Rabu, 12 September 2012

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Lelaki Didakwa Terkena Sihir Janda Dicari

Posted: 11 Sep 2012 09:48 PM PDT


[SH] KUALA PERLIS - "Dialah pengarang jantung kami, saban hari kami menunggu dan akan terus menunggu sampai bila-bila pun."

Begitulah luahan pasangan suami isteri apabila anak lelaki bongsu mereka tidak pulang ke rumah sejak sebulan lalu.

Harun Aris, 24, dipercayai terkena 'buatan' sebelum meninggalkan rumah bersama wanita berusia 40 tahun yang berasal dari Kuala Perlis.

Bapanya, Aris Md Noor, 59, berkata, sebelum ini anak bongsu daripada dua beradik itu belum pernah tidak pulang.

Katanya, Harun sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan keluarga pada 1 September lalu. Namun bakal pengantin itu menghilangkan diri sebelum hari dia dan pasangannya diijabkabulkan.

"Memang gadis itu pilihan keluarga kerana sebelum ini dia minta supaya kami mencari pasangan untuknya dan setelah kami cari, dia bersetuju serta mesra dengan bakal isteri dan keluarga bakal mertua.

"Malah dia juga kelihatan gembira pada hari pertunangannya dengan gadis pilihan kami yang berusia 22 tahun.

"Namun, beberapa hari sebelum pernikahannya, ada penduduk kampung memaklumkan mereka ternampak anak saya di rumah wanita yang juga seorang janda. Saya pun ke sana dan bawa dia pulang," katanya.

Aris juga sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya dan sehingga kini masih tiada khabar berita.

Sementara itu, isterinya, Zainab Arop, 59, berkata, dia tidak menyangka permintaan anaknya supaya tidak mengedarkan kad jemputan kahwin sebelum raya terselit muslihat.

Pasangan itu juga mengaku Harun belum pernah hubungi mereka menerusi telefon mahupun mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak meninggalkan rumah.

"Lepas bawa Harun pulang dari rumah wanita itu, kami bercadang menghantarnya ke rumah kakaknya di Pulau Pinang kerana syak dia terkena sihir, namun ketika menunggu bapanya mengeluarkan kereta dari garaj, dia tiba-tiba melarikan diri sehelai sepinggang dan sekelip mata lesap," katanya.

Tambahnya, mereka terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan dan turut bersimpati dengan bakal menantu yang sanggup menunggu Harun.

"Sesiapa yang ada maklumat mengenai Harun boleh menghubungi suami saya di talian 012-4202791," katanya.

Penangan sihir tak jadi kahwin
Aris dan Zainab menunjukkan gambar pertunangan Harun yang berlangsung pada 23 Jun lalu dan kad jemputan kahwin serta laporan polis.



Wang KWSP Digunakan untuk Selamatkan Saham FGVH

Posted: 11 Sep 2012 06:50 PM PDT



KWSP beli lebih banyak unit saham FGV

[TMI] KUALA LUMPUR, 12 Sept — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli 2.2 juta saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) lagi oleh kerana harga saham gergasi perladangan jatuh menjunam lagi semalam sebelum pulih sedikit meningkat lima sen lebih tinggi.

Saham FGVH semalam tidak terlepas turun ke bawah harga jualan institusi sebanyak RM4.55 semalam, menjunam 11 sen dari harga pembukaan rendah RM4.57, sebelum pulih kepada RM4.73 pada akhir hari dagangan.


 
KWSP adalah salah satu pelabur asas FGVH dan telah meningkatkan kepentingan langsung dalam GLC tersebut daripada 5.07 peratus pada 4 Julai kepada 7.02 peratus semalam.

Pengumpulan saham FGVH walaupun menurun sejak dua bulan lalu menyebabkan sesetengah pemerhati pasaran menganggap bahawa dana pencen terbesar di negara ini membantu untuk menaikkan saham kumpulan perladangan.

Harga FGVH juga membimbangkan beberapa peneroka Felda yang telah diberi pilihan untuk membeli saham pada harga runcit IPO pada RM4.45.

Dilaporkan pada 29 Ogos, kerajaan memperolehi peruntukan RM360.7 juta oleh Felda untuk membiayai 800 unit saham yang dibeli oleh setiap peneroka sepenuhnya.

Peruntukan itu menyebabkan peneroka bebas daripada perlu membayar lima peratus faedah bank setahun ke atas pinjaman yang mereka ambil untuk membeli saham dan peneroka akan membayar balik Felda kira-kira RM50 setiap bulan tanpa faedah, selama lima tahun.

Harga saham FGVH lemah berbanding dengan rakan-rakan seperti Sime Darby dan KL Kepong.

Walaupun saham-saham perladangan telah berada di bawah tekanan disebabkan kebimbangan mengenai harga minyak sawit yang lebih rendah, KL Kepong turun kira-kira empat peratus dari awal bulan Julai dan Sime Daby turun hanya kira-kira satu peratus berbanding dengan FGVH yang telah jatuh kira-kira 12 peratus.

FGVH melaporkan keuntungan mengecewakan bagi suku kedua, turun 32.5 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh pengurangkan tuaian minyak sawit, peningkatan dalam kos operasi, dan sumbangan yang lebih rendah daripada subsidiari gula MSM Holdings.

Kumpulan itu juga berhadapan dengan penuaan pokok-pokok kelapa sawit sebanyak 53 peratus daripada 320,000 hektar ladang kelapa sawit antara yang tertinggi dalam industri dan latihan penanaman semula akan menyebabkan kehilangan lebih benyak pendapatan sepanjang tempoh sebelum pokok-pokok menjadi matang.

FGVH juga dilaporkan mengalami kerugian dari segi produktiviti tan sehektar yang disenaraikan sebagai ketiga terendah di kalangan firma perladangan utama di Malaysia.

Harga minyak sawit juga dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat oleh kerana stok penimbal Malaysia kekal tinggi dan negara ini juga menghadapi persaingan untuk eksport dari Indonesia.

Sesetengah penganalisis walaubagaimanapun mengambil perhatian bahawa FGVH menawarkan aliran tunai yang mantap dan 50 peratus dasar pembayaran dividen. 

 
Berkaitan:

FVGH: Kerajaan tak dengar kata, saham merudum

[HD] TUMPAT: Akibat kerajaan tidak mahu mendengar pandangan orang lain termasuk pegawai Felda serta peneroka, saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) mencecah serendah RM4.57 seunit.

AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) berkata kejatuhan saham itu paling rendah sejak ianya mula merudum beberapa hari lalu sebanyak RM4.69 seunit selepas mencatat kedudukan paling tinggi sejak Julai lalu, RM5.55.

Katanya, apa yang berlaku akibat tindakan kerajaan memperdagangkan masa depan peneroka Felda melalui penyenaraian saham Felda sehingga menjadikan saham sebagai barang dagangan negara dan di peringkat antarabangsa.

Katanya, saham Felda itu kini telah menjadi milik syarikat-syarikat asing, syarikat judi yang mana semua syarikat itu motif utama mereka adalah perniagaan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada majlis Aidilfitri bersama peniaga Kedai Bebas Cukai, Pengkalan Kubur, di sini semalam sebagai mengulas saham Felda menjunam jatuh sehingga RM4.57 seunit.

Katanya lagi, apabila ekonomi tidak lagi memberikan keuntungan yang mudah kepada pemegang saham itu mereka sewenang-wenang akan menjualkannya tanpa mengira kesannya terhadap peneroka.

"Walaupun jumlah unit saham hanya 800 sahaja, tetapi dengan kerugian yang dialami, mereka terpaksa membuat pinjaman bank dan pinjaman yang lain untuk membeli sahaja-saham itu," ujarnya lagi.

Kamaruddin seterusnya berkata, peneroka tidak pandai menjual atau membeli saham apa lagi menguruskannya, tetapi apabila disedari tiba-tiba harga menjadi rendah.

"Bila dicampur dengan kos kerugian, pinjaman dan sebagainya peneroka mengalami kerugian yang amat besar berikutan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan rakyat serta pihak lain," ujarnya.

Katanya, Felda, hasilnya dan bumi Felda sepatutnya seratus peratus dimiliki oleh peneroka dan seterusnya generasi kedua kedua atau ketiga dan seterusnya.

Beliau tidak menafikan apa yang berlaku itu 'permainan' saham dan lumrah berlaku, sebaliknya risiko yang tidak sewajarnya berlaku terpaksa ditanggung oleh peneroka kerana 'offer' tidak bijak kerajaan untuk rakyat.

"Kerana kedegilan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan pegawai Felda, ramai antara mereka disisihkan, ditukar dan berbagai lagi dan sekarang kita tengok apa yang berlaku," ujarnya.

Katanya, bagi membantu kerajaan menampung kerugian dalam saham itu, KWSP pula diminta membantu.

Sambungnya, jika langkah itu diambil dividen yang diperolehi pencarum juga akan menjadi kecil jumlahnya.

Katanya, kerajaan seharusnya menjadikan pengalaman Tabung Haji Plantation yang gagal sebagai panduan sebelum saham Felda disenaraikan.

"Soalan kita, adakah ahli-ahli Tabung Haji mendapat keuntungan yang besar atau dividen yang tinggi selepas ianya disenaraikan sebagai saham.

"Hujah yang sama diberikan pada saham FGVH ini, jangankan mendapat untung yang besar, rugi pula yang terpaksa ditanggung," ujarnya.


P/s: Duit kita disalahgunakan oleh mereka sewenang-wenangnya!


Keluarga Sharizat Terlibat Pindah Wang Haram????

Posted: 11 Sep 2012 05:52 PM PDT


Pindah wang secara haram, Shahrizat patut disiasat – Rafizi
 
[KD] PETALING JAYA 11 September: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan satu lagi bukti baru berhubung syarikat yang dikawal keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil di Malaysia dan Singapura.

Tiga rangkaian syarikat itu termasuk Meatworks Pte Ltd, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd dan Global Biofuture Pte Ltd disyaki melakukan pemindahan wang haram kepada Global Biofuture Pte Ltd yang didakwa mengendalikan urusan pembelian dan jualan pukal lembu.

"Pemindahan wang sebegini perlu disiasat di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang menetapkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat sebarang transaksi yang disyaki, sama ada sumber kewangan atau tujuan pemindahan wang dibuat," tegasnya.

"KEADILAN kini mengalihkan tumpuan terhadap syarikat Global Biofuture untuk memastikan operasinya juga disiasat dan segala pemindahan wang dari dana awam dihentikan," jelas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Rafizi mendedahkan tiga dokumen termasuk email dari Donna Yong, kakitangan Meatwork Singapore yang bertanggungjawab terhadap operasi syarikat milik keluarga bekas Menteri Wanita itu di Singapura yang bertarikh 25 Oktober 2010 kepada Jabatan Kewangan National Feedlot Corporation (NFC) dan disalinkan kepada ketiga-tiga anak Shahrizat.

Turut disertakan, borang permohonan penyediaan cek oleh National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (NLMC) yang dimilik dan dikawal sepenuhnya oleh keluarga Shahrizat agar satu bayaran berjumlah 990,402 juta US Dollar (bersamaan hampir RM3 juta) dibuat kepada sebuah akaun bank di Singapura.

Dokumen ketiga ialah invois bernombor V14/10 dari South East Livestock Services Pte Ltd berpusat di Darwin dengan jumlah sama seperti cek tadi kepada Global Biofuture Pte Ltd berpusat di Singapura yang juga dimiliki dan dikawal keluarga Shahrizat.

Dokumen-dokumen tersebut menurut Rafizi mengesahkan bahawa, pembelian lembu dari luar negara dibuat melalui syarikat broker Global Biofuture tetapi dibayar oleh syarikat NMLC menggunakan wang rakyat yang diberikan kepada NFC .

"Masalahnya, pembelian lembu oleh Global Biofuture tiada kena mengena dengan NMLC dan NFC," katanya.

"Ini bermakna wang NFC telah dipindahkan secara haram melalui NMLC kepada Global Biofuture yang mana kehadiran Global

Biofuture sebagai orang tengah dalam pembelian harga lembu pada harga yang tinggi turut menimbulkan persoalan" jelasnya.

"Kenapa NFC tidak membeli terus lembu tersebut dari pembekal tanpa melalui orang tengah yang kebetulan juga dimiliki keluarga Shahrizat?," soal beliau.

"Apakah keluarga Shahrizat mengambil untung dua kali dalam pembelian lembu luar negara yang dibekalkan kepada NFC?" soalnya lagi.

Menurut Rafizi, bukti baru itu mencukupi agar BNM dan pihak berkuasa menyiasat keluarga Shahrizat atas kemungkinan melanggar AMLA.

Satu laporan baru akan dibuat pada Khamis ini untuk memastikan siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa secepat mungkin.
 
 
 P/s: Pendedahan lanjut sila baca di blog Rafizi di sini.
 
 
 

Tiada ulasan: