Rabu, 12 September 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pelajar Ini Dinafikan Hak Untuk Ambil UPSR, Muhyiddin Perlu Bertanggungjawab

Posted: 12 Sep 2012 12:26 AM PDT

Rawang - Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung di sini mendakwa telah dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi dan imej sekolah tersebut.

Bapa pelajar berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan guru besar sekolah itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz, 12, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.

"Saya telah menghubungi pihak sekolah semalam (kelmarin) untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan," katanya ketika ditemui di sekolah tersebut semalam.

Tambah Mahadzir, pada hari yang sama, anaknya juga telah menemui guru besar berkenaan dan diberitahu tidak perlu hadir ke sekolah.

Disebabkan sikap guru besar tersebut, anak ketiganya itu katanya, enggan hadir menduduki UPSR meskipun telah beberapa kali dipujuk.

"Perkara ini jelas menafikan hak anak saya menduduki UPSR namun lebih mengecewakan adalah sikap guru besar tersebut yang seolah-olah anak saya sahaja yang akan menjejaskan imej sekolah berkenaan.

"Saya akui Muhammad Faiz kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kesihatan namun itu tidak boleh dijadikan alasan melarangnya daripada menduduki UPSR," tegasnya.

Kecewa dengan insiden tersebut, Mahadzir yang juga seorang perunding tuntutan di sebuah firma guaman telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa dan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim ketika dihubungi memberitahu, beliau telah dimaklumkan berkenaan isu tersebut tetapi masih menunggu laporan lanjut mengenainya.

Pada tahun lepas, lima pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teluk Sara, Baling, Kedah dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.

Kejadian yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Sarawak apabila tiga orang pelajar telah dilarang untuk mengambil peperiksaan tersebut. -kosmo

Ulasan GB

Hal ini terjadi adalah sistem pelajaran negara yang mementingkan kelulusan di dalam peperiksaan.

Sekolah berlumba-lumba untuk menghasilkan sebilangan ramai pelajar yang mendapat "A" di dalam semua matapelajaran dan pelajar yang dikategorikan "lemah" atau "lembam" dihalang dari menduduki peperiksaan. GB mendapat maklumat bukan sahaja pelajar UPSR, malah pelajar-pelajar PMR dan SPM juga turut terlibat sama.

Ada para pelajar yang sepatutnya menduduki PMR dan SPM telah dihantar ke bengkel-bengkel GIATMARA, Pusat Jahitan KEMAS dan seumpamanya bagi menghalang mereka untuk menduduki peperiksaan dan dikategorikan dengan para pelajar OKU.

Berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi-jadi di zaman Muhyiddin menjadi Menteri Pelajaran untuk menunjukkan kononnya di zaman TPM tersebut menjadi menteri pelajaran, keputusan peperiksaan meningkat sedangkan hakikatnya pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan-peperiksaan tersebut telah ditapis terlebih dahulu. Setiap kali di hari keputusan peperiksaan diumumkan maka tajuk akhbar yang lazim ialah: Keputusan Bertambah Baik.... Untuk apa? Untuk menaikkan nama menteri berkenaan.

Hal ini tidak wajar samasekali dilakukan kerana ia amat jelas menganaktirikan pelajar berkenaan semata-mata untuk tujuan menaikkan nama Menteri Pelajaran terbabit.

Jawatan Menteri Kewangan Perlu Dipisahkan Dari Jawatan PM

Posted: 11 Sep 2012 10:31 PM PDT

Pakatan akan pisahkan kuasa PM-Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan memastikan jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri tidak dipegang oleh individu sama jika diberi mandat memerintah negara kelak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pengasingan kuasa itu bagi memastikan kedua-dua pihak masing-masing boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas khususnya dalam menangani krisis ekonomi global yang sedang berlaku.

"Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya masalah tumpuan kepada kerja dan tanggungjawab, yang mana Menteri Kewangan terpaksa menumpukan tugas untuk menyelamatkan parti dari urusan kewangan negara.

"Tindakan pengasingan kuasa ini akan kita laksanakan apabila Pakatan mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya nanti, ini bukan cadangan tapi akan dilaksanakan," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini.

Amalan Perdana Menteri memegang portfolia kewangan serentak katanya telah bermula sejak zaman mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2008 yang ketika itu memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Menurutnya lagi, Barisan Nasional dialu-alukan jika ingin melaksanakan cadangan pengasingan kuasa itu.

"Pakatan menyeru agar Perdana Menteri melepaskan portfolio kewangan kerana ia merupakan sebahagian yang penting dalam sistem 'Westminster' untuk mempunyai seorang CEO dan jawatan CFO yang dipegang oleh orang lain bagi bertindak sebagai 'check and balance'," katanya lagi.

Mustafa turut menyatakan pengasingan jawatan akan dapat memastikan akauntabiliti dalam pengendalian dana negara.

Dalam pada itu beliau turut berpendapat kejatuhan saham Felda Global Vanture Holding (FGVH) hari ini pada aras RM4.58 merupakan petanda yang tidak baik dan bakal memberi kesan kepada seluruh peneroka di negara ini.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong. -HD



Ulasan GB

Petikan ulasan GB sebelum ini pada 16 Sept 2011

Semenjak Tun Dr. Mahathir memegang Kementerian Kewangan selain menjadi Perdana Menteri, trend itu nampaknya berterusan dengan diikuti oleh PM selepasnya, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak.

Masing-masing PM tersebut dilihat hendak menjaga dan memanipulasi pelbagai kepentingan dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Malah seingat GB, sebelum Pak Lah berundur sebagai PM beliau telah terlebih dahulu menerima tekanan daripada kumpulan Najib supaya menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Mahathirlah yang telah meletakkan "precedent" tersebut.

Sudah sampai masanya ia diubah semula dengan Najib menyerahkan portfolio kewangan kepada orang lain sebelum nanti dibongkar segala kepentingan yang beliau ada di kementerian berkenaan.

Wang KWSP Digunakan Untuk Selamatkan Saham FGVH

Posted: 11 Sep 2012 07:35 PM PDT


KWSP beli lebih banyak unit saham FGV

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli 2.2 juta saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) lagi oleh kerana harga saham gergasi perladangan jatuh menjunam lagi semalam sebelum pulih sedikit meningkat lima sen lebih tinggi.

Saham FGVH semalam tidak terlepas turun ke bawah harga jualan institusi sebanyak RM4.55 semalam, menjunam 11 sen dari harga pembukaan rendah RM4.57, sebelum pulih kepada RM4.73 pada akhir hari dagangan.


KWSP adalah salah satu pelabur asas FGVH dan telah meningkatkan kepentingan langsung dalam GLC tersebut daripada 5.07 peratus pada 4 Julai kepada 7.02 peratus semalam.

Pengumpulan saham FGVH walaupun menurun sejak dua bulan lalu menyebabkan sesetengah pemerhati pasaran menganggap bahawa dana pencen terbesar di negara ini membantu untuk menaikkan saham kumpulan perladangan.

Harga FGVH juga membimbangkan beberapa peneroka Felda yang telah diberi pilihan untuk membeli saham pada harga runcit IPO pada RM4.45.

Dilaporkan pada 29 Ogos, kerajaan memperolehi peruntukan RM360.7 juta oleh Felda untuk membiayai 800 unit saham yang dibeli oleh setiap peneroka sepenuhnya.

Peruntukan itu menyebabkan peneroka bebas daripada perlu membayar lima peratus faedah bank setahun ke atas pinjaman yang mereka ambil untuk membeli saham dan peneroka akan membayar balik Felda kira-kira RM50 setiap bulan tanpa faedah, selama lima tahun.

Harga saham FGVH lemah berbanding dengan rakan-rakan seperti Sime Darby dan KL Kepong.

Walaupun saham-saham perladangan telah berada di bawah tekanan disebabkan kebimbangan mengenai harga minyak sawit yang lebih rendah, KL Kepong turun kira-kira empat peratus dari awal bulan Julai dan Sime Daby turun hanya kira-kira satu peratus berbanding dengan FGVH yang telah jatuh kira-kira 12 peratus.

FGVH melaporkan keuntungan mengecewakan bagi suku kedua, turun 32.5 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh pengurangkan tuaian minyak sawit, peningkatan dalam kos operasi, dan sumbangan yang lebih rendah daripada subsidiari gula MSM Holdings.

Kumpulan itu juga berhadapan dengan penuaan pokok-pokok kelapa sawit sebanyak 53 peratus daripada 320,000 hektar ladang kelapa sawit antara yang tertinggi dalam industri dan latihan penanaman semula akan menyebabkan kehilangan lebih benyak pendapatan sepanjang tempoh sebelum pokok-pokok menjadi matang.

FGVH juga dilaporkan mengalami kerugian dari segi produktiviti tan sehektar yang disenaraikan sebagai ketiga terendah di kalangan firma perladangan utama di Malaysia.

Harga minyak sawit juga dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat oleh kerana stok penimbal Malaysia kekal tinggi dan negara ini juga menghadapi persaingan untuk eksport dari Indonesia.

Sesetengah penganalisis walaubagaimanapun mengambil perhatian bahawa FGVH menawarkan aliran tunai yang mantap dan 50 peratus dasar pembayaran dividen. -TMI

FVGH: Kerajaan tak dengar kata, saham merudum

TUMPAT: Akibat kerajaan tidak mahu mendengar pandangan orang lain termasuk pegawai Felda serta peneroka, saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) mencecah serendah RM4.57 seunit.

AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) berkata kejatuhan saham itu paling rendah sejak ianya mula merudum beberapa hari lalu sebanyak RM4.69 seunit selepas mencatat kedudukan paling tinggi sejak Julai lalu, RM5.55.

Katanya, apa yang berlaku akibat tindakan kerajaan memperdagangkan masa depan peneroka Felda melalui penyenaraian saham Felda sehingga menjadikan saham sebagai barang dagangan negara dan di peringkat antarabangsa.

Katanya, saham Felda itu kini telah menjadi milik syarikat-syarikat asing, syarikat judi yang mana semua syarikat itu motif utama mereka adalah perniagaan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada majlis Aidilfitri bersama peniaga Kedai Bebas Cukai, Pengkalan Kubur, di sini semalam sebagai mengulas saham Felda menjunam jatuh sehingga RM4.57 seunit.

Katanya lagi, apabila ekonomi tidak lagi memberikan keuntungan yang mudah kepada pemegang saham itu mereka sewenang-wenang akan menjualkannya tanpa mengira kesannya terhadap peneroka.

"Walaupun jumlah unit saham hanya 800 sahaja, tetapi dengan kerugian yang dialami, mereka terpaksa membuat pinjaman bank dan pinjaman yang lain untuk membeli sahaja-saham itu," ujarnya lagi.

Kamaruddin seterusnya berkata, peneroka tidak pandai menjual atau membeli saham apa lagi menguruskannya, tetapi apabila disedari tiba-tiba harga menjadi rendah.

"Bila dicampur dengan kos kerugian, pinjaman dan sebagainya peneroka mengalami kerugian yang amat besar berikutan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan rakyat serta pihak lain," ujarnya.

Katanya, Felda, hasilnya dan bumi Felda sepatutnya seratus peratus dimiliki oleh peneroka dan seterusnya generasi kedua kedua atau ketiga dan seterusnya.

Beliau tidak menafikan apa yang berlaku itu 'permainan' saham dan lumrah berlaku, sebaliknya risiko yang tidak sewajarnya berlaku terpaksa ditanggung oleh peneroka kerana 'offer' tidak bijak kerajaan untuk rakyat.

"Kerana kedegilan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan pegawai Felda, ramai antara mereka disisihkan, ditukar dan berbagai lagi dan sekarang kita tengok apa yang berlaku," ujarnya.

Katanya, bagi membantu kerajaan menampung kerugian dalam saham itu, KWSP pula diminta membantu.

Sambungnya, jika langkah itu diambil dividen yang diperolehi pencarum juga akan menjadi kecil jumlahnya.

Katanya, kerajaan seharusnya menjadikan pengalaman Tabung Haji Plantation yang gagal sebagai panduan sebelum saham Felda disenaraikan.

"Soalan kita, adakah ahli-ahli Tabung Haji mendapat keuntungan yang besar atau dividen yang tinggi selepas ianya disenaraikan sebagai saham.

"Hujah yang sama diberikan pada saham FGVH ini, jangankan mendapat untung yang besar, rugi pula yang terpaksa ditanggung," ujarnya.
-HD


[GEMPAR] Portal Jabatan K'jaan Guna Logo Merdeka Pakatan Rakyat Sempena Hari Malaysia

Posted: 11 Sep 2012 06:05 PM PDT

Satu demi satu agensi kerajaan UMNO BN "bergaya" dengan logo merdeka Pakatan Rakyat dan bukan logo "Janji Ditepati" ciptaan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sebelum ini Pos Laju, sebuah produk dari POS Malaysia Berhad, sebuah agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sendiri telah menggunakan logo kemerdekaan Pakatan Rakyat yang bertemakan "Sebangsa, Senegara, Sejiwa".


Terkini, portal rasmi Jabatan Pelajaran Johor pula menggunakan Logo Merdeka Pakatan Rakyat sempena Hari Malaysia di lamanwebnya (imej slide show).

Satu tamparan hebat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Menteri Pelajaran apabila sebuah jabatan kementeriannya seperti seolah-olah "mengiktirafkan" logo Pakatan Rakyat berkenaan. Lebih menarik, jabatan pelajaran itu di negeri di mana Muhyiddin menjadi seorang ahli parlimennya.

Samada disengajakan, atau tidak sengaja atau TERsengaja... hakikatnya logo merdeka Pakatan Rakyat nampaknya berjaya menawan hati rakyat sehinggakan pihak agensi kerajaan sendiri "tersasul" menggunakannya.

Atau berkemungkinankah sememangnya selepas ini Pakatan Rakyat akan menjadi pemerintah baru bagi negara Malaysia tercinta dengan bertemakan "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" menggantikan 1Malaysia yang hanya tinggal slogan sedangkan amalannya tersangat rasis dan "assabiyah" itu?

Pagi ini akan kelam-kabutlah Jabatan Pelajaran Johor mengeluarkan logo itu dari lamanwebnya, mujur kita telah dapat membuat "printscreen"nya terlebih dahulu seperti gambar di atas.

[VIDEO] Konvensyen Mega Pakatan Rakyat Di Stadium Bukit Jalil 3 Nov 2012

Posted: 11 Sep 2012 09:46 AM PDT

Pakatan Rakyat dalam perancangan akan menganjurkan Mega Konvensyen Pakatan Rakyat di Stadium Bukit Jalil pada 3 November nanti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini memberitahu perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat esok.

"Mesyuarat hari ini telah memutuskan agar satu himpunan Mega Konvesyen Pakatan Rakyat diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 3 November nanti.

"Dan kita berharap pihak kerajaan mahupun perbadanaan stadium dapat memberi keizinan kepada kita untuk mengadakan himpunan tersebut," jelasnya.

Kata beliau lagi, selaras dengan janji yang dikeluarkan oleh kerajaan yang mana Pakatan boleh mengadakan perhimpunan di mana-mana stadium.

Namum, jika kerajaan gagal mengotakan janji tersebut mereka maka janji ditepati perlu ditukar kepada janji dimungkari, jelas beliau.

"Kita lihat adakah keizinan diberikan atau tidak untuk kita mengadakan perhimpunan di Stadium Bukit Jalil nanti," sambung beliau selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat. -HD



Polis Buru Samseng UMNO BN Kencing Poster Pemimpin Pakatan Rakyat

Posted: 11 Sep 2012 08:04 AM PDT

Kuala Terengganu - Polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan menghina gambar pemimpin Pakatan Rakyat yang disiarkan di sebuah portal berita Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah/Perundangan Terengganu Supt Luqman Abdul Rahman berkata siasatan dilakukan setelah polis menerima laporan berkenaan perkara itu di Balai Polis Kerteh, Kemaman, Sabtu lepas.

"Gambar dalam portal berkenaan menunjukkan beberapa lelaki melakukan perbuatan menghina pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Salah seorang daripada mereka seolah-olah membuang air kecil pada gambar pemimpin itu. Perbuatan yang dilakukan ini kita kira sangat serius kerana ia menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Luqman berkata setakat ini polis masih mengesan sama ada kejadian sebenar berlaku di Terengganu atau di tempat lain serta latar belakang kesemua suspek.

Beliau menggesa individu yang bertanggungjawab tampil menyerah diri secepat mungkin dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran. -BERNAMA

Ulasan GB

Yang jelas, mereka adalah samseng UMNO Barisan Nasional berdasarkan pakaian dan topinya. Inilah yang diajar oleh pemimpin-pemimpin UMNO BN selama ini kepada pemuda-pemudanya.




Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Samseng UMNO Dikenalpasti Dalam Kawad Cam

Posted: 11 Sep 2012 06:10 AM PDT

Seorang samseng Umno yang terlibat dalam insiden simbah cat ke bas Jelajah Merdeka Rakyat di Melaka Sabtu lalu berjaya dikenal pasti oleh salah seorang peserta rombongan semasa proses kawad cam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, petang tadi.

Seramai 11 suspek dipanggil menjalani proses tersebut dan pengecaman itu dikesan oleh Setiausaha Kerja Wanita Pusat KEADILAN, Maisuri Hamzah.

"Saya sahkan seorang individu iaitu pemuda bernama Sharidan yang memakai topi berwarna merah semasa insiden itu.

"Polis kemudian mengambil keterangan berhubung kawad cam, dan memberitahu bahawa saya ada mengambil gambar (Sharidan ketika insiden itu)," katanya ketika ditemui selepas selesai menjalani kawad cam kira-kira jam 4.00 petang tadi.

Menurut Maisuri, kes tersebut yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 247 Kanun Keseksaan (merosakkan harta benda awam) ditukar kepada Seksyen 248 untuk membolehkan tangkapan dibuat.

Selain Maisuri, turut sama membuat kawad cam, petugas pejabat KEADILAN, Abdul Hadi Suhaimi.

Kedua-dua mereka telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada hari kejadian.

Pada 8 September lalu, sekumpulan 30 samseng Umno menyerang bas jelajah Merdeka Rakyat dengan membaling batu, botol air mineral dan menyimbah cat ketika bas tiba di Majlis Sambutan Aidilfitri KEADILAN Jasin di Kampung Kelubi, Melaka.

Ia berlaku kira-kira jam 3.30 petang – dilakukan pada siang hari secara terang-terangan.

Minggu lalu, pada jelajah sulung Merdeka Rakyat ke empat buah negeri, bas itu turut disimbah cat merah sekitar jam 4.20 pagi manakala cermin depan retak dilontar batu di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan.

Samseng Perkasa turut mengganggu tazkirah Anwar di Masjid Al-Hussain, Alor Setar hingga tergamak membaling kasut ke dewan solat. -KD


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Zahid Hamidi Kecut, Sultan Johor Murka Peralatan Kor Gerak Khas Tidak Bermutu

Posted: 11 Sep 2012 03:32 AM PDT

DPPM: Teguran Sultan Johor perlu diberi perhatian penting

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan memandang serius dan menyiasat dakwaan adakah benar wujudnya amalan rasuah dan ketirisan dalam pembekalan kelengkapan tentera kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Ini berikutan titah ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang murka ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

"Sepatutnya kerajaan merasa malu dengan keluhan hati Sultan Johor sehingga baginda terpaksa membangkitkan perkara ini di ruang media secara terbuka," kata Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss.

"Sebagai ketua bagi pasukan tersebut, baginda wajar membangkitkan rasa tidak puas hati mewakili seluruh anggota pasukan baginda sendiri.

"Apa yang dizahirkan oleh Sultan Johor adalah suatu kebimbangan terhadap amalan rasuah dan ketirisan yang mungkin berlaku dan menyerap masuk dalam dalam projek membekalkan kelengkapan peralatan tentera sehingga anggota pasukan elit itu menjadi mangsanya," katanya dalam satu kenyataan.

DPPM, katanya, bersetuju dengan teguran baginda supaya kementerian pertahanan memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya.

"Kerajaan juga beri perhatian terhadap teguran baginda supaya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden," tambahnya.

Justeru, katanya, DPPM mendesak kerajaan supaya mengkaji balik pemberian kontrak pembekalan kelengkapan tentera.

"Kontrak pembekalan kelengkapan tentera pula perlu dibuat secara tender terbuka dan menyerahkannya kepada mereka yang benar-benar berhak dan layak," tambahnya.

Selain itu, kata Dr Raja Ahmad, hanya kelengkapan yang memenuhi kualiti yang ditetapkan sahaja boleh diluluskan dengan melihat kepada teknologi semasa bagi menunjukkan kekuatan keselamatan negara serta menakutkan kepada musuh-musuh negara.

"Jangan nanti negara lain mentertawakan tahap keselamatan negara kerana masih menggunakan peralatan yang usang, lupus tarikh dan ketinggalan zaman bagi menghadapi pertempuran," tambahnya.

Zahid Hamidi: Isu harga RIV untuk elit tentera disiasat

Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang diutarakan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam titah baginda Sabtu lepas akan disiasat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.

Beliau berkata kementeriannya mengambil secara positif komen tersebut dengan menganggapnya sebagai satu keprihatinan yang ditunjukkan Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas.

"Kementerian Pertahanan mengambil maklum terhadap komen baginda dengan cara positif di mana saya sendiri akan lakukan penyiasatan terhadap perbezaan di antara harga RIV yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal.

"Mungkin terdapat spesifikasi yang berbeda yang akan saya teliti," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai titah Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor Sabtu lepas.

Ahmad Zahid yang ditemui selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Staf Angkatan Tentera Republik China, Jeneral Ma Xiaotian di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, berkata beliau menghargai pandangan tersebut dan sekali gus menunjukkan keprihatinan baginda terhadap peralatan yang sedang dan terus digunakan oleh Rejimen Gerak Khas.

"Keprihatinan ini adalah suatu yang perlu dihargai oleh kementerian (pertahanan) dan tentunya akan diambil kira sebagai panduan terutamanya dalam pembelian aset-aset dan peralatan di bawah naungan baginda," katanya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim pada Sabtu lepas melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.

Baginda bertitah dalam usaha kerajaan mengawal belanjawan dan perbelanjaan, pihak Kementerian Pertahanan hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan peralatan yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang tinggi.

Di samping itu Sultan Johor juga mengingatkan pihak yang berkenaan agar tidak mengambil kesempatan dalam usaha pihak tentera melengkapkan kor itu dengan peralatan terkini.

"...janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga yang berlipat kali ganda," titah Sultan Ibrahim.
- Bernama

Tiada ulasan: