Jumaat, 30 November 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Lagi kuat jerit, lagilah sumbang

Posted: 29 Nov 2012 08:45 PM PST


Shahbudin Husin

 

Tidak ramai yang memperkatakan intipati ucapan Najib di perasmian Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Semuanya sudah dijangka. Serangannya kepada pembangkang, kecamannya terhadap Anwar Ibrahim, keyakinannya UMNO sudah pulih dan keghairahannya mahu mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun bukanlah sesuatu yang pelik.

Ia sudah banyak kali diperkatakan Najib sebelum ini. Penegasannya kali ini hanyalah merupakan ulangan skrip lama yang dikitar semula.

Apa yang lebih banyak diperkatakan ialah kenapa Najib terlalu banyak terjerit dan terlolong di atas pentas kali ini. Tidak seperti sebelumnya, kali ini bermula di awal ucapannya lagi beliau beliau sudah menjerit-jerit dan meninggikan suaranya seolah-olah sistem pembesar suara di Bangunan UMNO itu tidak cukup canggih untuk melantunkan suaranya.

Baik di dalam Dewan Merdeka mahu pun di persekitaran PWTC, perwakilan dan pemerhati rata-ratanya kehairanan serta tidak henti-henti memperkatakan kenapakah Najib terlalu banyak menjerit-jerit kali ini.

 Apakah isu Scorpene dan pengakuan Deepak yang mengaitkannya dengan rasuah telah menjadikan kepalanya terlalu semak sehingga menjadi mamai dan tidak sedar atas perlakuannya yang terlihat "over" itu.
Rakyat yang menonton ucapannya melalui tv juga ramai yang meluahkan kehairanan yang sama seolah-olah ada hantu dan polong yang telah merasuk pemikirannya di perhimpunan ini.

Jika ada sistem pemberian markah dan komen juri seperti Akademi Fantasia, ucapan Najib kali ini tentunya menerima kritikan paling tajam serta markah paling kurang.

Sebagai Perdana Menteri, ramai yang merasakan Najib harus membawa perwatakan dirinya yang sebenar ketika berada di atas pentas. Dia tidak perlu meniru gaya Anwar Ibrahim yang hebat aura dan getar suaranya yang bergema ketika menjerit di atas pentas. Anwar memang semulajadi begitu, mempunyai kelebihan yang dianugerahkan Tuhan dalam berpidato.

Jika Najib cuba meniru gaya Anwar dalam berucap meskipun dalam masa yang sama mengecam dan menghentam Ketua Pembangkang itu, ia adalah suatu kesilapan besar yang telah dilakukan Najib. Ini kerana sudah pasti beliau tewas jika ingin berlawan kehebatan berpidato dan menjerit dengan Anwar.

Anwar jika menjerit dan meninggikan suara ketika berucap, auranya terserlah dan intonasi serta getar suaranya penuh meyakinkan. Ia berbeza dengan Najib, jeritannya sumbang dan tidak sedap didengar. Jeritan suara Najib tidak menaikkan semangat, sebaliknya ada yang gelihati dan kesian dengannya.

Najib seharusnya mencontohi Mahathir, Pak Lah dan Muhyiddin yang tampil diatas pentas dengan gaya sendiri dan tidak meniru-niru gaya orang lain ketika berucap. Mahathir dari dulu sampai sekarang kekal dengan gayanya yang sama ketika berucap. Begitu juga Pak Lah dan Muhyiddin. Ini menjadikan gaya dan stail mereka itu tidak pernah dipertikai dan diperkatakan kerana sejak dulu itulah gaya mereka ketika berucap di atas pentas.

Keghairahan Najib untuk meniru dan berlawan berpidato dengan Anwar bukan saja perbuatan sia-sia tetapi juga menggambarkan ketakutannya yang melampau terhadap Anwar. Najib seolah-olah beranggapan hanya dengan kemampuan menjerit lebih kuat daripada Anwar, Pakatan Rakyat dapat ditewaskan dan hasrat Anwar menggapai Putrajaya dapat digagalkan.

Jika itu tanggapannya, Najib ternyata silap perkiraan sekali lagi.

Kalau pun beliau ingin berlawan suara siapa yang paling kuat dan jeritan siapa yang paling bergema, beliau sepatutnya menunjukkan keberanian untuk menyahut cabaran Anwar untuk berdebat terlebih dahulu.

Sikap Najib yang terlalu banyak menjerit-jerit juga menyebabkan fokus perwakilan dan pemerhati terhadap intipati ucapannya tenggelam sama-sekali. Ramai yang tidak mengambil hirau apa yang diucapkannya.

Sehingga malam ini, lebih banyak yang bercakap tentang gayanya yang menjerit itu berbanding kandungan ucapannya.

Sudahlah nada ucapannya sambil menjerit-jerit itu tidak sedap didengar, penampilannya pula jelas kelihatan sumbang dan tidak meyakinkan. Nampaknya aura Anwar telah menghantui Najib sejak beliau mula mengambil alih jawatan Ketua Pemuda pada tahun 1986 sehinggalah sekarang.

Sejak 1986, sebaik mengambil alih jawatan Ketua Pemuda daripada Anwar, Najib sudah mula mahu meniru gaya Anwar berucap tetapi nampaknya sampai menjadi Perdana Menteri pun usahanya itu tidak pernah menjadi.

Harap selepas ini Najib kembali kepada jati dirinya yang sebenar dan tidak menjerit-jerit lagi ketika di atas pentas. Lagi kuat jeritannya, lagi sumbang jadinya.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

Mukhriz yakin tawan Kedah kembali

Posted: 29 Nov 2012 08:42 PM PST


 

KL RODAY


Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali Kedah pada pilihan raya akan datang namun parti itu tidak boleh hanya bersandarkan kepada kelemahan pentadbiran PAS di negeri tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir bagaimanapun mengingatkan agar ahli parti itu tidak terlalu yakin, sebaliknya terus bekerja keras untuk memenangi hati rakyat.

"InsyaAllah kami mempunyai peluang yang baik…saya optimis.

"Tapi adalah amat penting bagi semua ahli untuk kerja sebanyak mungkin supaya rakyat dapat menilai bahawa kita merupakan pilihan terbaik untuk mereka," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Jumaat.

Ditanya sama ada BN mempunyai peluang cerah untuk mengambil alih semua negeri yang ditadbir pembangkang, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, masih banyak kerja perlu dilakukan bagi mencapai matlamat berkenaan.

"Ia (kelemahan mereka) akan membantu kita tetapi tidak semua…kita masih perlu untuk meyakinkan rakyat apa yang kita boleh lakukan.

"Kita mempunyai rekod yang baik namun pada yang sama kita akui pernah melakukan kesilapan.

"Kita sudah belajar daripada kesilapan lama, kita tidak akan mengulanginya lagi," katanya.

Diminta mengulas sama ada beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Parlimen agar dapat berkhidmat kepada rakyat Kedah dengan lebih baik, Mukhriz berkata beliau terbuka kepada semua kemungkinan.

"Saya terbuka…keputusan di tangan Perdana Menteri.

"Saya sudah jelaskan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa saya terima apa sahaja keputusan yang dibuat," katanya.

Pelajar melecur di sirkit antarabangsa Sepang dianugerah RM222,398

Posted: 29 Nov 2012 08:38 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM— Seorang pelajar kejuruteraan automotif yang melecur di laluan 'pit' semasa perlumbaan kereta di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2010, dianugerah gantirugi RM222,398 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.  

Hakim Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham memerintahkan Aylezo Motorsports Sdn Bhd dan Sepang International Circuit Sdn Bhd membayar sejumlah RM175,000 sebagai gantirugi umum dan RM47,398 gantirugi khas kepada Jordan Saw Yu Huan, 25.

Aylezo Motorsports dikenakan liabiliti 60 peratus sementara Sepang International Circuit 40 peratus.   

Prasad yang menyampaikan keputusan itu dalam kamar membenarkan saman itu terhadap dua pihak berkenaan dengan kos RM20,000.

Pada 3 Ogos tahun lepas, Saw, pelajar Kolej Otomotif, memfail saman kecuaian terhadap lima pihak.

Beliau menmakan antara mereka, pemandu kereta lumba Low Suan Chuan; seorang pengarah Team Empire Motorsports Sdn Bhd, Ashraff Dewal Mohd Ali; dan penaja Aylezo Motorsports Sdn Bhd sebagai defendan. 

Yang lain Sepang International Circuit Sdn Bhd, penganjur Merdeka Millennium Endurance Race 2010, dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM). 

Bagaimanapun, Prasad hari ini menolak tuntutan terhadap Low, Ashraff Dewal dan AAM. —  Bernama 

Abim kecam konsert Elton John, Jennifer Lopez

Posted: 29 Nov 2012 08:31 PM PST

Mohamad Raimi Ab Rahim

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam penganjuran Konsert Elton John (Elton John & Band: 40th Anniversary of the Rocket Man pada 29 November 2012), serta Konsert Jennifer Lopez (Jennifer Lopez live in Malaysia pada 2 Disember ini).

Ini memandangkan konsert tersebut dianjurkan taktala kita masih bergelut untuk merungkaikan pelbagai kemelut sosial yang melanda negara ini.

Abim juga menilai penganjuran konsert seakan-akan menggambarkan sikap acuh tidak acuh pihak tertentu terhadap pelbagai bantahan yang dikemukakan terhadap penganjuran konsert-konsert serta program hiburan melampau membabitkan artis-artis dari luar negara.

Hiburan merupakan elemen berpengaruh terutama sekali di kalangan golongan remaja. Hiburan yang bersifat mendidik akan mendorong golongan remaja untuk mengembangkan sahsiah diri mereka secara positif.

Akan tetapi sekiranya mereka menerima pendedahan dari hiburan yang bersifat hendonistik semata-mata, ia akan mendorong golongan muda untuk bertindak menurut kepuasan hawa nafsu semata-mata.

Tambahan pula, salah seorang artis tersebut secara terbuka mengamalkan hubungan sejenis yang boleh memberikan ekspresi keteladanan yang salah di kalangan golongan muda.

Seharusnya ancaman LGBT serta beberapa gejala songsang yang lain membuatkan pihak-pihak yang berwajib lebih berwaspada serta berhati-hati dalam menyaring sebarang kemasukan serta penganjuran hiburan membabitkan artis-artis luar negara.

Penganjuran kedua-dua konsert tersebut merupakan titik hitam di sebalik kemilau kebangkitan hiburan Islamik serta selebriti dakwah di negara ini. Ketegasan serta keprihatinan dari pihak berwajib serta masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan golongan muda dari terus dibanjiri "idola" tanpa sebarang rujukan keteladanan yang positif.

Penulis buku Syed Hussein dibebas dengan ikat jamin

Posted: 29 Nov 2012 08:29 PM PST

SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Penulis buku Syed Hussein Al-Attas yang ditahan pagi tadi ketika menjual buku beliau yang dikatakan menghina Sultan Johor, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi Perhimpunan Agung Umno ke-66, telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata Syed Hussein, juga dikenali sebagai Pak Habib, 71, ditahan kira-kira pukul 11 pagi dan dibawa ke bilik gerakan polis di PWTC untuk diambil keterangan.

"Kira-kira pada pukul 4 petang kami telah bebaskan dia dengan ikat jamin," katanya ketika dihubungi Bernama.

Polis turut merampas 13 buah buku hasil tulisan Pak Habib, yang juga bapa kepada blogger dan pengamal paranormal Syed Abdullah atau Uncle Seekers, yang sebelum ini pernah ditahan polis kerana didakwa memfitnah Sultan Johor di blognya www.uncleseekers.blogspot.com.

Zainuddin berkata polis sedang menyiasat kes mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan dan Seksyen 502 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan percetakan yang ada unsur fitnah.

"Apa-apa tindakan akan diambil selepas siasatan terhadap kandungan buku tulisannya itu selesai," katanya. - Bernama

Najib minta maaf kali ke-3, respons pengundi bagaimana?

Posted: 29 Nov 2012 08:26 PM PST

G MANIMARAN dan NIZAM ZAIN

 Najib minta maaf kali ke-3, respons pengundi bagaimana?
Reaksi perwakilan ketika mendengar ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2012, semalam. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
 
TIDAK wujud individu, pemimpin, organisasi atau parti yang tidak pernah melakukan kesalahan. Untuk itu sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, Umno menyusun memohon maaf atas kekhilafan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 24 jam yang lalu.

Seorang pegawai kanannya yang ditemui Sinar Harian Online berkongsi maklumat sekiranya Najib meneruskan ucapan hampir 90 minit, Dewan Merdeka akan menyaksikan detik yang disaksikan pada tahun 2002.

Najib sebagaimana dijangkakan dengan tegas mengatakan "Umno sudah mengalami perubahan" dan bersedia untuk kembali membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan kembali ke Dewan Merdeka sebagai peneraju Kerajaan Pusat.

Pada keseluruhannya ucapan dasar kali memperlihatkan peningkatan keyakinan Najib berbanding tahun lalu. Berbanding graf 2010, kedudukan itu lebih baik sekarang.

Mengulas perkembangan semasa di Dewan Merdeka, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan ucapan dasar Najib kali ini lebih komprehensif  dan disampaikan secara artikulatif.

"Saya lihat tiga perkara utama," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Salah satu daripada tiga perkara itu ialah ahli-ahli Umno perlu konsisten dan bersungguh-sungguh dalam menabur bakti, kata Ahli Parlimen Temerloh ini.

"Perlu tulen dan tidak dibuat-buat...  kerana akhirnya rakyat dapat lihat kebaikan atau keburukannya," kata pemimpin muda yang sentiasa menekankan keperluan politik baru dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

Kedua, menurut beliau, kerajaan pimpinan Umno sentiasa melakukan transformasi yag tepat dengan keperluan.

"Ia seimbang iaitu dari satu segi, ia bersifat semasa dan futuristik, manakala dari segi yang lain, ia berpaksi pada prinsip-prinsip yang kukuh. Ini falsafah pergerakan teguh," katanya merujuk kepada pelan transformasi yang dilakukan.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, Umno parti yag bukan sahaja berkhidmat kepada orang Melayu, tapi berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia.

Pilihan raya umum empat tahun lalu merupakan detik hitam buat Umno-BN apabila kalah teruk kali pertama kali dalam sejarah meskipun lebih 50 tahun mendominasi pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sudah pasti kejadian yang memalukan itu tidak mungkin mahu diulangi kembali lebih-lebih lagi buat parti yang memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang kian lama menyusut tahap kepercayaan rakyat terhadapnya susulan pergolakan dalaman ahli-ahli dan jentera parti pada 2008 lalu.

Momentum itu turut dilonjakkan menerusi Perhimpuan Agung Umno 2012 yang sarat dengan mesej, nasihat dan mengembalikan semangat kekitaan.

Beberapa pemimpin Umno yang ditemui Sinar Harian Online mengakui mereka tersentuh dengan sifat mahmudah yang ditonjolkan presiden parti apabila memulakan bicara dengan memohon kemaafan dan menggesa semua ahli memuhasabah diri sebelum berjuang pada pilihan raya akan datang.

"Kalau semua perwakilan sedar tadi Perdana Menteri sebut bagaimana menilai diri, insaf tentang kekuatan kita, ukur keupayaan kita, cari peluang untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa kitalah parti yang terbaik untuk memimpin BN dan membawa negara ini ke mercu kejayaan," kata seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Harun.

Pemimpin dari Melaka ini mengingatkan ahli dan jentera parti itu supaya menjadikan detik 2008 sebagai pengajaran buat malah lebih berwaspada dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengetepikan kepentingan peribadi demi memastikan BN kembali memenangi hati rakyat pada PRU13.

"Kekuatan parti dalam bentuk mengotakan apa yang dikatakan, merealisasikan semua dasar di peringkat pelaksanaan, perancangan, maknanya kalau bukan Umno parti lain boleh pimpin Malaysia ini.

"Kita hilang lima negeri, hilang dua pertiga majoriti di Parlimen, menjadi pengajaran kepada kita supaya kita cari persamaan, kita jangan iri hati, jangan sabotaj, Umno ini memang parti yang kuat, hanya Umno boleh mentadbir dan membawa Malaysia ke hadapan yang lebih mencabar pada masa depan," katanya.

Tegasnya jika Umno-BN mahu mengekalkan kuasanya di Putrajaya sebagai Kerajaan Persekutuan pada penggal akan datang, semua ahli dan jentera parti perlulah akur kepada keputusan yang dibuat ditetapkan oleh parti itu tanpa sebarang syak wasangka demi memastikan kemenangan milik Umno-BN pada pilihan raya akan datang.

Umno parti tiada tandingan

"Umno dah cukup kuat, establishment dah ada, gagasan pun dah ada, lengkap dengan struktur, sistem dan strateginya semua dah ada, jalan toleh ke belakang lagi, engkaulah partinya, syaratnya, apa saja yang ditentukan pemimpin nanti, kita dengar, kita taat dan kita akan menang pilihan raya nanti.

"Tiada parti lain yang boleh kalahkan Umno sebab parti pembangkang seperti PKR, Pas atau DAP semuanya cakap tak serupa bikin, parti anak-beranak, parti yang carca marba, apa yang dijanji langsung dia tak buat, langsung tak menampakkan ada akan kemajuan negeri-negeri di bawah pimpinan mereka melainkan kemelut politik," tegasnya.

Umno jelas beliau, tidak hanya mensasarkan pengundi Melayu sahaja untuk meraih kemenangan nanti sebaliknya kaum bukan Melayu turut menjadi perkiraan penting kerana Umno bukan parti perkauman sempit sebaliknya memperjuangan nasib semua kaum yang berbilang bangsa di negara ini tanpa prejudis.

"Kita (Umno) tetap menghargai dan menghayati kepentingan kaum-kaum lain.

"Pengundi bukan Melayu pun mempunyai cita rasa, punyai kehendak dan kemahuan tersendiri, mereka tidak mahu pemimpin yang omong kosong, mereka mahu pemimpin yang boleh menjanjikan keamanan dan kesejahteraan negara berterusan," jelasnya.

Umno mengetuai Perikatan sebelum ia dijenamakan semula sebagai BN susulan prestasi lemah Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1969. Prestasi paling buruk disaksikan pada 2008.

Katanya, kebolehan Umno-BN mentadbir urus negara telah terbukti sejak lebih 50 tahun lalu malah meletakkan martabat negara sebaris dengan negara-negara maju dan dikenali dunia.

Hal ini katanya, amat berbeza dengan lima negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) kerana dilihat tidak menunjukkan perkongsian kuasa yang adil lagi saksama susulan sesetengah parti komponen pembangkang itu dinafikan hak sebagai pentadbir negeri.

"DAP baru duduk Pulau Pinang dah tak bagi peluang Pas untuk jadi Exco Kerajaan Negeri. Pas pula tak bagi wakil DAP jadi Exco Kerajaan Negeri di Kedah.

"Begitu juga di Selangor yang ditadbir PKR, ada orang kuat Pas dipecat kerana tak yakin dengan kewibawaannya dan PKR pula yang jaga hal ehwal Islam sedangkan Pas pada peringkat mereka amat sinonim dengan Islam," katanya sambil menyifatkan pembangkang gagal mencapai kata sepakat dalam pengagihan kuasa dan faktor ini menyukarkan orang bukan Melayu untuk mempercayainya mereka kelak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Marudu, Baintin Adun @ Abd Halim pula menekankan jika Umno-BN mahu kekal relevan dan terus menerajui pentadbiran negara, Presiden Umno perlu memastikan gerak kerja parti dan perkhidmatan disampaikan terus ke akar umbi, bukan sekadar ucapan semata-mata.

"Pemimpin di akar umbi akan terus mendekati rakyat untuk menerangkan betapa penting pembangunan yang ada yang dilaksanakan oleh Umno-BN di Putrajaya," katanya sambil menjelaskan, Umno-BN di Sabah kerap kali diserang dengan pelbagai tohmahan oleh pembangkang menerusi siri ceramah politik mereka sejak akhir-akhir ini.

"Tugas semua penyokong dan ahli Umno perlu terus mendekati rakyat dan menerangkan apa isu sebenar dan apa sebenarnya yang diperkatakan oleh pembangkang itu betul atau tidak.

"Balik saja dari kongres ini, kami menerangkan segala apa yang telah diperjelaskan dalam perhimpunan ini kepada akar umbi supaya kita dapat mempertahankan kelangsungan pemerintahn Umno-BN," katanya.

BN akan dimaafkan?

Beliau juga tidak menafikan sebelum ini Umno banyak kelemahannya, namun ia telah diatasi segera.

"Memang ada sabotaj dalam parti apabila tidak terpilih sebagai calon. Umno bercakap banyak tetapi tidak melaksanakan apa yang patut diberikan kepada rakyat.

"Hari ini sudah jauh berubah, rakyat sememangnya mahu apa yang mereka minta dan pertolongan terus dapat atau sekurang-kurangnya dapat perhatian daripada kerajaan," jelasnya.

Berbeza pula pandangan bagi ahli jawatankuasa Umno Kampar, Mohd Ghazali Said berkata, jika mahu mengekalkan ketuanan Melayu, Umno-BN perlu  memastikan menang besar pada PRU13.

"Kalau tidak akan punah segala-galanya, itu nasihat PM antara hidup dan mati BN pada PRU13 mesti dapatkan kemenangan besar dua pertiga," katanya sambil menasihatkan ahli parti itu supaya tidak taksub kepada kepentingan peribadi hingga menjejas matlamat parti untuk kekal sebagai pentadbir negara kelak.

Katanya, pertelingkahan yang wujud sebelum akibat tidak tercalon pada pada pilihan raya 2008 antara penyumbang utama kekalahan Umno-BN akibat sabotaj dalaman menjejaskan imej parti di kalangan rakyat.

"Lupakan segala perselisihan faham, tumpu kepada parti, jangan pentingkan peribadi, pentingkan politik semata-mata untuk kemenangan. Persiapan mesti dibuat seratus peratus untuk mengekalkan kuasa.

"Rakyat boleh dikatakan sekarang hampir kepada BN, kaum Cina sekalipun tetap menyokong BN pada masa sekarang, kita nampak gagasan 1Malaysia yang dibuat oleh Presiden nampak begitu berkesan hingga ke hari ini," katanya.

PRU13 sudah pasti tahun depan. Kemungkinan antara 12 hingga 15 minggu lagi.

Sebagaimana diperkatakan oleh pegawai kanan Perdana Menteri, Najib kini meletakkan harapan sebagai "seorang bapa ke atas anak." Anak yang bernama ahli-ahli Umno dan BN selepas lebih tiga tahun memimpin Umno, BN dan negara selaku Presiden, Pengerusi dan Perdana Menteri.

Sejauhmanakah penerimaan permintaan maaf Najib. Rakyat sudah sedia memaafkan BN?

Jika ya, adakah ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi dan akan diberi peluang kedua - mengembalikan kerusi majoriti dua pertiga di Parlimen dan kembali memerintah empat kerajaan negeri?

Isu salun: Kata sepakat dicapai, kata Exco

Posted: 29 Nov 2012 08:23 PM PST

SITI FATIHAH AWANG

Isu salun: Kata sepakat dicapai, kata Exco
Takiyuddin bersama NGO Cina Kelantan yang hadir perbincangan kata sepakat di Kompleks Kota Darulnaim semalam.
 
KOTA BHARU – Perbincangan antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) Cina di negeri itu semalam mencapai kata sepakat mengenai isu kedai gunting rambut yang tercetus sejak seminggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan muhibah kedua belah pihak itu adalah untuk mendengar pandangan kedua belah pihak dan mencari jalan penyelesaian.

"Perbincangan ini berlangsung dengan baik dan kami turut menerima beberapa cadangan dari pihak NGO untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang berkesan dan disetujui semua pihak,"
katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Isu ini dibangkit setelah seorang pemilik kedai gunting rambut di KB Mall, di sini mendakwa disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan sejak 2010, kerana mendapati adanya pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut untuk pelanggan lelaki bukan Islam, mengakibatkannya didenda antara RM200 hingga RM350.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hua Kelantan, Oie Poh Choon dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Goh Tee Chew.

"Hari ini kami berbesar hati menerima cadangan ini untuk dibawa ke mesyuarat exco minggu hadapan dan hari ini bukan perjumpaan terakhir kerana kami akan duduk berbincang kembali jika masih berlaku sebarang kekeliruan," katanya.

Beliau berkata, cadangan yang diberikan pihak NGO merupakan cadangan yang sangat baik dan yakin dapat membantu menyelesaikan isu yang dialami.

"Kami tidak boleh beritahu sekarang tentang cadangan yang dibincangkan dan selepas mesyuarat exco nanti kami akan beritahu semua jalan penyelesaiannya," katanya.

Takiyuddin berkata, pihaknya akan menunggu keputusan Exco yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan memberi jaminan cadangan ini akan dipertimbangkan dan akan diumumkan selepas itu.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil NGO yang datang hari ini (semalam) kerana mereka bukan sahaja mewakili peniaga-peniaga bukan Islam Kelantan malah mewakili dan memikirkan juga tentang kepentingan orang Islam dan pandangan orang ramai," katanya.

Tiada ulasan: