DIALOG RAKYAT |
- PAS bantah tambahan pengundi pos di Titiwangsa
- Seminggu untuk Awang Adek jelas isu cek
- Baru 4 hari sudah 22,263 benci lagu Janji Ditepati
- Mayat bayi lelaki ditemui di Taman Salak Jaya
- Rogol ramai-ramai, dua lagi dijel
- Pelancong Eropah cedera ditikam
- 15,000 Anggota Tentera Jaga Sempadan Negara Pada Aidilfitri Ini
- Pelabuhan Klang Catat IPU Tidak Sihat
- Kartunis Zunar menang kes saman kerajaan
- Hafiz AF disaman bekas pengurus pentas
- Proses Pengambilalihan Hutang Talam Sedang Diaudit: MB Selangor
- Pelantikan Lajim Ukin Sebagai Timbalan Menteri Dibatal
- SIAPA ZUL KULUM YANG DESAK LAJIM LETAK JAWATAN?
- Logo Merdeka: Rais Yatim malukan Najib
- Rohingya, ISA dan keterbukaan Mat Sabu
- Iftar: Kenapa Ibrahim Ali seorang saja menangis?
- Lepas ini Kerajaan negeri Terengganu pula dilelong?
- Sekalipun selingan, logo merdeka terlalu teruk
- Tahniah & Syabas Untuk Diana Amir Yang Banyak Berubah Setelah "Berhijrah"
- Kontroversi Hudud: DAP bersetuju dalam Negara Berkebajikan
- Durian FM kini dimiliki orang rapat Najib
- PAS Kedah sedia terima Mohd Sabu
- Situasi di Sabah tanda kejayaan agenda reformasi
- Populariti PM macam pasaran saham
- Tidak mungkin saya berbohong - peserta Bersih
PAS bantah tambahan pengundi pos di Titiwangsa Posted: 31 Jul 2012 04:04 AM PDT
KUALA LUMPUR: PAS membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memasukkan sejumlah 196 pemilih pos daripada lokaliti KD Sri Gombak dari Setiawangsa sebagai pengundi di Titiwangsa. Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohamad Nor Mohamad berkata, sebelum ini lokaliti KD Sri Gombak tidak ada dalam senarai pemilih pos, ia adalah lokaliti baru yang diwujudkan dan pemilih di dalamnya terus dijadikan sebagai pengundi parlimen Titiwangsa. Beliau difahamkan, jumlah pemilih pos pada suku pertama daftar pemilih SPR 2012 adalah sebanyak 1600 namun ia meningkat menjelang suku kedua tahun ini sebanyak 317 orang. "Berbeza dengan jumlah pemilih pos pada tahun 2008 yang hanya ada sekitar 450 orang sahaja, ia meningkat naik secara mendadak dan begitu ketara sekali," katanya dalam sidang media di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa hari ini. Mohammad melahirkan rasa bimbang ekoran peningkatan pemilih pos yang begitu ketara walaupun pada suku pertama dan tidak mustahil peningkatan akan terus berlaku jika PRU diadakan tahun depan. Beliau turut mempersoalkan apakah relevan SPR memasukkan sejumlah pengundi pos daripada lokaliti KD Sri Gombak ke parlimen Titiwangsa? Katanya, sepatutnya SPR berusaha mengurangkan jumlah pengundi pos memandangkan keperluannya tidak ada di situ. Mohamad tidak menolak ada unsur-unsur konspirasi terancang yang dijalankan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk meningkatkan undi pos yang sememangnya dikenali sebagai 'fixed deposit' untuk BN. "Ada pihak yang merasa cemas terhadap kebangkitan rakyat sehingga gagal menarik sokongan pengundi biasa, lalu terpaksa menggunakan kaedah pengundi pos bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka," katanya. Malah katanya, PAS mampu kekal di kerusi Titiwangsa dalam PRU-13 nanti sekiranya tidak berlaku peningkatan undi pos. Tegasnya yang turut mendesak SPR mengeluarkan sejumlah pengundi pos di Titiwangsa khususny lokaliti baru yang diwujudkan iaitu KD Sri Gombak dan kem Markas Latihan Tentera Darat. Justeru katanya, nilai demokrasi dan pemulihan sistem pilihan raya negara ini tidak memberi apa-apa makna sekiranya SPR sendiri tidak bertegas dan bersungguh dalam memastikan sistem pilihan raya di negara ini dibersihkan. "Biarkan pilihan raya di negara ini ditentukan oleh rakyat sebagai pemilih biasa di atas gelanggang yang sama rata, bukan dibantu oleh daftar pemilih yang dipertikaikan banyak pihak," katanya. Turut bersama dalam sidang media itu, YDP PAS Titiwangsa Abdullah Abdul Wahab, Pengarah Pilihan Raya Titiwangsa Khairul Anuar Abdul Manap dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa Suhaimi Abdul Aziz. | ||
Seminggu untuk Awang Adek jelas isu cek Posted: 31 Jul 2012 04:01 AM PDT
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini memberi tempoh seminggu kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin untuk membuat penjelasan mengenai sebuah syarikat yang memasukkan cek bernilai RM80,000 ke akaun beliau. Cek tersebut didakwa sebagai rasuah bagi melanjutkan kontrak sebuah Syarikat Bumiputera dalam Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB). Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, sekiranya Awang Adek tidak memberikan sebarang respon berhubung tuduhan tersebut, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan. "Kita beri Dr Awang Adek seminggu untuk menafikan dokumen yang kita perolehi ini sebagai palsu atau tidak benar. "Jika tidak kita akan mempertimbangkan untuk tindakan selanjutnya dan bawa perkara ini kepada SPRM untuk siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut hari ini. Cek CIMB Bank yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun Awang Adek ketika beliau menjadi Pengerusi SJJB pada tahun 2010. Pertengahan Julai lalu, DPPP mendakwa Awang Adek pernah menerima dua cek bernilai RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM). DPPP mendakwa cek tersebut diberi sebagai dorongan bagi melanjutkan kontrak penyelenggaraan kedua-dua bangunan daripada lima tahun bagi Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral daripada 3 tahun 5 bulan kepada 10 tahun. Mengulas lanjut, Khairul Faizi yang juga Ketua Pemuda PAS Johor mendakwa pihaknya memiliki dokumen serta surat permohonan lanjutan kontrak penyelenggaraan syarikat AMPM yang dihantar kepada Awang Adek. "Surat permohonan lanjutan kontrak itu dihantar pada 6 Disember 2010 dan tarikh cek dikeluarkan juga pada tarikh yang sama. Selepas itu kita dapat maklumat satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB diadakan pada 25 Ogos 2011, keputusannya mesyuarat bersetuju untuk melanjutkan kontrak kedua-dua bangunan kepada 10 tahun pada syarikat yang sama. "Pemuda PAS ingin tahu adakah cek ini sebagai dorongan untuk memudahkan mereka (AMPM) mendapat perlanjutan kontrak? Sebab itu kita minta Dr Awang Adek tampil menjawab atau menafikan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar," katanya. Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan DPPP, Nik Abduh Nik Aziz, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Exconya Nurul Islam. | ||
Baru 4 hari sudah 22,263 benci lagu Janji Ditepati Posted: 31 Jul 2012 03:59 AM PDT
(Lagu Janji Ditepati yang mencipta sejarah apabila sangat ramai menyatakan benci kepadanya) KUALA LUMPUR: Baru empat hari disiarkan di Youtube, namun sudah 22,263 orang menyatakan benci kepada lagu tema Kemerdekaan ke 55 berjudul 'Janji Ditetapati'. Hanya 313 sahaja menyatakan suka kepada lagu yang penuh mengampu kerajaan BN ini. Pendekata, setiap kali lagu ini di'referesh', bilangan mereka yang menyatakan 'dislike' bertambah. Lagu yang mengambil masa 3:36 minit penuh dengan puji-pujian kepada kerajaan BN. "Ini bukan lagu tema Hari Merdeka, ini lagu Barisan Nasional. Rais...betul? admit sahajalah..." tulis salah seorang pengunjung yang mendengar lagu ini. Sebelum ini, Menteri Penerangan dan Kebudayaan serta Warisan, Datuk Seri Rais Yatim telah mengumumkan penarikan logo sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 selepas mendapat bantahan ramai. Ekoran itu, beliau mengumumkan,logo 1 Malaysia sebagai logo rasmi Hari Kemerdekaan kali ini. Orang ramai juga membantah tema sambutan iaitu 'Janji Ditepati' kerana ia adalah tema kempen BN. Kini lagu sempena sambutan ini juga dibantah pelbagi pihak. Berikut adalah lirik lagu Janji Ditepati yang mendapat bantahan menyeluruh ini. Lagu Tema - Janji Ditepati (Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55) Lirik dan Video Macam malam ikut siang Macam bulan ikut matahari 1Malaysia terus berjuang Janji Kita ditepati Kata Kita dikota Janji Kita ditepati Hidup Rakyat Dibela Masa Depan Diberkati Janji sudah ditepati Kini masa balas budi (Chorus) Janji siapa? Janji kita Janji apa? Janji 1Malaysia Janji siapa? Janji kita Janji apa? Janji 1Malaysia Ini janji kita BR1M 1Malaysia Ini janji 1Malaysia TR1M 1Malaysia Kata kita dikota Kini 1Malaysia Janji kita ditepati Kedai 1Malaysia Klik link di bawah untuk melihat lagu ini. http://www.youtube.com/watch?v=DG--QGXqnlM | ||
Mayat bayi lelaki ditemui di Taman Salak Jaya Posted: 31 Jul 2012 03:50 AM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Mayat seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan dan cukup sifat ditemui di tepi sebuah longkang besar di Taman Salak Jaya di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat itu ditemui kira-kira 10 pagi oleh orang awam yang lalu di kawasan itu. "Bayi tidak berpakaian itu masih mempunyai tali pusat dan ditemui dalam keadaan mengiring di tebing longkang itu," katanya ketika ditemui Bernama. Mohan berkata mayat bayi berkulit cerah itu dipercayai diletakkan di lokasi itu dalam tempoh 24 jam lepas dan bukan akibat dihanyutkan arus sungai berdekatan. "Kami meminta sesiapa yang tahu atau melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat. - Bernama | ||
Rogol ramai-ramai, dua lagi dijel Posted: 31 Jul 2012 03:45 AM PDT Kedua-duanya yang bekerja di kilang membaiki piano merogol remaja itu ketika mangsa tidak sedarkan diri selepas diberikan dadah dan alkohol ke dalam minumannya, tanpa disedari. Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadap Majirin Masungkit, 31, manakala rakannya, Saladin Ajim, 33, dikenakan 10 tahun penjara dan tiga sebatan kerana bersubahat dengan Majirin. Saladin merupakan bapa kepada empat anak. Hakim turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tangkap kedua-dua tertuduh iaitu pada 28 Ogos 2010. Majirin mengaku salah merogol mangsa di tingkat atas rumah kedai di sebuah taman perumahan di Serendah, antara jam 4 pagi dan 10.30 malam pada 27 Ogos 2010. Saladin pula mengaku salah bersubahat dengan Majirin dan dua lagi rakan mereka merogol pelajar itu di tempat dan pada masa sama. Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. Mereka yang berasal dari Sabah menukar pengakuan selepas selepas 11 saksi pendakwaan tampil memberi keterangan. Sebelum ini, Slamat menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan masing-masing terhadap dua lagi rakan tertuduh, Mohamad Yasar Wandi Modin, 22, dan Suhimin Tius, 21 yang mengaku salah merogol remaja sama. Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim. Fakta kes menyebut mangsa dihubungi teman lelakinya, Mohamad Yasar untuk bertemu di warung bersama-sama Suhimin. Selepas minum mangsa pitam dan apabila tersedar dia dalam keadaan bogel dikelilingi lima lelaki juga bogel, yang sedang tidur. Mangsa cuba melarikan diri, tetapi terlanggar botol arak menyebabkan rakan teman lelakinya tersedar. Mereka kemudian mengikat remaja itu dan dan menindih kakinya dengan batu, sebelum merogolnya beberapa kali pada pagi, tengah hari dan malam. Salah seorang daripada mereka mentertawakan mangsa yang melawan sebelum merogol remaja itu secara bergilir-gilir. Mangsa dibiarkan keletihan tanpa diberi makan atau minum sehingga dia berjaya melepaskan diri. | ||
Pelancong Eropah cedera ditikam Posted: 31 Jul 2012 03:44 AM PDT SINAR HARIAN KUALA TERENGGANU - Akibat perselisihan faham dengan pemandu bot pelancong, seorang pelancong Eropah cedera di belakang badan akibat ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian di Pulau Perhentian, Besut, semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu pemandu bot berkenaan bertindak menyerang pelancong berkenaan bersama seorang lagi rakannya. Katanya akibat kejadian itu mangsa yang berusia 24 tahun itu cedera di belakang badan dan dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan. "Mangsa telah dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Manoharan berkata pemandu bot yang berusia 28 tahun itu telah menyerah diri kira-kira pukul 10 malam tadi. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya. - Bernama | ||
15,000 Anggota Tentera Jaga Sempadan Negara Pada Aidilfitri Ini Posted: 31 Jul 2012 03:40 AM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Seramai 15,000 pegawai dan anggota tentera akan menyertai operasi khusus mengawal sempadan negara pada sambutan Aidilfitri kali ini. Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, mereka akan bertugas mengawasi sempadan negara termasuk pintu masuk ke negara ini meliputi darat, udara dan laut. Beliau berkata, jumlah itu turut merangkumi pegawai dan anggota yang dihantar bertugas di luar negara bagi melaksanakan misi serta operasi ditetapkan ATM. "Soal keselamatan negara tidak harus dikompromi, ancaman kepada kestabilan boleh berlaku tanpa mengira masa. "Pada musim perayaan inilah kita perlu sentiasa lebih bersedia dan berwaspada bagi menghadapi ancaman. Sebab itu, kita tetapkan operasi khusus untuk dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Bernama. Mengulas kerjasama ATM dan Polis Diraja Malaysia dalam mengawasi sempadan negara, Zulkifeli berkata, kerjasama erat sentiasa diamalkan walaupun kedua-dua pihak telah ditetapkan kawasan masing-masing untuk dijaga. "Kami saling bekerjasama, polis ada kawasan yang dikawal, begitu juga kita. "Namun dalam soal keselamatan, kita lakukan pengawasan bersama seperti bertukar maklumat khasnya dalam hal yang melibatkan keselamatan sempadan dan aktiviti penyeludupan," katanya. Sempena Aidilfitri kali ini, beliau berkata, ATM akan meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan berupa hamper dan kuih raya kepada pegawai dan anggotanyayang bertugas di sempadan negara. - BERNAMA | ||
Pelabuhan Klang Catat IPU Tidak Sihat Posted: 31 Jul 2012 03:39 AM PDT PETALING JAYA: Keadaan jerebu di negara ini masih berlarutan dengan Pelabuhan Klang mencatatkan kualiti udara tidak sihat, dua hari berturut-turut. Bilangan kawasan yang merekodkan bacaan kualiti udara sederhana turut meningkat dari 33 pada pukul 5 petang Isnin kepada 36 kawasan sehingga pukul 11 pagi Selasa, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar. Beberapa kawasan lain berada pada tahap baik. Pelabuhan Klang merupakan satu-satunya kawasan di negara ini yang mencatatkan bacaan kualiti udara tidak sihat walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun dari 122 pada petang Isnin kepada 105 sehingga 11 pagi Selasa. Bacaaan seterusnya akan direkodkan pada pukul 5 petang. IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301). Beberapa kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana sehingga pukul 11 pagi. Antaranya, Seberang Jaya 2, Perai di Pulau Pinang yang mencatatkan IPU 83, Alor Star (78), Sg Petani (78), Kuala Selangor (77), Banting (77), Bukit Rambai di Melaka (76), Taiping (75) dan Cheras (73). Petaling Jaya mencatatkan IPU 63. | ||
Kartunis Zunar menang kes saman kerajaan Posted: 31 Jul 2012 03:37 AM PDT KUALA LUMPUR - Kartunis politik Zulkiflee SM Anwar atau dikenali sebagai Zunar, hari ini menang kes saman ke atas kerajaan dan empat yang lain berhubung tindakan pihak berkuasa merampas 66 buku dan satu lukisannya dua tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan Zunar. Pada 15 Jun tahun lalu, Zunar memfailkan saman sivil ke atas kerajaan Malaysia dan empat defenden berhubung penangkapannya dan rampasan terhadap 66 buku Cartoon-O-Phobia serta sebuah lukisan kolaj pada 2010. Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan. Dipetik oleh The Star hari ini, Zunar berkata, keputusan mahkamah hari ini sebahagian kemenangan bagi kesemua kartunis politik memandangkan Vazeer memutuskan bahawa tindakan menahan buku-buku berkenaan adalah sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, tetapi penahanan Zunar adalah sah pada waktu itu. Dalam pada itu, salah seorang peguam Zunar, N. Surendran berkata, kemenangan ini membuktikan kerajaan tidak munasabah dengan merampas dan menyimpan koleksi buku kartun beliau selama lebih dua tahun. "Kami terima baik keputusan mahkamah. Itu jelas menunjukkan kerajaan berniat jahat sebelum ini berhubung penangkapan dan rampasan buku sewaktu Zunar sedang melancarkannya. "Mereka cuba menghentikan karya Zunar yang mengandungi kritikan terhadap kerajaan," kata Surendran. Zunar turut diwakili oleh Fadiah Nadwa Fikri. Dipetik Keadilan Daily, Surendran berkata, rayuan akan dibuat berhubung keputusan mahkamah yang memutuskan penangkapan Zunar adalah sah. | ||
Hafiz AF disaman bekas pengurus pentas Posted: 31 Jul 2012 03:33 AM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Penyanyi Hafiz AF yang popular dengan lagu 'Awan Nano' hari ini disaman bekas pengurus pentas sebuah rancangan hiburan di Astro atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepadanya. Nur Haniza Mohd Azhar, 25, selaku plaintif menamakan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, yang juga juara Akademi Fantasia ke-7, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,000. Beliau memfail saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co. Dalam pernyataan tuntutannya, Nur Haniza mendakwa beliau didatangi Mohd Hafiz yang menepuk bahunya dari belakang dan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengannya secara paksa ketika beliau menjalankan tugas sebagai pengurus pentas untuk rancangan Salih Yaacob Show di Studio Filem Negara pada 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas. Nur Haniza mendakwa beliau menolak pelawaan itu dengan baik kerana sedang sibuk melakukan tugasannya tetapi beliau tetap didesak Mohd Hafiz untuk berbincang mengenai suatu perkara. Nur Haniza, yang kini bekerja sebagai penasihat jualan di syarikat permotoran, mendakwa ketika beliau menuruni tangga studio untuk meneruskan tugasnya, Mohd Hafiz bertindak agresif dengan menolaknya sehingga terjatuh ke bawah dan tersungkur di hadapan rakan sekerjanya. Beliau mendakwa tindakan Mohd Hafiz itu menyebabkannya mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan beliau juga mendakwa penyanyi itu tidak membantunya. Nur Haniza mendakwa beliau telah menyerahkan notis tuntutan bertarikh 25 Jun lepas supaya Mohd Hafiz memohon maaf dan membayar ganti rugi tetapi Mohd Hafiz menafikan ada mencederakannya. Nur Haniza mendakwa akibat kejadian itu, beliau kini masih merasa sakit pada bahagian kaki kanannya akibat kecederaan yang dialami dan hilang mata pencarian kerana disenarai hitam daripada bekerja untuk rancangan terbitan Astro serta terpaksa menanggung malu selepas kejadian itu yang turut disiarkan media. Oleh itu, Nur Haniza menuntut gantirugi am, gantirugi khas, gantirugi teruk, gantirugi kehilangan aminiti, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama | ||
Proses Pengambilalihan Hutang Talam Sedang Diaudit: MB Selangor Posted: 31 Jul 2012 03:25 AM PDT MSTAR ONLINE BESTARI JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa berkata satu firma akauntan bertaraf antarabangsa kini sedang menjalankan kerja-kerja mengaudit proses pengambilalihan hutang Talam Corp oleh kerajaan negeri. Katanya kerajaan Negeri membelanjakan RM500,000 bagi syarikat itu melakukan kajian supaya satu laporan profesional dan menyeluruh yang dapat difahami oleh semua pihak akan dapat dikeluarkan. Abdul Khalid berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan kepada 486 warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya di sini. Beliau diminta mengulas permintaan Barisan Nasional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai sebab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor diminta membeli hutang Talam. Ditanya nama firma berkenaan, beliau berkata: "Syarikat itu meminta saya tidak memberikan namanya sebelum laporan itu dikeluarkan kerana takut banyak pihak yang akan tanya banyak soalan sehingga susah nak buat kerja." Bagaimana pun, beliau berkata firma itu dijangka mengeluarkan laporannya pada penghujung bulan hadapan. Mengenai masalah bekalan air yang melanda para penduduk Bukit Belimbing, Kuala Selangor, Abdul Khalid berkata masalah kekurangan bekalan air di sana bukannya kerana air terawat tidak mencukupi tetapi tekanan air yang rendah. Oleh itu, beliau telah mengarahkan Majlis Daerah Kuala Selangor untuk mengkaji bagaimana tekanan air paip di sana dapat ditingkatkan dan menghantar air supaya keperluan orang ramai mencukupi. - BERNAMA | ||
Pelantikan Lajim Ukin Sebagai Timbalan Menteri Dibatal Posted: 31 Jul 2012 03:20 AM PDT MSTAR ONLINE Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu. Ia adalah mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersamaFasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta. Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai anggota Umno. Lajim yang mengumumkan peletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu, dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Najib kemudian pada satu majlis di Pekan dilaporkan berkata kedudukan Lajim sebagai timbalan menteri akan diputuskan pada Isnin. Lajim, 57, dipilih ke Parlimen pada pilihan raya umum 2008 menggantikan penyandang kerusi Beaufort, Azizah Mohd Dun selepas menewaskan Lajim Md Yusof (PKR), dengan majoriti 10,914 undi. Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun 2008 sebelum ditukarkan portfolio kepada Timbalan Menteri Perumahan dan KerajaanTempatan pada 2009. - BERNAMA | ||
SIAPA ZUL KULUM YANG DESAK LAJIM LETAK JAWATAN? Posted: 31 Jul 2012 03:16 AM PDT Oleh: WFAUZDIN NS APABILA Datuk Seri Lajim Ukim mengumumkan meletakkan semua jawatannya di dalam Umno dan paling `menghiris' hati Najib adalah apabila Lajim mencabar Najib agar memecatnya dari kabinet dan parti seberapa segera. Lajim kini masih memegang jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan walaupun beberapa hari lalu beliau secara terus terang menyebut akan menyokong PR dan berada di pihak DS Anwar. Mengapa Najib tidak mahu pecat Lajim? Umno kini benar-benar tenat. Mahu mencari ahli baru amat susah maka bukan mudah juga mahu buang ahli apatah lagi tokoh berpengaruh seperti Lajim. Tapi yang peliknya, Zul Kulum pula terhegeh-terhegeh suruh Lajim letak jawatan dari kabinet dan parti itu apa hal? Zul Kulum selaku Naib Presiden PERKASA berkata, perkara itu perlu dilakukan Lajim sebagai menghormati prinsip demokrasi memandangkan perjuangan bekas ketua Umno Beaufort itu sudah lagi tidak sehaluan dengan PM, Najib. Mimpikah Zul Kulum? Beliau lupakah yang beliau sendiri paling tidak bermaruah dan bangsat sekali apabila tidak meletakkan jawatan sebagai MP Kulim Bandar Baru setelah beliau dipecat dari parti. Beliau sedar, beliau menjadi MP adalah atas anugerah parti beliau dahulu iaitu PKR dan rakyat mengundi beliau pun atas logo yang beliau bawa. Kini, beliau bawa logo apa? Mungkin sekarang beliau berlogo `katak' maka adalah lebih bermaruah jika beliau meletakkan jawatannya. Sabtu lalu, Lajim, 57, mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta merta. Beliau sebelum itu meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Cawangan Kerambai Kebatu. Besar kemungkinan Zul Kulum cuba mengintai kalau-kalau beliau boleh ampu Najib untuk menggantikan tempat yang bakal dikosongkan oleh Lajim. Sebab itulah tidak sabar-sabar Naib Presiden PERKASA ini menggesa Lajim letak jawatan segera sehingga dia sendiri lupa dia menenggek atas kerusi hak milik orang lain. Tidak malukah beliau?/wfauzdin.blogspot.com | ||
Logo Merdeka: Rais Yatim malukan Najib Posted: 31 Jul 2012 03:01 AM PDT Oleh Mohd Rashidi Hassan Alasan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menarik balik logo Hari Kemerdekaan Malaysia merupakan suatu tindakan yang amat memalukan kerajaan, khususnya mencemar integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Kata Rais,"Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi." Sebagai pengerusi sambutan kemerdekaan, Rais tidak harus membohongi rakyat. Semua orang tahu perancangan untuk mengatur acara Hari Kebangsaan memerlukan masa, tenaga dan peruntukan besar. Maka sudah tentu ia bukan kerja ad-hoc. Tiada rakyat yang boleh percaya bahawa jawatankuasa sambutan kemerdekaan sudah sampai ke tahap ini, sebulan sebelum Hari Merdeka, masih belum memutuskan logo dan temanya. Hakikatnya, Rais dan seluruh anggota Kabinet sedar bahawa memang logo dan tema itulah yang diputuskan kerajaan untuk dijadikan moto utama Hari Kemerdekaan. Jika tidak, mengapa Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan beriya-iya mempertahankan logo dan tema Hari Merdeka, selepas dikritik hebat rakyat. Saban tahun, iaitu pada setiap 31 Ogos ini rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 55 daripada penjajahan British. Bagi rakyat Malaysia, yang terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan agama, Hari Kemerdekaan merupakan suatu perayaan yang bukan sahaja membebaskan negara dari cengkaman penjajahan, malah ianya adalah pencetus nilai keharmonian dan permuafakatan. Dalam erti kata lain, menyambut merdeka harus diasingkan dari kongkongan fahaman ideologi kepartian dan politik. Tidak kira Melayu, Cina, India, Punjabi, Iban, Melanau, Kadazan, Dusun, Orang Asal, semuanya adalah rakyat Malaysia, yang harus patriotik mencintai negara. Tidak kira PAS, Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC dan sebagainya, semuanya bertanggungjawab menyuburkan semangat kemerdekaan, dengan hasrat untuk terus memelihara kemakmuran negara. Kita harus bertegas, tiada kompromi dalam soal keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara. Tiada sesiapa yang harus mencemarkan imej negara. Tiada sesiapa yang harus dibenar untuk menggugat keharmonian yang kita kecapi selama ini. Dan, tidak harus bagi sesiapa pun yang boleh dibenarkan untuk mencemar kesucian kemerdekaan negara, dengan matlamat politik yang sempit. Tidak harus sama sekali kerajaan Umno-Barisan Nasional, khususnya Perdana Menteri, mempergunakan semangat kemerdekaan, demi menggapai sokongan rakyat yang semakin tiris terhadap mereka. Inilah peristiwa malang yang berlaku dalam negara kita. Malang apabila slogan 'Janji Ditepati', yang digunapakai sebagai slogan teras kempen Pengerusi BN dan Presiden Umno, dijadikan slogan menyambut Hari Kemerdekaan. Slogan ini tidak harus diterima kerana ia tidak melambangkan permuafakatan rakyat. Ia tidak melambangkan cetusan untuk memupuk keharmonian kaum. Ianya adalah slogan satu hala, semata-mata untuk menyemarakkan propaganda BN, kononnya 55 tahun pentadbiran mereka, segala janji sudah ditunaikan. Jelas pada kita, sama ada mereka dari kalangan pemimpin Umno tidak tahu membezakan peranan parti dengan kerajaan, atau pun, selama ini mereka hanya menganggap kerajaan itu Umno, Umno itu kerajaan. Suka hati hendak buat apa. Ternyata Umno-BN tidak sedar bahawa mereka kini berstatus pembangkang. Pilihan Raya Umum 2008 rakyat sudah meletakkan Umno-BN menjadi pembangkang di lima buah negeri. Umno-BN tidak harus 'perasan' mereka akan duduk ditampuk kuasa kerajaan buat selama-lamanya. Dengan meletakkan tema 'Janji Ditepati' sebagai slogan kemerdekaan, seolah-olah Umno-BN mahu menyatakan kepada rakyat bahawa Jalur Gemilang adalah hak milik mereka. Mereka menghakmilikkan bendera negara macam bendera BN. Sebab itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak ramai kalangan rakyat yang mahu mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan atau premis milik mereka. Yang mengibarkan bendera negara hanya penyokong Umno-BN sahaja. Itu pun hanya dua tiga kerat. Justeru, rakyat yang semakin sedia menolak Umno-BN, enggan menaikkan bendera Malaysia. Rakyat takut, dengan mengibarkan Jalur Gemilang mereka dilabel penyokong Umno-BN. Jelas pada kita bahawa, akibat daripada kerakusan dan ketamakan kuasa, Umno-BN sudah mencabut roh dan semangat patriotik rakyat terhadap negara. Maka tiada jalan lain bagi kita untuk menyelamatkan negara, selain daripada usaha gigih kita, mencabut roh dan nyawa Umno, dari tampuk kuasa pada PRU ke-13 nanti. Sebelum roh dan nyawa Umno dicabut rakyat pada PRU depan, ruh dan semangat 'Janji Ditepati' yang dicanang Najib, sudah tercabut akibat kedangkalan Rais Yatim yang hendak 'mengampu tidak kena tempat.' | ||
Rohingya, ISA dan keterbukaan Mat Sabu Posted: 31 Jul 2012 02:58 AM PDT Ramadan melewati fasa 10 hari pertama. Begitu pantas masa berlalu. Bagaimana azam untuk menyempurnakan amalan-amalan wajib, juga melipatgandakan tuntutan sunat, selain bertadarus, tarawikh, sedekah, menaja berbuka puasa, berbuat baik dengan ibu bapa, famili dan umat seluruhnya? Semoga dapat dimanfaatkan sepenuhnya tempoh keemasan penuh keberkatan. Ya, mungkin ini Ramadan terakhir kita ... Bayangkan, rakan-rakan atau saudara-mara yang bersama kita pada Ramadan tahun lalu, kini sudah pergi buat selamanya. Sekembalinya saya menjalani latihan fisio dan terapi, selepas hampir seminggu di wad HUKM, mengingatkan betapa tinggi nilai kesihatan dan masa lapang. Ramai pesakit kronik, termasuk strok, merupakan orang muda. Saya perhatikan mereka begitu gigih dan tekun menjalani rawatan pemulihan, meskipun perlu memakan masa lama. Pergantungan kepada Allah begitu tinggi dalam saat-saat sukar seperti itu. Melalui Harakah, untuk Ramadan berbaki ini, di samping lebih berdisiplin mengikuti pelan rawatan pemulihan yang ditekankan Prof Dr Zamrin Dimon, saya bertekad untuk mempromosi kerja-kerja kebajikan, khususnya membantu keluarga tahanan ISA, fakir miskin, ibu tunggal, dan mereka yang terlantar tidak berupaya. Alhamdulillah, respons pembaca Harakah, seperti lazimnya, cukup menggalakkan. Ada rakan lama tiba-tiba menghubungi saya, selepas terusik dengan rayuan dana ISA itu, sekali gus menderma. Rupanya ramai yang tidak menyedari masih ada insan dizalimi dan dikurung tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting, Taiping selepas ISA diisytihar mansuh. Meneliti penyata akuan Maybank, saya dapati begitu ramai menyumbang, daripada sekecil RM5 sehingga ribuan ringgit. Dalam hati terdetik, kita perlukan gerakan kebajikan yang lebih tersusun, sistematik dan efisyen, serta dapat dipercayai. (Sumbangan kepada keluarga mangsa yang teraniaya dan bekas tahanan ISA itu boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank 564070000336 atas nama HARAKAHDAILY DOT COM). Tidak dilupakan kisah tragis saudara seaqidah yang paling teruk dizalimi, iaitu minoriti Muslim Rohingya di Myanmar. Ramai di antaranya menjadi pelarian sejak sekian lama, dan sebahagiannya berada di sekeliling kita, di Malaysia tercinta ini. Tidur saya agak terganggu mengenangkan nasib mereka. Saya kira ramai lagi resah mendengar dan menatap berita sedih itu. Rasanya, tidak banyak yang telah kita lakukan untuk membantu mereka, dan ini amat menyedihkan. Kita seperti begitu tidak berupaya, cukup daif dan sekadar menunggu takdir, apatah lagi dengan sekatan tertentu daripada regim junta Burma, yang memisahkan minoriti Muslim itu daripada masyarakat antarabangsa. Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat, sokongan dana kewangan dan bekalan makanan amat diperlukan; dan kita tentu saja boleh meringankan bebanan mereka. Petang Jumaat lalu, selepas mendapat rawatan alternatif daripada Ustaz Kamal Ashaari, yang juga berpengalaman diserang strok, saya tiba-tiba menyedari, Harakah juga tidak mengambil sikap proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada Rohingya. Dan ini tentu sahaja memalukan diri saya sendiri, yang sekian lama cuba berusaha membantu golongan teraniaya di negara ini, yang nasib mereka lebih beruntung daripada Muslim Rohingya. Agak gelisah saya mencari idea, terutama dalam keadaan tubuh yang mudah penat. Segera saya teringat sosok personaliti NGO yang tidak pernah kenal lelah, Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid. Difahamkan Presiden Teras itu pun "bukannya sihat sangat", tetapi ia langsung tidak membataskan aktiviti kemasyarakatannya. Saya mengirim SMS memaklumkan hasrat Harakah untuk lebih berperanan dalam isu Rohingya ini, terutama dari segi menyalurkan bantuan kewangan. Cikgu Azmi mencadangkan tabung khas dibentuk Harakah, tetapi bagi saya, kami sudah banyak menubuhkan dana khas seumpama itu. Lebih baik yang sedia ada di bawah kawalan beliau sendiri. Cikgu Azmi bersetuju dan minta diiklankan Tabung Mustadhafin Rohingya, atas nama akaun Sekretariat Himpuna Ulama Rantau Asia (SHURA), BIMB 12047010037282. Ia anjuran Majlis Perundingan Prtubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan SHURA. Dia memberi nama-nama untuk dihubungi, Ahmad Tarmizi 0175606131, Salman Siddiqy 0134013342 Insya-Allah, tabung itu akan Harakah uar-uarkan secara lebih meluas bagi menggembleng sokongan berterusan umat Islam Malaysia. Saya menyeru pembaca agar dapat menyumbang, terutama semasa bulan Ramadan ini. Moga-moga ia dapat meringankan sedikit keperitan yang ditanggung generasi demi generasi itu. Desakan, tekanan dan lobi juga perlu diteruskan, termasuk terhadap kerajaan negara ini, dalam usaha mencari penyelesaian yang tuntas ke atas krisis kemanusiaan yang semakin parah itu. Dunia yang nampak bisu itu mesti digerakkan. Info perlu disalurkan, kempen kesedaran wajar dimulakan secara lebih terancang dan menyeluruh. II. Dalam perkembangan lain, saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam forum "ISA: Penyeksaan yang sempurna", anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), minggu lalu. Bukan soal pengalaman penalis, termasuk Mat Sabu dan Hishamuddin Rais, mengenai penyeksaan semasa dikurung tanpa bicara. Kisah dan cerita sedih seumpama itu bukan rahsia lagi. Saya lebih teruja dengan pendirian Mat Sabu mengenai peranan penting badan bukan kerajaan (NGO), termasuk sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 nanti. Satu pandangan terbuka yang meraikan penyertaan politik lebih menyeluruh daripada masyarakat sivil. Beliau mahu NGO, seperti GMI, terus bersikap kritikal terhadap pemerintah dan bekerja kuat untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka. Mereka harus terus menjadi kumpulan pendesak untuk mengkritik dasar kerajaan, termasuk Pakatan Rakyat, jika ia meneruskan dasar yang zalim dan penyelewengan seperti kerajaan BN. Tambah Mat Sabu, jika keberanian itu tidak ditonjolkan, beliau bimbang, kerajaan yang mengambil alih, iaitu Pakatan, "akan mencari jalan memperkenalkan undang-undang malah kadang kala lebih teruk daripada kerajaan yang diambil alih" demi mempertahankan kuasa mereka. "Bila orang dapat kuasa, amat susah kuasa itu digugat. Sebab itu kumpulan memperjuang hak asasi perlu terus hidup dan kuat, walaupun sesiapa sahaja memerintah. Sebab, senang kita cakap apabila dapat kuasa. Bila dapat kuasa, sudah mula kita ugut orang. Aku bongkar ini, aku dakwa (kau) bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi), sedangkan kita nak hapuskan OSA itu. "Penyakit orang berkuasa, dia (buat apa sahaja) nak kekalkan kuasa... Dalam sejarah pemerintah nak serah kuasa memang susah nak berlaku," katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini. Sememangnya kuasa perlu dibataskan dan dihadkan. Seseorang individu atau mana-mana kumpulan yang berkuasa mutlak, walaupun awalnya nampak baik dan menguasai kerajaan melalui sokongan orang ramai (demokrasi) dengan menjatuhkan sang diktatotor, ia boleh bertindak zalim dan lupa diri jika kuasanya tidak dihadkan atau diimbangi. Ungkapan popular yang selalu kita dengar ialah kenyataan Lord Acton, pakar perundangan England, iaitu "power tendes to corrupts and absolute power corrupts absolutly", atau "kuasa itu cenderung disalahgunakan, dan kuasa yang mutlak itu lebih dahsyat penyalahgunaannya." Justeru, peranan NGO atau kumpulan pendesak atau dalam pengertian lebih menyeluruh, masyarakat sivil, amat perlu disuburkan. Setiap pemerintah tidak perlu gundah-gulana dengan penyertaan politik proaktif oleh kumpulan-kumpulan berkepentingan itu. Mereka harus didampingi dan bukannya dimusuhi, meskipun suara kumpulan berkenaan begitu lantang, vokal dan mungkin mendedahkan kelemahan dan membongkar kesilapan pemerintah. Pastinya NGO yang bebas daripada kawalan pemerintah ini harus dibiar bertindak sebagai watchdog terhadap dasar-dasar dan program kerajaan. NGO seumpama itu sebenarnya berperanan untuk menyuburkan demokrasi dan mampu menjaga kepentingan rakyat terbanyak, yang mengatasi atau melangkaui kepentingan politik yang sempit. Untuk mengharapkan fungsi "semak dan imbang" dalam parti pemerintah sendiri, tentulah cukup sukar. Cabaran daripada parti lawan pula sering ditafsirkan sebagai "bermotif politik"dfan mahu merebut kuasa. Saya kira tafsiran yang diberikan terhadap masyarakat sivil ini agak menarik untuk diteliti: "Masyarakat sivil adalah satu set institusi bukan kerajaan yang punya kekuatan untuk mengimbangi kuasa kerajan, menghalang pemerintah daripada bertindak bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak sebagai pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat sivil juga merupakan sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah daripada mendominasi dan memanipulasi masyarakat terbanyak." Keterbukaan Mat Sabu itu menandakan satu bentuk politik baru yang cuba diperkenalkan Pakatan Rakyat, yang wajar dialu-alukan. Ramai yang menantikan bagaimana konsep itu dapat dilaksanakan nanti jika rakyat benar-benar mahukan satu kerajaan baru terbentuk selepas PRU13 nanti. | ||
Iftar: Kenapa Ibrahim Ali seorang saja menangis? Posted: 30 Jul 2012 05:49 PM PDT
KUALA LUMPUR: Adakah Ibrahim Ali menangis kerana menyesal mengkhianati PAS dan hina mencaci Tuan Guru Nik Abdul Aziz walaupun diberikan peluang sebagai calon Parlimen Pasir Mas dengan bertanding di atas tiket PAS? Demikian tulisan di dalam blog http://omakkau.blogspot.com/ Ini ekoran Ibrahim selaku pengasas dan Mursyidul Am seumur hidup Perkasa kelihatan menangis teresak-esak di satu majlis Iftar anjuran pertubuhan itu malam semalam di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. "Peliknya.. semasa beliau menangis tidak ada seorang pun kelihatan sedih walaupun ketika itu beliau sedang berucap di depan ahli-ahli Perkasa," tulis blogger itu lagi. | ||
Lepas ini Kerajaan negeri Terengganu pula dilelong? Posted: 30 Jul 2012 05:47 PM PDT
Inilah persoalan yang dbangkitkan oleh Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad (gambar) dalam satu tulisannya. Inilah yang berlaku kepada tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) seluas kira-kira 15 hektar yang terletak di Mukim Kerteh yang terpaksa di lelong. Tanah yang menjadi milik kerajaan negeri ini telah digadaikan kepada bank pada tahun 1997 bagi membangunkan satu projek 432 lot perumahan bercampur yang dikenali sebagai 'Bandar Baru Kerteh Jaya'. "Amat memalukan! Akibat kegagalan membayar pinjaman, Hong Leong Bank telah melelong tanah milik kerajaan negeri ini melalui satu lelongan awam yang telah diadakan pada 18 Julai, 2012," tulis beliau. Menurut dokumen Lelongan Awam terbabit, tanah tersebut telah di lelong pada jam 10.30 pagi di Bilik Lelong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Sebuah syarikat bukan Bumiputera, yang berpengkalan di Pulau Pinang, Alam Sierra Development Sdn Bhd telah menjadi pembida tunggal yang berjaya membida tanah kerajaan negeri itu dengan harga rezab RM 5.594 juta. Ia mempunyai 158 lot tapak rumah banglo, 168 lot tapak rumah berkembar dan 106 lot tapak rumah kedai. "Persoalan besar yang menjadi tanda-tanya kepada seluruh rakyat Terengganu kini adalah, siapakah yang bertanggungjawab dengan kejadian yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu ini?" soal Syed Azman dalam tulisan itu. | ||
Sekalipun selingan, logo merdeka terlalu teruk Posted: 30 Jul 2012 05:39 PM PDT
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kecewa kerana kerajaan khususnya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan tidak sensitif dalam memilih dan menentukan logo Hari Merdeka sehingga terpaksa menarik balik atau menafikan logo yang dikatakan akan digunakan sebagai logo Hari Merdeka tahun ini setelah mendapat bantahan ramai. Bagi DPPM, kata ketuanya, Riduan Mohd Nor (gambar), sikap cuai atau sambil lewa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam menentukan logo Hari Merdeka sehingga ia 'terlepas' ke media memberi gambaran negatif rakyat terhadap kerajaan. Katanya, jika ia hanya paparan selingan (artwork) dan bukan logo rasmi sekalipun seperti yang dikatakan oleh Rais Yatim, ia terlalu teruk dan langsung tidak mempunyai nilai seni yang tinggi. "Tidak sepatutnya paparan selingan ini muncul di media-media sebagai penghias sambutan Hari Merdeka tahun ini," katanya dalam satu kenyataan. Selain itu, ujarnya DPPM melihat tema "Janji Ditepati" tetap tidak wajar dijadikan sebagai tema hari kebangsaan tahun ini. Menurutnya, DPPM berpendapat, "Janji Ditepati" adalah kempen politik yang hanya boleh digunakan oleh BN kepada pengundinya, bukan daripada kerajaan kepada rakyat. "Tema ini secara jelas berkempen mengenai jasa kerajaan kepada rakyat dan seharusnya rakyat menuai bakti kepada kerajaan BN," ujarnya. Tambahnya, ia juga membawa mesej seolah-olah kerajaan mengugut rakyat supaya menyokong parti pemerintah kerana hanya pemerintah menunaikan janji. DPPM menegaskan, katanya sambutan Hari Merdeka adalah sambutan untuk rakyat semua tanpa mengenal ideologi politik masing-masing. Justeru, ujarnya lagi kerajaan tidak wajar menyelitkan sebarang unsur politik kepartian hanya semata-mata mahukan sokongan dan undi daripada rakyat. Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu bersikap profesional dengan membuang sikap terlalu kepartian dalam merayakan Hari Kebangsaan negara ini. Riduan mempersoalkan adakah Najib hanya mahu menjadi Perdana Menteri kepada ahli Umno atau BN sahaja dan bukan untuk rakyat seluruhnya? "Jika benar beliau adalah PM kepada semua rakyat, beliau perlu menukar logo serta tema kepada yang lebih menepati citarasa rakyat yang mahukan sikap patriotsme ditanam dalam diri merekak," katanya lagi. | ||
Tahniah & Syabas Untuk Diana Amir Yang Banyak Berubah Setelah "Berhijrah" Posted: 30 Jul 2012 05:22 PM PDT KELAB GREENBOC Diana manfaat Ramadan dengan ibadah Kali pertama menyambut Ramadan selepas berhijrah tahun lalu pastinya memberi kelainan kepada pelakon cantik dan manis, Diana Amir. Diana atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim berkata, berbanding tahun sebelumnya, tahun ini dia dapat merasakan lebih ketenangan ketika menunaikan ibadah puasa. "Jika dibandingkan dengan sebelum ini, memang ketara perbezaannya. Malah, nikmat berpuasa lebih dirasai kerana saya benar-benar memberikan perhatian kepadanya sahaja. "Lagi pun dahulu bagi saya, berpuasa hanya menahan makan daripada lapar dan dahaga. Tetapi kini, saya sedar bulan ini memberikan seribu satu fadilat dan kelebihan," katanya kepada Zass. Jelas anak kelahiran Birmingham, England ini juga, dikesempatan yang ada, dia tidak ketinggalan melakukan pelbagai ibadah seperti melibatkan diri dengan aktiviti keagamaan. "Alhamdulillah, biasanya saya sering menerima undangan untuk memberikan ceramah mengenai hijrah di hari-hari biasa, tetapi di bulan Ramadan, saya tetap diberi peluang untuk berkongsi pengalaman," katanya. Pada masa sama, akui Diana, tahun ini dia turut berhasrat memenuhi solat Tarawih. "Kalau dulu saya tidak peka dengan ibadat yang perlu dilakukan ketika bulan Ramadan, tetapi tahun ini saya tidak mahu mengulanginya lagi. "Biarlah saya yang dahulu menjadi satu kenangan dan pengalaman. Kerana terlalu asyik mengejar tugas sebagai pelakon, saya mengabaikan tanggungjawab terhadap solat wajib dan solat Tarawih," katanya. Tolak tawaran seni Lari dari kebiasaannya, Diana juga mengambil peluang berehat sepenuhnya daripada karier seninya. "Bulan ini merupakan bulan terbaik untuk muhasabah dan mendidik diri, sebab itulah sepanjang menjalani ibadah puasa, saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan. "Bagi saya biarlah perhatian diberikan kepada aktiviti keagamaan sahaja. Lagi pun, bulan-bulan lain kita sudah sibuk bekerja," kata pelakon filem 7 Petala Cinta ini. Bagaimanapun, jelas Diana, dia tidak menolak sekiranya menerima undangan bagi aktiviti kebajikan seperti berbuka puasa bersama golongan memerlukan dan anak yatim. "Program kebajikan juga adalah cara kita mendekatkan diri dengan Allah SWT. Selain dapat menggembirakan insan yang kurang bernasib baik, kita juga dapat membuka mata serta hati golongan lain untuk turut bersama dalam program ini. "Saya yakin sebagai selebriti adakala apa yang dilakukan oleh kita menjadi ikutan. Dan biarlah, apa yang diikut itu adalah ke arah kebaikan," ujarnya yang berpeluang mengerjakan umrah buat kali pertama pada Jun lalu. Selain itu, Diana turut meluangkan masa sebanyak tiga kali seminggu untuk menghadiri kelas agama dan usrah. Berbuka dengan keluarga Bercerita menu pilihannya di bulan puasa, Diana berkata, dia tidak kisah untuk menikmati apa saja juadah ketika berbuka dan bersahur. "Walaupun menetap bersama kawan-kawan tetapi saya akan pulang ke rumah emak di Puchong untuk berbuka bersama mereka. "Jadi apa sahaja yang dimasak oleh emak, saya akan makan. Antara menu kegemaran saya seperti Masak Lemak Cili Padi dan Ayam Goreng Berempah," ujarnya. Sehingga kini, Diana berkata, dia masih belum berkesempatan berkunjung ke bazar Ramadan. "Saya jarang pergi ke bazar sementelah lagi emak sudah memasak banyak makanan di rumah. Selain boleh mendatangkan pembaziran, rasanya lebih baik saya bersederhana sahaja," kata anak keempat daripada tujuh beradik ini. Dalam perkembangan lain, Diana bakal muncul dengan filem terbarunya September ini yang berjudul Assalamualaikum Cinta, bergandingan bersama aktor, Kamal Adli. Menerusi filem itu, Diana memainkan peranan sebagai anak kepada seorang ustaz yang membantu Kamal Adli (seorang selebriti), untuk mendalami ilmu agama. -SH | ||
Kontroversi Hudud: DAP bersetuju dalam Negara Berkebajikan Posted: 30 Jul 2012 05:19 PM PDT Lim Guan Eng MCA dan Gerakan meneruskan serangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak jujur kononnya DAP menyokong PAS dalam perlaksanaan undang-undang hudud dan penubuhan negara Islam serta serangan peribadi yang menampakkan keadaan terdesak mereka untuk meraih kembali sokongan yang sudah hilang. Kedua-dua MCA dan Gerakan seakan-akan "pesalah yang melemparkan tuduhan dahulu" dengan cubaan mereka untuk menutup kegagalan untuk menuntut tindakan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong perlaksanaan hudud malah ke atas bukan Islam. Saya ingin mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang tidak menyokong perlaksanaan negara Islam di Malaysia dan perlaksanaan undang-undang hudud oleh PAS. Pendirian DAP ini konsisten dan tidak pernah goyah. Namun begitu, DAP dan PAS sama-sama berkongsi pendirian untuk memerangi rasuah dan penyalah gunaan kuasa serta perlaksanaan integriti dalam kepimpinan yang berteraskan prinsip cekap, akauntabel dan telus. Kita bersetuju dalam negara berkebajikan yang melindungi rakyat yang miskin, fakir, sakit dan sesiapa yang memerlukan bantuan. DAP dan PAS boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecah belahkan kita. Untuk sebab ini, DAP dan PAS telah menandatangani "dasar bersama" yang menyatakan kerangka kerjasama kita dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan PR masa depan. Jelas, "dasar bersama" tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan. Ini berbeza dengan UMNO Pulau Pinang yang telah memanggil untuk perlaksaan hudud di Pulau Pinang dan di serata negara. Malah ADUN Kemelah, Johor daripada UMNO Ayub Rahmat telah menyeru agar Johor menjadi negeri pertama untuk melaksanakan "undang-undang hudud sebenar", yang berbeza dengan versi PAS kerana "undang-undang hudud sebenar" UMNO akan merangkumi rakyat bukan Islam juga. Bukan sahaja Ketua Pembangkang Pulau Pinang Azhar Ibrahim tetapi Ketua Wanita UMNO Kepala Batas juga telah meluluskan ketetapan untuk menyokong undang-undang hudud untuk semua. Dalam erti kata lain, UMNO yang ingin melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam adalah lebih ekstrem berbanding PAS yang hanya ingin melaksanakannya ke atas orang Islam. Saya tidak kedengaran pemimpin-pemimpin tertinggi Gerakan mengutuk UMNO ataupun Presiden MCA Chua Soi Lek menggunakan kata-kata "sida politik" terhadap UMNO. Kenapa MCA atau Gerakan tidak meninggalkan BN atas sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap hudud untuk semua? DAP tidak akan menggunakan taktik jijik dan kotor yang digunakan oleh MCA dan Gerakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP. DAP tidak pernah menyalah gunakan imuniti parlimen untuk menonjolkan video seks Chua Soi Lek. Kami juga tidak menyerang Chua sebagai orang tidak bermoral yang mempimpin parti tidak bermoral. Kami juga tidak menjalankan kempen memburuk-burukkan sepertimana Gerakan buat terhadap saya dan keluarga saya. Malangnya, keberanian sedemikian tidak pernah ditunjuk oleh pemimpin-pemimpin Gerakan terhadap UMNO yang disokong penuh walaupun UMNO bagai tidak endah apabila gambar potret Presiden Gerakan Koh Tsu Koon telah dikoyakkan. Jangan kita lupa bahawa UMNO-lah yang telah mengharamkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab injil bahasa Melayu yang digunakan secara luas di Sabah dan Sarawak. Ini berbeza dengan PAS yang mengambil jalan sederhana yang membenarkan orang Kristian untuk menggunakan kalimah "Allah" seperti yang menjadi kelaziman selama beratus-ratus tahun di Timur Tengah dan Indonesia. Jelas terdapat perbezaan antara kerjasama DAP dengan PAS dan kerjasama MCA atau Gerakan dengan UMNO, apabila PAS dan UMNO dua-dua menyokong hudud dan negara Islam. PAS menyokong hudud secara terbuka dan tidak ingin melaksanakannya ke atas bukan Islam sementara UMNO hanya menyokong hudud untuk semua dalam media bahasa Melayu tetapi tidak dalam media bahasa Cina atau Inggeris. DAP bekerjasama dengan PAS atas prinsip bersama iaitu keadilan, kebebasan dan demokrasi dengan mata terbuka sedangkan MCA, MIC dan Gerakan menyerah diri kepada UMNO dengan mata tertutup. *Lim Guan Eng ialah Setiausaha Agong DAP dan ahli parlimen Bagan. | ||
Durian FM kini dimiliki orang rapat Najib Posted: 30 Jul 2012 05:16 PM PDT Pengasas Durian FM, Jamaluddin Ibrahim mengesahkan bahawa orang rapat Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Siew Ka Wei telah mengambil-alih 50% saham Durian FM. Pada masa yang sama, Jamaluddin Ibrahim menegaskan bahawa kedua-dua pihaknya mencapai persetujuan agar pihak Siew Ka Wei tidak campur tangan dalam kandungan rancangan radio internet tersebut. Daripada maklumat yang dipetik dari Reuters, Bursa, dan Alacrastore.com, Redberry Sdn Bhd di bawah syarikat Ancom telah membeli 50% saham Durian FM dengan harga RM1 pada awal Julai 2012. Pengakuan Jamaluddin Ibrahim hari ini telah mengesahkan laporan MerdekaReview pada 29 Februari 2012, walaupun Jamaluddin pada ketika itu menafikan khabar tersebut. Ketika ditanya wartawan MerdekaReview sejak bila rundingan antara dirinya dengan Siew Ka Wei bermula, beliau menjawab, "Bila rundingan berlaku?... emm...ini... Usahlah dimaklumkan hal ini." Wartawan menyusul lagi dengan soalan sama ada kandungan rancangan akan berubah pada masa depan, berikutan 50% saham Durian FM kini dipegang orang pro-Barisan Nasional, Jamaluddin Ibrahim berkata, "harap-harap tiada pengaruh (ke atas kandungan rancangan)." Sementara mendakwa pihak Siew Ka Wei tidak memiliki bidang kuasa untuk campur tangan dalam kandungan media, Jamaluddin Ibrahim juga "berharap" agar pihak Siew tidak campur tangan dalam kandungan mediannya. Di samping itu, Jamaluddin Ibrahim berkata kedua-dua pihaknya telah memeterai perjanjian, dan termaktub dalam perjanjian bahawa kandungan radio akan ditentukan Jamaluddin. Bagaimanapun, Jamaluddin tetap menegaskan bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab kepada kandungan rancangan radionya, pihak Siew tidak berkuasa untuk campur tangan dalam kandungan media sungguhpun memiliki 50% saham. Ketika ditanya sama ada beliau bimbang imejnya terjejas, memandangkan dirinya pernah dilihat sebagai penganalisa politik yang lantang bersuara, kini pula membuka pintunya kepada syarikat pro-BN. "Saya tak boleh halang pandangan orang terhadap diri saya," sebelum beliau menambah, "Usahlah label secara keterlaluan dia (Siew Ka Wei) orang siapa, mengapa nak buat benda ni... Benda komersial ini berlaku tiap-tiap hari, cuma dia ada keperluannya, dan saya pula ada benda yang ingin saya lakukan." Jamaluddin berkata, halatuju Durian FM tidak akan berubah pada masa depan, dan berharap radio ini akan menjadi lebih baik. Siew Ka Wei ialah salah seorang pemilik Kumpulan Redberry, dilihat sebagai orang yang rapat dengan Najib. Syarikat itu memiliki Malay Mail, Malaysian Reserve, dan juga pengendali Bernama TV. Selain itu, Siew Ka Wei ialah pemegang saham besar Ancom, 4758, AncomLB,0048,dan Nylex,4944. Durian FM ditubuhkan pada 8 Mac 2011, selepas Jamaluddin Ibrahim digugurkan dari rancangan call-in "Say Hi to Malaysia" di FM98.9 milikan MCA pada tahun 2010. Rancangan tersebut didakwa "mengutarakan hujah yang tidak sesuai dan bias", sehingga disiasat Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC). Susulan daripada kejadian tersebut, Star Rfm Sdn. Bhd milikan MCA mengambil langkah untuk menggantung jawatan (suspend) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO 98.8) Wong Lai Ngo, dan Pengarah Program (Director of Programming 98.8) Tan Chia Yong, sebelum memecat mereka kemudiannya. *Lim Kar Yin ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal. | ||
PAS Kedah sedia terima Mohd Sabu Posted: 30 Jul 2012 05:14 PM PDT Exco kerajaan negeri Datuk Hamdan Mohamed Khalib berkata, jawatan Timbalan Presiden PAS mewajarkan tokoh popular itu bertanding. PETALING JAYA: Beberapa pemimpin PAS Kedah mahu Mohd Sabu diberi peluang bertanding dalam pilihan raya umum ke 13. Exco kerajaan negeri Datuk Hamdan Mohamed Khalib berkata, jawatan Timbalan Presiden PAS mewajarkan yokoh popular itu bertanding. "Perjuangan Mohd Sabu dalam parti sangat konsisten termasuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu," katanya. ADUN Tanjong Dawai itu berkata, bagaimanapun, kata putus terletak di tangan pimpinan tertinggi dan ahli perlu mematuhi keputusan tersebut. Sementara itu, Ketua Muslimah PAS negeri, Siti Aishah Ghazali berkata, PAS Kedah tidak menyekat Mohd Sabu bertanding di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang. "Kita terima sesiapa sahaja bertanding di Kedah." "Kita ikut pemimpin. Kalau PAS pusat setuku mencalonkan Mohd Sabu bertanding di Kedah, kita terima," katanya yang juga seorang Exco kerajaan negeri. Bagaimanapun, Siti Aishah enggan mengulas lanjut dengan alasan beliau tidak terbabit dengan pemilihan calon lelaki. Mohd atau lebih dikenali dengan panggilan abang Mad menjadi spekulasi sama ada bertanding di Kedah dalam PRU 13. Bagaiamanapun, tokoh popular PAS itu bukan asing bertanding di Kedah kerana belau merupakan ahli Parlimen Kuala Kedah pada tahun 1999. | ||
Situasi di Sabah tanda kejayaan agenda reformasi Posted: 30 Jul 2012 05:09 PM PDT Azmin Ali menyatakan bahawa dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah. PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman, lalu menuntut reformasi yang tulen. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak menyatakan bahawa dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan. "PKR mengalu-alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing serta kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam sistem kenegaraan". "Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan negeri Sabah yang berani mengambil risiko. PKR tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah",jelas beliau. "Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Slogan 'Ini kali-lah' menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO dan (BN). Rakyat Sabah juga perlu menolak UMNO – BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia". "Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato' Seri Najib hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan untuk menepati janji". "Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar – dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita – cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat",ujar beliau lagi. "PKR turut mengalu – alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13". "Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang Insyaallah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya kerajaan rakyat negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13". | ||
Populariti PM macam pasaran saham Posted: 30 Jul 2012 05:03 PM PDT MALAYSIA CHRONICLE Tinjauan populariti Perdana Menteri Najib Razak oleh Merdeka Center bulan Jun lalu naik sikit dibandingkan bulan Mei. Pada keseluruhannya popularitinya jauh mengatasi Anwar Ibrahim. Populariti di kalangan Melayu dan India turun sikit tapi masih di atas 50 peratus. Yang mungkin menyenangkannya sokongan orang Cina naik sikit tapi masih sekitar 40 peratus saja. Apapun tinjauan pendapat adalah seperti pasaran saham, ada turun naiknya. Hari ini naik, esok ia boleh turun. Dua bulan dulu ia merudum, bulan ini melunjak. Jika ada agensi lain membuat tinjauan, lain pula penemuannya. Tinjauan pendapat di mana-mana pun, boleh diambil sebagai satu panduan bagi mengukur sesuatu keadaan tetapi ia tidak boleh dijadikan ukuran muktamat. Kadang-kadang kita boleh ditipu oleh penemuan itu. Contoh terbaik tinjauan pendapat yang popular di Britian tahun 1970 mendapati kerajaan Perdana Menteri Edward Heath dari Parti Konservatif punya harapan cerah memenangi semula pilihan raya sekitar Mei dan Jun. Bukan satu tinjauan kata begitu. Ia penemuan kebanyakan agensi tinjauan. Masyarakat barat memangnya prihatin dengan tinjauan seperti itu. Ia pun memanggil pilihanraya umum mengejut walaupun tempoh penggalnya masih ada hampir setahun lagi. Kerajaan Edward Heath kalah pilihanraya itu. Ada tinjauan pendapat yang tepat tetapi ambillah sebagai penyedap hati seperti kata peri bahasa Melayu, harap ada percaya tidak. Boleh terima tetapi jangan percaya sangat. Apapun tinjauan Merdeka Center itu adalah atas Najib sebagai Perdana Menteri. Kata Dr Ong Kian Ming dari Fakulti Ekonomi dan Sains Polisi UCSI, tinjauan tidak pula dibuat terhadap BN. Jika tinjauan tentang populariti BN dan Pakatan Rakyat mungkin lain pula. Dan seperti komen Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, tinjauan itu adalah atas peluang Najib menang pilihan raya, tinjauan tidak dibuat atas isu-isu yang berbangkit tentang persiapan pilihanraya oleh SPR. Kalau tinjauan dibuat tentang Bersih 3.0 mungkin popularity BN dan PR berbeza. Apa yang memungkin angka Najib naik dalam beberapa bulan ini ialah dia memberi tayar percuma kepada semua pemandu teksi, dia beri BRIM, dia beri cermin mata percuma kepada warga emas. Dan mungkin juga dia tidak banyak diikuti oleh isterinya ke mana-mana. Kata penyokongnya di Pekan, kalau PM balik ke Pekan sendiri masih ramai orang menyambutnya, tapi kalau isterinya ikut, hampir separuh kurang penyambutnya. Elok juga dibuat tinjauan tentang penerimaan orang Pekan kepadanya sekarang. Berapa peratus yang menyokongnya jika isterinya duduk diam di rumah seperti bondanya di zaman ayahndanya jadi PM? Betapa pula sambuntannya apabila isterinya sama menonjol sepertinya. Kita jangan buat ukuran ketika Perdana Menteri berjumpa orang India. Tentulah dalam majlis dengan orang India, 100 yang hadir orang India. Dan bila dia berjumpa orang Cina pula, tentulah yang menyambutnya semua orang Cina. Jika kita buat tinjauan pada masa itu maka penemuannya bukan 37 atau 40 peratus Cina dan India menyokongnya, tetapi 100 peratus. Penemuan yang diumumkan sekarang adalah terhadap batang tubuh Datuk Najib. Tidak diragu dia akan menang di mana-mana kawasan Melayu yang ditandinginya kecuali di Permatang Pauh. Tetapi calon BN yang lain belum ada jaminan. Popularitinya tidak menjamin kemenangan calon BN. Itulah sebabnya dia BN bersetuju dengannya untuk meletakkan calon boleh menang. Ong Kee Tiat sudah tidak ada apa-apa dalam MCA. Dia mungkin dikekalkan sebagai calon kerana dia mungkin menang. Dr Soi Lek adalah Presiden MCA, tetapi dia belum dijamin menang. Populariti Najib tidak menjamin BN menang di Kepala Batas dan Gua Musang kalau calonnya selain dari Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tengku Razaleigh Hamzah. Apapun penemuan Merdeka Center itu boleh menyedapkan hati penyokong Umno, Najib masih belum sedap. Dan bagi Pakatan pula ia mendorongnya bekerja lebih kuat. Merdeka Center mesti selepas ini mengeluarkan pula tinjauan bulan Julai, Ogos dan seterusnya hingga minggu kempen terakhir PRU 13 dengan isu yang berbagai seperti rasuah, pengundi asing dan lain-lain.-The Malaysian Insider | ||
Tidak mungkin saya berbohong - peserta Bersih Posted: 30 Jul 2012 04:58 PM PDT
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Perhimpunan Bersih 3.0 menegaskan bahawa beliau memberikan keterangan yang benar mengenai peristiwa yang dialaminya dan peserta lain di perhimpunan tersebut pada 28 April lalu. Goh Ban Huat, 48, (gambar) berkata, beliau faham dan tidak mungkin melanggar akuan bersumpah yang dibaca sebelum memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pemerhati pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini. "Tidak mungkin saya berbohong dalam keterangan saya. Saya tidak fikir kamu semua bodoh untuk mendengar cerita bohong saya," katanya yang merupakan saksi ke-18. Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemerhati dari pihak polis yang mengandaikan kemungkinan saksi menokok tambah dan mereka-reka cerita. "Adakah Encik Goh rasa saksi berpeluang untuk mengada-ngadakan atau mereka-reka cerita?" soal wakil polis yang kemudiannya mendapat teguran daripada panel. "Sebelum memberi keterangan saksi membacakan akuan bersumpah. Adakah Encik Goh faham akuan bersumpah itu?" soal salah seorang panel dan disusuli dengan jawapan, "Ya, saya faham" oleh Goh. Sebelum itu, Goh memberitahu, sepuluh orang polis menendang pintu sebuah hotel dan masuk ke lobi untuk menangkap peserta yang berada di dalam selepas lari menyelamatkan diri akibat tembakan gas pemedih mata oleh polis. "Polis mengarahkan semua orang keluar. Walaupun ada orang cakap 'ini tempat private', tapi polis tak endah. "Saya memberikan kerjasama yang baik kepada polis sebab tidak mahu dipukul tapi bila keluar saya ditumbuk dan ditendang di pinggang," katanya sambil menambah, pinggangnya bengkak dan ada kesan lebam berwarna biru. Tambah beliau lagi, semua peserta yang ditangkap dibawa ke Dataran Merdeka dan dibawa ke Pulapol kira-kira jam 7 malam. Sepanjang dikumpulkan di Dataran Merdeka, mereka tidak diberikan makanan mahupun minuman. "Saya nampak sudah ramai yang berada di Dataran Merdeka sewaktu saya sampai dan ada beberapa orang yang mukanya bengkak dan berdarah," katanya yang merupakan seorang guru. "Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan