Rabu, 19 September 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[DAHSYAT] Pengawal Keselamatan Larikan RM1.2 Juta Setelah Tembak Rakan Sekerja

Posted: 19 Sep 2012 01:31 AM PDT

Taiping – Seorang pengawal keselamatan yang memaksa rakan setugasnya menggunakan laluan lain ketika hendak pulang ke pejabat rupa-rupanya berniat jahat apabila dia disyaki menembak mati mangsa sebelum lesap bersama wang lebih RM1.2 juta semalam.

Gambar: ANGGOTA polis memeriksa sebuah van keselamatan yang terlibat dalam kejadian samun dan bunuh di Taiping semalam.

Kejadian pukul 3 petang di Jalan Tekah-Aulong berdekatan sebuah pasar raya di sini itu mengakibatkan Hasnol Hafiz Saad, 28, mati akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat di dada. Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di bandar ini.

Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Hafizuddin Zainal Abidin, 25, yang menghilangkan diri bersama wang dan selaras senapang kini menjadi buruan polis.

Seorang saksi mendakwa, dia melihat suspek melarikan diri bersama beberapa beg mengandungi wang dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic hitam yang berada beberapa meter di belakang van keselamatan tersebut.

Kebiasaannya, mereka akan menggunakan Jalan Taman Long Jaafar di Kampung Boyan di sini iaitu hanya sejauh lima kilometer untuk pulang ke pejabat tetapi semalam Hasnol telah dipaksa menggunakan Jalan Tekah-Aulong selepas mengutip wang. Jarak jalan itu kira-kira 10 kilometer dari pejabat mereka.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan mendapati enam daripada 13 karung berisi wang lesap.

"Enam karung itu dipercayai mengandungi wang lebih RM1.2 juta dan siasatan awal mendapati bahagian luar van itu tidak mempunyai kesan dilanggar.

"Tempat kejadian bukan laluan yang biasa digunakan untuk pulang ke pejabat selepas mengutip wang. Van itu didapati terbabas di kiri jalan dipercayai akibat tindakan agresif suspek," kata Yusof yang masih menyiasat jumlah sebenar wang yang dilarikan serta penglibatan individu lain.

Tambahnya, polis kini giat memburu Mohamad Hafizuddin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping di sini untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-829 1222. -Kosmo

[BERGAMBAR] Agong Bangga - Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Hampir Siap

Posted: 19 Sep 2012 01:00 AM PDT

KUIN dari ilmu terbatas ke profesional: Agong bangga

ALOR SETAR: Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melahirkan rasa gembira atas pencapaian Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang telah berkembang kepada pelbagai ilmu pengajian profesional.

"Beta juga merasa gembira kerana KUIN yang dahulunya hanya mempunyai kurikulum dan bidang ilmu yang kecil dan terbatas serta tumpuan hanya diberikan kepada pengajian Islam.

"Kini telah berkembang menjadi IPT yang menyediakan program profesional seperti perubatan, kejuruteraan, multimedia, hospitaliti, kaunseling, perbankan dan kewangan Islam," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim yang juga Canselor KUIN bertitah demikian ketika majlis konvokesyan ke-14 Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini, 17 September lalu dan berkenan menyampaikan ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda kepada kira-kira 300 graduan. -HD


Universiti 'lima bintang' akan siap hujung tahun ini

KUALA KETIL – Kampus Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil dijangka siap hujung tahun ini. Ianya akan menjadi universiti 'lima bintang' bagi rakyat Kedah apabila ianya siap nanti.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak bersyukur kerana perjalanan pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berjalan dengan lancar dan ianya dijangkakan siap hujung tahun ini.

"Bayangkan kita hanya kerajaan negeri bukan pusat tapi kita mampu membina sebuah universiti walaupun tanpa bantuan pusat satu sen pun dan orang Kuala Ketil panggil KUIN sebagai unversiti lima bintang," ujarnya berjenaka.

Beliau berkata demikian semasa bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini.
-kedah la










Gadis Dirogol Oleh "Syaitan Yang Dikenali" Di Bilik Air

Posted: 18 Sep 2012 10:30 PM PDT

Kuala Lipis - Berikutan tidak mampu mengawal nafsu serakah, seorang lelaki sanggup menceroboh rumah seorang gadis sunti di Kampung Gemunchor, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, suspek bersama dua rakan sanggup mengikat ibu gadis terbabit sebelum mengheret mangsa yang berusia 17 tahun ke dalam bilik air lalu merogolnya.

Gambar: Mangsa diheret dari bilik tidurnya sebelum dirogol dalam bilik air.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum kejadian berlaku, suspek bersama dua rakannya dipercayai pergi ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta.

"Suspek dan dua rakannya menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

"Suspek kemudiannya mengikat ibu mangsa di bahagian dapur sebelum mengheret mangsa yang ketika itu berada di rumah tamu ke bilik air untuk merogolnya," katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, selepas merogol mangsa, suspek bertindak merampas gelang tangan emas milik ibu mangsa sebelum melarikan diri.

Suspek turut menggeledah bilik tidur mangsa untuk mencari barang berharga

"Namun dalam keadaan tergesa-gesa, gelang tangan itu terjatuh di pekarangan rumah mangsa. Mangsa kemudiannya bertindak berlari ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira 500 meter untuk meminta pertolongan," katanya.

Abdul Razak berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membuat laporan polis sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Berdasarkan siasatan awal daripada mangsa dan ibunya, polis percaya suspek mengenali keluarga terbabit. Ibu mangsa juga dipercayai dapat mengecam suspek berdasarkan bentuk tubuhnya.

"Polis giat mengesan suspek yang dipercayai tinggal berhampiran dengan rumah mangsa,"
katanya.

Manakala, mangsa pula menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, akibat cedera selepas bergelut dengan suspek.

Acu parang

Sementara itu, nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan ketika ditemui Sinar Harian memberitahu, dia turut berada dalam sebuah bilik di rumah sama ketika kajadian itu berlaku.

Wan berkata, anaknya berada di dapur, sementara cucunya pula sedang mengemas pakaian dalam bilik tidur kerana mahu kembali ke asrama sekolahnya, semalam.

Kemudian dia dikejutkan dengan kekecohan di ruang dapur sebelum mendengar anak dan cucunya meminta tolong.

"Saya keluar dari bilik selepas mendengar suasana kecoh di dapur sebelum melihat dua lelaki sedang mengacukan golok ke leher anak saya. Kemudian, saya nampak seorang lagi lelaki mengheret cucu keluar dari bilik dan dibawa ke bilik air," katanya.

Suspek dipercayai memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

Menurutnya, akibat ketakutan, dia masuk ke dalam bilik sebelum menolak katil ke pintu untuk menghalang penjenayah masuk.

"Penjenayah itu menendang pintu bilik, tapi tak dapat membukanya. Ketika itu, saya masih dengar jeritan anak dan cucu meminta tolong. Saya hanya mampu menangis sambil berdoa supaya keluarga tidak diapa-apakan penjenayah itu," katanya.

Mangsa pengsan

Wan berkata, lebih kurang 15 minit kemudian, keadaan kembali tenang apabila semua penjenayah melarikan diri. Menurutnya, dia memberanikan diri keluar dari bilik untuk melihat anak dan cucunya.

"Ketika keluar, saya dapati anak saya sedang menangis, manakala cucu sudah tiada dalam rumah kerana keluar meminta bantuan kakaknya yang tinggal berhampiran," katanya.

Manakala, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya berlari dalam keadaan separuh bogel ke rumahnya untuk meminta pertolongan.

"Saya mendengar jeritan adik meminta tolong dan memberitahu dia bersama ibu jadi mangsa rompakan. Namun saya terkejut apabila melihat dia dalam keadaan separuh bogel dan memberikan sehelai kain batik untuk dipakai sebelum dia pengsan di rumah saya," katanya.

Sinar Harian difahamkan seorang daripada suspek adalah bekas banduan berusia dalam lingkungan 50-an yang pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan rogol. Lelaki itu dikatakan sudah mengamati pergerakan mangsa ketika bertemu di sebuah kenduri beberapa hari sebelum kejadian.

Ulasan GB

Inilah padahnya hukum Islam dipersendakan, angkah jenayah di putarbelitkan....
maka hukum kebenaran itu akan sentiasa mendedahkan bahawa jenayah kian berleluasa...





[BONGKAR] Campurtangan Najib & UMNO Di Dalam Projek OPS2020 UIAM

Posted: 18 Sep 2012 08:05 PM PDT

Sepucuk surat bertandatangan perdana menteri Najib Altantuya dengan restu Majlis Tertinggi Umno bertarikh 7 Ogos 2012 yang dihantar kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaleha Kamaruddin berhubung perlantikan Mizan Hitam menggantikan Nik Ahmad Kamal sebagai Timbalan Rektor universiti itu menjadi bukti terbaru bahawa Najib Altantuya adalah dalang di sebalik sebuah projek yang dipanggil OPS 2020!

Tanpa segan silu menyalahgunakan kedudukan politik dan menggunakan kepala surat Umno bagi maksud tersebut, Najib Altantuya mengarahkan supaya Mizan diberikan kemudahan dan kerjasama sepenuhnya bagi memberi kemenangan kepada mahasiswa pro-Umno (pro-Aspirasi) di universiti itu.

Menurut laman Facebook Buletin UIAM dalam posting terbaru dua jam lalu, OPS 2020 yang digerakkan Umno bertujuan memastikan kemenangan kesemua 20 kumpulan pro-Aspirasi yang condong kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di kesemua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam pilihanraya kampus yang bakal diadakan pada 25 September ini.

UIAM antara universiti yang menjadi sasaran utama Umno merampas kerusi majlis perwakilan mahasiswa yang selama ini dipegang pro-Mahasiswa yang pro-Pakatan Rakyat.

Selain UIAM, universiti utama lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut dijadikan sasaran buat Umno kerana ia sebenarnya adalah cerminan terhadap keputusan pilihanraya umum yang akan datang.

Projek yang sungguh menjijikkan ini diketuai timbalan menteri belia dan sukan, Razali Ibrahim yang juga pengerusi biro IPT Umno pernah didedah menghadiri satu mesyuarat Think Tank OPS 2020 bersama-sama dengan Tun Faisal Ismail Aziz yang bertindak selaku bos Unit Media Baru Umno.

Surat yang sama dilampirkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dan Presiden UIAM yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara, Sidek Hassan. -jalanpulang

Berikut merupakan kandungan surat Najib Altantuya kepada Zaleha:


MAKLUMAN PELANTIKAN TIMBALAN REKTOR UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) BAGI MENJAYAKAN OPS 2020

Dengan segala hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk

2. Adalah dimaklumkan, dengan pengesahan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pelantikan Datuk Prof. Madya Dr. Mizan bin Hitam sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM untuk menggantikan Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal bin Nik Mahmood berkuatkuasa serta merta.

3. Sehubungan itu, pelantikan Datuk Prof. Dr. Mizan bin Hitam adalah bertujuan untuk menjayakan projek OPS 2020 bersempena dengan Pilihan Raya Kampus 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 25 September 2012. Semoga makluman kepada pihak puan atas pelantikan ini dapat membawa kejayaan dan kegemilangan kepada Pro-Aspirasi untuk memartabatkan Bangsa dan Negara berlandaskan Perlembagaan UMNO.

4. Kerjasama, sokongan dan perhatian yang diberikan amat dihargai dan didahulukan dengan ucapan terima kasih.

Sekian, wassalam.

(tandatangan)

(DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK)
Presiden UMNO Malaysia



[FITNAH BERAT] Pemuda Unit Amal PAS Ditangkap Khalwat?

Posted: 18 Sep 2012 05:01 PM PDT


Puak pencacai UMNO selalu kata PR menipu, fitnah dan macam macam lagi.. Tapi tak pernahnya diberikan apa apa bukti malah mereka bertungkus lumus mengalihkan fokus org ramai kepada isu yang mereka cipta demi menangkis serangan cyberwarrior PR. Kebiasaannya mereka akan cipta isu berkaitan seks.

Contohnya ni.. Mereka sebat gambar dari indon, pastu post kononnya orang PR kena tangkap basah.. Mudah kan? Dan apa paling mereka harapkan adalah cai cai trooper mereka mainkan isu ni habis habisan.. Kalau boleh siap masuk media lidah biawak milik pimpinan mereka.

Harapan mereka mudah, cyberwarrior PR tak dapat mengesan dari mana gambar tu dapat.. Alahaaaaaaaaaaaaaaiii.. kalau mereka dah dapat dalam internet, maknanya tak mustahil orang lain pun dapat.. Tinggal sekejap atau lama..

Dasar pencacai SYAITAN YANG DIKENALI.. -erapasca

FITNAH PENCACAI UMNO MEMAKAI NICKNAME
Mahkota Dewa



BERITA LAPUK SEKITAR TAHUN 2009 DI INDONESIA
YANG FOTONYA DICILOK PENCACAI UMNO UNTUK MEMFITNAH
UNIT AMAL PAS



Ulasan GB

Memang bukan manusia. Dia syaitan. Memfitnah tanpa ada rasa takut terhadap Allah yang telah menjanjikan neraka jahanam terhadap mereka yang memfitnah apatah lagi di dalam bab "berzina".

Firmanullah s.w.t:

Orang yang memfitnah orang mukmin (yang lelaki) dan mukminah (yang perempuan), kemudian mereka tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar. Al-Buruj : 10

FITNAH seks/lucah kini seakan sudah menjadi budaya dan darah daging UMNO, daripada presidennya, para menterinya, akhbarnya, bloggernya, para ulamak tua dan mudanya.

Komain lancang mulut mereka bercakap dan tangan mereka menulis fitnah-fitnah tersebut demi untuk mempertahankan nyawa parti mereka yang sedang nazak itu.


[JENAYAH MENURUN?] Kereta Timb Menteri Hilang Di Johor Ditemui Terbakar Di Kapar

Posted: 18 Sep 2012 08:03 AM PDT

Klang - Kenderaan rasmi milik Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu anak Belum yang dilaporkan hilang di Seri Alam, Johor Bahru pada 2 Jun lalu, ditemui terbakar kurang 500 meter dari simpang Jalan Akob, Kapar di sini, Sabtu lalu.

Gambar: Anggota polis memeriksa kereta timbalan menteri yang terbakar di Kapar.

Kereta jenis Proton Perdana Executive itu ditemui oleh orang awam di tepi jalan kawasan terbabit kira-kira jam 7.30 malam, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan dan kereta yang terbakar sepenuhnya itu berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak bomba.

Beliau berkata, siasatan awal gagal mengenal pasti nombor pendaftaran kereta terbabit kerana kenderaan itu musnah teruk.

"Setelah kita periksa nombor chasis serta enjin kereta tersebut mendapati ia adalah kenderaan rasmi yang digunakan oleh timbalan menteri berkenaan.

"Semakan juga menunjukkan kereta bernombor pendaftaran WRM 1146 itu dilaporkan dicuri di kawasan Seri Alam, Pasir Gudang kira-kira tiga bulan lalu," katanya ketika ditemui di Balai Polis Kapar di sini, hari ini.

Mohd Shukor berkata, kereta itu dibawa balik ke Balai Polis Kapar untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan jenayah bencana dengan api.

"Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan menjurus pelbagai aspek sedang dijalankan," katanya.

Menurutnya, bagi kes kehilangan kenderaan rasmi itu di Johor, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ulasan GB

Inilah padahnya angka jenayah sebenar cuba diputarbelit dan disembunyikan semata-mata untuk menunjukkan pencapaian NKRA kononnya sudah berjaya menurunkan kadar jenayah.

Kini terkena kepada kereta rasmi seorang timbalan menteri. Terbakar hangus.

Kebenaran tidak boleh ditipu dan diselewengkan. Ia akan tetap terdedah juga waimma bagaimana pihak tertentu cuba menyembunyikannya.

Isu Burung Walit: Noh "Udang" Mengamuk Atau Buat-buat mengamuk?

Posted: 18 Sep 2012 06:21 AM PDT


Puak Umno yang tiba - tuba mengamuk meragut banner-banner yang dibawa penternak burung Walit


antara lebih 400 orang penternak burung walit yang hadir dari seluruh negara


Pada 15 September 2012, sekitar jam 11 pagi di Pekan Tanjong Karang, che'GuBard, Komrad Azhar (Penyelaras bersama SAMM Selangor) dan komrad- komrad SAMM Sg.Besar (team Utara Selangor) telah hadir di Pekan Tanjong Karang bersama YB Sue Lim serta lebih 400 penternak burung walit dari seluruh negara untuk menghantar memorandum bagi mengenengahkan isu yang berpanjangan dalam industri burung walit khususnya mengenai isu penghantaran / penjualan produk ke negara China.

Pagi yang sama juga secara tiba - tiba dibuat rumah terbuka hujung Syawal depan Pejabat Umno Tanjong Karang. Menurut salah seorang 'Tok Sidang' yang turut hadir majlis itu diadakan saat akhir mungkin kerana itu cara untuk mengumpulkan ramai orang Umno 'berkubu' depan pejabat sendiri dan juga akan diceritakan selepas itu kononya penternak burung walit yang hadir (kebetulan ramai orang cina) bertindak biadap serang majlis hari raya orang melayu. Sudah menbaca taktik ini kami hanya berkumpul di seberang jalan besar. Hanya wakil 6 orang dan hampir 10 pengiring sahaja dibenarkan melintas jalan rapat ke pejabat Umno.


Kehadiran kami disambut Noh Omar sendiri. Kami dijemput duduk. Saya duduk betul - betul di sebelah Noh Omar. Sebaik sahaja saya duduk dia terus tanya saya dan Yahya Shaari (PKR) dengan nada berbisik menyindir "kau orang ni tahu ke isu burung walit ni?"

Katanya lagi dari beribu sarang hanya ratus je daftar. Menurut dia PBT di Selangor pun nak saman dan minta kami agar tolong jangan saman. Cukup terkejut dengan seorang menteri apabila beliau berkata "kau tahu kenapa cina - cina ni tak nak daftar rumah burung....luar rumah burung tapi ada yang simpan dadah,senjata...macam-macam lagi itu sebab tak nak daftar dan bagi kita masuk 'check'.."

Rupanya isu rumah burung ini juga dalam kepala pemikiran Menteri turut dipandang dari aspek pemikiran perkauman yang tajam.

Majlis dimulakan seorang moderator bercakap keliling semua penyokong Umno bersorak, polis kelihatan bertindak profesional menjaga sekitar meja rundingan berlaku.Wakil penternak memulakan dengan membaca memorandum menjelaskan masalah. Kesian saya lihat wakil penternak itu memang diakui mutu bahasa kebangsaannya lemah sedikit tetapi ia bukan alasan penyokong yang ramai mengelilingi meja rundingan bawah khemah depan pejabat Umno itu menjerit menyindir.Ada yang dengan selamba bercakap "apalah cina ni nak cakap banyak ...cakap melayu pun gagap"

Selepas itu pembesar suara diambil alih oleh Noh Omar menjawab persoalan. Kami membiarkan dia bercakap lebih 30 minit. Bukan sekadar bercakap mengenai isu tetapi dia turut guna kesempatan itu hambur tuduhan dan sindir pakatan rakyat. Malah secara terang - terang dia marah penternak kerana jumpa DAP.

Bagi che'GuBard mudah penternak burung walit ada masalah yang lama tak selesai, mereka datang jumpa kami maka kami bawa mereka berjumpa Menteri Pertanian selepas dengar masalah mereka. Ini tidak salah sepatutnya menteri ucap terima kasih bukan tunjuk ego sombong. Kami bukan golongan datang mengamuk depan pejabat orang seperti mana mereka datang serang pejabat PKR. Kami bukan geng baling cat lari. Datang secara bertamadun untuk bincang selesai masalah rakyat. Oleh sebab itu kami beri Noh bercakap lebih 30 minit. Kemudian seorang wakil penternak bangun nak bercakap ramai mula bersorak, untuk tenangkan keadaan kami bincang YB Ng Sue Lim akan bercakap menjawab sindiran dan tuduhan liar Noh Omar dan che'GuBard akan bangun menggulung.


30 minit bagi peluang Noh Omar bercakap bila saya nak bangun bercakap
dia terus mengamuk tak tentu pasal

Namun bila YB Ng Sue Lim bercakap keadaan mula kecoh bukan sekadar penyokong Umno, Noh sendiri mula berdiri dan marah- marah. che'GuBard mula bangun nak bercakap, tolak menolak berlaku. Terus Ketua Polis Daerah muncul rampas microphone kami dan minta bersurai lalu iring kami ke seberang jalan.

Beberapa orang Umno juga berlari ke arah seberang jalan merentap beberapa banner yang dibawa dan lari semula ke khemah Umno.

Kemudian Noh tidak diam sahaja terus pula guna akaun twitternya menyerang dengan mengatakan kami penakut dan sebagainya. Hanya mampu tersenyum dan kesian dengan cara politik 'anak jantan ala Umno' bercakap di gelanggang sendiri lebih 30 minit merapu, bila orang mula nak menjawab dia terus meroyan.

Isunya tidak akan selesai selagi kita punya menteri yang ego dan sombong seperti ini. -chegubard

Ulasan GB

GB lihat macam buat-buat mengamuk supaya kelihatan jantan macho gitu...
sebab banyk sangat skandal Noh Omar ni.. kalau tak tunjukkan jantan macho,
takut terbarai semua... :)



[VIDEO & GAMBAR] Perarakan Mahasiswa Tuntut Pilihanraya Kampus Bebas & Adil

Posted: 18 Sep 2012 03:00 AM PDT

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) akan menghantar memorandum bagi mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menambah baik sistem Pilihan Raya Kampus (PRK).

Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, memorandum itu akan dihantar dalam masa terdekat.

Ia turut disertai beberapa persatuan mahasiswa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi).

Akram berkata, pihaknya menuntut KPT melaksana enam tuntutan berkaitan PRK iaitu penetapan tarikh, mahasiswa terlibat menguruskannya, pemantauan, sistem pengundian telus, kebebasan berkempen, dan peruntukan dana kepada calon.

"Kita akan hantar memorandum untuk terus mendesak supaya KPT melaksanakan tuntutan ini. Setakat ini tiada tanda-tanda tuntutan kami akan dipenuhi walaupun PRK dijangka akan diadakan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, seramai 800 pelajar yang terdiri daripada beberapa persatuan mahasiswa menyertai perarakan di ibu kota Kuala Lumpur bagi menuntut PRK yang bersih.

Perarakan bermula di kawasan Masjid Jamek kira-kira jam 2.30 petang dan berakhir di pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Penetapan tarikh PRK

Menurut Akram, tindakan KPT melengah-lengahkan PRK seolah-olah menafikan hak mahasiswa dalam memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kampus.

"Kebanyakan MPP di IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) sudah dibubarkan kerana habis penggal. Tetapi sehingga kini pihak yang bertanggungjawab masih belum menetapkan tarikh pilihan raya," katanya.

Beliau turut mendakwa mahasiswa tidak diberi ruang untuk menguruskan PRK, sebaliknya ia diuruskan oleh pentadbiran universiti yang penuh dengan konspirasi dan campur tangan politik kerajaan.

"Kita dapat maklumat adanya pertemuan-pertemuan sulit antara kerajaan Umno BN dengan pentadbiran universiti untuk menentukan kemenangan calon aspirasi (calon pro-kerajaan) dengan memberikan suntikan dana kepada mereka," katanya.

Lantik Suhakam, Mafrel jadi pemantau

Akram berkata, disebabkan campur tangan tersebut, pihaknya menuntut supaya PRK dipantau oleh badan bebas seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Badan Malaysia Untuk Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel).

Selain itu katanya, Gamis turut mencadangkan beberapa ahli akademik untuk menjadi pemantau antaranya, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya.

Menurutnya, Gamis telah menghantar surat jemputan kepada badan-badan pemantau berkenaan supaya dapat bekerjasama memastikan PRK dijalankan dengan adil dan bersih.

"Kita juga sedang menunggu lampu hijau daripada KPT supaya dibenarkan badan-badan ini membuat pemantauan," katanya.

Tuntut pengundian telus

Akram mendedahkan, beberapa IPTA mengamalkan sistem pengundian tidak telus apabila terdapat nombor siri pada kertas undi.

Tindakan itu bertujuan mengenal pasti sama ada mahasiswa menyokong pro-mahasiswa atau pro-aspirasi.

"Berlaku juga kepincangan dalam sistem undian online atau E-Voting. Melalui sistem ini kita tidak boleh membuat bantahan ataupun semakan. Kita tidak tahu apa yang berlaku dan hanya menunggu keputusan sahaja.

"Justeru itu, kita menuntut penambahbaikan dengan memberikan salinan kepada mereka yang mengundi secara online," katanya.

Mahu tempoh kempen lima hari

Gamis, menurut Akram menuntut tempoh berkempen selama lima hari waktu berkuliah berbanding tiga hari pada masa ini.

"Tempoh pilihan raya kampus diadakan selama lima hari tetapi ia dipendekkan kepada tiga hari. Justeru kita menuntut ia diadakan lima hari sesuai dengan kempen yang dijalankan," katanya.

Dana untuk semua calon

Beliau turut menuntut supaya semua calon diberikan dana untuk berkempen tidak hanya terhad kepada calon aspirasi sahaja.

"Kita tak bersetuju apabila hanya calon pro-aspirasi sahaja yang diberikan dana pilihan raya. Kalau nak bagi kena bagi semua calon sama ada mereka pro-mahasiswa ataupun pro-aspirasi," katanya. -KD

Pilihan Raya Kampus Serentak Bukti Wujud Campurtangan 'Orang Politik'

Penetapan tarikh Pilihan Raya Kampus (PRK) secara serentak pada 20 dan 25 September ini membuktikan dakwaan mahasiswa wujudnya campurtangan 'orang politik' sebelum ini benar.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Safwan Anang berkata ini membuktikan dakwaan Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail 20 Jun bahawa terdapat satu konspirasi PRK yang dipanggil 'OPS 2020′.

Dokumen ini didakwa mengandungi penlibatan beberapa agensi kerajaan seperti polis dan Biro Tata Negara (BTN) yang akan menetapkan bila tarikh PRK ini akan berlangsung.

Bagaimanapun hasrat Saifuddin untuk membahaskan perkara ini di parlimen tidak dihiraukan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaleed Nordin.

Langkah ini jelas Safwan menghakis kuasa autonomi kampus dan sepatutnya tidak perlu campurtangan orang luar.

"Sepatutnya tidak pernah berlakunya tarikh pilihan raya kampus secara serentak di kebanyakkan kampus. Sekarang yang mengejutkan kita.

"Sekarang KPT umumkan pilihan raya berjalan serentak cuma beberapa kampus berlangsung pada tarikh lain," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Jelasnya, PRK sepatutnya berlangsung pada Mac atau April namun ditangguh sehingga pengumuman tarikh dibuat oleh KPT.

"Kami rasakan mengapa setiap kali PRK mesti timbul isu universiti tidak mengumumkan tarikh berkenaan lebih awal.

"Bayangkan setengah universiti diberi masa dua minggu untuk membuat persediaan. Jadi sebab itulah kita turun untuk menuntut enam tuntutan," katanya.

Beliau menambah, tarikh pilihan raya ini sepatutnya dimasukkan terus dalam jadual tahunan dan bukannya membuatkan mahasiswa tertanya-tanya mengenainya.

Semalam, hampir 800 mahasiswa berarak dan berkumpul dari Masjid Jamek ke perkarangan pusat membeli belah Sogo bagi menyatakan tuntutan kepada KPT untuk melaksanakan enam tuntutan 'Deklarasi Mahasiswa'.

Enam tuntutan tersebut ialah penetapan tarikh pilihan raya kampus, mahasiswa terlibat menguruskan pilihan raya kampus, pemantauan pilihan raya kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian telus dan peruntukan dana kepada calon.
-selangorku


Kredit gambar: wartawan foto Harakah Wan Zahari Salleh via FB Dato Tarmizi Mohd Jam


















Tiada ulasan: