Sabtu, 26 Januari 2013

.

.


Betulkah Senarai Calon PAS Kelantan Dirombak?

Posted: 25 Jan 2013 06:26 PM PST

RENCANA KHAS                                                                                            

Seharusnya untuk memastikan kemenangan dan kejayaan di dalam pilihan raya, keputusan serapi mungkin perlu dibuat dari semua sudut. Ia bukan saja dalam persiapan jentera pilihan raya, persiapan isu, peruntukan yang mencukupi, tetapi juga soal calon.

Calon merupakan aspek paling penting dalam pilihan raya. Selalunya selepas orang memilih dan menilai parti untuk disokong, mereka akan melihat siapa dia sosok atau individu yang akan jadi calonnya.

Walaupun apa yang hendak dipaparkan oleh sesebuah parti itu mengenai dasar, matlamat ataupun agenda perjuangannya tetapi aspek calon juga akan diambil kira. Selepas semua aspek tadi dihitung dibandingkan, maka calon adalah perkara terakhir akan ditilik oleh pengundi. Sekurang-kurang 20% peribadi dan syaksiah calon menjadi penyumbang ke arah kemenangan.

Mungkin atas peri penting dan mustahaknya perkara itu menyebabkan PAS Kelantan diberitakan telah merombak semula calon-calonnya. Senarai yang sudah dikatakan sudah lengkap, dipinda sedikit untuk memastikan persiapan dibuat secara rapi dan calon tidak menimbulkan masalah. Tindakan ini patut dipuji dan menunjukkan PAS kali ini benar-benar menghalusi mengenai calon dan bukan tangkap muat saja atau dibuat atas nasihat dari satu sumber, bukan kolektif.

Peristiwa atau kejadian tahun 2004 mungkin dijadikan iktibar, di mana salah satu faktor kekalahan PAS ialah apabila urusan calon tidak begitu lendik. Calon-calon yang lemah yang sudah dipertikaikan oleh pengundi diambil semula atas alasan mereka adalah 'orang kita'. Kerana mereka adalah orang hampir dengan pihak yang memilih calon maka mereka dikutip. Natijahnya calon-calon yang sudah dikenal pasti tidak berdaya maju itu kalah.

Mulanya satu senarai telah dihantar kepada Pesuruhjaya PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk diperhalusi kemudian diistiharakah. Senarai itu dianggap sudah muktamad tidak ada apa-apa 'ogehan' dan ungkitan lagi. Walaupun biasanya soal senarai calon ini akan dimuktamad pada 24 jam terakhir, tetapi PAS dikatakan sudah bersedia dari awal kali ini.

Persediaan awal senarai calon ini juga memberi kemenangan moral dan ia boleh dijadikan bahan untuk menakut-nakutkan piihak lawan, Umno. Apa lagi Umno tidak dapat memuktamadkan calon-calonnya ekoran berlaku perebutan. Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed katanya keliru untuk memilih calon kerana banyak sangat nama yang dikemukakan untuk dipilih.

Di antara calon dari barisan kepimpinan peringkat bahagian dengan calon winnable candidate menyukarkan Mustapa untuk membuat seleksi. Memilih calon winnable candidate mereka bermutu kerana dipilih dan dibawa turun, tetapi belum tahu mendapat sokongan peringkat bawahan. Manakala calon dari barisan kepimpinan sudah pasti ada pengaruh masing-masing. Itu masalah Mustapa dan Umno.

Berbalik kepada PAS, pada senarai awal, kedudukan calon-calon PAS berubah sekitara 30% peratus sahaja. Ini bermakna sekurang-kurang tujuh atau 10 orang calon lama akan digugurkan dan diganti dengan muka baru. Perubahan itu tidak dilihat besar yang boleh membawa satu senario baru berimpak dalam PAS. Apa diharap perubahan itu melebhih 45% untuk mewujudkan suasana baru, semangat baru dan komitmen baru. Kehadiran muka-muka baru dilihat bakal menjadi penggerak baru kepada PAS dan juga persiapan untuk menjadi anggota kerajaan - Majlis Mesyuarat Negeri (Exco).

Tetapi kerana beberapa pertimbangan termasuk yang tidak wajar dibuat, maka harapan untuk melihat berlaku pertukaran calon hingga 45% tidak menjadi. Mungkin faktornya kedudukan mereka itu (wakil rakyat) tidak dapat diatasi oleh muka baru ataupun mungkin juga Tokguru kesian belas untuk menggugurkan mereka apabila ada yang datang makan nasi di pejabatnya atau mengurut betisnya.

Ekoran itu hanya kira-kira 10 - 15% saja calon akan bertukar wajah. Keadaan ini menyebabkan  timbul berbagai pandangan dan pendapat. Yang selebih lagi 30% tidak mahu atau menunjukkan mereka sedia diundurkan. Misalnya yang sakit dan uzur berusaha bersungguh-sungguh menyihatkan diri dan kembali aktif. Mereka kelihatan mampu untuk hadir ke majlis anjuran PAS ke belakangan ini, walaupun sebelum ini isteri minta katup (tutup) pintu gok (reban) ayam di rumah pun susah.

Keadaan itu menyebabkan timbul keraguan dan kebimbangan. Itu juga masih boleh dimaafi, tetapi apabila senarai nama-nama yang dihulurkan kepada Tokguru itu bukan dari penilaian yang jitu dan masih ada pilih kasih menyebabkan senarai calon itu terpaksa dirombak. Ada juga nama-nama yang dicalonkan peringkat akar umbi di kawasan tetapi digetus dan tidak dimasukkan dalam senerai dihantar ke perhubungan. Ini menyebabkan senarai sebenarnya tidak dinilai.

Penyelewengan di dalam senarai ini nasib baik dapat dikesan dan dalam pengetahuan Pesuruhjaya. Lantaran itu katanya satu senarai baru sebagai tambahan dan pembaikan dibawa kepadanya untuk dibuat penilaian. Kini senarai tambahan dan pembaikan itu sedang dinilai secara mendalam, menyeluruh, adil dan kolektif.

Dalam hubungan ini, penulis ingin memberi sedikit pandangan kalau-kalau hendak diambil kira oleh Pesuruhjaya PAS Kelatan itu. Apa diharapkan beliau dapat mengseimbangkan calon-calin PAS dari segi pendidikan, ketampilan dan juga golongan. Formula yang pernah saya lontarkan dulu 40:30:30 perlu digunapakai kerana ia boleh memberi sumbangan kepada kerajaan PAS selepas ini.

Perkara yang mustahak juga diambil perhatian sekiranya PAS berjaya membentuk kerajaan ini bererti ia sudah masuk ke tahun 25 pemerintahan - Jubli Perak. Ianya satu tempoh yang sangat penting. PAS perlu mengasakkan perubahan bukan saja dari segil filsofi tetapi dari segi mempraktikan apa yang diagam-agamkan. Justeru ia memerlukan barisan kepimpinan yang berkebolehan dari aspek ilmu dan bukan saja populariti atau pun pandai buat lawak di pentas dengan cerita-cerita Abu Nawas.

Sesuai dengan peredaran zaman PAS juga harus membawa politik baru. Tanggapan bahawa wakil rakyat adalah hamba abdi dari segi fizikal tidak perlu dititik beratkan lagi. Wakil rakyat ialah pemimpin, pemikir pengubah zaman bukannya kuli.  Makanya pemimpin yang berkualiti, berwawasan dan ada idea serta berpandangan jauh diperlukan. Rakyat juga harus memajukan diri mereka dengan meletakkan tugas dan tanggungjawab sebenar seseorang wakil rakyat.

Apa dimaksudkan formula itu ialah memilih 40% terdiri dari calon yang berlatar belakang pendidikan profesional, dalam bidang ekonomi, politik, budaya, pembangunan dan sebagainya. 30% calon yang berlatar belakang pendidikan Islam, tahu mentafsir Quran dan hadith serta arif untuk adaptasikan dengan keadaan semasa. Manakala 30% calon yang disukai rakyat kerana sifat-sifat mereka sebagai aktivis masyarakyat dalam apa juga bidang. Kombinasi inilah yang boleh mewujudkan sebuah kerajaan yang seimbang, mampan dan berdaya maju.

Semoga dengan rombakan semula ke atas senarai calon PAS ini ianya dapat memenuhi aspirasi tadi dan dapat diterima oleh rakyat. Dalam rombakan ini memberi peluang kepada mereka - wakil rakyat yang sudah merasakan diri mereka penat, kekeringan idea, klasik mengambil peluang untuk berundur secara terhormat. Dan paling mustahak dalam penyusunan calon baru ini ia juga hendaklah terhindar dari perwujudan klik atau puak. Jangan hendaknya wujud calon ini berklik sini calon itu berklik di situ.

Kita yakin Tokguru Nik Aziz sebagai murabbi politik dapat mengseimbangkan dan memandulkan pesepsi demikian. Dengan wujunya klik dan puak nanti ia secara tidak langsung meletakkan PAS dalam dua suku, atau dua kumpulan yang kemudian akhirnya bertentangan di antarsa satu sama lain. Dan apabila Nik Aziz tiada lagi mereka tidak mustahil juga akan berebut untuk mendominasi PAS Kelantan di mana kalau ianya berlaku dengan penuh emosi akhirnya membawa kepada dua puak.

Apa yang pernah wuju di tahun 1970-an dulu mungkin cukup baik untuk diingati. Apa yang dinamakan kumpulan 20 dan kumpulan Muhammad Nasir hendaknya tidak akan berulang didalam PAS kerana peristiwa itulah yang mengundang tragedi hitam kepada PAS sehinggakan kerajaan PAS berusia 18 tahun tumbang. Ingatlah sejarah sering kali berputar dan kita pula selalu mengalpakannya dan tidak rajin mengambil sebagai iktibar.  [wm.kl.9:50 am 26/01/13]

Tiada ulasan: