Sabtu, 4 Ogos 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kes Syaleza: Pemandu Teksi Diantara 4 Lagi Yang Diambil Keterengan

Posted: 03 Aug 2012 11:27 PM PDT

Polis merekodkan empat lagi keterangan individu termasuk pemandu teksi bagi membantu siasatan kes Syaleza Jaffar yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tiga lagi individu yang diambil keterangan ialah seorang doktor, pengasuh anak lelaki mangsa dan rakan terdekat.

"Namun kita tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara ini. Mereka yang memberi keterangan ini merupakan antara saksi yang boleh membantu polis dalam menyelesaikan kes kematian mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Sebelum ini, polis telah merekodkan keterangan daripada 10 individu termasuk dua rakan sekerja eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 itu dan dengan empat keterangan terbaharu, jumlah keterangan yang diambil ialah sebanyak 14 sehingga hari ini.

Mohd Adnan berkata ada beberapa saksi lagi yang akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan mereka berkaitan kes itu.

Syaleza, 31, ditemui mati oleh suaminya, Norazman Bashah dalam bilik tidur rumah mereka, dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga terdekat Syaleza di Segamat, Johor pada 10.15 malam pada Ahad lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Senator BN Isytihar Keluar Parti, Sokong Pakatan Rakyat

Posted: 03 Aug 2012 09:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Senator Datuk Maijol Mahap mengisytiharkan keluar Barisan Nasional (BN) hujung minggu lalu.

Beliau turut menyertai Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang meletak jawatan dalam BN Ahad lepas.

Gambar: Maijol kanan sekali pada majlis penubuhan Angkatan Perubahan Sabah Ahad lalu.

Bekas Naib Presiden Upko itu berkata, antara punca beliau meninggalkan BN disebabkan isu kemiskinan rakyat Sabah, dasar kabotaj, royalti minyak, diskriminasi kaum, rampasan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan peminggiran Sabah yang masih membelenggu.

Maijol yang sudah 14 tahun dalam BN berkata, semua masalah itu gagal diselesaikan termasuk di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

"Selepas mengambil kira masalah ini yang sudah lama tertangguh di Sabah dan gagal diselesaikan, maka saya terpaksa meninggalkan BN.

"Saya tidak lagi percaya bahawa kerajaan BN boleh atau akan menyelesaikan isu-isu kritikal di Sabah, termasuk PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin), tahap kemiskinan yang tinggi, meminggirkan KDM (Kadazan Dusun Murut), NCR, lima peratus royalti minyak dan dasar kabotaj," katanya pada kenyataan 31 Julai lalu.

Turut meninggalkan BN pada 29 Julai lalu ialah Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi Upko, Denis Gimpah, Lesaya Lopog dan Petrus Guriting.

Mereka mengikut langkah Wilfred menyertai Pakatan Rakyat melalui penubuhan Angkatan Perubahan Sabah (APS) pada majlis pelancaran pertubuhan itu Ahad lalu.

Penyertaan itu disaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -KD

Lagi Bekas Pegawai Kanan Polis Akan Sertai PAS

Posted: 03 Aug 2012 06:52 PM PDT

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Datuk Ramli Yusuff akan menyertai PAS dalam masa terdekat, kata naib presiden parti itu Salahuddin Ayub.

Menurutnya, beberapa perbincangan telah berlangsung antara PAS dan Ramli berhubung perkara itu dan perkembangan terbarunya juga "sangat positif".

"Dalam masa terdekat pengumuman akan dibuat pimpinan tertinggi parti atau beliau (Ramli) sendiri," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Salahuddin berkata, PAS amat mengalu-alukan kemasukan Ramli yang dilihat mempunyai dorongan kuat untuk memperjuangkan kebenaran.

"Bukan mudah untuk seorang bekas pegawai polis berprofil tinggi seperti beliau membuat keputusan menyertai PAS," katanya.

Sebelum ini, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari turut menyertai PAS, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha parti Islam itu merekrut ahli daripada pelbagai latar.

Pengumuman dijangka Ogos atau September

PAS juga dilihat sedang aktif menerima kemasukan kumpulan selebriti seperti pelakon Abby Abadi, Hairie Othman dan penyanyi Aishah yang jarang-jarang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim sewaktu dihubungi Malaysiakini turut
membayangkan seorang lagi bekas penjawat awam tertinggi berasal dari Kelantan akan menyertai parti itu.

"Saya yakin dalam tempoh antara Ramadan dan Syawal, banyak lagi yang akan menyertai PAS dari kalangan bekas penjawat awam.

"Saya rasa sebelum Ogos (berakhir) atau September akan ada pengumuman dibuat berkenaan perkara ini," katanya.

Ramli sebelum ini mencuri perhatian apabila terdapat dakwaan beliau dianiaya ekoran konspirasi melibatkan peguam negara dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan untuk melindungi tokoh kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau Tengku Goh pada 2007.

Musa bagaimanapun menafikannya manakala perdana menteri pula menolak penubuhan tribunal untuk menyiasat perkara itu kerana berpendapat ia hanya dakwaan dan "Dakwaan perlu disahkan". -mk

Ulasan GB

Selamat datang tuan ke dalam saf perjuangan Parti Islam SeMalaysia untuk kebenaran dan keadilan.



Bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis Kata Rais Yatim Bebal Politik & Minta Letak Jawatan

Posted: 03 Aug 2012 04:35 PM PDT

Rais rosakkan sambutan merdeka

KANGAR: Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh menyelar Datuk Dr Rais Yatim dan menyifatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai punca kontroversi sambutan hari merdeka 31 Ogos ini.

"Dr Rais anggota kabinet yang tidak memahami erti tranformasi yang mahu dibuat oleh Perdana Menteri. Beliau telah merosakkan momentum sambutan hari merdeka.

"Kerana beliau, pembangkang telah mempolitikkan tema hari merdeka.

"Elok sahaja dia (Dr Rais) meletakkan jawatan dan berundur. Orang tua tidak memahami keperluan semasa.

"Beliau telah merosakkan momentum tranformasi Datuk Seri Najib Tun Razak. Sekarang orang menyalahkan, BN, Umno dan Najib," kata beliau hari ini.

Pakatan Rakyat tolak

Menurut Hashim, tema sambutan hari merdeka perlu bercirikan semangat kenegaraan bagi memastikan semua rakyat merasa bangga menjadi warga yang merdeka.

Bagaimanapun, katanya, kebebalan politik Dr Rais boleh menyebabkan sambutan hari merdeka menjadi hambar.

"Kita simpati dengan Perdana Menteri yang mahu melaksanakan tranformasi tetapi dibantutkan oleh ahli-ahli kabinet yang tidak memahaminya.

"Menteri-menteri kabinet juga ferlu tranformasi tetapi berlainan sekali dengan yang ini. Beliau tidak memahami tranformasi," tambah Hashim lagi.

Pakatan Rakyat menolak tema Janji Ditepati kerana mendakwa ia kempen BN.

Sebaliknya memilih tema alternatif "Sebangsa, Senegara, sebagaimana diumumkan Pengerusi jawatankuasa pemilihan tema tersebut, Datuk A Samad Said baru-baru ini.

Pakatan Rakyat juga memberi tempoh seminggu supaya Janji Ditepati ditarik balik. -FNT

Ulasan GB

Tidakkah GB sudah katakan sebelum ini?

Lagu Tema Merdeka Ditolak: Isyarat Jelas Untuk Rais Yatim Berundur!

Pembantu Rumah Dakwa Dirogol Majikan.. (Teringatkan Robengah!)

Posted: 03 Aug 2012 09:19 AM PDT

Kulim - Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 28 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin setelah mengadu dirogol oleh majikannya.

Gambar: Mangsa membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya

Mangsa yang datang ke Malaysia pada 15 Mei lalu dijanjikan gaji bulanan RM500 sebulan bagaimanapun tidak menerima sebarang bayaran sehingga hari ini.

Menurut mangsa, sepanjang tinggal bersama majikannya, dia telah dirogol sebanyak tiga kali dan kejadian berlaku ketika isteri suspek dan anaknya yang sudah bersekolah tiada di rumah.

"Kejadian berlaku pada Ahad, ketika itu isteri dan anaknya tiada di rumah. Isterinya bekerja sebagai seorang guru sekolah manakala anaknya bersekolah dalam tingkatan empat. Apabila kedua-dua mereka keluar dari rumah, hanya tinggal saya dan suspek sahaja di rumah.

"Suspek kemudian menghampiri saya dan memuji saya cantik sebelum bertindak agresif terhadap saya. Suspek meminta saya melayani kehendak seksnya tetapi saya enggan berbuat demikian. Suspek naik berang dan mengugut untuk membunuh saya sekiranya tidak mahu melayani kemahuan seksnya," katanya.

Mangsa berkata, kali terakhir dia dirogol dua minggu lalu. Bagaimanapun Ahad lalu suspek sekali lagi cuba merogolnya tetapi dia memaklumkan kepada suspek kesan luka yang terdapat pada kemaluannya masih belum sembuh dan sakit.

Katanya, perlakuan itu berlaku beberapa kali sehingga dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah majikannya dan meminta bantuan dari jiran berhampiran sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek sudah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat mangsa. -SH


Ulasan GB

Teringatkan kes Robengah satu ketika dulu...
GB terlupa pulak siapa majikannya ketika itu..

Rumah Aznil Nawawi Dirompak, Rugi RM40 Ribu

Posted: 03 Aug 2012 07:30 AM PDT

Rumah yang didiami pengacara televisyen popular Aznil Nawawi di Taman Yarl di sini dipecah masuk penjenayah malam kelmarin menyebabkan selebriti itu kerugian kira-kira RM40,000.

Memetik laporan akhbar Kosmo! kejadian tersebut berlaku pada pukul 10 malam ketika ibunya dan dua orang amah berada di dalam rumah tersebut.

Bagaimanapun, semasa kejadian Aznil tiada di situ.

Menurut sumber, penjenayah itu melarikan sejumlah barang-barang kemas berupa cincin, gelang emas, anting-anting dan rantai kaki.

Turut hilang ialah komputer riba dan beberapa helai pakaian.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku tanpa disedari sesiapa.

Penjenayah terbabit dipercayai memasuki rumah tersebut dengan cara mengumpil besi jeriji tingkap.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan kejadian tersebut dengan memberitahu rumah milik adik Aznil itu turut didiami selebriti tersebut bersama ibu dan adiknya.

IGP: Jangan mudah percaya sebaran kes jenayah

Bernama Ogos 1 2012

Rakyat tidak harus mempercayai sepenuhnya kejadian jenayah yang disebar menerusi media sosial, sebaliknya mereka perlu mendapatkan kesahihan berhubung perkara itu melalui sumber yang boleh dipercayai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata ini kerana terdapat jenayah yang disebar media sosial hari ini sebenarnya adalah kejadian lama.

"Penyebaran ini dilakukan bagi menggambarkan seolah-olah jenayah di negara hari ini tidak terkawal, sedangkan ia kejadian lama.

"Jadi, mereka yang membaca atau melihat sebarang berita atau maklumat seperti ini diharap dapat merujuk kepada pihak-pihak berkenaan seperti polis sendiri bagi menentukan kesahihan sesuatu perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa peringkat Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur semalam.

Beliau turut menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah.

"Buat apa kita nak beri gambaran bahawa negara kita tidak selamat. Saya gesa mereka yang melakukan perkara yang tidak bermanfaat seperti ini dapat menghentikannya segera," katanya.

Sementara itu, sebagai inisiatif berterusan bagi mengurangkan kadar jenayah, Ismail berkata seramai 300 anggota polis Bukit Aman digerak untuk meronda di lokasi yang dikenal pasti Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur sebagai lokasi tumpuan.

"Lokasi ini juga dikenal pasti berdasarkan aduan daripada orang ramai. Setiap hari ada pegawai polis yang berpangkat sehingga Superintenden dan Konstabel di Bukit Aman turun padang, khususnya di lokasi seperti di pusat membeli-belah, lokasi tertentu di Brickfields, Bangsar dan Damansara," katanya.

Beliau berkata langkah ini dapat memberi keyakinan kepada masyrakat bahawa polis akan terus melindungi mereka daripada ancaman jenayah, dan jumlah anggota bertugas bergantung kepada keadaan, mengikut keperluan semasa.

"Kita juga telah capai persefahaman dengan pengusaha pusat membeli-belah untuk melatih 'house detective' mereka iaitu pegawai keselamatan yang bertugas di pusat beli-belah bagi meningkatkan keupayaan mereka menjaga keamanan," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sagu hati RM3,000 kepada balu bekas anggota polis yang bertugas ketika darurat dan anggota yang cedera semasa Perhimpunan Aman.
- Bernama


Ulasan GB

Kepada KPN, kami ingin memaklumkan bahawa kejadian rompakan dirumah Aznil Nawawi bukan kejadian lama.

Ia baru berlaku malam kelmarin.

Persoalan timbul lagi, benarkah kadar jenayah dah turun sedangkan kebenaran menunjukkan di sebaliknya!

Kedua kepada semua rakyat Malaysia berhati-hatilah terutama di musim perayaan kerana pelbagai perkara boleh berlaku seperti kes di atas.

Isu Ciplak: Rais Dicabar Ambil Tindakan Ke Atas Blogger Indon Itu

Posted: 03 Aug 2012 03:05 AM PDT

Rais nafi lagu merdeka ciplak lagu gereja

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menafikan dakwaan lagu kemerdekaan bertemakan "Janji Ditepati" tahun ini menciplak lagu gereja daripada Indonesia.

"Kami menyangkal dakwaan penulis blog dan akan melibat tindakan undang-undang yang boleh diambil sekiranya dia gagal mempertahankan dakwaannya," Rais dipetik sebagai berkata kepada New Straits Times hari ini.

Menurut harian itu, penulis blog yang beroperasi daripada Indonesia pada Isnin mendakwa penggubah lagu itu menciplak lagu pancaragam gereja True Worshippers berjudul "Serukan Namanya".

Rais yang juga penulis lirik "Janji Ditepati" menyalahkan pembangkang yang didakwa mengambil kesempatan atas tuduhan itu.

"Mereka tampil untuk mendapatkan publisiti murah dan gelojoh melalui dakwaan itu," katanya lagi.

Penggubah lagu "Janji Ditepati" Jasnie Mohd Yaakub juga semalam dilaporkan menafikan dakwaan sama.


'Janji Ditepati' diilhamkan dari lagu kerohanian Kristian Indonesia?

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Melodi lagu "Janji Ditepati" yang dipilih sebagai lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan heboh diperkatakan akan tetapi bukanlah disebabkan perkara positif masa kini.

Pengguna Internet mendapati melodi lagu tersebut menyamai lagu kerohanian Kristian Indonesia yang dipopularkan oleh kumpulan True Worshippers semenjak tahun 2008 yang turut membariskan penyanyi terkenal negara tersebut, Ruth Sahanaya.

Kontroversi terbaru, datang hanya beberapa hari selepas Putrajaya terpaksa menukar logo Hari Kemerdekaan ke 55 yang direka secara buruk kepada logo 1Malaysia, menambahkan lagi malu dikalangan pegawai kerajaan dan boleh menegangkan lagi hubungan dengan gergasi Asia Tenggara itu.

Pada mulanya, kritikan pengguna Internet Malaysia hanyalah pada lirik lagu "Janji Ditepati" akan tetapi empat hari lalu serangan di laman sosial YouTube dan Facebook terarah kepada melodi lagu tersebut apabila seorang penulis blog yang mengaku sebagai penganut agama Kristian menghebahkan bahawa melodi lagu "Janji Ditepati" menyamai lagu gospel Indonesia bertajuk "Serukan Namanya".

Lirik "Janji Ditepati" ditulis oleh menteri penerangan komunikasi dan kebudayaan, Datu Seri Dr Rais Yatim.

"Lagu tema KEMERDEKAAN MALAYSIA ke 55 kedengaran seperti LAGU Pujian di GEREJA,"
kata penulis blog yang tidak menamakan dirinya pada posting 30 Julai.

"Hal ini lagi mengejutkan sekiranya lagu tema kebangsaan di ambil dari lagu rohani org Kristen.

"Mungkin kementerian tidak tau tapi seharusnya pencipta lagu ni tdk berbuat demikian (menciplak) sebab dia ditugaskan untk membuat lagu tema kemerdekaan," katanya lagi.

Penulis blog tidak bernama itu menggesa kementerian untuk meminta kembali bayaran kepada penulis lagu tersebut yang liriknya ditulis sendiri oleh menteri dan menggantikan melodi lagu tersebut kepada melodi lain.

Klip video lagu "Janji Ditepati" dan "Serukan Namanya" telah dimasukkan dalam beberapa blog untuk dibuat perbandingan. Laman Miricommunity.net — popular di kalangan rakyat Malaysia berasal Sarawak — turut menyiarkan perbandingan antara dua klip video ini.

"Amen, Yesuslah Raja!! Tapi sorry ya, Rais Yatim dengan lagu 'Janji Ditepati'nya sama style dengan lagu ni," kata seorang pengkomen di YouTube yang menggunakan nama moniker amoker27 dalam satu video klip yang telah dilihat oleh 100,000 pengguna Internet sejak dimuat naik pada 5 September, 2008.

Lagu "Serukan Namanya" dinyanyikan oleh kumpulan True Worshippers, yang diketuai oleh Sidney Mohede, dimasukkan dalam album mereka yang dilancarkan pada 2008 bertajuk, "All Things New".

"Sekarang saya benar-benar benci kepada kementerian kita kerana menciplak lagu ini dan menjadikan kes politik di Malaysia," kata pengkomen lain YouTube yang menggunakan nama vandridel. "Betul-betul memalukan negara kerana tindakan bodoh menteri kita. Maaf Indonesia!"

Permintaan maaf terhadap Indonesia adalah merujuk kepada kekecewaan rakyat Indonesia sehingga menyerang pejabat kedutaan Malaysia di negara nusantara itu dengan melemparkan telur, batu dan kepingan kayu sehingga mencederakan kakitangan dan kerosakkan harta seperti pada bulan Jun baru-baru ini, apabila rakyat Indonesia mendakwa Malaysia mencuri kebudayaan mereka selepas Rais mengumumkan langkah untuk menambah tarian Tortor dari Sumatera Utara dan gendang Gordang Sambilan sebagai warisan negara.

Kedua-dua negara mempunyai pergeseran sejarah politik, ekonomi dan kebudayaan.

Akan tetapi, melodi lagu "Janji Ditepati" dikatakan dicipta oleh sekumpulan orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Aye, Jasnie, Arman E Six.

Dari posting video lagu tersebut di YouTube disini terdapat 255,000 kali tontonan semenjak dimuat naik pada 27 Julai dengan 30,600 tidak menyukai berbanding 415 yang menyukai pada pagi semalam.

Rais juga mengetahui kritikan ini apabila beliau telah menulis di Twitter dua hari lepas dan menjemput orang ramai untuk berkongsi pandangan mereka mengenai lagu yang beliau tulis liriknya.

"Apa pandangan sdr tntg lagu janji d tepati? Di utube dah cecah 140k lebih. Tapi yg 'ibu jari k bawah' ada juga," kata menteri tersebut melalui akaun Twitternya @DrRaisYatim.

Beberapa penyanyi, penulis lagu dan komposer yang dihubungi oleh The Malaysian Insider, juga mengambil perhatian persamaan ketara antara melodi "Janji Ditepati" dan lagu injil ini akan tetapi tidak mengatakan ianya plagiarisme.

"Persamaan dalam melodi biasanya membawa kepada isu plagiarisme," kata pendidik muzik Tay Cher Siang, yang juga merupakan pengarah muzik untuk The Venue, tempat muzik secara langsung di pusat membeli-belah yang popular, Pavillion.

Beliau setuju bahawa terdapat banyak persamaan antara dua melodi tetapi katanya lagi skala muzik adalah terhad kerana ia cuma mempunyai 12 not. Beliau menambah lagi yang komposisi muzik pop biasanya mempunyai 7 not.

Menurutnya lagi, "Walaupun sememangnya saya tidak suka dengan keseluruhan yang ada pada 'Janji Ditepati' ini, saya ada keraguan terhadap isu plagiarisme ini."

Beliau benci kerana ini merupakan pencurian lagu secara terang-terangan, katanya lagi beliau tidak ketahui sama ada komposer untuk "Janji Ditepati" sedar akan persamaan yang ada dengan "Serukan Namanya" dan telah dipengaruhi oleh lagu tersebut dan meminta keizinan untuk guna melodi itu ataupun secara sengaja menghasilkan semula melodi itu tanpa memberi penghormatan terhadap inspirasi lagu tersebut.

Penyanyi lagu rakyat dan penulis lirik Meor Yusof Aziddin, 45, setuju dengan pandangan Tay. Katanya isu plagiarisme dalam melodi muzik adalah sesuatu yang subjektif. Beliau rujuk kepada contoh melodi pop yang gunakan formula yang sama sejak zaman Beatles pada 1960-an dan 1970-an.

Beliau berkata lagu kebangsaan Malaysia, "Negaraku", turut mempunyai melodi yang sama dengan lagu Indonesia, "Terang Boelan", dan ini boleh dijejak balik kepada lagu abad ke-18, "La Rosalie", daripada seorang komposer Perancis, Pierre-Jean de Beranger.

Seorang lagi komposer yang tidak mahu namanya diketahui umum tertarik dengan persamaan melodi di antara lagu Hari Kebangsaan dan melodi lagu kerohanian Kristian itu.

"Persamaan substantif antara sebuah lagu Indonesia injil Kristian dan lagu baru hari Merdeka Malaysia adalah satu yang menarik, tidakkah anda terfikir begitu?" tanya beliau.

Gabungan Barisan Nasional (BN) telah memilih "Janji Ditepati" sebagai tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, satu langkah yang dikritik hebat oleh pembangkang dan rakyat Malaysia.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah menuduh kerajaan BN merampas sambutan Hari Kebangsaan untuk kempen politik mereka.

Mereka juga menuduh BN menggunakan tema dan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen politik pilihan raya.

Jumaat lepas, Rais telah mempertahankan di Twitter tema sambutan Hari Kebangsaan, mengatakan bahawa "segala-galanya boleh melihat buruk jika minda ditutup".

"Malaysia telah benar-benar menjadi negara yang berjaya selepas 55 tahun merdeka. Mengapa tidak boleh kita katakan janji ditepati?" katanya dalam satu respons kepada kritikan meningkat terhadap tema kemerdekaan yang dikatakan mencerminkan tema kempen politik BN menjelang pilihan raya umum akan datang yang dijangka tidak lama lagi.
-TMI








Ulasan GB

Beginilah. Jika Rais Yatim benar-benar ingin mempertahankan lagu tema merdekanya itu, maka beliau perlu berani tampil untuk menyaman blogger dari Indon berkenaan yang setakat ini telah berjaya membuktikan bahawa lagu tema hari kemerdekaan Malaysia dari lagu kerohanian Kristian Indonesia, lagu "Serukan Namanya" dinyanyikan oleh kumpulan True Worshippers.

Saya yakin Rais tidak berani. Sama macam kes Robengah dulu, Rais hanya berani bertindak ke atas blogger Malaysia, sharpshooter, tetapi tidak berani bertindak ke atas Migrant Care yang berpengkalan di Indonesia yang dikatakan pihak pertama yang mengeluarkan dokumen yang mengaitkan Rais dengan kes merogol amah satu ketika dulu.

Tiada ulasan: