Sabtu, 26 Januari 2013

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


PRU 13 - BN Akan Menang Besar

Posted: 26 Jan 2013 12:04 AM PST

Barisan Nasional (BN) berkeupayaan memperoleh kemenangan dua pertiga di dalam pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Fuad Hassan.

Beliau berkata untuk kemenangan dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.


"Insya-Allah, BN berkemampuan mencapai kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum ini jika kita terus bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta yang menghadiri majlis Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor, di Johor Bahru hari ini.

Fuad melahirkan keyakinannya bahawa sokongan pengundi Melayu di Johor terhadap BN akan melebihi tahap 65 peratus dan mencecah sehingga 80 peratus dan lebih.

Katanya, sokongan pengundi masyarakat India terhadap BN juga telah pulih daripada kejatuhan dalam pilihan raya umum 2008, selain berkeyakinan terhadap peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN kali ini.

Menurut Fuad, banyak daripada isu yang dimainkan pembangkang seperti pembelian kapal selam Scorpene, loji nadir bumi Lynas dan lain-lain telah "diselesaikan", menyebabkan pembangkang kini tercari-cari isu baru.

Katanya, usaha pembangkang untuk mengumpul sejuta orang pada perhimpunan di Stadium Merdeka 12 Jan lepas, gagal kerana perhimpunan itu itu hanya dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Beliau berkata, pembangkang menolak tawaran kerajaan supaya himpunan itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang lebih besar kerana menyedari ketidakmampuan mereka untuk menarik peserta yang ramai ke perhimpunan terbabit.

Sementara itu, beliau berkata jentera media fitnah BN meliputi Twitter, Facebook dan lain-lain medium kini lebih bersedia dan berkemampuan untuk menangani serangan daripada pembangkang berbanding pada pilihanraya sebelum ini.

Bagaimanapun, Fuad meminta media sosial BN meneruskan usaha mereka dengan mendekati kira-kira 2.8 juta pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali pada PRU-13 ini.

Pengundi muda terbabit katanya, tidak lagi bergantung kepada media lama seperti suratkhabar dan televisyen untuk mendapatkan maklumat, tetapi bergantung sepenuhnya kepada internet dan media sosial seperti Facebook dan Twitter.


Jaminan Kesatuan Eropah Kepada Anwar Buatkan Umno Bertambah Sakit Hati

Posted: 25 Jan 2013 08:21 PM PST

Kesatuan Eropah sedia bekerjasama dengan Pakatan

PETALING JAYA 25 Jan: Duta Kesatuan Eropah, Luc Vandebon menyatakan kesediaan blok ekonomi itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat sekiranya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13.

"Sudah tentu. Seperti awal dulu, kami sudah bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang dipilih secara demokratik," tegas beliau kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa kurang senang dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang berlengah dalam rundingan FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan Malaysia, sejak 2010.


Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa kurang senang dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang berlengah dalam rundingan FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan Malaysia, sejak 2010.

"Sepatutnya tidak ada isu (sebab) untuk ia dilengahkan. Mengikut tempoh masa, seawalnya dalam tempoh dua tahun. Kami merasa sangat kurang gembira.

"Rundingan kebiasaannya mengambil dua tahun. Ini disebabkan rundingan kompleks dibandingkan dengan negara yang lebih mesra di rantau ini atau di rantau lain.

"Kami berharap dapat melanjutkan rundingan dalam masa terdekat. Kami akan meneruskan perkara yang membawa manfaat, kerana Malaysia ialah rakan FTA dengan Kesatuan Eropah," katanya

Beliau terdahulu bersama delegasi mengadakan mesyuarat bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden, Tian Chua dan Biro Perdagangan, Wong Chen.

Anwar berkata, antara perkara dibincangkan termasuk sokongan EU terhadap integrasi ASEAN yang positif dalam pembinaan blok EU-ASEAN-FTA.

"Malaysia ialah negara dagang dan memerlukan tindakan efektif untuk dilaksana bagi meningkatkan perdagangan.

"Falsafah kami berhubung perkara ini adalah mengangkat prinsip keadilan dalam perdagangan bebas dan persaingan sama rata," kata Anwar.



Hantar Kad Kepada Hantu.. BN Mengaku Silap.. Hehe..

Posted: 25 Jan 2013 04:51 PM PST

BN akui kesilapan, akan hantar semula surat Selamat Tahun Baru

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor mengakui terdapat kesilapan kecil yang berlaku dalam proses penghantaran surat Selamat Tahun Baru bersimbol 'Sayangi Selangor' kepada sebilangan kecil pengundi di Dun Selat Klang seperti didakwa Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, tidak mustahil kesilapan kecil sebegini terjadi ketika penghantaran surat dalam jumlah yang besar.


"Ya, saya mengaku BN Selangor ada menghantar surat ini kepada rakyat Selangor bertujuan mengucapkan Selamat Tahun Baru. Jadi dalam penghantaran pukal sebegini pasti berlaku kesilapan teknikal seperti ini.

"Atas rasa tanggungjawab, BN Selangor akan mengirim semula surat pembetulan dan permohonan maaf kepada pengundi berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan sama, Abdul Shukor yang juga Adun Kuang turut menjelaskan bahawa kesilapan teknikal seperti ini hanyalah kesalahan kecil yang tidak disengajakan dan tiada niat untuk mengaburi atau mengelirukan pengundi seperti didakwa.

"BN Selangor memohon maaf kepada pengundi-pengundi terbabit atas kesilapan yang berlaku. Kami akan menghantar semula surat pembetulan dan permohonan maaf dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut berhubung dakwaan Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali yang menggesa BN Selangor menghentikan tindakan mengelirukan rakyat dengan menukarkan tempat mengundi pengundi sesuka hati untuk kepentingan parti mereka.

Dr Halimah dalam kenyataannya mendakwa, terdapat tiga pengundi dari Dun Selat Klang yang menghantar surat aduan kepadanya yang menyatakan Dun dan Parlimen mengundi mereka ditukar ke kawasan lain pada surat Selamat Tahun Baru dengan simbol 'Sayangi Selangor' daripada BN Selangor yang diterima mereka. - SinarHarian


Mahkamah rayuan hidupkan semula kes saman fitnah Anwar terhadap Anifah Aman

Posted: 25 Jan 2013 04:59 AM PST

PUTRAJAYA, 25 Jan — Mahkamah Rayuan di sini hari ini menghidupkan semula kes saman fitnah RM100 juta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Panel hakim tiga anggota dipengerusikan Datuk Ramly Ali sebulat suara membenarkan rayuan Anwar bagi menghidupkan semula saman sivil beliau terhadap Anifah atas kapasiti peribadi menteri itu.


Kes itu juga diperintahkan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di hadapan hakim yang lain.

Panel yang turut dianggotai Datuk Anantham Kasinater dan Datuk David Wong Dak Wah, bagaimanapun menolak dengan kos rayuan Anwar untuk menghidupkan semula samannya terhadap Anifah atas kapasiti rasmi beliau sebagai Menteri Luar dan kerajaan Malaysia.

Pada 5 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anifah dan kerajaan untuk membatalkan saman Anwar terhadap mereka berhubung tuduhan yang didakwa dibuat menteri itu pada Mei 2010 semasa sidang akhbar di Jabatan Negara di Washington.

Panel itu memerintahkan Anwar membayar RM10,000 sebagai kos perundangan.

Peguam yang mewakili Anifah, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah beliau menerima arahan untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Mei 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasiti peribadi dan rasmi beliau dan kerajaan Malaysia mendakwa menteri itu memfitnahnya dalam sidang akhbar bersama Anifah dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa tuduhan Anifah tidak berasas dan cuai.

Beliau mendakwa kenyataan Anifah telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing.

Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar diwakili peguam R.Sivarasa manakala Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili Anifah, atas kapasiti rasmi beliau dan kerajaan. — Bernama


IC Palsu - Suruhanjaya DiRaja Hanyalah Sandiwara Najib

Posted: 25 Jan 2013 04:22 AM PST

Najib, AG guna RCI Sabah untuk benam kebenaran?

Adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang tanpa izin di Sabah satu rancangan tersembunyi dan sandiwara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Peguam Negara (AG) Tan Sri Gani Patail?

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim membangkitkan persoalan itu dan bertanya apakah
kedua mereka itu cuba membenamkan perkara sebenar berkaitan masalah pendatang asing yang diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi?


Beliau menjelaskan bahawa tidak satu pun daripada lapan terma rujukan RCI menjuruskan untuk mengenalpasti pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap pengkhianatan kepada negara atau untuk RCI mengesyorkan tindakan terhadap mereka yang terlibat.

"Najib dan Gani seolah mempunyai niat bersama untuk melindungi dalang dan pengkhianat sebenar yang terlibat dalam Operasi Durian Buruk di antara tahun 1992 dan 1995 seperti yang didedahkan oleh salah seorang saksi RCI Sabah Mohd Nasir Sugip.

"Proses untuk mengeluarkan satu sahaja sijil kerakyatan palsu pun, adalah merupakan perbuatan jenayah terancang yang melibatkan penipuan, pemalsuan dan salahguna kuasa membabitkan beberapa pihak.

"Apatah lagi jika untuk menyediakan 40,000 kad pengenalan biru kepada pendatang haram, seperti berlaku dalam operasi khas berpusat di kediaman Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin," kata Mat Zin.

Bekas pemimpin tinggi polis itu, dalam susulan suratnya sebelum ini yang menggesa polis supaya menyiasat pendedahan yang dibuat dalam RCI, berkata Najib adalah menteri pertahanan dari tahun 1991 hingga 1995 iaitu sepanjang tempuh Ops Durian Buruk itu.


Manakala Gani Patail pula adalah peguam persekutunan kanan Sabah
sehingga Februari 1994 sebelum dilantik menjadi ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara.

Mat Zin juga mendakwa saksi yang membuat "pendedahan sensasi" dianggap pesalah yang telah melakukan perbuatan jenayah tersebut.

Bagaimanapun, dakwanya, mereka tanpa perasaan takut kepada sebarang akibatnya ketika menceritakan peranan masing-masing, sedangkan mereka sedar perkara yang dilakukan itu menyalahi undang-undang negara.

http://www.malaysiakini.com/news/219937


Lagi Rakaman Video Keganasan Polis Terhadap Tahanan Didedahkan

Posted: 25 Jan 2013 02:45 AM PST

Berikut rakaman CCTV yang dimaksudkan. Rakaman menunjukkan kejadian ini berlaku pada 19 Januari 2013, sekitar pukul 2:30 petang. Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Seseorang individu yang ditahan oleh polis dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Kejadian ini seolah-olah membayangkan polis menghukum sebelum terbukti seseorang itu melakukan kesalahan dan ini tidak mengikut SOP (standard operating procedure). - Milosuam



Misteri Kad Ucapan Tahun Baru Najib

Posted: 25 Jan 2013 02:12 AM PST

Lebih ramai 'pengundi hantu' dapat surat Najib

Lebih banyak kontroversi menyelubungi surat ucapan tahun baru dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak selepas pembangkang menerima satu lagi aduan mengenai berpuluh surat tersebut dihantar kepada orang yang tidak dikenali di sebuah rumah di Petaling Jaya.

ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh (kiri dalam gambar) yang juga menjaga kawasan pilihan raya Bukit Gasing berikutan kematian wakil raknyat, berkata aduan terbaru itu datangnya dari sebuah rumah di kawasan berkenaan.


"Pemilik rumah tersebut telah menerima 28 surat daripada BN, tetapi dia tak kenal pun mereka," katanya dalam sidang akhbar bersama ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San dan Kasthuri Patto, iaitu setiausaha politik kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Untuk memburukkan lagi keadaan, Hannah berkata carian pada daftar pemilih menunjukkan terdapat 37 nama orang yang tidak dikenali yang didaftarkan di alamat tersebut.


"Kami mahu bertanya kepada Najib dan (penyelaras BN Selangor), Datuk Mohd Zin Mohamed sama ada ini adalah pengundi hantu mereka?" kata Hannah.

Dengan mendedahkan sendiri 'pengundi hantu' tersebut, tegas Hannah, BN umpama "menyumbat gol sendiri".

"Saya tidak kata mereka tidak bijak, tetapi mungkin terdapat terlalu banyak pengundi hantu sehingga mereka pun tidak kenal."


Tiada ulasan: