Rabu, 30 Januari 2013

Biaqpila

Biaqpila


GOYANG SAMBIL MAKAN

Posted: 29 Jan 2013 08:00 PM PST

Sebuah kedai makan di Taman Bukit Sendayan, dekat sini, dikesan 'menyelitkan' karaoke dangdut berunsur ghairah sehingga awal pagi pada setiap hari bagi menarik pelanggannya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kedai makan yang terletak jauh dari penempatan penduduk ini umpama kelab malam terbuka dan 'padat' dengan pengunjung pelbagai peringkat umur.

Gambar Hiasan

Hampir setiap malam puluhan kenderaan dipakir di tepi jalan berkenaan yang menjadi lokasi warga emas dan pertengahan umur, lelaki dan perempuan melepaskan geram dengan berkaraoke sambil menari.

Terdapat pentas lengkap dengan sistem audio dan lampu ibarat berada dalam disko selain dua khemah dipasang memuatkan meja serta kerusi yang cukup untuk menampung 100 pengunjung dalam satu-satu masa.

Premis terbabit beroperasi seawal jam 5 petang sehingga jam 4 pagi, manakala waktu karaoke bermula jam 9 malam dan hanya bermodalkan RM5, pelanggan boleh menyanyi untuk tiga lagu atau satu lagu RM2.


Bagi mereka yang pertama kali datang pasti terkejut dengan suasana meriah ini dengan kebanyakan lagu dinyanyikan berirama dangdut selain irama 60-an dan moden.

Tinjauan mendapati, perlakuan pelanggan lelaki dan perempuan yang berkaraoke sambil menari di pentas terbuka agak kurang sopan di depan anak kecil selain klip video dipaparkan mengandungi aksi erotik penyanyi dangdut dari negara seberang.


Tanpa segan silu mereka bergelek walaupun kebanyakannya di usia senja dan lebih menjengkelkan ada pelanggan wanita yang bertudung turut menari.

Ketika ditanya, kumpulan wanita terbabit spontan menjawab mereka ibu tunggal dan tiada siapa melarang.


Didapati ramai antara mereka pelanggan tetap kerana mengenali antara satu lain, malah kehadiran wartawan buat pertama kalinya menjadi perhatian mereka.


Seorang pelanggan tetap yang mahu dikenali sebagai Nor, 50, berkata, paling kurang dalam seminggu dia berkunjung ke kedai makan itu sebanyak tiga kali.


Katanya, dia berkunjung ke situ untuk menghilangkan kebosanan selain bayaran untuk karaoke adalah murah.


"Di sini tiada bezanya dengan kelab dangdut dan saya seronok kerana ramai antara pelanggan di sini sudah menjadi kawan. "Di sini tiada jualan minuman keras, tetapi ada juga pelanggan yang minum minuman keras yang dibeli dari luar. "Pemilik premis sering mengingatkan pelanggan supaya tidak mengambil minuman keras atau dadah kerana bimbang diganggu pihak berkuasa," katanya.


Menurutnya, jika mahu menyanyi, pelanggan perlu datang awal jam 8 atau 9 malam dan jika lewat, tempahan sudah penuh dan hanya berpeluang menari.


Dia yang juga ibu tunggal berkata, malam Jumaat paling ramai pelanggan datang ke situ untuk berhibur selain malam minggu.


Katanya, ada kala pelanggan terpaksa berdiri kerana tempat duduk sudah penuh dan ketika Ramadan, premis itu beroperasi dan karaoke diadakan seperti biasa selepas Tarawih. "Tempat ini pernah diserbu jabatan agama satu ketika dulu, tetapi tiada tindakan, mungkin pemiliknya mengikut prosedur. Cuma pelanggan ditegur supaya berpakaian sopan," katanya.


Pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Port Dickson ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menegah dan mengambil tindakan kerana perniagaan berkenaan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).


Sementara itu, jurucakap Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) pula berkata, pihaknya hanya mengeluarkan lesen perniagaan bagi mana-mana pusat hiburan beroperasi sehingga jam 1 pagi dan jika pemiliknya ingkar lesen perniagaan akan ditarik balik.


"Dalam kes kedai makan terbabit, pemiliknya memohon lesen jualan makanan dan hiburan. Kami akan menjalankan siasatan berkaitan dan jika terbukti berlaku perlanggaran mengikut akta tindakan akan diambil terhadap pemilik premis berkenaan," katanya.

HM


SAMM Dakwa Syarikat Menteri Monopoli Kontrak Petronas Punca Syarikat Bumi Mati?

Posted: 29 Jan 2013 05:00 PM PST



SHAH ALAM, 29 JAN: Kontraktor pengangkutan kepada syarikat Petronas Dagang Berhad (PDB) memberitahu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) perniagaan mereka terjejas teruk disebabkan kontrak pengangkutan syarikat itu kini dimonopoli oleh syarikat Shaziman Transport Sdn Bhd.
Shaziman Transport Sdn Bhd (STSB) yang didakwa milik seorang Menteri Kabinet dikatakan memonopoli lebih 90 peratus kontrak pengangkutan di sesetengah tempat menyebabkan beberapa syarikat bumiputra lain gulung tikar dan menanggung kerugian.

Menurut pengusaha pengangkutan lori yang ditemui Penyelaras SMMM, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, semua syarikat kontraktor lori lain tidak diberikan 'trip' perjalanan tanpa notis awal dengan alasan kononnya untuk menguji kemampuan STSB.

Justeru, Chegu Bard dalam sepucuk suratnya yang dihantar kepada PDB, 26 Januari lalu, menuntut agar PDB dapat menjelaskan isu ini.

"Sebuah syarikat di Melaka yang berurusan dengan PDB sebelum ini memiliki 12 buah lori, menjadi 3 lori sahaja kerana lorinya ada yang dijual dan ada ditarik bank kerana masalah kewangan ekoran penurunan 'trip' mendadak oleh PDB yang memberi laluan kepada STSB.

"Ini menyebabkan rata-rata syarikat bumiputra lain di Melaka bukan sahaja hilang pendapatan tetapi terpaksa menanggung kerugian RM50,000 ke RM60,000 bulan lepas untuk membayar gaji pokok pemandu lori dan kos berkaitan.

"Di Johor dilaporkan monopoli syarikat STSB yang diberikan oleh PDB hampir 90 peratus menyebabkan banyak syarikat bumiputera lain gulung tikar," menurut kandungan surat itu.
Menurut Chegu Bard, surat tersebut dihantar melalui faks dan emel dan beliau akan menyerahkan salinan asalnya kepada pejabat PDB di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) minggu ini.

Chegu Bard ketika mengulas isu sama berkata kontraktor terlibat yang beroperasi di Melaka juga ada memberitahu beliau bahawa monopoli kontrak PDB akan berlaku ekoran mereka mungkin dikehendaki mengambil sub-kontrak pengangkutan PDB melalui STSB.

"STSB ini naik dengan cepat sekali, sekali dari cuma beberapa buah lori kini dikatakan sudah memiliki 80 buah lori sehingga STSB disenaraikan sebagai antara peneraju dalam syarikat pengangkutan negara," ujar beliau kepada TV Selangor.

Menurut beliau dasar monopoli yang diamalkan ini mampu mengundang risiko bahaya kepada ekonomi negara sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap syarikat yang menguasai pasaran.
"Dasar monopoli ini juga punya risiko keselamatan, bayangkan setahun dua ini jika ini berterusan, syarikat lain pasti mati dan 100 peratus PDB bergantung kepada satu syarikat sahaja.

"Bayangkan jika sesuatu berlaku seperti syarikat mogok, menyebabkan berapa banyak stesen minyak akan putus bekalan minyak dan beberapa sektor dalam negara pasti lumpuh," katanya lagi.

STSB yang dikaitkan dengan Menteri Kabinet ini bukan sahaja mendapat kontrak dari PDB tetapi juga dari Proton, Perodua dan banyak syarikat berkepentingan kerajaan lagi.

Chegu Bard yang enggan menyebut nama menteri yang dimaksudkan, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan isu ini melibatkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

selangorku

nizar-coretanku

Tiada ulasan: