Sabtu, 9 Jun 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Sama Macam Lembu NFC, Nong Chik Diberi Projek Pada 2006 Tetapi Ditandatangani 2010

Posted: 09 Jun 2012 12:42 AM PDT

Nong Chik tak jawab persoalan kontrak anak RM30 juta- Zuraida

KUALA LUMPUR 9 Jun: Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak menjawab persoalan berhubung kontrak RM30 juta diterima anaknya, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Beliau mengulas jawapan Raja Nong Chik yang tidak menafikan kontrak kepada Istijuara Sdn Bhd milik anak perempuannya, seperti dilapor portal Malaysiakini hari ini.

Nong Chik dalam jawapannya berkata projek bagi memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor itu diberi pada 2006. Manakala kontrak tersebut pula dimeterai pada 2010.

Zuraida berkata, isu utama bukan tahun kontrak itu dimeterai, tetapi wujud konflik kepentingan atas sebab penganugerahan kontrak berkenaan.

"Malah, jawapan Raja Nong Chik menimbulkan banyak persoalan lain. Mengapa kontrak hanya dimeterai pada tahun 2010 sedangkan projek diberi pada tahun 2006?

"Bagaimana jika terdapat masalah dari segi mutu dan prestasi (ketika projek berjalan)?" soalnya lagi yang mengaitkan isu sama dengan National Feedlot Corporation (NFC) yang menerima pinjaman mudah RM250juta sebelum kontrak rasmi dimeterai.


"Justeru kalau kerajaan Umno BN benar-benar telus dan mahu berubah, perkara ini mesti disiasat supaya nama beliau dapat dibersihkan," katanya ketika dihubungi.

17 Mei lalu, Keadilan Daily melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan menganugerahkan kontrak bernilai RM30 juta kepada Istijuara Sdn Bhd bagi projek memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor.

Turut dilampir salinan surat tawaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Istijuara bertarikh 24 Ogos 2010. Anak beliau, Raja Farhana Raja Nong Chik adalah salah seorang daripada dua pengarah syarikat itu. -KD


Anak Raja Nong Chik Diberi Kontrek Bernilai RM30.8 Juta Oleh Kem Belia Dan Sukan!

Syarikat milik Raja Farhana Raja Nong Chik, anak kepada Dato' Raja Nong Chik Bin Dato' Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar diberikan kontrek memasang dan penyelenggaraan bernilai rm30.8 juta oleh Kementerian Belia Dan Sukan. (sila lihat dokumen dibawah)

Syarikat tersebut adalah Istijuara Sdn Bhd dimana Raja Farhana memiliki 399,999 dari sejumlah 400,000 saham. Syarikat ini ditubuhkan 20 tahun dahulu semasa Raja Farhana masih bersekolah di darjah satu.

Ini menunjukkan bahawa Raja Nong Chiklah yang selama ini menguruskan syarikat tersebut.


Syarikat Istijuara Sdn Bhd juga dikatakan menanggung beban hutang sebanyak rm400,000 dan dipercayai dengan kontrek bernilai RM30.8 juta ini, syarikat milik anak Raja Nong Chik dapat menyelesaikan semua hutang-hutangnya.

Dari dulu lagi Raja Nong Chik adalah seorang kontraktor kerajaan yang sangat berjaya dan apabila beliau dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan maka terbuka luaslah peluang bagi beliau mengembangkan karier beliau sebagai kontraktor kerajaan!

Raja Nong juga sebelum ini pernah diberi rm1.5 bilion oleh Najib bagi membantu penduduk yang gagal mendapat pinjaman bank bagi membeli rumah dan dikatakan bantuan ini telah pun ditawarkan kepada penduduk di Lembah Pantai.

Raja Nong Chik dikatakan berminat bertanding sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Lembah Pantai pada Pililihanraya Umum ke13 akan datang.

Setelah seorang menteri yang salahguna wang rakyat rm250 juta dalam skandal NFC bertanding dan kecundang di Parlimen Lembah Pantai pada PRU ke12 , kini seorang lagi menteri yang memang sudah terkenal dengan salahguna kuasa dan duit rakyat dijangka akan mewakili UMNO/BN.

Apakah calon jenis ini yang dimahukan pengundi di Lembah Pantai bagi mewakili mereka?








Polis Meninggal Dunia Akibat Lontaran Objek Anggota Polis Lain, Bukan Oleh Mat Rempit

Posted: 08 Jun 2012 11:50 PM PDT

5 polis ditahan untuk siasatan

KLANG: Berlaku kejutan dalam siasatan membabitkan seorang anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang koma sejak awal pagi Ahad lalu sebelum disahkan meninggal dunia semalam, apabila lima anggota polis ditahan kira-kira jam 4 pagi semalam.

Gambar: SUASANA MURAM...ahli keluarga menguruskan jenazah Allahyarham Mustaghni di rumah mayat HTAR, semalam.

Lima anggota polis berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan selepas siasatan terkini mendapati kecederaan parah Koperal Mustaghni Tabri, 48, sehingga membawa kematiannya berpunca daripada lontaran objek seorang daripada anggota polis terbabit dan bukan akibat libasan topi keledar Mat Rempit, sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Mustaghni terbabit dalam kejadian itu ketika bertugas dalam operasi mencegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda, di sini, jam 1.45 pagi, Ahad lalu sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.45 pagi, semalam.

Allahyarham meninggal dunia selepas lima hari koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata punca sebenar kematian mangsa masih disiasat, namun kecederaan disahkan bukan kerana dipukul dengan topi keledar, tetapi akibat terkena lontaran objek keras. -hm

SPR Mansuhkan Pamer & Bantah Untuk Elak Bakal Calon UMNO/BN Ditolak

Posted: 08 Jun 2012 09:23 PM PDT

Mansuh pamer bantah elak calon BN disabotaj?

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses pamer dan bantah adalah kerana bimbang calon-calon BN disabotaj ahli mereka sendiri.

Menurutnya, gerakan sabotaj itu wujud sejak 2008 lagi dan lebih ketara sejak kebelakangan ini sehingga Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan amaran keras kepada pihak yang beniat melakukan tindakan itu.

Malah katanya, kenyataan pimpinan Umno bahawa calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini tidak semestinya Ketua Bahagian, mampu menjuruskan sabotaj itu akan benar-benar berlaku.

"Tindakan SPR itu menjelaskan bahawa wujud satu gerakan sabotaj kepada calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya nanti dalam bentuk teknikal yang akan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada calon Pakatan Rakyat.

"SPR cuba melindungi kemungkinan besar berlaku gerakan sabotaj dalam Umno-BN yang sememangnya telah berlaku sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat proses pamer dan bantah perlu bagi memastikan calon yang mewakili setiap parti itu bersih dari perkara-perkara yang menjejaskan diri sebagai calon.

"Proses pamer dan bantah itu adalah satu tindakan untuk kita melihat bahawa calon yang bertanding itu bersih terutama dari segi bankrup serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Apabila proses itu ada, kita boleh membantah kerana kita tidak mahu calon yang bertanding itu mempunyai rekod yang boleh menjejaskan beliau sebagai calon apatah lagi bila memenangi pilihanraya," katanya.

Keputusan terbaru SPR itu juga kata Azmin, jelas menunjukkan badan pilihan raya itu hanya berminat kepada isu-isu serpihan sedangkan perkara besar seperti daftar pemilih yang bersih, kebebasan media mahupun kerajaan sementara tidak diberi keutamaan.

"Kenapa tidak memberi tumpuan kepada perkara yang menjaminkan pilihanraya bersih dan adil.

"Ini yang kita dalam Pakatan Rakyat hadapi, SPR sepatutnya menyenangkan keadaan bukannya menyulitkan keadaan," tegasnya. -HD


Ulasan GB

Bermacam-macam cara dilakukan SPR untuk berpihak kepada UMNO BN.

Tetapi semuanya itu akan menjadi sia-sia.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.

Pengerusi dan Timbalan pengerusi SPR akan tetap menerima hukuman di atas segala kepincangan dan penyelewengan yang telah dilakukan.

Liow Boleh Dapat WWW15 Secara Percuma Bukti Wujud Kong Kalikong

Posted: 08 Jun 2012 06:49 PM PDT

Kuala Lumpur 8 Jun: Pemberian nombor pendaftaran WWW15 kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai secara percuma membuktikan tender terbuka kerajaan Umno BN tidak telus, kata Wong Chen.

Pengerusi Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN itu berkata, tender tersebut mudah dieksploitasi Menteri dan kroni mereka.

"Ia menimbulkan persoalan tentang tadbir urus kerajaan dalam tender terbuka. Menteri boleh memberi apa-apa arahan sesuka hati.

"Jadi bagaimana rakyat boleh mempercayai tender terbuka kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Tiong Lai merupakan salah seorang yang berjaya membida 'nombor panas' berharga RM24,200 melalui tender terbuka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bidaan nombor kenderaan rasmi kerajaan itu didakwa diurus oleh kementeriannya.

Bagaimanapun, setelah dikritik pelbagai pihak, Tiong Lai mengakui ia diperoleh secara percuma kononnya atas hak istimewa Menteri.

Chen berkata, JPJ perlu menjelaskan kepada pembida lain yang terpaksa membayar dengan harga penuh.

Beliau turut mendesak JPJ menjelaskan jika wujud arahan dalam urusan tersebut daripada Kementerian Pengangkutan.

Perdana Menteri juga katanya, perlu menjawab dakwaan Tiong Lai berkenaan hak istimewa menteri mendapatkan nombor pendaftaran khas.

Kontroversi ini bermula selepas Tiong Lai menjadi sasaran soalan pemberita dengan berkata tidak membayar satu sen pun untuk mendapatkan nombor tersebut.

Tiong Lai dalam tweetnya berkata, beliau telah dimaklumkan oleh JPJ bahawa beliau tidak perlu membayar harga bidaannya kerana nombor itu 'percuma'.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan laporan akhbar China Press sebelum ini yang memetik jurucakap JPJ Wilayah Persekutuan sebagai berkata, setiap orang yang membida nombor plat, perlu membayar untuk mendapatkannya. -KD

Liow Boleh Dapat "WWW 15" Secara Percuma - JPJ

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mempunyai tiga pilihan, termasuk mendapatkan nombor pendaftaran 'WWW 15' secara percuma, sesuai dengan kelayakan yang diberi kepadanya oleh kerajaan iaitu sebagaimana yang dipohon dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam satu kenyataan, Jumaat, Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata Liow juga mempunyai dua pilihan lain iaitu membayar dengan harga tertinggi yang ditawarkan iaitu RM24,200 untuk mendapatkan nombor pendaftaran itu atau menolak tawaran tersebut jika tidak berminat.

Solah berkata JPJ menerima permohonan untuk mendapatkan nombor 'WWW 15' daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran 'WWW' dibuka untuk bidaan.

Katanya Jawatankuasa Penilai Tempahan Nombor Pendaftaran Siri 'WWW' seterusnya memutuskan bahawa nombor pendaftaran itu ditawarkan kepada Liow dengan harga tertinggi iaitu RM24,200.

Beliau berkata JPJ juga memaparkan nama pembida berjaya kepada umum selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan dalam pengurusan tempahan nombor pendaftaran.

"Ia juga kerana bidaan telah dibuat oleh orang ramai, sudah tentu mereka ingin tahu siapa yang memenangi nombor yang dibida. Pemenang bagi siri-siri sebelum ini juga kita paparkan," katanya.
- BERNAMA


Ulasan GB

Tiba-tiba kini dikatakan wujud surat permohonan untuk mendapatkan nombor 'WWW 15' daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran 'WWW' dibuka untuk bidaan.

Dan atas hak istimewa menteri yang juga dari MCA, Liow boleh diberikan nombor bidaan itu secara percuma.

Lansung tak menasabah.

Itu sebab GB sudah menyatakan bahawa ianya perlu disiasat. "Surat berkenaan" muncul dan tak mustahil ia dilakukan selepas isu ini meletup dan surat itu telah di back-datedkan.

Rakyat mengesyaki wujud kong kalikong di dalam urusan tender ini dan hukum kebenaran dan keadilan menetapkan, pengarah JPJ dan Menteri Pengangkutan termasuk Liow Tiong Lai akan jatuh tergolek akibat perbuatan "menipu" rakyat. Semuga ia menjadi kenyataan.

Rakyat Dah Lupakan BR1M Yang Pertama, Kena Buat Round Kedua

Posted: 08 Jun 2012 05:03 PM PDT

Najib timbang beri BR1M kedua

KULIM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua.

"Saya sedang pikiaq (fikir), pikiaq," katanya kepada lebih 30,000 pengunjung pada Program Jelajah Janji Ditepati di Taman Teknologi Tinggi Kulim di sini hari ini.

Dipetik Bernama, Najib berkata, BR1M adalah antara janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

Semalam,Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan kepada Kabinet supaya kerajaan memberikan lagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat.

Bulan lalu, Sinar Harian ada membawa laporan memetik beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengesyorkan agar pemberian BR1M dilanjutkan buat kali kedua sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berpendapat bahawa pemberian BR1M kali kedua akan mengurangkan beban rakyat dan bentuk bantuan tunai sedemikian lebih digemari rakyat.

Naib Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, cadangan itu akan disuarakan oleh BNBBC pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 11 Jun ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga melahirkan pandangan agar BR1M diberi untuk kali kedua. -petikan SH

Ulasan GB

RM500 akan diagihkan lagi, buat kali kedua.

Begitu terdesaknya kerajaan UMNO BN hari ini untuk memenangi hati rakyat... kerana apa? Pakatan Rakyat semakin hari semakin kuat...

Pengumuman tarikh pilihanraya yang lambat menyebabkan pemberian kali pertama telah dilupakan rakyat. Oleh itu kena bagi pusingan kedua, lepas itu cepat-cepat umum pilihanraya. Taktik memancing undi.

Kita sama-sama tunggu dan lihat.


Isu Sekat PTPTN: Politik Hanyir UMNO BN Yang Memakan Diri

Posted: 08 Jun 2012 08:38 AM PDT


Pembekuan PTPTN ditarik balik, kebimbangan tindak balas politik terhadap kerajaan

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Kerajaan persekutuan telah mengundurkan langkah untuk membekukan pinjaman pelajar universiti milik kerajaan Selangor selepas menerima kecaman daripada ahli-ahli politik Pakatan Rakyat (PR) dan juga beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Pegawai Universiti Selangor (Unisel) mengesahkan pembekuan pinjaman itu ditarik balik hari ini, hanya sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan sebagai langkah itu adalah "adil" dan jelas sebagaimana kempen PR untuk memberikan pendidikan universiti percuma.

Sinar Harian melaporkan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Anuar Ahmad, sebagai berkata bahawa "ini adalah hasil perbincangan dengan PTPTN ... pada jam 11 pagi. "

Ia dilihat berlaku selepas kritikan daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (gambar) dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari selepas Muhyiddin mempertahankan langkah itu sebagai "ujian yang adil" ikrar pendidikan percuma pembangkang.

PTPTN telah mengesahkan awal hari ini mereka yang baru mendaftar di Universiti Islam Selangor College (Kuis) turut akan menerima nasib sama seperti mereka di Unisel yang dinafikan hak mendapatkan pembiayaan pinjaman pendidikan.

Tetapi Saifuddin menulis di laman Twitter miliknya "rektor Kuis telah bertemu saya dan saya telah memaklumkan kepada menteri rayuan beliau bahawa pinjaman PTPTN tidak dibekukan untuk pelajar. Surat rasmi Kuis akan dihantar tidak lama lagi. "

Ahli Parlimen Temerloh itu juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa dia sedang menunggu jawapan dari Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin selepas "memberitahunya pembekuan itu telah menerima kecaman dan tentangan secara meluas dan meminta pejabat beliau untuk membatalkannya."

Pembekuan itu, yang mana Muhyiddin dan Khaled telah menggelarnya "ujian" ikrar pendidikan percuma Pakatan Rakyat, telah menerima kecaman dan bantahan dari pembangkang dan kumpulan pelajar.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menuduh pentadbiran Najib melanggar amanah, manakala kumpulan pelajar Islam berkata Putrajaya mesti menarik balik pembekuan dan meminta maaf.

Rasa tidak puas hati itu membawa kepada pemimpin Pemuda BN yang menyuarakan rasa tidak bersetuju mereka, kerana ia menunjukkan bahawa "ujian" adalah tidak perlu kerana "adalah jelas Selangor tidak dapat memberi pendidikan percuma."

"Cukuplah. Mesti berhenti. Salah dari segi moral dan politik buruk, "Khairy menulis di laman Twitternya sebagai respon terhadap pembekuan terhadap mahasiswa Kuis.

"Saya tidak mahu pelajar menjadi mangsa," kata Ahli Parlimen Rembau itu juga.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang, yang telah berkali-kali mengkritik ikrar pendidikan percuma PR, juga berkata langkah Putrajaya adalah "salah" dan "PTPTN sepatutnya tahu Pakatan tidak akan memberikan pendidikan percuma di Unisel."

"Mangsa Akhir adalah pelajar," katanya di Twitter.

Tetapi bantahan daripada ahli-ahli parti pemerintah ini datang selepas pimpinan PKR-Selangor memutuskan untuk mendapatkan RM30 juta dengan mencairkan aset mereka untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang telah dinafikan hak mendapatkan pinjaman.

Seorang pemimpin Umno memberitahu The Malaysian Insider bahawa jika Selangor berjaya dalam membiayai pelajar yang terlibat, "ia bermakna mereka telah lulus ujian" yang ditetapkan oleh Muhyiddin.


Ibrahim Suffian, daripada pendapat penyelidik bebas Merdeka Center juga berkata pembekuan pinjaman itu "berpotensi akan memakan diri BN jika Selangor boleh mencapai satu penyelesaian yang praktikal dan cepat."

"Ini akan merentasi seluruh negara sebagai Unisel mempunyai pelajar dari negeri lain dan mungkin meledakkan daripada sesuatu yang hanya popular kepada golongan muda untuk ibu bapa mereka juga.

"Lagipun, Selangor mempunyai rizab yang besar sebanyak RM1.8 bilion dan boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat," katanya kepada The Malaysian Insider.-TMI


Beku PTPTN: Umno tunjuk lagak tak kena tempat

KUALA LUMPUR: BN dilihat sengaja menunjukkan kuasanya apabila mencabar kerajaan negeri Selangor berhubung isu pembekuan PTPTN terhadap pelajar Unisel.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya menunjukkan sikap sombong dan angkuh BN kerana cabaran itu dibuat tidak kena pada masa dan tempatnya.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata cabaran itu tidak kena pada tempatnya memandangkan tanggungjawab memberi pendidikan terletak kepada kerajaan pusat.

"Ini bukan masa untuk cabar atau menguji kerajaan negeri Selangor. Ia hanya menyusahkan bukan sahaja pelajar, tetapi ramai pihak.

"Kalau betul hendak minta kerajaan negeri tanggung pendidikan, jangan ambil cukai dari Selangor," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, biarpun PTPTN menarik semula pembekuan pinjaman tabung itu, pelajar tidak perlu berterima kasih kerana ia merupakan hak pelajar terbabit.

Malah, katanya kerajaan sewajarnya tidak perlu bertindak membekukan pinjaman tersebut kepada pelajar baru Unisel hanya kerana berbeza fahaman politik.

Selain itu, beliau berkata dasar federalisme tidak diamalkan di negara kita menjadikan kerajaan BN sering mengamalkan dasar diskriminasi dan pilih kasih terhadap mana-mana negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

"Dalam isu royalti, Terengganu dan Kelantan telah disisihkan. Sekarang, mereka cuba buat kepada Selangor pula. Mereka mengamalkan kezaliman dalam tindak-tanduk mereka," tegas beliau lagi.

Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan Timblan Perdana Menteri bertindak membekukan pinjaman pelajar baru Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor membuktikan keupayaan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar terbabit.

Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik hari ini selepas mendapat pelbagai kritikan yang merasakan tindakan tersebut tidak wajar.
-HD



Beku PTPTN: Khaled bakal senasib Khir Toyo
oleh Faekah Hussin,

Umno telah memukul gendang menandakan bermulanya perang habis-habisan terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan menjadikan anak-anak muda di Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) sebagai tebusan.

Menteri Pengajian Tinggi mengarahkan permohonan pinjaman PTPTN untuk pelajar baharu Unisel dibekukan. Timbalan Perdana Menteri pula menyokong tindakan jahat ini. Datuk Seri Noh Omar pula memberi kata dua-sama ada PKR mengaku silap isu pendidikan percuma atau pelajar menangung sengsara.

Terbaharu, PTPTN membenarkan pelajar Unisel memohon pinjaman pendidikan hanya selepas beberapa hari isu ini mendapat liputan meluas media massa. Keputusan flip flop ini mungkin tidak tahan dengan desakan dan kecaman pelbagai pihak termasuk parti komponen BN termasuk ahli Umno peringkat akar umbi yang menentangnya kerana menganiaya pelajar Melayu.

Tindakan Menteri Pengajian Tinggi yang membekukan PTPTN dan disokong pula Timbalan Perdana Menteri adalah berniat jahat yang akhirnya memakan diri sendiri. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan pembekuan ini adil tetapi selepas keputusan ini ditarik balik, apakah beliau berani mengatakan tindakan menarik balik pembekuan ini sebagai tidak adil?

Nampaknya kedua-dua Menteri dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang, Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.


Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Datuk Seri Khaled Nordin baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa semua negeri di Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan yang saksama, tidak kira negeri itu ditadbir oleh pembangkang atau pemerintah yang menepati konsep Federalisme.

Rakyat Selangor atau penduduk di Selangor membayar cukai lebih RM90 billion kepada Persekutuan atau 23% daripada pendapatan negara. Bagaimanapun, hanya RM370 juta sahaja diagihkan kepada Selangor dalam bentuk pelaburan pembangunan.

Nilai ini sama sekali tidak sepadan dengan sumbangan yang diberikan Selangor kepada pembangunan negara. Jelas sekali, Persekutuan mengamalkan diskriminasi melampau terhadap Negeri Selangor.

Kita sedar Umno BN sangat terdesak untuk merampas semula Selangor. Namun, tindakan zalim membekukan pinjaman PTPTN adalah keterlaluan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Tindakan ini menampakkan Umno BN telah mula beralih fokus kepada mempertahankan Kerajaan Pusat kerana keyakinan untuk dapatkan semula Selangor semakin tiada harapan. Umno BN telah berpatah arang untuk merampas semula Selangor.

Kita berterima kasih kepada Khaled Nordin yang juga disebut-sebut bakal menggantikan Dato' Abdul Ghani Othman, Muhyiddin dan Noh yang telah menggagalkan transformasi yang dicanang Perdana Menteri.

Selepas ini, Khaled Nordin akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo.


* Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor


Ulasan GB

Tepat ulasan GB yang lalu:

Langkah PTPTN membekukan pinjaman kepada para pelajar UNISEL adalah satu bentuk kekejaman dan kezaliman UMNO BN ke atas kerajaan PR Selangor dimana kali ini para pelajar dijadikan mangsa selagai langkah amat terdesak UMNO BN merampas negeri Selangor.

Sepertimana UMNO BN telah menganaktirikan Kelantan selama lebih dua dekad dengan menyekat pembangunan dan menafikan hak royalti negeri tersebut, kini mereka melakukan kaedah yang serupa untuk menekan kerajaan PR Selangor.

Namun hukum kebenaran dan keadilan menyatakan setiap perencanaan yang jahat itu akan kembali menimpa si perencana tersebut.

Justeru itu, pada hemat GB, langkah sekatan pinjaman kepada para pelajar UNISEL bakal mempercepatkan keruntuhan kerajaan UMNO BN di Putrajaya.

Allah sudah berfirman:


Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang. [Fatir: 43]

Pertemuan Dua MB Pakatan Rakyat

Posted: 08 Jun 2012 06:11 AM PDT

MB S'gor kunjungi Nik Aziz sempena lawatan rasmi

KOTA BHARU: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini bertemu Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena lawatan rasminya ke negeri itu hari ini.

Pertemuan itu diadakan tertutup di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, selepas tuan guru selesai mengadakan kuliah dataran dataran ilmu sebentar tadi.

Selain melakukan lawatan ke beberapa cabang dan ranting petang ini, Khalid akan menyampaikan ceramah Malam Merdeka Rakyat peringkat negeri Kelantan.

Ceramah berkenaan akan di adakan di padang Majlis perbandaran ketereh bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dijangka menyampaikan ceramah yang akan bermula 9 malam ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan peguam scorpine Fadiah Nadwa Fikri.

Sementara itu turut hadir mengiringi Khalid, Timbalan PKR Negeri Abdul Aziz Kader dan Setiusaha Mohd Hisomuddin Bakar. -HD

Sekatan PTPTN Ke Atas Unisel Ditarik Balik, Sahkan Balas Dendam Kenyataan Anwar

Posted: 08 Jun 2012 04:42 AM PDT

PTPTN tarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel, KUIS

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil keputusan untuk menarik balik pembekuan pemberian pinjamannya kepada siswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Sebelum ini, PTPTN telah membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS - kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor - sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata tindakan pembekuan pinjaman PTPTN itu dibuat untuk memberi peluang kepada kerajaan Selangor yang mahu pendidikan di negara ini, termasuk di peringkat tinggi, diberi secara percuma.

Tindakan itu juga diambil ekoran kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pelajar supaya jangan membayar balik pinjaman PTPTN dan berjanji ianya akan dimansukan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS.

"Pejabat menteri pagi ini telah mengeluarkan surat (supaya) pinjaman PTPTN diteruskan kepada Unisel dan KUIS," katanya yang tidak mahu namanya disebut.

"Eloknya hubungi pejabat YB menteri," katanya dalam SMS tersebut.

Khaled seterusnya mengesahkan tindakan menarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel.

Beliau dilaporkan Utusan Online sebagai berkata, tindakan terbaru itu diambil ekoran "rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar."

"Unisel juga mengakui bahawa PTPTN penting untuk pelajar justeru mengambil kira penjelasan dan keseriusan Unisel mengenai perkara ini saya telah meminta PTPTN menarik balik pembekuan itu pagi ini,'' katanya seperti dipetik laman itu.

Perkara itu turut disahkan seorang pegawai kanan kerajaan Selangor yang dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata siswa berkenaan boleh membuat permohonan pinjaman tersebut bermula malam ini. -mk

Sekat PTPTN, Mahasiswa mahu undi BN lagi?

KUALA LUMPUR: Biarpun pembekuan pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) ditarik balik, namun anak muda kini kenal siapa itu BN, kata Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, tindakan PTPTN yang direstui Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hanya mendedahkan perangai kebudak-budakan kerajaan.

Pembekuan itu juga katanya menjelaskan bahawa slogan transformasi politik dan rakyat diutamakan, hanyalah kata-kata kosong yang tidak mempunyai nilai selain dendam politik murahan.


"Dengan bertindak seperti itu, generasi muda pasti akan mengenal dasar hipokrit BN.

"Apabila Menteri KPT mengarahkan supaya PTPTN dibekukan untuk pelajar yang akan mendaftar di Unisel, bermakna kerajaan pusat telah melaksanakan dasar penindasan bersifat apartheid kepada pelajar dan ibubapa di negeri Selangor," katanya.

Menurut Azmi, menteri KPT ternyata tidak dapat membezakan antara dasar memberi pendidikan percuma diperingkat persekutuan dengan hak mendapat pembiayaan diperingkat negeri.

Menghentikan pinjaman PTPTN dengan cara selektif dan diskriminatif begini ujarnya lagi, membuktikan slogan 1 Malaysia bukan kesaksamaan untuk semua tetapi keistimewaan untuk rakyat dan negeri yang pro BN dan menafikan hak negeri Pakatan Rakyat.

Ini juga bererti konsep persekutuan (federalisme) sudah dibatal oleh BN sendiri, katanya lagi.

"Tindakan membeku pinjaman kepada anak warga rakyat sendiri untuk melanjutkan pelajaran atas sebab politik adalah tindakan tidak bertamadun.

"Negara fahaman komunis sendiri tidak mengambil tindakan seperti itu," tegasnya lagi.

Tindakan sebegitu ujar Azmi, bukan baru dilakukan Umno BN.

Isu menafikan hak royalti minyak untuk Trengganu bila PAS memerintah, menghentikan bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat dan mewujudkan agensi khas iaitu JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) bagi Negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang adalah antara angkara 'gila kuasa' yang tersemat dalam sanubari pemimpin negara kini.

"Rakyat harus terima hakikat bahawa yang dipentingkan (BN) bukan lagi kebajikan rakyat tetapi kuasa yang ingin dipertahankan termasuk menafikan hak rakyat.

"Tindakan itu bukan sahaja menyalahguna kuasa malah ia juga adalah pemangsaan masa depan anak bangsa sendiri. Generasi muda yang menjadi mangsa harus tahu bersikap terhadap kerajaan ini," katanya.
-HD


Unisel: Politik dendam sebelum Umno BN dikuburkan

KUALA LUMPUR: Pendekatan politik dendam yang terus 'diperkukuhkan' oleh Umno dan BN pada hari ini menggambarkan Umno semakin terdesak untuk mempertahankan pemerintahan parti tersebut menjelang PRU13 yang akan datang.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas tindakan politik dendam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerajaan Pusat terhadap para pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel).

Katanya, tindakan dendam PTPTN yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno terhadap Selangor sungguh memalukan dan memualkan seluruh rakyat Malaysia.

Sebenarnya, ujar beliau politik dendam Umno bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia dan ianya semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

"Rakyat Malaysia amat mengetahui perkara ini dan insya Allah rakyat Malaysia akan menguburkan politik dendam Umno BN dalam PRU yang akan datang.

"Kita juga turut meminta agar para ulamak yang sebelum ini mengeluarkan hukum tentang haramnya Bersih turut menyuarakan pandangan berkenaan tindakan zalim ini," t
egas beliau lagi.

Tambahnya, Dewan Ulamak PAS juga berharap mereka bersifat adil dalam mengeluarkan hukum hakam Islam dan jangan hanya mengeluarkan hukum apabila berkaitan dengan kepentingan kerajaan tetapi mereka juga hendaklah turut prihatin dalam mengeluarkan hukum apabila mana-mana rakyat Malaysia dizalimi.
-HD



Tiada ulasan: