DIALOG RAKYAT |
- ANAK Jangka Perubahan Besar Undi Peneroka Dalam PRU-13
- Janji Demokrasi: Era Umno Bolot Raikan Merdeka Berakhir
- Tiada Campurtangan Polis, Ambang Merdeka ‘Janji Demokrasi’ Berakhir Aman
- MB Nafi Ketepikan Sultan, Ia Cuma Amalan Biasa
- 6 pelajar Malaysia di UK risiko diusir
- Sheila Majid disaman RM6 juta
- 2 pemain bola bawa balik perempuan
- Lautan Kuning Banjiri Dataran Merdeka
- Singkap semula sejarah, beri makna baru kemerdekaan- Anwar
- Ambil alih lebuh raya EDL, bukti Buku Jingga tepat- Rafizi
ANAK Jangka Perubahan Besar Undi Peneroka Dalam PRU-13 Posted: 31 Aug 2012 05:20 PM PDT KUALA LUMPUR : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menjangkakan terdapat perubahan besar dalam undi peneroka Felda pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Pengerusinya, Mazlan Aliman optimis dengan siri pendedahan pelbagai pihak berhubung kepincangan Felda berjaya membuka mata warga peneroka terutama generasi kedua Felda. "Daripada 1.6 juta warga peneroka, 60 peratus daripadanya ialah generasi kedua dan ketiga dan mereka inilah penentu pilihan raya akan datang. "Kita melihat generasi baru ini lebih relevan dalam membuat penilaian dan mereka sedar pengurusan Felda ini dicengkam pemimpin rakus dan tamak haloba yang menelan kekayaan yang seharusnya menjadi hak warga peneroka," ujar Mazlan dalam satu temubual ekslusif bersama TV Selangor. Tambahnya, anak-anak peneroka Felda kini lebih berpendidikan dan bijak menilai bentuk permainan kerajaan pemerintah yang menindas warga peneroka. "Mereka dapat lihat bagaimana kerajaan sedia ada cuba mewujudkan satu bentuk transformasi yang memindahkan kepentingan peneroka kepada satu konsep dan dasar yang berbeza dengan matlamat awal penubuhan Felda dahulu. "Sesungguhnya kita semua tidak menolak transformasi namun biarlah ia berbentuk penambahbaikan bukan sesuatu yang sekadar menguntungkan kroni dan menindas peneroka," kata beliau. |
Janji Demokrasi: Era Umno Bolot Raikan Merdeka Berakhir Posted: 31 Aug 2012 05:18 PM PDT KUALA LUMPUR : Berbeza dengan sambutan ambang merdeka tahun-tahun sebelumnya, sambutan ambang merdeka 'Janji Demokrasi' yang diadakan di Dataran Merdeka malam tadi turut disertai oleh semua kaum dari pelbagai peringkat umur. Sebelum ini, setiap kali sambutan ambang kemerdekaan diadakan, kebanyakan orang ramai yang hadir adalah terdiri daripada hampir 90 peratus adalah orang Melayu khususnya golongan remaja yang ingin menyaksikan persembahan hiburan artis kegemaran mereka. Manakala sambutan disebelah paginya pula, kebanyakan warga berbangsa India dan Cina yang hadir hanya semata-mata kerana terlibat dalam acara yang dipersembahkan. Menurut seorang pelajar berbangsa Cina penuntut tahun dua di Universiti Lim Kok Wing yang tidak mahu namanya disebut, sebelum ini sambutan kemerdekaan dilihat sebagai salah satu acara menaikan imej Umno di mata rakyat negara ini. "Sebab itulah bila hari merdeka, selalunya berkisar tentang pemimpin Umno sahaja. "Kali ini lain, saya dan kawan-kawan betul-betul dapat rasakan semangat kemerdekaan negara Malaysia, bukan meraikan mana-mana parti politik," kata beliau sambil disokong oleh beberapa rakan beliau yang turut serta meraikan sambutan ambang kemerdekaan malam tadi. Manakala bagi kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hanan pula, meskipun tiada acara hiburan diadakan ia masih mampu menarik ribuan hadirin yang jelas ingin menyampaikan mesej bahawa rakyat negara ini mahu merdeka dari cengkaman 55 tahun di bawah pemerintahan Umno-BN. "Cina dan India bukan tidak sayangkan negara Malaysia, bukan tak mahu meraikan, tetapi mereka melihat sambutan anjuran kerajaan hanyalah acara memertabatkan Umno sebab itu malam ini kita lihat selain ramai Melayu, Cina dan India juga ramai dengan pelbagai lapisan umur. "Jadi kita tak perlukan hiburan, bunga api dan sebagainya dengan semua datang tanpa di bayar. "Saya dengar orang yang datang besok pagi ada hadiah kereta dan bermacam lagi. "Malah bagi sesetengah kakitangan kerajaan mereka terpaksa hadir dan kita juga tahu berpuluh-puluh bas disediakan oleh kerajaan," kata Tunku Harmy ketika ditemui TVS malam tadi. |
Tiada Campurtangan Polis, Ambang Merdeka ‘Janji Demokrasi’ Berakhir Aman Posted: 31 Aug 2012 05:13 PM PDT KUALA LUMPUR : Sambutan ambang merdeka 'Janji Demokrasi' yang diadakan di sekitar Dataran Merdeka dan di hadapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) malam tadi ( 31 Ogos ) berkahir aman tanpa sebarang kekecohan berikutan tiada tindakan provokasi olh pihak polis. Berbeza seperti mana yang terjadi dalam perhimpunan siri 1,2 dan 3 anjuran BERSIH kerana terdapat banyak tindakan provokasi dan serangan-serangan ganas polis terhadap peserta perhimpunan. Demikian menurut kerabat diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hanan ketika ditemui TVSelangor di lokasi sambutan ambang merdeka 'Janji Demokarasi' malam tadi. "Di sini rakyat Malaysia kena faham, orang yang datang ini tak kira BERSIH ke, apa ke, kita ini adalah orang aman. "Buktinya pada malam ini bila tiada polis mengacau, tengok suasana aman, seolah-olah tiada apa yang berlaku. "Tetapi kalau polis ada membawa senjata, merempuhkan orang-orang mereka ke dalam orang-orang yang berhimpun, itu yang mencetuskan suasana yang huru-hara seperti dalam perhimpunan BERSIH 2.0 dah 3.0 lalu," ujarnya lagi. Tunku Harmy turut menganggap kempen menaikkan jalur gemilang yang dilaungkan oleh kerajaan tidak mendapat sambutan dari masyarakat negara ini kerana rakyat telah mula menolak penghayatan kemerdekaan ala Umno-BN. "Pada hemat saya sepatutnya malam ini orang menyambut kemerdekaan dengan bendera penuh dan kenderaan-kenderaan juga banyak dipasang bendera, tetapi kali ini saya tak nampak pun, yang ada sangat kurang," kata beliau. Perhimpunan 'Janji Demokrasi'merupakan perhimpunan sambutan ambang kemerdekaan yang dianjurkan oleh gabungan JANJI yang dianggotai 49 pertubuhan bukan kerajaan(NGO). Sambutan ambang kemerdekaan itu malam tadi berjaya menarik kehadiran seramai hampir 20,000 hadirin. Sambutan tersebut yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka terpaksa dipindahkan di hadapan bangunan DBKL apabila Datuk Bandar mengeluarkan arahan agar Dataran Merdeka ditutup untuk orang ramai. Sebelum itu, sambutan kemerdekaan anjuran kerajaan pada peringkat awal lagi telah mendapat protes rakyat kerana tema dan logonya yang melambangkan kepartian. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila buat pertama kali tiada sebarang sambutan diadakan pada malam ambang merdeka di dataran bersejarah itu. Meskipun sambutan ambang merdeka Janji Demokrasi dengan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa itu berbajet bajet rendah ianya tetap berjalan meriah oleh kehadiran ribuan pengunjung dan beberapa tokoh politik, aktivis seni dan aktivis masyarakat terkenal. Sebelum kiraan 'count down' detik 12.00 malam beberapa acara sampingan juga telah dijalankan. Antaranya nyanyian lagu berbentuk sindiran kepada kerajaan dan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Sebelum itu kehadiran beberapa kumpulan mat rempit yang cuba menganggu orang ramai yang berada dalam acara sambutan tersebut juga gagal. Setelah kiraan detik 12.00 malam sambutan malam tadi telah diakhiri dengan tembakan bunga api berbajet rendah yang dibawa oleh orang ramai dan nyanyian lagu negaraku. Kira-kira jam 2.00 pagi orang ramai mula meninggalkan kawasan sekitar Dataran Merdeka dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tanpa sebarang kekecohan. Menurut Pengerusi Bersama BERSIH, A. Samad Said, sambutan ambang kemerdekaan Janji Demokrasi ini telah dapat diadakan dengan berjaya sekali. |
MB Nafi Ketepikan Sultan, Ia Cuma Amalan Biasa Posted: 31 Aug 2012 05:10 PM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Negeri menafikan laporan media pro Umno-BN, Utusan Malaysia yang menyatakan pentadbiran Selangor mengenepikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke -55 negara di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam tadi. Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata memang menjadi amalan dan kebiasaan Sultan Selangor tidak dijemput bagi menghadiri majlis tersebut. "Memang tiada dalam program menjemput Sultan. Memang biasa kita buat macam ini setiap tahun. Itu sahaja," katanya kepada pihak media selepas menghadiri majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri di sini hari ini. Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan akan kemurkaan Sultan Selangor berhubung insiden itu sambil menjelaskan perkara tersebut tidak berlaku. "Tidak ada…..tiada ada," ujarnya. Sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor malam tadi bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa itu dihadiri lebih 10,000 hadirin. Sementara itu, majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri dianjurkan Kerajaan Negeri hari ini dihadiri ramai rakyat Selangor dari pelbagai lapisan masyarakat kerana Aidilfitri masih diraikan umat Islam. Majlis tersebut turut dihadiri Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Husin; Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Adun Negeri Selangor. Tambahan pula hari ini adalah cuti umum sempena sambutan hari kemerdekaan negara. Hadirin tidak melepaskan peluang berbaris di sepanjang laluan dilalui Sultan Selangor untuk berjabat salam dengan Tuanku. Ternyata majlis mesra ini mengeratkan silaturrahim antara Sultan Selangor dan barisan pembesar negeri bersama rakyat jelata. |
6 pelajar Malaysia di UK risiko diusir Posted: 31 Aug 2012 05:05 PM PDT Enam pelajar Malaysia di Britain berdepan kemungkinan diusir selepas lesen visa institusi pengajian tinggi mereka dibatalkan.UK Border Agency (UKBA) pada Rabu menarik balik lesen London Metropolitan University (LMU) untuk menaja visa kepada pelajar antarabangsa dari luar Kesatuan Eropah (EU). Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu akan memberi kesan kepada semua pelajar bukan dari EU yang melanjutkan pengajian di universiti tersebut. "Pihak berkuasa di sana mendapati universiti tersebut telah menyalahgunakan kuasanya untuk mengambil pelajar antarabangsa, jadi lesennya telah ditarik balik. "Kami meminta Pendidikan Malaysia di London untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut dari universiti itu," katanya kepada The Star. Di bawah peraturan visa Britain, semua pelajar bukan dari EU di LMU diberi tempoh 60 hari sama ada untuk mengemukakan permohonan memasuki insitusi lain atau meninggalkan negara itu. Naib Canselor LMU, Prof Malcolm Gillies dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web universiti tersebut berkata, mereka akan berbincang dengan UKBA, Kesatuan Kebangsaan Pelajar dan kesatuan pelajarnya untuk menyelesaikan perkara ini. "Kami telah menubuhkan pusat khidmat bantuan untuk memberi sokongan dan nasihat kepada pelajar," katanya. Akhbar The Sunday Times melaporkan bahawa pemeriksaan yang dilakukan oleh UKBA mendapati beberapa pelajar yang menyambung pengajian di LMU tidak mempunyai visa sah. Pemeriksaan turut mendapati universiti tersebut gagal melaporkan ketidakhadiran pelajar antarabangsa selain penilaian keupayaan akademik pelajar dan penguasaan bahasa Inggeris. Prof Gillies berkata, UKBA telah menggantung lesen visa universiti tersebut pada 16 Julai lalu selepas bimbang bahawa sebilangan kecil pelajar luar negara tidak mempunyai dokumen imigresen yang sah. "Untuk tempoh enam minggu lalu, kami terus mencuba berhubung dengan UKBA untuk memahami keprihatinan mereka yang fokus kepada proses berkaitan legasi pengurusan terdahulu. "Malangnya, UKBA enggan berkomunikasi dengan universiti," dakwanya. Pengerusi United Kingdom dan Majlis Eire Pelajar-pelajar Malaysia, Ahmad Syawal Hafriz Abdullah berkata keputusan itu tidak adil kepada pelajar luar negara yang menaruh kepercayaan terhadap institusi tersebut. "Ia menyebabkan pelajar sedia ada dan akan datang resah. Ia juga mungkin mencetuskan panik dan mengecewakan pelajar asing di negara itu. "Saya berharap isu ini akan diselesaikan segera memandangkan semester baru akan bermula tidak lama lagi," katanya. Menteri Universiti Britain, David Willets berkata, sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk membantu pelajar yang terjejas akibat keputusan itu sambil menambah ia akan dilaksanakan dengan serta-merta. Pengurusan pusat pengajian tinggi mahu mencabar tindakan UKBA. Presiden Kesatuan Kebangsaan Pelajar (NUS) Liam Burns berkata: "Keputusan berat ini tidak masuk munasabah bagi pelajar, tidak munasabah buat institusi dan tidak masuk akal bagi negara." Data Majlis Bagi Pelajar Antarabangsa UK menunjukkan antara negara bukan EU yang menghantar pelajar masing-masing ke negara Eropah itu ialah China, India, Nigeria, Amerika Syarikat, Malaysia, Hong Kong, Arab Saudi, Pakistan, Thailand dan Kanada. Menteri Imigresen, Damian Green berkata, universiti itu telah "kehilangan status diamanahkan" memandangkan satu kajian menunjukkan satu per empat penuntut luar negara tidak ada kebenaran untuk berada di UK. "Kebanyakan penuntut tiada penguasaan standard bahasa Inggeris yang baik," kata Green. Selain itu katanya, tiada bukti menunjukkan separuh daripada mereka hadir kuliah. "Pelanggaran itu adalah sesuatu yang serius," kata beliau lagi. |
Posted: 31 Aug 2012 04:57 PM PDT Selepas memberi peluang kepada Datuk Sheila Majid selama seminggu, Badan Pengutip Royalti, Hak Pelaku Dan Persembahan Artis (PRISM) semalam mengambil keputusan menyaman ratu jazz negara itu sebanyak RM6 juta selepas gagal mengemukakan permohonan maaf. Ahli Lembaga Pengarah yang juga Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian selepas tiada permohonan maaf daripada Sheila selepas tempoh seminggu dari 24 hingga 31 Julai lalu tamat. Beliau berkata, imej dan reputasi PRISM tercemar dan sehingga semalam, pihaknya tidak dibenarkan membuat kutipan disebabkan dakwaan Sheila, sedangkan bayaran royalti perlu dijelaskan kepada ahli yang masih ada bagi tahun hadapan. Isu ini timbul selepas penyanyi itu dalam kenyataan akhbar berbahasa Inggeris pada 22 Julai lalu mendakwa hanya dibayar royalti sekali iaitu RM5,000 pada tahun lalu, itu pun selepas dia meninggalkan persatuan dan menubuhkan badan pemungut royalti baru, Recording Performance Malaysia (RPM). M Daud berkata, pihaknya tidak mahu berkompromi lagi kerana banyak kesan diterima pihaknya daripada kenyataan Sheila. "Kesan dakwaan Sheila menyebabkan keahlian PRISM merudum daripada 1,306 ahli kepada hanya 600 orang dalam tempoh sebulan selepas kenyataan berkenaan," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam jam 5 petang, semalam. Beliau berkata, pihaknya juga akan memanjangkan perkara itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana isu itu juga membuatkan pembayar royalti tidak lagi percaya kepada persatuan. M Daud berkata, surat saman akan dikirimkan kepada Sheila dalam masa terdekat, selain akan berbincang memecat keahlian penyanyi itu. Sementara itu, Sheila gagal dihubungi dan suaminya, Acis memberitahu, kedua-dua mereka kini di Jakarta, Indonesia. |
2 pemain bola bawa balik perempuan Posted: 31 Aug 2012 04:55 PM PDT Dua pemain Terengganu, Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad perlu melupakan hasrat mereka untuk meneruskan kempen Piala Malay- sia musim ini bersama skuad Penyu ekoran masalah disiplin. Ia selepas kedua-dua pemain didapati melanggar peraturan dan pulang ke bilik penginapan kira-kira pukul 3 pagi beberapa jam sebelum bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Selasa lalu.Jurulatihnya, Peter James Butler ketika dihubungi mengesahkan bahawa kedua-dua pemain itu tidak akan bermain kerana kecewa dengan kegagalan kedua-dua mereka mengikut peraturan yang ditetapkan. "Saya tegaskan, Ismail dan Muslim tidak akan bermain untuk saya lagi. "Balik pukul 3 pagi dan bawa gadis ke hotel. Ia benar-benar tidak boleh diterima," katanya ketika dihubungi semalam. Menurut Butler, perbuatan itu menunjukkan kedua-dua pemain tersebut tidak menghormati beliau, pasukan, pihak pengurusan serta seluruh rakyat Terengganu. "Jika tiada sebarang keajaiban, mereka tidak akan bermain untuk saya lagi. "Saya memerlukan pemain yang berdisiplin dan komited dengan pasukan," katanya. Menurut Butler, dari segi pasu- kan, kedua-dua pemain itu tidak akan dibenar bermain selagi beliau menjadi jurulatih Terengganu tetapi bagi pihak pengurusan, ia belum diputuskan lagi. Jelasnya, beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kedua-dua pemain itu. Dalam pada itu, menurut Butler, ketiadaan kedua-dua pemain itu tidak akan meninggalkan kesan besar kepada Terengganu untuk mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini kerana mereka mempunyai ramai pemain muda yang berbakat. "Selain itu, kami mempunyai pemain Piala Presiden seperti Muhd. Fakhrurazi Musa yang boleh dipanggil apabila diperlukan," katanya. Jelasnya, kekalahan tipis 1-2 ketika bertemu Kedah di Alor Setar, Selasa lalu tidak akan melunturkan semangat pasukannya dan yakin Terengganu akan kembali memberi saingan. "Saya bimbang kerana pemain kita yang sepatutnya boleh bermain dengan baik gagal mempamerkan aksi sebenar kerana tidak mendapat rehat yang cukup. "Tetapi kita akan bangkit bermula dengan kemenangan ke atas Kedah, Sabtu ini," katanya. |
Lautan Kuning Banjiri Dataran Merdeka Posted: 31 Aug 2012 04:52 PM PDT Oleh: Aedi Asri KUALA LUMPUR : Lebih 20,000 peserta berpakaian kuning berhimpun di sekitar Dataran Merdeka malam tadi untuk menyertai perhimpunan 'Janji Demokrasi', meskipun ia diisytihar bertentangan undang-undang oleh kementerian dalam negeri. Kawasan di sekeliling Dataran Merdeka juga ditutup dan dikawal ketat pihak polis, namun himpunan berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan. Malah, suasana seperti pesta jelas dirasai. Walaupun himpunan dijadual bermula hanya pada jam 11 malam, peserta mula memenuhi kawasan sekitar dataran bersejarah itu seawal jam 9 malam. Sementara menunggu detik jam 12 tengah malam, peserta berlegar di sekitar dataran sambil bersantai dan mengambil gambar. Pelbagai ragam dan aksi dapat dilihat, termasuk persembahan spontan dari pemuzik jalanan. Kira-kira 11.15 malam, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Fuziah Salleh tiba ke kawasan himpunan, disambut dengan sorakan peserta. Tidak lama selepas itu, peserta mula bergerak untuk berhimpun di dataran bersebelahan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama-sama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) dan anggota Gabungan Janji yang lain. Orang ramai juga dilihat menyanyikan lagu "Janji Ditepati" dengan lirik sinikal kepada "Janji Dicapati". Pada jam 11.30 malam, Pak Samad mendeklamasikan puisi bertajuk 'Janji Demokrasi' menggunakan 'loud hailer'. Beliau kemudian mengisytihar himpunan itu sebagai berjaya. Turut bersama anggota 47 NGO yang membentuk Gabungan Janji dan juga pimpinan Pakatan Rakyat, antaranya Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan penulis lirik Bob Lokman. Tiba jam 12 tengah malam, peserta bersama-sama melaungkan 'merdeka' dan 'bersih' serta menyanyikan lagu 'Negaraku'. Sebahagian peserta mula bersurai. Pada satu ketika, keadaan menjadi sedikit tegang apabila sekumpulan penunggang motosikal membunyikan hon sehingga mengganggu peserta. Namun, keadaan kembali reda selepas peserta yang memenuhi jalan raya membuka laluan kepada kumpulan penunggang motosikal itu untuk berlalu pergi. |
Singkap semula sejarah, beri makna baru kemerdekaan- Anwar Posted: 31 Aug 2012 04:47 PM PDT KEADILAN DAILYSHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat negara ini menyingkap semula lembaran sejarah dan memberi makna baru bagi kemerdekaan tanah air."Mari lah menggilap semula semangat perjuangan, memberi makna kemerdekaan. Kemerdekaan menjanjikan kebebasan dan kebajikan kepada rakyat, bukan segelintir pemimpin. "Kemerdekaan menjamin kepedulian, siapa saja yang mendapat amanah untuk memimpin negara, mereka tidak mendapat mandat sepertimana penjajah. Mandat itu dinilai oleh rakyat hanya setelah mereka terbukti dapat memberikan khidmat, pengorbanan dan kebajikan sebaiknya kepada rakyat," ujarnya. Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Selangor berkata demikian ketika sambutan Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Shah Alam malam tadi. "Dalam menyingkap lembaran sejarah ini, kita harus insaf bahawa kemerdekaan tidak dicapai dengan seruan dan slogan, "Kemerdekaan dicapai dengan sumbangan ibu bapa kita yang bertungkus lumus dan sejarah yang lalu, ada yang korbankan nyawa dengan menentang kuasa besar penjajah Inggeris. "Tokoh besar nasional, Almarhum Datuk Onn Jaafar, Almarhum Dr Burhanuddin Al Helmy dan lain-lain seangkatan harus kita hargai dan perlu ketika ini kita singkap sejarah perjuangan mereka," ujar Anwar. Sambutan kemerdekaan yang bertemakan 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' itu dihadiri lebih 30,000 rakyat serta dihadiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan Exconya. Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan perbarisan dan kesenian daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan negeri. Menurut Anwar, generasi sekarang khususnya generasi muda harus menanyakan kembali erti kemerdekaan yang menjamin kebebasan, di mana dasar negara, ekonomi dan budaya ditentukan oleh rakyat sendiri. "Kemerdekaan beerti, negara tahu peritnya penjajahan, kita benci dengan imperialisme atau kolonialisme sebab ada unsur penindasan. "Oleh itu soal legitimasi pemerintahan mana-mana negara dalam negara merdeka itu harus ditentukan secara yang sah, pilihan raya yang bersih dan teratur, dan itu semangat kemerdekaan yang dijanjikan dalam perisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. "Kita mesti hentikan dasar yang membolehkan segelintir orang memunggah kekayaan dan meminggirkan rakyat. Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim menekankan supaya khazanah Selangor dipulangkan kepada rakyat Selangor, ini erti semangat kemerdekaan. "Semangat kemerdekaan itu tidak berhenti dengan perbarisan, dengan pesta-pestaan. "Semangat kemerdekaan itu harus mampu menimbulkan rasa kecintaan kepada negara dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh generasi hari ini," tegasnya. |
Ambil alih lebuh raya EDL, bukti Buku Jingga tepat- Rafizi Posted: 31 Aug 2012 04:40 PM PDT SUARA KEADILANKUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan mengambilalih Lebuhraya Penyuraian Timur (Eastern Dispersal Link atau EDL di Johor membuktikan prinsip ekonomi yang disyorkan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) adalah tepat.Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, keputusan terbaru kerajaan itu sekaligus menolak tuduhan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) yang mendakwa prinsip ekonomi Buku Jingga boleh menyebabkan negara muflis. Katanya, dasar Pakatan Rakyat adalah menetapkan pengambilalihan konsesi tol dengan matlamat menghapuskan tol sebagai satu daripada 10 program pertama yang akan dilaksanakan jika berkuasa. "Ini berasaskan fakta bahawa jumlah bebanan yang ditanggung rakyat dan kerajaan (dalam bentuk tol yang dibayar dan pampasan tahunan kepada pemegang konsesi) adalah jauh lebih mahal daripada kos operasi dan kadar pulangan pelaburan yang munasabah yang ditanggung oleh pemegang konsesi seperti PLUS," katanya dalam satu kenyataan. Bagaimanapun katanya, beliau khuatir jika pengambil alihan itu adalah helah supaya wang rakyat disalur kepada syarikat-syarikat yang rapat dengan Umno BN, terutama apabila pemegang konsesi EDL adalah MRCB yang rapat dengan Umno. "Kebelakangan ini, ada satu kegilaan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk menggunakan dana rakyat dan membeli pelbagai aset dan konsesi kroni yang jumlah urusniaganya mencecah berbilion ringgit. "Kesemua urusniaga ini, termasuklah yang terbaru pembelian EDL oleh kerajaan Malaysia dibuat dalam suasana penuh kerahsiaan. Nilaian harganya tidak melibatkan tokoh-tokoh lain yang boleh memastikan rakyat tidak ditipu dan tidak ada unsur-unsur penyelewengan," katanya yang memberi contoh pembelian dua syarikat penjana bebas dari kumpulan Genting dan Ananda Krishnan pada harga melampaui RM7 bilion. Justeru itu katanya, beliau mengesyorkan pimpinan PR menggerakkan rakyat menuntut dua perkara antaranya mendesak Najib umumkan senarai lebuhraya dan konsesi akan diambil alih kerajaan dan sebuah Jawatankuasa Parlimen (PSC). "Sebuah Jawatankuasa Parlimen (Parliamentary Select Committee) perlu ditubuhkan dalam sidang dewan akan datang untuk mengkaji, menyemak dan memastikan kesemua urusniaga yang melibatkan pembelian aset besar dari syarikat berkepentingan dibuat secara adil dan tiada unsur penyelewengan. "KEADILAN akan membawa isu ini ke sidang Parlimen akan datang untuk diberikan perhatian utama," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan