Ahad, 17 Jun 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Agensi Kerajaan Didakwa Kenakan Bayaran Untuk Borang BR1M

Posted: 17 Jun 2012 12:41 AM PDT

Kota Galanggi – Dua penduduk Orang Asli Kampung Sematau, dekat sini, mendakwa mereka dikenakan bayaran RM100 oleh kakitangan sebuah agensi kerajaan hanya untuk mengisi dua keping borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Gambar: Rahmat (kiri) bersama beberapa penduduk menyatakan kekesalan terhadap penipuan pihak ketiga hingga nama mereka tercicir daripada menerima BR1M.

Rahmat Abdullah, 37, berkata, lelaki itu turut mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM20 kepada menantunya sebagai kos pos borang tersebut ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia menjelaskan bayaran itu kerana menyangka kos tersebut sudah ditetapkan untuk perkhidmatan berkenaan.

"Lebih mengecewakan saya dan menantu tidak terpilih sebagai penerima bantuan RM500 tersebut selepas membuat permohonan.

"Saya berasa tertipu dan terus menunggu walaupun pemberian BR1M dilakukan fasa demi fasa kepada penduduk di bawah Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar," katanya.

Dia berkata, ramai penduduk kampung terpilih menerima BR1M kecuali dia dan menantu yang masih menunggu untuk fasa berikutnya.

"Saya bimbang berlaku keciciran lalu sekali lagi ke pejabat tersebut bersama menantu untuk mendapatkan borang dan mengisi permohonan baru.

"Bagaimanapun kami dikenakan bayaran tambahan RM10 bagi setiap borang diisi ketika itu," katanya.

Rahmat berkata, namun sehingga kini mereka berdua belum berpeluang mendapatkan RM500 tersebut.

"Kami tertipu dan kesal kerana ada pihak memanipulasikan keadaan dengan menindas orang lain untuk mendapatkan wang dengan mudah," katanya.

Dia berkata, kini semua fasa pemberian BR1M sudah selesai, namun dia, menantu dan beberapa penduduk Orang Asli lain masih gagal menerima bantuan tersebut.

"Saya kesal kerana kami semua tercicir daripada senarai penerima BR1M. Saya terpaksa menyara seramai 14 anak dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga.

"Lebih mengecewakan apabila wujudnya pihak ketiga yang mengambil kesempatan terhadap kami dengan mengenakan bayaran sedangkan perkara itu tidak berlaku kepada pemohon BR1M di kawasan lain," katanya.

"Saya kesal kerana kami semua tercicir daripada senarai penerima BR1M. Saya terpaksa menyara seramai 14 anak dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga.

"Lebih mengecewakan apabila wujudnya pihak ketiga yang mengambil kesempatan terhadap kami dengan mengenakan bayaran sedangkan perkara itu tidak berlaku kepada pemohon BR1M di kawasan lain," katanya. -SH

Kubur Guru Wanita Digali Semula

Posted: 16 Jun 2012 11:07 PM PDT

Tumpat – Bapa kepada seorang guru wanita yang meninggal dunia dua hari lalu terpaksa reda kubur anaknya itu terpaksa digali semula oleh polis di Tanah Perkuburan Islam Lada, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.

Anggota Forensik mengeluarkan mayat Balqis apabila kuburnya digali semula untuk siasatan punca kematiannya di Tanah Perkuburan Islam Lada Wakaf Bharu, semalam.

Bapa Allahyarham, Shamsuddin Yusoff, 63, terpaksa akur dengan prosedur siasatan polis dan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat anak sulungnya itu, Balqis, 40.

Khamis lalu, Balqis dikatakan mati mengejut dipercayai akibat sakit jantung di rumahnya di Taman SBJ Pasir Pekan, di sini.

Kematian disedari oleh salah seorang anaknya pada pagi Khamis lalu yang masuk ke dalam bilik tidur untuk mengejutkan arwah bangun tetapi didapati arwah sudah meninggal dunia.

Shamsudin berkata, polis curiga kematian anaknya itu dan untuk menyiasat punca sebenar kematiannya, kubur itu terpaksa digali semula.

Kubur itu digali oleh sepasukan anggota Forensik Polis Kelantan kira-kira jam 5 petang yang turut dihadiri Imam Masjid Wakaf Bharu, Wan Ahmad Nazree Abdul Halim; Majistret Tumpat, Ahmad Adha Amir Yasin dan juga Jabatan Agama Jajahan Tumpat.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret Tumpat untuk menggali semula kubur guru wanita itu.

"Semalam kita telah menerima laporan oleh bapa si mati mengatakan arwah meninggal dunia disebabkan dipukul oleh suaminya. Oleh itu pihak polis terpaksa menyiasat dan pohon
perintah majistret untuk menggali semula kubur berkenaan.

"Jenazah tersebut dihantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu. -SH

[WAJIB BACA] Haji-PRU: Penjelasan Mantap Presiden PAS

Posted: 16 Jun 2012 09:30 PM PDT

Haji dan politik

Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.

Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.

PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.

Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.

Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.

Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.

Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.

Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.

Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulahpilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.

PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini.

PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.

Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Mufti Perlis: Mengundi Pada Pilihanraya Itu Wajib Untuk Beri Kekuatan Kepada Umat Islam

Posted: 16 Jun 2012 07:05 PM PDT

Haji-PRU: Usah Wujudkan Fitnah, Keliru

Shah Alam – Mengadakan pilihanraya umum dalam musim ibadat haji adalah tidak wajar kerana ia boleh mendatangkan fitnah kepada umat Islam.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, mengundi pada pilihan raya wajib dan perlu diutamakan untuk beri kekuatan kepada umat Islam.

Menurutnya, umat Islam akan terus lemah politiknya jika kerajaan mengambil tindakan tidak adil secara menyeluruh kepada mereka.

"Janganlah mewujudkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam dalam soal ibadat mereka kerana kecelaruan dan perangai kurang cerdik orang-orang politik," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, semua pihak perlu menunggu bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diumumkan dahulu sebelum mempersoalkan mengenai hukum menangguhkan haji jika waktu PRU13.

"Jika benar ia diumumkan dalam musim haji nanti, baru kita menyatakan hukum kerana bercakap mengenai hukum terhadap perkara yang belum berlaku agak kurang cerdik dan boleh mendatangkan huruhara," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid kelmarin bahawa membatalkan niat menunaikan fardu haji kali pertama adalah haram.

Sebelum ini, Mohd Tamyes berkata, jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi, sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji maka matinya dalam keadaan jahiliah.

Mohd Tamyes berkata demikian susulan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya (Pas) menangguhkan niat menunaikan haji pada tahun ini bagi memfokuskan kepada PRU13.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin, menegaskan haji bukan ibadat yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam. -SH

Nik Aziz setuju penyokong PAS tangguh haji

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju jika penyokong parti PAS membatalkan niat untuk menunaikan haji jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mengeluarkan arahan rasmi supaya mereka berbuat demikian, kerana ia terserah kepada pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata Islam tidak mewajibkan mereka pergi mengerjakan Haji setelah nama mereka tersenarai sebagai jemaah haji oleh Tabung Haji pada tahun berkenaan.

"Malah, Nabi Muhammad sendiri menunaikan haji pada tahun ke-10, sedangkan ayat mengenai wajib haji turun pada tahun ke enam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MASS CPR (cardiopulmonary resuscitation) peringkat Negeri anjuran St John Ambulans Malaysia (SJAM) di Kota Baharu, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata ibadah haji boleh dilakukan bila-bila masa, walaupun ia wajib dan menjadi rukun Islam kelima.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam portal propembangkang, meminta anggota PAS yang terlibat secara langsung dengan pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji.

Mengenai kerajaan PAS Kelantan menarik balik larangan wanita menyertai tilawah Al-Quran selepas lebih 20 tahun larangan itu dikuatkuasakan, Nik Abdul Aziz berkata perkara itu boleh berubah bergantung kepada keadaan semasa kerana kebanyakan umat Islam kini sudah memahami mengenai agama dan adat sopan dalam masyarakat.

Kerajaan PAS Kelantan mula melarang wanita menyertai tilawah Al-Quran di semua peringkat selepas mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini pada 1990.

Ia menimbulkan isu sehingga ia dibantah oleh Persatuan Qari dan Qariah negeri ini yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula larangan itu.
- Bernama


Gambar Ini Bukti Nyata PAS Sudah Diterima Oleh Kaum Tiong Hua

Posted: 16 Jun 2012 05:07 PM PDT



Gambar di atas bukti nyata kaum Tionghua sudah tidak takut dengan PAS dan PAS sudah boleh bertapak di mana-mana.

Kelab Penyokong PAS Tiong Hua in Kedah. Those who think Chinese r afraid of PAS.... Think again!!! Stop spreading BN Lies & BN Propagandas to create fear to hinder Unity among Malaysians! U know who U r :) -FB

[HOT] Belum Pernah Ada PM Yang Takut Dengan Pilihanraya Selain Najib

Posted: 16 Jun 2012 08:47 AM PDT

Dr M pun tidak mampu selamatkan diri, apa lagi kamu, Najib: PRU masih tertunda!

Bagaimana boleh jadi begini? Bagaimana UMNO yang mempunyai 3 juta ahli, menjadi pemerintah selama 5 dekad, dengan kejayaan demi kejayaan seperti yang diakui para pemimpinnya, masih tidak pasti jika pilihanraya ke 13 patut diadakan atau tidak.

Tidak hairanlah jika akar umbi parti dan panglima UMNO menunding jari pada perdana menteri Najib Razak yang juga merupakan presiden UMNO. Ada dikalangan pemimpin yang akan mempertahankannya. Ia terpulang padanya, dialah boss, ia adalah keputusannya. Namun, yang lebih ktitis terhadapnya akan menyalahkannya - ini semua salah Najib kerana tidak mempunyai keyakinan pada dirinya sendiri dan rakyat untuk memberi Umno-BN mandat untuk memerintah selama 5 tahun lagi.

Biarpun mereka menyokong atau menentang Najib, pilihanraya umum ke-13 yang lambat tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun. Ekonomi global sedang mengecut dan pasaran saham Asia sedang merundum. Menambahkan ketidaktentuan politik akan memburukkan lagi keadaan ini. Paling menyedihkan, rakyat Malaysia yang masih menyokong kepimpinan lemah yang tidak mampu berubah kerana perbalahan dalaman partinya sendiri iaitu UMNO dan ini sememangnya akan menuju kehancuran.

Belum pernah ada PM yang takut akan pilihanraya

Jadi, mengapakah Najib begitu gerun akan pilihanraya umum ke-13? Jika pemerhati Umno betul, BN masih boleh mendapatkan kemenangan walaupun dengan majoriti kecil. Ia mungkin tidak akan sehebat yang dimahukan oleh Najib namun ia tetap kemenangan. Dengan perasaan lega, Najib sepatutnya berterima kasih kerana setakat lulus dan tidak mengimpikan untuk cemerlang seperti memenangi dua pertiga daripada 222 kerusi parlimen.

Pungutuan suara dalaman UMNO juga menunjukkan bahawa Parti Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim bakal menang 107 ke 109 kerusi dan ini mungkin menyebabkan Parlimen yang tergantung memberi peluang untuk ramai melompat ke Pakatan, yang bakal menyaksikan perubahan rejim pemerintah sejak Malaysia mendapatkan kemerdekaan dari British pada tahun 1957.

"UMNO tidak patut menyangka bahawa duit boleh membeli segalanya. Ada ramai pemimpin BN yang menunggu untuk menyertai kami, namun masa akan menentukan segalanya. Mereka tidak akan melakukannya sehingga mereka boleh menentukannya dengan konstituensi mereka," MP Batu dari PKR, Tian Chua memberitahu Malaysia Chronicle.

Pada Pilihanraya Umum ke-12 2008 pun Pakatan telah memenangi lebih dari separuh undi popular namun kalah dari segi jumlah kerusi akibat penyelewengan sempadan undi kerajaan BN yang dahulu pimpinan Mahathir Mohamad.

Sekarang, setelah 5 tahun berlalu, Pakatan telah membuktikan bahawa mereka boleh melaksanakan tugas dengan baik sebagai pemerintah dan ini dibuktikan melalui pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang. Semakin ramai yang inginkan perubahan kerajaan daripada terus bersama kerajaan lama kerana takut atau mahu mengekalkan keadaan yang sedia ada.

'Zaman selesa' BN sudah tamat: Sila berhenti bermimpi sekarang Najib!

Pilihanraya Umum ke 13 hangat diperkatakan akan berlangsung pada Jun tahun ini, kemudian Julai dan September pula dan akhirnya tinggal cakap-cakap sahaja. Tiada yang berani untuk mengadakan pilihanraya pada bulan Julai. Najib sendiri telah membuktikan bahawa PRU ke-13 tidak akan diadakan pada bulan September apabila menyatakan bahawa Bajet 2013 akan diawalkan pada 28 September.

Spekulasi hangat menyatakan bahawa Najib sedang cuba untuk mendapakan kelebihan dengan mengadakan pilihanraya pada musim haji pada bulan Oktober namun ini tidak akan menjadi malah akan menaikkan kemarahan pengundi beragama Islam sepertimana amaran Abdullah Badawi walaupun telah ditujukan buat pembangkang.

"Adakah perdana menteri akan adakan pilihanraya pada masa itu? Dia juga seorang Islam," kata Abdullah pada pemberita pada hujung minggu.

Ya, amaran Abdullah, walaupun tidak secara langsung- namun ia jelas. Najib, dimana undi popularitinya turun dari 69% ke 65% selepas memerintahkan polis menyerang penyokong Bersih 3.0 pada 28 April untuk pilihanraya yang bersih dan adil, juga nampaknya seperti keliru dan perlukan petunjuk daripada orang lama.

Najib sedang menggigit jari, berharap akan masa yang paling sesuai untuk mengadakan PRU ke-13. Tetapi, nampaknya, dia sedang bermimpi kerana masa itu tidak akan ada, sekurang-kurangnya sehingga bulan Mac 2013 apabila mandat BN akan berakhir dan Parlimen secara otomatiknya dibubarkan.

"Isu sebenarnya ialah untuk membersihkan daftar undi tapi Umno tak mahu buat. Najib sedang mencari kesempatan untuk memastikan kemenangan miliknya, ini termasuk mengadakan pilihanraya pada musim haji. Najib tahu bahawa penyokong PAS , ramai di antara mereka akan berada di tanah suci pada masa itu," kata Presiden PAS, Hadi Awang pada hujung minggu lalu.

Disokong Dr M: Perbalahan dalam memecahkan parti

Tiada apa yang dilakukan oleh Najib telah berjaya; dari polisi ekonomi dan program sosial- semuanya telah kecundang. Semuanya tidak menjadi dan dia sedang berpaut pada kuasa dengan pertolongan bekas PM Mahathir Mohamad

Pada usia 86 tahun, dia merupakan panglima dan pembroker kuasa yang paling kuat didalam parti- dengan keupayaan untuk mempengaruhi siapa yang layak menjadi presiden Umno yang seterusnya, pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung pada akhir tahun ini.

Menurut pengkritik BN, rakyat Malaysia boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni dengan lebih baik tanpa campurtangan atau input dari UMNO. Atau untuk lebih tepat lagi, untuk mengakhiri politik samseng yang hanya memperjuangkan kepentingan segelintir elit pemerintah dengan mengorbankan rakyat biasa.

UMNO tidak baik untuk Negara dan ia telah terbukti dengan rasuah yang berleluasa dan penyelewengan kekayaan negara dimana pemimpin UMNO cuba sedaya upaya untuk lindungi dari pengetahuan awam. Apabila seorang pembroker kuasa mempunyai kelebihan, dia akan memerintah mengikut citarasanya sendiri kerana baginya, Malaysia adalah miliknya dan keluarganya," kata seorang ahli akademik yang mengajar sains politik di sebuah universiti awam. Dia meminta untuk tidak dinamakan.

"UMNO juga akan menjadi tidak baik untuk Malaysia apabila tiada panglimanya yang cukup berkuasa untuk mengawal parti, yang akan mendedahkannya kepada polisi cacamarba dan campurtangan kerana puak-puak dalam UMNO akan berebut kuasa dan peluang dalam parti mereka sendiri.

Pentingkan diri sendiri dan sekatan keatas bakat baru dalam UMNO

Bagaimana ini boleh berlaku? Mementingkan diri sendiri mungkin juga jawapannya, mengikut kata pemerhati.

Kata mereka, sikap mementingkan diri pemimpin tertinggi seperti Mahathir dan Najib telah menjauhkan orang baru dan ini menjadikan situasi dimana walaupun UMNO mempunyai 3 juta ahli, realitinya, UMNO hanyalah sebuah kelab orang lama yang tertutup.

Umno sememangnya adalah sekumpulan pemimpin yang menjadi terkenal pada tahun 1960-an dan 70-an dan masih lagi berpegang pada itu. Mereka nampaknya cuba sedaya upaya untuk mewariskan kuasa dan autoriti dalam parti kepada anak-anak serta keluarga.

Namun masa sudah berubah, dan sumber dalaman UMNO telah mengesahkan bahawa Najib telah tersilap dalam urus tadbir parti dan Malaysia dengan begitu teruk sekali sehingga ia tidak boleh lagi disembunyikan. Dia gagal memahami bahawa masalah yang sedang membuak didalam UMNO telah menjadikan ia berada di tahap dimana tiada siapa boleh menyelamatkannya lagi, sekalipun orang itu adalah Mahathir.

Betul, Mahathir pun tidak akan mampu untuk menyelamatkan Najib. UMNO sudah muak dengan Mahathir dan bagi kebanyakkan puak-puak dalam UMNO, mereka telah sampai kepada tahap ia sama ada kami atau mereka- dengan mereka merujuk kepada Najib dan Mahathir. Parti sudah berpecah- mereka yang menyokong Mahathir dan dengan tidak langsung Najib dan mereka yang menyalahkan mereka berdua kerana menenggelamkan UMNO.

Jadi, apabila pemimpin parti pembangkang, Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat masih menjadi ancaman bagi mereka, Najib dan Mahathir mungkin akan dapat hidangan 'pemanis mulut' yang tidak dijangka dari ahli dalam parti dan bukan dari musuh di luar.

Situasi UMNO tidak boleh diselamatkan lagi

Walaupun begitu, Najib masih berdegil dan terus berpegang kepada agendanya dengan sokongan Mahathir.

Najib terus mengabaikan apa yang sedang berlaku dalam UMNO dan cuba memberi tumpuan pada PRU ke-13. Walaupun menerima amaran yang tegas dari perhimpunan Bersih 3.0, dia tetap berdegil dengan mempergunakan lebih banyak jentera kerajaan untuk memenangi undi walaupun mendapat kritikan hebat, dia juga mengedarkan gula-gula pilihan raya seperti pemberian wang tunai kepada rakyat untuk membeli undi secara terang-terangan

serta memanipulasi undi.

Namun rakyat Malaysia telah berubah dengan peredaran masa dan Najib mungkin tidak akan berjaya walaupun semua cubaan untuk menjamin kemenangan dengan apa jua cara untuk PRU ke-13 nanti. Dia boleh memperolehi keputusan yang dimahukannya tetapi adakah rakyat akan menerima kesudahannya jika ia jelas bertentangan dengan kehendak mereka dan yang diperolehi itu adalah dengan cara menipu.

Melihat ribuan rakyat Malaysia yang datang untuk menyokong Bersih untuk membersihkan daftar undi, Najib dan Mahathir lebih baik sahaja lupakan idea mereka untuk merampas mandat rakyat dengan cara yang licik.

Mahathir juga nampaknya telah kehabisan idea-idea baru tentang bagaimana untuk memperbaiki keadaan di dalam UMNO kecuali menyalahkan Badawi untuk semua masalah parti. Mahathir tidak mampu untuk menjadikan UMNO kuat dan bersatu. Di dalam hatinya, Dr Mahathir tahu bahawa dialah yang telah merosakkan kedua-dua UMNO dan Malaysia. Dia juga mengakui ini sudah beberapa kali. Dukacita untuk dikatakan, ia sudah terlambat dan keadaan di dalam UMNO tidak boleh diperbetulkan lagi.

Mod kemusnahan

Senarai 'calon boleh menang' Najib untuk PRU ke-13 masih belum dimuktamadkan. Khabar-khabar angin dari BN menyatakan bagi satu kerusi akan ada sekurang-kurangnya dua calon boleh menang dan Najib - yang seperti biasanya, sentiasa berada dalam keraguan - tidak berani untuk membuat keputusan muktamad lagi kerana takut kehilangan sokongan dari pihak sendiri.

Tetapi tiada satu pun dalam senarai sanggup berkorban untuk UMNO atau BN. Suka atau tidak, Najib akan menjadi 'orang jahat' dalam membuat keputusan. Sebagai contoh, siapakah yang boleh menjadi Menteri Besar Selangor jika UMNO benar-benar berjaya mendapatkan kembali trofi berharga ini?

Tidak juga terdapat kepastian bahawa UMNO-BN boleh memenangi semula lima negeri walaupun sudah banyak fitnah dan serangan terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat disebarkan. Sebaliknya, Pakatan Rakyat nampaknya sangat berpeluang untuk memenangi Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Perak.

Muhyiddin Yassin timbalan Najib juga mula bimbang kerana bencana yang bakal berlaku kepada UMNO BN begitu jelas untuk dilihat oleh semua kecuali Najib dan kumpulan penasihat teras, yang sebenarnya telah gagal menangani setiap isu utama negara. Beberapa bekas kakitangan awam dan personaliti terkemuka juga telah menyertai Pakatan Rakyat. Kita boleh yakin bahawa Pakatan Rakyat tidak lama lagi akan mendedahkan 'rahsia gelap' pemimpin-pemimpin UMNO-BN sebagaimana mereka memerangi mereka dengan habis-habisan untuk memerintah kerajaan persekutuan.

Anak Mahathir, Mukhriz telah secara terbuka ditolak oleh UMNO Kedah sebagai Menteri Besar yang seterusnya. Ini merupakan tamparan hebat dan amaran sebenar untuk si ayah, yang berkelakuan seperti Perdana menteri de-facto, dan untuk Najib yang mengharapkan Mahathir untuk memihak kepadanya apabila memberikan Mukhriz negeri Kedah. Sudah tentu, ini akan berlaku jika UMNO boleh merampas kembali Kedah dari Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Tanda-tanda besar bagi masalah ini termasuk beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang mengumumkan akan bertanding di kerusi selain daripada di kawasan kubu kuat tradisi mereka. Apakah mesej yang mahu mereka sampaikan untuk Najib?

UMNO juga dibelenggu masalah dalam bentuk skandal yang melibatkan pemimpin teratas mereka. Diisytiharkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai 'tidak bersalah', ini tidak akan mengembalikan kredibiliti Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang telah hilang. Skandal rasuah RM250 juta NFC masih melekat dalam sanubari dan sudah pasti, sayap wanita akan menunjukkan kemarahan mereka ke atas sikap "double standard" Najib dalam perkara ini. Atas sebab-sebab yang diketahui hanya Najib sendiri, dia telah bertegas untuk menyebelahi Shahrizat apabila skandal itu melanda keluarganya.

Ia kelihatan seperti UMNO adalah akan menjadi sejarah sahaja dengan parti komponen BN lain juga dalam keadaan kucar-kacir, penganalisis politik berkata rakyat Malaysia harus bijak sekarang. Mungkin ada kestabilan yang lebih baik jika perubahan rejim berlaku daripada terus dengan keadaan seperti sedia ada yang sudah bertukar kepada mod kemusnahan ! -MC

Gadis Ceria Kini Trauma Selepas Cuba Dicabul

Posted: 16 Jun 2012 04:13 AM PDT

Sungai Besar (Sabak Bernam) – Kehidupan seorang gadis yang ceria sebelum ini bertukar trauma selepas berdepan detik cemas menjadi mangsa cubaan ragut dan cabul ketika melalui jalan lama semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya, jam 9 malam, di sini, kelmarin.

Mangsa, berusia 25 tahun itu berkata, dia bersama adik perempuannya, 18, ketika itu menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di Pekan Sungai Besar.

Katanya, semasa melalui jalan lama di kawasan itu lampu jalan berada dalam keadaan malap.

"Seorang lelaki berbadan sederhana yang turut menaiki motosikal di jalan itu secara tiba-tiba menghimpit kami berdua dan cuba merentap pakaian saya.

"Melihat keadaan sedemikian saya cuba menepis tetapi lelaki berkenaan tetap cuba menarik baju," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak
Bernam, pagi semalam.

Menurutnya, lelaki itu itu semakin agresif kerana pada masa kejadian tiada kenderaan menggunakan laluan berkenaan.

Katanya, dia kemudian tekad menjerit menyebabkan suspek terkejut seterusnya memecut motosikal meninggalkan mereka dua beradik berkenaan.

"Saya dan adik cuba mengejar namun malangnya lelaki berkenaan memecut pantas. Kami juga gagal untuk mengecam nombor plat motosikal yang digunakan suspek," katanya.

Menyifatkan ini kejadian pertama yang berlaku kepada dirinya, dia meminta pihak berkuasa mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan berkenaan.

"Apa yang berlaku menyebabkan saya trauma serik untuk melalui jalan itu terutama dengan menaiki motosikal pada waktu malam pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Pada masa sama, Noor Mushar meminta orang ramai lebih berwaspada di samping melaporkan kepada polis sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan mereka.

Tiada ulasan: