Kira-kira 100 orang berhimpun di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ipoh bagi mendesak kerajaan membatalkan pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik.

Timbalan Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, perhimpunan kira-kira sejam bermula pada jam 10 pagi itu hanya permulaan daripada kempen bantahan berterusan yang akan dianjurkan di setiap negeri.

NONE"Kita sedang susun untuk jadikan sebagai gerakan rakyat. Akan ambil tanda tangan sebagai tanda protes dan ke negeri-negeri untuk berdemonstrasi.

"Himpunan ini juga ingin menyedarkan rakyat bahawa tindakan kerajaan melaksanakan AES ini menekan dan menzalimi rakyat yang semakin dihimpit kekangan ekonomi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Chang Li Kang yang juga pemimpin PKR negeri.

Bermula 23 September lalu, sebanyak 14 kamera AES dipasang di kawasan hitam di Lembah Klang dan Perak.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad, mereka menyasarkan pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.