Selasa, 30 Oktober 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pemuda PAS pelawa Pemuda BN sertai laporan ke SPRM

Posted: 30 Oct 2012 12:16 AM PDT

 Oleh IZWAN ABDUL HALIM
ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan dan 'projek sakit' yang pernah berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah semasa pemerintahan BN.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, laporan penyelewengan itu akan dibuat sebagaimana pendedahan oleh Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

"Mereka yang terlibat mesti bertanggung jawab dan bersedia untuk disiasat serta didakwa sekiranya didapati bersalah.

"Kami komited menyatakan bahawa kepentingan dan hak rakyat perlu sentiasa dipertahankan serta diurus tadbir sebagai amanah terutamanya oleh kerajaan yang diberi kepercayaan memerintah.

"Penyelewengan tersebut merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat oleh mereka yang telah lebih 50 tahun diberi kepercayaan mentadbir negeri ini," luahnya kesal.

Menurut beliau, rakyat negeri ini hakikatnya telah menanggung beban apabila kepimpinan lalu turut 'mewariskan' hutang berbilion ringgit.

Kini katanya, penyelewengan dan 'projek sakit' berkenaan pula menjadi 'biawak hidup' yang terpaksa ditanggung akibatnya.

Beliau turut mempelawa Pemuda BN Kedah untuk bersama membuat laporan tersebut.

"Sebagai pewaris masa hadapan dan pembelaan terhadap kepentingan rakyat serta demi negeri Kedah yang dicintai ini, kami mempelawa Pemuda BN untuk turut serta.

"Kita (pemuda) tidak harus berdiam diri agar penyelewengan dan salah urus tadbir seperti ini dapat dihentikan dari terus berulang serta menjadi pengajaran kepada mereka yang berwewenangan terhadap amanah rakyat," seru Ahmad.

Ahli-ahli Majlis Buat Laporan Polis 2 Ke Atas Datuk Rasli ?

Posted: 30 Oct 2012 12:15 AM PDT

Oleh : KUNING77

ALOR SETAR – Ahli-ahli majlis PBT Kedah (lantikan politik) akan membuat laporan polis yang kedua pada minggu ini berhubung isu permohonan tanah oleh syarikat Tirai Sutera (M) Sdn.Bhd. di kawasan Bandar Kuah, Langkawi.

Menurut Ir Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa Sekretariat Ahli-Ahli Majlis PBT Kedah (KLCS), pihak akan membuat laporan polis kedua ke atas Datuk Rasli pada Khamis ini.

Katanya, kali ini pihaknya akan membuat laporan berhubung isu permohonan sebidang tanah oleh syarikat Tirai Sutera (M) Sdn.Bhd. di Lot PT. 1501, Sekyen 6 di kawasan Bandar Kuah, Langkawai Kedah Darul Aman, dimana syarikat berkenaan didakwa mempunyai hubungan keluarga rapat dengan Datuk Rasli sendiri.

Sumber dari Pejabat Tanah Langkawi, anggaran keluasan tanah tersebut ialah 1817 meter persegi (19,558 kaki persegi), dianggarkan bernilai hampir RM 1 juta. Tanah berkenaan adalah tanah bandar, Luar Simpanan Melayu berada di kawasan perkhidmatan Majlis Perbandaran Langkawi, ia terletak bertumpu dengan lot-lot hakmilik bersebelahan dengan Hotel Grand Continental, Langkawi.

Mohd Jamal berkata, tujuan laporan ini untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan sejauh mana penglibatan dan penyalahgunaan kuasa oleh Datuk Rasli sebagai Setiausaha Kerajaan dan pihak-pihak lain di dalam isu ini. Ini kerana, kami mendapati terdapat kecurigaan dan manipulasi kuasa oleh pihak berkenaan tentang proses permohonan tanah tersebut.

Katanya, dakwaan kami berasaskan beberapa dokumen berkaitan permohonan tersebut, akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Berdasarkan kefahaman kami bahawa ia menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan manipulasi di atas kedudukannya sebagai Setiausaha Kerajaan".

"Difahamkan Bahagian Pembangunan dan Penguatkuasaan, Tanah dan Galian Negeri Kedah terlibat menyediakan kertas kerja tujuan untuk pertimbangan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK), katanya.

Maksud kertas kerja ialah mendapatkan kelulusan exco ke atas permohonan tanah tersebut untuk tujuan tapak kediaman kakitangan syarikat Tirai Sutera (M) Sdn.Bhd.

Namun, terserahlah kepada pihak polis untuk mengklasifikasi laporan kami di bawah kesalahan jenis apa… tanggungjawab kami membuat laporan supaya boleh dibuat siasatan, katanya lagi.

Katanya lagi, sekiranya Datuk Rasli melakukan penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran mana-mana undang-undang berkaitan kedudukannya, maka tindakan undang-undang hendaklah di ambil ke atasnya bersesuian dengan undang-undang yang berjalan di Malaysia, sekali gus ia akan menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya menjalankan tugas dengan amanah, telus dan beretika.

Sebelum ini, seramai 11 orang ahli-ahli majlis PBT Kedah telah membuat laporan polis berhubung isu Pulau Bumbun Besar, Langkawi yang didakwa berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Datuk Rasli.Walau bagaimanapun, Menteri Besar Kedah (kelmarin) telah menyangkal dakwaan tersebut kerana fakta tidak tepat.

Petronas Carigali Temui Medan Minyak Bertam - PM

Posted: 30 Oct 2012 12:05 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Beliau berkata medan minyak yang terletak kira-kira 160km di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

"Penemuan ini sangat penting memandangkan kita belum pernah menemui minyak komersil dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu, dan ia merupakan kejayaan besar.

"Bergantung kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersil, pengeluaran minyak dijangka akan dicapai pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 dan 20,000 tong sehari," kata Najibpada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) di pejabat Perdana Menteri nya di Bangunan Perdana Putra di sini Selasa.

Dengan penambahan rizab ini, medan minyak Bertam kini dianggarkan mengandungi jumlah isi padu asal keseluruhan 64 juta tong.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata negeri Pahang dijangka menerima wang ehsan sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Beliau berkata penemuan ini membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Lembangan Penyu.

"Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua iaitu melepas tiga batu, dan terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Ini dasar kita untuk mengagihkan kekayaan minyak dengan lima peratus pembayaran tunai kepada Pahang," katanya.

Petronas Carigali, anak syarikat Petronas dan Lundin Oil merupakan usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Eksplorasi dan Pengeluaran, Pengurusan Petroleum Petronas Nasional Bhd, Ramlan A Malek berkata kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

Kerja-kerja cari gali akan dilaksanakan oleh operator blok, Lundin Oil, katanya. - BERNAMA

Pemberi Maklumat Isu PFN Tidak Dilindungi WPA

Posted: 30 Oct 2012 12:03 AM PDT



KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) yang diwujudkan bagi melindungi pemberi maklumat dalam isu rasuah tidak terpakai dalam kes berkaitan Perbadanan Fidlot Nasional (PFN).

Beliau berkata tidak ada keperluan untuk memberikan perlindungan kepada pihak terbabit kerana dalam kes PFN, perkara itu telah dihebohkan kepada semua orang sehingga seluruh dunia tahu mengenainya.
"Semua orang tahu itu dia, apa lagi perlindungan yang dia mahu," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Nazri yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen berkata akta itu hanya melindungi pemberi maklumat dan bukannya pihak yang melanggar undang-undang, seperti Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu kenapa pihak yang mendedahkan salah laku dalam projek lembu itu tidak diberi perlindungan undang-undang.

WPA merupakan satu inisiatif perundangan utama di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwujudkan bagi menangani rasuah, akan mula berkuatkuasa 15 Disember 2010.

Ogos lalu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mendedahkan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Fidlot Corporation (NFCorp).

Rafizi didakwa di bawah Bafia atas kesalahan mendedahkan maklumat sulit dan rahsia perbankan NFCorp milik pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Sumbangan RM1,000 Kepada Veteran ATM Tidak Berpencen Dibayar Januari 2013

Posted: 30 Oct 2012 12:01 AM PDT

MSTAR ONLINE

SIBU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin melancarkan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen (STB1M) pada majlis makan malam Kempen Rayuan Hari Pahlawan ke-52 di sini.

Bercakap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali gus kepada 234,500 veteran ATM terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat seluruh negara.

"STB1M yang akan dibayar mulai Januari 2013 akan melibatkan peruntukkan kewangan sebanyak RM234.5 juta. Kos ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT)" katanya.

Penerima atau veteran ini adalah mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun yang bersara awal dan tidak berpencen, yang telah dibersarakan atau menamatkan perkhidmatan secara terhormat tanpa mengira tarikh mula berkhidmat, sementara tarikh tamat tempoh perkhidmatan adalah pada atau sebelum 31 Disember 2012.

"Mereka yang layak adalah daripada angkatan tetap ATM, angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan, daripada Force 136, tentera British yang berkhidmat di Malaya/Malaysia atau Singapura dan daripada Sarawak Rangers," katanya.

Sumbangan ini, yang merupakan rentetan daripada pembentangan Belanjawan 2013, bagaimanapun tidak dipanjangkan kepada balu, duda atau tanggungan, kata Zahid.

Beliau berkata bakal penerima boleh mendapatkan borang STB1M di semua pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) seluruh negara mulai 1 Nov 2012.

"Borang ini juga boleh didapati di 78 buah Pusat Sehenti yang terdiri daripada kem/unit tentera terpilih di seluruh negara atau dimuat turun melalui laman sesawang JHEV iaitu www.jhev.gov.my

"Semua persatuan/pertubuhan/kelab bekas tentera di seluruh negara turut akan dibekalkan dengan borang ini yang mesti dikembalikan bersama dokumen yang diperlukan ke mana-mana pejabat JHEV atau Pusat Sehenti sebelum 30 Nov 2012," katanya.

Pada majlis makan malam itu sebanyak RM133,000 berjaya dikutip daripada para dermawan yang hadir bagi menambah kutipan sebelumnya sebanyak RM130,000.

Zahid menghulurkan sebanyak RM25,000, sementara anggota Parlimen kawasan Lanang Datuk Tiong Thai King menghulurkan RM38,000 bagi tujuan persatuan negeri ini membeli bangunannya sendiri.

Thomas Ling Kui Eng, naib presiden Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia Kebangsaan dan juga Yang Dipertua cawangannya di Sarawak merangkap presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak, menjadi hos majlis. - BERNAMA

Lagi Petani Tanjong Karang Berdemo Bantah Subsidi Benih Padi Tidak Berkualiti

Posted: 29 Oct 2012 06:48 PM PDT




TANJONG KARANG : Petani di kawasan Tanjong Karang dan Sekinchan berang dan membuat laporan polis terhadap tindakan Datuk Seri Noh Omar yang memberikan tender subsidi benih padi bernilai RM164.8 juta kepada pembekal yang tidak memenuhi kriteria.

Menurut Naib Penyelaras DUN Sungai Burong, Misran Serman, laporan polis itu dibuat bersama Loo Kim Yong dan S Ragavan semalam berikutan kemungkinan wujudnya penyelewengan mengenai agihan tender benih padi sah bagi tahun 2013 hingga 2014.



Katanya, benih yang diberikan kepada petani melalui subsidi Kerajaan Pusat itu kurang berkualiti dan menyebabkan benih padi yang akan ditanam itu tidak dapat hidup serta menyebabkan pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kerugian besar ditanggung petani.

"Para petani merasa marah dan tidak berpuas hati kerana benih padi yang diberikan melalui subsidi ini akan menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos yang besar bagi mengelakkan padi diserang pelbagai penyakit ," katanya ketika ditemui selepas demonstrasi aman di hadapan Pusat Pemprosesan Benih Padi di Sungai Burong pagi ini.

Sementara itu, demonstrasi aman yang dihadiri kira-kira 30 petani di kawasan itu menuntut penjelasan lanjut oleh Noh mengenai pemberian kuota subsidi yang hanya mementingkan kroni dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membela nasib golongan berkenaan.



Dalam pada itu, Adun Sekinchan, Ng Sui Lim mendakwa, Noh Omar memberikan lebih separuh kuota subsidi benih padi berjumlah 80,000 tan metrik kepada Syarikat Seri Merbak Sdn Bhd yang didakwa dimiliki oleh Datuk Rais Zainuddin iaitu bekas ahli Exco Negeri Sembilan dan Syarikat Haji Mohd Noor yang didakwa memiliki hubungan rapat dengan Noh.

"Syarikat ini memonopoli lebih daripada jumlah kuota keseluruhan dan memberikan benih padi berkualiti rendah dan seterusnya menyebabkan penghasilan padi rendah yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada petani," katanya.



Sui Lim berkata, Noh Omar seharusnya meletakkan jawatan sebagai menteri kerana mempunyai pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan serta gagal menjalankan tugasnya menjaga kebajikan rakyat khususnya para petani.

"Saya mendesak Noh Omar meletakkan jawatannya sebagai menteri kerana gagal membela nasib rakyat malah didakwa mempunyai pelbagai skandal seperti penjualan tanah di Tanjong Karang dan isu kolam udang yang didakwa dimilikinya," katanya lagi.

Sebelum ini Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan isu mengenai pemberian tender benih padi kepada kroni itu sengaja dipolitikkan oleh pembangkang.

Abdul Khalid : PKNS Tidak Jual Aset Komersial, Noh Boleh Rujuk Akauntan Kementerian

Posted: 29 Oct 2012 06:40 PM PDT




SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menegaskan bahawa anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan menjual lima aset komersialnya pada harga RM321 juta seperti yang didakwa.

Sebaliknya, jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kesemua aset itu dikumpul untuk dipindah milik kepada anak syarikat baru milik penuh perbadanan itu iaitu Private Real Estate Company (PREC).
Malah katanya, tindakan memindahkan aset itu adalah perkara atau rutin biasa dalam sesebuah syarikat

"Saya malas untuk terangkan lagi kerana kelima-lima aset itu tidak dijual tetapi dikumpul di bawah anak syarikat PKNS. Ia pemindahan aset bukan jualan. Akaun akan bergerak daripada PKNS ke anak syarikat baru itu.

"Perkara ini adalah biasa. Kalau Noh sebagai menteri masih tidak tahu, beliau boleh rujuk kepada akauntan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk penerangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha di Kompleks Karangkraf, di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, segala perancangan dan tindakan yang dilakukan PKNS juga sentiasa mengambil kira kebaikan anak syarikat itu sebagai agen hartanah di Selangor.

"PKNS wujud lebih awal daripada Capital Land di Singapura tetapi ia menjadi berpuluh ganda daripada PKNS. Kita tidak mahu orang berhati kecil dan berjiwa rendah seperti Noh Omar tetapi kita mahu PKNS jadi lebih besar. Ini tidak akan merugikan Selangor mahupun Malaysia," katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa Abdul Khalid membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan penjualan aset berkenaan.

Sementara itu, menjawab kenyataan berhubung kenaikan harga sewa di premis PKNS, Abdul Khalid menjelaskan tindakan itu dibuat berdasarkan perbincangan yang dibuat bersama ahli lembaga pengarah lain.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk para peniaga.
"Kalau ada peniaga yang tidak mampu bayar, kita akan tolong. Tetapi kalau mereka (peniaga) untung banyak, mereka perlu bayar supaya persaingan itu wujud. Kita mahu bina usahawa melayu yang berdaya saing," ujarnya.

Kerajaan Negeri Peruntuk Tanah 50 Ekar Bina Rumah Generasi Baru Felda

Posted: 29 Oct 2012 06:37 PM PDT




SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri memperuntukan tanah seluas 50 ekar bagi Projek Perumahan Generasi Baru Felda di Sungai Tengi Selatan, Hulu Bernam yang dimulakan awal tahun depan.

Pengerusi Sekretariat Task Force Felda Selangor, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, buat permulaan sebanyak 200 unit rumah mampu milik untuk generasi Felda akan dibina bagi fasa pertama.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima permohonan dari lebih 500 keluarga Felda untuk memiliki rumah mampu milik tersebut.

"Kita mengalu-alukan komitmen Kerajaan Negeri yang bersetuju menyediakan tanah seluas 50 ekar sepertimana diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tujuan itu," katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas fasa pertama selesai perancangan bagi fasa seterusnya akan dibuat bagi menampung permintaan pemohon Felda yang lain kerana keluasan 50 ekar tanah tersebut dijangka mampu memenuhi permohonan lain.

"Projek Perumahan Generasi Baru Felda ini melibatkan empat kawasan Felda iaitu Sungai Tengi, Sungai Tengi Selatan, Gedangsa dan Suharto. Semua anak-anak peneroka Felda dalam Gugusan Sungai Dusun yang merangkumi empat kawasan Felda ini layak memohon.

"Mereka layak memohon dan tidak terikat dengan kawasan Felda kerana kita berhadapan dengan masalah tanah Seperti Felda Gedangsa yang tidak mempunyai tanah yang luas untuk perumahan generasi baru.

Sebab itu kita gunakan tanah di Felda Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan," katanya.

Shamsul Iskandar yang juga Ketua AMK Pusat berkata, beberapa majlis dialog diadakan antara Task Force dan pemohon bagi mencari jalan penyelesaian mengenai beberapa aspek termasuk konsep dan harga rumah.

Katanya, cadangan asal harga rumah di dalam anggaran RM60,000 ke RM70,000.

"Hasil daripada majlis dialog itu, kita keluarkan beberapa anggaran harga dan sebagainya. Ada pandangan daripada Exco Kerajaan Negeri supaya harga asal itu dipertimbangkan semula agar ia tidak memberikan beban yang besar kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan pembinaan," katanya.

Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas

Posted: 29 Oct 2012 06:27 PM PDT

NORAIZURA AHMAD

Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas
Kedai emas di Jalan Genting Klang ini rugi apabila sekumpulan perompak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
 
Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas
Lubang yang ditebuk untuk memasuki premis berkenaan.
 
KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah berjaya membawa lari barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dalam kejadian di Jalan Genting Klang, malam kelmarin.

Kejadian tersebut disedari pekerja premis berkenaan selepas menyedari pintu belakang kedai terbuka kira-kira jam 7.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, dipercayai penjenayah masuk ke dalam premis selepas menebuk kedai motosikal yang berdekatan.

Menurutnya, penjenayah menggunakan alat pemotong logam dan gas oxyacetylene untuk melembutkan dua peti besi berisi barang kemas.

"Penjenayah memotong wayar sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar premis bagi mengelakkan aktiviti mereka disedari.

"Kita percaya penjenayah sudah lama memerhatikan premis tersebut dan mempunyai kepakaran dalam menggunakan alatan memotong serta peti kebal," katanya

Beliau berkata, premis tersebut yang beroperasi dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam tidak menjalankan perniagaan pada hari kejadian.

Sementara itu, seorang pekerja sebuah kedai berhampiran yang enggan dikenali berkata, kumpulan penjenayah itu juga bertindak mengalihkan pandangan CCTV di belakang premis tempat dia bekerja ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan.

Bersih 3.0: Tian Chua diarah bela diri

Posted: 29 Oct 2012 06:24 PM PDT

SITI AZIELAH WAHI

Tian Chua
Tian Chua
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah polis di kawasan Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0 April lalu.

Hakim Mahmud Abdullah semasa mengumumkan keputusan itu berkata, beliau membuat perintah tersebut mengikut prinsip undang-undang yang telah digariskan, setelah menilai secara maksimum hujah pihak pendakwa dan pembela.

Mahmud berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie.

"Mahkamah  berhasrat untuk memanggil tertuduh untuk membela diri terhadap tuduhan yang dihadapi," katanya.

Tian Chua, 49, didakwa melanggar perintah yang dikeluarkan oleh DSP A. Rajakopal untuk beredar dari kawasan Pulapol itu yang diisytiharkan sebagai satu kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan 1975.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pulapol, Jalan Semarak pada 2.30 pagi, 29 April lepas.

Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan pada 28 April.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 23 Julai lalu, seramai sembilan saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Rajakopal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar dan Amirah Mohamed Yusoff manakala tertyuduh diwakili Latheefa Koya.

Mahkamah menetapkan 29 dan 30 November ini untuk memulakan perbicaraan bagi prosiding membela diri.

Umum calon awal elak teraba-raba, kata SU Agung BN

Posted: 29 Oct 2012 06:23 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Kesemua pimpinan dan ahli Umno di peringkat bahagian menerima baik cadangan supaya calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU13) parti itu diumumkan awal.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kebanyakan bahagian bersetuju dan tidak ada masalah jika nama-nama calon

"Mereka terima. Ada yang menggalakkan supaya calon dinamakan lebih awal. Jadi bila pilihan raya diumumkan tak ada yang teraba-raba.

"Kebanyakan daripada bahagian bersetuju. Pertimbangan akan dibuat oleh presiden, beliau yang akan membuat ketetapan" katanya pada sidang media selepas menerima penyerahan buku 100 Wira Negara oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).

Tengku Adnan menerima penyerahan buku tersebut bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Adnan sebelum ini menyatakan Umno-Barisan Nasional akan membuat pembaharuan menghadapi pilihan raya kali ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Umno-BN akan mengumumkan calonnya dua minggu awal, berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

Menurut Tengku Adnan, ada lebih banyak kebaikan untuk menamakan calon lebih awal berbanding keburukannya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, "saya hanya menyuarakan citarasa daripada bawah tapi akhirnya ia akan berada di tangan presiden untuk menetapkan apa yang terbaik untuk parti."

DAP sebelum ini menyatakan pendirian bahawa parti itu tidak akan mengumumkan calonnya awal kerana tidak mahu "orang buat kacau".

Pas pula hanya akan berbuat demikian jika perlu sementara PKR pula sudah pun mengumumkan calonnya di kawasan-kawasan tertentu oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MB Selangor sedia tanding 2 kerusi 'jika diarah'

Posted: 29 Oct 2012 06:22 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia bertanding merebut dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jika diarahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, sebarang keputusan mengenai kawasan mana untuk beliau bertanding perkara itu akan ditentukan oleh sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Semua pengumuman pertandingan hanya boleh diumumkan oleh dua orang iaitu ketua umum dan presiden parti.

"Kalau diserahkan tanggungjawab kepada saya maka saya sedia untuk bertanding," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Anwar supaya Abdul Khalid terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Anwar yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana kecekapan dan ketokohan Abdul Khalid serta prestasi memberangsangkan dalam mentadbir Selangor.

Abdul Khalid berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana ia dapat mengurangkan tekanan kepada Anwar kerana dikatakan ramai yang memintanya untuk menjadi calon di Bandar Tun Razak.

Selain itu, beliau berkata, tidak menjadi masalah sekiranya menteri besar atau ketua menteri untuk bertanding merebut dua kerusi.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia bertanding mempertahankan Dun Ijok, Abdul Khalid berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Tiada ulasan: