DIALOG RAKYAT |
- Isu Faekah bukan senjata sasar MB Selangor
- Pro-Rakyat pertahan Faekah, gesa henti spekulasi
- Nik Aziz: Ada pihak mahu lagakan ulama
- BN, PR kata OK jika PRU di akhir mandat
- Najib: PRU masa haji bukan perkara baru
- Lautan kain hitam di protes anti-Lynas di Kuantan
- Penerbit video dakwa keganasan polis disiasat
- Guan Eng menang satu lagi saman ke atas Utusan
- Perjuangan Islam bukan paksaan berjubah Arab
- Taruhan Euro RM16j, 37 ditahan polis
- SPR: Siaran manifesto parti politik di RTM secara rakaman
- Permohonan Dr Ling supaya hakim tarik diri ditolak
- MAS selesai saman dengan Tajudin Ramli
- Warga Iraq dedah dakwaan penyeksaan di Kamunting
- Veteran tentera dakwa terima amaran dari keluarga menteri
- Rafizi Ramli: 'Saya bukan Superman'
- Himpunan Hijau ‘Occupy Balok-Gebeng 24 Hours’ bermula Sabtu
- Kes Scorpene: Saksi pertama terima sapina Mahkamah Perancis
- Asri: Fahami budaya sebelum hukum
- Rafizi letak jawatan CEO Penasihat Ekonomi Selangor
- 13 motosikal terbakar di Flat PPR Sungai Bonus
- Astaka di Jertih runtuh, enam terperangkap
- Perak juara Piala Presiden
Isu Faekah bukan senjata sasar MB Selangor Posted: 22 Jun 2012 04:31 AM PDT SHAH ALAM - Kontroversi melibatkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin tidak pernah dijadikan sebagai 'senjata' untuk menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatannya, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Sebaliknya menurut beliau, kontroversi terbaru itu hanya "satu isu pentadbiran" dan bukannya soal nasional sehingga dilihat akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat khususnya PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-13. "Saya tidak lihat begitu, tidak... tidak. Langsung tiada kaitan dengan Menteri Besar, bukan usaha mahu menjatuhkan Menteri Besar. "Ini hanya satu isu, satu soal pentadbiran sahaja. Tiada persoalan sama sekali mengenai kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar," kata beliau kepada Sinar Harian Online. Rafizi, yang semalam mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, juga menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai hanya "ribut di cawan." Kontroversi hangat gerakan menjatuhkan Faekah dilaporkan bermula menerusi laman sosial Twitter. Ada pihak mahu Faekah digugurkan daripada jawatan Setiausaha Politik. Malah Faekah juga mendapat sokongan ke atas kenyataan dan tindakan-tindakan yang diambil beliau. Mengulas lanjut, Rafizi tidak menolak kewujudan rasa tidak puas hati di kalangan segelintir pemimpin parti dengan kepimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri. "Perkara ini wujud apabila ada pemimpin dan ahli merasakan bahawa pandangan parti (PKR) tidak diterima oleh kepimpinan Kerajaan Negeri. "Ada yang berpandangan bahawa Kerajaan Negeri harus menghormati parti dengan menerima pandangan-pandangan yang diberikan, ada yang mendakwa kepimpinan Kerajaan Negeri bertindak defensif," katanya. Jelas Rafizi, ada pemimpin berpandangan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh menggunakan soal pemisahan kuasa sebagai satu alasan untuk tidak mahu mendengar pandangan parti. "Memang kami di Pakatan Rakyat mengambil pendekatan ini iaitu pemisahan, berbeza daripada era BN dan Umno, tetapi kami merasakan bahawa perlu ada mekanisme untuk menyalurkan pandangan parti kepada Kerajaan Negeri," katanya dengan merujuk kepada isu kutipan sampah di Selangor baru-baru ini. "Parti beranggapan bahawa pandangan peringkat bawahan perlu diambil kira, sedang ada pihak di pentadbiran Kerajaan Negeri berpandangan sebaliknya," katanya. Sehubungan itu kata beliau, kepimpinan Kerajaan Negeri, yang dirujuk kepada Khalid selaku Menteri Besar, perlu menyedari perkara ini dan mengambil tindakan untuk mengatasinya. "Saya menghormati hak Tan Sri Khalid melantik pegawai-pegawai yang difikirkan sesuai dengan keperluan tanggungjawab beliau. "Tetapi Menteri Besar juga perlu memahami aspirasi ahli-ahli dan pemimpin parti dalam soal ini," katanya lagi. |
Pro-Rakyat pertahan Faekah, gesa henti spekulasi Posted: 22 Jun 2012 04:25 AM PDT SHAH ALAM – Tiga individu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat (Pro-Rakyat) semalam, tampil menggesa ahli Pakatan Rakyat (PR) menghentikan spekulasi berhubung isu desakan memecat Faekah Husin daripada jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor. Setiausaha Agungnya, Mohd Naquib Carmeil berkata, beliau menyokong sepenuhnya Faekah yang memegang jawatan tersebut dan menolak sebarang usaha untuk menjatuhkannya. Katanya, beliau difahamkan kempen mendesak Faekah dipecat adalah gerakan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tertentu dan tidak menolak kemungkinan ia didalangi ahli parti PKR sendiri. "Kami menolak sekeraskerasnya sebarang usaha untuk menyingkirkan Faekah kerana dia adalah seorang yang berdedikasi dan tegas dalam menjalankan tugasnya. "Kami menyokong sepenuhnya Faekah dan ia (kempen pecat Faekah) mungkin berpunca daripada tindakan pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengannya," katanya yang menjelaskan kenyataannya pada sidang media di kafetaria bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, semalam. Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ketua Penerangan Pro-Rakyat, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan ahli Exco, Abdul Halim Abdullah. Mohd Naquib berkata, Faekah layak memegang jawatan tersebut dan percaya dia tidak pernah melangkaui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim walaupun kerap mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu isu. Menurutnya, kenyataan dibuat Faekah membuktikan beliau individu berani. "Jadi kami minta semua pihak untuk menghentikan spekulasi berhubung isu ini. "Mungkin ada komplot pihak-pihak tertentu sama ada dari dalam atau pun musuhnya yang tidak berpuas hati dengannya," katanya. Semalam, Sinar Harian melaporkan kontroversi gerakan menjatuhkan Faekah bermula di Twitter #kamisayangpkr dan #pecatfaekah kini semakin hangat diperkatakan. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, enggan mengulas dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan gerakan itu. |
Nik Aziz: Ada pihak mahu lagakan ulama Posted: 22 Jun 2012 04:22 AM PDT KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ulama yang dilahirkan di negara ini mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan hanya terhad kepada mereka di tanah Arab. Nik Aziz berkata, kebanyakan ilmuwan agama yang ada di negara ini dilahirkan dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang menjadi tempat tumpuan umat Islam melanjutkan pengajian tinggi. Bagaimanapun Nik Aziz berkata, komen negatif yang membabitkan ulama universiti Al-Azhar terhadap Pakatan Rakyat dilakukan oleh pihak tertentu bagi memecahkan hubungan yang tersedia terjalin sebelum ini. "Ada pihak nak melagakan, antara Tok Guru dan kami mereka kena juga tahu bahawa Sheikh Azhar ilmunya al-Quran dan Hadis. Kami juga (memperoleh) ilmu al-Quran dan Hadis juga,"katabeliau selepas kuliahmingguan di Dataran Ilmu di sini , hari ini. Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar,Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashourmat baru-baru ini bahawa umat Islam wajib menunaikan ibadat haji dan perlu mengutamakan Rukun Islam kelima itu jika berkemampuan. |
BN, PR kata OK jika PRU di akhir mandat Posted: 22 Jun 2012 04:20 AM PDT SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menyambut baik syor Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Pilihan Raya Umum(PRU) hanya diadakan di hujung mandat lima tahun, bukannya seperti sekarang. Pemimpin kerajaan BN dan PR bersetuju dengan cadangan diusulkan Nazri semalam, yang turut menyatakan beliau secara peribadi bersetuju dan bersedia untuk menjadi pemangkin kepada langkah PRU diadakan selepas mandat penuh lima tahun berakhir. Ahli Majlis Tertingi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia satu cadangan yang baik kerana menjadikan sistem demokrasi lebih teratur. "Dari segi kerajaan, ia dapat laksanakan tugas dan amanah dengan lebih terancang. "Dari segi rakyat, mereka dapat menikmati dan menilai pelaksanaan program pembangunan dengan lebih selesa tanpa risau tentang tarikh PRU," kata Ahli Parlimen penggal pertama ini. Saifuddin berkata lagi, dari segi perniagaan dan pelaburan, keadaan politik stabil membantu merancakkan perniagaan manakala pelabur luar lebih mudah untuk membuat keputusannya. Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk memutuskan bila masa yang sesuai untuk tarikh PRU. "Terpulang kepada Perdana Menteri untuk putuskan bila masa yang sesuai setelah diberi maklum balas oleh pelbagai pihak. "Saya setuju jangan terlalu awal, dan jangan terlalu akhir untuk tarikh PRU," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini turut berkata, keistimewaan Perdana Menteri dengan budi bicaranya perlu ada untuk menyelesaikan masalah pemilihan tarikh PRU. "Peruntukan agar Perdana Menteri dengan budi bicaranya itu patut ada. "Kadang-kadang ada masalah dan isu tertentu dan sebab itu, mengapa budi bicara Perdana Menteri perlu dalam tangani masalah untuk tarikh PRU," katanya lagi. Ahmad berkata, tarikh PRU yang tidak pasti mempunyai kebaikannya bagi memastikan pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang berkhidmat untuk rakyat sepanjang masa. "Kadang-kadang ada baiknya tarikh yang tak pasti kerana ia akan jadikan wakil rakyat sentiasa bekerja," katanya. Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Murugessan berkata, ia terpulang kepada Perdana Mneteri untuk mengumumkan tarikhnya. "Itu adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, terpulang kepada beliau bila tarikh untuk diumumkan PRU nanti. "Ia tak banyak beza sama ada tarikhnya empat tahun atau lima tahun selepas berakhirnya mandat tersebut," katanya lagi. Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu berkata, beliau turut bersetuju dengan cdangan tersebut kerana mereka dapat membuat pilihan calon lebih awal. "Kita bersetuju, namun perlu diberitahu awal untuk memudahkan kami membuat pilihan calon awal. "Tapi kenyataan itu perlu keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri," katanya. Beliau yang turut dikenali sebagai "Mat Sabu" berkata, jadual yang tetap dapat mengurangkan tekanan ke atas pemimpin termasuk pemimpin kerajaan yang menunggu tarikh pilihan raya. "Perdana Menteri perlu beritahu awal bukannya dengan tiba-tiba, esok mereka umum pula tarikh PRU," katanya lagi. Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw juga bersetuju dengan cadagan Nazri atas alasan PRU perlu dilangsungkan selepas genap lima tahun walaupun mempunyai keburukan dan kebaikannya. "Cadangan PRU dilangsungkan pada genap lima tahun ada pro dan kontra. "Saya setuju. Tidak kira keadaannya ketika itu, semua pihak mesti membuat persiapanya," katanya. Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, spekulasi mengenai tarikh PRU tidak wujud lagi dan tumpuan oleh kedua parti sama ada pembangkang atau kerajaan akan lebih kepada dasar dan prestasi parti. "Spekulasi mengenai tarikh PRU tidak wujud lagi. Mungkin tumpuan semua pihak akan menuju ke dasar dan prestasi parti-parti," tambah Seng Giaw. |
Najib: PRU masa haji bukan perkara baru Posted: 22 Jun 2012 04:17 AM PDT KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya. Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya. "Dalam sejarah kita, kita pernah buat pilihan raya masa musim haji. Pilihan raya tahun 1986 kalau tak silap saya. Saya tahu ia pada zaman Tun Hussein Onn. "Ada ahli jawatankuasa bahagian saya yang kebetulan hendak dicalon menjadi calon pilihan raya tapi saya tak dapat berhubung dengan dia sebab dia berada di Mekah. "Bila dia balik, dia terima hakikat bahawa dia tak dapat jadi wakil rakyat sebab kalau dia bertanding, dia menang pada masa itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. |
Lautan kain hitam di protes anti-Lynas di Kuantan Posted: 22 Jun 2012 04:15 AM PDT Lautan kain hitam akan berkibar di ruang udara perhimpunan Occupy Balok-Gebeng di pantai Balok di Pahang pada hari Sabtu ini dan pihak penganjur sedang meningkat usaha untuk menyediakan sepanduk anti-Lynas menggunakan warna berkabung. Kira-kira 500 sepanduk berwarna hitam dengan tulisan putih, akan dipasang di pantai manakala ribuan kain hitam akan diagihkan kepada peserta untuk membuat sepanduk mereka sendiri, kata anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin (kanan). "Kami mahu menghantar mesej bahawa ini adalah saat yang paling muram dan kritikal, memandangkan Lynas akan memulakan operasi. Kita tidak boleh tunggu lagi," kata Chin. Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack berkata satu pasukan 20 sukarelawan bekerja sepenuh masa untuk menyiapkan 500 sepanduk menjelang hari Sabtu ini. Program membantah loji Lynas itu, akan bermula pada tengah hari Sabtu. Banyak aktiviti disediakan termasuk dua konsert dan pameran mengenai bekas tapak Bukit Merah Rare Earth (ARE) dan aktiviti perkhemahan. Pemimpin NGO dan ahli politik, termasuk penyair dan pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan seorang lagi pemimpin PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, akan berucap pada sesi ceramah. Kemuncak pada hari pertama ialah sesi pembakaran replika Loji Advanced Material Plant Lynas (Lamp) oleh para peserta. Wong (bawah) berkata kumpulan artis dari Kuala Lumpur telah diminta supaya mengadakan sesi tersebut dan mereka masih mengumpul kotak berwarna coklat sebagai bahan untuk membuat replika Lamp. Sesi ini akan diikuti dengan perarakan 11km pada pagi Ahad, dari pantai Balok ke Lamp di Gebeng. Peserta dan orang ramai dijemput menyertainya dari mana-mana tempat di sepanjang laluan, dengan menggunakan sebarang bentuk pengangkutan. Pihak penganjur berkata mereka telah memaklumkan kepada pihak polis dengan menghantar jadual perjalanan program mereka kepada balai polis Kuantan. |
Penerbit video dakwa keganasan polis disiasat Posted: 22 Jun 2012 04:11 AM PDT Polis merakam kenyataan seorang pengarah filem Linus Chong yang menyiarkan satu video menunjukkan sekumpulan pegawai polis menyerang dan memukul seorang peserta perhimpunan BERSIH 3.0. Kenyataannya dirakam di IPD Dang Wangi oleh sepasukan polis yang diketuai ASP Chua Wee Seng. Chung memberitahu pemberita bahawa polis mahu mengambil kenyataanya untuk membantu siasatan ke atas keganasan polis ketika perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 28 April lalu. "Saya diminta hadir untuk memberi kenyataan saya berhubung video BERSIH saya," katanya ketika ditemui selepas polis merakam kenyataannya. |
Guan Eng menang satu lagi saman ke atas Utusan Posted: 22 Jun 2012 04:09 AM PDT MALAYSIA KINI Saman itu berhubung satu laporan pada 15 Mac 2008 yang disiarkan akhbar milik Umno tersebut, mengenai dakwaan untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru. Ini merupakan kemenangan kedua Lim di mahkamah ke atas Utusan. |
Perjuangan Islam bukan paksaan berjubah Arab Posted: 22 Jun 2012 04:01 AM PDT ULASAN Kita walaupun semuanya manusia, tetapi tidak sama di sudut latar budaya dan iklim yang kita hidup ataupun membesar. Tempat, negeri, budaya, bahasa, taraf hidup, persekitaran dan seumpamanya mempengaruhi pembentukan minda, sikap, kefahaman dan juga penilaian terhadap sesuatu. Setiap kita mempunyai latar budaya dan adat yang berbeza. Islam tidak pernah memprogramkan manusia untuk memiliki hanya satu adat dan budaya sahaja dengan menghapuskan adat dan budaya yang lain. Islam tidak pernah menyatakan bahawa semua bangsa hendaklah menghapuskan budaya mereka dan bersatu dengan budaya Arab. Sama sekali tidak! Bahkan Allah yang menciptakan manusia Maha Mengetahui hakikat ini dan mengakuinya. Firman Allah (maksudnya): "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujurat: 13) Ayat ini menyeru manusia atas nama manusia, bukan bangsa tertentu. Kemudian mengakui kewujudan pelbagai bangsa dan suku kaum. Tujuannya agar kenal-mengenal dan mempelajari sesuatu yang baik antara satu sama lain. Kelebihan tidak balik kepada jenis bangsa, tetapi kepada takwa. Inilah Islam. Budaya diiktiraf Islam tidak menghapuskan adat dan budaya kaum yang tidak bercanggah prinsip-prinsip yang Allah mahu dalam kehidupan manusia. Adat dan budaya yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruah tidak ditentang oleh Islam. Tidak penting adat itu berasal dari mana kaum sekalipun. Setiap kaum boleh mengekalkan adat dan budaya baik yang ada pada mereka. Bukan perjuangan Islam memaksa adat Arab ke atas bangsa lain. Begitulah juga sebaliknya. Maka bukanlah perjuangan Islam itu memaksa bangsa lain berjubah dan berserban Arab. Tidak juga memaksa mereka memakan masakan Arab ataupun menggunakan ubatan Arab seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Bahkan Arab itu sendiri mempunyai perbezaan budaya dan adat disebabkan perbezaan kabilah dan tempat. Mereka yang hidup Syam umpamanya, tidak sama dalam banyak aspek dengan mereka yang hidup di Hijaz. Begitulah seterusnya. Sebab itu Ibn Taimiyyah (w 728H) apabila menyebut tentang pakaian dan makanan yang mengikut sunah menyebut: "Maka, bererti sunah Rasulullah SAW dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri." (Ibn Taimiyyah, Majmu'ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan). Nabi SAW tidak diutuskan untuk memperkenalkan design atau pun jenis pakaian, kasut, ubat, makanan yang berteras budaya kaum tertentu. Sebaliknya tugasan baginda menegakkan nilai-nilai yang mulia dan baik yang bersifat sejagat dalam kehidupan manusia. Manusia mungkin mempunyai bahasa yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Tuak di negeri-negeri Utara Malaysia memabukkan dan haram. Namun 'tuak' di Kelantan tidak memabukkan kerana ia merujuk kepada air nira. Maka tidak haram. Tentu sekali mengajak orang minum tuak di utara satu kesalahan, tetapi tidak di Kelantan. Memakai kain batik di Terengganu dan Jawa tidak dianggap menyerupai perempuan. Namun dianggap menyerupai perempuan di negeri-negeri Utara Malaysia. Anda tidak wajar memakainya ke masjid dan majlis orang ramai. Di Scotland, lelakinya memakai skirt (kilt) yang dianggap macam pakaian wanita di tempat lain. Lelaki Melayu memakai sampin dan baju Melayu yang berwarna lembut. Pakaian Melayu itu pada pandangan masyarakat lain bercirikan wanita dan tidak 'cukup kelakiannya'. Namun tidak pada pandangan orang Melayu. Ia bergaya dan sangat lelaki. Maka dalam memahami dan berdalilkan hadis Nabi SAW yang melarang lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki itu hendaklah juga difahami budaya dan adat setiap kaum. Tidak boleh dihukum menyerupai wanita atau lelaki melainkan setelah difahami latar budaya sesuatu kaum. Saya teringat ada 'ustaz' Arab dari negara tertentu yang mempertikaikan wanita Muslimah Malaysia memakai baju berwarna. Katanya, wanita hendaklah memakai baju berwarna hitam. Dia mungkin melihat Islam itu menerusi jendela budaya Arab di negaranya lalu dia ingin supaya budaya Arab itu dijadikan kewajipan ke atas bangsa lain. Saya kata kepadanya, itu budaya kamu, bukan penegasan Islam. Kata Aishah bint Sa'd:"Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu'asfar (berwarna merah)." (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah). Ertinya isteri-isteri Nabi SAW pun memakai pakaian berwarna. Maka kata al-Imam Ibn 'Abd al-Barr (w. 463): "Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu'asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah." (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah). Fahami 'uruf' Memahami latar kaum sebelum mengeluarkan pandangan hukum amatlah penting. Jangan hanya kerana sesuatu itu disebut dalam sesebuah kitab yang ditulis oleh pengarang yang mempunyai latar adat ataupun budaya tertentu lalu kita hukum perkara yang berkaitan budaya tersebut kepada kaum lain. International Islamic Fiqh Academy dalam sidang ke-5 pada 10-15 Disember 1988 mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung dengan memahami 'uruf (latar adat) sesebuah masyarakat dalam sesuatu fatwa. Antaranya disebut: "Tidak boleh bagi seorang faqih (ahli fekah) - sama ada dia mufti ataupun kadi- jumud - apabila memetik pandangan dari kitab-kitab fuqaha (sarjana fekah) tanpa meraikan (mengambil kira) perubahan uruf." Banyak dalil-dalil agama yang perlaksanaannya hendaklah dilihat kepada latar mereka yang terlibat. Umpamanya, Nabi SAW mengizinkan isteri mengambil tanpa kebenaran harta suami yang enggan mengeluarkan belanja untuk keluarganya. Ini berdasarkan keizinanan yang baginda sebut kepada Hind isteri Abu Sufyan. Sabda Nabi SAW kepadanya: "Ambillah apa yang mencukupi untuk engkau dan anak-anakmu." (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini dijadikan asas dalam masalah ini. Ertinya seseorang isteri yang bersuami kedekut boleh mengambil hartanya tanpa izin untuk belanja keluarganya dengan kadar yang memadai. Namun kadar yang memadai itu berbeza antara sebuah keluarga dan keluarga yang lain. Antara tempat dan tempat yang lain. Waktu dan waktu yang berbeza. Syarak hanya menyebut garis panduan umum, latar keadaan, tempat dan masa menentukan kadar yang mencukupi itu. Di sini datangnya peranan adat dan budaya setempat dalam menentukan perkara yang seumpama itu. Fatwa atau pandangan hukum yang jumud ialah pandangan yang tidak mengkaji perbezaan latar budaya dan adat. Fatwa-fatwa yang seperti inilah yang mengharamkan sukan, persembahan kebudayaan, seni dan lain-lain. Fatwa yang jumud ini juga yang mengeluarkan hukum dalam buku-buku yang ditulis dalam masyarakat yang monarki untuk dilaksanakan dalam negara demokrasi. Fatwa yang jumud yang menyamakan kerajaan Nabi Sulaiman yang menjadi raja adil pada zaman baginda dengan raja lain yang penuh dengan sikap yang buruk, samseng dan rakus. Kejumudan juga menyamakan kerajaan Firaun dengan kerajaan demokrasi yang jauh lebih baik dari Firaun. Budaya dan adat juga dibentuk oleh teknologi dan perkembangan ketamadunan manusia. Semuanya hendaklah diambil kira. Islam tidak menentang apa yang tidak menyanggahi prinsip-prinsipnya yang luhur. Maka, fahami latar budaya dan adat, baru keluarkan hukum. |
Taruhan Euro RM16j, 37 ditahan polis Posted: 22 Jun 2012 03:50 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Polis menahan 37 lelaki termasuk dua warga Singapura yang dipercayai terbabit dalam pertaruhan perjudian Euro 2012 bernilai kira-kira RM16 juta hasil tindakan pihak berkuasa menyekat laman web perjudian tersebut yang berdaftar di luar negara. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata mereka yang dipercayai terbabit dalam pertaruhan haram itu ditahan dalam 17 serbuan yang dilancarkan sejak 8 Jun sehingga semalam di seluruh negara dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Soga. Kesemua lelaki terbabit, berumur antara 20 tahun dan 50 tahun, ditahan mengikut Akta Pertaruhan 1953. Serbuan yang dijalankan termasuklah di kawasan kediaman mewah seperti penthouse, rumah-rumah kediaman dan pusat snooker yang menjadi pusat operasi sindiket itu. Tangkapan tertinggi yang dilakukan ialah di Selangor iaitu 14 tangkapan diikuti Pulau Pinang (sembilan), Johor (tujuh), Melaka (tiga), Sarawak (dua) dan masing-masing satu tangkapan di Kuala Lumpur dan Pahang, katanya. Turut dirampas ketika serbuan tersebut ialah wang tunai berjumlah RM14,329. Menghuraikan kegiatan pertaruhan Euro 2012 itu, Abdul Jalil berkata pengendali perjudian itu mendaftarkan laman web perjudian mereka di negara yang membenarkan judi bola sepak itu seperti di Macau. "Melalui laman web itu, mereka akan menjemput kaki judi untuk bertaruh menggunakan kad kredit dengan memasukkan wang ke dalam akaun tempatan sebelum wang itu dipindahkan ke akaun perjudian di Macau." Abdul Jalil berkata nilai pertaruhan pula bermula daripada RM200 hingga RM300 dan ada juga yang meletakkan RM5,000 hingga RM10,000 sebagai wang pertaruhan permulaan. Beliau berkata pertaruhan haram itu dipercayai akan menjadi lebih rancak dalam tempoh seminggu akan datang menjelang perlawanan suku akhir, separuh akhir hingga perlawanan akhir iaitu pada 1 Julai ini. Katanya polis percaya sindiket kegiatan itu mempunyai kaitan dengan sindiket sama yang mengendalikan pertaruhan haram dalam Piala Dunia 2010 lepas. Sehingga kini tiada pembabitan VIP dikesan dalam pertaruhan Euro 2012 itu. Beliau menyifatkan kejayaan itu adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia Asia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memantau aktiviti perjudian secara dalam talian bagi mengekang penularannya secara berterusan. Katanya pemantauan juga dibuat di restoran-restoran memandangkan lokasi itu menjadi tumpuan bagi menonton perlawanan bola sepak dalam skala kecil-kecilan.-Bernama |
SPR: Siaran manifesto parti politik di RTM secara rakaman Posted: 22 Jun 2012 03:49 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER KUALA LUMPUR — Parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof (gambar) berkata ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi seseorang, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti kaum serta agama. "Kalau buat secara langsung, RTM mungkin tak boleh kawal apa dia nak cakap nanti," katanya kepada Bernama dan RTM selepas menjadi tetamu dalam program Terus Terang di stesen radio Nasionalfm di sini hari ini. Abdul Aziz berkata penyiaran sesuatu bahan tertakluk kepada penyuntingan dan merupakan peraturan biasa yang bukan sahaja terpakai kepada parti politik tetapi juga orang ramai. "Saya harap parti politik tidak mempolitikkan syarat ini, sebaliknya gunakan peluang yang diberi untuk menyuarakan manifesto, dasar, perjuangan atau program parti masing-masing," katanya. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 7 Jun lepas berkata parti politik kini dibenarkan membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi RTM setelah kertas Kabinet mengenainya diluluskan Jemaah Menteri. Akses media yang bebas dan adil adalah antara 22 saranan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diserahkan kepada SPR selepas mereka meluluskan tanpa bahas di Dewan Rakyat pada 3 April. Abdul Aziz berkata Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) hanya akan membenarkan parti politik menyiarkan manifesto mereka menerusi RTM jika mendapat kelulusan daripada SPR. Beliau berkata ini bagi memastikan hanya parti politik yang berdaftar dan bertanding sahaja layak mendapat keistimewaan tersebut. Mengenai waktu siaran, Abdul Aziz berkata perkara itu akan ditentukan oleh RTM dengan mengambil kira nilai berita selain memberi jaminan semua parti yang bertanding akan mendapat jumlah waktu siaran yang sama. "Kalau siar pukul 3 pagi siapa nak tengok? Kalau adapun mungkin tak ramai. Penyiaran pada waktu perdana akan dipertimbangkan dan SPR dengan KPKK akan perkemaskan perkara ini," jelasnya. Beliau berkata setiap parti diberi peluang untuk menyiarkan bahan mereka di TV1 dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa wajib, manakala penyiaran dalam bahasa lain boleh dibuat menerusi stesen radio. Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata tempoh kempen dalam PRU ke-13 nanti mungkin melebihi 11 hari atas permintaan pelbagai pihak, termasuk parti politik. Beliau berkata tempoh tersebut dirasakan sesuai walaupun terdapat tuntutan daripada pihak tertentu yang mahu kempen pada PRU-13 dijalankan selama tidak kurang 21 hari. "Ada juga permintaan supaya tempoh kempen tidak terlalu panjang kerana pada mereka kempen di Malaysia sangat meletihkan bukan sahaja kepada calon tetapi juga kepada petugas media kerana perlu bertugas 'around the clock'," katanya. Abdul Aziz bagaimanapun berkata SPR akan meneliti perkara itu dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk kos pengendalian yang mungkin tinggi jika kempen dibuat dalam tempoh yang panjang. — Bernama |
Permohonan Dr Ling supaya hakim tarik diri ditolak Posted: 22 Jun 2012 03:46 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER KUALA LUMPUR— Permohonan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, supaya Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes terhadapnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini. Hakim Ahmadi menolak permohonan itu tanpa kos selepas mendapati ia tidak mempunyai merit setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak. Dalam keputusannya, beliau berkata komen-komen yang dipersoalkan Dr Ling tidak menjejaskan perbicaraan awal. "Komen-komen yang dirujuk pembelaan mestilah dikaitkan dengan keterangan saksi pendakwaan semasa pemeriksaan utama atau pemeriksaan semula. "Komen itu haruslah berkaitan dengan hujahan pembelaan, dan yang paling utama, komen itu tidak menjejaskan perbicaraan awal," katanya. Menurut Ahmadi, oleh kerana komen itu dibuat pada peringkat prima facie, pihak pembelaan boleh menyangkal komen itu jika mereka mampu berbuat demikian. Terdahulu, peguam Dr Ling, Wong Khian Keong, mengemukakan alasan bahawa komen-komen yang diberikan oleh Hakim Ahmadi ketika memutuskan beliau membela diri pada 9 Mac lalu adalah berat sebelah yang nyata. Katanya tugas pada akhir kes pendakwaan adalah bagi menentukan sama ada kes prima facie dibuktikan berhubung tuduhan terhadap tertuduh. Wong berkata ia bukan fungsi bagi mahkamah perbicaraan untuk menimbang atau membuat spekulasi mengenai kemungkinan pembelaan dan memberi pertimbangan kepada itu. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, berhujah bahawa tidak ada langsung sebarang unsur berat sebelah yang sebenar daripada 13 petikan alas an bertulis hakim itu. "Dapatan yang dibuat oleh hakim dalam alasan bertulis 83 muka surat, jauh memperlihatkan sebarang persepsi berat sebelah dengan memaklumkan tertuduh kes, dia boleh menangkis atau memperjelaskan... oleh itu membolehkan pembelaanya dikemukakan secara adil," katanya. Dr Ling, 68, dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang, bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan RM1.08 bilion. Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Perbicaraan disambung semula 13 Julai ini. — Bernama |
MAS selesai saman dengan Tajudin Ramli Posted: 22 Jun 2012 03:41 AM PDT Syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini mencapai penyelesaian dengan bekas pengerusinya Tan Sri Tajudin Ramli dalam tiga kes samannya. Difahamkan, MAS akan memperolehi tanah di Langkawi yang menempatkan hotel Four Seasons sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur difahamkan membenarkan MAS dan Tajudin menarik balik saman dan tuntutan balas masing-masing. Penyelesaian itu dibuat di hadapan Hakim Rosilah Yop. Satu pengumuman dijangka akan dibuat di Bursa Malaysia hari ini. |
Warga Iraq dedah dakwaan penyeksaan di Kamunting Posted: 22 Jun 2012 03:40 AM PDT Seorang warga Iraq yang ditahan bawah ISA di kem Kamunting hari ini mendedahkan penyeksaan yang didakwa dialaminya kepada peguam. Sami Hammad yang ditangkap dan ditahan ejak Mac tahun lalu cuba membunuh diri lebih dua kali kerana tidak dapat menahan "penyeksaan" ala Guantanamo, kata jurucakap Lawyers for Liberty Fahdiah Nadwa Fikri. Hammad ditangkap dan ditahan di ibu pejabat polis Bukit Aman selama 60 hari, di mana beliau mendakwa diseksa, sebelum dihantar ke pusat tahanan ISA di Kamunting, Perak. Polis yang menyoal siasat lelaki tersebut pada satu masa didakwa membuatkan individu tersebut tidak tidur selama 72 jam, apabila gagal mendapatkan pengakuan bahawa lelaki tersebut cuba menyeludup pemohon suaka Iraq ke Australia. Muhammad ditangkap atas dakwaan menyeludup manusia, beberapa hari selepas tiba di Kuala Lumpur untuk satu kunjungan "berkaitan perniagaan." |
Veteran tentera dakwa terima amaran dari keluarga menteri Posted: 22 Jun 2012 03:38 AM PDT Persatuan Veteran Tentera Melayu menangguhkan rancangannya untuk berdemonstrasi di hadapan Kementerian Pertahanan pada 29 Jun ini, kata presidennya Mohd Ali Baharom. Menurut Ali, penangguhan itu dilakukan kerana Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak berada di pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) pada tarikh tersebut. "Kami dapat risikan Datuk Seri Zahid Hamidi tiada di Mindef pada tarikh itu. Dia ingin lari ke kem komando Mersing untuk rehat selama dua hari," katanya. Pada masa yang sama juga, Ali mendakwa ahli keluarga terdekat Zahid Hamidi juga menghubunginya dan memberikan amaran kepadanya berhubung perhimpunan tersebut. Beliau mendakwa, ahli keluarga menteri itu berkata "orang-orang" Zahid Hamidi akan bertemunya di depan Mindef jika demonstrasi itu diteruskan. |
Rafizi Ramli: 'Saya bukan Superman' Posted: 21 Jun 2012 05:50 PM PDT SHAH ALAM - Sambil menafikan tindakannya meletakkan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor bukan bermakna wujud masalah dengan kepimpinan PKR, Rafizi Ramli menyifatkan dirinya "bukan Superman." Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR ini berkata, beliau mahu memberi tumpuan ke atas kerja-kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibahim merupakan Penasihat Ekonomi Selangor. Katanya, beliau tidak berbalah dengan Anwar atau Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Kerja saya semakin hari semakin bertambah. Saya bukan 'Superman'. Tidak boleh melakukan dua tiga perkara dalam satu masa. "Saya boleh melihat beban dan tanggungjawab semakin meningkat, dan akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online. Rafizi juga menegaskan jawatan-jawatan lain dalam parti kekal dan meneruskan tanggungjawab yang diberikan. "Kepada yang ragu-ragu, saya akan lompat parti, saya berjanji akan bersunat sekali lagi kalau lompat parti. Patut semua wakil rakyat kena janji macam ini," katanya menerusi satu mesej Twitter tengah malam tadi. Rafizi menghantar surat meletakkan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor semalam. "Saya menghantar notis hari ini (semalam)," kata Rafizi, yang mengumumkan keputusan itu menerusi mesej Twitter petang semalam. Dalam mesej Twitternya semalam, beliau berkata,"letak jawatan proses biasa." "Perlu sedikit rehat, letih buat dua kerja di kerajaan negeri dan parti. Ramadan dah dekat, tumpu ibadah. "Saya tidak pernah tugas (berkhidmat) lebih dari dua tahun pada satu-satu jawatan. Yang ini dah melebihi dua tahun, masanya untuk terus bergerak. Tidak ada kaitan politik dengan itu," kata pemimpin muda ini. Ketika dihubungi malam tadi, Rafizi yang menyandang jawatan itu sejak dua tahun lalu berkata: "Saya sebenarnya telah memutuskan untuk melepaskan jawatan ini akhir tahun lalu." "Tetapi oleh kerana tarikh PRU13 tidak menentu, saya meneruskan khidmat saya. "Sekarang kita sudah boleh agak bila PRU13. Saya rasa ini adalah masa yang sesuai, jadi, saya beri notis satu bulan. Cuma ia diumumkan secara kebetulan ketika cetus isu berkaitan Faekah (Husin, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor," katanya. "Cuma secara kebetulan masanya tidak kena, itu saja. Bagi saya ini tiada kaitan, letak jawatan perkara biasa," kata beliau lagi. Rafizi dijangka bertanding kerusi Parlimen pada PRU13. Sinar Harian Online difahamkan beliau akan mencuba nasib di kawasan Pandan, yang kini disandang oleh bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat. |
Himpunan Hijau ‘Occupy Balok-Gebeng 24 Hours’ bermula Sabtu Posted: 21 Jun 2012 05:14 PM PDT Oleh Mohd Martin Kahar KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Himpunan Hijau akan menganjurkan satu lagi himpunan besar-besaran pada Sabtu hingga Ahad ini, di Pantai Balok, Kuantan. Pengerusinya, Wong Tack berkata, himpunan dinamakan 'Occupy Balok-Gebeng 24 Hours' bertujuan meneruskan desakan terhadap kerajaan supaya menghentikan projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Gebeng. Menurut beliau, pelbagai program akan diadakan sepanjang tempoh 24 jam himpunan tersebut. "Antaranya konsert 'hijau', gig band tengah malam, perkhemahan, pameran dan kempen kesedaran alam sekitar, dialog dan ceramah," katanya di lobi Parlimen hari ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. Wong memberi jaminan himpunan itu akan berjalan secara aman sama seperti Himpunan Hijau 2.0 yang pada 26 Februari lalu. Menurut beliau, Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau akan berunding dengan polis esok bagi mendapatkan kebenaran berhimpun hujung minggu ini. Beliau turut mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia ke perhimpunan tersebut bagi membantah projek nadir bumi di negara ini. Pada 19 Jun lalu, Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) yang diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin membentangkan laporan mengenai projek tersebut. Jawatankuasa tersebut mendakwa, Lynas bukan loji nuklear tetapi kilang kimia dan mengesyorkan lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan bagi membolehkan kilang itu beroperasi. |
Kes Scorpene: Saksi pertama terima sapina Mahkamah Perancis Posted: 21 Jun 2012 05:12 PM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPURn: Sapina untuk saksi pertama kes skandal penyelewengan kapal selam Scorpene – Jasbir Singh Chahl sudah diperolehi dari Mahkamah Perancis dan dalam proses penyerahan.Sekretariat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam satu kenyataan hari ini berkata, penghantaran sapina tersebut dalam proses dan memerlukan beberapa hari untuk dilaksanakan. "Kami tidak ada maklumat yang tepat bila jangka masa sapina itu akan diserahkan," kata kenyataan itu dipetik Harakah Daily. Suaram mengulas kenyataan Jasbir yang merupakan pembantu kanan Abdul Razak Baginda sebelum ini yang menafikan kaitannya dengan kes pembelian Scorpene. Jasbir berkata, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang sapina dari mana-mana mahkamah. Menurut Suaram, peguam mereka di Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham mengesahkan Jasbir adalah salah seorang saksi kes ini dan mahkamah telah mengeluarkan sapina untuknya. Suaram adalah pihak pelapor dalam kes rasuah pembelian Scorpene kepada mahkamah Perancis kerana ia melibatkan syarikat negara itu. Sebelum ini, Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel telah memaklumkan saksi pertama kes skandal penyelewengan kapal selam Scorpene akan hadir ke mahkamah Perancis kerana sapina terhadapnya telah dikeluarkan. Saksi berkenaan katanya, adalah Jasbir Singh Chal, bekas Pengarah Perimekar Sdn Bhd yang juga pembantu kanan Abdul Razak Baginda. Cynthia mengumumkan perkara itu di akhir Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ops Scorpene anjuran Suaram yang dihadiri kira-kira 1,000 orang, 16 Jun lalu. "Kita patut merasa gembira dengan perkembangan kes ini kerana saksi pertama iaitu Jasbir Singh, saksi yang terlibat dan mengetahui banyak maklumat akan dipanggil ke mahkamah (Perancis) kerana sapina sedang dalam perjalanan ke rumahnya," kata Chynthia. Selain Jasbir, individu lain yang akan turut dipanggil sebagai saksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; pemilik Perimekar Sdn Bhd dan Terasasi (HK) Limited, Abdul Razak Baginda serta isterinya, Mazlinda dan bapanya. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi juga dinamakan sebagai saksi oleh peguam Suaram. |
Asri: Fahami budaya sebelum hukum Posted: 21 Jun 2012 05:08 PM PDT Tempat, negeri, budaya, bahasa, taraf hidup, persekitaran dan seumpamanya mempengaruhi pembentukan minda, sikap, kefahaman dan juga penilaian terhadap sesuatu. Setiap kita mempunyai latar budaya dan adat yang berbeza. Islam tidak pernah memprogramkan manusia untuk memiliki hanya satu adat dan budaya sahaja dengan menghapuskan adat dan budaya yang lain. Islam tidak pernah menyatakan bahawa semua bangsa hendaklah menghapuskan budaya mereka dan bersatu dengan budaya Arab. Sama sekali tidak! Bahkan ALLAH yang menciptakan manusia Maha Mengetahui hakikat ini dan mengakuinya. Firman Allah: (maksudnya) Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13). Ayat ini menyeru manusia atas nama manusia, bukan bangsa tertentu. Kemudian mengakui kewujudan pelbagai bangsa dan suku kaum. Tujuannya agar kenal-mengenal dan mempelajari sesuatu yang baik antara satu sama lain. Kelebihan tidak balik kepada jenis bangsa, tetapi kepada takwa. Inilah Islam. Budaya Diiktiraf Islam tidak menghapuskan adat dan budaya kaum yang tidak bercanggah prinsip-prinsip yang ALLAH mahu dalam kehidupan manusia. Adat dan budaya yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruah tidak ditentang oleh Islam. Tidak penting adat itu berasal dari mana kaum sekalipun. Setiap kaum boleh mengekalkan adat dan budaya baik yang ada pada mereka. Bukan perjuangan Islam memaksa adat Arab ke atas bangsa lain. Begitulah juga sebaliknya. Maka bukanlah perjuangan Islam itu memaksa bangsa lain berjubah dan berserban Arab. Tidak juga memaksa mereka memakan masakan Arab ataupun menggunakan ubatan Arab seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Bahkan Arab itu sendiri mempunyai perbezaan budaya dan adat disebabkan perbezaan kabilah dan tempat. Mereka yang hidup Syam umpamanya, tidak sama dalam banyak aspek dengan mereka yang hidup di Hijaz. Begitulah seterusnya. Sebab itu Ibn Taimiyyah (w. 728H) apabila menyebut tentang pakaian dan makanan yang mengikut sunnah menyebut: "Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri" (Ibn Taimiyyah, Majmu'ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan). Nabi s.a.w tidak diutuskan untuk memperkenalkan design atau pun jenis pakaian, kasut, ubat, makanan yang berteras budaya kaum tertentu. Sebaliknya tugasan baginda menegakkan nilai-nilai yang mulia dan baik yang bersifat sejgata dalam kehidupan manusia. Manusia mungkin mempunyai bahasa yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Tuak di negeri-negeri Utara Malaysia memabukkan dan haram. Namun 'tuak' di Kelantan tidak memabukkan kerana ia merujuk kepada air nira. Maka tidak haram. Tentu sekali mengajak orang minum tuak di utara satu kesalahan, tetapi tidak di Kelantan. Memakai kain batik di Terengganu dan Jawa tidak dianggap menyerupai perempuan. Namun dianggap menyerupai perempuan di negeri-negeri Utara Malaysia. Anda tidak wajar memakainya ke masjid dan majlis orang ramai. Di Scotland, lelakinya memakai skirt (kilt) yang dianggap macam pakaian wanita di tempat lain. Lelaki Melayu memakai sampin dan baju Melayu yang berwarna lembut. Pakaian Melayu itu pada pandangan masyarakat lain bercirikan wanita dan tidak 'cukup kelakiannya'. Namun tidak pada pandangan orang Melayu. Ia bergaya dan sangat lelaki. Maka dalam memahami dan berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang melarang lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki itu hendaklah juga difahami budaya dan adat setiap kaum. Tidak boleh dihukum menyerupai wanita atau lelaki melainkan setelah difahami latar budaya sesuatu kaum. Saya teringat ada 'ustaz' Arab dari negara tertentu yang mempertikaikan wanita muslimah Malaysia memakai baju berwarna. Katanya, wanita hendaklah memakai baju berwarna hitam. Dia mungkin melihat Islam itu menerusi jendela budaya Arab di negaranya lalu dia ingin supaya budaya Arab itu dijadikan kewajipan ke atas bangsa lain. Saya kata kepadanya, itu budaya kamu, bukan penegasan Islam. Kata Aishah bint Sa'd:"Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu'asfar (berwarna merah)" (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah). Ertinya isteri-isteri Nabi s.a.w pun memakai pakaian berwarna. Maka kata al-Imam Ibn 'Abd al-Barr (w. 463): "Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu'asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah" (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah). Fahami Uruf Memahami latar kaum sebelum mengeluarkan pandangan hukum amatlah penting. Jangan hanya kerana sesuatu itu disebut dalam sesebuah kitab yang ditulis oleh pengarang yang mempunyai latar adat ataupun budaya tertentu lalu kita hukum perkara yang berkaitan budaya tersebut kepada kaum lain. International Islamic Fiqh Academy dalam Sidang ke-5 pada 10-15 Disember 1988 telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung dengan memahami 'uruf (latar adat) sesebuah masyarakat dalam sesuatu fatwa. Antaranya disebut: "Tidak boleh bagi seorang faqih (ahli fekah) - sama ada dia mufti ataupun kadi - jumud apabila memetik pandangan dari kitab-kitab fuqaha (sarjana fekah) tanpa meraikan (mengambil kira) perubahan 'uruf". Banyak dalil agama yang pelaksanaannya hendaklah dilihat kepada latar mereka yang terlibat. Umpamanya, Nabi s.a.w mengizinkan isteri mengambil tanpa kebenaran harta suami yang enggan mengeluarkan belanja untuk keluarganya. Ini berdasarkan keizinanan yang baginda sebut kepada Hind isteri Abu Sufyan. Sabda Nabi s.a.w kepadanya: "Ambillah apa yang mencukupi untuk engkau dan anak-anakmu" (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini dijadikan asas dalam masalah ini. Ertinya seseorang isteri yang bersuami kedekut boleh mengambil hartanya tanpa izin untuk belanja keluarganya dengan kadar yang memadai. Namun kadar yang memadai itu berbeza antara sebuah keluarga dan keluarga yang lain. Antara tempat dan tempat yang lain. Waktu dan waktu yang berbeza. Syarak hanya menyebut garis panduan umum, latar keadaan, tempat dan masa menentukan kadar yang mencukupi itu. Di sini datangnya peranan adat dan budaya setempat dalam menentukan perkara yang seumpama itu. Fatwa atau pandangan hukum yang jumud ialah pandangan yang tidak mengkaji perbezaan latar budaya dan adat. Fatwa-fatwa yang seperti inilah yang mengharamkan sukan, persembahan kebudayaan, seni dan lain-lain. Fatwa yang jumud ini juga yang mengeluarkan hukum dalam buku-buku yang ditulis dalam masyarakat yang monarki untuk dilaksanakan dalam negara demokrasi. Fatwa yang jumud yang menyamakan kerajaan Nabi Sulaiman yang menjadi raja adil pada zaman baginda dengan raja lain yang penuh dengan sikap yang buruk, samseng dan rakus. Kejumudan juga telah menyamakan kerajaan Firaun dengan kerajaan demokrasi yang jauh lebih baik dari Firaun. Budaya dan adat juga dibentuk oleh teknologi dan perkembangan ketamadunan manusia. Semuanya hendaklah diambil kira. Islam tidak menentang apa yang tidak menyanggahi prinsip-prinsipnya yang luhur. Maka, fahami latar budaya dan adat, baru keluarkan hukum. * Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan kini Felo di Pusat Pengajian Islam Oxford |
Rafizi letak jawatan CEO Penasihat Ekonomi Selangor Posted: 21 Jun 2012 05:02 PM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.Perkara itu dimaklumkan Pengarah Strategi KEADILAN itu dalam twitternya petang tadi. "Saya telah beri notis letak jawatan dari Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Sbarang pertanyaan mengenai ekonomi Selangor dan lain-lain, rujuk kerajaan negeri," katanya. Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor diterajui Ketua Umum KEADILAN, Datuk Sri Anwar Ibrahim sebagai penasihat. Rafizi pula menyandang jawatan itu sejak 2009 lalu. Dalam tulisan lanjut di twitternya, beliau berkata, belum membuat sebarang perancangan, namun mahukan rehat dan menumpukan kepada ibadah sempena bulan Ramadhan ini. "Letak jwtn proses biasa. Perlu sedikit rehat, letih buat dua kerja di kerajaan negeri & parti. Ramadhan dah dekat, tumpu ibadah," katanya lagi. |
13 motosikal terbakar di Flat PPR Sungai Bonus Posted: 21 Jun 2012 04:43 PM PDT SINAR HARIAN Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Annuar berkata kejadian berlaku kira-kira 3.45 pagi dan pihak bomba yang menerima maklumat dari orang awam tiba lima minit kemudian. "Kita berjaya mengawal kebakaran dalam masa 10 minit dengan kekuatan satu jentera bomba bersama tujuh anggota," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata motif sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih lagi disiasat.- Bernama |
Astaka di Jertih runtuh, enam terperangkap Posted: 21 Jun 2012 04:42 PM PDT BESUT - Sebuah astaka yang masih dalam pembinaan di Padang Astaka, Jertih di sini runtuh jam 1.30 petang tadi menyebabkan enam pekerja warga asing terperangkap dalam runtuhan. Sehingga jam 3 petang, seramai empat pekerja berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan. Pasukan penyelamat telah mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap dan mangsa hanya mengalami kecederaan. Tiga daripada mereka yang terdiri daripada dua warga Indonesia dan seorang dari Bangladesh, sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar daripada timbunan bangunan itu manakala tiga lagi mangsa iaitu dua warga Bangladesh dan seorang Indonesia yang terperangkap dalam runtuhan itu berjaya diselamatkan lebih dua jam kemudian dengan bantuan 15 anggota Bomba dan Penyelamat Jerteh, lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 20 anggota polis. |
Posted: 21 Jun 2012 04:38 PM PDT IPOH - Jaringan tunggal Muhammad Nurridzuan Abu Hassan pada separuh masa pertama berjaya membawa Perak menjadi Johan Piala Presiden 2012. Perak tampil garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke kubu lawan hingga menyaksikan penyerang sensasi skuad "Yob Muda", Khairul Asyraff Sahizah hampir membuka jaringan namun sepakan gunting penyerang muda itu, sedikit tersasar di atas palang gol. Bagai tersentak, kesebelasan NS Betaria bingkas bangkit dengan melancarkan serangan ke gawang Perak namun benteng yob muda yang diterajui gandingan Amirul Azahan Aznan, Muhammad Syahmil Khairi, Mohd Rafiq Faeez Fuad dan Mohd Haizal Faquan Sadaruddin tetap kental bertahan bagi menafikan asakan-asakan pelawat. Perak sekali lagi berpeluang membuka jaringan menerusi Khairul Asyraff pada minit ke-28 setelah penyerang muda itu berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan NS Betaria. Namun, penyerang tersebut gagal memanfaatkan peluang terhidang itu apabila menyepak tinggi biarpun hanya berdepan satu sama satu dengan penjaga gawang NS Betaria, Mohd Khairul Izzuwan. NS Betaria turut memiliki beberapa peluang menjaringkan gol, namun semua peluang berkenaan gagal dimanfaatkan oleh jentara serangannya yang menyaksikan banyak percubaan tidak menepati sasaran. Bagaimanapun, kapten skuad "Yob Muda", Muhammad Nurridzuan Abu Hassan menceriakan sekitar tiga ribu penyokong Perak setelah berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pada masa kecederaan babak Perak selesa memimpin perlawanan hingga tamat babak pertama. Babak kedua menyaksikan Perak semakin menggandakan asakan ke gawang NS Betaria bagi menambah jaringan. Namun beberapa peluang yang diperolehi gagal dimanfaatkan oleh jentera serangan Perak yang menyaksikan penyerang kembar yob muda, Khairul Asyraff dan bintang muda dari skuad Piala Belia, M.Mugienthiran gagal melepasi kawalan benteng pertahanan NS Betaria. Perak hampir menambah jaringan pada minit ke-85, setelah Muhammad Nurridzuan sekali lagi berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan NS Betaria. Namun, Nurridzuan gagal menyempurnakan peluang berkenaan biarpun berdepan satu sama satu dengan penjaga gol lawan, Mohd Khairul Izzuwan. NS Betaria terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila pemain gantian, Azwan Md Nor dilayangkan kad merah kerana mengasari penjaga gol Perak, Mohd Syazani Mat Puat pada minit-minit terakhir perlawanan. Bagaimanapun, kesempatan itu gagal dimanfaatkan Perak apabila banyak mensesiakan peluang untuk menambah jaringan dan sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga ke wisel penamat. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan