Jumaat, 31 Ogos 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kempen Selamatkan Malaysia 'Bankrap Negara'

Posted: 30 Aug 2012 05:03 PM PDT

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan melancarkan kempen 'Selamatkan Malaysia dengan slogan 'BN (Bankrap Negara)' sepanjang September dan Oktober nanti.

Menurut Ketuanya Nasruddin Hassan kempen itu bertujuan mendidik dan menyedarkan masyarakat bahawa kewangan negara berada di tahap yang sangat kritikal.

Jelasnya, masalah kewangan berpunca daripada salah urus dan salah guna kuasa dalam pengurusan ekonomi negara.

"Apa yang berlaku ini, sangat menepati jangkaan oleh Idris Jala yang mana negara akan bankrup pada tahun 2019 nanti.

"Perkara ini tidak mustahil kerana hutang negara pada hari ini sudah mencecah RM437 billion," katanya kepada pemberita  di Pejabat Agung PAS di sini.

Dalam siri ini, DPPM akan menyediakan risalah yang berbentuk grafik dengan fakta dan data-data semasa bagi mempermudahkan rakyat faham dan memahami hakikat sebenar kewangan negara.

Dalam pada itu katanya, DPPM turut mengira detik-detik terakhir pentadbiran kerajaan Umno BN  bermula pada hari ini sehinggalah pada tanggal 24 April 2013.

"Kita akan buat 'count down', pada tarikh itu mahu tidak mahu parlimen mesti dibubarkan, maka tamatlah kerajaan BN mentadbir negara," katanya.

Beliau menggalakkan setiap pengguna facebook, pengamal media dan penyokong Pakatan Rakyat untuk turut 'count down' sebagai desakan bahawa masa Umno BN perintah negara ini semakin suntuk.

Bermula hari ini, katanya Umno BN hanya tinggal 236 hari untuk mereka tamatkan pemerintahannya.

"Jadi ini menjadi tekanan kepada kerajaan Umno BN untuk mempercepatkan PRU  atau sehingga terpaksa tunggu detik-detik akhir parlimen dibubarkan. Mereka mempunyai tempoh yang tidak banyak," katanya.

Kempen kibar Jalur Gemilang tiada sambutan

Posted: 30 Aug 2012 04:59 PM PDT

Rizal Tahir,

KOTA BHARU: Sehingga hari ini, kempen kerajaan Pusat supaya rakyat mengibarkan Jalur Gemilang tidak mendapat tempat di hati masyarakat, temasuk di Kelantan.

 Walaupun sambutan kemerdekaan negara bakal disambut esok ( 31 Ogos ) , namun rakyat masih tidak berminat untuk berbuat demikian.

Perkara itu berlaku akibat kerajaan sendiri mempolitikkan kempen sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-55.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata walaupun kempen berkenaan telah lama dibuat, termasuk tema Janji Ditepat, namun saat-saat akhir ini ianya masih tidak mendapat tempat di hati rakyat Kelantan.

"Rakyat menganggap mengibarkan jalur gemilang seumpama mengibar bendera Umno.

"Mereka bukan tidak mahu mengibarkan jalur gemilang apa lagi menyambutnya kerana ianya kemerdekaan Negara kita,"ujarnya.

Tetapi, tambahnya kerana kerajaan promosi Umno, kerajaan juga mengajar rakyat kemerdekaan negara seolah-olah merayakan Umno, mereka langsung tidak berminat untuk mengambil bahagian.

Katanya, sambutan dingin rakyat untuk mengibarkan jalur gemilang itu paling ketara tahun ini.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri tetap akan mengadakan secara rasmi mengikut garis panduan yang betul, iaitu esok.

Katanya, kerana itu kerajaan negeri sendiri tidak mengadakan sambutan diambang kemerdekaan sebagaimana biasa, kerana ianya seolah-olah mengikut rentak Umno untuk 'celebrate' parti itu.

"Berlainan pula di peringkat parti, kita akan mengadakan program sambutan kemerdekaan negara nanti dengan cara yang betul," ujarnya.

Menurutnya, PAS akan mengajak semua lapisan masyarakat menyambut hari kemerdekaan negara yang bakal dianjurkan nanti dengan mendedahkan tokoh-tokoh kemerdekaan.

Jelasnya, para ulama, termasuk Tok Janggut adalah antara mereka yang memperjuangkan tanah air.

"Ini yang perlu kita tonjolkan di samping pameran-pameran berhubung pejuang kemerdekaan negara sebenar," ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan rasa kesal kerana rakyat diminta membalas budi parti itu khususnya dalam lirik lagu 'Janji Ditepati;.

Katanya, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana tanggungjawab kerajaan menjaga kebajikan rakyat dan tidak perlu mengungkit semata-mata untuk mendapat perhatian mereka.

Puluhan ribu sambut detik Kemerdekaan

Posted: 30 Aug 2012 04:55 PM PDT

Harakahdaily,


(Orang ramai berbaju kuning di Dataran DBKL berhampiran Dataran Merdeka)

KUALA LUMPUR: Puluhan ribu berhimpun dalam perhimpunan Janji Bersih dan ambang Kemerdekaan di perkarangan DBKL, Kuala Lumpur dan juga di Stadium Shah Alam

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Datuk A Samad Said, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Fuziah Salleh dan lain-lain pemimpin Pakatan berada di Dataran DBKL berhampiran Dataran Merdeka.

Di Stadium Shah Alam pula, para pemimpin Pakatan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di sana.

"Semangat kemerdekaan tidak berhenti dengan perarakan sahaja tetapi harus mampu menimbulkan kecintaan kepada negara.

"Pengorbanan dan sumbangan tentera dan polis serta rakyat menentang komunis dan penjajahan perlu mendapat dokongan semua," kata Anwar dalam ucapannya.

Berikut adalah gambar-gambar mereka.


(Berhampiran Dataran Merdeka)


(Di Dataran Merdeka)


(Berhampiran Dataran Merdeka)


(Mohamad Sabu di Dataran Merdeka)


(Datuk Samad Said antara yang mendapat tumpuan di Dataran Merdeka)


(Polis membuat sekatan di Dataran Merdeka)


(Tan Sri Khalid berucap di Stadium Shah Alam)

Felda: Anak sedia dedah siapa Faizoul

Posted: 30 Aug 2012 04:50 PM PDT

Anis Nazri Foto: W Zahari,
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai masa untuk mempertimbangkan semula jawatan Pengarah Besar Felda yang akan diisi oleh Faizoull Ahmad, 1 September ini.

Sekiranya Najib enggan berbuat demikian, Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) tidak teragak-agak untuk mendedahkan siapakah Faizoull yang dianggapnya sebagai seorang yang korup.

Presidennya, Mazlan Aliman, berkata beliau mempunyai maklumat mengenai peranan dan kerja Faizoull sejak lebih enam bulan lalu, berkaitan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di agensi tersebut.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu panjangkan tentang Faizoull ini (buat masa ini) dengan harapan Najib mempertimbangkan semula jawatan Pengarah Besar Felda yang difahamkan akan diserahkan kepada Faizoull," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang semalam.

Namun, tegas beliau sekiranya Najib menerima nama Faizoull untuk mengisi jawatan tersebut, Mazlan berkata pihaknya akan mendedahkan siapa sebenarnya Faizoull, di samping membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Faizoull.

Pemilihan Faizoull, yang dipercayai merupakan orang yang begitu setia dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dipercayai akan menimbulkan kegawatan di kalangan pentadbiran Felda kerana beliau bukanlah orang yang disenangi di situ.

Sehubungan itu, Mazlan sekali lagi mengingatkan Najib agar mempertimbangkan semula calon yang layak mengisi kekosongan jawatan Pengarah Besar Felda, tanpa memilih seorang yang korup untuk menerajui agensi tersebut.

Faizoull, dinamakan untuk menggantikan Datuk Dzulkifli Abdul Wahab yang diminta mengosongkan jawatan tersebut November tahun lalu, dengan menghantarnya berkursus.

Bagaimanapun, pada 28 Ogos lalu, Lembaga Pengarah Felda memutuskan Dzulkifli disingkirkan dan dipindahkan ke Kementerian Asas Tani dan ditugaskan ke Rome, Itali.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah bekas Timbalan Pengarah Bank Negara, Dr. Rosli Yaakob.

Asri: Teliti pelaksanaan hukum hudud

Posted: 30 Aug 2012 04:47 PM PDT

NORSHAHZURA MAT ZUKI

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin 
 
SHAH ALAM – Hudud sukar dilaksanakan di negara ini kerana persekitaran berbeza berbanding hudud yang dilaksanakan di peringkat permulaan dahulu.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pelaksanaan hudud memerlukan penelitian kerana berdasarkan beberapa penulisan oleh ulama terkenal, beberapa negara luar tidak mengamalkannya kecuali Arab Saudi yang menjadi contoh pelaksanaan hudud.

Menurutnya, persekitaran yang membolehkan undang-undang hudud berfungsi dengan adil selain di Arab Saudi, tidak wujud.

"Hudud mestilah ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai. Jika hudud dilaksanakan juga, ia tidak akan mencapai tujuan yang ALLAH kehendaki," katanya.

Mohd Asri juga meyakini keikhlasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai hasrat Islam beliau yang mendalam yang ditunjukkan dalam amalan peribadi dan politik.

Bagaimanapun katanya, tidak semestinya hal yang sama ada dalam diri setiap pembicara hudud kerana kadang kala sebahagiannya mengelirukan pihak lain terutama masyarakat bukan  Islam di negara ini.

"Kita tidak boleh mempertikaikan hukum ALLAH, tetapi kita boleh mempertikaikan cara pelaksanaan dan pentafsiran hukum berkenaan oleh manusia," katanya.

Beliau berkata, menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksanaan, tidak tepat dari segi maqasid agama dan kepentingan politik.

"Tujuan politik luas dan sepatutnya dibincangkan bagaimana memastikan tiada alasan untuk sesiapa mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara," katanya.

Mesej Merdeka: Anwar tuntut PRU13 bersih dan adil

Posted: 30 Aug 2012 04:46 PM PDT

NURUL AINI MOHAMED ALI

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika sedang berucap pada Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki 
 
SHAH ALAM -  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) mahukan pilihan raya yang bersih dan adil, dan sehubungan itu, menyeru agar tidak ada sebarang "unsur penindasan" dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Berucap pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat Selangor di sini malam tadi, Anwar berkata, pilihan raya umum mestilah bersifat adil seperti yang pernah dituntut oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Saya seru agar PRU13 nanti tiada unsur penindasan. Jadi ia mesti bersih dan adil. Inilah kebebasan sebenar yang kita mahu," katanya pada sambutan yang diadakan Dataran Kemerdekaan di sini.

Tambah beliau, kemerdekaan negara merupakan satu kebebasan yang harus dihayati oleh setiap rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia harus tahu yang penjajahan dan unsur imperialisme merupakan unsur penindasan yang perlu dielakkan terutama sekali dalam PRU13," tegasnya.

Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata, erti kemerdekaan harus dihayati oleh generasi muda.

"Saya menyeru agar generasi muda negara ini menghayati erti kemerdekaan negara kerana budaya menghayati semangat merdeka harus ditentukan oleh rakyat sendiri," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bertekad untuk memperoleh kemenangan dalam PRU13 dan itu sebabnya kerajaan-kerajaan negeri pimpinan (PR) iaitu Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah bersetuju menggunakan Sebangsa, Senegara dan Sejiwa sebagai tema menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini.

Menurut Khalid, tema ini wajar disebarkan sebagai usaha menggalakkan bukan saja rakyat di negeri pimpinan PR, tetapi semua negeri lain agar sentiasa bersama dan bekerjasama untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu.

"Setiap warga negara juga wajar sama-sama menikmati hasil sumber negara ini, bebas bergerak dan bersuara sebagai rakyat yang sudah merdeka tanpa dikurangkan hak semata-mata perbezaan kaum,agama atau fahaman politik," katanya semasa.

Beliau turut melahirkan rasa kurang senang apabila berlaku ketidakadilan dari segi persamaan hak terhadap negeri-negeri dipimpin PR.

"Kita dapat lihat berlaku keadaan yang tidak adil apabila Kelantan tidak mendapat hak mereka sendiri dan sering gagal menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau turut menegaskan yang rakyat Malaysia berhak mendapat layanan adil dan sama rata dalam menikmati limpahan daripada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara tanpa sebarang diskriminasi.

"Saya turut bersyukur kerana walaupun pembangunan negeri PR dinafikan oleh Kerajaan Pusat, namun ekonomi dan pembangunan negeri di bawah pimpinan PR menunjukkan peningkatan dari segi rizab negeri dan nilai pelaburan," ulasnya.

Sebanyak 56 kontinjen menyertai perarakan pada sambutan malam tadi, terdiri daripada badan kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan di negeri Selangor.

Tiada ulasan: