Sabtu, 17 November 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Pemimpin Pas yang gila mikrofon ditegur..

Posted: 16 Nov 2012 09:44 PM PST

Seorang perwakilan di Muktamar PAS hari ini menegur pemimpin parti yang menurutnya ghairah membuat kenyataan kepada media sehingga menimbulkan percanggahan di antara satu sama lain.

Tanpa menyebut individu yang dimaksudkan, wakil Perlis, Yaakob Abu Seman berkata tindakan pemimpin PAS itu "memeningkan kepala" jentera di bawah untuk menjawab perkara yang dibangkitkan.

"Jangan terlalu ghairah dengan mikrofon dan tape recorder wartawan. Contohnya isu kenyataan Nurul Izzah, PAS pusat kata tunggu untuk mendapatkan maklumat lengkap.


"Ini adalah sikap yang terbaik. Bermaklumat dahulu baru buat kenyataan... (Tetapi) Ada pemimpin ghairah buat kenyataan, (sepatutnya) elak terlebih dahulu," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Beliau mengulas laporan yang memetik kenyataan pemimpin parti itu berhubung isu kontroversi mengenai kebebasan beragama – rentetan daripada kenyataan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu forum.

Antara pemimpin PAS yang mengulas perkara itu termasuk bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, ahli jawatankuasa pusatnya Khalid Samad, serta ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib.

'Jangan terperangkap'

Di samping itu, Yaakob turut mengingatkan para pemimpin parti itu, dan juga dalam Pakatan Rakyat, supaya tidak terperangkap dalam permainan media arus perdana".

Beliau mendakwa, media pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia dan TV3 itu bertindak demikian untuk memecahbelahkan kesepakatan dalam Pakatan.

NONE"Laporan polis, saman malu belakang kira, tapi imej (pemimpin) dicalarkan dahulu (melalui laporan media) untuk memberi kesan kepada rakyat dan pengundi," katanya.

Di kesempatan itu, Yaakob turut membidas Dewan Pemuda PAS Pusat yang didakwanya "kurang menunjukkan apa yang diperjuangkan" sayap parti itu.

Beliau membandingkan perkara itu dengan usaha yang ditunjukkan PAS Pusat, yang menurutnya lebih fokus terhadap sesuatu isu seperti melibatkan Felda, saman trafik dan juga perhimpunan Gelombang Hijau.

"Kalau ingin berjuang (menarik) artis, golongan karyawan, beri kesungguhan... (Pemuda) perlu mempunyai agenda tertentu. Ada langkah-langkah dia," katanya.

Yaakob juga menggesa jentera penerangan parti supaya menggiatkan usaha untuk memberi penjelasan mengenai tawaran negara berkebajikan yang dipilih sebagai tema muktamar parti sejak tahun lalu.


Senator Australia Saman Utusan Malaysia

Posted: 16 Nov 2012 07:38 PM PST

Senator Australia, Nick Xenophon membuat laporan polis di Balai Polis Travers ekoran laporan palsu yang dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times sebelum ini.

Bagi beliau, kedua-dua media itu membuat laporan palsu apabila mendakwa beliau anti Islam.

Turut serta bersama Nick Xenophon ialah peguamnya, Amer Hamzah Arshad.
Ketika perhimpunan Bersih 3.0, Xenophon telah bersama-sama pemerhati antarabangsa berada di Kuala Lumpur bagi memerhati perhimpunan itu.


Beliau turut merasai kepedihan gas pemedih mata yang di tembak oleh pasukan keselamatan di perhimpunan itu.

Ekoran komennya terhadap perhimpunan itu, Utusan dan NST telah menyerang beliau dengan mendakwa senator Australia itu anti Islam.

Ia berdasarkan satu ucapan beliau di Australia. Senator ini juga didakwa seorang penyokong LGBT.


Lagi Bekas Pegawai Tinggi Kerajaan Sertai PAS

Posted: 16 Nov 2012 06:05 PM PST

(Datuk Nahrawi sertai PAS)
KOTA BHARU: Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV malam ini menyaksikan seorang lagi pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS.

Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Nahwari Hashim, menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyerahan itu disaksikan lebih 30,000 hadirin yang hadir dalam himpunan itu malam ini.


Mohd Nahrawi juga sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam.

Beliau yang ditemui Harakahdaily berkata, kemasukannya ke dalam PAS didorong kesedaran kuat bahawa parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam yang sebenar.

"Saya dah lama nak menyertai PAS, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya.

"Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih PAS," katanya.

Baginya, PAS satu-satunya parti yang mampu memartabatkan Islam di negara ini selepas banyak kerosakan dilakukan pemerintah sekarang.

Oleh kerana itu katanya, PAS menjadi pilihannya.

Menurutnya kemasukannya ke dalam PAS diharap mampu menyumbang sesuatu ke arah membina negara yang lebih baik.


Ahli Parlimen BN ‘meroyan’ ditanya tentang Scorpene

Posted: 16 Nov 2012 05:37 PM PST

KUALA LUMPUR 16 November: Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron dari Barisan Nasional (BN) 'meroyan' apabila disoal tentang Scorpene.

Ketika dihubungi Keadilan Daily, beliau ditanya berhubung kesediaannya untuk hadir mendengar taklimat Scorpene yang akan disampaikan dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham di Parlimen minggu depan.

Idris menjawab, "Saya tak perlu dengar keterangan penipu macam itu, orang macam itu akan guna apa cara sekalipun untuk buktikan dia betul," katanya penuh emosi.


Lebih teruk lagi, beliau turut merapu dengan menghambur kata-kata 'pedas' terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cuba memburukkannya.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen BN menafikan kebenaran kes rasuah pembelian Scorpene yang melibatkan pemimpin tertinggi negara.

Antaranya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas kononnya pembelian kapal selam Scorpene adalah mengikut prosedur perundangan.

Kerajaan juga mengatakan tiada kes sedang berjalan di Mahkamah Perancis.

Bourdon dan Breham akan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai prosiding inkuiri di Tribunal De Grande Instance berkenaan pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia.

Berbeza dengan Idris, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang juga pemimpin BN dilihat agak profesional kerana sedia untuk hadir taklimat tersebut Khamis depan.

- www.keadilandaily.com/


Anwar dakwa Umno kini 'sasau, meroyan, nyanyuk'

Posted: 16 Nov 2012 04:15 PM PST

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno kini berada dalam keadaan "sasau, meroyan dan nyanyuk" sehingga sanggup memainkan pelbagai dakwaan termasuk hubungan dengan Yahudi dan Israel serta kenyataan anaknya, Nurul Izzah yang didakwa menyokong murtad.

"Umno kini sasau, meroyan dan meracau... Sebabnya (mereka) tidak ada benda yang hendak dipertahankan. Kalau ikut negeri dan pembangunan, negeri Pakatan Rakyat lebih membangun. Bersih lagi (pentadbiran) kita.


"Yang ada (pada mereka) fitnah. Kalau rakyat sudah termakan fitnah, padahnya punah ranahlah negara kita. Kita (kena) selamatkan negara kita, umat dan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.

Apatah lagi, katanya, rakyat kini memberi sambutan pada janji Pakatan yang ditawarkan termasuk pendidikan percuma, mengembalikan royalti kepada negeri yang berhak dan menurunkan harga kereta, sekiranya gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya.

Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Mohamad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, Anwar menempelak pemimpin BN yang mendakwa negara akan muflis jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini.

Ketua pembangkang itu menegaskan dakwaan tersebut tidak benar memandangkan terbukti sebelum ini hutang negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Umno sebelum ini, dibayar oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, terkini berlakunya lebihan pendapatan kerajaan negeri Selangor sebanyak RM2.4 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM2 bilion kerana dipimpin oleh Pakatan Rakyat.


"Jadi MB tak pandai sebab lebihan pendapatan?" soal Anwar sambil menjelaskan hutang kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Najib Tun Razak kini mencecah RM538bilion.

Merujuk ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum itu yang menekan soal etika, sistem nilai dan tatakelola kerajaan, Anwar yakin Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya sekalipun pilihan raya umum diadakan pada Disember atau Januari tahun depan.

Sementara itu, Abdul Hadi pula cuba meyakinkan puluhan ribu penonton di stadium itu mengenai kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat jika mentadbir Putrajaya dengan adil, amanah dan bersih.

"Kalau ada rasuah, tolong tangkap, ambil tindakan. Kami tidak mahu pemimpin kerajaan yang rasuah," katanya sambil menegaskan rakyat, harta negara dan pentadbiran adalah amanah dan Allah melaknat orang yang mengamalkan rasuah.

Mengulas mengenai kerajaan yang adil, Abdul Hadi memberi contoh pentadiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang menulis surat kepada gabenornya yang gagal bersikap adil atau berdepan risiko dipecat.

"Negara lain, kalau pemimpin mereka silap, akan dipecat. Seluruh dunia berlaku, kita bila lagi. Pecat kerajaan yang ada, gantikan dengan kami, Pakatan Rakyat. Kita laksana pentadbiran yang baik," katanya.

Turut hadir dalam himpunan tersebut, Mursyidul AM PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang serta wakil NGO BERSIH, ANAK, Lynas dan Royalti.


Tiada ulasan: