Kerabu Bersuara ® |
- Bekas jurusolek Amy Mastura ditemui mati terikat
- Najib, Deepak dan Altantuya: Antara anak jantan dan sumpah Oleh Hafiz Zainuddin
- Kesilapan bodoh disengajakan UMNO-MCA
- Kelemahan Palanivel dan kemaraan Samy Vellu serlah sandiwara MIC konon bela masyarakat india
Bekas jurusolek Amy Mastura ditemui mati terikat Posted: 05 Dec 2012 04:52 AM PST KUALA LUMPUR 5 Dis. - Bekas jurusolek kepada artis terkenal tanah air ditemui mati dengan tangan dan kakinya diikat dengan tali langsir dalam bilik rumahnya di Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh di sini malam tadi. Mangsa yang dikenali sebagai Dicky atau nama sebenarnya Othman Hassan, berusia lingkungan 50-an dipercayai mati akibat dijerut dan mayat mangsa ditemui abangnya yang datang ke rumah sewa itu pukul 8 malam tadi setelah dia gagal di hubungi. Dicky pernah menjadi jurusolek kepada penyanyi dan pelakon Amy Mastura serta Liza Hanim. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mayat Dicky ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangan dan kakinya diikat dengan tali langsir berwarna merah di bilik tidur utama. Ketika ditemui mangsa memakai baju T dan berseluar pendek. Siasatan awal polis mendapati terdapat kesan jerut pada leher mangsa dan kakinya turut berdarah," katanya. |
Najib, Deepak dan Altantuya: Antara anak jantan dan sumpah Oleh Hafiz Zainuddin Posted: 05 Dec 2012 04:49 AM PST
Atau, Najib menunggu masa untuk bersumpah menjunjung kitab suci al-Quran seperti yang dilakukan Saiful Bukhari dalam masjid kemudian ke Makkah mengerjakan umrah seperti Shahrizat setelah kesnya meletup Manusia bernama Deepak ini menggemparkan Malaysia apabila beliau mengaku bahawa dirinya diperalatkan pihak tertentu untuk memujuk atau menakut-nakutkan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam supaya menandatangani akuan bersumpah (SD) kedua yang mana akuan bersumpah pertama mempunyai dakwaan mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaariibuu. Malang sekali, Perhimpunan Agung UMNO ke-66 berlalu begitu saja dengan meninggalkan persoalan maha penting. Najib sekadar berselindung di balik segala doa dan sumpah yang dilafaz sedangkan rakyat sudah lama menanti jawapan. Ketidakmampuan Najib membersihkan namanya hanya menjadikan buah silatnya canggung di mata biarpun berdegar-degar sumpah membela bangsa dilaung, biarpun berdegar-degar musuh politiknya dihamun. Antara Najib dan Anwar Ramai tertanya-tanya. Kenapa orang nombor dua dalam parti dan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membela bosnya Najib. Kemudian, dengan tiba-tiba pula muncul Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi menawar diri untuk menjawab dakwaan yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan itu. Adakah Muhyiddin sengaja membiarkan bosnya tenggelam dalam tuduhan yang makin mencengkam urat lehernya kerana sememangnya mereka berseteru. Tetapi, bila diimbas kembali, lain pula halnya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh yang “bukan-bukan”. Beliau pantas menjawab dan berhujah, menepis dan menbalas. Biarpun tidak sudah-sudah ditonyoh dengan pelbagai soalan jahat wartawan, biarpun terus-menerus difitnah cyber trooper upahan UMNO-BN, beliau tidak lari malah lebih bersemangat. Seperti orang kata, berani kerana benar, takut kerana salah. Lantas, dengan segala kudrat dan semangat yang dianugerah Allah Subhanata’ala, berjelajahlah Anwar ke seluruh ceruk rantau bertentang mata dengan sekalian umat Malaysia menjelaskan perihal tuduhan jahat yang didakwa ke atasnya. Inilah ciri-ciri peribadi pemimpin yang kita mahukan. Lantang, berani, tabah dan istiqamah. “Kalau Najib jujur, beliau harus rela disiasat”-Lim Kit Siang Bagi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Najib sepatutnya menjawab dakwaan itu di dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66. Ini kerana dakwaan Deepak membabitkan Najib dan keluarganya. Kata Deepak, beliau sudah membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan supaya Perdana Menteri sendiri campur tangan membabitkan satu projek Kementerian Pertahanan pada 2005 yang bernilai RM100 juta sewaktu Najib selaku Menteri Pertahanan. Jelas Kit Siang, “Deepak juga meluahkan kekesalan membabitkan diri dalam rancangan membuatkan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam membuat Pengakuan Bersumpah kedua, menarik balik Pengakuan Bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya, “Dalam satu wawancara, Deepak mengatakan beliau terbabit dalam kes Bala untuk membantu “keluarga Perdana Menteri”. jelasnya. “You help me, I help you”- Najib Razak Rakyat Malaysia dan dunia sedang ternanti-nanti. Orang di Mongolia sudah lama menanti detik kebenaran. Di sebalik ketakutan Najib membela dirinya, adakah pembongkaran Deepak sekadar mencerminkan kata-kata sakti Najib yang berbunyi “I help you, you help me”? Najib yang terkenal dengan pelbagai slogan dan dasar harus membuktikan kata-katanya demi memartabat semula institusi awam yang sudah rosak atau segala dasar dan transformasi beliau sekadar transformasi basi. Bagi Lim Kit Siang, jika Najib bersedia menyerahkan dirinya untuk disiasat secara menyeluruh dan bebas ke atas skandal membabitkan Deepak, Bala dan Altantuya, maka permohonan maafnya di dalam ucapan dasarnya bagi pihak kepimpinan UMNO atas sebarang “kesalahan” atau “kekhilafan” adalah jujur dan bermaruah. Tetapi sehingga kini Najib tidak berani membela dirinya sendiri. Bak kata pepatah, pantang laksamana Melayu undur mengalah. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Tapi nampaknya Najib terbukti tidak cukup jantan untuk bergelar laksamana, penjaga pintu istana pun belum tentu.-Roketkini.com |
Kesilapan bodoh disengajakan UMNO-MCA Posted: 05 Dec 2012 04:47 AM PST KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER: Pemimpin UMNO dan MCA silap besar kerana melakukan ‘auta’ terang-terangan apabila kenyataan mereka yang memburukkan kewibawaan DAP saling bercanggah antara satu sama lain. UMNO juga mengugut dengan mendakwa orang Melayu akan hilang kuasa dan ditindas jika mereka mengundi DAP, begitu juga dengan pemimpin MCA pula mengugut orang Cina. Perkara itu menimbulkan persoalan, adakah mereka sengaja berbuat demikian untuk membodohkan rakyat atau dua parti terbabit sememangnya saling bermusuhan. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, Najib dan pemimpin BN yang lain tidak lagi boleh memperbodohkan rakyat kerana mereka kini mempunyai akses kepada pelbagai saluran maklumat alternatif terutamanya melalui media internet. Sambil menganggap tindakan UMNO dan MCA itu sesuatu yang memalukan, Kit Siang dengan nada menyindir berkata, mereka sepatutnya menyusun dan menyelaraskan perbezaan untuk menghasilkan satu “penipuan besar ke atas DAP”. “Pada isu ini saja, kita dapat lihat bagaimana parti komponen BN bukan sahaja menyebarkan pembohongan terang-terangan malahan bercanggah antara satu dengan lain, “Ini menunjukkan mereka muflis idea, prinsip politik dan moral. Situasi ini menjelaskan bahawa mereka sudah layak untuk dikeluarkan daripada Putrajaya.” jelas Kit Siang. Justeru, beliau merayu semua pengundi di Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan kawasan bangkit dan bersatu menyatakan pendirian jelas pada PRU-13 nanti. Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menegaskan bahawa DAP bersama PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat menolak semua jenis mainan dan doktrin politik “pecah dan perintah” UMNO-BN yang selama ini diamalkan kerana ia akan membawa mudarat kepada negara. “Pakatan Rakyat menentang penindasan mana-mana kaum, agama atau kumpulan dan akan memastikan berakhirnya peminggiran dan diskriminasi mana-mana kaum, agama atau kumpulan. Inilah yang akan menjadi prinsip kerajaan Persekutuan PR di Malaysia jika diberi mandat,” katanya. Semua ini, jelas Kit Siang, akan terzahir dengan pemahaman, kesedaran dan kerjasama kukuh segenap lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asal, Kadazan, Iban dan sebagainya. “Jika PR mencapai kejayaan di Putrajaya, andalah perwira sebenar negara demi Malaysia yang berdaulat, berprinsip, adil dan bersih.” katanya.- Roketkini.com |
Kelemahan Palanivel dan kemaraan Samy Vellu serlah sandiwara MIC konon bela masyarakat india Posted: 05 Dec 2012 04:45 AM PST SHAH ALAM, 5 DISEMBER: Masyarakat India dingatkan dengan ‘wayang sandiwara’ yang sedang berlaku antara MIC dan UMNO bertujuan agar parti itu dilihat prihatin terhadap masalah yang dihadapi komuniti berkenaan. Pada masa yang sama, bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula dilihat cuba mengambil kesempatan ‘melobi’ Perdana Menteri, Najib Razak untuk tujuan politik akibat kelemahan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel yang gagal memperkasa dan mengukuhkan kedudukannya dalam parti. Hakikatnya, biarpun hampir 30 tahun bekas Presiden MIC itu menjadi wakil dalam kabinet sebagai Menteri Kerja Raya, masyarakat India di Malaysia tidak dapat pembelaan wajar malah dipinggir kerajaan BN secara berterusan untuk bersaing secara sihat dan adil kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan dalam satu tulisannya. “Ia terbukti dengan pelbagai masalah yang makin membimbangkan seperti peningkatan kadar jenayah di kalangan belia India, perobohan kuil Hindu secara berleluasa, masalah peluang pekerjaan dalam sektor awam mahu pun swasta, masalah pendidikan dan sekolah aliran Tamil termasuk pengurangan kepentingan pemilikan korporat masyarakat berkenaan.” katanya. PR berjaya bela minoriti India Menurut Manoharan, lain pula yang berlaku di Selangor di bawah pentadbiran PR. Walaupun baru mengambil alih pentadbiran, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan antara masalah asas masyarakat India dengan memperuntukan sebanyak RM4 juta kepada sekolah Tamil dan RM2 juta untuk kuil Hindu. “SRJK(T) Midlands diubahsuai beserta pembinaan sebuah pusat konvensyen. Ini menjadi kebanggaan masyarakat India dan ia melakar sejarah pertama di Malaysia di mana wujudnya sebuah sekolah berasrama penuh Tamil di Ijok.” ujarnya. Ini tidak termasuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti skim mikrokredit, TAWAS, bekalan air percuma 20 meter padu, Bantuan Anak Pekerja Ladang, Hadiah Masuk Universiti dan sebagainya. Minoriti India jadi ‘pelarian’ di negaranya sendiri, Samy Vellu membisu ADUN Kota Alam Shah itu turut menyentuh mengenai dilema masyarakat India yang berada di kawasan estet yang mana kebergantungan hidup sebahagian mereka terancam akibat pembangunan tanpa pelan rancangan perpindahan, perumahan dan sosial yang wajar. “Akibat pemusnahan estet bagi tujuan pembangunan itu, sebahagian komuniti India yang mendiami kawasan itu menjadi ‘pelarian’ di negara sendiri, “Dalam kebanyakan kes sebegini, biasanya ia banyak berlaku di negeri BN dan dilakukan syarikat milik mereka.” jelas beliau. Beliau mengambil contoh bagaimana pembinaan Putrajaya dan Cyberjaya mengorbankan lima ladang besar tetapi tidak dipedulikan Presiden MIC ketika itu yang dilihat membisu. “Keadaan menjadi lebih buruk apabila bekas pekerja ladang ini ditempatkan di kediaman rumah kos rendah yang jauh daripada sekolah, tempat ibadat dan kemudahan lain yang mengakibatkan kesusahan.” ujar beliau. Tambahnya, Samy Vellu sendiri pernah terbabit dalam rampasan tanah yang diperuntukkan untuk sekolah Effingham, Bandar Utama Petaling Jaya satu ketika dulu dan sehingga kini, isu itu masih belum selesai. “Samy Vellu dan MIC gagal membela masyarakat India. Kini, mereka berpura-pura ‘bersandiwara’ dengan UMNO untuk menagih semula sokongan pengundi yang hilang sejak PRU 2008, “Apa yang berlaku sekarang ibarat anai-anai yang cuba keluar dari sarangnya.” ujar beliau. -Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan