Kerabu Bersuara ® |
- Isu penutupan pasar malam Kampung Kerinchi
- Anwar Ibrahim Menyampai Tazkirah di Masjid Titi Gantung, Bota Perak
- Air mata mengiringi belanjawan terakhir UMNO : Oleh Izmil Amri
- Bank Negara rugi RM30 bilion angkara Menteri?
- Bajet BN rendah punca ekonomi negeri Pakatan terbantut – Khalid
- Sendiri yang tak pandai, salahkan Soros pula
- Chamil Wariya, Utusan mohon maaf pada Teresa Kok
- Kerajaan Pusat Harus Adil Dan Saksama Kepada Semua Negeri
- Kenaikan Harga Gula : Awang Adek Dangkal
- Raja Pondan? Mohon Kepastian Gambar Ini
- Aku Kata Dah Awang Adek Babuk!
- MB : Pembenihan Awan Sekiranya Air Surut Di Empangan
- MB : Muhyiddin Tidak Pandai Baca Angka
Isu penutupan pasar malam Kampung Kerinchi Posted: 08 Oct 2012 07:27 AM PDT Isu Penutupan Pasar Malam Kampung Kerinchi yang setelah hampir 30 tahun bertapak dan memberikan khidmat kepada masyarakat sekitar akan tinggal lipatan sejarah selepas ini. Peniaga-peniaga di kawasan tersebut telah diarah untuk menutup perniagaan mereka tujuh bulan lalu. Pada 2 April 2012, permohonan saya untuk penundaan penguatkuasaan penutupan pasar tersebut diluluskan oleh Pengarah Jabatan Pemudahcara Perniagaan dan Pengurusan Penjaja. Perniagaan para peniaga diteruskan di kiri dan kanan bahu jalan, Lorong Kerinchi Kiri 1. Perniagaan berjalan seperti biasa sehinggalah pada 7 September 2012, bila para peniaga memaklumkan saya tentang kehadiran pihak Penguatkuasa DBKL untuk kerja penutupan. Perbincangan diadakan pada hari yang sama, dan diputuskan penyelesaian menerusi satu tapak alternatif berdekatan buat peniaga yang sudah berniaga berdekad lamanya di Kampung Kerinchi. Malang, kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada 9 September 2012, hanya menyebut tentang peluang yang diberi kepada peniaga yang masih ingkar terhadap arahan tutup tujuh bulan lalu. Sekali lagi, pada 10 September 2012, saya hadir mengadakan sidang media berkenaan isu yang sama yang turut dihadiri Pengerusi JMB Flat PKNS 14 Tingkat, En Zamri dan Peniaga-peniaga yang menyatakan pihak DBKL perlu memberikan masa dan waktu penangguhan bagi menutup pasar malam berkenaan. Sedang perbincangan berlangsung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik, para peniaga dikejutkan dengan berpuluh pegawai penguatkuasa DBKL pada 5 Oktober 2012. Rundingan dengan pihak DBKL menghasilkan pembatalan sebarang kompaun dan saman keatas peniaga yang terus beroperasi. Hari ini, nasib para peniaga masih lagi tidak terjawab. Walau Projek Pembangunan Semula Flat 4 Tingkat PKNS sedang berjalan dan jika tapak pasar malam berkenaan menjadi penghalangnya, pihak berwajib bersama DBKL perlu melunaskan perkara-perkara berikut: i. Laporan impak persekitaran dan tahap keselamatan di kawasan terbabit untuk diteliti dan dinilai oleh peniaga dan penduduk di kawasan tersebut, sekiranya benar menghalang pembangunan semula yang sedang berlaku. Ketelusan sebegini akan membantu peniaga-peniaga juga mendapatkan tapak alternatif yang selamat, tidak menghalang laluan dan memanfaatkan semua pihak. Hal ini juga penting memandangkan ada dua laluan masuk ke tapak projek selain laluan yang digunakan peniaga-peniaga pasar malam Kampung Kerinchi. ii. Pengesahan dan kelulusan tapak alternatif bagi semua peniaga yang sedia ada. Para peniaga sudahpun memberi cadang balas untuk tapak alternatif bagi mereka meneruskan perniagaan. Sehingga tapak tersebut memuatkan para peniaga, maka saya meminta agar mereka diberi laluan untuk meneruskan aktiviti perniagaan di Kampung Kerinchi tanpa dihalau, ataupun disaman. Permohonan dibuat memandangkan kenyataan Menteri Wilayah sendiri untuk tapak alternatif buat peniaga. Lunaskan janji tersebut, jangan menghalau dan menuduh sembarangan. Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai Naib Presiden KEADILAN 8 Oktober 2012 |
Anwar Ibrahim Menyampai Tazkirah di Masjid Titi Gantung, Bota Perak Posted: 08 Oct 2012 05:14 AM PDT MediaRakyat (Pic) Anwar Ibrahim Menyampai Tazkirah di Masjid Titi Gantung, Bota Perak |
Air mata mengiringi belanjawan terakhir UMNO : Oleh Izmil Amri Posted: 08 Oct 2012 05:00 AM PDT Hanya air mata yang dapat dititiskan di akhir ucapan pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri Najib Razak yang berbusana hijau dan berhempas pulas menyebut perkataan-perkataan arab dengan lidahnya yang tidak fasih. Perlu pula merujuk skrip yang telah siap ditulis oleh entah siapa. Malah untuk menyindir lawan politiknya juga Najib Razak malah terpaksa berlakon dengan bersusah payah, dengan aksi tangan dan riak wajah yang dibuat-buat; berbekalkan skrip juga. Ini amat menyedihkan sekali. Menitis air mata dibuatnya. Kejenuhan Najib Razak untuk berucap sambil menyedari ini mungkin kali terakhir beliau berucap membentangkan belanjawan juga amat mengharukan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Wajahnya yang kian tua dan ganyut menambah simpati terhadap insan yang akan mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri terakhir Barisan Nasional. Beliau bermula dengan membaca sepotong ayat Al-Quran yang mengajak manusia supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kita terpana dengan keadaan ini kerana bukan setiap hari kita dapat mendengar Najib Razak memetik ayat Quran. Mau menyebut lafzul jalalah juga amat jenuh bagi lidahnya yang kesat dan keras dek kerana menuturkan penipuan saban hari. Jadi kita harus rasa kasihan dan bersimpati. Setiap kali beliau membetulkan kain sampingnya yang kerap terlondeh, kita tahu bahawa Sang Perdana Menteri sudah semakin kurus. Kita mesti ada rasa belas terhadap orang ini. Orang ini sedang menikmati saat-saat akhirnya menyampaikan ucapan belanjawan. Maka kita harus simpati dan bagi muka sedikit apabila orang ini dengan nakalnya mengambil peluang di hujung ucapannya untuk menyindir dan menghentam lawan politiknya. Mungkin ini lah sahaja peluang yang dia ada untuk mengata pihak Pakatan Rakyat secara berdepan, meski tidak berani pun bertentang mata. Diajak berdebat tidak pula berani. Mentang-mentanglah tiada peluang untuk Anwar Ibrahim membalas kata-kata nista sang Menteri Perdana. Ucapan politik terburuk Pokoknya Najib Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Menteri Wanita telah menyampaikan sebuah ucapan politik yang sangat buruk dalam sejarah ucapan politik beliau. Dan di seberang sana, duduk Dato Seri Anwar Ibrahim, bakal penggantinya bersama barisan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hanya tersenyum dan ketawa kecil melihat telatah Najib Razak yang seakan sedang sembelit. Kurang dua jam Najib Razak berucap, dengan hampir lima kali meneguk air dan lebih sepuluh kali mengelap liur yang berkumpul di pinggir bibir. Ucapan dua jam itu perlu kita analisa secara teliti untuk memahami tipu daya UMNO di akhir usianya; dan mengetahui betapa kita seharusnya kasihan dengan Perdana Menteri nan satu ini, yang begitu payah berusaha untuk menjadi seperti Anwar Ibrahim. Marilah kita bertafakur sejenak untuk Najib Razak dan UMNO yang sedang menikmati hari-hari akhirnya duduk di kursi Putrajaya. Namun persoalan yang lebih besar ialah: Adakah belanjawan yang dicadangkan Barisan Nasional ini satu belanjawan yang baik? Untuk memastikan samada belanjawan Najib Razak ini baik atau tidak, ada banyak cara untuk menilai. Salah satu cara ialah dengan mengira berapa kali kita tepuk dahi dan menggeleng kepala apabila mendengar pengumuman beliau. Ini saya kira senang untuk ditentukan. Satu lagi cara mudah adalah dengan mengira berapa kali kita ketawa. Ini juga mudah. Menimbangtara belanjawan BN Yang sedikit rumit ialah dengan menggunakan kaedah matematik dan ekonomi. Cara ini ramai orang tidak tahu. Buktinya saya ketemu di pasar malam dekat Stadium Malawati pada Jumaat malam itu sendiri. Pakcik yang menjual kebab dan air limau ais di situ bertanya pada saya, "Apa macam bajet? Bagus? Kan gula turun dua puluh sen!" Saya langsung tepuk dahi. "Pakcik, yang turun dua puluh sen tu subsidi gula. Harga gula betul naik lah dua puluh sen pakcik," jelas saya kepada beliau yang kemudian terus mencarut. Sama juga halnya dengan pengumuman bonus satu setengah bulan gaji untuk penjawat awam. Melompatlah kawan-kawan saya yang kerja kerajaan apabila mendengar pengumuman dari Bapa Pengumuman Malaysia itu. Tidak menyedari pun bahawa bayaran bonus itu dibayar dalam tiga bahagian, dengan satu bahagian sudah pun dibayar sewaktu Hari Raya yang lalu. Apa lagi yang kelakar? Saya rasa yang paling kelakar ialah rebat RM200 untuk pembelian telefon bimbit. Ini sangat lawak. Bagaimana ini akan meringankan beban rakyat, saya tidak tahu. Pada saya ini hanyalah usaha terdesak untuk membeli undi anak muda. Itu sahaja. Padahal ada banyak lagi perkara yang lebih berfaedah yang memerlukan peruntukan terbabit. Sama juga halnya dengan bantuan untuk orang bujang sebanyak RM250. Ini juga sebenarnya pembelian undi para mat rempit secara terang nyata. Ini sangat menyedihkan. Melihat sebuah kerajaan negara membangun sampai demikian terdesak untuk membeli sokongan orang muda adalah amat menyedihkan. Tambah menyedihkan apabila mendengar Najib Razak bercakap tentang 'hutang perlu dibayar' sambil merujuk kepada pinjaman PTPTN. Riuh di laman sosial, Twitter bahawa pesanan tersebut patut disampaikan kepada Tajudin Ramli dan keluarga Shahrizat Jalil. Nampak semacam Najib sedang menarik picu dengan laras pistol menghala ke kaki sendiri. Inilah dia Perdana Menteri United Malays National Organisation yang dipuja sekalian banyak penyokongnya yang saban hari kian berkurangan. Apa tidaknya jika hanya mampu bercakap sendirian mengutuk ide-ide Pakatan Rakyat, tetapi tidak pula berani tampil dalam sessi perbahasan belanjawan. Ini tambah menyedihkan dan membuat kita berasa kasihan. Apalah lagi yang ada pada parti pemerintah ini sampaikan mahu berdebat di Parlimen juga sudah tidak berani. Barangkali Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Menteri Wanita sudah tidak sanggup lagi menjawab soal hutang negara yang kian bertambah dengan kerancakan beliau berbelanja demi membeli undi dan sokongan rakyat yang sudah sedia muak dengan politik UMNO. Politik baling cat, sembunyi tangan. – Roketkini.com |
Bank Negara rugi RM30 bilion angkara Menteri? Posted: 08 Oct 2012 04:30 AM PDT 8 October 2012 KUALA LUMPUR, 8 OKTOBER: Dalam keghairahan kerajaan BN mengutuk Soros sebagai spekulator matawang asing, DAP mendesak kerajaan agar menjelaskan kerugian yang ditanggung Bank Negara mencecah RM30 bilion akibat skandal matawang oleh spekulator tempatan. "Tan Sri Nor Mohamed Yakcop harus tampil menjelaskan sepenuhnya skandal kewangan ini demi kepentingan awam," demikian kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika mengulas jawapan parlimen yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim dua minggu lalu. Timbalan Menteri Kewangan tersebut berkata di Parlimen bahawa Bank Negara hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM10.1 bilion pada tahun 1992 dan RM5.7 bilion pada tahun 1993. "Ini menimbulkan persoalan berhubung kerugian RM10.1 bilion pada tahun 1992 biarpun jumlah kerugian mencecah RM30 bilion seperti yang dianggarkan oleh bekas pegawai kanan Bank Negara Dr Rosli Yakcop yang pernah bekerja di bawah Tan Sri Nor," Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, Tan Sri Nor dikenal pasti sebagai watak utama dalam menguruskan urusniaga matawang untuk Bank Negara ketika itu dengan pertaruhan besar. "Ia melibatkan beratus-ratus juta Dolar Amerika untuk setiap lot pertaruhan dan sehingga kini beliau enggan menjelaskan penglibatan beliau atau mengapa beliau memperjudikan dana negara dengan begitu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia." Dalam perkara yang berkaitan, Guan Eng turut mempersoalkan mengapa Kerajaan Malaysia mengamalkan pilih kasih dengan melindungi spekulator matawang Malaysia seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop? "Lebih teruk lagi, Kerajaan BN bukan sahaja gagal menghukum mereka yang bertanggungjawab atas kerugian besar atau menuntut kebertanggungjawaban sepenuhnya, tetapi telah menaikkan pangkat spekulator mata wang forex seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada jawatan Menteri Kabinet." ujar beliau. Tambahnya, kegagalan untuk menjelaskan kepada umum berbuat demikian akan menunjukkan bahawa Kerajaan BN hanya berpura-pura dalam komitmennya terhadap kebertanggungjawaban awam dan ketelusan.- Roketkini.com |
Bajet BN rendah punca ekonomi negeri Pakatan terbantut – Khalid Posted: 08 Oct 2012 03:50 AM PDT (Oleh Aedi Asri) KUALA LUMPUR 8 Oktober: Bajet 2013 BN gagal memberi jawapan berhubung penyelesaian masalah di beberapa negeri yang mengalami pertumbuhan ekonomi rendah termasuk yang ditadbir Pakatan Rakyat. Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, hasil perancangan ekonomi dari tahun 2005 hingga 2010 tidak meningkatkan perkembangan ekonomi di negeri yang mencatat pertumbuhan rendah. "Contohnya, walaupun ada pelaburan besar di Kedah terutama di Langkawi pada 2005 hingga 2010, kesan keseluruhan kepada negeri itu sendiri tidak besar. "Kita juga dapati ada jurang pendapatan (antara negeri) yang tidak dapat diselesaikan," katanya pada sesi perbahasan Bajet BN di Parlimen, hari ini. Menteri Besar Selangor itu berkata, satu kaedah baru dan perubahan struktur peruntukan perlu dibuat agar belanjawan negara dapat membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh. Beliau mengambil contoh Australia dan Kanada yang mengamalkan 'formula kesamarataan' (equalisation formula) dalam merangka belanjawan negara agar pembangunan negara dibuat menyeluruh dan lebih saksama. "(Antaranya) Kerajaan Pusat beri peruntukan lebih dari segi pembangunan kepada negeri yang pendapatan per kapitanya rendah dan pertumbuhannya tidak stabil," katanya. Kata Khalid, penyelesaian pembangunan ekonomi Malaysia untuk lima tahun akan datang tidak bergantung penuh kepada pelabur luar, sebaliknya pembangunan dalam negeri. "Apatah lagi pertumbuhan ekonomi dunia sangat lembap ketika ini dan pembangunan dalam negeri menjadi sangat penting. "Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) terlalu tumpu kepada pelaburan di Lembah Kelang…(sebab) Selangor dan Wilayah Persekutuan beri hasil lebih 40 peratus kepada (pendapatan) negara," katanya lagi. Jelas Khalid, jika negeri lain tidak dibangunkan dengan teratur, pertumbuhan menyeluruh tidak akan berlaku dan negara tidak akan mencapai ke tahap yang diinginkan. "(Contohnya) Pembangunan infrastruktur dari Kuching hingga Kota Kinabalu yang ada dalam Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat tunjukkan keupayaan untuk ubah struktur peruntukan perbelanjaan agar dapat memangkin pembangunan negara," katanya. |
Sendiri yang tak pandai, salahkan Soros pula Posted: 08 Oct 2012 01:00 AM PDT Aspan Alias The Malaysian Insider 8 OKT — Dr Mahathir semalam bercakap lagi dan menambahkan keyakinan ramai yang beliau tidak lagi berasa senang melihat kejatuhan Umno dan BN. Jika BN jatuh beliaulah orang yang paling merasakan panasnya dan ini merupakan satu igauan bagi beliau. Beliau tidak pernah menyangka yang suatu hari nanti beliau akan tertekan dengan keadaan politik ciptaan beliau sendiri. Beliau tidak pernah menyangka yang suatu hari nanti rakyat akan membuka mata dan politik selepas itu akan menjadi mimpi ngeri bagi beliau. Selama ini beliau merasakan beliau boleh melakukan apa sahaja terhadap politik dan rakyat negara ini. Beliau tidak pernah menyangka yang pada suatu hari selepas beliau meletakkan jawatan dan bersara dari kerajaan pimpinannya akan datang isu-isu yang menjadikan parti dan kerajaan pimpinannya akan dibelakangkan oleh rakyat semua kaum. Berbagai cara beliau untuk mempertahankan kejatuhan Umno yang beliau tubuhkan itu. Menuduh semua orang bertanggungjawab di sana sini terutamanya pihak pembangkang. Dr Mahathir bukan sahaja mengutuk pembangkang untuk memalingkan rakyat mengarahkan kesalahan kepada beliau malahan beliau menumpukan masa dan waktunya untuk menuduh Abdullah Ahmad Badawi pemimpin yang beliau pilih sendiri untuk menggantikannya. Semua orang salah kecuali beliau dan keluarga beliau. Dr Mahathirlah pemimpin yang bergaduh dengan semua pihak semasa beliau memegang kuasa beliau seorang sahajalah yang betul. Orang lainnya semuanya tidak betul. Orang lain semuanya anti Melayu. Hanya beliau sahajalah pejuang Melayu. Orang yang benar-benar Melayu tidak memperjuangkan Melayu tetapi mereka yang menjadi Melayu "by choice" memperjuangkan hak Melayu. Itu kepercayaan Dr Mahathir. Kali ini Dr Mahathir mempersalahkan George Soros pula. Beliau cuba hendak menakutkan pengundi Pakatan Rakyat yang pembangkang didukung oleh Soros yang di labelkan oleh Dr Mahathir sebagai penyangak matawang antarabangsa. Soros menjadi sasaran Dr Mahathir dan semua pengikut membuta tuli beliau kerana kejatuhan nilai matawang ringgit di dalam krisis kewangan pada tahun 1997 dahulu yang menyebabkan Malaysia menjadi mangsa terbesar dari kejatuhan dan krisis matawang itu. Seperti yang saya sebut selalu, Dr Mahathir menyalahkan semua orang diatas kesilapan dan kesalahan beliau kepada negara. Pada penghujung tahun lapan puluhan sehingga penghujung tahun sembilan puluhan Dr Mahathir telah melakukan banyak kesalahan kerana beliau merasakan beliau seorang yang begitu handal dalam semua bidang termasuk dalam bidang perniagaan matawang asing. Bidang ini bukannya bidang yang beliau faham tetapi beliau merasakan yang beliau pandai dan ingin mencuba-cuba bidang yang beliau mengetahui terlalu sedikit. Dr Mahathir telah terlebih dahulu menjadi "penyangak" matawang asing ini dengan cuba hendak bermain-main dengan pasaran wang antarabangsa pada tahun 1992 dahulu. Beliau telah meminta Bank Negara untuk menyertai perdagangan wang antarabangsa dan akhirnya negara telah rugi melebihi RM30 billion dalam operasi perdagangan wang antarabangsa itu. Bank Negara terpaksa menjual banyak esetnya untuk mengurangkan jumlah kerugian di dalam akaun Bank Negara dan akhirnya telah memberitahu rakyat yang kerugian itu hanyalah RM9 billion sahaja. Jika Dr Mahathir berjaya dalam operasi perdagangan wang antarabangsa itu saya yakin Dr Mahathir akan lebih dahsyat lagi dari Soros. Tetapi nasib beliau tidak berapa baik, kita kerugian sebanyak RM30 billion. Sebagai spekulator wang antarabangsa Soros dan ramai yang lain akan melakukan spekulasi terhadap mana matawang yang lemah. Kebetulan ringgit kita adalah salah satu matawang yang sudah terlalu lemah semasa itu maka semua spekulator matawang antarabangsa secara "natural" akan memilih ringgit untuk diperdagangkan. Spekulator matawang asing mengetahui yang ringgit kita sudah lemah kerana semasa itu negara mengimport "capital goods" yang begitu besar untuk melaksanakan projek-projek raksaksa secara ekspress seperti komplek pentadbiran Putrajaya dan KLIA. Kita mesti ingat projek raksaksa seperti KLIA itu tidak pernah timbul di dalam rancangan Malaysia ke-6. Kita hanya tahu projek KLIA itu wujud ketika pembentangan separuh penggal rancangan Malaysia ke-6 itu. Dr Mahathir mahu segala-galanya berlaku di zaman beliau tanpa berfikir yang semua projek raksaksa yang tidak dirancang itu akan membawa padah kepada kewangan negara. Beliau tidak ambil peduli yang pengimpotan "capital goods" yang terlalu besar untuk melaksanakan projek ekspress raksaksa itu akan melemahkan matawang ringgit dipasaran wang antarabangsa. Akhirnya apabila ringgit kita lemah maka ianya menjadi mangsa kepada spekulasi matawang antarabangsa. Mereka bukan sahaja dilakukan oleh Soros tetapi ramai lagi spekulator wang anatarabangsa yang lain. Dr Mahathir sendiri mencuba-cuba untuk menjadi spekulator wang antarabangsa pada tahun 1992 dengan menggunakan BNM dan Nor Mohammad Yakcop tetapi gagal dengan kerugian sejumlah yang saya sebut tadi. Bezanya Soros menjadi spekulator wang antarabangsa yang berjaya, Dr Mahathir pula menjadi spekulator wang antarabangsa yang gagal. Tidak ada bezanya Dr Mahathir dengan Soros itu jika dilihat dari sudut yang lain. Sekarang Dr Mahathir hendak menyalahkan Soros pula kerana kelemahan yang dihadapi oleh Umno dan BN. Beliau cuba untuk membina pemikiran rakyat, jika memilih PR ia bermakna memilih pilihan Soros. Tetapi mesti ada yang percaya dengan kata-kata Dr Mahathir ini, tetapi kepada siapa yang menggunakan pemikiran yang sebaik-baiknya ia tidak kena mengena dengan Soros dalam membuat pilihanraya yang akan datang ini. Membuat tuduhan yang Soros adalah dibelakang kekuatan PR itu merupakan tuduhan yang keluar dari seorang pemimpin yang "desperate". Bagi mereka yang menyokong PR, mereka tidak perlu memberikan apa-apa reaksi. Hanya ringankan lidah dan beristighfar banyak-banyak kerana untuk menolak yang bathil memerlukan fokus dan kesabaran yang tinggi. Anggap sahaja pandangan Dr Mahathir itu sebagai pandangan seorang yang sakit. Tidak perlu di ambil hati dan tidak perlu mendengar kata-kata orang yang sedang dalam kegeringan moral kepimpinan itu. Tetapi sakit jiwa politik ini bukan sahaja dialami oleh Dr Mahathir tetapi ia sedang dialami oleh pemimpin-pemimpin yang lain seperti Najib, Muhyiddin dan keseluruhan barisan kepimpinan BN khususnya Umno. Jika berjaya rakyat menolak kepimpinan Umno dan BN dalam pilihanraya nanti kita boleh melakukan penyatuan semula tanpa mereka-mereka yang memimpin pada hari ini yang tidak habis berusaha untuk memecah belahkan kita di bawah ini. Kita bersatu di luar Umno dan BN. Kita bermaaf-maafan di antara satu dengan lain dan terus bersatu. Selepas itu kita bangunkan negara dengan telus untuk mencapai matlamat negara yang satu, iaitu perpaduan nasional yang sejati dan berkekalan. Selagi ada pemimpin seperti pemimpin yang sedang kita perkatakan ini serta yang lain-lain dalam Umno itu, selagi itulah kita tidak akan berjaya mencapai matlamat perpaduan nasional yang kita idam-idamkan itu. Kita sudah jemu dipecah dan diperintah oleh pimpinan dari acuan Dr Mahathir ini. Kita wajib keluar dari budaya pecah perintah ini dan kita berharap kehidupan rakyat tidak lagi "stressful" seperti yang rakyat sedang hidapi sekarang. — aspanaliasnet.blogspot.com |
Chamil Wariya, Utusan mohon maaf pada Teresa Kok Posted: 08 Oct 2012 12:45 AM PDT Hafiz Yatim Pengerusi Institut Akhbar Malaysia, Chamil Wariya dan Utusan Malaysia memohon maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana fitnah yang disiarkan dalam artikel bertajuk 'Politik Baru YBJ' yang diterbitkan oleh edisi hujung minggu akhbar harian milik Umno itu pada 12 Oktober 2008. Peguam Zalil Mohd Mess - dalam kenyataan pemohonan maaf yang dibacakan di Mahkamah Tinggi hari ini - berkata artikel itu telah diubah oleh edisi hujung minggu Utusan Malaysia - Mingguan Malaysia - tanpa persetujuan Chamil. |
Kerajaan Pusat Harus Adil Dan Saksama Kepada Semua Negeri Posted: 08 Oct 2012 12:34 AM PDT Afix Redzuan KUALA LUMPUR, 8 OKT : Kerajaan Pusat perlu mengamalkan dasar pemberian peruntukkan dana pembangunan secara sama rata dan memberi tumpuan kepada negeri yang mempunyai pendapatan perkapita yang rendah. MP Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sesi Perbahasan Bajet 2013 berkata, ini bagi mengatasi situasi ekonomi antarabangsa yang semakin mencabar. Jelas Abdul Khalid, Kerajaan perlu mengamalkan dasar pembangunan ekonomi dari "bawah ke atas" di mana perancangan pembangunan diadakan dengan kerajaan negeri. "Saya mengingatkan bahawa keadaan ekonomi dunia tidak berada dalam keadaan yang teguh. Oleh sebab itu belanjawan kita perlu mengambil kira keadaan ini. "Pengalaman yang sudah kita alami pada tahun 2008-2009 mestilah menjadi iktibar. Caranya adalah memberikan peruntukkan dana-dana yang cukup supaya negeri tidak menghadapi keadaan (ekonomi) yang meleset. "Dengan cara itu (kita) dapat mempertahankan pertumbuhan ekonomi Malaysia," kata Abdul Khalid di dalam ucapannya di dalam Dewan Rakyat hari ini. Beliau berkata berdasarkan data yang diberikan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2008-2009, peratus pertubuhan ekonomi negara turun sebanyak 1.6 peratus dan keadaan ini turut memberikan kesan kepada negeri-negeri. Kesan kelembapan ini mengakibatkan Selangor menghadapi penurunan pertumbuhan ekonomi sebanyak 1 peratus, Johor 4 peratus manakala negeri lain pada kadar 5 dan 6 peratus. Namun pada tahun 2010, petumbuhan ekonomi Selangor melonjak kepada 10.8 peratus. Sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid berkata Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 23 peratus. "Penyumbang ekonomi negara tertinggi adalah Selangor dengan 23 peratus. Negeri kedua tertinggi pula kurang daripada 10 peratus," katanya. Beliau menambah, negara perlu bersedia dengan situasi ekonomi antarabangsa yang akan tumbuh pada tahap "w", iaitu, meleset- naik-meleset. Jelasnya lagi, segala bentuk perbelanjaan negara perlu diperincikan selain mengamalkan konsep ketelusan agar konsep 'Value for money' dapat dipantau dan dilihat oleh rakyat. |
Kenaikan Harga Gula : Awang Adek Dangkal Posted: 07 Oct 2012 09:41 PM PDT Saya terasa bagikan kurang percaya membaca ulasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr AWang Adek Hussein di dalam Sinar Harian hari ini, 8 Oktober 2012 semasa mengulas isu kenaikan harga gula. Di dalam kenyataan beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok, beliau menyatakan bahawa masyarakat harus memandang positif kenaikan harga gula yang diumumkan di dalam pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini. Menurut Awang Adek, kenaikan tersebut bertujuan untuk mengelakkan rakyat sakit akibat mengambil gula yang berlebihan. Pada mulanya, saya menyangkakan barangkali kenyataan beliau telah tersalah lapor memandangkan agak mustahil seorang Timbalan Menteri mengeluarkan kenyataan sebegini dangkal. Tetapi mengingat rekod beliau yang pernah ditabalkan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan satu ketika dahulu, beliau pada hemat saya bukannya seorang yang cermat dalam mengatur gerak politik. Sehingga hari ini, saya percaya, pertabalan beliau sebagai bakal Menteri Besar Kelantan satu ketika dahulu hanyalah untuk menyekatnya dari naik. Teirngat saya satu pepatah Greek yang di dalam bahasa Inggerisnya berbunyi, an old enemy never becomes a friend. Hari ini, Awang Adek menyerlahkan satu lagi gerak catur politiknya yang menjemput checkmate. Jika beginilah cara beliau menyokong kenaikan gula, ertinya beliau juga akan menyokong segala macam kenaikan harga selepas ini. Kenaikan harga petrol untuk menyekat rakyat daripada boros ke sana ke mari, kenaikan harga minyak masak bagi mengelakkan rakyat mempunyai kolestrol berlebihan dan semestinya pemasangan kamera saman trafik yang berselerak sudah tentu bagi mengelakkan kemalangan jalan raya! Perlu diingat, hanya sekitar dua tahun lepas, harga gula masih di tangga RM1.65 sekilo. pada bulan Julai 2010, ia dinaikkan kepada harga RM1.90. Bulan Disember tahun yang sama naik lagi kepada harga RM2.10 dan pada bulan Mei 2011 naik lagi kepada harga RM2.30. Justeru, kenaikan 20 sen sekilo yang diumumkan oleh Perdana Menteri di dalam pembentangan Bajet 2013 yang lepas ialah kenaikan yang kelima dalam tempoh 33 bulan. Hakikatnya, harga gula hari ini ditentukan oleh pasaran yang dimonopoli oleh beberapa orang kroni tertenu sahaja. Sudah menjadi satu rahsia yang terbuka bahawa hanya terdapat empat sahaja kilang pemeroses gula di negara ini iaitu 4 kilang penghasilan gula di Malaysia iaitu MSM(Gula Prai) Sdn Bhd, Central Sugar Refinery Sdn Bhd, Gula Padang Terap Bhd dan Gula Felda Perlis Sdn Bhd. Manakala individu yang paling bertuah dalam industri gula ini ialah Raja Gula Robert Kuok, mengekori daripada belakang ialah Tan Sri Syed Bukhary. Pemilik empat syarikat ini sahaja yang diberikan permit untuk mengimport bahan-bahan bagi memperoses gula di negara ini. Selain daripada mereka, permit tidak dikeluarkan secara terbuka. Sewajarnya, Awang Adek bersuara untuk menghapuskan amalan monopoli seperti ini yang akhirnya meletakkan harga gula berada di tangan mereka. Saya sangat sangsi bahawa satu kontrak jangka masa panjang telah diberikan kepada mereka sehingga kerajaan seolah-olah menjadi ðicucuk hidung untuk mengikut telunjuk mereka. Bolehkah sebenarnya harga gula diturunkan jika permit diberikan secara terbuka? Jawabnya boleh. Ia dinyatakan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 26 Januari 2010. Antara lain beliau berkata, "..Bagi kementerian ini, kita mencadangkan agar AP dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin mengimport gula kerana kita balik kepada teori permintaan dan bekalan. Jika berlaku lambakan gula di negara ini, harga akan turun. Cumanya, kita bimbang pula kalau harga gula turun, orang akan ambil gula berlebihan…" Ertinya harga gula tidak mustahil boleh turun jika ia didagangkan secara terbuka tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada para kapitalis yang sudah buncit perutnya kerana kekenyangan ini. Dari konteks kerajaan pula, subsidi 20 sen yang dipotong ini hanyalah memberikan pulangan penjimatan sebanyak RM163 juta sahaja, berbanding dengan kenaikan harga barang yang tentunya akan menghimpit kehidupan golongan marhaen. RM163 juta yang dijimatkan oleh kerajaan hanyalah tiga kali ganda sewa rumah Perdana Menteri dan Timbalannya yang berjumlah RM49 juta setahun! Saya kira Awang Adek lebih nampak cerdik jika diam atau setidak-tidaknya memperrsoalkan amalam monopoli yang sedang berlaku pada hari ini. Bukan saya sahaja yang kesal dengan amalan monopoli ini, bahkan Awang Selamat dalam kolumnya di Utusan Malaysia turut kesal. Rujuk sahaja Utusan Malaysia 3 Januari 2010. Jika Utusan Malaysia yang dipercayai oleh PERKASA inipun sudah bangkit bersuara dalam isu monopoli import gula, maka apatah lagi kita rakyat biasa? - 8 Oktober 2012 Rujukan : 1. Utusan Malaysia 3 Januari 2010 : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive 2. Utusan Malaysia 26 Januari 2010 : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0126&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive |
Raja Pondan? Mohon Kepastian Gambar Ini Posted: 07 Oct 2012 08:14 PM PDT |
Aku Kata Dah Awang Adek Babuk! Posted: 07 Oct 2012 07:01 PM PDT |
MB : Pembenihan Awan Sekiranya Air Surut Di Empangan Posted: 07 Oct 2012 06:59 PM PDT Hafizan Taib SUBANG JAYA, 7 OKT : Kerajaan Negeri akan melakukan pembenihan awan bagi mengalakkan hujan sekiranya bacaan air di empangan Sungai Selangor berada di bawah tahap 50 peratus. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan kajian dan keputusan untuk pembenihan awam akan dibuat selepas tempoh 22 hari bermula Okt 4. Menurutnya, pemantauan berhubung perkara itu akan dilakukan oleh Lembaga Urusan Air Selangor (Luas) dan Jabatan Meteorologi. "Kita sudah tahu keadaan itu dan kita sudah buat beberapa program dan kajian bagi mengatasinya. Sebelum ini pernah dibuat di Johor yang mana empangan sungai menghadapi keadaan air surut. "Kita belum tetapkan tetapi dari kajian kita dalam keadaan ini tidak perlu lagi berasa cemas. Ada lebih kurang 75 ke 90 hari kalau tiada hujan baru kita perlukan untuk melakukan tindakan itu. "Bagaimanapun keputusan exco negeri ialah untuk melakukan dalam masa 22 hari," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) 2012 MPSJ di sini hari ini. Baru-baru ini laporan media menyatakan paras air di empangan Sungai Selangor berada pada tahap bawah 50 peratus. Bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu yang hadir dalam sidang media itu menyatakan bacaan yang dicatatkan di empangan tersebut tiga hari lalu ialah 56 peratus. |
MB : Muhyiddin Tidak Pandai Baca Angka Posted: 07 Oct 2012 06:58 PM PDT Norhayati Umor KUALA SELANGOR 08 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang sebelum ini mendakwa pentadbiran negeri di bawah Umno-BN adalah 'terbaik' berbanding Pakatan Rakyat. Sebaliknya, Abdul Khalid berkata di bawah pimpinan Pakatan, ekonomi dan pembangunan negeri menjadi semakin baik serta maju berbanding Umno-BN. Ini dibuktikan dengan simpanan rizab negeri yang meningkat setiap tahun, masalah rumah terbengkalai yang diselamatkan, hutang syarikat Talam yang dikutip dan hasil negeri yang dipulangkan kepada rakyat. "Beliau (Muhyiddin) cakap PR memerintah Selangor tidak baik maknanya beliau tidak pandai baca angka. "Kalau beliau terus menjadi Timbalan Perdana Menteri, nampaknya teruklah negara kita," sindir Abdul Khalid dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Kuala Selangor, di Ijok di sini semalam. Katanya, di bawah Umno-BN hanya RM 100 juta diagihkan kepada rakyat dan ia berbeza dengan pentadbiran Pakatan yang mengagihkan RM 700 juta. "Pada 2005 hingga 2007, harta selangor dulu hanya empat peratus, tetapi PR kerja keras untuk dapatkan kembali dengan menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan Umno-BN, contohnya hutang talam dan projek perumahan terbengkalai. "Kalau beliau kata Selangor tidak baik atau bagus bawah PR, maka bawah Umno-BN lagi tidak baik," katanya. Jelasnya, Selangor merupakan negeri yang paling banyak sumbangannya kepada negara. "Pada 2008, ekonomi Malaysia bertumbuh tujuh peratus manakala Selangor sebanyak sembilan peratus. "Manakala pada 2009, ekonomi negara jatuh sehingga tiga peratus dan Selangor hanya jatuh kepada satu peratus. Kini, negara lima peratus, Selangor tujuh peratus. Kalau beliau masih kata tidak baik, saya tidak tahulah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan