Khamis, 11 Oktober 2012

pemuda cheh

pemuda cheh


Kesan buruk lambung atau timang-timang bayi kesayangan kita

Posted: 11 Oct 2012 03:36 AM PDT


SAYANG ANAK TIMANG-TIMANGKAN

Pesakit terakhir yang kami 'tidurkan' ialah bayi berusia 4 bulan.

Bayi tersebut telah disyaki mendapat sawan pada pukul 2 petang tadi. Beliau sebelum ini sihat dan dijaga oleh pengasuh. Beliau tidak demam dan tidak batuk serta tidak mempunyai simptom-simptom yang lain. Itulah kali pertama beliau mendapat sawan.

Sesampai di resus room (red zone), beliau masih lagi kelihatan mengantuk dan kurang responsif. Beliau kelihatan pucat dan apa yang menakutkan kami ialah ubun-ubun depan beliau yang timbul dan mencembung (bulging). Memandangkan beliau tidak demam dan ujian menunjukkan beliau kurang darah (Hb 8g/dl), serta bayi tersebut masih kurang responsif selepas satu jam sawan, kami mengambil keputusan untuk melakukan CT scan otak ( Brain CT Scan).

Scan otak menunjukkan beliau mengalami pendarahan otak yang serius, Acute and Chronic Subdural Bleed with Subarachnoid bleed! Terkejut. Kali ini ibu bayi tersebut telah pun selamat tiba dari pejabatnya. Saya bertanyakan lagi sejarah kesihatan bayi tersebut. Satu-satunya cerita atau sejarah yang relevan ialah pengasuh bayi tersebut suka menimangnya tinggi-tinggi. Bayi itu dikatakan sangat suka ditimang.



SHAKEN BABY SYNDROME (SBS)

SBS merupakan kecederaan otak bayi disebabkan goncangan atau pergerakan kepala yang kuat. Boleh berlaku dalam tempoh sesingkat 5 saat pergerakan yang kuat. Kecederaan yang serius boleh menyebabkan kecacatan otak yang lama, serius dan kekal pada bayi. Ianya berlaku apabila kepala bayi digoncang atau dihentak dengan objek walaupun objek lembut seperti bantal. Ada teori mengaitkan dengan pergerakan seperti menimang bayi, menaiki buaian serta memegang bayi ketika seseorang sedang marah atau bergaduh boleh menyebab berlakunya SBS. Sebab lain ialah penderaan bayi (child abuse) dan selalunya mempunyai kesan-kesan penderaan yang lain.

Perkara ini berlaku kerana kepala bayi mempunyai nisbah yang lebih besar berbanding badan mereka, leher yang lemah dan struktur otak yang masih belum matang serta lebih kandungan air berbanding orang dewasa.

Amalan menimang atau menggoncang sering dilakukan oleh penjaga terutama bila bayi tidak mahu berhenti menangis. Ada yang menimang bayi kerana untuk menenangkan bayi dan ada juga melakukannya ketika marah atau penat menjaga bayi.

Ini bukanlah kes SBS pertama yang saya rawat. Sebelum ini saya juga pernah merawat seorang bayi di wad kanak-kanak yang mempunyai kecederaan otak yang serius dikhuatiri berpunca daripada menaiki buaian.

PENCEGAHAN

Jangan sesekali menggoncang bayi anda ketika marah atau untuk bermain.
Jangan memegang bayi anda ketika marah.
Jikalau anda tidak dapat menenangkan bayi anda, lebih anda tinggalkan bayi anda untuk sementara waktu di dalam katil bayi atau kepada orang lain.
Minta bantuan orang lain.
Maka, saya sangat berharap agar ibu bapa dan penjaga semua dapat mengambil serius dan peka tentang Baby Shaken Syndrome ini. Ianya bukanlah kes terpencil malah di Amerika Syarikat sebanyak 1500 kes dilaporkan setiap tahun. Mereka juga telah mengharamkan sebarang bentuk alat menggoncang bayi seperti buaian.

Kisah Pilu Bagaimana Berakhirnya Sistem Pemerintahan Khalifah Islam

Posted: 10 Oct 2012 04:53 PM PDT


Pada 18hb Disember, 1914, British menjajah Mesir lalu berusaha memutuskan hubungan antara Mesir dengan Turki, Raja Abbas telah digulingkan dan Amir Hussin bin Kamil telah dilantik menjadi Raja Mesir dengan memakai gelaran Sultan.


British telah menjadikan Mesir sebagai pusat kegiatan sulitnya yang bertujuan untuk menghapuskan Khalifah Uthmaniyah di Turki.

Tindakan pertama Brirish dengan memuji Mustafa Kamal Ataturk yang kononnya berjaya menyelamatkan Turki dari penaklukan tentera asing. Rakyat Mesir turut memuji dan menyanjung Mustafa Kamal Ataturk.

Kerana itu apabila Mustafa Kamal Ataturk menggulingkan Sultan Abdul Hamid 11 dan melantik Wahiduddin sebagai pengganti maka rakyat Mesir menyokong tindakan itu. Ulama Universirti Al Azhar juga menyokongnya.

Tidak lama kemudian, Mustafa Kamal Ataturk mengisytiharkan bahawa politik dan agama adalah dua perkara yang berasingan. Lantaran itu, beliau pun melucutkan kuasa politik Sultan Wahiduddin. Walaupun tindakan ini amat merbahaya, namun rakyat Mesir masih menyokongnya. British pula menjalankan propagandanya dengan memuji tindakan itu. Malah Muhammad Syakir, seorang ulamak Mesir yang sangat berpengaruh ketika itu turut memuji tindakan Mustafa Kamal Ataturk itu.

Tidak lama kemudian, Tiba-tiba, rakyat Mesir mendapat tahu bahawa Mustafa Kamal Ataturuk telah memansuhkan sistem pemerintahan Khalifah. Baru rakyat Mesir sangat terkejut, sedih dan pilu mendengar berita tersebut. Barulah mereka sedar bagaimana British memainkan peranan menipu rakyat Mesir bagi menjayakan rancangan mereka menjatuhkan Khalifah Islam.

Empat hari selepas sistem pernerintahan Khalifah dihapuskan barulah para ulamak Al-Azhar telah mengisytiharkan tindakan Mustafa Kamal Ataturk itu tidak sah. Mereka mahu mengadakan persidangan untuk melantik Khalifah Islam yang baru.

Sekali lagi British memainkan peranannya untuk menggagalkan rancangan tersebut kerana mereka tidak mahu wujud semula sistem khalifah Islam. Orang-orang British di Afghanistan menyuruh Raja Afghanistan bernama Amanullah Khan merebut jawatan khalifah. Dalam masa yang sama rakyat Palestin dan Jordan membai'ah raja mereka Syarif Hussin bin Ali menjadi Khalifah. British juga mahu Raja Mesir iaitu Raja Fuad menjadi khalifah. Taktik mereka hanya untuk menimbulkan perebutan di kalangan pemimpin Islam. Dan keadaan menajdi bertambah rumit apabila Sultan Wahiduddin Turki yang digulingkan berada dalam buangan di Pulau Malta juga mahu merebut jawatan Khalifah.

Kerana ini apabila ulamak Al-Azhar membuat kenyataan mahu mengadakan persidangan melantik khalifah yang baru maka berlaku pertikaian. Pihak British pula berusaha habis-habisan menyekat tertegaknya semula system pemerintahan Khalifah Islam.

Mereka berjaya mempengaruhi Sa'ad Zaghlol Perdana Menteri Mesir untuk menggagalkan persidangan itu. Pada masa yang sama British menyokong supaya Raja Fuad Mesir menjadi Khalifah.

Ini menyebabkan para ulamak dan cendekiawan Islam ini terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada para ulamak rasmi yang diketuai oleh Naib Canselor Universiti Al- Azhar mereka menyokong pemilihan Raja Fuad sebagai Khalifah. Kumpulan kedua pula tidak bersetuju Raja Fuad dipilih menjadi Khalifah. Mereka juga bertegas persidangan itu sepatutnya diadakan di Mekah bukan di Mesir.

Setelah persidangan itu ditangguhkan beberapa kali akhirnya dapat diadakan pada 13hb Mei 1926. Tetapi hanya 34 perwakilan sahaja yang hadir. Mereka tidak boleh membuat perlantikan Khalifah. Maka berjayalah usaha British untuk menggagalkan usaha para ulamak Islam menegakkan system Khalifah.

Usaha menegakkan semula system Khalifah Islam masih boleh dijalankan sekiranya para ulama dari Negara-negara Islam yang di ketuai ulama university al Azhar mengadakan satu persidangan bagi melantik khalifah Islam yang baharu..
Namun yang pasti pihak British dan sekutunya akan berusaha untuk menggagalkannya.

Kerana itu umat Islam perlu kuat dan bersatu baru khalifah Islam boleh ditegakkan semula…

Tiada ulasan: