Rabu, 5 Disember 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Himpunan kemuncak selamatkan Felda 28 Dis

Posted: 05 Dec 2012 03:29 PM PST

Hazayani Zakaria,


 

KUALA LUMPUR: Gerakan Selamatkan Felda (GSF) sekali lagi akan merancang himpunan besar-besaran di Ibu Pejabat Felda, Jalan Semarak 28 Dis ini bagi menyerahkan memorandum membantah kegagalan Felda menguruskan aset dengan baik.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, ia termasuk perkembangan terbaru kejatuhan saham Felda ke paras terendah, pemilikan saham Syarikat Genting Berhad dan penjualan minyak sawit kepada syarikat Yahudi dan nasib pemegang saham Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Beliau berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Pengarah Besar Felda, Faizol Ahmad mesti bertanggungjawab ke atas kemerosotan Felda.

"Kita akan menghimpunkan 30 ribu orang, bukan sahaja warga Felda tapi gabungan NGO lain kerana isu Felda sudah menjadi isu nasional seperti juga skandal Scorpene dan projek Lynas," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Himpunan tersebut akan bermula dengan Solat Jumaat di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan akan berarak ke pejabat Felda.

Mazlan menegaskan, mereka akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Isa sendiri dan tidak akan berganjak selagi Isa tidak menerima memorandum tersebut.

"Kita akan tunggu sehingga Tan Sri Isa terima memorandum dan kalau beliau tidakmahu terima, kita akan berkhemah, memasak di situ. Kalau seminggu, seminggulah kita akan duduk di situ.

"Kita juga akan melonggokkan setengah tan buah kelapa sawit betul-betul di hadapan pintu masuk pejabat Felda bagi menunjukkan protes," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Bertemu pemegang saham KPF


Sebelum itu katanya, Anak menubuhkan jawatankuasa selamatkan KPF kerana yakin pemegang saham KPF bimbang dengan kedudukan saham mereka apabila KPF disenaraikan ke dalam Felda Global Ventures Berhad (FGVH).

Dalam mesyuarat agung tahunan Felda yang akan diadakan pada 27 Disember ini, antara usul yang akan dikemukakan adalah cadangan pelupusan ekuiti milik KPF dalam Felda Holding Bhd dan 10 Anak Syarikat milik Felda Holdings Bhd kepada FGVH.

Ekuiti milik KPF dalam Felda Holdings adalah 51 peratus dan aset 10 anak syarikat berkenaan yang menjadi kekuatan pelaburan KPF dianggarkan RM3.13 bilion.

"Bila pegangan berkurangan, segala ekuiti akan diambil alih oleh Felda dan sebagai pertukaran maka KPF akan diberikan saham 10 peratus dalam Felda.

"Apa yang berlaku, kekuatan KPF yang selama ini telus akan ditentukan oleh FGVH dan secara automatik apa yang mereka nak supaya KPF disenaraikan ke dalam FGVH.

"Mereka boleh melonjakkan saham FGV yang jatuh sebab itu akan digunakan untuk memancing undi dalam PRU akan datang," jelasnya.

Pertemuan itu akan diadakan di kelab Sultan Sulaiman pada 21 Disember ini.

Pakatan boleh tambah kerusi Parlimen di Melaka

Posted: 05 Dec 2012 03:25 PM PST

Harakahdaily,
 
MELAKA: Berdasarkan analisis terhadap beberapa dapatan kajian yang dilaksanakan oleh beberapa pihak, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan Pakatan boleh menambah satu lagi kerusi parlimen di Melaka.

Tambahan kerusi parlimen ini menjadikan PR menguasai dua daripada enam kerusi parlimen di negeri tersebut.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) dijangka boleh menang dengan agak selesa mengekalkan penguasaan negeri Melaka, dengan memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN daripada 28 kerusi.

Kedudukan ini memperlihatkan Melaka adalah antara negeri yang paling selamat bagi BN.

"Analisis ini dibuat berdasarkan beberapa dapatan kajian yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan pengkaji dari universiti dan pihak ketiga, di samping data yang diperolehi oleh PPP sendiri," kata Pengarah Operasi PPP, Dr Zuhdi Marzuki (gambar atas).

Kerusi Parlimen yang dijangkakan boleh ditambah oleh PR ialah kerusi P137, Bukit Katil, yang ditandingi oleh PKR.

Kerusi ini dikategorikan sebagai kerusi campuran disebabkan nisbah pengundi Melayu dan Bukan Melayu yang kecil, iaitu 52% pengundi Melayu, 42% pengundi Cina, 6% pengundi India dan selebihnya kurang dari 1% lain-lain pengundi.

Hasil analisis PPP, undi akar umbi BN di kawasan ini hanyalah 38% daripada keseluruhan pengundi, manakala golongan atas pagar adalah besar iaitu 31%.

Sekiranya PR boleh meraih sokongan golongan atas pagar ini, maka Bukit Katil boleh dimenangi oleh PR, katanya.

Bagaimanapun, dapatan analisis ini tidak selari dengan dapatan kumpulan pengkaji Majlis Profesor Negara (MPN) yang merumuskan Bukit Katil sebagai kawasan putih atau selamat bagi BN.

Bagi kerusi-kerusi DUN pula, kata Dr Zuhdi, BN dijangkakan boleh menang di sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN, manakala PR (DAP) dijangkakan boleh mengekalkan penguasaan di 5 kerusi DUN seperti yang dimenangi pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008.

Baki enam lagi kerusi DUN iaitu, Asahan, Machap, Kelebang, Duyong, Rim dan Serkam dikategorikan sebagai kawasan kelabu, katanya.

Antara keenam-enam kerusi kelabu, kerusi DUN Asahan yang ditandingi oleh PAS berpotensi untuk jatuh ke tangan PR, sekiranya PR berjaya menggunakan strategi yang betul dan sesuai.

Kerusi DUN Asahan yang terletak di bawah Parlimen Alor Gajah bersama sebuah lagi kerusi DUN yang dikategorikan kelabu, Machap, yang terletak di dalam kawasan parlimen yang sama, memberi sedikit harapan kepada PR (PAS) untuk memberi saingan yang sengit kepada BN di Parlimen Alor Gajah.

Dalam PRU tahun 2008, kerusi Parlimen Alor Gajah yang mempunyai 57% pengundi Melayu, 30% pengundi Cina dan 13% pengundi India, dimenangi oleh MCA.

Dalam PRU tersebut BN (MCA) memperolehi 63% sokongan daripada keseluruhan pengundi.

"PPP mengunjurkan sokongan tersebut telah merosot sebanyak 3% seiring dengan peralihan sokongan pengundi-pengundi Cina di Selatan Semenanjung kepada PR," jelasnya.

Berdasarkan analisis PPP, sokongan akar umbi BN di kawasan ini adalah sekitar 56.3%.

Meskipun kawasan ini adalah dikategorikan selamat bagi BN, sekiranya PR khususnya PAS berjaya meningkatkan sedikit lagi sokongan pengundi Melayu dan menggunakan strategi yang bijak dalam PRU akan datang, peluang untuk memenangi kerusi ini tidak boleh diperkecilkan.

Menurut kajian PPP, kata Zuhdi, sokongan terhadap PR boleh dipertingkatkan sekiranya, terdapat seorang tokoh pimpinan PR dari negeri ini yang berkaliber untuk menyaingi kepimpinan Ketua Menteri Melaka sekarang Datuk Seri Ali Rustam.

Menurut dapatan kajian MPN, populariti Ali Rustam mencecah 83%, sedangkan PR tidak mempunyai seorang tokoh pemimpin yang boleh menyaingi beliau.

"Oleh sebab itu, penyertaan Datuk Tamrin Tun Ghafar ke dalam PAS seharusnya dimanfaatkan sebaiknya untuk menjana sokongan kepada PR," kata Zuhdi.

Selain daripada itu, katanya, PR perlu meneruskan pendedahan penyelewengan dan salahguna kuasa oleh kerajaan BN di peringkat negeri dan persekutuan untuk meningkatkan lagi sokongan terhadap PR.

"Isu ini boleh memberi kesan kepada pengundi-pengundi atas pagar terutama pengundi-pengundi muda di bawah 30 tahun untuk menyokong PR," katanya.

Indeks rasuah: M'sia di tangga ke-54

Posted: 05 Dec 2012 03:24 PM PST

 


 
Presiden badan pemantau rasuah Transparency International-Malaysia (TI-M) Paul Low berkata Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun ini namun skandal politik besar menjejaskan prestasi negara.

Katanya, Malaysia mencatat 49 daripada 100 mata yang meletakkannya di tangga ke-54 daripada kesemua 176 negara yang diselidik.

Malaysia mencatat kedudukan di tangga ke-60 pada tahun lalu.

"Walaupun ia bertambah baik, kedudukan kita masih tidak berapa baik... Ada di antara perkara ini (skandal rasuah berprofil tinggi) menghalang kedudukan kita daripada meningkat.

"Sepanjang pengetahuan saya, 49 (mata) tidak bagus, tapi dengan segala usaha yang dilakukan, ada sedikit peningkatan.

"Walaupun dengan semua skandal, kita lebih baik daripada kedudukan kita beberapa tahun lalu. Contohnya, kita dapat membincangkan isu rasuah dengan lebih terbuka. Suasananya berbeza," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan tahunan CPI ketika skandal seperti National Feedlot Corpoation dan "sumbangan politk" untuk Umno Sabah timbul.

Polis panggil saksi pergaduhan di Gombak

Posted: 05 Dec 2012 03:22 PM PST



 
Polis akan memanggil saksi bagi mendapatkan keterangan berhubung pergaduhan penyokong dua parti politik semasa ceramah umum pemimpin pembangkang di tanah lapang di Batu 8 1/2, Gombak malam tadi.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata polis mempunyai rakaman video berhubung kejadian itu yang berlaku pada pukul 9.30 malam yang menyebabkan dua lelaki berusia 37 tahun cedera di dahi dan bahu  dipercayai akibat terkena objek yang dibaling seperti batu dan botol air.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
  
Beliau berkata kekecohan dikatakan berlaku apabila kira-kira 250 lelaki tidak berpuas hati kerana ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di kawasan berhampiran kediaman mereka.
  
"Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur sebagai pesakit luar dan polis telah merakamkan keterangan kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media hari ini.
  
Mengenai notis untuk mengadakan ceramah, Rosly berkata pihak penganjur gagal mematuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman yang mensyaratkan notis diberi dalam tempoh 10 hari kepada polis dan bukan hanya lapan hari.
  
Sementara itu Pemuda Umno Gombak menafikan mereka memulakan provokasi sehingga menyebabkan kedua-dua pihak saling membaling objek seperti botol dan batu ke arah satu sama lain.
  
Ketua Pemudanya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata penduduk membantah secara aman ceramah itu kerana ia diadakan di kawasan mereka, tanpa berniat mencetuskan pergaduhan.
  
"Namun penyokong PKR tiba-tiba mengejek dan mencetuskan provokasi sehingga mereka mula membaling beberapa objek seperti batu, periuk belanga, kuali dan tong minuman kepada penyokong BN yang berada di seberang jalan," katanya.- Bernama

1. Penyokong PKR, BN didakwa diserang di ceramah Anwar
  
Beliau berkata penyokong Pakatan Rakyat (PR) memulakan provokasi kerana  mengadakan ceramah di hadapan Bilik Gerakan Peti Undi Gombak Utara ketika pihak Pemuda Umno turut mempunyai program taklimat jentera pilihan raya.
  
Ketua Penerangan Pemuda Umno Cawangan Batu 10, Gombak, Mohd Faizaruddin Mustafha yang cedera terkena batu yang dilempar berkata beliau tidak menyangka penyokong PR sanggup bertindak ekstrem dengan mencederakan beliau dan beberapa penyokong BN.
  
Beliau yang menerima sembilan jahitan ekoran kecederaan di kepala berkata beliau tidak jelas siapa yang membaling batu kepadanya.
  
Naib Presiden PKR Tian Chua ketika dihubungi melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu dan mengalu-alukan siasatan polis. - Bernama

Najib takut gagal capai 2/3 majoriti

Posted: 05 Dec 2012 03:13 PM PST


Shahbudin Husin
 
 

Ucapan Najib di perhimpunan UMNO baru-baru ini, baik dalam ucapan dasar mahupun ucapan penggulungan jelas menggambarkan ketakutan beliau menghadapi pilihanraya akan datang. Intipati ucapan, riak wajah dan bahasa tubuhnya jelas menggambarkan hakikat itu.Meski beliau cuba melawak, tersenyum dan mempamerkan wajah gembira tetapi garis-garis ketakutan itu boleh dilihat dan difahami oleh sesiapa saja yang mendengar ucapannya yang banyak aksi meneran dan menjerit itu.

Walaupun Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungan cuba "melambung" beliau dengan mendedahkan suatu hasil kajian yang dilakukan oleh seorang pensyarah UiTM kononnya sokongan kepada Najib dan kerajaan kini sudah mencapai lebih 70 peratus dan pengundi atas pagar hanya 17 peratus, namun Najib kelihatan tidak gembira mendengar puji-pujian itu.

Beliau hanya selamba dan seolah-olah tidak terasa apa-apa dengan gambaran yang diucapkan Zahid itu. Jika orang lain, mungkin sudah cukup gembira dan kepala menjadi besar dengan hasil kajian yang diumumkan Zahid itu. Tetapi tidak dengan Najib kerana ada ketakutan lain sedang bersarang di kepalanya.

Malahan ketika berucap kemudiannya, Najib seperti memperlekehkan hasil kajian yang diumumkan Zahid itu dengan mengatakan sepatutnya sesuatu kajian harus melontarkan soalan cepumas yang berbunyi "Jika tidak dicalonkan, apakah akan terus menyokong parti?"

Najib juga kemudiannya memanggil ketiga-tiga Naib Presiden itu dengan gelaran "tiga ekor Naib Presiden" iaitu suatu gambaran bahawa Najib sebenarnya tidak cukup gembira dengan prestasi mereka dan panggilan ekor itu menggambarkan gelaran untuk seseorang yang belum cukup matang atau masih kebudak-budakkan.

Walaupun Najib kemudiannya cuba mengendurkan keadaan dengan menyebut "tiga ekor yang akur", hakikatnya Najib tidak gembira dengan prestasi dan mutu ucapan penggulungan ketiga-tiga Naib Presiden itu yang disifatkan oleh banyak pihak masih dibawah paras yang sepatutnya bagi seseorang pemimpin yang menduduki kerusi Naib Presiden UMNO.

Ramai juga memberi pandangan mutu ucapan ketiga-tiga Naib Presiden kali ini menggambarkan bahawa UMNO sebenarnya sudah ketandusan pemimpin yang berkualiti dan berwibawa. Mutu ucapan Zahid, Hishammuddin dan Shafie tidak berupaya menambahkan keyakinan rakyat, pengundi atas pagar dan generasi muda bahawa UMNO ini boleh bergerak dengan lebih cemerlang di masa hadapan.

Dengan Najib melontarkan soalan cepumas itu kepada semua ahli pemimpin UMNO, ia menggambarkan ketakutan Najib ialah sabotaj di kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Walaupun mungkin sabotaj itu boleh menyebabkan UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya akan datang tetapi Najib jelas lebih takut sabotaj yang sama menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Najib sebenarnya lebih takut gagal mencapai majoriti dua pertiga berbanding UMNO dan BN kalah terus dalam pilihanraya.

Bermula dengan ucapan dasar dan kemudian disimpulkan dalam ucapan penggulungan, penekanan terhadap pencapaian majoriti dua pertiga itu nampaknya begitu ditekankan. Ia disebut berulang kali, melebihi penekanan tentang peri mustahaknya UMNO dan BN terus dikekalkan sebagai kerajaan.

Meskipun kekalahan UMNO dan BN adalah sesuatu yang pahit tetapi Najib lebih risaukan kedudukan dirinya berbanding UMNO itu sendiri. Jika UMNO kalah dan BN hilang kuasa sebagai kerajaan, kepahitan dan sengsara yang dialami boleh dikongsi dengan orang lain.

Najib mungkin boleh menyalahkan timbalannya, Muhyiddin yang kurang bekerja keras sebagai punca kekalahan. Beliau juga boleh menyalahkan Naib-Naib Presiden UMNO yang masih gagal meraih sokongan rakyat sewajarnya meskipun sudah diberi jawatan dalam kementerian-kementerian yang kanan. Lebih dari itu, Najib juga boleh menyalahkan pemimpin dan ahli-ahli UMNO lainnya yang tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh serta memantapkan perpaduan sebagai punca utama tewasnya UMNO.

Dalam masa yang sama, jika UMNO tumbang Najib juga boleh menyalahkan Pak Lah kerana mewariskan kerajaan yang lemah kepadanya. Beliau juga boleh menyalahkan Tun Mahathir kerana terlalu banyak bercakap sehingga membuatkan rakyat benci dan menolak UMNO serta kerajaan.

Pendeknya jika UMNO kalah, pelbagai pihak boleh dipersalahkan oleh Najib. Beliau tidak akan keseorangan menanggung sengsara kekalahan itu kerana ia boleh dikongsi dengan pelbagai pihak lainnya.

Tetapi jika sekadar gagal mencapai majoriti dua pertiga, Najib seorang diri yang akan dipersalahkan dan beliau bakal menanggung sengsaranya keseorangan. Dengan gagal melepasi garisan dua pertiga, hanya Najib seorang diri yang akan dipersalahkan sebagaimana Pak Lah dipaksa dengan peralihan kuasa bila gagal mengekalkan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya 2008 lalu.

Dalam pasukan bolasepak pun, apabila sesebuah pasukan gagal mengekalkan kejuaraan biasanya hanya pengurus yang dipecat. Rombakan besar-besaran melibatkan pengurus dan pemain hanya biasa dilakukan apabila sesebuah pasukan itu kalah berpanjangan atau turun ke divisyen dua. Itulah lumrah kehidupan sebenarnya.

Dengan menekankan tentang mustahaknya mencapai kejayaan dua pertiga, Najib sebenarnya lebih memikirkan tentang nasib dirinya berbanding UMNO itu sendiri. Sebab itu beliau mahu perpaduan dikekalkan dan sabotaj parti dielakkan.

Jika boleh, beliau bukan saja mahu sabotaj dielakkan untuk memastikan BN melepasi garisan dua pertiga, malahan jika garisan itu gagal dilepasi, sabotaj yang sama tidak berlaku kepada dirinya dengan memaksanya berundur pula.

Itulah yang sangat-sangat diharapkan oleh Najib. Tetapi oleh kerana UMNO sudah meletakkan kemenangan dua pertiga sebagai penanda aras kejayaan, maka sukar untuk Najib mengelakkan dirinya menjadi "Pak Lah kedua" jika beliau juga gagal mencapai kemenangan dua pertiga.

Yang lebih ditakuti Najib ialah jika yang mula-mula memintanya berundur itu ialah Mahathir sendiri, tokoh yang dianggap sebagai mentornya kini.

Najib sekarang ini bukan saja memuji-muji Mahathir tetapi juga secara terbuka menyatakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih dipantau oleh Mahathir. Dengan meletakkan dirinya sebagai "protege" atau anak didik kepada Mahathir, Najib sekurang-kurangnya berharap bekas PM itu kekal sebagai mentornya dan tidak memaksanya berundur jika keputusan kurang daripada dua pertiga dalam pilihanraya umum nanti.

Sesuatu yang tidak disedari Najib ialah Mahathir bukan saja kaki pantau tetapi juga kaki kuntau. Rekodnya menguntau beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menggambarkan hakikat itu. Beliau mudah percaya pada orang tetapi jika kepercayaan itu sudah hilang, kuntaunya tidak pernah ada belas kasihan.

Hanya kemenangan dua pertiga yang dapat mengelakkan Najib daripada kenapa kuntau, baik oleh Mahathir mahu pun oleh pemimpin-pemimpin UMNO lainnya yang sekarang ini seolah-olah berdiri teguh di belakangnya. Pemimpin UMNO pula memang tabiatnya mudah hilang kesetiaan bila pemimpin utamanya hampir tumbang.

Sebab itu, kegagalan mencapai kemenangan dua pertiga begitu ditakuti Najib berbanding jika UMNO dan BN kalah terus kepada Pakatan Rakyat.

Tembak Aminulrasyid: Jenain kini bebas

Posted: 05 Dec 2012 03:11 PM PST

KL TODAY

 

Mahkamah Tinggi di sini Rabu membebaskan Koperal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan Jenain, 49, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Abdul Rahman juga berkata, tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Pada 13 September tahun lalu, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan kesalahan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara jam 1.10 pagi dan jam 2 pagi pada 26 April 2010.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.
Ketika menjatuhkan hukuman September 2011, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Latifah membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hasutan PAU12 punca tragedi Gombak

Posted: 05 Dec 2012 03:04 PM PST

KL TODAY

 

Serangan terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi merupakan kesan daripada Perhimpunan Agong Umno ke 66 dan barangkali adalah muqaddimah ke peristiwa 13 Mei yang digempar-gempurkan semula Umno.

"Ini adalah kesan PAU dan muqaddimah 13 Mei," kata Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu dalam satu kenyataan ringkasnya kepada media.

Serangan malam tadi termasuk ke atas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera di bahu dipercayai ditikam dengan objek tajam.

Ia berlaku ketika sekumpulan samseng yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Kejadian itu memaksa pihak polis dan beberapa anggota FRU berkawal di tapak ceramah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Rosly Hassan berkata, provokasi berlaku selepas sekumpulan 250 orang diketuai Ketua Pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkumpul di seberang jalan sekitar jam 9.30 malam.

Menurutnya, tindakan tersebut menarik perhatian beberapa penyokong PR yang sedang mendengar ceramah dan berlaku insiden tolak-menolak antara kedua-dua belah pihak.

Ceramah itu dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Ketua Umum PKR dan PR.

Dalam insiden itu, anggota PKR dan Umno dilaporkan mengalami kecederaan termasuk ada yang ditikam.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kali ini selain serangan batu, tong sampah dan peralatan lain, "kita dikejutkan oleh tikaman pisau yang disyaki dilakukan oleh salah seorang anggota Pemuda Umno."

Serangan itu dilaporkan berlaku di pekarangan Masjid Zakariah, Batu 8, Gombak Utara.

Mohamad berkata polis harus menunjukkan kewibawaan dengan menyiasat insiden itu dengan serta merta.
"Jangan ikut telunjuk Umno," itulah pesanan beliau kepada polis.

Polis Gombak belum mengenalpasti pihak yang membuat provokasi dalam program jelajah merdeka rakyat anjuran PKR di Gombak malam tadi. 

"Kita tak pasti mereka dari parti mana. Yang kita pasti ialah mereka ialah orang tempatan di kawasan itu, bukannya orang luar," kata Ketua Polis Gombak.

 

Beliau menjelaskan bahawa polis dapat mengawal keadaan setelah berlaku provokasi di luar kawasan ceramah.

Tambah beliau, ada dua orang tercedera dalam kejadian itu.

"Seorang terkena botol di dahi dan seorang lagi terhiris di dahi. Lukanya kecil dan memerlukan empat jahitan sahaja."

Tiada ulasan: