Ahad, 26 Ogos 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kenyataan Akhbar Isu Air Percuma Di Selangor

Posted: 26 Aug 2012 09:28 AM PDT

KENYATAAN AKHBAR TENTANG AIR PERCUMA DI SELANGOR.

Migrasi adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Syabas.

Pada awalnya Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik barulah migrasi boleh dijalankan.

Tetapi setelah diadakan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Syabas, Syabas telah bersetuju agar peratus ini dikurangkan.

Dan ketika Syabas dipanggil ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) awal tahun ini, CEO Syabas, Datuk Lee Miang Koi berjanji kepada Menteri Besar untuk membenarkan 2 sistem di dalam sebuah pangsapuri. Satu sistem meter pukal dan satu sistem meter individu.

Ini bermakna bagi pemilik yg tidak memberi kerjasama untuk migrasi akan menggunakan meter pukal dan tidak akan mendapat air percuma 20 meter padu. Sementara mereka yang bekerjasama akan menggunakan meter individu dan akan mendapat air percuma.

Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan 2 program utk memudahkan penduduk di pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal mendapat air percuma.

Ianya adalah,

1.) Program Kupon Air
2.) Program Lapor Dan Dapat

Program Kupon Air ini terlalu rumit dan telah digantikan dengan Program Lapor Dan Dapat pada bulan Mac tahun ini.

Bagi Program Lapor Dan Dapat, penduduk melalui JMB atau MC perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan PBT akan memberitahu Syabas untuk memberi potongan pada bil meter pukal. JMB atau MC kemudian akan membuat potongan 20 meter padu pada bil-bil individu setiap kediaman.

Setelah dilaksanakan Program Lapor Dan Dapat, hanya 12 pangsapuri kos rendah yang belum mendapat air percuma 20 meter padu.

Selepas ini, Program Lapor Dan Dapat ini akan diperluaskan ke pangsapuri kos sederhana seperti Mentari Court yang menjadi tumpuan media sekarang.

Saya menasihatkan penduduk mendesak JMB dan MC mereka supaya mempercepatkan penyertaan mereka ke dalam Program Lapor Dan Dapat dengan mengisi borang yang khas yang disediakan. Ia hanya memerlukan seorang AJK JMB atau MC pergi ke pejabat PBT dan mengisi borang tersebut yang hanya mengambil masa 10 minit.

Dalam kes Mentari Court itu, proses migrasi adalah dalam peringkat akhir.

Sebarang ketidakpuasan hati perlulah ditujukan kepada Syabas.

Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Syabas agar proses migrasi ini dipercepatkan.

Sekiranya penstrukturan industri air dapat dilaksanakan dan pengagihan bekalan air adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri, proses migrasi ini boleh dipercepatkan.

Kerajaan Negeri buat masa ini tidak akan membayar tunggakan kepada mereka yang tidak mendapat air percuma. Perkara telah saya jelaskan semasa Sidang Dewan Negeri pada bulan Mac lepas.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
26 Ogos 2012

Nasib Nasha dan opsyen Majlis Syura

Posted: 26 Aug 2012 08:47 AM PDT

G MANIMARAN & JAMILAH

ANALISIS - Tanggal 9 September! Sudah pasti Pas sekali lagi menjadi tumpuan arena politik negara.

Biro Politik Pas Pusat menyerahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan mengenai satu kenyataan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa hampir dua minggu lalu.

Pemerhati politik sudah menjangkakan keputusan itu.

Pertama, Biro Politik dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tidak boleh membincangkan sebarang tindakan tatatertib ke atas Nasharudin.

Selepas tewas dalam pemilihan Pas Pusat Jun 2011, Nasharudin dilantik menganggotai biro antarabangsa Pas Pusat. Beliau juga merupakan anggota Majlis Syura.

Kedua, Pas tidak mahu dilihat mengambil tindakan drastik dalam 'mood' sekarang menuju Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Apa yang diperkatakan oleh Nasharudin adalah unsur politik. Jadi Biro Politik membincangkan dan menyerahkan kepad Majlis Syura untuk membuat keputusan," kata seorang wartawan veteran dari lingkungan Pas sendiri.

"Selain tidak boleh bertindak ke atas seorang anggota Majlis Syura, Biro Politik pun tahu bahawa jika bertindak ke atas Nasharudin sekarang, ia seolah-olah membuka ruang kepada Umno dan BN untuk menyerang Pas," katanya.

Jadi, jelas beliau, "Apa yang akan berlaku ialah Majlis Syura akan memanggil atau mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan meminta Pas keluar Pakatan Rakyat jika DAP terus mengkritik hukum hudud."

"Nasharudin akan memberi pandangan dan menjelaskan pendirian dia... Majlis Syura akan memberi nasihat atau memberi amaran... itu yang Majlis Syura akan lakukan," kata beliau.

Malah menurut beliau, Majlis Syura jarang mengambil tindakan disiplin atau memecat mana-mana anggotanya dari Pas. Lebih-lebih jika dia seorang anggota Majlis Syura.

"Kemungkinan menggugurkan sebagai anggota Majlis Syura, itu mungkin, tetapi pecat sebagai ahli Pas, jarang... jadi saya melihat ia akan berakhir setakat itu sahaja," kata beliau.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata,  kes Nasharudin diserahkan kepada Majlis Syura kerana ia adalah badan tertinggi dalam parti Islam itu.

"Anggota Pusat (Biro Politik dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat) tidak boleh membuat keputusan sebab Majlis Syura adalah paling tinggi... jadi semua itu diserahkan kepada Majlis Syura," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Mengenai opsyen tindakan yang boleh diambil, Mustafa berkata, "terpulang kepada Majlis Syura... sama ada untuk dipecat atau bagaimana... semua terpulang kepada Majlis Syura."

Majlis Syura diketuai Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan. Nasharudin kini merupakan Ahli Parlimen Bachok.

Nik Aziz dan Nasharudin pernah 'bertembung' pada akhir 2009 - empat bulan selepas pemilihan pusat tahun itu. Pada pemilihan itu Nasharudin mempertahan kerusinya. Di sebalik isu idea kerajaan campuran yang dikaitkan dengan Nasharudin dan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Nik Aziz mengesyorkan agar pemilihan baru diadakan. Awal Januari 2010, kedua-dua pemimpin memperlihatkan pemulihan hubungan.

Ketika diajukan soalan, Setiausaha Majlis Syura, Nik Zawawi Nik Salleh memberitahu Sinar Harian Online bahawa setakat ini, isu Nasharudin bukan agenda utama mesyuarat badan itu pada 9 September.

"Tak, tak... ia bukan perkara besar, hanya akan dibincangkan di bahagian perkara-perkara lain," kata beliau.

"Lagi pun kita belum bersidang lagi, ia hanya akan diketahui selepas mesyuarat 9 September," kata beliau apabila ditanya mengenai opsyen tindakan yang boleh diambil.

Diminta mengulas mengenai opsyen yang ada di pihaknya, katanya, "kita mungkin boleh beri nasihat."

"Kita belum mesyuarat lagi. Saya tidak boleh kata apa-apa," jelas beliau.

Nampaknya, kemungkinan-kemungkinan hasil pertemuan 9 September masih belum jelas.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Biro Politik yang bermesyuarat semalam tidak membincangkan kes Nasharudin, sebaliknya memberi tumpuan ke atas persiapan menghadapi PRU13.

"Cuma apabila wartawan tanya, Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) memberitahu ia akan ditentukan oleh Majlis Syura. Sebab Nasharudin bukan ahli Jawatankuasa kerja Pas Pusat, bukan anggota Biro Politik," kata beliau.

Mengakui bahawa Majlis Syura tidak pernah mengambil tindakan drastik sehingga memecat seseorang, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjelaskan opsyen yang ada berkata, "opsyen pertama, kami akan mendapatkan penjelasan daripada Ustaz Nasha sendiri berkenaan dengan kenyataan dikeluarkan."

"Berdasarkan penjelasan beliau, Majlis Syura akan menentukan tindakan yang hendak diambil," katanya.

Beliau yang juga salah seorang anggota Majlis Syura berkata, sekiranya apa yang dilakukan oleh Nasharudin serius, selaku "badan yang memandu parti dan ahli", ia akan mengesyorkan kepada mana-mana "organ dalam parti" untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Organ yang dimaksudkan termasuklah Lembaga Disiplin, yang boleh menggantung keahlian, memecat atau memberi amaran.

"Biasanya syor yang diberikan oleh Majlis Syura akan dipatuhi oleh organ parti," kata Pesuruhjaya Pas Pahang ini.

Laporan Sinar Harian hari ini memetik bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau yakin kedudukan Nasharudin dalam parti kekal selamat dan tidak mungkin dipecat.

"Pas tidak akan pecat beliau kerana keadaan politik semasa tidak mengizinkan mereka (Pas)," katanya yang dipecat pada awal Januari lalu.

Berdasarkan senario hari ini, rata-rata Nasharudin, yang dua minggu lalu menegaskan tidak akan keluar Pas untuk menyertai Umno, akan selamat.

Perlembagaan Pas ada menyediakan opsyen tindakan. Tetapi opsyen pada realiti politik semasa nampaknya terhad buat Pas walaupun bertindak drastik ke atas Hasan pada 8 Januari lalu.

Isu Nasharudin Mat Isa dan Karpal Singh

Posted: 26 Aug 2012 04:48 AM PDT


Sambil kita tengah sibuk menghayati bulan Ramadhan, tercetus pula isu baru, Ust. Nasharudin Mat Isa meminta PAS keluar dari PR dan menuduh Karpal Singh sebagai anti-Islam kerana menolak hudud! Soal Ust. Nasha bersama Najib di Mekah dan bertindak sebagi penterjemah hanya menzahirkan betapa UMNO ketandusan ulama’. Tiada orang lainkah dalam UMNO? Samada ianya sandiwara atau sebaliknya, kita tidak perlu memikirkannya. Kalau Ust. Nasha hendak berumrah bersama Rosmah pun tidak menjadi masalah bagi saya.

Hanya yang menjadi pertikaian ialah kenyataan beliau berhubung PAS agar perlu keluar dari PR dan bagaimana PAS tunduk pada DAP. Lagu dan irama lama, didendangkan kembali untuk menutup peristiwa pergolakan di Sabah. Kalau benar beliau ikhlas, mengapa tidak dibawanya ke dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat? Sebaliknya mendiamkan diri seribu bahasa sambil bergendang di luar di dalam pangkuan UMNO/BN. Bukan lagi menjadai satu rahsia bahawa beliau sudah lama tidak bersama PAS dari segi semangatnya. Semenjak terlibat dalam perundingan PAS UMNO pasca PRU 2008 beliau kelihatan berbeza. Mungkinkah ada umpan yang terkena dan tidak dapat dilupai rasanyakah? Bertambah pula dengan kekalahannya dalam pertandingan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang digambarkan oleh wartawan ‘The Star’ sebagai kali pertama melihat beliau kehilangan senyuman yang bagaikan sentiasa terpahat di bibirnya, sehingga menurutnya lagi terus tidak hadir pada hari terakhir muktamar PAS pada tahun itu.

Pendedahan PAS Kelantan bahawa beliau tidak lagi disenaraikan sebagai calon sudah pasti diketahui lebih awal oleh dirinya sendiri. Masa depannya bersama PAS seolah-olah semakin malap dan jalan permaidani merah yang biasa dilaluinya sudah tidak lagi kelihatan. Maka oleh itu tidak mustahil beliau mencari pilihan yang lain bagi diri dan masa depannya. Mungkin sepertimana Hassan Ali, beliau menganggap dirinya tidak lagi dihargai PAS dan sebaliknya lebih dihargai pihak sebelah sana.

Dalam pada itu, pertelingkahan beliau dengan Karpal pula boleh dianggap agak melucukan. Dituduhnya Karpal ‘anti-Islam’ kerana menolak Hudud! Wooooit! Hudud ditolak oleh Karpal seorang sahajakah? Untuk makluman semua, UMNO/BN sudah lama menolak Hudud dan itulah sebabnya ianya tidak dilaksanakan di Negara kita! Mengapa pula tidak diistihar UMNO/BN sebagai anti-Islam? Kerana mungkin itu tidak menepati ‘game-plan’ UMNO/BN?

Orang bukan Islam menolak hudud, malahan agama Islam itu sendiri, adalah perkara biasa. Nama pun bukan Islam. Tetapi persoalannya, mengapakah UMNO yang mengaku Islam menolak? Tidakkah sepatutnya beliau mengistiharkan yang di sebelahnya dalam gambar di Mekah itu sebagai anti-Islam terlebih dahulu sekiranya penolakan hudud adalah hujjah untuk mengisytiharkan seseorang itu anti-Islam!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Pakatan Rakyat Sebenarnya “Malaikat Yang Diketahui”

Posted: 26 Aug 2012 04:16 AM PDT

SHAH ALAM, 25 AUG: Prestasi Pakatan Rakyat mentadbir empat buah negeri dengan baik  membuktikan yang ianya layak diberi mandat memerintah negara.

Dalam menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, pemimpin Pakatan dari Pas, DAP dan PKR berkata prestasi dan pencapaian Pakatan sudah diketahui manakala keburukan Umno-BN juga disedari umum.

Kata mereka, Dr Mahathir secara tidak langsung mengakui bahawa pentadbiran Umno-BN penuh dengan kejahatan manakala Pakatan dilihat sebagai penyelamat kepada kepincangan Umno-BN.

Mereka juga berkata melalui pentabirannya di Kelantan, Selangor, Penang dan Kedah, Pakatan sudah membuktikan yang ia mengamal dasar dan pendekatan yang lain dari Umno-BN di mana pembangkang dan rakyat diberikan hak bersuara.

MP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, sekiranya Pakatan mentadbir Putrajaya, Ahli Parlimen dan Adun Umno-BN tetap diberikan peluang menyuarakan pendapat mereka demi kebaikan rakyat.

“Selangor yang ditadbir Pakatan sebagai contoh, memberikan peluang kepada setiap Adun Umno-BN memberikan pendapat dan pandangan mereka di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka juga diberikan peluang menganggotai jawatankuasa khas DUN seperti Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan (SELCAT) serta berpeluang menjadi ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Di dalam satu kenyataan di blognya chedet.com Dr Mahathir menyeru rakyat Malaysia agar tidak memberi “mandat percubaan” kepada Pakatan walaupun untuk memerintah pada satu penggal.

Dr Mahathir juga berkata jika Pakatan berjaya menguasai Putrajaya, ia akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan kuasanya dengan apa cara sekalipun.

Dalam kenyataannya, Mahathir berkata :

“Rakyat hanya perlu mendesak BN untuk melakukan perubahan yang rakyat mahukan. Syaitan yang dikenali adalah lebih selamat dari malaikat yang tidak dikenali.”

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Samad berkata Pakatan tidak akan menjadi seperti Umno-BN jika mentadbir Putrajaya kelak.

“Pakatan mempunyai dasar menerusi Buku Jingga, ianya adalah untuk kepentingan rakyat.

“Umno-BN juga diberikan ruang di media massa untuk memberikan pandangan berkaitan dengan rakyat,” katanya yang juga MP Shah Alam.

Manakala Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata kenyataan Dr Mahathir itu menunjukkan ketakutan Umno-BN dengan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum akan datang.

“Kenyataan yang dibuat Mahathir mencerminkan Umno-BN kini semakin takut kehilangan kuasa dan kekayaan.

“Malah mereka takut kegiatan pembongkaran salah guna kuasa akan diketahui rakyat,” kata MP Batu itu yang juga dikenali sebagai  Tian Chua.

Azizan nafi sakit teruk

Posted: 25 Aug 2012 06:42 PM PDT

ALOR SETAR - Ketidakhadiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada majlis-majlis rasmi sejak penghujung Ramadan, termasuk majlis raya bersama anak muda Kedah, Rabu lalu menimbulkan pelbagai spekulasi, konon beliau mengalami masalah kesihatan serius.

Spekulasi bertambah kencang apabila semalam, kelibat Azizan tidak kelihatan pada majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, di Seri Mentaloon, yang turut dihadiri Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Hanya isteri Menteri Besar, Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah bersama ahli keluarga dan barisan Exco Kerajaan Negeri menyambut ketibaan tetamu yang hadir. Manakala Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah hadir mewakili Menteri Besar pada majlis itu.

Mengulas perkara itu, Amiruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Rumah Terbuka Menteri Besar, berkata, Azizan tidak mengalami masalah kesihatan serius seperti heboh diperkatakan, sebaliknya hanya dinasihat oleh doktor supaya berehat ekoran demam dan alahan.

“Tidak benar Azizan dikatakan demam atau sakit sejak dua minggu lalu. Keadaan beliau stabil dan tahap kesihatan memuaskan, cuma tidak pulih sepenuhnya. Selepas demam sekitar dua minggu lalu dan dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC), Azizan kembali sihat dan bertemu rakyat pada hari raya pertama,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, Azizan mengalami alahan ubat selepas itu menyebabkan beliau tidak dapat hadir pada majlis ‘Jom Anak Muda, Raya Dengan MB’, Rabu lalu, di Seri Mentaloon.

“Azizan hadir pada Rumah Terbuka Pusat Khidmat Dun Sungai Limau, Khamis lalu bertemu penduduk setempat dan beliau bercadang bertemu media, semalam, namun masih tidak sihat sepenuhnya,” katanya.

Amiruddin berkata, buat masa ini, Azizan berehat di rumahnya dan dinasihatkan doktor supaya tidak menyertai aktiviti luar.

“Azizan dijangka berehat sehingga Selasa depan, dan jika sihat akan mempengerusikan mesyuarat Exco minggu depan. Rakyat tidak perlu bimbang kerana keadaan Azizan tidak serius,” katanya.

Menurutnya, sepanjang Azizan bercuti sakit, urusan pentadbiran negeri berjalan lancar .

Tiada ulasan: