Isnin, 15 Oktober 2012

PERAKITE

PERAKITE


EMPAT NEGERI PAKATAN RAKYAT UNGULI PEROLEHAN PENDAPATAN

Posted: 15 Oct 2012 03:08 AM PDT

Pulau Pinang  terus mendahului senarai daripada segi pungutan hasil negeri dengan mencatatkan peningkatan  RM192.19 juta atau 46.8 peratus berbanding dengan RM410.70 juta yang dicatat pada tahun 2010.

Selain itu Selangor pula meningkat  RM62.50 juta atau  empat peratus untuk tempoh yang sama, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Laporan itu melaporkan bahawa pengurusan fiskal yang baik dicatat oleh kesemua empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah daripada segi perolehan pendapatan.

Dalam Laporan itu, Ketua Audit Negara, Ambrin Buang memuji empat negeri ini berdasarkan petunjuk imbangan perolehan dan mengawal kadar hutang di samping berusaha meningkatkan pendapatan kerajaan negeri masing-masing.

Bagaimanapun, Kedah menyaksikan penurunan lebihan apabila mencatatkan peningkatan dalam perbelanjaan operasi kerajaan negeri walaupun meningkatkan hasil, namun laporan itu menyatakan kerajaan negeri telah berjaya mengekalkan lembaran imbangan "memuaskan".

Negeri yang kaya dengan sumber petroleum, Kelantan, juga mendapat prestasi memuaskan disebabkan oleh peningkatan dalam dana yang disatukan sebanyak RM86.17 juta atau 58.1% kepada RM234.47 juta berbanding dengan RM148.30 juta yang diperolehi pada tahun 2010.

Kelantan mencatat peningkatan  RM95 juta pada 2011 daripada RM16.33 juta pada tahun 2010 kepada RM111.33 juta.

Prestasi penyata kewangan secara keseluruhan di negeri ini, di mana perolehan berbanding jumlah pengurusan dan perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2011, mencatatkan peningkatan daripada defisit berjumlah RM171.70 juta pada tahun 2010 kepada RM141.53 juta pada tahun 2011.

Selangor dan Pulau Pinang telah dipuji kerana inisiatif mereka untuk meningkatkan prestasi pengurusan kewangan mereka. 

Takda kuasa halang terima dana asing

Posted: 15 Oct 2012 02:39 AM PDT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata tiada peruntukan dalam Akta Syarikat dan Akta Pertubuhan yang menghalang mana-mana pertubuhan atau syarikat menerima dana asing.

Katanya, mana-mana pertubuhan dan syarikat hanya perlu menghantar dokumen antaranya laporan tahunan, akaun yang diaudit, minit mesyuarat atau aktiviti tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tujuan pemantauan. 

"Pengemukaan dokumen di bawah Akta 125 (Akta Syarikat) dan Akta 335 (Akta Pertubuhan), hendaklah dibuat oleh syarikat dan pertubuhan kepada SSM atau ROS untuk membolehkan mereka memantau dan melihat pergerakan aktiviti tahunan.

"Sekali gus, jika terdapatnya timbul penyaluran dana asing kepada syarikat dan pertubuhan berkenaan, maklumat itu boleh diketahui oleh SSM dan ROS. Bagaimanapun, dalam kedua-dua akta ini, tidak ada peruntukan yang menghalang syarikat dan pertubuhan menerima asing tersebut.

"Sehubungan dengan itu, tidak ada pendakwaan boleh dibuat terhadap mana-mana syarikat atau pertubuhan yang menerima dana asing itu," katanya.

Nazri bagaimanapun berkata pendakwaan tetap boleh dijalankan ke atas pertubuhan haram yang beroperasi tanpa didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan.

Katanya, ia yang merupakan satu kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000, di bawah subseksyen 6(3), Akta 335 Akta Pertubuhan.

Beliau yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata dalam Dewan Rakyat sewaktu menggulung ucapan rang undang-undang perbekalan 2013 bagi Jabatan Perdana Menteri.

APEK ditawar RM3 juta...

Posted: 15 Oct 2012 02:23 AM PDT

Khairul Fahmi Che Mat menjadi hot apabila dikatakan mendapat tawaran RM3 juta untuk bermain dengan pasukan lain.

Khairul atau Apek dikatakan menerima tawaran sejumlah itu termasuk RM800,000 bagi menebus kontraknya dengan Kelantan yang masih berbaki tiga tahun. 

Sekiranya benar, Apek, 23, bakal menjadi pemain bola sepak tempatan termahal, mengatasi bekas penyerang Selangor, Safee Sali yang menerima bayaran lebih RM2 juta untuk mewakili kelab Indonesia, Pelita Jaya FC.

Tawaran RM3 juta itu tersebar di Internet terutama laman sosial, FB dan ia dikatakan dibuat pasukan Johor. 

Apek bagaimanapun enggan mengulas, tetapi mengakui ada pasukan cuba 'memancingnya'.

"Saya perlu menghormati kontrak (bersama skuad Kelantan) yang masih ada. Saya tidak tahu bagaimana cerita ini timbul dan enggan memikirkannya," katanya.

Norodom Sihanouk, bekas Raja Kemboja meninggal dunia

Posted: 14 Oct 2012 06:35 PM PDT

Norodom Sihanouk, bekas raja Kemboja yang berpengaruh besar dalam politik lebih enam abad, meninggal dunia hari ini, di Beijing.

Beliau berusia 89 tahun. 
Jurucakap Kerajaan Kemboja, Khieu Kanharith, berkata Sihanouk meninggal dunia awal hari ini.

Beliau berlepas ke Beijing awal tahun lalu untuk mendapatkan rawatan. 

Putera Sisowath Thomico, yang juga anggota keluarga diraja serta pembantu kepada Sihanouk, berkata bekas raja itu mendapat serangan jantung di sebuah hospital di Beijing. 

"Kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada Kemboja," kata Thomico. 




Sihanouk adalah tokoh utama dalam politik Kemboja untuk lebih enam dekad tetapi melepaskan tampuk pemerintahan pada 2004 kerana kesihatannya yang semakin merosot. 

Beliau menyerahkan kuasa pemerintahan kepada anaknya, Norodom Sihamoni. 

Ahsan Ali umpama kueh talam

Posted: 14 Oct 2012 05:23 PM PDT

Datuk Hasan Ali yang dibuang daripada PAS menyalak agar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dibuang daripada jawatan Mursyidil Am Pas konon untuk mengelak nasi jadi bubur...wal hal dia (Hassan) sendiri dah umpama kueh talam.

Presiden organisasi bukan politik itu (JATI) nampak sangat kurang kewarasan berfikirnya akhir-akhir ini dengan mendesak TGNA menyerahkan jawatan tersebut kepada Datuk Haron Din iaitu timbalan mursyidul am.

Katanya, beliau bimbang sokongan (terhadap kerjasama dengan DAP) oleh Nik Abdul Aziz itu menjadikan "golongan parasit menjadi lebih ganas menghentam Islam serta perjuangan Islam".

Hassan yang ketandusan isu kini selepas konon berjuang memperbetulkan akidah umat Islam  kebelakangan ini (setelah hampir PRU) banyak mengkritik PAS dan Pakatan Rakyat sebaik dipecat awal tahun ini atas tindakannya.

Kenyataan itu timbul ekoran laporan media semalam berhubung kenyataan Nik Abdul Aziz yang positif ke arah kerjasama dengan DAP bagi meraih sokongan bukan Melayu dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ajal dihempap TV

Posted: 14 Oct 2012 03:46 PM PDT


Seorang bayi lelaki berumur dua tahun mati dihempap televisyen di rumahnya di Jalan Saujana 1, Taman Ampang Saujana di Ampang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu berlaku ketika Halif Hariz Khairil Anuar menarik sebuah laci rak televisyen dalam bilik tidur, yang menyebabkan televisyen 29 inci terjatuh dan menghempap mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintenden Md Nazri Zawawi berkata semasa kejadian, ibu mangsa, Nor Azlin Mohd Ali, 31, yang berada di bilik itu terdengar bunyi benda jatuh. 

"Apabila menoleh ke arah anaknya, beliau mendapati anaknya dihempap televisyen," katanya.

Beliau berkata Halif Hariz mengalami kecederaan teruk dan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Ampang.

Tiada ulasan: