Selasa, 28 Ogos 2012

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Syria-Dilema Perjuangan (Revolusi Rakyat atau Konspirasi Barat ?)

Posted: 28 Aug 2012 12:32 AM PDT

Koroner Azmil menolak keputusan bahawa kematian mendiang Teoh Beng Hock adalah kerana bunuh diri

Posted: 05 Jan 2011 05:49 PM PST


SHAH ALAM: Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian mendiang Teoh Beng Hock, pembantu politik kepada seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, sebagai penghakiman terbuka.

Koroner Azmil Muntapha Abas berkata tidak dapat dipastikan sama ada mendiang dibunuh atau membunuh diri.

Mendiang, 30 tahun, setiausaha politik kepada Encik Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas beliau memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Setelah banyak menuding jari dan tuduhan, pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues itu diadakan bagi menyiasat kematian mendiang, yang membangkitkan beberapa persoalan, termasuk bagaimana, bila dan cara beliau menemui ajal dan yang paling penting, sama ada beliau membunuh diri atau dibunuh.

Laporan meluas menyatakan beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM mengenai dakwaan menyalah guna peruntukan kerajaan Selangor.

Pada awalnya inkues itu dijadual diselesaikan dalam masa sebulan tetapi ia berlarutan sehingga 4 November lalu.

Koroner Mahkamah itu mendengar keterangan daripada 37 saksi, termasuk seorang pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang dijemput oleh kerajaan Selangor. Dr Pornthip menimbulkan tengkarah apabila beliau mendakwa mendiang mungkin dibunuh.

Mayat mendiang kemudian digali semula untuk bedah siasat kedua.

'Saya menolak keputusan bahawa kematian adalah kerana bunuh diri,' kata Koroner Azmil semalam.

Beliau berkata masih ada isu yang belum diselesaikan berhubung hujah bunuh diri dan menegaskan bahawa menentukannya secara telahan tidak boleh diterima.

Koroner Azmil berkata ada bukti mencukupi untuk menunjukkan bahawa kecederaan pada leher mendiang berlaku sebelum beliau jatuh.

Namun, tidak ada bukti untuk mengesahkan bahawa kecederaan itu menyumbang kepada kematiannya.

Beliau berkata juga tidak ada pihak ketiga terbabit dengan kematian mendiang.

Mahkamah sesak dengan penyokong dan media bagi mendengar keputusan inkues itu.

Para penyokong mendiang menaikkan kain rentang serta melaungkan 'Justice for Beng Hock' (Keadilan bagi Beng Hock). -- Agensi.

Undang-undang jelas sebut SUK dilantik suruhanjaya perkhidmatan

Posted: 03 Jan 2011 08:39 PM PST

Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor mungkin menghadapi masalah yang lebih rumit berbanding jalan buntu yang dihadapinya sekarang jika ia memutuskan membawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri itu ke mahkamah, menurut mantan hakim Datuk N. H. Chan.

Sambil merujuk kepada Seksyen 52 perlembagaan negeri Selangor, Datuk Chan dipetik oleh laporan laman berita The Malaysian Insider semalam sebagai berkata, undang-undang dengan jelas menyebut SUK dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan bukannya menteri besar ataupun sultan sebagaimana diperkatakan oleh sesetengah pihak.

'Sebagaimana anda boleh lihat, Seksyen 52 (1) adalah jelas, ia secara spesifik mengatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri harus dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan yang sewajarnya memilih kalangan anggota perkhidmatan awam.

'Dia bukan dilantik oleh sesiapa; bukan juga oleh sultan, malah bukan oleh perdana menteri tetapi oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan yang calon Setiausaha Kerajaan Negeri ialah anggota perkhidmatan awam,' jelas beliau.

Oleh itu, kata beliau, kemungkinan perkara yang akan dicabar berkaitan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ialah ia tidak dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan.

Justeru, mantan hakim Mahkamah Rayuan itu berkata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), harus berhati-hati dalam menentukan suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan sebelum memulakan sebarang tindakan mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan pelantikan bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Khusrin Munawi, sebagai penyandang jawatan tersebut.

Datuk Khusrin pula dilaporkan mula masuk ke pejabatnya pagi semalam.

'Jika beliau menyaman suruhanjaya perkhidmatan yang salah, mereka akan kalah seratus peratus. Kes itu akan ditolak serta-merta,' tegas Datuk Chan ketika dihubungi di Ipoh, Perak.

Seorang lagi bekas hakim Mahkamah Persekutuan memberitahu The Malaysian Insider bahawa suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan dalam perlembagaan negeri Selangor itu ialah Jabatan Perkhidmatan Awam, dan ketuanya ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

Bagaimanapun, Datuk Chan enggan mengulas pandangan itu.

Laman berita Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Datuk Khusrin tiba untuk bertugas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 6.45 pagi semalam tetapi mengelak daripada menemui sekumpulan wartawan yang menunggunya sejak awal pagi.

Sementara itu, kerajaan negeri Selangor berkata ia mencadangkan agar diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif termasuk SUK negeri kepada Menteri Besarnya dan Sultan Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan menulis surat kepada Speaker DUN bagi memaklumkan mengenai cadangannya itu selepas menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi semalam. -- Agensi

Rio Ferdinand - Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia dalam final Piala Suzuki.

Posted: 30 Dec 2010 04:12 PM PST


Oleh Mohd Sani Ali

KEJAYAAN barisan muda Malaysia menjulang mahkota Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Piala Suzuki membayangkan mereka mampu menguasai bola sepak Asia Tenggara untuk suatu jangka waktu.

Pandangan itu diperkukuh berdasarkan umur pemain yang menjulang kejohanan berprestij itu selepas mengatasi Indonesia dengan agregat 4-2 rata-rata berusia 22.8 tahun.

Keupayaan jurulatih setempat, K. Rajagobal, menghimpunkan tenaga pemain-pemain muda dengan sebahagian besarnya terdiri daripada Skuad Sukan Asia Bawah 23 Tahun, turut membuktikan beliau mampu mengubah minda pemain yang tiada pengalaman kepada pemain yang boleh dipertanggungjawabkan.

Bayangkan, Rajagobal kehilangan sebahagin besar pemain utamanya disebabkan kecederaan dan terpaksa menampilkan pasukan ala kadar sehingga dimalukan Indonesia 5-1 di peringkat Kumpulan A pada 1 Disember lalu.

Tiada siapa yang menduga, Mohd Safee Sali, 26 tahun, muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Suzuki dengan lima gol. Yang menarik, pemain asal Selangor itu memiliki semangat bekerja keras dan lincah.

Beliau juga mampu mengambil setiap peluang yang tersaji walaupun dirempuh dan diadang pemain pertahanan lawan untuk menjaringkan gol.

Kekuatan pasukan Malaysia dan kejayaan mereka menjuarai Piala Suzuki turut menerima pujian dan ucapan tahniah daripada kapten England dan Manchester United, Rio Ferdinand.

'Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia dalam final Piala Suzuki.

'Saya pernah bermain menentang pasukan Bawah 23 Tahun Malaysia 18 bulan yang lalu. Ia memang pasukan yang bagus,' kata Ferdinand dalam akaun twitternya, @rioferdy5, yang dipetik di sini semalam.

Pengakuan pemain hebat seperti Ferdinand, tidak syak lagi menjadi bukti akan keupayaan anak buah Rajagobal untuk menguasai semula era bola sepak yang pernah dikecapi Malaysia suatu ketika dulu.

Tiada ulasan: