Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
AIDILADHA atau Hari Raya Korban mengingatkan seluruh umat Islam di dunia ini mengenai kisah pengorbanan suci dua beranak iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ibrahim menerima perintah ALLAH SWT dengan hati yang terbuka manakala Ismail pula menyambutnya dengan penuh ketaatan.
Tercatat dalam firman ALLAH yang bermaksud: "Setelah anak itu sanggup berusaha bersamanya, berkata Ibrahim kepadanya: Hai anakku, sesungguhnya aku bermimpi dalam tidur, bahawa aku menyembelih engkau, maka perhatikanlah, bagaimana fikiran engkau? Sahut anaknya: Hai bapaku, perbuatlah apa yang diperintahkan itu, bapa akan mendapatiku berhati sabar, insya-Allah," (Surah as-Saaffaat:102-113)
Benar!, tidak ada seorang pun bapa di dunia ini yang sanggup menyembelih anaknya. Namun, dua watak utama dalam kisah agung ini menunjukkan kepada Muslimin jua Muslimat betapa hebat dan tingginya nilai iman seorang bapa dan anak kepada ALLAH walaupun jasad si anak menjadi taruhan. Lihatlah betapa kukuhnya iman Ismail menerima perintah itu sungguhpun dia masih anak remaja.
Teladani watak Nabi Ismail Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Taufik Ismail berkata, Ismail adalah contoh belia yang perlu diteladani dan dicontohi oleh golongan remaja hari ini supaya ia tidak sekadar menjadi suatu yang retorik dan diingati, dikenang setiap kali tibanya Aidiladha, sebaliknya pengorbanan itu perlu dihayati dengan cuba meneladani keperibadian agung anak Ibrahim dalam kisah ajaib ini sebagaimana dipaparkan ALLAH dalam al-Quran.
"Saya perhatikan, menjelangnya Hari Raya Korban ramainya insan yang menunjukkan betapa mereka menghayati kisah itu tetapi keadaan itu hanya sementara dan sekadar menunjuk untuk menerima pujian daripada masyarakat sekeliling.
"Keperibadian Ismail sepatutnya menjadi ikutan remaja hari ini, Ismail adalah anak remaja yang mempunyai peribadi menarik , apabila dikhabarkan oleh ayahandanya mengenai perintah penyembelihan daripada ALLAH itu dengan senang beliau berkata tunaikanlah perintah itu," katanya kepada Rehal.
Menurutnya, saban hari kita membaca dan menonton kes melibatkan perbuatan remaja hari ini. Apakah yang perlu dilakukan lagi. Seminar dan program kemantapan diri sudah tidak terkira. Wahai remaja berubahlah kerana anda adalah pejuang Negara di masa hadapan.
Nabi Ismail adalah hasil perkongsian hidup Nabi Ibrahim dan SIti Hajar. Sedari kecil lagi beliau jauh terpisah dengan bapanya. Saat diketemukan turun pula perintah ALLAH. Nabi Ismail tidak mudah melatah kerana sifatnya yang terpuji, antaranya:
1- Taat dan patuh Nabi Ismail adalah seorang anak yang taat dan patuh kepada ayahnya Nabi Ibrahim, lihatlah bagaimana reaksi beliau apabila menerima khabar daripada bapanya tentang mimpi benar daripada ALLAH untuk menyembelih beliau. Beliau tidak berdolak dalih itu dan ini, atau meminta ditangguhkan dan tidak juga mempersoalkan perkara tersebut,
Jelas di sini, terserlah keperibadian seorang anak yang baik dan taat kepada orang tuanya yang perlu diteladani oleh para remaja hari ini, taatlah kepada ibu bapa sebagaimana taatnya Nabi Ismail kepada bapanya Nabi Ibrahim.
2- Baik berbicara Penggunaan kata" Ya abati" yang bermaksud ( wahai ayah) ketika Nabi Ismail berbicara dengan ayahnya, menunjukkan betapa beradab dan sopannya bahasa yang digunakan Ismail ketika berbicara dengan ayahnya Nabi Ibrahim, walaupun pada saat yang mencemaskan.
Inilah yang patut diteladani oleh para remaja hari ini, contohilah Nabi Ismail apabila bercakap dengan orang tua , berbicaralah dengan ibu bapa dengan penuh adab dan sopan, dan gunalah bahasa yang lembut seperti bahasa Nabi Ismail.
3- Sanggup berkorban Amat tinggi nilai pengorbanan Nabi Ismail di sisi ayahnya dan di sisi ALLAH. Beliau sanggup mengetepikan kepentingan diri sendiri dengan mengutamakan suruhan ALLAH dan bapanya Nabi Ibrahim. Satu lagi sinar mutiara yang terpancar daripada peribadi Nabi Ismail,
Inilah yang sepatutnya ada pada diri setiap remaja hari ini. Hidup bukan semata-mata memikirkan kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi sanggup berkorban segala-galanya termasuk jiwa raga demi agama, ibu bapa, adik-beradik serta keluarga.
4- Bersifat sabar Satu lagi mutiara akhlak yang bersinar pada peribadi Ismail ialah beliau menyatakan kepada bapanya insya-Allah beliau akan menjadi orang yang sabar dalam menempuh ujian ini. Subhanallah! Ini satu lagi keajaiban, yang lebih ajaib lagi, jika ada remaja hari ini yang boleh mencontohi Nabi Ismail menjadi remaja yang penyabar, inilah yang kita idamkan.
Usaha bersama lahirkan "Ismail baru" Jika para remaja hari ini dapat menghayati dan membentuk peribadi seperti peribadi Nabi Ismail sudah barang pasti akan lahir "Isnail-Ismail baru" yang akan mewarnai kembali dunia remaja yang semakin tercalar dan tercemar dek perangai-perangai dan peribadi yang menyimpang jauh daripada peribadi Nabi Ismail.
Taufik menjelaskan, inilah yang perlu kita garapkan setiap kali mengingati peristiwa agung pengorbanan Nabi Ismail, bersama berusaha supaya para remaja khususnya anak-anak kita sendiri hari ini dapat mencontohi dan meneladani peribadi Ismail dan dapat diterjemahkan dalam dunia remaja hari ini.
"Tidak syak lagi kita akan dapat melihat perubahan yang ketara dan sinar baru dalam landskap dunia remaja hari ini. Inilah sebenarnya yang diimpikan oleh setiap ibu bapa supaya anak mereka menjadi anak yang baik pekertinya. Oleh itu, marilah sama-sama kita berganding bahu berusaha dengan apa jua cara dan methodnya bagi merealisasikan dan menjelmakan "Ismail baru" dalami kalangan remaja hari ini yang mempunyai peribadi unik dan unggul.
"Niat utama yang perlu wujud dalam hati remaja kita adalah perasaan ingin berubah ke arah kebaikan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Ibarat kata jangan biarkan mereka melakukannya kerana sesuatu. Berubahlah sebelum terlambat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan