Rabu, 5 Disember 2012

jiwo kelate

jiwo kelate


Dua Bulan Percubaan: 256,899 saman AES sehingga 26 November

Posted: 04 Dec 2012 04:03 PM PST

Isu AES – Dewan Negara 3 Dis 2012
Timbalan Menteri Pengangkutan I [Datuk Abdul Rahim bin Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, saya memohon untuk menjawab pertanyaan ini bersekali dengan 15 pertanyaan yang lain yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Haji Abdul Rahman bin Bakar pada 3 September 2012, Yang Berhormat Senator Dato' Muhammad Olian bin Abdullah pada 6 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Tuan Saiful Izham bin Ramli pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Datuk Pau Chiong Ung pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Puan Chew Lee Giok pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Dato' Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Tuan Mohd. Khalid bin Ahmad pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Datuk Chiw Tiang Chai pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Dr. Syed Husin Ali pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Tuan Subramaniam a/l Veruthasalam pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Dayang Madinah binti Tun Abang Haji Openg pada 13 Disember 2012 dan Yang Berhormat Senator Puan Hajah Khairiah binti Mohamed pada 17 Disember 2012.

Memandangkan kesemua pertanyaan ini adalah menyentuh perkara yang sama dan saya minta izin daripada Tuan Yang di-Pertua, jawapannya agak panjang.

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat.

Datuk Abdul Rahim bin Bakri: Tuan Yang di-Pertua, pelaksanaan Automatic Enforcement System (AES) telah bermula pada 23 September 2012. Dengan peringkat awal pelaksanaan melibatkan pemasangan 10 buah kamera tetap dan pengendalian empat kamera mudah alih di 14 lokasi blackspots.

Lokasi-lokasi tersebut melibatkan tujuh lokasi di negeri Perak, dua lokasi di Selangor, tiga lokasi di Kuala Lumpur dan dua lokasi di Putrajaya.

Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan AES ini untuk fasa seterusnya di mana keseluruhan pemasangan dan operasi kamera AES adalah sebanyak 1,093 di 831 lokasi blackspots dan dijangka akan selesai pada penghujung tahun 2013. Keseluruhan 831 blackspots ini turut merangkumi 28 lokasi di Sarawak yang melibatkan 18 lokasi untuk kamera mengesan kesalahan memandu laju, dan 10 lokasi lagi untuk kamera mengesan kesalahan melanggar peraturan lampu isyarat.

Berhubung dengan pertanyaan mengenai panduan yang diguna pakai untuk menempatkan peralatan AES, suka saya ingin mengingatkan di sini bahawa pemilihan lokasi kamera AES adalah berdasarkan analisis dan kajian saintifik yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terhadap perangkaan kemalangan Polis Diraja Malaysia. Lokasi-lokasi blackspots ini kemudiannya telah dipilih mengikut ranking berdasarkan kekerapan dan keseriusan kemalangan jalan raya yang berlaku di tempat tersebut.

Bagi menentukan lokasi pemasangan dan pengendalian kamera AES di lokasi-lokasi blackspots, satu jawatankuasa yang dipengerusikan yang dianggotai oleh JPJ, MIROS, PDRM, Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini berperanan untuk membuat lawatan tapak di 831 lokasi bagi membuat penilaian terhadap kesesuaian lokasi tersebut. Selain menentukan lokasi yang spesifik untuk dipasang kamera AES.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini pemilihan lokasi pemasangan kamera AES ini adalah turut mengambil kira kerja-kerja menaik taraf sesuatu jalan raya seperti mana yang dipersoalkan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Haji Abdul Rahman. Sekiranya kerja-kerja menaik taraf sedang dilakukan atau proses untuk menaik taraf jalan raya akan dibuat dalam tempoh yang terdekat, lokasi berkenaan tidak akan dilengkapi dengan sistem AES.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Tuan Mohamad Ezam bin Mohd. Nor, Yang Berhormat Senator Tuan Saiful Izham bin Ramli, Yang Berhormat Senator Dr. Syed Husin Ali bertanyakan negara asal perolehan teknologi dan kos pelaksanaan termasuk kos penyelenggaraan.

Seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini pelaksanaan AES di negara ini adalah mengguna pakai dua teknologi yang menjadi peneraju utama dalam bidang ini iaitu Jenoptik Robot dari Jerman dan Red Flags dari Australia.

Bagi melaksanakan projek AES ini kerajaan telah bersetuju supaya pelaksanaannya dibuat secara outsourcing. Sehubungan itu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang dana ataupun modal untuk membiayai kos pelaksanaan AES sama ada kos pelaburan, kos operasi dan kos penyelenggaraan.

Kesemua kos tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh kedua-dua syarikat pelaksana. Berdasarkan kepada dokumen cadangan kewangan, kos pelaburan bagi kedua-dua syarikat ini adalah sebanyak RM717 juta. Manakala kos operasi termasuk kos penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun operasi adalah di bawah kawalan dan tanggungan syarikat masing-masing.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, teknologi AES berupaya mengesan dan merakam kesalahan lalu lintas secara automatik bagi kesalahan yang melibatkan pemanduan melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Maklumat kesalahan ini kemudiannya akan dihantar secara real time online kepada pusat kawalan AES dan di proses untuk mengenal pasti pemilik kenderaan atau pemandu berdasarkan pangkalan data JPJ. Saman hanya akan dikeluarkan selepas mendapat pengesahan pegawai JPJ dan dihantar secara pos berdaftar kepada pemilik kenderaan.

Berdasarkan penjelasan tersebut, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa kerajaan tidak pernah memberikan kuasa kepada mana-mana pihak swasta atau pihak ketiga untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan. Perbezaan AES dengan sistem penguatkuasaan konvensional adalah adanya pihak syarikat yang bertindak sebagai penyedia perkhidmatan dan bertanggungjawab dalam proses penyelenggaraan.

Dalam hal ini, pelaksanaan AES adalah bertujuan untuk membantu aktiviti penguatkuasaan untuk mendapatkan bukti yang sahih. Malah pelaksanaan AES bukanlah suatu perkara yang baru. Memandangkan selama ini operasi penguatkuasaan memang telah dibuat oleh JPJ, malah semua pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas pada sepanjang masa, bukan hanya selective sewaktu penguatkuasaan dilakukan.

Tuan Yang di-Pertua, berhubung pertanyaan Yang Berhormat Senator Puan Chew Lee Giok dan Yang Berhormat Senator Tuan Saiful Izham bin Ramli dan Yang Berhormat Senator Puan Hajah Khairiah
binti Mohamed. Bilangan saman yang telah dikeluarkan sehingga 26 November 2012 adalah sebanyak
256,899 saman dan perincian kesalahan lalu lintas dan negeri adalah seperti berikut:
(i) kesalahan pertama – memandu melebihi had laju, saman dikeluarkan 243,545 saman;
(ii) kesalahan kedua – melanggar peraturan lampu isyarat 13,354 saman dengan jumlah 256,899 saman; dan
(iii) kesalahan mengikut negeri, iaitu:
(a) Perak – saman dikeluarkan 81,001 saman;
(b) Selangor – 142,809 saman;
(c) Kuala Lumpur 10,213 saman; dan
(d) Putrajaya – 22,876 saman.
Jumlah 256,899 saman.

Pelaksanaan AES yang bermula 23 September 2012 ini, telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan kepada maklum balas yang diterima, terdapat individu dan organisasi yang menyokong pelaksanaan sistem AES tersebut selain segelintir yang membantah pelaksanaannya.

Sehubungan dengan itu kerajaan akan terus mempergiatkan lagi advokasi dan engagement bagi
memberikan penjelasan kepada orang ramai terhadap objektif pelaksanaannya untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya ke arah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan bukan bertujuan untuk membebankan mereka.

Berhubung isu pengecualian saman AES yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Syed Husin Ali. Menurut pengecualian yang diberikan di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan yang Dirakam Melalui Kamera) 2012, antara pihak yang dikecualikan termasuk kenderaan kerajaan yang digunakan bagi penguatkuasaan, aktiviti menyelamat dan mengawal kebakaran.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Datuk Haji Abdul Rahman bin Bakar, Yang Berhormat Senator Dato' Muhammad Olian bin Abdullah, Yang Berhormat Senator Tuan Subramaniam a/l Veruthasalam, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Dayang Madinah binti Tun Abang Haji Openg dan Yang Berhormat Senator Tuan Saiful Izham bin Ramli telah membangkitkan isu berhubung dengan keberkesanan pelaksanaan AES dalam mendisiplinkan pemandu dan mengurangkan kemalangan jalan
raya.

Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) sedang dalam proses menjalankan penyelidikan berhubung keberkesanan pelaksanaan AES. Kajian antarabangsa telah menunjukkan bahawa pelaksanaan penguatkuasaan secara elektronik dapat
mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya daripada 17% hingga 71% dan menurunkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 40%. Selain itu, kajian juga mendapati bilangan kenderaan yang dipandu melebihi had laju akan menurun sebanyak 70% melalui penguatkuasaan ini.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian 14 lokasi kamera AES selepas pelaksanaannya, pengguna jalan raya lebih cenderung untuk menggunakan di lorong kiri berbanding lorong kanan yang lebih laju. Perangkaan yang diperolehi daripada JPJ juga menunjukkan bahawa telah berlaku penurunan dalam imej kesalahan yang dirakam di 14 lokasi AES. Sebagai contoh, di kilometer 301 Kajang PLUS Expressways, rakaman imej kesalahan telah menurun sebanyak 77.25% sepanjang tempoh 1 Oktober 2012 hingga 16 November 2012. Ini menunjukkan bahawa pelaksanaan AES sedikit sebanyak telah mendidik pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas dalam jangka masa yang singkat.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Khairiah binti Mohamed ada membangkitkan pertanyaan berhubung notis amaran di lokasi-lokasi kamera AES dan kajian semula AES di kawasan laju 30 kilometer sejam. Sebagai langkah memberi peringatan kepada pengguna jalan raya terhadap lokasi kamera AES, notis amaran telah dipasang dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer bagi mengesan kesalahan memandu melebihi had laju dan 50 hingga 500 meter bagi kesalahan melanggar peraturan lampu isyarat sebelum lokasi pemasangan kamera AES menurut spesifikasi yang telah ditetapkan di bawah Kaedah-kaedah Isyarat Lalu Lintas (Saiz, Warna dan Jenis) (Pindaan) 2012.

Selain daripada itu, kesemua lokasi blackspot atau lintas laluan sakaratul maut ini juga telah dimuat naik ke dalam laman sesawang Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi menunjukkan kerajaan telus dalam melaksanakan AES.

Berhubung dengan cadangan untuk mengkaji pelaksanaan AES di kawasan had laju 30 kilometer sejam, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji perkara ini. Ini adalah memandangkan pemilihan lokasi tersebut adalah dibuat berdasarkan kriteria yang teratur dan lokasi ini hanyalah lima lokasi yang merupakan kawasan-kawasan sekolah di mana terdapat keperluan untuk menyediakannya bagi melindungi kemalangan di kalangan murid-murid sekolah. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan di kawasan ini akan mengguna pakai kamera mudah alih dan dijalankan hanya pada waktu persekolahan sahaja.

Yang Berhormat Senator Datuk Chiw Tiang Chai ada bertanyakan mengenai keberkesanan AES dalam menggantikan kebergantungan penguatkuasaan secara manual. Seperti mana yang sedia maklum, pertambahan kenderaan baru yang didaftarkan setiap tahun adalah sekitar 1.2 juta dan hari ini kita mempunyai jumlah kenderaan lebih kurang 22 juta. Walau bagaimanapun, kapasiti anggota penguatkuasaan untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan seharian adalah terhad. Anggaran kasar menunjukkan bahawa nisbah anggota penguat kuasa berbanding dengan bilangan kenderaan berdaftar yang aktif adalah satu bagi 4,212. Sehubungan dengan itu, perlaksanaan AES pada ketika ini dilihat merupakan satu keperluan yang kritikal bagi mengimbangi kekurangan anggota penguat kuasa memandangkan pelaksanaannya dapat mengurangkan human intervention selain meningkatkan integriti agensi penguat kuasa yang sering didakwa terlibat dengan gejala rasuah.

Berhubung dengan isu sesi engagement kepada stakeholders dan perbezaan pelaksanaan AES di Malaysia dengan Australia, suka saya tegaskan di sini bahawa kerajaan memang telah pun melaksanakan sesi engagement dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum pelaksanaan AES. Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk memastikan pelaksanaan ini di semua negeri berjalan dengan lancar dan teratur, kerajaan akan meneruskan mengadakan penyelarasan pelaksanaan dengan pihak berkepentingan dari semasa ke semasa.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, walaupun pelaksanaan AES di negara kita ini mengguna pakai teknologi yang digunakan di Australia, namun ianya telah disesuaikan dengan kerangka perundangan dan amalan pemanduan di negara ini. Pada masa yang sama, kerajaan telah merangka model pembayaran perkhidmatan kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang lebih praktikal untuk dilaksanakan di negara ini berbanding dengan kaedah pembayaran secara amaun yang tetap seperti mana yang diamalkan di Australia, dan model pembayaran yang diguna pakai yang telah disediakan oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh seorang profesor, Profesor Mohd Nor daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Ianya adalah bertujuan untuk memastikan kelestarian kewangan sistem AES dari segi aliran tunai yang mencukupi untuk menampung kos operasi, dan yang kedua, pulangan yang berpatutan terhadap syarikat penyedia perkhidmatan selaras dengan risiko yang ditanggung iaitu dengan kadar internal rate of return 17% dan menggalakkan penjimatan kos.

Tuan Yang di-Pertua, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya, pelbagai usaha telah dijalankan meliputi aspek pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan dan persekitaran. Dengan demikian, dakwaan bahawa kerajaan ini membebankan rakyat adalah tidak benar sama sekali. Ini memandangkan isu keselamatan jalan raya adalah satu perkara yang besar dan penting yang melibatkan nyawa rakyat Malaysia yang tidak boleh dikompromi.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan AES walaupun terdapat permintaan supaya pelaksanaannya ditangguhkan. Kerajaan juga amat mengalu-alukan cadangan dan pandangan daripada orang ramai bagi menambahbaikkan pelaksanaan sistem ini seperti pemasangan papan tanda tambahan dan spesifikasi-spesifikasi papan tanda yang perlu diperbesarkan supaya ianya lebih jelas dan terang. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Mohamad Ezam bin Mohd. Nor: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertamanya, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas penjelasan panjang lebar terhadap soalan saya dan juga soalan teman-teman Ahli Dewan Negara yang lain. Saya juga ingin menyatakan syabas dan kita alu-alukan langkah keputusan kerajaan untuk tidak keluar sebarang kos pelaksanaan, maknanya tiada pengeluaran dana.

Cuma soalan saya, soalan tambahan saya adalah tentang kemasukan dana. Ada dakwaan tentang saman yang dikenakan ada komisen juga diberikan kepada dua syarikat tersebut. Komisen itu katakannya, dakwaannya adalah komisen yang berganda, progresif, bertambah. Maknanya lebih banyak saman, lagi banyak komisen kepada syarikat. Jadi kalau itu benar, saya mohon penjelasan dan kalau benar, apa justifikasi kementerian untuk melaksanakan dasar tersebut? Terima kasih Tuan Yang diPertua.

Datuk Abdul Rahim bin Bakri: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk melantik service provider dalam konsep out source bagi menyediakan perkhidmatan AES ini, kerajaan telah pun membuat pelbagai kajian terhadap bukan sahaja dari segi keberkesanan sistem ini tetapi juga untuk menentukan bahawa agihan ataupun fi perkhidmatan yang perlu dibayar kepada pengendali syarikat ini adalah berpatutan dan juga membolehkan mereka dapat meneruskan atau memberikan perkhidmatan yang berkesan tetapi dalam masa yang sama tidak membebankan kerajaan dan rakyat.

Oleh sebab itu, dalam pelaksanaan, dalam agihan ataupun pembayaran fee perkhidmatan ini ianya telah pun dipertimbangkan. Seperti mana yang saya katakan tadi bahawa formula ini adalah disediakan oleh seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Profesor Mohd Nor dengan jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat termasuklah Kementerian Kewangan dan EPU dan telah pun diperincikan sendiri oleh pihak Kabinet.

Dalam keputusan yang telah pun ditapis berkali-kali itu, akhirnya pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan membayar fee perkhidmatan berdasarkan kepada cap iaitu 17% internal rate of return berdasarkan kepada formula tiga langkah yang saya ingin bacakan di sini. Langkah yang pertama RM16 bagi setiap saman yang sah dengan jumlah maksimum setahun sebanyak 5 juta saman dan bayaran kepada kontraktor terhad kepada RM80 juta setahun dan bayaran untuk menampung kos pengeluaran
saman dan kos peringatan kepada orang kena saman.

Langkah yang kedua ialah baki hasil bayaran saman yang terkumpul selepas langkah satu dibayar sebanyak 50% kepada syarikat penyedia perkhidmatan dan 50% kepada kerajaan dan tertakluk ianya tidak melebihi RM270 juta setahun dan ianya adalah untuk bayaran menampung kos capital expenditure dan juga operational expenditure.

Langkah ketiga, jika terdapat baki setelah langkah satu dan dua, pihak penyedia perkhidmatan layak untuk menerima 7.5% daripada baki tersebut. Selebihnya adalah menjadi hasil kerajaan. Sebenarnya, tujuannya adalah untuk mengelakkan syarikat pembekal mendapat keuntungan yang berlebihan. Oleh sebab itu, pada dasarnya apa yang telah kita laksanakan ini adalah adil kerana kita telah pun memastikan bahawa syarikat ini tidak akan mendapat keuntungan ataupun internal rate of return melebihi daripada 17%. Saya fikir itu adalah merupakan satu bayaran yang adil kerana selebihnya akan menjadi hasil kepada kerajaan dan akan dikumpulkan, diconsolidated fund dan pembayarannya juga adalah berdasarkan juga kepada saman yang dipungut. Sekiranya tidak ada saman yang dipungut, tidak ada bayaran kepada mereka. Itu adalah prinsip yang paling asas. Oleh sebab itu, saya fikir ini adalah satu formula yang adil. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Tambahan. Dipersilakan Yang Berhormat Dato' Dr. Firdaus bin Haji Abdullah.
Dato' Dr. Firdaus bin Haji Abdullah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya ini bersifat statistical. Oleh kerana itu kalau sekiranya tidak ada jawapan on the spot, saya harap jawapan dapat diberikan kemudian, bertulis. Pertama sekali saya ingin bertanya, daripada ratusan ribu saman yang telah dikeluarkan seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri tadi, kalau sekiranya keseluruhan saman itu diconvert menjadi ringgit, berapa nilai? Berapa saman dan berapa jumlah keseluruhannya? Itu satu.

Kemudian, saya juga ingin tahu daripada ratusan ribu saman yang telah dikeluarkan itu, berapa orang yang telah memberi respons, yang telah memberi maklum balas terhadap saman yang dikenakan kepada mereka? Berapa orang yang mengabaikannya? Itu yang kedua.

Kemudian yang ketiga ialah apakah tindakan-tindakan yang telah atau akan diambil? Berapa bilangan tindakan yang telah diambil terhadap mereka yang sengaja ingkar terhadap saman yang telah dikenakan kepada mereka? Jadi, statistik seperti ini saya rasa penting untuk diketahui oleh kita bersama. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Datuk Abdul Rahim bin Bakri: Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato' Dr. Firdaus. Sebenarnya, pertanyaan Yang Berhormat itu adalah terlalu spesifik dan memerlukan statistik untuk saya bekalkan kepada Yang Berhormat. Cuma saya ingin nyatakan di sini bahawa setiap saman yang melibatkan kesalahan-kesalahan AES khususnya memandu laju dan juga beat traffic light ataupun melanggar traffic light, lampu isyarat, ianya akan dikenakan penalti ataupun kompaun sebanyak RM300 iaitu berdasarkan kepada keseriusan kesalahan tersebut kerana kedua-dua kesalahan ini akan menyebabkan kematian ataupun serius insiden. Ini sebabnya kita meletakkan pembayaran ini adalah RM300 iaitu pembayaran maksimum. Bagi Mereka yang tidak berhasrat, yang ingin mencabar keputusan tersebut di mahkamah dan mahkamah mempunyai peruntukan untuk mengenakan denda minimum RM300 dan maksimum RM2,000 terpulang kepada budi bicara hakim tersebut.

Oleh sebab itu, saya ingin nyatakan di sini bahawa RM300 itu adalah merupakan satu denda yang adil kerana saya percaya nyawa manusia nilainya adalah lebih tinggi daripada RM300 itu. Sekiranya kita tidak melakukan apa-apa kesalahan, sekiranya kita memandu dengan berhemah dan berdisiplin, saya percaya bukan sahaja pemandu-pemandu tidak perlu membayar saman tetapi juga dapat menyelamatkan nyawa. Terima kasih.

Soalan asal: 1. Tuan Mohamad Ezam bin Mohd Nor minta Menteri Pengangkutan menyatakan, berapa kos sebenar implementasi AES di seluruh negara, jumlah kamera dan kos penyelenggaraan setiap satu bagi setiap tahun operasi.

SUMBER HANDSARD: http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DN-03122012.pdf


Tiada ulasan: