bagi mengurangkan bebanan rakyat dihimpit pembayaran tol, Buku Jingga menyatakan langkahnya untuk menyelaras badan-badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Struktur gaji pendidik juga dirombak bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan.

Kumar berkata, pendekatan yang akan digunakan Pakatan sepanjang berkempen menuju pilihan raya juga turut dijadikan asas penting kejayaan PRU 13.

"Tawaran dan dasar Buku Jingga kunci kekuatan kita turun padang menerangkan kepada rakyat dan untuk ini, pihak penerangan ada kaedahnya.

"Contohnya, dalam isu Felda, kita akan perincikan isu perumahan anak-anak peneroka. Kita pastikan hutang peneroka dikaji semula sekurang-kurangnya untuk kurangkan hutang mereka," katanya.

"Selain itu, ia melibatkan Kadar Perahan Gred (KPG) supaya mendatangkan untung kepada peneroka," jelas Kumar.

Pemimpin Hamas temu Presiden KEADILAN Khamis ini

Posted: 29 Jan 2013 04:01 PM PST

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYA : Dua pemimpin Hamas dijadual akan bertemu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya di sini Khamis ini.

Pemimpin berkenaan adalah Ahli Kabinet Hamas, Walid Amudi dan salah seorang pengasas Hamas, Dr Aziz Rantisi.



"Khamis ini saya akan bertemu wakil Hamas. Mereka kata nak buat kunjungan hormat. Datang mengucapkan 'hello' sebab mereka tahu kita (KEADILAN) punya hubungan baik (dengan Hamas)," kata Wan Azizah ketika ditemui di pejabat beliau, hari ini.

Isteri Ketua Umum KEADILAN itu turut menyatakan harapan dan sokongan terhadap perjuangan umat Islam di Gaza, Palestin.

"Kita beri sokongan semampu yang boleh. Tak kira dalam apa jua yang memberi kebebasan kepada Gaza. Dengan harapan rakyat tak perlu ditindas lagi, dan Gaza sendiri tidak berpecah," kata beliau.
Umat Islam di Palestin mengalami kezaliman Zionis Yahudi sejak lebih 70 tahun lalu dengan pelbagai cabaran.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan Mahmoud Abbas dan mengiktiraf aspirasi rakyat Palestin di Gaza yang memilih secara demokratik Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menteri.

Katanya, Pakatan juga secara konsisten termasuk pada sidang Parlimen Disember 2012, mengutuk keengganan kerajaan Malaysia mengiktiraf Hamas.

Ketua Penerangan KEADILAN, Muhd Nur Manuty menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Gaza 22 Januari lalu semata-mata mahu meraih undi orang Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum ke 13.

"Ia sekadar memberi bayangan memberi kononnya Umno bersama Palestin sedangkan selama ini mereka pasif berhubung isu Hamas.

"Najib selama ini tidak pernah mengiktiraf Hamas. Sejak zaman Mahathir Mohamad, Umno tidak mengiktiraf Hamas. Buktinya pemimpin Hamas dihalang masuk ke Persidangan Negara-negra Berkecuali (NAM) pada 2006," katanya.

Dalam kunjungan itu, Najib bertemu Ismail Haniyeh dan menawarkan bantuan dalam usaha perdamaian antara Hamas dan Fatah.

Nurul Izzah gesa DBKL pantau projek ancam nyawa di Bukit Gasing

Posted: 29 Jan 2013 03:56 PM PST

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju bertanggungjawab insiden tanah runtuh dan banjir lumpur yang mengancam keselamatan penduduk Kampung Pasir ekoran projek pembinaan 68 unit banglo di lereng Bukit Gasing, Kampung Pantai Dalam, dekat sini.

Beliau mendedahkan sikap pasif DBKL terhadap aduan dan keluhan penduduk sekitar kawasan pembangunan ekoran wujudnya konflik kepentingan antara DBKL dan pemaju, Amona Development Sdn Bhd.

Nurul Izzah berkata, KEADILAN pernah membawa rungutan penduduk Kampung Pasir tahun lepas, namun semalam Datuk Bandar Kuala Lumpur memberi respon mengecewakan dan menyalahkan penduduk.



"Datuk Bandar jawab projek berkenaan tidak boleh dibeli kerana kes itu sudah menang di mahkamah. Konon takut nanti duit rakyat pula digunakan," katanya pada sidang media di pintu masuk tapak pembinaan oleh pemaju Gasing Meridian Sdn Bhd, di sini, hari ini.

"Malah katanya lori keluar masuk menyebabkan debu lalu mereka tidak boleh membaiki kerosakan tanah.

"Kita bukan desak DBKL batalkan projek tetapi kita desak pantau dan ambil tindakan terhadap pemaju yang tidak membaik pulih kerosakan serta merta," ujar Naib Presiden KEADILAN itu.

Menurutnya, projek pembangunan yang melingkari 57 ekar itu menyebabkan berlaku kes tanah runtuh, banjir lumpur di Kampung Pasir dan Institut Pengajian Bahasa di Lembah Pantai dan Pantai Hillpark.

"Dalam projek itu, DBKL terlibat dengan pembangunan meliputi Bukit Gasing dan kawasan sekeliling.

"Kejadian tanah runtuh pula berlaku di keseluruhan kawasan bawah pengawasan DBKL sedangkan DBKL sepatutnya memantau semua projek dalam kawasannya.

"Kehadiran KEADILAN untuk memberi tekanan dan hanya boleh buat keputusan tetapi DBKL mesti segera bertindak," tegas Nurul Izzah.

Ekoran itu, beliau menggesa DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) segera menubuhkan task force dan bergabung dengan pentadbir Petaling Jaya dan kerajaan Selangor untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

"KEADILAN menerima keluhan bukan sahaja dari Bukit Gasing tapi Kampung Pasir, Pantai Hillpark dan Pantai Dalam.

"Bila pembangunan membabitkan lebih 60 ekar, di lereng bukit, DBKL digesa segera mengambil tindakan untuk mengelakkan bencana alam berlaku," katanya.

Pada 2 Oktober 2012, 108 penduduk Bukit Gasing gagal mencabar perintah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang meluluskan projek kontroversi di lereng bukit kawasan itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka bagi mendapat kebenaran merayu.

Tragedi 13 Mei: KEADILAN mahu SPR tarik balik ugutan ke atas rakyat

Posted: 29 Jan 2013 03:52 PM PST

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof digesa menarik balik kenyataan meminta rakyat tidak meraikan dan membantah di jalan raya selepas keputusan pilihan raya umum diumumkan bagi mengelakkan tragedi seperti 13 Mei 1969 berulang.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, tindakan Abdul Aziz itu tidak profesional dan sengaja mahu mengugut rakyat dengan kuasa yang ada padanya.



"Tidak wajar SPR buat kenyataan seperti itu. Langsung tidak profesional. Malah beliau seperti mengulangi hujah Umno yang mengatakan demonstrasi boleh mengakibatkan tragedi 13 Mei.

"Kalau Abdul Aziz rasa bertanggungjawab, beliau mesti tarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada rakyat kerana memberikan gambaran buruk kepada rakyat," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau mempersoal tindakan SPR cuba mengaitkan tragedi 13 Mei dengan keputusan pilihan raya.

"Kenapa nak ugut orang awam? Kita ada undang-undang. Mengapa SPR nak ungkit tragedi 13 Mei untuk takutkan rakyat," soal Tian.

"Sebetulnya jika SPR ini bebas, dia (Abdul Aziz) mesti minta rakyat turun menunaikan tanggungjawab mengundi dan memberi jaminan pilihan raya diadakan telus. Tapi kenapa nak diungkit 13 Mei pula," ujar Ahli Parlimen Batu itu.

Abdul Aziz juga dilaporkan meminta pihak yang menang juga yang tewas agar menerima pilihan pengundi dan tidak menyalahkan SPR.

Menurutnya, lima kerajaan negeri bertukar selepas Pilihan Raya Umum 2008 menunjukkan kononnya kebebasan SPR.

"Ini seperti SPR akan lakukan penipuan. Mana dia jaminan SPR untuk pastikan tiada penipuan dalam pilihan raya? Kerja SPR sepatutnya tolong pastikan pilihan raya berjalan telus dan bersih, bukan jadi alat politik kerajaan," tempelak Tian.

JASA salah guna kuasa, dana awam berkempen untuk UMNO/BN

Posted: 29 Jan 2013 03:49 PM PST

Roketkini.com

KUALA LUMPUR,: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi lebih gementar menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berikutan angin perubahan di rantau ini bertiup kencang termasuk kemenangan Lee Li Lan dari Parti Buruh yang mengalahkan PAP pada Pilihan Raya Kecil Punggol East, Singapura dengan majoriti 3,182 undi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib menjadi lebih gementar kerana sebuah agensi kerajaan menyalahgunakan dana awam dengan menjelajah seluruh negara untuk menyebarkan maklumat bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mendapat dua pertiga majoriti pada PRU-13.

Katanya, Bernama dalam laporannya menyatakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan, Fuad Hassan ketika menjawab satu soalan daripada peserta Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor bahawa BN mampu memenangi dua pertiga pada PRU-13 jika bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan.

"Fuad menjelaskan bagi memperoleh majoriti dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

"Fuad yakin sokongan orang Melayu untuk BN di Johor mampu melebihi 80 peratus manakala sokongan orang India juga telah pulih sepenuhnya daripada kejatuhan PRU 2008, dan begitu juga sokongan masyarakat Cina.

"Fuad secara peribadinya sebagai rakyat Malaysia berhak untuk percaya dan berusaha bagi memenuhi matlamat BN mendapatkan semula majorti dua pertiga pada PRU-13, tetapi bukan urusan beliau untuk mengetuai JASA yang didanai oleh dana awam, berkempen untuk UMNO/BN.

"Ini adalah penyalahgunaan dana awam dan kemudahan kerajaan, penyelewengan kerajaan yang semakin menjadi-jadi, terang-terangan dan berleluasa selepas 55 tahun pemerintahan UMNO /BN," katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 74 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman dapat membezakan kepentingan kerajaan, parti politik yang berkuasa dan kapasiti peribadi, yang menjadi sebab penting mengapa rasuah dan penyalahgunaan kuasa diperhatikan dengan tegas pada tahun awal Merdeka tidak seperti tiga dekad lalu yang melampau melakukan penyalahgunaan kuasa dan dana awam.

Katanya, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan Perdana Menteri pada April 1959, kerana merasakan beliau perlu ke serata negara untuk mengukuhkan sokongan terhadap Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum 1959, ketika berdepan cabaran hebat oposisi.

"Tunku meletakkan jawatan untuk sementara waktu antara April hingga Ogos 1959 supaya tidak dituduh menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai Perdana Menteri apabila mengetuai kempen untuk meraih sokongan umum kepada Perikatan, dan menyambung semula jawatan itu selepas Perikatan memenangi PRU 1959.

"Tindakan Tunku itu tidak dapat dibayangkan hari ini apabila ada jabatan dan Kementerian yang matlamatnya hanya satu iaitu menyalahgunakan kuasa dan dana awam secara terang-terangan dan tidak tahu malu berkempen meraih undi untuk UMNO/BN bagi PRU-13.

"Fuad sepatutnya dipecat daripada Ketua Pengarah JASA, kerana menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya sebagai kakitangan awam dan dana awam. Selain itu, Fuad sepatutnya meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah Kementerian Penerangan dibubarkan.

"Fuad sepatutnya menyertai UMNO sebagai pegawai khas untuk mempromosikan capaian media sosial untuk UMNO/BN menjelangnya PRU-13, dan gajinya dibayar oleh dana parti, bukannya dana awam kerana itu terang-terangan merupakan matlamat parti politik," katanya.

Menurut Kit Siang, jelas Fuad dan JASA hanya sebahagian daripada penyalahgunaan jentera awam dan dana awam untuk memenuhi matlamat dan objektif pemimpin UMNO/BN. Ini satu lagi sebab mengapa perlunya UBAH pada PRU-13 untuk mengakhiri secara sistematik penyalahgunaan kuasa kerajaan dan dana awam yang semakin menjadi-jadi dan punca berleluasanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam negara. – Roketkini.com

Tiada ulasan: