Ahad, 26 Ogos 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Samsung Tiru Apple: Mahkamah arah Samsung bayar AS$1.05 bilion

Posted: 25 Aug 2012 09:44 PM PDT

SAN JOSE, California - Selepas setahun pertikaian di mahkamah membabitkan Samsung dan Apple, seorang juri di Amerika Syarikat (AS) kelmarin memutuskan pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan itu didapati menciplak teknologi yang digunakan untuk menghasilkan iPhone dan iPad.

Susulan keputusan tersebut, panel juri sebuah mahkamah di sini memerintahkan syarikat Samsung untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple.


Bagaimanapun, Samsung yang popular dengan telefon pintar Galaxy S dan komputer tablet Galaxy Tab akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Perkembangan itu berlaku selepas sebuah mahkamah Korea Selatan kelmarin mendapati Samsung tidak meniru telefon bimbit keluaran Apple.

Pertikaian kedua-dua gergasi elektronik tersebut bermula apabila firma Apple Inc. memfailkan saman melibatkan pelanggaran paten oleh Samsung pada April 2011.

Apple telah melantik pasukan peguam terhandal di AS bagi menuntut gantirugi AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaing terhebatnya, Samsung.

Dalam saman tersebut, firma yang diasaskan bersama oleh mendiang Steve Jobs itu mendakwa Samsung Electronics Co. meniru teknologi dan inovasinya.

Namun, Samsung melakukan saman balas dengan menuntut gantirugi AS$399 juta (RM1.24 bilion) daripada Apple Inc.

Dalam hujah penggulungannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa Samsung mengalami 'kebuntuan reka bentuk' selepas pelancaran iPhone pada tahun 2007.

Samsung, katanya, mengambil kesempatan di atas kejayaan gajet berkenaan apabila memperkenalkan jenama telefon pintar Galaxy S dengan ciri-ciri serupa.

Terdahulu, pasukan peguam Apple menyatakan, hampir tiada perbezaan pada telefon pintar iPhone dan Galaxy.

Peguam-peguam Samsung bagaimanapun berkata, beberapa inovasi seperti skrin besar pada siri telefon Galaxy yang sebelum ini terdapat pada iPhone, diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna telefon pintar. Panel juri berkenaan yang dianggotai oleh tujuh lelaki dan dua wanita mula bersidang Rabu lepas.

Samsung setakat ini telah menjual 22.7 juta buah telefon pintar dan tablet yang didakwa Apple meniru teknologinya.

McElhinny seterusnya berkata, jualan gajet-gajet berkenaan mencecah AS$8.16 bilion (RM25.55 bilion) sejak Jun 2010.

Sehingga kini, Apple dan Samsung menguasai lebih separuh jualan telefon pintar di dunia.

Namun, Samsung muncul sebagai pesaing terbesar Apple dan mengatasi firma AS berkenaan sebagai pengeluar terbesar telefon pintar di peringkat global. Model telefon pintar Galaxy dijana perisian Android yang diberikan percuma oleh Google Inc. kepada Samsung dan beberapa pengeluar telefon pintar lain.

Dalam samannya, Apple turut menuntut Samsung menarik kedua-dua jenama telefon dan komputer tabletnya daripada pasaran AS. Saman serupa telah dikemukakan di beberapa negara lain termasuk Australia, Britain dan Jerman.

Pasaran telefon pintar dan komputer tablet global masa kini dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM685.79 bilion).

Agensi


Kerajaan Pening Nak Pilih Logo Merdeka

Posted: 25 Aug 2012 06:06 PM PDT

Seorang pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengesahkan bahawa kerajaan menghasilkan enam versi logo Merdeka, namun belum memutuskan versi rasmi yang akan digunakan.

Laporan China Press menyebut, akhbar dan stesen televisyen baru-baru ini menampilkan enam versi logo Merdeka, yang menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.


Perkara itu timbul selepas kerajaan menarik balik logo asal yang menjadi sasaran kritikan berhubung ciri estetiknya.

Ketika dihubungi, seorang pegawai perhubungan awam kementerian itu mengesahkan bahawa kerajaan menghasilkan kesemua logo berkenaan namun proses pemilihan masih berjalan.

"Sehingga kini, kementerian kami masih belum memutuskan secara formal mengenai versi yang akan digunakan pada 31 Ogos."

Beliau berkata keputusan akhir berada di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dan pegawai kanan.

Menurut laporan itu, kesemua versi berkenaan mempunyai empat elemen utama, termasuk logo 1Malaysia, tema "Janji Ditepati, perkataan "Merdeka" dan nombor "55", yang mencerminkan tempoh kemerdekaan selama 55 tahun.

Logo berkenaan boleh dilihat di laman rasmi Hari Kebangsaan – malaysiamerdeka.gov.my.


http://www.malaysiakini.com/news/207104


Isu Hudud - Umno makin terdesak, alih perhatian rakyat

Posted: 25 Aug 2012 04:59 PM PDT

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Umno-Barisan Nasional semakin terdesak apabila memainkan isu Hudud dan Negara Islam dengan tujuan menyemai kesangsian kaum dan agama.

"Cubaan keji secara ugutan dan menghasut persengketaan agama dan etnik ini merupakan cubaan terdesak untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Tidak kira bagaimana isu yang diputar oleh media Umno, kita dalam Pakatan Rakyat kekal komited kepada prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," tegas ketua pembangkang itu.


Tegasnya, perlembagaan menjamin kedudukan Islam di samping kebebasan agama lain, memelihara Bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda, mendaulatkan institusi Raja-raja dan keistimewaan Melayu- bumiputera.

Justeru beliau mengajak rakyat supaya menumpukan agenda untuk perubahan, berdasarkan prinsip tadbir urus yang digariskan Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.

"Mari kita kekal tumpu kepada agenda untuk perubahan. Kita perlu meningkatkan daya saing, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan memeriksa peningkatan kos hidup yang membebankan rakyat.

"Dalam hal Syariah, hudud, dan negara islam, kami mengakui dan menghormati pandangan yang berbeza dan kedudukan parti-parti komponen dalam PR.

"Ini adalah mencerminkan politik konsensus. Sebagai seorang Muslim, saya tetap berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah yang merupakan sumber prinsip syariah," kata Anwar.

Anwar berkata, prinsip maqasid al syariah (objektif lebih tinggi Syariah) adalah prinsip penting urus tadbir dan tidak berlawanan dengan ajaran demokrasi.
"Dalam hal ini, PR akan terus dipandu oleh prinsip-prinsip keadilan sejagat, urus tadbir yang baik, akauntabiliti, ketelusan dan daya saing untuk mencapai kebaikan untuk rakyat.

"Janganlah kita terpengaruh dengan politik terdesak dan ugutan UMNO BN. Letakkan kepercayaan kita dalam kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai keadaan ini dan membuat pilihan bebas mereka," katanya.


PAS cadang mansuh 4% faedah pinjaman penjawat awam

Posted: 25 Aug 2012 06:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: PAS akan mencadangkan pemansuhan kadar empat peratus faedah pinjaman perumahan dan kenderaan kakitangan awam kepada Pakatan Rakyat untuk diperjuangkan bersama.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pada sidang media di pejabat parti itu, petang ini.

Beliau berkata pemansuhan kadar bayaran empat peratus itu terbukti memudahkan kakitangan kerajaan, selain mengurangkan bebanan hutang mereka.


"Ia terbukti apabila ia dilaksanakan. Di Kelantan, sudah buat pun. Di Terengganu juga, ketika kita memerintah, kita sudah laksanakan," jelas beliau.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika ditemui selepas sidang media tersebut, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Pakatan Rakyat untuk dimasukkan dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pernah melahirkan kebimbangan apabila mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutama di Lembah Klang, tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Mereka menjangkakan fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman.


Isu Nasha: PAS serah pada majlis syura

Posted: 25 Aug 2012 05:01 AM PDT

PAS menyerahkan kepada Majlis Syura untuk membincangkan mengenai isu melibatkan bekas timbalan presidennya, Nasharuddin Mat Isa.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana, Nasharuddin bukan lagi menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat dan Biro Politik dalam parti itu.

"Hari ini kita bincang tentang bidang isu-isu politik. YB (Nasharuddin) bukan lagi AJK pusat dan biro politik. Tapi masih AJK Majlis Syura Ulama.


"Jadi kita serah pada Majlis Syura untuk bincang langkah-langkah yang wajar berhubung YB Nasha," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik di ibu pejabat PAS hari ini.
Mengulas mengenai pertemuan Nasharuddin bersama perdana menteri dalam satu program di Mekah baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, perkara tersebut jelas menunjukkan Umno kini kehilangan tokoh agama sehingga terpaksa mengambil tokoh PAS.

Katanya, pertemuan dua pemimpin itu sedikitpun tidak menjejaskan PAS.

"Umno dah kekurangan tokoh agama sampai kena ambil tokoh PAS. Ini tak jejaskan PAS. Tak ada masalah," katanya.

Nasharuddin sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mencadangkan supaya parti Islam itu keluar daripada Pakatan jika DAP menentang hukum hudud.

Kenyataan Nasharuddin itu mencadangkan supaya PAS keluar daripada Pakatan jika DAP menentang hudud, antara lainnya dilaporkan TV3 dan Utusan Malaysia.


Najib Patut Bubar Parlimen Sekarang..!

Posted: 25 Aug 2012 01:18 AM PDT


Nampaknya PM Najib semakin konfiden Umno/BN boleh menang PRU-13 ini. Entah nak tunggu apa lagi? Pakatan Rakyat sekarang ini sedang bergelora bergolak dengan pelbagai isu.

Kalau sebelum ini, Pakatan Rakyat mengasak Umno/BN dengan pelbagai isu,tetapi kali ini giliran PR pula yang terpaksa bertahan bila Umno/BN mengasak PR.


Isu Mansor Osman tiba-tiba muncul tak semena-mena.Ramai blogger Pakatan Rakyat sendiri tidak berapa minat nak membela Mansor Osman yang bercita-cita nak jadi Duta ke China tu.Hanya blog Pakaq sahaja yang cuba nak selamatkan Mansor. Rata-rata bloggers PR lain tidak begitu gemar dengan sikap Mansor yang dilihat tidak ubah macam perangai Umno/BN yang pentingkan diri semata-mata dan bukan kerana nak membela rakyat. Elok jadikan tukon dan campakan dia ke dalam laut!

Kenyataan Mansor sehingga kini tidak mampu menyangkal kesahihan cerita yang dimuat naik oleh blog yang dikatakan 'blog anti PR'. Sedikit hari lagi, tentunya rakaman bersuara akan diaorang upload kat U-Tube.

Dalam waktu yang sama isu Hudud, PAS dan DAP berlaga angin sedang dalam carta tertinggi Umno/BN untuk dieksploitasikan. Umno berhutang budi mengenai isu Hudud ini kepada Nasharudin yang tidak pasal-pasal sekembalinya dari membontot PM Najib ke Mekah, menyondol Karpal Singh.

Budak-budak PAS pun ada yang terkinja-kinja terikut-ikut menari sama.Pencacai Umno/BN pun bertepuk tangan mengiringi tarian Nasha. Tentu ada antara kita ingat pesanan Allahyarham Ust Fadhil Nor dulu, supaya waspada apabila musuh memuji kita ....



Utusan Meloya semakin rancak dalam memainkan isu panas yang melanda Pakatan Rakyat.Anwar Ibrahim pun dah keluar kenyataannya yang jelas memberi ingatan kepada PAS mengenai 'konsensus'.

Lujnah Politik PAS yang akan membincangkan mengenai kenyataan kontraversi Nasha dipercayai akan play safe, memandangkan pilihanraya dah dekat sangat. Besar kemungkinan, Nasha hanya akan diberikan nasihat sahaja ...

Memecat Nasha lebih buruk padahnya. Subky Latif pun ada berkata supaya PAS biarkan sahaja si Luncai tu terjun dengan labunya.

Episod Hasang Beras Hancor mungkin boleh kita jadikan teladan. Korang faham tak maksud aku ? Mudah cakap begini – daripada kita melepaskan pergi pelesit yang jenis makan tuan sendiri nih, lebih baik lagi kalau kita 'botolkan' sahaja pelesit tersebut. Musuh tidak boleh pergunakan dia dan kita mudah memantaunya ...

Cuma risikonya ialah pelesit ini boleh terkeluar dari dalam botol . Maklumlah, bukan mudah nak kawal budak-budak dari bermain botol ...

http://alhusseyn51.blogspot.com/2012/08/pakatan-rakyat-sedang-berkecamuk-masa.html


Tiada ulasan: