Khamis, 6 Disember 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kes Pembunuhan Altantuya: Pengakuan Deepak Bukti Akuan Sumpah Kedua PI Bala Tak Sah

Posted: 06 Dec 2012 01:01 AM PST


Merujuk kepada laporan Harakah mengenai pengakuan Deepak Jaikishan yang membantu keluarga Datuk Seri Najib Razak untuk memujuk penyiasat bebas P Balasubramaniam (PI Bala) menukar akuan bersumpahnya, menjadi bukti bahawa akuan bersumpah kedua PI Bala jatuh tidak sah.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dibuka semula dengan mengambil kira akuan bersumpah pertama PI Bala, setelah akuan bersumpah kedua PI Bala didapati telah dipengaruhi oleh keluarga Najib Razak.

Berikutan tindakan PI Bala mengubah pengakuan bersumpah, Deepak sendiri mengaku ia dilakukan demi menolong keluarga Najib.Ini bukti yang cukup untuk memanggil Najib ke kandang saksi. Pengakuan bersumpah PI Bala yang pertama yang menyebut keterlibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya wajib dirujuk.

SAMM melihat kes pembunuhan Altantuya menerbitkan sudut persoalan yang pelbagai, apatah lagi ia berkait rapat dengan skandal Scorpene yang disifatkan sebagai 'bapak' kepada semua kes jenayah di Malaysia. Skandal pembunuhan Altantuya dan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang terkait ini harus dirungkai dan rakyat harus tahu.

Demi memastikan rakyat celik dalam isu ini, pelbagai usaha dilakukan oleh SAMM termasuklah jelajah sesi taklimat penerangan di setiap negeri, ceramah pencerahan dan SAMM juga akan melancarkan buku bertajuk 'Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia' pada bulan hadapan.

Akhir sekali, SAMM seru supaya rakyat menolak kepimpinan Najib Razak yang tercalit skandal Altantuya dan Scorpene, dan hanya selepas Bn ditumbangkan barulah kebenaran akan terungkai kerana ketika itu tiada lagi imuniti undang-undang terhadap VIP dan VVIP negara.

Badrul Hisham Shaharin
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia

PI Bala gembira kebenaran akhirnya terserlah

Lelaki yang mendakwa telah dipaksa untuk mengubah akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu, berkata beliau gembira bahawa kebenaran akhirnya terserlah juga.

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam berkata ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan, yang terlibat untuk mendapatkannya mengubah akuan berkanun (SD) itu, telah melakukan "perkara yang betul".

Dalam responnya melalui emel kepada Malaysiakini, Balasubramaniam menggesa Deepak supaya mendedahkan segala-galanya yang diketahui mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mahu Deepak mengesahkan siapa sebenarnya individu yang terlibat dari awal hingga akhir.


Balasubramaniam kini hidup dalam buangan bersama keluarganya di India selama tiga tahun sejak beliau melarikan diri negara selepas menandatangani SD kedua.

Deepak, dalam satu wawancara dengan Malaysiakini awal minggu ini, berkata pembabitannya dalam konspirasi itu adalah ekoran permintaan dari seorang "rakan wanita" yang dikaitkan dengan pihak-pihak yang akan terjejas oleh SD pertama Balasubramaniam.

Sementara itu, Balasubramania berkata beliau mahu tahu siapa peguam yang didakwa merangka SD kedua, yang menurutnya, telah disediakan tanpa "pengetahuan atau input" daripadanya.

"Persoalannya ialah siapa yang melakukannya? Tiada siapa yang interviu saya sebelum menyediakan SD kedua. Ia disediakan tanpa pengetahuan atau input saya. Saya ingin mengetahui siapa peguam ini".
-mk


[BERGAMBAR] Kes Polis Rogol Amah: Lagi Demo Anti-Malaysia Di Jakarta

Posted: 06 Dec 2012 12:32 AM PST


Lagi demo anti Malaysia di Jakarta

JAKARTA: Laskar Merah Putih membuat demonstrasi sekali lagi di depan pejabat kedutaan besar Malaysia. di Jalan HR Rasuna Said, Jakarta Selatan hari ini.

Bagaimanapun, ratusan polis yang berjaga berjaya mengawal keadaan.

Mereka mahu bertemu dengan pihak kedutaan besar Malaysia.

"Niat kami berbicara baik, jangan sampai kami terus teriak menghina ka," kata anggota Laskar Merah Putih menggunakan pembesar suara .

Tapi keinginan mereka ditolak.

"Mereka nggak (tidak) mahu bertemu pendemo," ujar ketua polis sektor Setiabudi, AKBP Lalu Muhammad Iwan Mahardan.

Namun pendemo tetap menginginkan perwakilannya masuk ke pejabat kedutaan besar. Pendemo mengancam akan mengerahkan puluhan ribu anggota Laskar Merah Putih untuk mengepung kedutaan.

"Dalam dua bulan ke depan kalau kedutaan besar Malaysia tidak mahu menerima kita, 50 ribu orang akan kita turunkan, apapun risikonya. Panglima-panglima di wilayah rapatkan barisan, kita akan datang ke sini,"
teriak pendemo.

Mereka menuntut proses undang-undang terhadap tiga polis Diraja Malaysia atas kes pemerkosaan TKW.

"Kami menuntut mahkamah Malaysia juga memulangkan kembali wang jaminan 3 polis dan hukum setimpal-timpalnya," ujar pendemo.







Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah ulas. Laporan BERNAMA yang telah menyiarkan berita dusta dan tidak tepat berkait dengan demonstrasi berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan Utara menyemarakkan lagi kemarahan orang Indonesia.

BERNAMA sebelum ini melaporakan "yang hadir menunjuk perasaan itu kira-kira 20 orang sedang media massa Indonesia mnelaporkan angkanya ialah 1,000 orang."

Nah, sekarang mereka berhimpun lagi.. 20 orang jugakah BERNAMA?

Dan mereka berjanji untuk turunkan 50,000 orang!

Pada pendapat GB orang yang sepatutnya dihantar untuk bertemu pendemo-pendemo berkenaan ialah Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim! Berkemungkinan hanya beliau yang boleh mententeramkan pendemo-pendemo itu.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Untuk Berubah, UMNO Perlu Dijadikan Pembangkang!

Posted: 05 Dec 2012 09:20 PM PST

UMNO tidak mampu berubah melainkan dipilih menjadi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini kerana ia memberi mereka kelebihan untuk melaksanakan proses "transformasi" dengan telus dan jujur.

Justeru, proses "mengubah UMNO kepada pembangkang" juga akan mewujudkan asas yang lebih kukuh dan kuat untuk proses demokrasi berparlimen yang lebih matang dan kompetitif.

Menyimpulkan realiti sebenar pada Perhimpunan Agung UMNO ke 66 baru-baru ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, UMNO tidak mampu berubah dan ianya sudah dibuktikan dalam ucapan pemimpin mereka pada dalam perhimpunan terbabit.

Dalam kenyataannya, beliau memberi contoh bagaimana Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil membangkitkan mengenai tragedi "13 Mei", ia termasuk ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri perihal "huru-hara" yang akan berlaku jika UMNO tewas.

Semua kenyataan itu jelasnya bercanggah sama sekali dengan apa yang dikatakan Najib apabila ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno itu menyebut bahawa pilihan raya kali ini akan mencorakkan rupa wajah Malaysia samaada sebagai sebuah negara yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.

"Persoalan yang bermain di fikiran rakyat Malaysia adakah UMNO-BN mempunyai kewibawaan dan legitimasi untuk merayu kepada rakyat supaya menyokong untuk "berkongsi nilai dan matlamat" biarpun tiada "perkongsian nilai dan matlamat di dalam BN?" soal beliau.

Apapun jelas Kit Siang, fitnah jahat, sandiwara, janji dan mainan politik kotor ini adalah bukti mutlak bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak mampu melaksanakan janji "transformasi" beliau.

"Tidak ada apa yang akan berubah apabila sama ada Najib atau mana-mana perwakilan UMNO gagal mengetengahkan masalah nombor satu negara iaitu rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang makin membarah.

"Sebab itu jika UMNO benar-benar mahu berubah dan melakukan transformasi, mereka perlu menjadi pembangkang!" tegas Kit Siang.

Antara wibawa UMNO-BN dan wibawa PR

Dalam perkara berkaitan, Kit Siang menjelaskan bahawa penguasaan berterusan UMNO-BN terhadap Malaysia tidak akan mampu merealisasikan hasrat untuk menjadi "negara demokrasi terbaik dunia" sepertimana menjadi slogan 1Malaysia yang dijaja Najib sendiri.

Contohnya, UMNO-BN secara terbuka menanam kebencian dan konflik dengan mesej yang saling bercanggah dengan memomokkan orang Melayu bahawa jika mengundi DAP itu bermakna mengundi untuk penindasan orang Melayu, manakala MCA pula memberi amaran kepada orang Cina bahawa mengundi DAP bermakna mengundi penindasan orang Cina.

Bagaimanapun, jelas Kit Siang, lain pula dengan apa yang diamalkan parti Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

"PR tidak menyembunyikan perbezaan ideologi dan komited dengan Kerangka Dasar Bersama PR untuk menegakkan kedaulatan ciri dan dasar perlembagaan Malaysia, menyemarakkan kesatuan kebangsaan, memulihkan demokrasi dan keadilan dan memastikan tadbir urus yang baik, "Kami juga terikat dengan prinsip bahawa perlu ada kesepakatan di kalangan tiga parti komponen PR sebelum sebarang perubahan dan dasar dipersetujui.

" ujarnya. -Roketkini

Reputasi Polis Tercalar Jika Lambat Ambil Tindakan Serangan Ceramah Gombak

Posted: 05 Dec 2012 06:42 PM PST

Pemimpin Pakatan Rakyat mendesak agar polis berlaku adil dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang menyerang ceramah PR di Batu 8 ˝ Gombak semalam yang menyebabkan lima orang tercedera.

Pemimpin Pas dan PKR berkata kegagalan polis untuk bertindak dengan tegas dan segera terhadap individu yang disyaki akan mencemar reputasi polis.

Lebih buruk lagi, kegagalan untuk mengambil tindakan akan memberi gambaran bahawa polis bersekongkol dengan individu-individu tersebut.

Penyelaras DUN Gombak Setia, Salehuddin Nasir berkata, polis hanya bertindak setelah serangan secara bertubi-tubi dilakukan hingga mencederakan orang ramai, sedangkan polis sedia maklum mengenai ceramah itu beberapa hari sebelumnya.

Beliau mendakwa serangan tersebut diketuai oleh pemimpin Pemuda Umno Gombak dan melibatkan ahli Umno Gombak, Wanita Umno Gombak dan anggota NGO.

Menurutnya, ekoran insiden itu, dianggarkan lebih lima individu mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu dan tangan akibat terkena objek keras, malah khemah juga musnah teruk.

"Kita telah maklumkan pada pihak polis dan sehari sebelum ceramah itu berlangsung, ada anggota polis daerah Gombak yang datang melawat menunjukkan bahawa mereka tahu ada program pada malam itu.

"Saya sendiri telah serahkan surat melalui email kepada Ketua Polis Daerah memberitahu maklumat berhubung ceramah itu," kata Salehuddin apabila dihubungi TVSelangor.

Keadaan di ceramah di Dataran Sharuddin di Batu 8 ˝ Gombak semalam menjadi kecoh apabila pergaduhan berlaku di antara sekumpulan ahli Umno dan penyokong PR.

Salehuddin mendakwa seorang penyokong PR ditikam dengan Kerambit manakala batu bata dilemparkan ke arah peserta ceramah tersebut yang di dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat.

Ceramah itu menampilkan Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali, bekas Adun Ayer Molek, Melaka Datuk Tamrin Ghafar dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari.

Manakala Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata sekiranya polis gagal mengambil tindakan ia boleh mengalakkan orang lain untuk mencetuskan serangan yang serupa.

"Tidak mustahil keberanian mereka ini berpunca daripada sikap pihak polis juga yang seolah-olah mereka ini kebal dari sebarang tindakan undang-undang.

"Kejadian provokasi dan keganasan yang dicetuskan juga seolah-olah memberi signal 'isyarat' bahawa mereka ini akan melakukan tindakan lebih ganas di luar keterbatasan yang dibenarkan," kata Shuhaimi lagi.

Insiden serangan ke atas ceramah PR ini bukan yang pertama.

Sebelum ini, sebuah ceramah Anwar di Lembah Pantai turut dibaling dengan batu sehingga seorang hadirin tercedera di kepala.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa pemimpin PR berceramah ke seluruh negara juga telah diserang beberapa kali di Kota Baru dan Melaka dengan disimbah dengan cat dan dibaling batu. -selangorku

Insiden Gombak Bayangan 13 Mei Yang Disebut Shahrizat?

Posted: 05 Dec 2012 04:03 PM PST

Insiden berdarah Gombak, Umno ulangi tragedi 13 Mei – Shamsul

KUALA LUMPUR 5 Dis: Serangan samseng Umno terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua penyokong Pakatan Rakyat (Pakatan) cedera berdarah membuktikan peristiwa 13 Mei akan diulangi Umno, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau merujuk ucapan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil pada Perhimpuann Agung Umno (PAU) tempohari yang menyatakan peristiwa 13 Mei bakal berulang jika Pakatan memerintah.

"Baru saja Shahrizat mengingatkan kononnya jika Umno tidak lagi memerintah, suasana tegang akan bermula dan peristiwa 13 Mei akan berulang," kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu ketika dihubungi.

"Inilah bukti kebenaran kata-kata beliau bahawa peristiwa itu memang akan berulang kerana dicetuskan samseng Umno yang mengamalkan politik ganas," tempelak Shamsul.

Dalam teks ucapan Shahrizat, antaranya menyatakan bahawa:

"... Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi di negara kita…" Shamsul turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang baru meminta maaf kepada rakyat dalam PAU.

"Najib baru saja minta maaf kepada rakyat dalam Perhimpunan Umno atas segala kesilapan. Hanya beberapa hari, perkara begini (serangan) terjadi. Apakah Najib tak ada kuasa untuk halang sayap pemudanya?" tegasnya.

"Apa pula pendirian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang kononnya sering melontarkan idea bernas? Kenapa biar politik ganas menjalar? Mustahil beliau tak tahu isu ini," katanya.

Tegas Shamsul, polis perlu ambil tindakan segera dan mengheret pihak bersalah yang menyebabkan kecederaan terhadap penyokong Pakatan ke mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak Shahrizat berdebat berhubung isu 'Tragedi 13 Mei 1969 dan Perpaduan Nasional'.

Timbalan Ketua Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, cadangan debat ini menunjukkan kesediaan DMPP menjawab segala tuduhan dan kenyataan Shahrizat di PAU, 28 November lalu.

DMPP mahu Shahrizat sendiri berdebat dengan Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

"Kenyataan tersebut boleh mendatangkan rasa takut, cemas, rasa tidak selamat, tidak tenteram, berunsur ugutan, menghasut dan seterusnya upaya dan cenderung mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara ini," katanya dalam kenyataan.

Bukti SMS Umno arah provokasi ceramah Gombak

KUALA LUMPUR 5 Dis: Serangan sekumpulan samseng terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi didahului dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berupa 'arahan' beberapa hari sebelumnya.

SMS itu menyatakan arahan supaya membantah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program yang diadakan di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di Gombak.

SMS itu didedahkan Ketua Cawangan PAS Kampung Gombak Utara, Haider Samsudin kepada Keadilan Daily malam tadi.

Katanya, beliau menerima SMS itu beberapa hari sebelum ceramah berlangsung.

"SMS ini disebarkan kepada orang ramai khususnya pemimpin PAS dan anggota supaya tidak turun ke ceramah. Ia juga mengandungi bukti arahan supaya rakyat turun beramai-ramai buat provokasi pada ceramah," jelasnya.

Pada program itu, Haider cedera di kepala akibat dibaling objek keras dipercayai pasu oleh samseng Umno.

Berikut SMS tersebut:


1. Adalah dimaklumkan pada tarikh 4.12.2012 hari selasa malam, ketua pembangkang anuar ibrahim akan datang ke gombak utara bt 8, diharapkan tuan tuan dapat menurunkan seberapa ramai pemuda cawangan bagi menghalang kehadiran beliau ke gombak utara. Tuan tuan! Gombak Utara adalah maruah kita, sama samalah kita turun beramai ramai pada malam tersebut.

2. A.kum & slm perjuagan.. diseru semua ketua 4 sayap caw2 (Cawangan-cawangan). PDM (Pusat Dun Mengundi) Bt (batu) 9 Gbk (gombak) dpt (dapat) menurunkan seberapa ramai ahli caw.ke perkarangan pjb (pejabat) Dun Simpang bt 8 gbk (gombak) mlm (malam) ini jam 8mlm (malam) bg (bagi) menyokong BANTAHAN kehadiran KETUA PENGKHIANAT BANGSA ke kg kita gbk (gombak) utara.. moga kita sama2 dpt (dapat) membela kg kita & mempertahankan kubu kuat kita dr (dari) dikhianati oleh egen ZIONIS ini… su (setiausaha) pdm (Pusat Dun Mengundi) bt (batu) 9 gbk (gombak)
.

Penyebaran SMS itu turut disahkan Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Gombak, Amirudin Shari dalam kenyataan pagi ini.

"Beberapa hari sebelum program, pimpinan Pakatan Rakyat Gombak telah dimaklumkan bahawa terdapat pesanan ringkas (SMS) yang berlegar untuk menggesa Pemuda Umno Gombak turun untuk menghalang program yang akan berlangsung," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves itu.

Ekoran itu, sebagai langkah keselamatan, kepimpinan Pakatan Rakyat Gombak membuat satu laporan polis Isnin lalu di Balai Polis Gombak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. -KD


Keluarga Aminulrasyid Tidak Puas Hati Dengan Keputusan Mahkamah Bebaskan Jenain

Posted: 05 Dec 2012 06:02 AM PST

Keluarga kepada Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh anggota polis dua tahun lalu tidak berpuas jati dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membebaskan tertuduh, Koperal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun pada ketika itu.

"Keputusan mahkamah tidak adil.

Saya pun tengah duduk baca berita tentang ini.

"Memang saya tengok keputusan yang diberikan ini, memang sangat tidak adil kepada pihak kami," kata Azura Amzah, kakak kepada Aminulrasyid apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

Semasa mahkamah mengumumkan keputusan pagi ini, Azura dan keluarganya tidak pergi sendiri untuk mendengar akan tetapi mengikuti perkembangan melalui internet.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan keputusan tersebut selepas menerima rayuan Jenain, 49, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Pada 13 Sept tahun lepas, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan kesalahan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Apbila ditanya apakah tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pihak keluarga Aminulrasyid, sambil menangis dengan teresak-esak, Azura menjawab, "Kami akan bincang balik dengan peguam kami untuk tindakan seterusnya".

Kes kematian Aminulrasyid, mendapat liputan meluas dan kecaman masyarakat selepas remaja itu mati terkena tembakan di kepalanya ketika dikejar anggota peronda yang sebelum itu mengarahkan beliau memberhentikan kereta Proton Iswara yang dipandunya. -TMI

Keadilan untuk Aminulrashid: Peguam Negara didesak fail rayuan

KUALA LUMPUR 5 Dis: KEADILAN gesa Peguam Negara segera failkan rayuan berhubung kes kematian remaja lelaki 15 tahun, Aminulrashid Amzah yang ditembak polis dua tahun lepas.

Naib Presidennya, N Surendran mahu rayuan itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang membebaskan Koperal Jenain Subi dari tuduhan menyebabkan kematian Aminulrashid.

"Keputusan tersebut amat mengecewakan keluarga mangsa dan peguam. Ia adalah keputusan yang tidak betul," kata Surendran, wakil peguam kes itu.

"Kita menggesa Peguam Negara agar fail rayuan secepat mungkin untuk dapatkan keadilan bagi pihak Aminulrashid. Itu tugas Peguam Negara, kita tak boleh fail rayuan sebab ia adalah kes jenayah," jelasnya ketika dihubungi.

Aminulrashid mati ditembak polis berhampiran rumahnya di Shah Alam pada awal pagi, 26 April 2010. Sebanyak 21 das tembakan mengenai tubuh remaja itu.

"Kita juga tak puas hati dengan cara polis kendalikan kes tersebut. Dari awal, polis cuba tutup kes. Kemudian buat cerita tak betul tentang mangsa dan sekarang polis yang menembak mati itu pula dilepaskan," kata Surendran .

Ibu Aminulrashid, Norsiah Ahmad sebelum ini menuntut janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kononnya mahu memastikan siasatan kes itu dijalankan secara telus dan adil.
-KD

Kes Amah Dirogol, Jakarta Beritahu Rakyatnya Tidak Pilih Malaysia Untuk Jadi Pembantu Rumah

Posted: 05 Dec 2012 04:19 AM PST

Jakarta menasihatkan rakyatnya tidak harus bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berikutan kes layanan teruk melibatkan warganya yang semakin meningkat.

"Pihak pemerintah Malaysia harus ambil tindakan tegas, atau lebih baik pembantu rumah dari Indonesia tidak bekerja di Malaysia.

"Mereka (Malaysia) mahu pembantu rumah dari Indonesia, tetapi mereka tidak boleh melindungi pembantu rumah dari negara kami," kata Suryana Sastradiredja, jurucakap kedutaan Indonesia yang dilaporkan AFP.

Sabtu yang lalu, jabatan imigresen menyelamatkan 105 pekerja asing yang dikurung dalam agensi pembantu rumah di Bandar Baru Klang.

95 orang wanita, kebanyakannya warga Indonesia, telah didakwa dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah selama enam bulan tanpa gaji.

Mereka mendakwa agensi tersebut melayan mereka begitu teruk dan makanan dicatu untuk mereka.

Jakarta telah meletakkan larangan kepada pembantu rumah dari negaranya pada tahun 2009 ke Malaysia, tetapi larangan tersebut dibatalkan setahun kemudian.

Tetapi pembantu rumah dari Indonesia semakin berkurangan untuk ke Malaysia walaupun pembatalan larangan tersebut, dengan mengatakan kurang dari 100 orang bekerja dengan cara sah.

Sastradiredja juga berkata, Indonesia bimbang ribuan pekerja warganya yang bekerja di Malaysia secara haram kerana dijanjikan bayaran lumayan sedang bekerja dalam keadaan yang berbahaya.

Laporan baru menunjukkan kes terbaru melibatkan warga Indonesia bulan lalu, apabila seorang pekerja restoran mendakwa beliau dirogol oleh tiga orang polis, dan seorang lagi berusia 15 tahun dirogol oleh majikannya.

Bulan lalu, menteri sumber manusia Datuk Dr S Subramaniam memberitahu bahawa Putrajaya terus mempunyai hubungan yang baik dengan Jakarta walaupun insiden itu berlaku.

Beliau kemudian menyalahkan media dan badan bukan kerajaan Indonesia kerana mensensasikan insiden tersebut "dengan begitu emosi".

Beliau menambah, langkah tegas akan diambil untuk menyampaikan mesej kepada pekerja asing bahawa mereka akan dilindungi melalui sistem perundangan negara.

Pada Ogos, pemerhati memberitahu The Malaysian Insider bahawa tawaran gaji yang lebih tinggi dan ekonomi Indonesia yang semakin meningkat menyebabkan Malaysia menjadi tidak menarik di kalangan pembantu rumah Indonesia.

Pembantu rumah Indonesia di Malaysia mendapat gaji minimum RM650, sementara gaji minimum yang dibenarkan di Singapura ialah S$450 (RM1,126) dan HK$3,740 (RM1,500) di Hong Kong.

Mereka juga mendapat cuti mandatori di Singapura dan Hong Kong dimana cuti mandatori untuk mereka di sini masih lagi diperdebatkan. -TMI

Ulasan GB

Kita nak dengar apa ulasan dari Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Rais Yatim mengenai berita di atas.

Tiada ulasan: