Selasa, 24 Julai 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Isu pokok: Integriti SYABAS dan kerajaan persekutuan yang dipertikai

Posted: 24 Jul 2012 04:20 AM PDT



Kerajaan negeri Selangor dan SYABAS berbeza pandangan dalam isu sama ada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menghadapi krisis air.  Masalah pokok adalah integriti, keupayaan dan kebertanggungjawaban SYABAS dan kerajaan persekutuan yang dipertikai, lantas statistik yang dikemukakan juga diragui.  Wakil rakyat Pakatan Rakyat yang memperjuangkan isu air meminta agar NGO antarabangsa diundang untuk mengaudit perangkaan SYABAS, agar kesahihannya dikenalpasti.

Keadaannya begini, SYABAS dan kerajaan persekutuan dengan tegas mendakwa bahawa krisis air akan berlaku di Selangor, maka Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibina.  Namun kerajaan negeri Selangor mempertikaikan kesahihan hujah ini, malah khuatir bahawa setelah projek bernilai RM3.94 bilion ini dilaksanakan, tarif air akan melonjak 70%.  Oleh itu, kerajaan negeri enggan meluluskan projek ini.

Perangkaan yang dipetik SYABAS dan kerajaan persekutuan berasal dari laporan Kajian Sumber Air Negara bagi Semenanjung Malaysia yang disiapkan Unit Perancangan Ekonomi pada tahun 2000.  Laporan tersebut mendakwa bahawa negeri Selangor akan mengalami krisis air pada tahun 2012, 2013 dan 2014, jadi ia perlu menyalurkan air ke Selangor dari negeri Pahang, dan dibina Loji Rawatan Air Langat 2 untuk merawat air mentah.

Namun demikian, The Coalition For Sustainable Water Management pada April 2009 telah mempertikai kesahihan laporan Kajian Sumber Air Negara bagi Semenanjung Malaysia, seterusnya mempertikaikan keperluan penyaluran air melangkaui sempadan negeri.  Pada masa yang sama, gabungan ini meminta agar laporan ini mengkaji semula angka keperluan air dan pertambahan populasi.

Kerajaan persekutuan tidak membalas permintaan gabungan tersebut, bertegas untuk meluluskan projek Loji Rawatan Air Langat 2, malah mendesak agar kerajaan negeri Selangor memberi lampu hijau kepada projek ini sebelum akhir tahun ini, atau negeri Selangor akan berdepan dengan krisis air.  Baru-baru ini, SYABAS yang dikuasai Puncak Niaga - syarikat yang rapat dengan UMNO-Barisan Nasional telah mendakwa bahawa ada perlunya untuk melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Ulu Langat dan Klang, memperlihatkan semakin kuatnya tindakan desakan dari kerajaan persekutuan.

Tindakan SYABAS mengumumkan keperluan catuan air sebelum mendapat kelulusan SPAN telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.  Kerajaan negeri Selangor dan pemimpin Pakatan Rakyat melihat ia sebagai taktik untuk mengugut agar kerajaan negeri Selangor meluluskan Loji Rawatan Air Langat 2.

Mengundang NGO antarabangsa

Ketika dihubungi MerdekaReview, ahli parlimen Klang Charles Santiago yang memperjuangkan isu air sepanjang ini berkata, masalah yang terpampang di depan mata sekarang adalah, statistik keperluan air dan bekalan kesemuanya datang dari SYABAS.  Tiada orang yang mengetahui kesahihannya.

Charles Santiago (gambar kanan) berpendapat, seharusnya pihak ketiga yang berkecuali seperti International Water Association atau Netherland National Water Company hadir ke loji rawatan air SYABAS untuk mengkaji, agar memperolehi statistik yang paling jitu.  "Jika tidak, apa yang didengar, termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, setiap orang adalah statistik (yang dibekalkan) SYABAS.  Oleh kerana mereka mahu memburuk-burukkan kerajaan negeri Selangor, mereka mungkin mereka angka palsu."

Ketika ditanya sama ada Selangor perlu membina Loji Rawatan Air Langat 2, Charles Santiago secara terus-terang berkata, ia bergantung sama ada keperluan telah meningkat.  Beliau menganggap, SYABAS sengaja mereka "krisis" kerana kerajaan Selangor enggan memperuntukkan tanah untuk pembinaan loji.  Untuk Charles, penyelesaian yang lebih baik adalah mempertingkatkan sistem rawatan air yang sedia ada, untuk merawat lebih banyak air.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) Piarapakaran S pula menganggap kerajaan negeri Selangor seharusnya mempertimbangkan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2, kerana ia akan membekalkan sumber air yang mencukupi untuk Selangor, maka tidak perlu bimbang masalah kekurangan bekalan air, dan ada baki untuk mengurangkan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water-NRW).

Piarapakaran S (gambar kiri) berkata kepada MerdekaReview, menurut kajian persatuannya, seandainya keperluan air Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) bertambah dengan kadar 2% hingga 2.5%, maka kemungkinan besar Selangor akan mengalami krisis air pada tahun 2014.  Mengurangkan Air Tidak Terhasil tidak membawa kesan dalam jangka pendek.  Oleh itu, untuk mengelakkan keadaan di mana keperluan melebihi pembekalan, maka kerajaan negeri seharusnya bersetuju untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2.

Namun demikian, Charles Santiago berkata, adalah mustahil untuk AWER memiliki statistik dirinya.  Maka perangkaannya datang dari SYABAS, dan dengan itu ia berdepan dengan persoalan sama ada angka itu sahih atau tidak. (Bahagian pertama, bersambung)


*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview, Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 19 Julai 2012.

Pakatan: Seminggu untuk tukar tema ‘Janji Ditepati’

Posted: 24 Jul 2012 04:11 AM PDT

 
Slogan 'Janji Ditepati' itu tidak munasabah kerana ia bersifat peribadi untuk penyokong BN sahaja. 




KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat memberi tempoh masa seminggu kepada kerajaan menukar tema Hari Merdeka kepada yang lain kerana ianya tidak menggambarkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapa Ali berkata, slogan 'Janji Ditepati' itu tidak munasabah kerana ia bersifat peribadi untuk penyokong Barisan Nasional (BN) sahaja.

"Kami berikan tempoh seminggu. Kalau tidak kita akan cadang satu tema lain yang lebih sesuai untuk seluruh rakyat," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas mengadakan mesyuarat mingguan Majlis Setiausaha Parti Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Turut hadir Bendahari PAS Dr Hatta Ramli, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar, Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok, Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong serta Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang Zairil Khir Johari.

Dr Dzulkefly berkata pihaknya khuatir jika 80 peratus rakyat tidak keluar menyambut Hari Merdeka disebabkan slogan itu.



Katanya, Pakatan yakin dengan adanya 48 peratus undi popular berpihak kepada mereka sudah cukup membuktikan kegagalan yang signifikan pada sambutan Hari Merdeka pada tahun ini.

Sementara itu, Tian Chua berkata cadangan slogan baru itu juga nanti tidak akan menggambarkan sokongan kepada Pakatan tetapi  sebaliknya ia bersifat inklusif.

"Itu terpulang kepada rakyat sama ada mahu terima cadangan slogan Pakatan atau BN," katanya.

Henti burukkan imej Bersih!

Posted: 24 Jul 2012 04:08 AM PDT

 
Keputusan mahkamah mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai 'tidak haram' pagi tadi sangat adil sekaligus mempertahankan hak kebebasan rakyat untuk berhimpun. 




KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa supaya menghentikan propaganda memburukkan imej Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) sebagai haram dan mengancam keselamatan negara.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai 'tidak haram' pagi tadi itu sangat adil sekaligus mempertahankan hak kebebasan rakyat untuk berhimpun.

"Tahniah kepada A Samad Said, Ambiga, dan pemimpin lain yang berani tunjukkan pendirian tegas.

"Harap tiada lagi tuduhan berniat jahat menggambarkan pertubuhan Bersih sebagai jahat, perosak, perusuh atau didalangi komunis," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Bendahari PAS Dr Hatta Ramli berkata, keputusan mahkamah itu tepat memandangkan Bersih dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang sah dan hanya bertujuan untuk membangkitkan isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Hishammuddin pada 1 Julai 2011 bahawa Bersih adalah haram dan menyalahi undang-undang.

Hakim Rohana Yusof ketika membaca keputusannya berkata Bersih telah berjaya membuktikan kes dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Beliau juga memutuskan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri sebagai 'tercemar'.

Pada 1 Julai 2011, Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengisytiharkan gabungan itu sebagai haram, lapan hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai diadakan.

Hilang modal berpolitik 


Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan dan menggunakan Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburukkan Pakatan Rakyat dianggotai komunis dan pengganas.

Teresa berkata tuduhan Hishammuddin itu hanya menunjukkan beliau sudah hilang modal berpolitik kerana tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan komunis dengan Pakatan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin yang mendakwa pihaknya mengesan beberapa elemen Jemaah Islamiah (JI) cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis yang cuba meresapi DAP.

Sementara Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, kenyataan Cawangan Khas itu hanya mahu mengalih pandangan rakyat mengenai isu kenaikan kadar jenayah yang semakin membimbangkan.

"Kita minta nilai sendiri rekod Menteri Dalam Negeri yang bertangungjawab melepaskan lebih 1,000 penjenayah tegar di bawah Ordinan Darurat yang akhirnya diakui polis telah meningkatkan kadar pelakuan jenayah dan dalam masa yang sama tak pedulikan tahanan ISA yang mogok lapar," katanya.

Guan Eng gesa Najib perlu arah Umno P. Pinang kembalikan RM5 juta kepada rakyat

Posted: 24 Jul 2012 03:57 AM PDT

KUALA LUMPUR — Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengarahkan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang untuk segera memulangkan kembali keuntungan mereka dalam penjualan tanah milik Melayu di negeri terbabit.

Lim dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, Najib perlu mengarahkan Timbalan Pengerusi Umno negeri berkenaan, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengarah Pilihan Raya BN negeri itu Datuk Omar Faudzar supaya memulangkan sejumlah RM5 juta yang diperolehi mereka yang bertindak selaku "broker" dalam urusan jual beli tanah melibatkan 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

"Walaupun tindakan kedua-dua pemimpin Umno ini tidaklah haram, tindakan mereka sebagai broker tanah untuk menjual tanah Melayu untuk keuntungan peribadi yang sepatutnya dimiliki pemilik tanah Melayu adalah tidak bermoral dan tidak berprinsip, kata Lim dan menambah,"apatah lagi apabila mereka mendakwa kononnya mempertahankan hak tanah Melayu."

Menurut kenyataannya, Setiausaha Agung DAP itu menjelaskan, kedua-dua pemimpin berkenaan telah beroleh keuntungan melampau sehingga 57 peratus hanya dalam masa tiga bulan setengah apabila menjadi broker untuk jual beli tanah antara penduduk kampung dengan Kay Pride Sdn Bhd apabila melalui syarikat milik mereka Maison Heights Sdn Bhd.

"Tanah dipindah milik daripada 31 pemilik tanah Melayu kepada Maison Heights Sdn Bhd pada 31 Januari lalu dengan jumlah harga RM8.6 juta ... Maison Heights kemudiannya telah menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn Bhd pada 16 Mei 2012 dengan harga RM13.5 juta.

"Adakah ini caranya pemimpin Umno mempertahankan hak Melayu? ... dengan mengaut keuntungan yang sepatutnya dimiliki orang Melayu biasa?" tegasnya lagi.

Lim turut menegaskan, beliau juga masih lagi menantikan jawapan daripada kedua-dua pemimpin Umno itu bagaimana "keuntungan bernilai RM5 juta itu boleh membawa manfaat kepada pemilik tanah Melayu tersebut."

Jelas pemimpin DAP ini lagi, Najib juga perlu tampil untuk kredibiliti Umno dengan mengarahkan kedua-dua pemimpin itu untuk memulangkan keuntungan RM5 juta yang diperoleh kepada 31 pemilik tanah Melayu.

"Jika mereka adalah broker tanah yang tulen, mereka berhak untuk mendapat komisyen pada kadar pasaran iaitu 2 peratus ataupun RM270,000 dan bukan RM5 juta ataupun kadar komisyen 57 peratus!"

Pendedahan skandal pencatutan tanah oleh pemimpin Umno ini juga jelas Lim "membuktikan kemunafikan Umno yang mewar-warkan mereka adalah pejuang hak Melayu tetapi sebenarnya merupakan penggadaikan hak mereka."

"Ini jelas membuktikan, bukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR), tetapi Umno sendiri yang telah menggadaikan tanah Melayu."

Bersih harus saman kerajaan kerana keganasan semasa demonstrasi, kata Tony Pua

Posted: 24 Jul 2012 03:54 AM PDT



Situasi perhimpunan Bersih 2.0 di hadapan Puduraya, Kuala Lumpur. Gambar diambil 9 Julai 2011. – Gambar fail oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR— Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) harus menyaman kerajaan terutama Menteri Dalam Negeri atas keganasan yang berlaku semasa demonstrasi, memandangkan ia kini adalah sebuah pertubuhan yang sah, kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pagi ini.
 "Apabila Bersih 2.0 telah dibuktikan oleh mahkamah sebagai sebuah pertubuhan yang sah, pentadbiran Najib harus menjawab segala tohmahan dan segala tindakan pegawai polis kerana menahan orang yang berbaju kuning disamping merampas baju Bersih melalui sekatan jalan raya di sekitar bandar raya pada hari tersebut.

"Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, selaku Menteri Dalam Negeri, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) haruslah memohon maaf atas apa yang berlaku, apabila pegawainya bertindak kasar dalam dua demonstrasi Bersih 2.0 yang hanya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Kini organisasi tersebut mempunyai hak untuk menuntut keadilan untuk membawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM ke muka pengadilan atas kerosakan, kecederaan dan malu atas apa yang berlaku," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Pada 9 Julai 2011, kira-kira 20,000 penunjuk perasaan berdemonstrasi menuntut pilihan raya yang lebih adil serta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, terutamanya mereka yang disyaki sebagai pengundi hantu.

Sementara pada perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April tahun ini, pihak penganjur mendakwa lebih 200,000 orang hadir dalam demonstrasi tersebut dan ribuan para penunjuk perasaan ditahan polis.


Pihak polis mengawal peserta perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur. Gambar diambil 9 Julai 2011. – Gambar fail oleh Choo Choy May
Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, media propaganda Umno tiada strategi hingga menyatakan Bersih 2.0 adalah pertubuhan haram yang salah di sisi undang-undang.
 "Saya tidak terkejut dengan keputusan ini kerana saya tahu Bersih 2.0 adalah satu pertubuhan yang sah.

"Tetapi, media perdana yang dikuasai Umno suka memburukkan Bersih dengan menggunakan garis politik mereka.

"Saya akan tunggu dan lihat bagaimana media mereka akan 'spin' tentang isu ini," kata Rafizi yang ditemuramah dalam sidang media hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin berkata ini adalah kemenangan rakyat dan satu aspirasi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya menyeru agar Barisan Nasional supaya hentikan kritikan kepada Bersih memandangkan ia adalah pertubuhan yang sah dari segi undang-undang," kata Sim.

Catuan air hanya gimik politik, kata exco S'gor

Posted: 24 Jul 2012 03:48 AM PDT

MALAYSIA KINI
 
 
 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak untuk membincangkan isu Selangor kerana ketika menjadi menteri besar Johor, beliau telah menjadikan tarif air di negeri itu antara yang tertinggi di negara ini, dakwa ahli exco Selangor, Elizabeth Wong.

NONEKerana itu, Wong (kanan) berhujah bahawa Muhyiddin tidak sepatutnya mempengerusikan jawatankuasa khas kabinet mengenai perkara itu.

"Sebenarnya (timbalan perdana menteri) tiada pengalaman dan tidak menyumbangkan sebarang idea bernas dalam pengurusan air," kata Wong dalam satu kenyataan semalam.

Wong menambah bahawa Johor mempunyai tarif air yang tertinggi di negeri ini.

"Rakyat Johor berdepan dengan tarif air pada kadar tidak munasabah dan tidak mungkin menerima air percuma seperti di Selangor," katanya.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat.

M'sia alami peningkatan pertama kadar kemiskinan sejak 1999

Posted: 24 Jul 2012 03:46 AM PDT

MALAYSIA KINI
 
 
 
Malaysia mengalami sedikit peningkatan dalam kadar kemiskinan antara 2007 dan 2009, yang pertama sejak berakhirnya krisis kewangan Asia pada tahun 1999, demikian mengikut kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan.

Kadar kemiskinan naik daripada 3.6 peratus pada 2007 kepada 3.8 peratus pada 2009 manakala kadar kemiskinan tegar kekal pada 0.7 peratus.

Menurut Laporan Tinjauan Kemudahan Asas dan Pendapatan Isi Rumah dan 2009, insiden kemiskinan di Malaysia menunjukkan trend yang menurun sejak 1995, kecuali pada tahun 1999 dan 2009. Hal ini mungkin disebabkan oleh krisis kewangan yang melanda negara pada dua tahun itu.

Antara negeri-negeri, Sabah masih mendahului senarai dengan kadar kemiskinan 19.7 peratus, diikuti oleh Perlis (6 peratus), Sarawak dan Kedah (masing-masing 5.3 peratus).

Garis kemiskinan pendapatan berbeza di rantau yang berbeza, dan penanda aras yang digunakan oleh kaji selidik itu ditunjukkan dalam carta (bawah).

bagaimanapun, laporan itu tidak menyediakan penanda aras bagi miskin tegar.

Kajiselidik itu meliputi 45,805 keluarga di seluruh negara dari April 2009 hingga Mac 2010 dan mengandungi statistik mengenai pengagihan pendapatan isi rumah, kemudahan asas dan insiden kemiskinan di Malaysia.

Ini adalah kali pertama kajiselidik itu, yang dijalankan dua kali dalam setiap lima tahun, telah dikeluarkan untuk tatapan umum.

Umno Melaka: Blogger tidak rayu tuntutan gaji RM24,370

Posted: 24 Jul 2012 03:45 AM PDT

Zulaikha Zulkifli


 
Seorang pentadbir di Pejabat Perhubungan Umno Melaka berkata mereka tidak menerima sebarang rayuan daripada penulis blog Ahmad Faisal Mohd Yunos yang menuntut tunggakan bayaran gaji sebanyak RM24,370 daripada pejabat itu.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata Ahmad Faisal, 44, perlu mengemukakan rayuan dan bukti berhubung tuntutan berkenaan untuk membolehkan perkara itu dipertimbangkan oleh pejabat tersebut.

"Dia tak ada buat rayuan jadi benda ini tak ada isu. Kalau ada kes, (sepatutnya) balik pada bekas majikan dan buat rayuan. Mungkin majikan boleh mempertimbangkan.

"Tapi blogger tersebut perlu buktikan betul atau tidak dakwaan dia itu. Di pejabat tidak ada apa-apa yang dibimbangkan. Tak terima rayuan jadi tiada isu," kata sumber tersebut ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan bahawa Ahmad Faisal dilantik sebagai pegawai khas dan ketua unit IT di pejabat parti politik tersebut, dan beliau ditugaskan untuk menulis blog untuk parti yang tidak dinamakan dalam laporan berkenaan.

Dalam laporan itu, Ahmad Faisal berkata beliau menerima surat lantikan pada 13 Mei 2008 yang menyatakan gaji bulanannya sebanyak RM3,000.

Bagaimanapun, parti tersebut membayar kurang RM1,000 kepadanya setiap bulan, yang berjumlah RM38,000 untuk tempoh 38 bulan.

Gajinya kemudiannya ditahan sejak Mei 2011, selepas pengurusan pejabat tersebut bertukar kakitangan sejak awal tahun lalu, dakwanya seperti dipetik akhbar berkenaan.

Dua bulan kemudian, beliau diberikan surat pemberhentian kerja pada Julai, yang diterimanya dengan syarat jumlah tertunggak itu dilunaskan, dakwanya.

Menurut Ahmad Faisal, parti politik tersebut membayar sebanyak RM11,330 pada 20 Disember tahun lalu, selepas ditolak sebanyak RM2,300 yang dipinjamnya.

Namun, sejumlah RM24,370 lagi masih belum dibayar kepadanya, dakwanya.

Dakwanya, majikannya itu memberi alasan bahawa jumlah berkenaan ditolak daripada kos peralatan yang diberikan kepadanya ketika beliau berkhidmat sebagai kakitangan.

Dakwanya, peralatan itu melibatkan tiga komputer riba, sebuah kamera kompak dan beberapa barangan lain.

Tambahnya, beliau bersedia untuk memulangkan peralatan tersebut jika gajinya dibayar sepenuhnya.

PKR persoal kontrak kafe untuk pemimpin Pemuda MIC

Posted: 24 Jul 2012 03:38 AM PDT

Ahmad Fadli KC


 
PKR mempersoalkan kontrak untuk mengendalikan kafeteria di institut pengajian tinggi milik parti berkenaan yang didakwa diberikan kepada ketua Pemuda MIC Pulau Pinang, J Dhinagaran.

Setiausaha Biro Polisi dan Strategi Kebangsaan PKR, S Gobi Krishnan mendakwa tender berkenaan membolehkan syarikat yang menjalankan kafeteria tersebut mencatat keuntungan lebih RM20 juta.

Beliau mendakwa kontrak untuk mengendalikan kafeteria berkenaan diberikan tanpa tender terbuka kepada syarikat Jaya Cafe Holdings Sdn Bhd, tidak berapa lama selepas Dhinagaran dilantik ke syarikat berkenaan.

Gobi turut mendedahkan dokumen yang mendakwa, syarikat tersebut mencatat keuntungan sehingga RM20,452,720 – jumlah yang didakwa patut diperolehi terus oleh institut terbabit – Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST).


"Apakah asas melepaskan kontrak dalaman yang begitu lumayan dan menyumber-luarkannya kepada pemimpin Pemuda MIC tanpa tender terbuka?," soalnya.

Gobi juga mendakwa, syarikat berkenaan membuat tuntutan bayaran berlebihan daripada MIC sebanyak RM 498,185 bagi tahun 2007 dan 2008  untuk perkhidmatan katering yang disediakan kafeteria itu.

Beliau mendakwa, syarikat berkenaan menuntut bayaran lebih daripada jumlah penuntut sebenar di universiti AIMST.

"Apakah tindakan yang diambil AIMST University untuk mendapatkan semula jumlah ini dan memastikan ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang?," soalnya.

Beliau juga mendakwa, AIMST Universiti kerugian sebanyak RM867,609 bagi tahun 2007 sehingga 2009 kerana kadar kutipan sewa yang rendah daripada sepatutnya.

Beliau mendakwa, AIMST mengutip sewa untuk ruang sebanyak 1,224 kaki persegi sahaja sedangkan ruang sebenar disewa adalah 8,652 kaki persegi.

"Apakah jawapan daripada MIC berhubung perkara ini?," soalnya.

Sokong penubuhan, tolak usul sayap parti

Posted: 24 Jul 2012 03:34 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim 
 
 
SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan kembali majlis ulama Umno boleh dipertimbangkan kerana usaha ini akan menggabungkan Ulama dan Umarak (pemimpin) dalam satu badan berkecuali.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, cadangan menjadikan majlis ulama sebagai sayap parti tidak wajar dilaksanakan.

Menurutnya, kewujudan majlis ulama inisiatif baik kerana Umno memerlukan golongan ini sebagai jambatan kepada hubungan antara ulama dengan pimpinan lain.

"Saya rasa dalam parti pembangkang ada parti yang mewujudkan dua sudut pandangan pemimpin iaitu, ulama memberi nasihat kepada umarak.

"Seharusnya golongan ini dikumpulkan untuk memberi pandangan mereka berkaitan dengan Islam," katanya.

Beliau mendakwa, kebanyakan pelajar lulusan agama dari Timur Tengah tidak memahami perjuangan kerajaan, hentam kerajaan dan menuduh kepimpinan Umno sebagai sekular dan tolak Islam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron berkata, usul mewujudkan semula majlis ulama adalah baik, namun beliaucadangkan golongan itu menjadi komponen dalam parti bagi mendukung kumpulan sayap pergerakan politik.

"Ulama seharusnya ada sebagai pelengkap kepada perkara berkaitan agama yang tidak melibatkan parti.

"Kita tak mahu kehadiran mereka dianggap seperti Pas yang halalkan cara pemimpin tidak bermoral untuk melakukan kekacauan, sekali gus mengundang persepsi buruk terhadap ulama," katanya.

Katanya, kepimpinan ulama tidak boleh mengia perkara tidak betul dan bersifat lebih politik daripada ahli politik.

Penonton bola sepak terkena mercun saman FAM, 3 lain

Posted: 24 Jul 2012 03:33 AM PDT

SINAR HARIAN

FAM
FAM
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang pereka grafik yang mengalami kecederaan mata kekal ekoran terkena mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak pada Julai tahun lepas, hari ini memfailkan saman RM776,000 terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ketua Polis Selangor dan dua lagi.

Ahmad Jazimin Mohd Jalaludin, 30, memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan N.M Main & Associates di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau menamakan FAM sebagai defendan pertama, Ketua Polis Selangor sebagai defendan kedua manakala Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga hingga keempat.

Menerusi penyata tuntutan beliau mendakwa mengalami kecederaan pada mata kanannya ketika menonton perlawanan bola sepak prakelayakan Piala Dunia 2014 melibatkan pasukan negara Malaysia dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai tahun lepas.

Ahmad Jazimin yang turut hadir di mahkamah, mendakwa beliau dan penonton lain memasuki stadium tanpa melalui apa-apa saringan atau pemeriksaan badan oleh penjaga pintu masuk ataupun anggota polis.
  
Beliau mendakwa ketika kejadian kira-kira 8.45 malam, satu mercun telah jatuh di tempat duduk penonton dan meletup hingga mengenai mata sebelah kanannya.

Ahmad Jazimin mendakwa pihak FAM gagal mematuhi piawaian dan standard penganjuran perlawanan bola sepak antarabangsa yang ditetapkan oleh pihak Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) sepanjang perlawanan tersebut.

Tambahnya defendan kedua dan ketiga gagal menempatkan anggota polis mencukupi bagi tujuan keselamatan di pintu masuk untuk mengekang percubaan membawa masuk bahan dan objek terlarang ke dalam stadium.

Ahmad Jazimin menutut ganti rugi am RM100,000, ganti rugi khas kehilangan upaya pendapatan RM576,000, ganti rugi has RM100,000, faedah, kos dan relif lain.

Sementara itu peguam Nik Mohamad Anuar Badiruddeen memberitahu pemberita writ saman akan diserah kepada defandan dalam tempoh 14 hari. - Bernama

Peserta 'buta' beri keterangan di inkuiri Suhakam

Posted: 24 Jul 2012 03:31 AM PDT

 
S Pathmawathy


 
Seorang peserta perhimpunan BERSIH 3.0 mungkin tidak dapat menceburi kerjaya sebagai jurutera mekanikal apabila diagnosis klinikal menunjukkan beliau buta setelah terkena satu kanister gas pemedih mata.

Asrul Wadi Ahmad, 27, terkena kanister gas pemedih mata di mata kirinya ketika menghadiri perhimpunan pada 28 April.

NONEBeliau memberitahu panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa beliau tamat pengajian daripada Universiti Tun Hussein Onn pada Februari.

Sejurus selepas itu, Asrul berkata beliau ditemuduga untuk jawatan pembantu jurutera di sebuah firma di Pulau Pinang dan mendapat surat pelantikan selepas insiden berkenaan pada 28 April.

Katanya, firma pada awalnya memberi lanjutan seminggu kepada tarikh melaporkan diri untuk bekerja dan kemudiannya tempoh itu dilanjutkan lagi selama sebulan.

Asrul berkata, beliau kemudiannya terpaksa memberitahu firma itu bahawa keadaan matanya hanya dapat dipastikan dalam tempoh enam bulan.

"Mereka (majikan) kata penglihatan sangat penting dalam skop kerja dan mereka perlu mempertimbangkan semula tawaran itu," kata Asrul.

7 tahun tiada air di kawasan PM

Posted: 24 Jul 2012 03:27 AM PDT

Khairil Abdul Rahim,


(Melihat tangki yang tidak menghasilkan air di Pekan)


PEKAN: "Kami hidup macam zaman sebelum merdeka, malu rasanya berada dalam parlimen dua orang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib dan Tun Razak).

"Nak disembunyikan, kami sudah tidak mampu. Pihak berkenaan hanya berjanji dan terus berjanji... masalah ketiadaan air tetap tidak dapat diselesaikan."

Begitulah bunyinya rungutan Hasni Omar, seorang penduduk Taman Sepekan Makmur dekat sini, yang kecewa dengan Ahli Parlimen mereka yang juga Presiden Umno serta pemimpin tempatan yang gagal membela nasib mereka mengatasi masalah ketiadaan bekalan air.

Dalam aduannya kepada media, beberapa orang penduduk  di taman perumahan yang mempunyai 248 buah rumah itu telah mengalami masalah ketiadaan air sejak tujuh tahun yang lalu.
Menurut mereka, meskipun sudah berkali-kali masalah itu diajukan kepada pelbagai pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri sendiri, namun hingga kini masih belum diselesaikan.

"Pada awalnya kami bersabar, namun selepas pinjaman perumahan mula dipotong daripada gaji kami maka terpaksalah berpindah ke sini kerana tidak mampu membayar sewa rumah lain.

"Banyak kali kami adukan masalah ini kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang kini dah jadi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) namun tiada tindakan dibuat.

(Tangki ada tetapi air yang takda di kawasan PM ini)

"Sampai bila kami harus terus jadi mangsa keadaan. Mujurlah setakat ini belum ada lagi mana-mana penghuni yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan dan sebagainya.

"Bayangkan jika ada, sudah pasti keadaan akan lebih merumitkan. Kami terpaksa memunggah air dari sungai berdekatan atau dari rumah saudara mara setiap hari. Teruk kami, tujuh tahun hidup begini.

"Rumah yang kami beli ini bukan rumah kos mewah cuma rumah kos sederhana dan kos rendah sahaja yang mana kebanyakan pembeli berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kami terpaksa menanggung pembiayan bank sejak 2006 lagi dan ada pembeli yang tak sanggup tinggal di sini terpaksa menanggung rumah sewa diduduki sekarang," kata beliau lagi.

Sementara itu tinjauan mendapati segala kelengkapan untuk pengurusan bekalan air sudah disediakan.

Menara tangki, pam dan kipas juga sudah pun disiapkan sejak sekian lamanya oleh pemaju, namun air tetap tidak dibekalkan kepada penduduk hingga menyusahkan mereka.

Menurut penduduk, mereka difahamkan masalah timbul apabila pemaju taman perumahan terbabit iaitu Sepekan Sdn Bhd didakwa telah melanggar syarat dan membuat pembinaan tangki tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh PAIP.

"Tangki air taman perumahan terbabit didakwa tidak mengikut piawaian yang ditetapkan maka itu kebenaran tidak diberikan.

"Kini struktur semuanya sudah disiapkan, saluran paip pun sudah siap, tangki bawah dan pam semua sudah ada cuma kelulusan sahaja tidak diperolehi," katanya.

Ada pula yang berkata ia berpunca apabila pemaju dikatakan membeli tangki sedangkan kos berkaitan tidak dibayar sepenuhnya kepada pembekal.

Justeru, pembekal tidak mengeluarkan surat kepada pemaju sedangkan dalam masa yang sama PAIP perlukan surat tersebut untuk proses kelulusan.

Penduduk mengatakan, masalah mereka telahpun acap kali diadukan kepada Pegawai Daerah Pekan, Adun Peramu Jaya dan setiausaha politik Najib di Pekan.

Mereka berjanji untuk selesaikan, namun hingga kini tidak ada sebarang penyelesaian dilakukan.

"Apa lagi yang dapat kami lakukan jika tidak mendedahkannya kepada media? Cuba bayangkan jika masalah seperti kami ini berlaku dalam negeri Pakatan Rakyat," tegasnya.

Lebuh Raya Rakyat terima sumbangan pelajar UK

Posted: 24 Jul 2012 03:22 AM PDT

Salmah Mat Husain,



KOTA BHARU: Mahasiswa Malaysia di luar negara khususnya United Kingdom (UK) dan Ireland turut menyumbang untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat oleh kerajaan Kelantan.

Sebanyak RM8,000 dikumpul oleh pelajar jurusan perubatan untuk diserahkan pada kerajaan negeri untuk menjayakan pembinaan jambatan itu yang bakal dibina tidak lama lagi.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh wakil pelajar berkenaan, Mohammad Azli Omizi, 21, Mohd Azam Omizi, 23 dan Azri Che Hassan, 21 kepada anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Azli ketika ditemui memberitahu, sumbangan berkenaan sebahagian besarnya diberikan oleh pelajar Kelantan jurusan perubatan di dua universiti tersebut.

"Ianya adalah tanggungjawab kami untuk melihat projek untuk rakyat itu berjalan baik," ujarnya.

Sementara itu, Husam pada sidang medianya semalam berkata, sumbangan orang ramai melalui online untuk pembinaan lebuhraya itu sudah meningkat RM1 juta.

Menurutnya pelbagai pihak telah menyalurkan sumbangan untuk menjayakan pembinaan itu, termasuk individu, syarikat koprat, anak Kelantan di perantauan, golongan artis dan berbagai lagi.

Semalam kita juga menerima sumbangan daripada KGT sendiri.

"Malah pada 4 Ogos ini dengan kerjasama dengan kumpulan media dengan dibantu anak Kelantan di perantauan akan menganjurkan program memungut derma untuk tujuan yang sama," ujarnya.

Pembinaan Lebuh Raya Rakyat sejauh 73 kilometer untuk fasa pertama yang menelan kos RM1.8 juta itu terpaksa dibina sendiri oleh kerajaan negeri berikutan Kerajaan Pusat menarik balik pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.

Guan Eng jadikan rai berbuka puasa tugas rutin

Posted: 24 Jul 2012 03:20 AM PDT

Mohd Sabri Said,

(Lim Guan Eng berbuka bersama Mujahid dan Salleh)

PULAU PINANG: Seperti biasa sebagaimana di tahun-tahun sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak lepas peluang melangkah mendaki tangga masjid, surau atau pun dewan semata-mata untuk meraikan majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam.

Beliau lazimnya akan datang bersama rombongan dari pejabatnya, wartawan akhbar Cina dan sebahagian Exco Kerajaan Negeri berbangsa Tiounghua tidak segan silu untuk makan bersama kepimpinan parti PAS dan PKR.

Beliau juga kadang-kadang bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta masyarakat sekitar dengan duduk bersila, tanpa menggunakan sudu dalam keadaan sentosa dan harmoni.

Beliau mula menghadiri majlis berbuka puasa ketika PAS Negeri Pulau Pinang mengadakan majlis di Restoran Nasi Kandar Kassim Mustaffa, Seberang Jaya.

Waktu itu Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman menjemput beliau selaku Ketua Menteri untuk merasai bersama kenikmatan Umat Islam menanti saat-saat berbuka.

Ramai kepimpinan PAS berbagai peringkat hadir di hari tersebut.  Ada yang rasa terkejut melihat kesudian Lim Guan Eng untuk pertama kalinya duduk semeja menikmati juadah berbuka.

Itulah kelainan PAS yang tiada dalam parti lain kerana sanggup melebarkan kebaikan Bulan Ramadhan kepada masyarakat bukan Islam sebagai tanda mereka juga layak merasai apa yang Umat Islam laksanakan ketika bulan yang penuh dengan keberkatan ini.


(Di samping berbuka, Guan Eng juga memberikan sumbangan)

Peristiwa di tahun 2008 merupakan sejarah yang sukar dipadam sebab itulah kali pertamanya PAS menjemput seorang Ketua Menteri yang bukan Islam dengan harapan menjadi contoh pada pihak lain atau kepimpinan masyarakat lain agar tidak menyempitkan skop dakwah yang hanya tertumpu pada percakapan semata-mata.

Sebaliknya perbuatan mengajak masyarakat bukan Islam hadir ke majlis berbuka puasa, mendengar tazkiran pendek, mendengar kuliah sempena bulan keagungan Islam dan sebagainya.

Ia adalah satu tugasan yang mungkin dianggap baru selepas fenomena tsunami politik yang menyaksikan Pakatan Rakyat menguasai beberapa negeri termasuk Pulau Pinang yang selama ini berketua menterikan bukan Islam.

Semalam sekali lagi, Lim dan rombongan diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh PAS Negeri di Restoran D' Pauh Garden, Jalan Permatang Pauh berhadapan dengan Politeknik Permatang Pauh.

Kali ini di bawah kepimpinan Datuk Saleh Man yang meneruskan kelangsungan sikap yang ditunjukkan oleh bekas Pesuruhjaya PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Permatang Pasir dari tahun 1999 sehingga 2008.

Cara pendekatan Allahyarham ketika itu banyak digali hasil pengalaman perjuangan bersama Allahyarham Ustaz Haji Zabidi Ali, pesuruhjaya PAS sebelum ini.

Selepas daripada menghadiri majlis bersama PAS ketika itu Lim Guan Eng dikatakan kerap dijemput berbuka puasa di serata masjid dan surau.

Yang anehnya, beliau tidak pernah menolak sebaliknya memenuhi undangan berkenaan walaupun ada di kalangan Umno menabur fitnah kerana terlalu dengki ekoran kegagalan mereka melakukan perkara
yang sama terhadap Koh Tsu Koon.

Lim selalu berkata ketika diberikan peluang berucap bahawa beliau rasa seronok berada dalam majlis seumpama ini dan berasa bangga dengan Umat Islam kerana sanggup tidak makan dan minum di siang hari semata-mata kerana menuruti kehendak Islam.

Jika berada dalam majlis sumbangan kepada para Huffaz pula beliau pastinya mengatakan syabas kepada golongan yang boleh menghafal ayat-ayat Al Quran dalam tempuh setahun, dua tahun dan sebagainya.

Hafalan bukan perkara mudah dan sukar dilakukan jika sekiranya mereka tidak minat, mempunyai hati yang bersih dan pemikiran jernih.

Itulah kelainan yang ada pada Ketua Menteri Pulau Pinang yang melancarkan konsep Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) serta menjadikan pemerintahan Omar Abdul Aziz sebagai pedoman yang tidak mengamalkan rasuah, kepentingan diri, penyalah gunaan kuasa dan berhati rakyat.

Isu JI-komunis: DAP dakwa Hishammuddin muflis modal politik

Posted: 24 Jul 2012 03:19 AM PDT

WARTAWAN SINAR HARIAN

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
 
 
KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah ketandusan modal politik dan memburukkan imej Pakatan Rakyat (PR) kerana mengaitkan parti itu dengan bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) dan pengaruh komunis.

"Saya menyeru Hishammuddin supaya beliau bertanggungjawab berhubung isu ini.

"Beliau selaku menteri tidak harus menggunakan kuasa yang ada pada dirinya menggunakan nama polis untuk memburukkan PR," kata Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok menyentuh kenyataan Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dan kenyataan susulan Hishammuddin minggu lalu.

Mohd Sofian antara lain berkata, Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Mohd Sofian berkata, terdapat pengganas JI pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Teresa berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini.

Hishammuddin sebelum ini berkata, kenyataan dikeluarkan adalah fakta yang disiasat melalui satu cawangan khas yang ditubuhkan.

"Melalui laporan diterima daripada cawangan khas, ini adalah ancaman kepada keselamatan negara," katanya.

Menurut pemimpin DAP itu, isu ini hanya isu lapuk dan tidak harus dibangkitkan semula semata-mata bagi kepentingan Barisan Nasional (BN).

"Jelas beliau menyalah gunakan kuasa mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas itu," katanya.

Tambahnya, Hishammuddin sendiri tidak berjaya menurunkan kadar jenayah negara ini dan tidak wajar menyalahkan PR.

"Jangan gunakan kuasa anda sebagai menteri untuk menyalahkan parti lawan," tegasnya.

Harga kereta munasabah antara janji manifesto PRU13 PR

Posted: 24 Jul 2012 03:17 AM PDT

Jamilah Hamzah

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
 
 
PETALING JAYA - PKR berjanji menjadikan harga kereta yang tidak membebankan rakyat sebagai manifesto dalam Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, dasar automotif Umno-Barisan Nasional (BN) dilihat banyak memberi tekanan kepada rakyat dengan mengenakan cukai-cukai yang tidak munasabah.

Menurutnya, harga kereta yang menjadi beban rakyat akan dijadikan intipati manifesto PR supaya kos pembiayaannya dikurangkan.

"Harga kereta yang menggunakan dasar automatif BN-Umno ini memang menjadi beban kepada rakyat.

"Sepatutnya harga kereta yang perlu ditanggung oleh rakyat hanyalah harga kereta bukan ada cukai yang berkali ganda," katanya pada sidang media pagi ini.

Rafizi berkata, PR berjanji beban harga kereta ini akan dijadikan perkara pertama untuk diberi perhatian pihaknya menang PRU13.

"Kita berjanji rakyat tak akan tanggung beban dari harga kereta yang sangat tinggi akibat daripada cukai-cukai yang dikenakan.

"Kita sudah bincang dalam PKR dan dalam PR telah dibincangkan di peringkat tertinggi, dan itu diserahkan kepada pemimpin PR untuk laksanakannya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Sim Tze Tzin berkata, generasi muda boleh menghantar atau mencadangkan sebarang idea baru untuk dimasukkan  dalam manifesto PR.

"Kita minta mereka yang ada idea baru, yang boleh dijadikan salah satu bahagian dalam manifesto melalui e-mel kepada kami," katanya.

Tarik cacian, gugur dakwaan pada peserta Bersih – PAS

Posted: 24 Jul 2012 03:13 AM PDT

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Ekoran keputusan Mahkamah  yang membatalkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram, PAS menyeru para pemimpin BN untuk menarik balik tuduhan jijik mereka pada Bersih selama ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa Bersih adalah satu pertubuhan yang sah selama ini.

"Memang sah Bersih bukan diwakili pertubuhan haram dan peserta himpunan tidak menggunakan senjata," kata beliau secara ringkas kepada Harakahdaily.

Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa  Ali pula menyeru semua pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik balik tuduhan dan cacian jijik mereka terhadap Bersih dan peserta himpunan Bersih selama ini.

"Segala yang mereka pernah tuduh secara jijik terhadap Bersih dan para pesertanya perlu ditarik balik kembali secepat mungkin. Dan ini termasuk kenyataan Najib yang menggelar peserta Bersih sebagai mufsidun," katanya.

Mustafa juga berkata BN seharusnya berhenti daripada mengelirukan rakyat terhadap Bersih.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Hishammuddin Hussein pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang.

Hakim Datuk Rohana Yusof ketika membacakan keputusannya hari ini berkata, Bersih telah berjaya membuktikan kes dalam mencabar pengisytiharan kerajaan.

Beliau juga memutuskan perisytiharan Menteri Dalam Negeri sebagai 'tercemar'.

"Oleh itu, kami membenarkan permohonan pemohon (untuk semakan kehakiman perisytiharan kerajaan) dengan tiada perintah tentang kos," katanya.

14 Anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih yang diketuai oleh Ambiga Sreenevasan telah menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Selain dari Ambiga, plaintif termasuk Dr Ahmad Farouk Musa, S Arul Prakkash, K Arumugam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Andrew Khoo Chin Hock, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, SP Subramaniam.

Turut serta adalah Toh Kin Woon, Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh, Yeoh Yong Woi dan Zaid Kamaruddin.

Pada 1 Julai tahun lalu, Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan gabungan itu menyalahi undang-undang, sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar menyeru Najib, Hishamuddin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia, terutamanya peserta Bersih dengan serta-merta.

"Semua kes pendakwaan terhadap peserta Bersih mesti digugurkan, ekoran bermula dari provokasi tuduhan bahawa Bersih adalah satu pertubuhan haram," kata ahli parlimen Pokok Sena itu.

Ulama Muda Umno boleh tanding PRU13

Posted: 24 Jul 2012 03:11 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
 
SHAH ALAM – Walaupun majlis ulama tidak menjadi sayap parti Umno, Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) masih boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, ini berdasarkan peraturan bahawa mereka yang bergelar ahli parti layak memberikan nama untuk bertanding.

"Tiada masalah, siapa-siapa yang jadi ahli Umno boleh menjadi calon, malah individu daripada Ilmu lebih berpeluang untuk bertanding dalam PRU13," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Ilmu boleh bertanding dalam PRU13 walaupun cadanganmenjadikan majlis ulama sebagai sayap parti tidak menjadi kenyataan.

Sebelum ini, Pengerusi Ilmu, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Ilmu tidak menolak kemungkinan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya sekiranya mendapat lampu hijau dari kepimpinan pusat.

Menurutnya, Ilmu sedia menghulurkan bantuan jika diperlukan parti, bagaimanapun beliau menegaskan pihaknya bukan jenis yang meminta-meminta, tetapi sedia membantu jika diperlukan bagi memperjuangkan prinsip Islam.

Kecoh ikan gergasi masuk kampung

Posted: 24 Jul 2012 03:08 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Nizam (kanan) bersama penduduk lain menaikkan bangkai ikan arapaima yang dijumpai di sungai itu.
Nizam (kanan) bersama penduduk lain menaikkan bangkai ikan arapaima yang dijumpai di sungai itu.
 
 
BALING - Penduduk setempat di kawasan Kampung Lubuk Pedati kecoh setelah menjumpai ikan gergasi iaitu jenis arapaima sepanjang 1.5 meter yang terdampar di dalam sungai berdekatan kampung itu kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.

Ikan air tawar terbesar di dunia itu dijumpai berdeka-tan tebing sungai sebelum ia dikerumuni penduduk kampung yang melalui kawasan sungai itu.

Kebanyakan penduduk kampung terkejut kerana pertama kali melihat ikan bersaiz luar biasa itu terdampar di dalam sungai tersebut.

Penduduk, Nizam Hussin, 48, berkata, kemungkinan ikan gergasi sering dijumpai di Sungai Amazon itu dibuang oleh pihak tertentu sebelum hanyut ke kawasan perkampungan penduduk.

"Siapa yang tidak terkejut melihat ikan bersaiz gergasi di dalam sungai ini. Lagipun, penduduk tidak pernah terserempak dengan ikan ini sebelum ini. Disebabkan itu, ada kalangan penduduk yang terkejut," katanya.

Katanya, memang ada penduduk yang memelihara ikan itu sebelum ini, tetapi tidak pasti ikan yang terdampar berkenaan adalah miliknya ataupun tidak.

"Selain itu, ada juga yang pihak yang mengatakan ikan berkenaan terlepas  dan mati di dalam sungai ini semasa banjir di Baling baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, walaupun apa pun, ikan seperti itu tidak seharusnya dibuang begitu sahaja ke dalam sungai kerana ia boleh  mengakibatkan pencemaran bau.

"Saya yakin ikan ini telah mati beberapa hari lalu be-rikutan baunya yang busuk," katanya.

Ikan yang mampu mencecah berat sehingga 200 kilogram ini antara yang semakin diancam kepupusan beriku-tan nilai harganya yang tinggi di pasaran gelap.

Keadaan mengakibatkan kerajaan seperti Brazil mengharamkan penangkapan ikan tersebut secara komersial bagi mengelakkan kepupusan ikan unik itu.

Hipokrit, MoU bukti Umno jalin hubungan dengan komunis

Posted: 23 Jul 2012 10:35 PM PDT

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menempelak sikap hipokrit pemimpin Umno BN yang tidak mengaku menjalinkan hubungan dengan komunis.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, Umno BN terang-terangan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China (CPC) pada Oktober tahun lalu.

"Saya nasihatkan supaya pemimpin Umno BN tidak hipokrit dalam isu ini," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, Umno dalam sejarahnya tidak pernah menjalinkan hubungan dengan golongan fahaman komunis.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid bercanggah dengan laporan Umno Online yang menyatakan pemeteraian MoU bertujuan mengeratkan hubungan kedua-dua parti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, salah satu kandungan dalam MoU itu ialah penukaran pegawai parti untuk mempelajari pelaksanaan program kedua-dua parti.

Adnan berkata, dalam perjanjian itu, Umno dan CPC bersetuju untuk meningkatkan hubungan sosioekonomi antara China dan Malaysia.

Malah beliau turut membezakan antara fahaman komunis dahulu dan komunis yang terdapat di China sekarang.

Mengulas isu itu, Tian berkata, kedua-dua fahaman komunis tersebut tidak berbeza kerana mengamalkan dasar yang sama.

"Tetapi dasar komunis kini sudah berubah. Komunis sekarang lebih terbuka dan menjalinkan hubungan perdagangan dengan banyak negara luar. Ia berlaku disebabkan peredaran dunia.

"Justeru Malaysia bebas menjalinkan diplomatik dengan mana-mana fahaman termasuk komunis. Saya tidak hipokrit dalam isu ini dan tidak pertikai hubungan antara Umno dan CPC.

"Tapi saya persoalkan mengapa Umno menuduh Pakatan (Rakyat) diresapi fahaman komunis kononnya pada era penjajahan. Fahaman itu tidak relevan. Kalau fahaman itu masih ada, bermakna komunis di China sekarang juga menganuti fahaman yang sama," katanya.

Menurut Tian, Umno kini kehabisan modal untuk menakut-nakutkan rakyat hingga menggunakan isu komunis untuk menyemai kebencian rakyat terhadap Pakatan.

Polis didesak ambil tindakan terhadap keganasan MIC

Posted: 23 Jul 2012 10:34 PM PDT

Oleh Norutul Ilham


BRICKFIELDS : Polis didesak supaya mengambil tindakan terhadap dua laporan berkenaan kes pukul Ketua Cabang Puchong, S Murali dan ugutan terhadap Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.



Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Dickson, M Ravi yang kesal dengan sikap tidak peduli polis menyifatkan pihak berkuasa itu sengaja tidak mahu mengambil tindakan kerana melibatkan sekutu Umno Barisan Nasional (BN).

"Apa yang berlaku pada Murali di Putrajaya yang diserang, tapi tiada tindakan diambil. Sehingga kini tiada tangkapan. Dia dipukul dan dibelasah, dan apa yang berlaku pada Surendran, laporan polis juga dibuat tapi tiada tindakan.

"Saya minta polis siasat dan tangkap tidak kira parti. Jangan tuduh kami buat laporan polis sebab mahukan sokongan orang ramai. Kami sudah ada sokongan, tidak perlu lagi," kata Manikavasagam pada sidang media di sini hari ini.

Pada 2 Mei lalu, rombongan KEADILAN ke Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan Mykad pelajar Reshina Bathumanan, 17, diserang samseng MIC yang diketuai Ketua Pemudanya, T  Mohan, menyebabkan Murali dan Gobi Krishnan luka parah.

Surendran pula pada 10 Julai lalu menerima ugutan kiriman pesanan ringkas (SMS) dihantar individu berkait rapat dengan MIC.

Sementara itu, Ravi yang menyifatkan kedua-dua kes berkenaan bukan perkara baru dan mendakwa parti itu dipenuhi samseng yang diupah bagi menjaga pemimpin mereka.

"Saya nampak isu gangster semakin meningkat walaupun polis cakap ia menurun. Polis langsung tak ambil tindakan, polis layan rakyat biasa dengan dwistandard.

"Polis tolong bertindak segera, jalankan tugas dengan adil. Contoh isu Murali yang kena pukul. Kalau ikut undang-undang, kalau kita tampar orang pun kita masuk tiga hari lokap, tapi ini masuk lima hari wad, tapi tetap tiada tindakan daripada polis," tegasnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Penerangan Selangor, K Gunasekaran turut menempelak tindakan Timbalan Biro Masyarakat MIC, Datuk Ramanan yang membuat laporan polis menuduh Surendran membuat laporan palsu berhubung ugutan yang diterimanya.

"Bagaimana beliau boleh tuduh Surendran buat fitnah, sedangkan dalam SMS yang diterima beliau tertera perkataan MIC, lepas itu tuduh pula Surendran sengaja mencari publisiti dengan cara pintu belakang.

"Ini kenyataan yang tidak bermoral, mungkin kerana Ramanan baru dalam politik, jadi kita imbas kembali sejarah MIC membuktikan bahawa MIC dipenuhi gangster, ini dapat dibuktikan apabila Muralili dipukul oleh Pemuda MIC," katanya.

Air percuma: Syabas untung RM11 juta tiap bulan, apa nak lagi?

Posted: 23 Jul 2012 10:28 PM PDT

Oleh Masdar Wahid


SHAH ALAM: Exco Selangor, Rodziah Ismail mendesak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan negeri kerana syarikat itu gagal bekerjasama walaupun memperoleh RM11 juta setiap bulan hasil pemberian air percuma kerajaan negeri kepada rakyat.




"Dasar kerajaan Selangor memberi air percuma kepada rakyatnya turut menguntungkan Syabas yang menerima RM11 juta setiap bulan, namun syarikat itu enggan pula bekerjasama dengan kerajaan negeri.

"Jika Syabas tiada idea untuk bagaimana mengurus air tanpa rakyat dikenakan kos tinggi berterusan, maka berilah laluan kepada kerajaan negeri untuk menguruskannya," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan itu dalam kenyataan.

Syabas juga dituntut  tidak menjadi dalang utama dengan cuba menyekat bekalan air di Selangor yang terus menghalang umat Islam mempertingkatkan ibadah mereka dalam bulan Ramadhan ini.

Rodziah berkata, walaupun pencatuan air yang ingin dilaksana Syabas terpaksa ditarik balik, namun, isu itu tidak pernah dibincang syarikat itu bersama kerajaan negeri.

"Catuan air tidak wajar dilaksana dalam keadaan umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

"Sempena Ramadhan al-Mubarak dan menjelang Syawal, situasi itu (catu air) amat menyulitkan rakyat, khususnya wanita yang merupakan nadi rumah tangga yang memerlukan bekalan air saban hari," kata beliau.

Polis ‘samun’ rantai emas peserta Bersih

Posted: 23 Jul 2012 10:25 PM PDT

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR 24 Julai: Saksi pertama sidang kelima siasatan awam Bersih 3.0 hari ini memberitahu, selain dibelasah, polis turut merampas rantai emas yang dipakainya.



Menurut Leong Siew Meng, 34, kejadian itu berlaku di Jalan Parlimen ketika beliau dikejar sekumpulan polis.

"Polis tarik baju saya, masa itu saya pakai rantai emas," kata Leong.

"Rantai itu menjadi ketat di leher saya akibat ditarik polis. Kemudian saya terpaksa buka rantai tersebut," kata beliau.

Leong berkata, seorang daripada polis terbabit serta merta merampas rantai dan memasukkan ke dalam poketnya.

Leong turut menceritakan beliau juga menerima tendangan sangat kuat di bahagian belakang badannya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Badan Peguam Malaysia dan polis turut hadir sebagai pemerhati.

Pimpinan UMNO makin terdesak, kali ini ugutan tragedi 13 Mei

Posted: 23 Jul 2012 10:13 PM PDT

Roketkini.com




KOTA KINABALU: DAP mencadangkan penubuhan jawatankuasa kebangsaan yang dianggotai semua parti politik dan NGO utama untuk memastikan tragedi hitam 13 Mei tidak akan berulang.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mengemukakan cadangan itu berkata, beliau masih menunggu respon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau juga menanti jawapan kedua-dua pemimpin itu terhadap cadangannya untuk Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bekerjasama bagi memastikan dan menjamin bahawa tragedi 13 Mei tidak akan berulang dalam pilihanraya umum akan datang.

"Jika Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berjanji dengan ikhlas untuk memastikan tragedi 13 Mei tidak akan berulang dalam pilihanraya umum yang akan datang, ertinya, peristiwa hitam ini pasti tidak akan berlaku.

"Mengapa Muhyiddin dan Najib masih membisu sekiranya mereka berdua tidak mahu tragedi 13 Mei berulang?" soal beliau dalam satu kenyataan di Tenom, Sabah, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur telah mendedahkan bahawa UMNO dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa kini menggunakan fitnah dan taktik kotor 4R iaitu "Race, Religion, Malay Rulers and Riots" (Kaum, Agama, Raja Melayu dan Rusuhan (ancaman 13 Mei) untuk terus menyerang DAP dan Pakatan Rakyat.

Katanya, fitnah dan 4R itu menjadi modus operandi UMNO-BN bagi menghadapi pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah negara ini dalam usaha terdesak mereka untuk kekal berkuasa.

Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun yang lalu, puak-puak propagandis UMNO dengan menggunakan dan memanipulasi media arus perdana serta media sosial dan alam-alam sesawang, telah menggunakan taktik kotor 3R iaitu Race, Religion and Malay Rulers (Kaum, Agama dan Raja Melayu) untuk menfitnah dan menghitamkan DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Raja Melayu.

Namun, jelas beliau, ia tidak banyak memberi kesan kepada rakyat kerana teknologi maklumat yang lebih telus berjaya membuktikan tohmahan UMNO adalah palsu dan fitnah.
"Sejak penubuhan 46 tahun yang lalu dalam 1966, DAP telah memberi komitmen untuk menjadi parti politik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau negeri.

"Dalam pilihanraya 1969 yang pertama kali ditandingi DAP, kami telah meletakkan calon-calon Melayu di mana dua calon Melayu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri – satu dari negeri Perak dan satu lagi dari Negeri Sembilan.

"DAP juga mempunyai beberapa Ahli Parlimen dari kalangan orang Melayu, terutama sekali bekas Presiden CEUPACS Ahmad Nor yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang.

"Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa DAP menjadi parti terkemuka sebagai parti se-Malaysia dengan cawangan-cawangan yang telah ditubuhkan serta beroperasi berlandaskan rukun politik bukan sahaja di semua negeri di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak," tambah beliau.

Menurut Kit Siang, semua usaha itu menyangkal terus serangan senjata 3R UMNO terhadap DAP dengan melabelkannya sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja Melayu yang jelas tiada kredibiliti atau asas.

"Sokongan DAP terhadap sistem raja-raja berperlembagaan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan kerana Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat jelas menunjukkan komitmen ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS untuk menghormati, menyokong dan menjunjung cirri-ciri asas perlembagaan – termasuklah peruntukan atau provisi berhubung dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan sistem rara-raja Melayu", tambahnya.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada pemimpin UMNO dan puak-puak propagandis mereka yang telah sedar bahawa senjata fitnah 3R mereka terhadap DAP sudah gagal, maka  kini mengeluarkan senjata keempat dengan ancaman satu lagi R iaitu rusuhan sekiranya UMNO-BN kehilangan kuasa persekutuan dalam pilihanraya umum akan datang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: