MIMPI SENJA |
- TERKINI : Lagi bekas pegawai kanan polis akan sertai PAS
- Soo Wincci bekas ratu cantik berbangsa Cina mahu melengkapkan puasa 30 hari
- Norman Hakim Sebak Lihat Memey & Abby Berpelukan
- LRT Ampang - George Kent pembohong - Rafizi
TERKINI : Lagi bekas pegawai kanan polis akan sertai PAS Posted: 03 Aug 2012 09:58 AM PDT Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Datuk Ramli Yusuff akan menyertai PAS dalam masa terdekat, kata naib presiden parti itu Salahuddin Ayub. Menurutnya, beberapa perbincangan telah berlangsung antara PAS dan Ramli berhubung perkara itu dan perkembangan terbarunya juga "sangat positif". "Dalam masa terdekat pengumuman akan dibuat pimpinan tertinggi parti atau beliau (Ramli) sendiri," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian. Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Salahuddin berkata, PAS amat mengalu-alukan kemasukan Ramli yang dilihat mempunyai dorongan kuat untuk memperjuangkan kebenaran. "Bukan mudah untuk seorang bekas pegawai polis berprofil tinggi seperti beliau membuat keputusan menyertai PAS," katanya. Sebelum ini, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari turut menyertai PAS, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha parti Islam itu merekrut ahli daripada pelbagai latar. Pengumuman dijangka Ogos atau September PAS juga dilihat sedang aktif menerima kemasukan kumpulan selebriti seperti pelakon Abby Abadi, Hairie Othman dan penyanyi Aishah yang jarang-jarang berlaku sebelum ini. Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim sewaktu dihubungi Malaysiakini turut membayangkan seorang lagi bekas penjawat awam tertinggi berasal dari Kelantan akan menyertai parti itu. "Saya yakin dalam tempoh antara Ramadan dan Syawal, banyak lagi yang akan menyertai PAS dari kalangan bekas penjawat awam. "Saya rasa sebelum Ogos (berakhir) atau September akan ada pengumuman dibuat berkenaan perkara ini," katanya. Ramli sebelum ini mencuri perhatian apabila terdapat dakwaan beliau dianiaya ekoran konspirasi melibatkan peguam negara dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan untuk melindungi tokoh kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau Tengku Goh pada 2007. Musa bagaimanapun menafikannya manakala perdana menteri pula menolak penubuhan tribunal untuk menyiasat perkara itu kerana berpendapat ia hanya dakwaan dan "Dakwaan perlu disahkan". |
Soo Wincci bekas ratu cantik berbangsa Cina mahu melengkapkan puasa 30 hari Posted: 03 Aug 2012 05:24 AM PDT Bekas ratu cantik, Soo Wincci meluahkan keseronokan kerana percubaannya berpuasa bukan saja memberi banyak manfaat pada diri malah lebih mengembirakan peminatnya di kalangan berbangsa Melayu juga kini sudah bertambah ramai. Pun begitu penyanyi juga pelakon lebih suka menyatakan yang namanya mula menjadi sebutan sejak muncul sebagai salah seorang dari 16 peserta yang menyertai pertandingan Masterchef Selebriti Malaysia, di saluran Astro baru-baru ini. "Sudah 4 tahun saya dalam industri, orang tak berapa kenal sebelum ni. Tapi saya akui ramai yang kenali saya sejak Masterchef. Sekarang ni kalau saya pergi mana-mana, bila terserempak dengan mereka yang cam saya, mesti tanya "nak masak apa?", kata Wincci kepada MD ketika ditemui baru-baru ini. Sementalah impak semakin di kenali ramai atas nama artis bukan melayu itu kian dirasai sejak hari pertama dia berpuasa. Berkongsi pengalaman berpuasa, menurut Winnci, hari pertama memang cukup mencabar baginya dan dalam minggu pertama juga dia tidak berapa sihat. Namun sokongan ramai terdiri daripada keluarga, teman-teman juga peminat memgembalikan semangatnya. Lantas walaupun bukan beragama Islam dan kali pertama berpuasa, dia berazam mahu melengkapkan selama 30 hari puasa. (Hah, bagi anda tak puasa tanpa sebab kukuh, sila malu dengan diri sendiri). Tambahnya lagi, dia seperti sudah biasa menahan lapar dan dahaga selama lebih kurang 13 jam setiap hari. Winnci juga memberitahu, pada awalnya dia bimbang dengan tanggapan keluarga akan keputusannya mahu berpuasa, namun tidak menyangka mendapat sokongan penuh apabila ibunya sendiri yang membelikannya sekotak kurma. "Seronok berpuasa dan berat badan saya juga sudah turun sebanyak 4kg. Tahun lalu saya ada cuba-cuba puasa tapi tak penuh. Tahun ni saya berazam tak mahu tinggal sehari pun. Paling seronok bila waktu berbuka, ramai yang mahu teman saya berbuka. Mula-mula saja dulu saya makan dengan banyak sebab lapar. Tapi sekarang setiap kali berbuka saya ambil kurma dengan jus. Kemudian baru makan makanan yang berat. Dan sejak betrpuasa ni ramai juga yang ambil berat tentang saya," ujarnya. Kalau waktu berbukanya meriah dengan layanan kawan-kawan juga dikalangan teman artis. Waktu sahur juga saat yang mengujakan bagi anak jati Kuala Lumpur ni kerana setiap kali waktu bersahur dia 'ditemani' peminat-peminat. "Kebiasaannya saya bersahur seorang. Saya bangun jam 5 pagi. Kalau saya berada di Taiwan saya akan bangun jam 3.20 pagi. Dan setiap kali nak makan saya akan tweet kepada peminat sebagai bukti yang saya bersahur dan berpuasa. Ramai beri respon dan saya sangat menghargai. Kalau siang hari bila saya terasa lapar, saya akan tengok Twitter baca mesej-mesej peminat yang memberi semangat supaya saya bertahan. "Seperkara yang saya tak sangka semenjak puasa ni saya banyak dapat peminat lelaki berbangsa Melayu. Mereka ni lucu-lucu juga sebab ada tu yang cakap pada saya, "mahu tak awak mengahwini saya", saya hanya gelak saja bila baca. Dan ramai juga yang tweet saya dalam bahasa Cina. Saya terharu kerana mereka sanggup belajar bahasa Cina semata-mata nak berkomunikasi dengan saya. Jadi sekarang di Twitter saya ada tiga bahasa, Melayu, Inggeris dan Mandarin, kongsi pelakon ini yang baru saja selesai menjalani penggambaran telemovie raya, Lemang Nan Sebatang. Dalam perkembangan lain, hujung tahun ini dia akan berangkat ke Taiwan untuk rangka promosi album juga menjalani penggambaran drama di sana. - Foto oleh Cipotredz - mD |
Norman Hakim Sebak Lihat Memey & Abby Berpelukan Posted: 03 Aug 2012 03:56 AM PDT Oleh FERIDE HIKMET ATAK (feride@thestar.com.my) PETALING JAYA: Insiden Memey Suhaiza dan Abby Abadi berpelukan sambil menangis merupakan saat paling bermakna apabila kedua-dua mereka mahu menamatkan persengketaan yang terjadi selama ini. Norman Hakim berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama isterinya, Memey mahu mengambil anak-anak yang berada bersama Abby di sebuah lokasi di Shah Alam. "Ketika itu tujuan saya dan Memey ke Shah Alam bertujuan untuk ambil anak-anak saya yang pada waktu itu dengan Abby. Kalau nak ikutkan sejak sekian lama saya dan Abby agak jarang berkomunikasi apatah lagi Memey. "Dan apabila sampai di lokasi itu, tiba-tiba Abby menarik tangan Memey dan memeluknya sambil menangis. "Saya agak terkejut dan semua senyap seketika. Anak-anak pula menjerit 'yeay! Mummy dan mama dah baik!". Terasa macam filem Hindustan pula. Ia adalah satu keajaiban sebenarnya yang penuh bermakna dalam bulan Ramadan ini," ceritanya ketika dihubungi mStar Online di sini petang Khamis. Tambah Norman, keadaan itu juga membuatkan dia begitu sebak dan bersyukur kerana doanya untuk melihat bekas isteri dan Memey menghapuskan sengketa terlaksana dan seterusnya dapat menyatupadukan keluarga. "Saya ada juga tanya kepada mereka, apa yang membuatkan kedua-duanya kembali berdamai? Mereka cakap ' ini rahsia perempuan'. "Apa-apa pun saya bersyukur kepada Ilahi tiada lagi persengketaan antara kami dan yang paling gembira semestinya anak-anak. Anak sulung saya, Danish siap bergurau dan berkata, kalau mama dan papa kahwin, Danish nak jadi pengapit," tuturnya. Menceritakan pula detik mereka berbuka puasa bersama-sama di rumah Abby pada Rabu lalu, Norman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) meminta kebenaran untuk berbuka puasa di rumah Abby dan dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu. "Rasa seronok sangat dapat berbuka puasa bersama-sama. Abby dan Memey juga rancak berbual mengenai bayi di dalam kandungan Memey yang berusia dua bulan itu. "Selepas itu, Abby telah menghadiahkan sepasang telekung kepada Memey sebelum kami menunaikan sembahyang jemaah Maghrib bersama," tuturnya. Ditanya adakah perdamaian itu membuka jalan untuk Norman mengambil semula Abby sebagai isteri, pelakon itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir. "Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun saya tak tahu apa status Abby sekarang ini. Cuma saya mengharapkan yang terbaik selepas ini dan akan sentiasa berdoa serta berusaha untuk menjaga keharmonian keluarga. "Memey pula sangat fleksibel dengan saya. Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri. "Bagaimanapun, saya dan Memey ada merancang untuk menunaikan umrah bersama-sama Abby. Itu pun selepas Memey bersalin pada Februari tahun depan," katanya. Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008 |
LRT Ampang - George Kent pembohong - Rafizi Posted: 03 Aug 2012 01:11 AM PDT Rafizi Ramli, 03 Ogs 2012 Saya memandang berat kenyataan En Cheong Thiam Fook, Pengarah Eksekutif George Kent yang mendakwa konsortium tersebut lulus penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaannya. Kenyataan itu terang-terang membelakangkan laporan penilaian rasmi yang digunapakai oleh kerajaan dalam menentukan kontraktor bagi kerja-kerja tambahan sistem LRT Laluan Ampang. Malah, En Cheong Thiam Fook dan George Kent telah berbohong apabila beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan berikut: 1. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS penilaian kewangan 2. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah MEMATUHI semua syarat-syarat kontrak 3. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS semua syarat teknikal Pembohongan ini dibuat dengan tujuan untuk mengabui mata rakyat Malaysia. Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak. Saya sertakan fakta-fakta dan susur galur yang membuktikan bahawa Konsortium George Kent telah berbohong: Dalam satu surat bertarikh 20 Januari 2012, Dato' Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana telah mengemukakan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) kepada Kementerian Kewangan bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan; Bidaan oleh George Kent dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara. Bidaan ini dilabelkan sebagai bidaan 3 dari 8 pembida (3/8); Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (salinannya disertakan bersama) dengan secara jelas menunjukkan bahawa Konsortium George Kent hanya mendapat markah 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan. Oleh itu, Prasarana telah memutuskan bahawa George Kent GAGAL dalam penilaian kewangan; Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan juga menyatakan bahawa George Kent TIDAK MEMATUHI syarat-syarat kontrak. Malah, ia membuat permohonan agar beberapa syarat seperti "bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan" (atau Agreed Disruption Damages) disemak kembali; Pada markah teknikal 38.62 dari 70 markah keseluruhan, George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal. Malah, di dalam laporan penuhnya, Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu. Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri. Saya telah disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan dokumen yang sah ini. Oleh itu, pembohongan yang dibuat oleh George Kent bahawa ia telah lulus semua penilaian dan mematuhi syarata-syarat menghina semua proses dan prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara. Ia juga membayangkan bahawa proses dan prosedur ini tidaklah berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida. Lebih merunsingkan, ia membayangkan 'lesen besar' yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana. Ini menimbulkan persoalan dimanakah kemampuan Prasarana kelak untuk memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja-kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat oleh Prasarana. Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Dato' Seri Najib kepada syarikat itu. George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih.- Harakah |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan