DIALOG RAKYAT |
- Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan?
- Siapa berbohong? MITI atau Lynas?
- Lynas tidak jamin keluarkan residu dari Malaysia sepanjang operasi 20 tahun
- Mahathir - Pesara Yang Tidak Tenang Jiwanya
- Khairy sokong Perancis, sindir Najib?
- Penilaian terhadap UMNO/BN ialah kepada kadar rasuah dan isu rasis
- Kota Siputeh: Mahkamah persekutuan tangguh penghakiman
- Anti-BERSIH berkeras mahu berhimpun di stadium
- AGM MAS hari ini dijangka hangat
- Mahkamah benar aktivis cabar penggantungan universiti
- Dr Asri: Pilihan raya waktu haji satu kesalahan
- 'Hala tuju PERKASA & 1Malaysia sama'
- GMI gesa bebaskan tahanan ISA
- Chin Peng tenat di Bangkok
- Bekas CEO JCorp terima tawaran sertai politik
- Maut rempuh pokok
- Gelongsor Air RM2.69 juta Zoo Bukit Takal Terbiar
- Kontrak Ahmad Fuad tamat bulan depan
- Linda Onn didakwa ‘jual mahal’
- Lynas: Kenyataan Che Rosli diputarbelit
- Wacana Roketkini II: Benarkah dasar DAP mengancam Islam?
- JAWI salah dakwa,KDN belum haram buku
- Jenayah: Kenapa kerajaan BN takut dedah statistik terperinci?
- Panas: Gara-Gara Debat, 'UMNO Temerloh' Cadang Padamkan Nama Saifuddin Jadi Calon BN PRU-13 !
Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan? Posted: 21 Jun 2012 04:42 AM PDT 10 persoalan di sebalik Laporan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai projek loji pemprosesan nadir bumi Lynas. (Sila rujuk sini untuk laporan penuh PSC.) 1. Surat jaminan hanya terhad kepada dua tahun Sebelum ini, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memaklumkan rakyat, bahawa syarikat Lynas telah menandatangani surat "UNDERTAKING" untuk bersetuju mengeluarkan residu dari Malaysia, dan dipulangkan ke Australia - seandainya projek pengkitaran semula residu gagal, dan lokasi fasiliti pelupusan kekal tidak dapat dikenalpasti di Malaysia. Namun, dua surat yang dilampirkan (Lampiran IV) dalam Laporan Jawatankuasa, masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012, tercatat, "Lynas Malaysia Sdn Bhd dengan ini bertanggungjawab terhadap pengurusan residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara (Temporary Operating License - TOL) termasuk jika perlu, pemulangan kepada sumber asal." Surat "UNDERTAKING" ini tidak menjamin bahawa Lynas perlu mengeluarkan residu dari Malaysia setelah memperolehi lesen rasmi (untuk operasi 20 tahun). TOL hanya membenarkan operasi untuk tempoh dua tahun. Melainkan Lynas membuat permohonan TOL berulang-kali, dan AELB membenarkan Lynas beroperasi dengan TOL* - jika tidak, Lynas hanya akan mengeluarkan residu dari Malaysia dalam dua tahun pertama selepas beroperasi. 2. Syarat yang ketat untuk membina kilang di Australia Pada muka surat ke-37 Lampiran 1 - ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN SERTA ULASAN AGENSI DALAM SESI PENDENGARAN AWAM, AELB respon kepada persoalan yang diajukan beberapa orang penduduk Kuantan - mengapa Lynas tidak membina kilangnya di Australia, sebaliknya di Malaysia. AELB memaklumkan bahawa satu lagi syarikat pemprosesan nadir bumi Arafura Resources akan membina loji pemprosesan nadir buminya di Australia Selatan. Jawapan ini seolah-olah menyampaikan satu mesej, bahawa loji pemprosesan nadir bumi padahalnya boleh dibina di Australia, cuma Lynas tidak memilih untuk membina lojinya di Australia. Namun, seandainya prosedur permohonan Arafura Resources untuk membina loji nadir bumi di Australia diteliti, maka kita akan mendapati ia bagai langit dengan bumi - untuk bandingkan Arafura Resources dengan Lynas. Arafura Resources mendukung ketelusan dalam operasi sebermulanya. Dalam prosedur permohonan lesennya, Arafura Resources dengan jelas menyenaraikan langkah-langkahnya, dialog bersama penduduk tempatan, menunjukkan Laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) kepada penduduk tempatan. Mungkin AELB lupa bahawa ketika Lynas memohon lesennya di Malaysia, penduduk tempatan langsung tidak mengetahui apa-apa. Malah, laporan EIA dan RIA (Penilaian Kesan Radiologi) oleh Lynas hanya diumumkan apabila berdepan dengan tekanan masyarakat. Itupun pembinaanya telah siap untuk lebih 50%. 3. Ada bezanya pembinaan kilang asal di Australia PSC telah menghantar satu rombongan, yang terdiri daripada wakil AELB dan MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) untuk mengadakan lawatan saintifik rasmi ke agensi-agensi penguatkuasa Western Australia bagi menentusahkan semua dokumen, permit dan lesen yang dikemukakan oleh Lynas (M) Sdn Bhd bagi permohonan mendapatkan Lesen Kendalian Sementara (TOL) dan dokumen-dokumen berkenaan telah mendapat kelulusan daripada agensi yang berkaitan di Western Australia. Setelah bertemu dengan kerajaan Western Australia, wakil Malaysia memetik maklumat yang dibekalkan pegawai Western Australia untuk menyanggah dakwaan badan anti-Lynas, bahawa Lynas datang ke Malaysia kerana tidak dibenarkan membina loji di Australia. Dalam Lampiran VI, LAPORAN LAWATAN TEKNIKAL RASMI KE AGENSI PENGUATKUASA DI WESTERN AUSTRALIA, menunjukkan bahawa EPA (Environmental Protection Authority) Australia pada Mac 1988 telah melanjutkan lesen sebuah syarikat, Ashton Rare Earth Pty Ltd, yang melombong di Mt Weld dan membina loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar, kawasan perindustrian Australia. Syarikat Lynas telah mengambil alih Ashton Rare Earth Pty Ltd pada tahun 2003, dan mengalihkan hartanya ke bawah syarikat Lynas, termasuk lesen loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar. Syarikat Lynas di Malaysia juga menunjukkan kepada media pada 19 April 2012, bahawa syarikatnya dilanjutkan permitnya oleh kerajaan Australia, sebagai bukti bahawa syarikatnya dibenarkan membina loji di Australia. EPA juga mengesahkan bahawa operasi loji berkenaan tidak memerlukan laporan EIA selanjutnya. Laporan EIA yang baru hanya diperlukan apabila loji yang baru membawa impak yang besar terhadap alam sekitar. Secara luarannya, maklumat feedback yang dikemukakan oleh delegasi AELB kepada PSC ini menunjukkan bahawa kerajaan Australia telah memberi lampu hijau kepada Lynas untuk membina loji di Australia. Namun PSC seolah-olah tidak faham bahawa pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, adalah berbeza dengan projek pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Australia oleh Ashton Rare Earth Pty Ltd pada ketika itu. Loji Ashton Rare Earth Pty Ltd menggunakan cara pengurusan residu strategi kawalan penuh, iaitu air buangan loji akan disejatkan sepenuhnya, dan kemudian sisa yang tinggal akan dikebumikan di Mt Weld. Tetapi, loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Malaysia bakal menghasilkan 500 tan air buangan setiap jam untuk disalurkan ke Laut China Selatan. Anggota Stop Lynas Coalition, Soo Jin Hou telah menganalisa secara mendalam perbezaan antara operasi Lynas dengan Ashton Rare Earth Pty Ltd di Australia. Artikel yang ditulisnya pada tahun 2011 telah disiarkan di Free Malaysia Today. 4. Pembohongan Laporan mendakwa bahawa Lynas adalah sebuah kilang kimia yang selamat. Maklumat yang diserahkan oleh Lynas kepada PSC mendakwa lojinya adalah Atmospheric pressure, Ambient temperature, Not easily flammable. (Lampiran II "Salient Points on Lynas Advance Material Plant") Namun Lynas tidak menyatakan peringkat paling penting dalam operasi lojinya, iaitu cracking - menggunakan Rotary Kiln untuk membakar batu nadir bumi selama 2.5 jam di bawah suhu 650 darjah celsius. Dalam bidang kimia, 650 darjah celsius dianggap sebagai extreme temperature. Pembohongan Lynas bahawa lojinya beroperasi dalam "ambient temperature", sekali lagi menunjukkan masalah integritinya. 5. Lesen diberikan sebelum EIA diluluskan PSC tidak menyiasat sama ada pembinaan loji Lynas di Malaysia telah melanggar undang-undang yang ditetapkan negara kita. Dalam Laporan PSC (mukasurat 7), "Lynas kemudiannya telah mendapat kelulusan Lesen Pengilang MITI untuk menghasilkan nadir bumi oksida dan karbonat di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan berkuat kuasa pada 22 Januari 2008 yang tertakluk kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 di bawah kawalan AELB dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah kawalan JAS. Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa projek LAMP telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) daripada JAS Negeri Pahang pada 15 Februari 2008." Dengan kata lain, PSC sudah maklum bahawa lesen pengilang Lynas telah diluluskan tiga minggu sebelum laporan EIA diluluskan. Mengapa PSC tidak mempertikaikan sama ada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mematuhi prosedur yang ditetapkan? Dalam keadaan di mana kesan terhadap alam sekitar belum dikenalpasti, apakah alasan untuk MITI membenarkan pembinaan loji Lynas di Malaysia? (Bahagian pertama, bersambung) Bahagian kedua: Siapa berbohong? MITI atau Lynas? *Ketua Pengarah AELB Abdul Aziz Raja Adnan pernah mendakwa bahawa Lynas boleh memohon TOL berulang-kali, untuk melanjutkan tempoh operasinya. Namun, proses permohonan agak menelan masa dan kosnya amat tinggi. Rujuk: http://www.merdekareview.com/news_v2.php?n=23968 **Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia. Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. | ||
Siapa berbohong? MITI atau Lynas? Posted: 21 Jun 2012 04:39 AM PDT 6. Kesilapan ketika memetik laporan UNSCEAR Dalam laporan PSC (Lampiran I - ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN SERTA ULASAN AGENSI DALAM SESI PENDENGARAN AWAM), ketika menjawab persoalan dari orang ramai yang prihatin terhadap bahaya radioaktif, AELB (m/s 13, 29 dan 30) memetik laporan UNSCEAR (United Nations Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation) tahun 2010 untuk menyatakan bahawa tiada hubung kait antara dos sinaran aras rendah dengan kejadian kanser. Namun demikian, laporan UNSCEAR 2010 membuat hujahan berasaskan hasil kajian sains di seluruh dunia. Pada hakikatnya, hasil kajian sains ini tidak menyimpulkan bahawa dos sinaran aras rendah tidak akan menyebabkan kanser; sebaliknya, ahli sains menjelaskan bahawa kajian sains terhadap sinaran yang menyebabkan kanser adalah kerja yang amat kompleks, mereka memerlukan lebih banyak statistik dan masa untuk mengkaji dengan lebih terperinci. Hujah yang dikemukakan adalah, tiada statistik yang cukup setakat ini untuk membuktikan sama ada dos sinaran aras rendah merbahaya atau tidak. (*Rujukan) AELB adalah jabatan profesional yang bertanggungjawab untuk mengendalikan bidang radiasi, namun tidak memaklumkan orang ramai tentang kebenaran yang menyeluruh. Dalam keadaan demikian, AELB memetik laporan UNSCEAR untuk menafikan bahaya dos sinaran aras rendah. Tingkahlaku ini adalah tidak bertanggungjawab, tidak profesional dan disyaki mengandungi unsur penipuan. Keputusan PSC secara utamanya ditentukan berdasarkan statistik yang dikemukakan dan penjelasan AELB. Adakah AELB memaklumkan kebenaran secara menyeluruh kepada PSC dalam isu Lynas? Adakah PSC menyiasat dan mengesahkan sama ada statistik dan penjelasan yang dikemukakan oleh AELB adalah benar? 7. Kemampuan pemantauan AELB dipertikai PSC berharap AELB dipertanggungjawabkan untuk memantau Lynas, malah mencadangkan agar peruntukan kepada AELB dipertingkat, dan 0.5% daripada jumlah jualan kasar setahun Lynas dibelanjakan bagi menjalankan aktiviti R&D pengurusan residu. Persoalannya, adakah AELB berkemampuan untuk mengawal selia, dan memastikan operasi Lynas adalah selamat dan tidak membawa mudarat? Cara paling mudah untuk menguji kemampuan AELB adalah mengkaji kemampuan AELB dalam pemantauan dos sinaran alam persekitaran. AELB membelanjakan kos yang besar untuk memasang Environmental Radiation Monitoring System (ERMS) di tujuh lokasi, untuk memantau dos sinaran alam persekitaran di seluruh Malaysia. Namun sistem tersebut gagal beroperasi secara normal setelah setahun dipasang. Lebih-lebih lagi, AELB hanya tampil memberi penjelasan selepas orang umum membuat aduan kerana mendapati kesilapan pada sistem tersebut. Sehingga hari ini, laman utama AELB masih memaparkan "ERMS Lahat sedang diselenggara". 8. DEIA tidak diperlukan untuk pioneer? PSC telah mengumumkan laporan prosiding yang diadakan di tapak pentadbiran Lynas Malaysia, Kuantan pada 10 Mei 2012. Pada muka surat ke-15, Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Mashal Ahmad menyebut perkara mengenai PEIA dan DEIA. Beliau mengesahkan bahawa Jabatan Alam Sekitar Malaysia memberitahu Lynas bahawa Lynas tidak perlu menyerahkan DEIA. Mashal Ahmad (gambar kiri) dipetik berkata, "Okay, when we came here, we wrote a letter to the DOE head office through our environ consultant which is an international company based in Malaysia. So the reply was 'You do not need to do detailed EIA'. The report is still the same. 'You need not display'. Why, because this is already an established industrial area. You do detailed EIA - you put for public display and comment if you want to built your plant in an area where there is no other, if you are the pioneer, I mean you are the first to go to that area." Menurut apa yang dikatakan Mashal Ahmad di atas, Lynas tidak perlu membentangkan DEIA (maksudnya tidak perlu mendedahkan laporan tersebut kepada orang ramai) kerana loji pemprosesan nadir bumi bukan lagi industri yang baru di Malaysia. Kontradiksinya, Lynas dikecualikan cukai selama 12 tahun kerana dianugerahkan status strategic pioneer oleh MIDA. Jadi, apakah loji kilang pemprosesan nadir bumi Lynas masih merupakan pioneer? Selain itu, Marshal Ahmad telah salah faham perbezaan antara DEIA dengan PEIA. Pada hakikatnya, sama ada DEIA perlu diserahkan, ia bergantung kepada impak industri tersebut terhadap alam sekitar, dan bukannya sama ada ia industri pioneer atau tidak. Misalnya, industri petrokimia bukan industri baru di Malaysia, namun JAS masih menetapkan industri petrokimia untuk mengemukakan DEIA, tanpa kira apa jenis sekalipun. 9. Pengecualian cukai 12 tahun adalah pampasan Selepas PSC mengemukakan laporan, Menteri MITI Mustapa Mohamed berkata, Lynas pernah memohon kepada kerajaan agar syarikatnya dikecualikan cukai selama 15 tahun, namun kerajaan hanya meluluskan untuk 12 tahun. Namun, dalam laporan Lynas tahun 2007 (suku akhir) (mukasurat keempat), dengan jelas menyatakan bahawa ketika Lynas mahu membina lojinya di Terengganu, MIDA memberi insentif pengecualian cukai selama 10 tahun. Perkembangan seterusnya menyaksikan MIDA meningkatkan insentifnya dari 10 tahun ke 12 tahun, sebagai pampasan kepada kerugian masa Lynas, yang memindahkan lojinya dari Terengganu ke Kuantan. Persoalannya, pengecualian cukai selama 12 tahun (kebiasaanya 10 tahun) adalah disebabkan status strategic pioneer-nya, atau kerana untuk memberi pampasan kepada loji Lynas lantaran kerugian yang dialaminya kerana pemindahan loji? Laporan suku tahun Lynas mendakwa ia adalah "pampasan". Tetapi menurut laporan prosiding taklimat Lynas Malaysia kepada PSC mengenai projek LAMP pada 10 Mei 2012 (mukasurat 19), Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Mashal Ahmad memberitahu PSC, Lynas memilih untuk meninggalkan Terengganu kerana terlalu lama menunggu maklum balas kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2007, yang tidak memberi respon. Jadi, seandainya Lynas yang memilih untuk meninggalkan Terengganu, mengapa pula MITI perlu memberi pampasan? Siapa yang membohong dalam isu pengecualian cukai - Menteri MITI Mustapa Mohamed atau Lynas? 10. TOL PSC mengesyorkan supaya Lynas mengemukakan hasil penyelidikan pengkitaran semula, pengurangan sisa (waste minimization), penggunaan dan pengkomersialan residu yang dihasilkan oleh LAMP dalam tempoh 10 bulan selepas TOL dikeluarkan. Cadangan ini memperlihatkan ketandusan pengetahuan PSC dalam industri. Dalam bidang kejuruteraan dan industri, prosedur yang normal untuk pembinaan kilang adalah - bermula dengan pengumpulan statistik dari eksperimen secara kecil-kecilan di makmal sains, kemudian membina Pilot Plant untuk mengumpul statistik yang lebih banyak - untuk disemak kedua-dua angkanya. Seandainya kedua-dua angka itu bersesuaian, maka nisbah ditambah selanjutnya, dan pelaburan dicurahkan untuk membina kilang. Dengan kata lain, sebelum mengambil keputusan untuk melabur dalam pembinaan loji, Lynas sepatutnya telah memiliki statistik berhubung pengkitaran semula residu. Menurut laporan PSC (Lampiran II - Synthetic Mineral Product Development), Lynas dalam laporannya kepada PSC pada 10 Mei 2012 mendakwa penyelidikan pengitaran semula WLP telah dijalankan bermula tahun 2008, malah mempunyai 11 rakan penyelidik di dalam dan luar negeri. Mengapa tidak Lynas mendedahkan hasil penyelidikannya sedangkan empat tahun telah berlalu? Jikapun Lynas memerlukan lebih banyak statistik untuk menyemak hasil penyelidikannya, namun mengapa tidak Lynas mengumumkan statistik yang ada sekarang untuk diteliti pakar - mengenalpasti sama ada projek ini boleh dijalankan. Lynas mencurahkan pelaburan sejumlah RM2.5 bilion untuk pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Malaysia. Apakah Lynas langsung tidak pernah memikirkan pengendalian residunya sebelum ini, dan hanya diselidik selepas kilang beroperasi? Segala-gala ini mencungkil kecurigaan ramai terhadap dakwaan Lynas dan AELB, bahawa TOL perlu diberikan agar Lynas mampu membuat penyelidikan pengkitaran semula. Dakwaan sedemikian disyaki sekadar alasan untuk mempercepatkan pemberian TOL kepada Lynas. (Bahagian kedua, tamat) Baca: Lynas tidak jamin keluarkan residu dari Malaysia sepanjang operasi 20 tahun Bahagian pertama: Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan? *Rujukan http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11142211 http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0531513104017492 http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0531513104017273 **Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia. Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. | ||
Lynas tidak jamin keluarkan residu dari Malaysia sepanjang operasi 20 tahun Posted: 21 Jun 2012 04:36 AM PDT Kelmarin, Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) membentangkan laporannya mengenai loji pemprosesan nadir bumi Lynas, mendedahkan maklumat dalaman yang baru. Sekali lagi, ia menunjukkan kerajaan yang sentiasa mengeluarkan kenyataan kabur dan mengelirukan. Terbaru, surat syarikat Lynas yang didedahkan menunjukkan bahawa syarikat Lynas sekadar menjanjikan bahawa residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara dikeluarkan dari Malaysia, dan bukannya residu yang terhasil sepanjang operasinya selama 20 tahun di sini. PSC membentangkan laporannya mengenai loji Lynas, semalam, malah dilampirkan bersama laporan daripada kementerian berkenaan, Lynas, pakar, laporan pendengaran awam, mesyuarat, dan sebagainya, selain dua pucuk surat jaminan daripada Lynas. Dalam dua pucuk surat yang masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012, Lynas Corporation Ltd., Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. menulis bahawa pihaknya "bertanggungjawab terhadap pengurusan residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara (Temporary Operating License - TOL) termasuk jika perlu, pemulangan kepada sumber asal." Oleh itu, Lynas sekadar menjanjikan bahawa pihaknya bertanggungjawab untuk menguruskan residu yang terhasil semasa tempoh TOL, dan mengeluarkannya dari Malaysia jika perlu - bukannya menjanjikan agar residu yang terhasil dalam tempoh operasi 20 tahun dikeluarkan dari Malaysia. Namun, PSC tidak memaklumkan kepada kita akan hakikat ini, sebaliknya mengesyorkan, "sekiranya penyelidikan pengkitaran semula serta lokasi tidak dapat dikenal pasti atau diluluskan, Lynas hendaklah membawa residu yang dihasilkan oleh LAMP keluar dari Malaysia. Dalam hubungan ini Jawatankuasa mengambil maklum bahawa pihak Lynas Corporation Ltd., Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. telah mengemukakan surat masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012 yang merakamkan komitmen untuk membawa keluar residu LAMP dari Malaysia." Selain itu, laporan PSC mendakwa bahawa projek LAMP (Lynas Advance Material Plant) adalah sebuah kilang kimia yang selamat. Lebih-lebih lagi, maklumat yang dibentangkan Lynas kepada PSC menunjukkan bahawa proses operasinya tidak melibatkan tekanan tinggi, mengekalkan suhu alam dan bukan bahan mudah bakar. Padahalnya, salah satu peringkat pemprosesan kilang tersebut melibatkan suhu setinggi 650 darjah celsius. Dalam bidang kimia, 650 darjah celsius dianggap suhu ekstrem (extreme temperature). Dalam tulisan seterusnya, MerdekaReview akan membangkitkan 10 persoalan dan keraguan daripada laporan PSC yang dibentangkan semalam. Bahagian pertama: Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan? Bahagian kedua: Siapa berbohong? MITI atau Lynas? *Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia. Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. | ||
Mahathir - Pesara Yang Tidak Tenang Jiwanya Posted: 21 Jun 2012 04:31 AM PDT Oleh Shahbudin Husin Mahathir mungkin satu-satunya pesara jawatan tertinggi di Malaysia dan dunia, yang tetap memenuhkan setiap hari yang dilaluinya dengan kesibukan mengkritik dan memikirkan tentang politik. Jika pesara lain yang pernah menjadi Perdana Menteri atau Presiden mana-mana negara, mereka hanya lebih banyak menjalani kehidupan santai bersama keluarga dan anak cucu serta sesekali menghadiri jamuan selepas meletakkan jawatan, ini tidak berlaku kepada Mahathir. Sejak melepaskan jawatan pada 2003 dan kemudian berlaku episod Anwar dibebaskan dari penjara, perselisihannya dengan pengganti yang dipilihnya sendiri iaitu Pak Lah dan keputusan buruk pilihanraya 2008, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak pernah duduk diam. Menjelang pilihanraya akan datang ini di mana musuh utamanya, Anwar sedang mengintai untuk menuju ke Putrajaya dan dalam masa yang sama UMNO semakin ditolak rakyat, Mahathir kelihatan semakin sibuk dan menjadi tidak tenang jiwanya. Pelbagai pandangan, tulisan, kritikan dan ucapan mengenai politik, masa depan negara, UMNO, Anwar dan sebagainya sudah diluahkannya. Matlamatnya tidak lain, mengelak impian Anwar menjadi Perdana Menteri menjadi kenyataan. Baru-baru ini beliau bercakap tentang demokrasi, pembaharuan dalam pentadbiran Najib yang disifatkannya menggalakkan ekstremisme dan kebimbangannya jika Anwar menyalahgunakan kuasa setelah berjaya menjadi Perdana Menteri dan seterusnya memungkinkannya di bawa ke muka pengadilan dan dipenjarakan. Jelas bahawa Mahathir mulai bimbang dengan kebangkitan rakyat yang mahukan pembaharuan sebagaimana yang telah berlaku di beberapa negara sebelum ini.Namun dengan membuat andaian bahawa kemungkinan beliau akan menjadi mangsa balas dendam Anwar, beliau mengharapkan rakyat menolak perubahan dan lebih melihat kesan buruknya berbanding kebaikannya. Mahathir akan terus mengkritik Anwar dan pembangkang sehingga tarikh pilihanraya diumumkan dan ketika tempoh kempen, keaktifannya mungkin berganda lagi. Jiwa pencennya tidak akan tenang selagi Anwar masih bernafsu untuk merebut kuasa. Beliau ghairah mempertahankan UMNO bukan sangat kerana sayangkan Najib tetapi semata-mata mahu mengelak rakyat memilih Anwar sebagai Perdana Menteri. Jika diimbas pencapaian dan kejayaan Mahathir menundukkan musuh-musuh politiknya, beliau sepatutnya sudah boleh menggunakan tempoh persaraan ini dengan jiwa lebih tenang. Semua musuh politiknya berjaya ditunduk dan dijinakkan. Beliau memang boleh berbangga dengan pencapaian itu. Tetapi putaran kehidupan menjadikan beliau lebih serabut dan kalut berbanding bekas musuh-musuh yang pernah dikalahkannya itu. Musa Hitam, musuh politiknya yang pertama, kelihatan lebih enjoy dan tenang di usia persaraan ini dengan menceburi dunia korporat dan banyak menghabiskan masa di luar negara. Tengku Razaleigh yang ditewaskannya pada 1987, walaupun masih aktif dan bernyawa dalam politik tetapi jiwanya kini juga pasti lebih tenang dan santai berbanding Mahathir. Begitu juga dengan Pak Lah, sejak bersara pada 2009, beliau mengambil keputusan bersara sepenuhnya dan tidak pernah menyusahkan penggantinya iaitu Najib. Masanya banyak dipenuhkan bersama keluarga dan hanya sesekali muncul di khalayak ramai. Hanya Anwar, musuhnya yang turut tidak tenang tetapi Anwar belum bersara dan sedang gigih mendaki tangga untuk menawan Putrajaya. Kenapakah Mahathir tidak setenang Musa Hitam, Ku Li dan Pak Lah? Mahathir menjadi sedemikian rupa tentunya ada kaitan dengan langkah-langkah politik yang dilakukannya sepanjang 22 tahun berkuasa yang kadang-kadang dilihat zalim dan keterlaluan. Beliau tidak pernah ada perikemanusiaan terhadap penentang yang mahu menggugat kuasa yang sedang disandangnya. Apabila melantik Pak Lah sebagai penggantinya, beliau antara lainnya tentulah mengharapkan dapat bersara dengan aman dan tenang. Tetapi bermula dengan pembebasan Anwar dari penjara dan kemunculan pengaruh KJ menyebabkan Mahathir kembali menyingsing lengannya. Dan sejak itu, sekitar tahun 2004 sehinggalah sekarang, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak tenang jiwanya. Mahathir kini bagai diburu oleh dosa-dosa silamnya. Kerakusan untuk mempertahankan kuasanya suatu ketika dahulu sehingga tiada perasaan belas terhadap orang lain menyebabkan beliau kini sentiasa dibayangi ketakutan dan kebimbangan. Walaupun mengakui tidak bimbang jika nasibnya menjadi seperti Hosni Mubarak atau Muammar Gaddafi tetapi keaktifannya bersuara akhir-akhir dan mahu rakyat mengelak perubahan berlaku dalam politik negara seperti di beberapa negara Arab, jelas bahawa Mahathir mempunyai kebimbangan itu. Jika UMNO dan BN tumbang, bukan sahaja legasinya akan musnah malahan kedudukan dirinya sendiri juga menjadi tidak menentu. Masa depan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan juga menjadi buntu. Bolehkah kita membayangkan bagaimana kehidupan Mahathir jika Anwar menjadi Perdana Menteri? Dengan kita pun tidak mampu membayangkannya, maka tentulah Mahathir sendiri tidak mahu membayangkan nasib dirinya ketika itu nanti. Kiranya apa yang sedang dilaluinya kini dinamakan pembalasan, Mahathir tentunya sedang meniti detik-detik sengsara akibat dosa-dosa silamnya. Sementara menjalani kehidupan hari tua tidak sebagaimana bekas Perdana Menteri lainnya di mana-mana di dunia ini, dan jika sesekali terbayang di kepalanya kemungkinan UMNO kehilangan kuasa dan Anwar pula menduduki kerusi Perdana Menteri yang pernah didudukinyan selepas pilihanraya akan datang ini, derita jiwanya pasti lebih parah lagi. Mahathir kini sedang bertarung mengelakkan semua itu. http://shahbudindotcom.blogspot.com | ||
Khairy sokong Perancis, sindir Najib? Posted: 21 Jun 2012 04:23 AM PDT Oleh Mohd Rashidi Hassan Budak ini memang selamba. Hendak kata cerdik pun tidak seberapa. Hendak kata tidak pandai berpolitik pun, mungkin juga. Tetapi selalu sahaja terkeluar rel. Wrong person at wrong timing and wrong place. Inilah masalahnya dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang juga Ahli Parlimen Rembau Cita-citanya amat besar. Suatu ketika dahulu dicetuskan rumours, beliau digilap politiknya oleh kumpulan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun, beliau bernasib malang apabila pada Pilihan Raya Umum 2008, parti dan kerajaan yang diterajui bapa mertuanya, hampir tumbang dipukul badai tsunami Pakatan Rakyat. Dengan perletakan jawatan Abdullah sebagai PM, selepas setahun digelodak orang Umno, nasib Khairy dalam politik turut malap. Khairy orang muda. Jiwanya, jiwa muda. Banyak gambar pelbagai aksi beliau boleh diperolehi dalam internet. Dari duduk santai minum-minum di kelab, berpakaian ala wanita, berjoget di Perhimpunan Belia, macam-macam ada. Khairy juga minat sukan bolasepak. Beliau adalah Timbalan Presiden FAM. Tetapi, kalau pun peminat bolasepak, harus juga peka sensitiviti orang lain. Khairy ahli politik, tetapi selalunya politik 'makan diri'. Khairy berhimpun dan berdialog dengan geng twitternya di KLCC, 15 Jun lepas. Beliau memakai jersi pasukan bolasepak Perancis. Kononnya hendak sehati sejiwa dengan anak muda, tetapi tanpa beliau sedari, beliau melakukan suatu tindakan yang amat-amat sensitif, pada pandangan ketuanya, Dato' Seri Najib Tun Razak. Dalam menjalankan tugas sebagai PM, ada banyak negara Najib suka pergi. Tetapi beliau cukup tidak berkenan dengan negara Perancis, buat masa ini. Isunya ialah apabila namanya disabitkan oleh mahkamah Perancis, sebagai orang yang harus disoalsiasat sebagai saksi dalam kes penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene. Perancis tidak mendakwa Najib terbabit dalam penyelewengan atau rasuah. Perancis juga tidak mendakwa Najib terbabit membunuh Altantuya. Tiada siapa pun yang menuduh Najib terbabit membunuh Altantuya. Orang seperti pencacai Zulkifli Noordin yang memfitnah dan berbohong siang malam, menuduh Dato' Seri Anwar Ibrahim mengatakan Najib membunuh Altantuya. Semasa Zulkifli belum melompat, beliaulah yang menjaja dan memaki hamun Najib serta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, di merata ceramah dan kuliah. Dia yang mula-mula menuduh Najib dan Rosmah, sebaliknya selepas membuat pusingan u-turn, beliau mendakwa orang lain yang menuduh Najib. Manusia yang sejahat ini harus dihapuskan daripada politik Malaysia, biar dia balik Baling tanam pokok getah lagi baik. Isu Scorpene yang mula dibicarakan di mahkamah Perancis inilah yang menggusarkan Najib. Ia akan mengaitkannya dengan bekas kroni kanannya, Abdul Razak Baginda. Perbicaraan Scorpene akan membongkar penyelewengan urusniaga pembelian kapal selam untuk angkatan tentera Malaysia, akan mengheret Najib dan orang rapatnya Razak baginda ke Mahkamah negara itu. Dilaporkan terdapat berita terbaru mengatakan, saksi pertama kes skandal penyelewengan kapal selam Scorpene akan hadir ke mahkamah Perancis kerana sapina terhadapnya, telah dikeluarkan oleh Mahkamah negara itu. Bulan Julai ini, Razak Baginda dijangka juga akan dipanggil memberi keterangan dalam kes melibatkan salah urus niaga itu. Selepas itu, dikhabarkan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Najib pula akan dipanggil. Dari sudut undang-undang, mahkamah Perancis berhak mengeluarkan sapina kepada Najib dan Zahid. Dan jika kedua-duanya ingkar dan enggan mematuhi sapina yang dikeluarkan, maka waran tangkap boleh dikeluarkan. Perancis adalah sebuah negara yang mengikat perjanjian dengan Kesatuan Eropah. Persoalannya, jika waran tangkap dikeluarkan, apakah ianya meliputi negara Perancis sahaja, atau seluas tanah jajahan Eropah? Maksudnya, apakah keengganan Najib dan Zahid mematuhi sapina yang dikeluarkan akan memberi implikasi, bahawa mereka boleh ditangkap di mana-mana negara Eropah? Mungkin tidak perlu kita selami lebih jauh apakah implikasi perbicaraan Scorpene kepada Najib dan masa depan politik Umno-BN. Cukup untuk kita andaikan, kemungkinan jika kes tersebut dibongkar, ianya akan menyebabkan PM berada dalam keadaan yang amat tidak selesa. Media tempatan boleh ditutup, tetapi laporan media antarabangsa yang boleh dilayari menerusi internet, bagaimana BN hendak sekat. Kembali kepada soal jersi Perancis yang dipakai Khairy tadi. Jelas beliau tidak peka dengan sensitiviti Najib. Dalam keadaan sekarang perkataan Perancis pun dia tak berapa sudi hendak dengar atau mungkin juga jika perkataan itu terdengar, PM akan pening kepala. Tapi Khairy dengan selambanya, dengan suka-suka hati memperli Najib dalam satu pertemuan antara ketua pemuda itu dengan pengikut twitter beliau. Khairy memakai baju jersi negara Perancis yang mengambil bahagian dalam pertandingan bolasepak Euro 2012 yang berlangsung sekarang. Buat masa ini kalau minat bolasepak pun, tak payahlah sokong Perancis. Sokonglah Sepanyol ke, Portugal ke, England pun tidak mengapa. Ada orang Umno bertanya, apa maksud yang Khairy mahu sampaikan? Mengapa dalam ketakutan orang Umno terhadap isu Scorpene yang sedang dibicarakan di Perancis, Khairy terang-terangan memakai jersi Perancis? Atau pun mungkin Khairy ada maksud yang tersirat hendak memperli Najib. Apakah Khairy masih berdendam dengan juak-juak Najib yang menjatuhkan bapa mertuanya dari jawatan PM dan Presiden Umno, atau masih bengang kerana Najib tidak melantiknya ke jawatan kabinet, sedangkan beliau Ketua Pemuda? Khairy ada menyebutkan bahawa beliau baru menjalankan 50 peratus tugas sebagai Ketua Pemuda. Beliau meminta diberikan jawatan itu sepenggal lagi. Tetapi Khairy bakal melalui laluan sukar kerana beliau tidak dikehendaki kedua-dua kumpulan Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kumpulan Najib memang tidak berminat dengan Khairy. Manakala Muhyiddin yang bercita-cita besar untuk menggantikan Najib, terpaksa bersandar dengan sokongan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Semua orang Umno tahu Dr Mahathir dan Khairy berseteru. Dengan situasi yang ada sekarang, Khairy memang tiada peluang lagi. Bukan sahaja jawatan Ketua Pemuda, jawatan Ahli Parlimen Rembau pun khabarnya sudah hampir pasti dicantas. Khairy harus sedar bahawa iklim politik sekarang ini, tidak memihak kepada Umno-BN. Oleh kerana itu, tidak perlulah beliau merayu Umno mengekalkan beliau sebagai Ketua Pemuda atau MP sepenggal lagi, kerana belum tentu selepas PRU ke-13 nanti Umno wujud lagi. | ||
Penilaian terhadap UMNO/BN ialah kepada kadar rasuah dan isu rasis Posted: 21 Jun 2012 03:55 AM PDT Oleh Aspan Alias Saya selalu berkata UMNO Baru sudah hilang hidayah dalam mentadbir negara. Bagi UMNO Baru modalnya hanyalah satu iaitu isu pembangunan dan gula-gula kewangan terhadap rakyt. Bagi UMNO Baru kerajaan yang baik itu ialah kerajaan yang boleh membina lapangan terbang, membina sekolah, melebarkan jalan, menyediakan bekalan air dan api letrik dan sebagainya. UMNO Baru tidak lagi memahami bahawa pembangunan fizikal itu hanyalah sebahagian yang kecil daripada apa yang dikatakan sebagai 'nation building' itu. Itulah sebabnya UMNO Baru dan pemimpin-pemimpinnya tidak terlepas daripada mengungkit apa yang telah dilakukan terhadap rakyat dan negara. Suatu ketika dahulu bantuan subsidi gigi palsu pun dijadikan umpan untuk orang-orang kampung mengundi parti itu di dalam pilihanraya. Di kampung saya suatu ketika dahulu bantuan lembu pawah juga menjadi isu untuk memaksa orang memilih BN. Semuanya itu adalah pembangunan yang menggunakan wang rakyat dan pemimpin yang dipilih itu juga dibayar gaji dan elaun oleh rakyat. Tidak sedar mereka itu yang nasib mereka itu adalah di tangan rakyat tetapi mereka tetap mengatakan bahawa pembangunan itu semua adalah budi kerajaan BN. Mereka tidak pernah untuk kembali berfikir yang mereka itu duduk di atas singgahsana kuasa itu adalah pemberian rakyat. Sesiapa juga atau parti mana pun yang diberi mandat akan melakukan pembangunan kerana harga pembangunan itu dibayar oleh rakyat, bukannya oleh UMNO Baru atau pemimpin mereka. Di Pulau Pinang dan Selangor, misalnya pembangunan rakyat dibiayai oleh rakyat negeri-negeri itu melalui segala bentuk cukai yang dikutip dari rakyat. Kerajaan kedua-dua negeri itu telah berjaya melakukan apa yang dilakukan oleh kerajaan BN selama ini malahan ianya dilakukan dengan lebih baik dan transperan dari kerajaan BN dahulu. Rasuahnya tiada lagi seperti yang begitu lazim semasa BN memerintah negeri-negeri tersebut. Pemimpin BN persekutuan tidak pula mahu menyebut peranan besar yang diberikan oleh kedua-dua kerajaan PR ini terhadap negara. Elok pemimpin BN membuat kenyataan yang kedua-dua kerajaan negeri PR ini menyumbang sebanyak 40% dari hasil GDP negara. Itulah salah satu sebabnya rakyat di kedua-dua buah negeri ini tidak mahu lagi dijaga dan ditadbir oleh BN kerana kerajaan BN telah menyalahgunakan sumber kewangan negara yang 40% darinya adalah sumbangan kerajaan dan rakyat kedua-dua buah negeri ini. Belanja lawatan Najib dan Muhyiddin ke seluruh negara yang memakan belanja ratusan juta ringgit itu pada hakikatnya adalah dibiayai oleh sumber kewangan dari kerajaan yang mana 40% darinya adalah sumbangan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Bayangkan satu lawatan PM akan membelanjakan jutaan ringgit. Maklum sajalah peruntukan menyewa bas yang beratus buah dan kadangkalanya ribuan buah untuk mengangkut rakyat untuk datang menyambut PM itu sahaja memakan belanja ratusan ribu jumlahnya. Itu belum lagi belanja sewaan kerusi dan khemah yang banyak. Sewa kerusi yang lazimnya hanya 0.65 sen bagi sebuah kerusi kroni UMNO Baru yang menyediakan kerusi itu akan tekan harga dari penganjur sebanyak RM1.70 sen. Kalau jumlah kerusi yang disewa itu sebanyak 20,000 buah bayangkan berapa harganya. Karipap yang sebesar ibu jari itu ditekan harganya sehingga satu ringgit bagi satu karipap bayangkan harga yang perlu dibayar untuk menyediakan 100,000 karipap. Kalau karipap itu tebal dan tembam tak apa juga! Apabila habis upacara baru sedar semuanya adalah pembaziran kerana jumlah orang yang datang memberikan sambutan itu jauh lebih kecil dari yang dijangkakan. Semuanya ini pembaziran besar. Lawatan PM dan DPM ini tidak memberi apa-apa kebaikan selain daripada menghabiskan karipap sahaja. Ingat, rakyat dari negeri PR juga membayar cukai dan penyumbang besar kepada kantung kewangan negara. Mahal betul untuk mengekalkan kuasa dan kosnya itu ditanggung oleh rakyat. Budaya ini wajar dihentikan kerana ia merupakan pembaziran kepada sumber kewangan rakyat dan negara. Sesungguhnya lawatan peribadi itu yang penting, tetapi yang lebih penting ialah dasar-dasar yang baik dan implimentasinya yang cekap. Yang patut turun kepada rakyat ialah dasar yang diimplimentasikan dengan baik dan cekap terhadap rakyat Rakyat merasakan yang dasar-dasar itu benar-benar sampai ke bawah bukannya dapat bersalam dengan PM dan isterinya. Setakat bersalaman dengan orang ramai bukan lagi cara politik zaman moden ini. Cara itu memang telah diamalkan sejak zaman berzaman, tetapi inilah yang kita dapati sekarang ini. Politik menjadi permainan yang mengelirukan semata-mata kerana budaya bersalaman tetapi tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat jelata. Sudah lima puluh lima tahun pemimpin turun bersalaman tetapi rakyat masih tidak berpuas hati kerana salam yang tidak membawa apa-apa faedah kepada mereka (rakyat). BN dan UMNO Baru tidak sedar bahawa penilaian (judgement) terhadap pimpinan mereka ialah kepada dua perkara penting. Pertamanya ianya akan dinilai dari tahap rasuah yang diamalkan oleh UMNO Baru dan pimpinannya serta kerajaan yang melaksanakan dasar yang digubal. Keduanya sejauh mana kejayaan perhubungan di antara kaum di negara ini. Apabila isu perkauman dimainkan oleh UMNO Baru dengan begitu nyata maka itulah yang menyebabkan pola dan 'tendency' pengundian didasarkan kepada kaum dan 'ethnic' dan apabila perkara ini berlaku maka perhubungan kaum akan menjadi begitu tegang seperti yang kita lihat dan alami sekarang ini. Itulah sebabnya sekarang parti-parti dalam PR sedang mendapat sambutan daripada rakyat yang dahagakan 'national unity' yang sebenarnya. Rakyat tahu mereka (rakyat) tidak akan mendapat keharmonian ini selagi UMNO Baru masih berkuasa selepas pilihanraya nanti. UMNO Baru terlalu rasis untuk kepentingan Melayu kononnya, tetapi Melayu tidak ke mana juga. Takkan Melayu boleh meletakkan nasib masa depannya kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sejemput itu. Melayu yang mendapat habuan besar terus menerus hanyalah Melayu yang menjadi ahli ekskusif kepada parti itu yang jumlahnya boleh dikira dengan jari sahaja. UMNO Baru sendiri telah mengabaikan orang Melayu sendiri, tetapi masih menyanyikan lagu rasis ini kerana pilihanraya akan datang tidak lama lagi. | ||
Kota Siputeh: Mahkamah persekutuan tangguh penghakiman Posted: 21 Jun 2012 12:04 AM PDT BERNAMA Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada ketidakhadiran wakil rakyat Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sarif pada dua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah membawa kepada kegagalan menghadiri dua mesyuarat berturut-turut, menyebabkan kerusi itu dikosongkan.' Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujahan rayuan oleh Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail. Abdul Isa merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Ogos tahun lalu yang memutuskan tiada pengosongan kerusi di kawasan itu selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Abu Hassan. Hakim Zulkefli berkata mahkamah tidak akan terburu-buru dalam memutuskan rayuan itu dan akan memberi alasan penuh dalam penghakiman. Panel tersebut dianggotai oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Mohd Yusoff, Datuk Ahmad Maarop, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Zainun Ali. Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk Hafarizam Harun masing-masing mewakili Abdul Isa dan Abu Hassan manakala Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili SPR. Sulaiman berkata Mahkamah Rayuan telah silap dalam mentafsirkan Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah dengan mengimport perkataan 'sesi' dalam definasi dan membuat kesimpulan bahawa Abu Hassan tidak gagal hadir pada dua sidang dewan secara berturut-turut dan oleh itu tidak mengakibatkan kerusi DUN dikosongkan. Perkara 51 menyatakan jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong. Beliau berkata Perkara 51 tidak menyatakan mesyuarat dua kali berturut-turut perlu diadakan dalam persidangan sama. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mesyuarat pada 19 April dan 9 Ogos (mesyuarat kelima sesi pertama dan mesyuarat pertama sesi kedua masing-masing), yang mana Abu Hassan tidak hadir bukan dua mesyuarat berturut-turut. Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 16 Nov 2009 yang mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh ekoran kegagalan Abu Hassan menghadiri dua persidangan Dewan secara berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos 2009. Sulaiman berhujah oleh sebab Sultan Kedah tidak memprorog persidangan itu, maka sesi pertama diteruskan dan mesyuarat pada 9 Ogos 2009 adalah sebenarnya mesyuarat keenam dalam sesi pertama. "Pendirian Speaker adalah bahawa Perkara 51 merujuk kepada mana-mana dua mesyuarat berturut-turut sama ada diadakan sekali dan sesi yang sama atau dalam sesi berlainan," katanya. Amarjeet berhujah borang perisytiharan mesyuarat 9 Ogos 2009 disytihar sebagai mesyuarat pertama bagi sesi kedua, dilihat sebagai memprorog sesi pertama persidangan itu. Abdul Isa mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPR tidak mengadakan pilihanraya kecil selepas beliau (Abul Isa) mengisytiharkan kerusi Abu Hassan menjadi kosong. Bernama | ||
Anti-BERSIH berkeras mahu berhimpun di stadium Posted: 21 Jun 2012 12:03 AM PDT Kumpulan anti-BERSIH Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) berkeras untuk mengadakan perhimpunan besar anti gabungan pilihan raya bersih dan adil di stadium. Bagaimanapun, menurut pengerusinya Datuk Jamal Md Yunus, buat masa ini pihaknya masih menunggu kebenaran daripada pengurusan Stadium Merdeka dan kebenaran pihak polis, yang telah dipohon sejak dua minggu lalu. "Kita sedang menunggu keputusan pihak stadium dan polis. Tarikhnya mungkin berubah. Saya tidak pasti tarikhnya bila," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. Jamal berkata, pihaknya sebelum ini bercadang mengadakan perhimpunan di Stadium Bukit Jalil pada 23 Jun akan datang tetapi terpaksa membatalkan hasranya kerana stadium itu dalam proses pengubahsuaian. Bulan lalu, MTPKL mengadakan perhimpunan yang dinamakan "BERSIH 4.0 Cintakan Negara" di depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di Kuala Lumpur, bagaimanapun tanpa membuka gerai jualan seperti dirancang awal. Mereka juga mencetuskan sensasi media apabila menawarkan pelbagai hadiah mewah, termasuk Lamborghini dan BMW sekiranya laman Facebook mereka mencapai jumlah sasarah peminat tertentu. Jamal – yang juga pengusaha ikan bakar – berkata, perhimpunan mereka akan dimeriahkan dengan kira-kira 200 gerai jualan yang akan dibuka semasa perhimpunan itu, jika permohonan mereka diluluskan pihak pengurusan stadium. Sementara itu, Jamal mendakwa kempen maya mereka di Facebook kini menghadapi masalah kerana laman sosial itu digodam sehingga mereka tidak boleh akses. "Jadi kita himpun tandatangan (secara manual). Peserta yang berjaya akan diberi hadiah cabutan bertuah Lamborgini dan BMW," katanya lagi. | ||
AGM MAS hari ini dijangka hangat Posted: 20 Jun 2012 11:56 PM PDT Mesyuarat agung tahunan Malaysian Airlines System (MAS) hari ini dijangka hangat apabila pemegang saham membangkitkan isu-isu panas berhubung kontroversi yang menyelubungi syarikat penerbangan nasional itu. Difahamkan beberapa pemegang saham atau proksi mereka akan menyoal pihak pengurusan kanan syarikat itu mengenai kes saman terhadap bekas pengerusi Tan Sri Tajudin Ramli dan kegagalan perjanjian pertukaran saham dengan pesaing utamanya, AirAsia. Lebih lebih menarik lagi, difahamkan salah seorang pemegang saham akan diwakili ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (kanan), yang lantang membangkitkan isu-isu yang membabitkan MAS. Wee banyak menulis mengenai isu-isu tersebut dalam blognya semalam. Usaha untuk menghubung Wee petang semalam selepas persidangan Dewan Rakyat telah ditangguhkan, tidak berhasil. Selepas lapan bulan berdepan dengan kemelut dalaman, perjanjian pertukaran saham antara MAS dan AirAsia, telah dibatalkan bulan lepas. Perjanjian itu bertujuan membantu MAS, yang sedang bergelut dengan masalah kewangan. Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih terbesar pada bulan Mac - RM2.52 bilion - bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011. Mengapa Rashdan berhenti? Seorang lagi pemegang saham yang enggan namanya disiarkan berkata, para pemegang saham juga dijangka menuntut penjelasan berhubung peletakan jawatan Mohammed Rashdan Yusuf baru-baru ini sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif kumpulan MAS Rashdan berhenti tidak lama selepas MAS mengumpulkan RM2.5 bilion melalui bon sukuk yang dijamin oleh kerajaan pusat. | ||
Mahkamah benar aktivis cabar penggantungan universiti Posted: 20 Jun 2012 11:47 PM PDT Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Adam Adli Abdul Halim untuk mencabar keputusan universiti tersebut yang menggantung pengajiannya selama tiga semester. Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Abang Iskandar Abang Hashim membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujah peguam Fadiah Nadwa Fikri dan Afiq M Noor secara tertutup dalam kamar. "Hakim membenarkan permohonan ini selepas mendapati ia tidak leceh (frivolous) dan ada merit," kata Fadiah sewaktu bercakap kepada pemberita di luar mahkamah. Tambahnya lagi, tarikh untuk kes itu didengar akan dimaklumkan mahkamah kemudian. Adam Adli (atas) yang terkenal kerana menurunkan bendera Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di PWTC di ibu negara semasa demontrasi pelajar pada 17 Disember tahun lalu digantung pengajiannya bermula 8 Mac. Jika keputusan penggantungannya kekal, siswa tersebut hanya akan dibenarkan menyambung semula pengajiannya sekitar September 2013. UPSI pada 9 Januari lalu memutuskan untuk menggantung pengajian Adam Adli atas tuduhan mencemarkan nama baik institusi tersebut. Tarikh didengar belum ditentukan Menurut Fadiah, permohonan itu dibuat atas alasan, antaranya hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan tindakan Adam Adli. Malah, katanya, Adam Adli juga dinafikan hak membela diri apabila tidak diberikan surat tunjuk sebab sebelum dipanggil menghadiri perbicaraan di hadapan jawatankuasa tatatertib UPSI. "Hukuman yang dikenakan juga pada pandangan kami bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak seseorang untuk freedom of expression (kebebasan menyatakan pendapat)" katanya. Tambahnya lagi, tarikh untuk kes itu didengar akan dimaklumkan mahkamah kemudian. Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pendidikan UPSI dinamakan sebagai responden pertama dan UPSI dinamakan sebagai responden kedua dalam permohonan itu, kata Fadiah (atas). | ||
Dr Asri: Pilihan raya waktu haji satu kesalahan Posted: 20 Jun 2012 11:46 PM PDT Mantan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berpendapat mengadakan pilihan raya umum (PRU) sewaktu musim haji adalah satu kesalahan. "Mengadakan PRU semasa musim haji seakan-akan sengaja solat di tempat orang lalulintas. "Kesalahan bukan kepada yang melintas tetapi kepada yang sengaja memilih tempat solat di tempat orang ramai melintas. "Orang yang sengaja memilih tempat lalulintas itu yang berdosa," katanya kepada Malaysiakini. Menurutnya lagi, perkara itu sebenarnya pernah diulas ramai ulama, termasuk Ibn Hajar dalam bukunya berjudul Fathul Bari yang mengulas hadis-hadis sahih Bukhari. Asri juga menggesa agar ulama yang mengkaji perkara itu agar "memahami dan melihat hukum pada dimensi yang lebih luas". Polemik pilihan raya umum sewaktu musim haji mula timbul apabila Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru anggota parti itu yang terlibat langsung menangguhkan ibadah tersebut jika pilihan raya berlangsung pada tempoh masa sama. Mufti Perlis sependapat, S'gor sedikit berbeza Seruan itu dibuatnya kerana PAS memerlukan ahli-ahlinya untuk menggerakkan jentera kempen sewaktu pilihan raya. Turut mengulas perkara itu sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang berpendapat pilihan raya pada musim haji tidak wajar kerana ia bakal melemahkan umat Islam. Menurutnya, langkah itu jika dilaksanakan adalah satu tindakan tidak adil kepada umat Islam dan akan menyebabkan umat Islam lemah dari segi politik. "Janganlah mewujudkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam dalam soal ibadat mereka kerana kecelaruan dan perangai kurang cerdik orang politik," katanya seperti dilapor Sinar Harian. Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pula mengambil pendirian sedikit berbeza apabila berpendapat haram bagi mereka yang pertama kali berpeluang menunaikan haji menangguhkannya demi mengundi dalam pilihan raya. "Bagi mereka yang berniat untuk mengerjakan haji dan ini adalah kali pertama, di mana cukup bekalannya sepanjang berada di sana dan cukup bekalan yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya di sini dan aman perjalanannya, maka hukumnya wajib. "Jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi... sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji maka matinya dalam keadaan jahiliah," beliau dipetik sebagai berkata. | ||
'Hala tuju PERKASA & 1Malaysia sama' Posted: 20 Jun 2012 11:43 PM PDT WAWANCARA Walaupun tidak lagi memimpin sayap Pemuda dan aktif bersama PERKASA, Arman Azha Abu Hanifah tetap mempertahankan hala tuju kumpulan pendesak Melayu itu sebagai seiring dengan slogan1Malaysia yang dilaungkan perdana menteri. "Ia (matlamat) sama. Kerana bagi saya, PERKASA memperjuangkan perlembagaan negara. Gagasan 1Malaysia berlandaskan kepada perlembagaan negara. "Cuma bila permainan persepsi dimainkan, mengatakan (PERKASA) perkauman, memperjuangkan kaum. Ini yang menyebabkan PERKASA dilihat seperti tak betul," katanya dalam satu tembual dengan Malaysiakini. Selepas meletkkan jawatan sebagai ketua Wira, Arman, 37, kini bergiat sebagai Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia dan dalam sayap Pemuda Umno Petaling Jaya Utara. Menurut Arman lagi, sekiranya dilihat secara matang perjuangan PERKASA, pertubuhan tersebut hanya memperjuangkan perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan. "Mereka (PERKASA) tak pernah minta lebih atau kurang. Mereka Cuma minta agar memelihara apa yang benar, yang telah termaktub dalam perlembagaan. Mudah," katanya. Ahli perniagaan itu berkata, slogan 1Malaysia bukanlah milik seorang individu, sebaliknya milik semua orang yang cintakan negara. 'Guna 1Malaysia bukan untuk bodek' Arman menjelaskan, bukan mudah bagi sebuah negara yang mempunyai 44 etnik kaum dan tinggal aman dan makmur sehingga hari ini. "Kalau kita sendiri tak sayangkan 1Malaysia ini, untuk apa ia masih ada lagi? Adakah kita nak lihat perpecahan?" katanya. Ketika ditanya penggunaan slogan 1Malaysia pada hampir semua tempat - termasuk pada nama NGO pimpinannya - Arman berkata, ia dilakukan atas dasar tanggungjawab rakyat yang cintakan negara. Katanya lagi, slogan 1Malaysia turut dilanda persepsi negatif apabila ada pihak yang mengandaikan ia bertujuan untuk membodek kerajaan. "Ini persepsi. Apabila kita melihat semua sudut dari segi negatif, ia jadi negatif. Tetapi kalau kita mempunyai aspirasi tanggungjawab dan sayangkan negara kita, semua sayangkan 1Malaysia. "Bukan susah pemahaman 1Malaysia ini. Apabila kata sokong 1Malaysia, sokong kerajaan. Sokong 1Malaysia, anti-Pakatan. Ini persepsi. "Sebenarnya 1Malaysia ada dalam diri kita tanpa kira anda menyokong BN atau Pakatan. 1Malaysia ialah mengenai perpaduan," kata Arman lagi. | ||
Posted: 20 Jun 2012 11:40 PM PDT Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun kerajaan telah memansuhkan akta tersebut, tetapi seramai 45 orang masih ditahan, dan tidak mengetahui nasib mereka sama ada akan dibebaskan atau menunggu tempoh tahanan tamat. Menurutnya, kesemua ahli keluarga telah dimaklumkan bahawa mereka akan dibebaskan, namun sehingga hari ini, masih tiada sebarang perubahan. "Berikutan kekecewaan itu, kesemua tahanan di kem terbabit telah melancarkan mogok lapar selama tujuh hari, bermula 12 Mei lalu. "Selain itu, tahanan terbabit mendakwa mereka turut didera secara mental dan fizikal, sepatutnya perkara sebegini tidak seharusnya berlaku," katanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2011, telah mengumumkan pemansuhan Akta ISA 1960, serta menamatkan tiga proklamasi darurat bagi membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang lebih dinamik. Pada 17 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) bagi menggantikan ISA. | ||
Posted: 20 Jun 2012 04:47 PM PDT SHAH ALAM - Chin Peng, pemimpin perang gerila yang gagal mencapai matlamatnya setelah berjuang lebih 40 tahun, sekarang sedang menghadapi saat-saat kematian di Thailand. Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng, 90, sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bangkok dan berita terakhir yang diterima di sini mengatakan keadaannya semakin tenat. Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin Melalui blognya, zamkata. blogspot, berkata, beberapa kenalan rapat dari Malaysia dan Singapura yang melawatnya baru-baru ini mendapati keadaannya sangat uzur dan tidak lagi dapat mengenali orang yang melawatnya. Menurut blog itu, seorang daripada dua pembantu yang berada di sisinya memberitahu, Chin Peng telah dikejarkan ke hospital dari rumahnya di luar kota Bangkok setelah keadaan kesihatannya semakin tenat. Dua orang pembantunya cuba memberitahu tentang kedatangan pelawat, tetapi dia kelihatan seperti antara sedar dan tidak sedar. Mereka diberitahu oleh salah seorang pembantu bahawa sebelumnya dia telah pun bercakap mengenai kematiannya. Chin Peng dilahirkan di tingkat atas rumah kedai dua tingkat di Kampong Koh, Sitiawan Perak dan telah menjadi anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sejak berumur 15 tahun. Dia dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM pada 1947 setelah setiausaha agung pertamanya, Lai Te menghilangkan diri dengan membawa mas dan wang AS$1 juta (RM3.2 juta). | ||
Bekas CEO JCorp terima tawaran sertai politik Posted: 20 Jun 2012 04:44 PM PDT SHAH ALAM - Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mengakui menerima beberapa tawaran parti politik, bagaimanapun beliau tidak berhasrat menyertainya. Beliau juga enggan menjelaskan dari parti mana tawaran berkenaan diberikan. Katanya, beliau telah memilih jalan bisnes sebagai satu perjuangan dalam membantu agama bangsa dan negara. "Bukan hanya politik dapat membina negara, bisnes juga ada kelebihannya. Tidak semestinya menyertai politik. "Ini adalah jalan yang saya pilih dan saya akan teruskannya, kini saya aktif dengan Dewan Perniagaan Islam Malaysia. Ini jihad saya, memperjuangkan jihad perniagaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, jika dia berhasrat bergerak aktif dalam politik, sudah lama berbuat demikian kerana ayahnya aktif dalam parti Negara manakala kakaknya, Tan Sri Fatimah adalah orang kuat Umno satu ketika dulu. Kini beliau lebih aktif dan pertubuhan bukan kerajaan dengan memperkenalkan wakaf korporat yang sewajarnya dijalankan setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf bagi melihat sendiri penerbit dan pencetakan bumiputera terbesar di Malaysia. Selain Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf juga menerbitkan 29 majalah dan bahan bacaan lain seperti buku ilmiah dan novel. Sementara itu, Muhammad Ali yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), mengingatkan agar GLC tidak diswastakan termasuk memberikan jawatan kepada orang politik yang 'bukan ahlinya' kerana akan membuatkan sesebuah syarikat itu jatuh. "Walaupun bukan semuanya kepada orang politik, cuma banyak pengalaman penswastaan dan memberikan kepada bukan ahli yang kita lihat menimbulkan masalah. "Dulu, kami di JCorp memperkenalkan dasar tidak memberikan mana-mana eksekutif memegang sebarang jawatan dalam parti, kerana orang ramai sensitif tentang ini," katanya. | ||
Posted: 20 Jun 2012 04:42 PM PDT Oleh Aininulniza Mohd Yusof Dalam kejadian jam 1 pagi itu, Luqman Hakim Abd Ghani, 19, dari Kampung Sanglang dekat sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala yang retak tempurungnya. Abang iparnya, Mohd Hanil Mohd Hashim, 29, berkata, dia diberitahu ibu mentuanya, Aminah Abdullah, 61, bahawa Luqman Hakim mahu ke rumah rakannya di Taman Cempaka, Tambun Tulang, di sini, untuk menonton Euro 2012. Menurutnya, adik iparnya yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik, sempat memeluk dan mencium ibunya sambil meminta maaf sebelum keluar rumah pada jam 9 malam kelmarin, sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini. "Luqman Hakim juga dikatakan tidak mahu menyaksikan perlawanan bola sepak itu selepas tiba di rumah rakannya dan enggan masuk ke rumah biarpun dipelawa beberapa kali. "Dia beritahu mahu ke Kangar dan sempat menukar kasut yang baru dibelinya dengan rakannya itu," katanya. Rakan mangsa, Mastura Ramli, 20, pelatih Pusat Giat Mara Jejawi, berkata, kali terakhir mereka bertemu Mei lalu ketika Luqman Hakim datang ke pusat kemahiran itu untuk mengambil elaun bulanannya. "Dia yang suka bergurau, kelihatan kurang mesra. Saya terkilan kehilangan rakan kerana kini tiada lagi teman yang suka mengusik. "Arwah memang suka bergurau ketika kami berbual di facebook sepanjang dua minggu lalu," katanya. Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Rosli Yahaya berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pokok jati di tepi jalan. "Mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. Jenazah mangsa dituntut keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Padang Gelanggang Kampung Sanglang, di sini, semalam. | ||
Gelongsor Air RM2.69 juta Zoo Bukit Takal Terbiar Posted: 20 Jun 2012 04:37 PM PDT Wartawan Buletin KEMAMAN – Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said dan pihak berkuasa Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) diminta menjelaskan, mengapa kemudahan 'gelongsor air' di Taman Tema Rekreasi dan Zoo Bukit Takal, Kemaman terbiar. Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Kawawan Kemaman, Haji Zulkifli Md Yakim, orang ramai yang berkunjung mengadu, kemudahan yang terdapat di zoo terbabit adalah hanya 'indah khabar dari rupa'. "Gelongsor air itu dibina mula dibina pada tahun 2009 dengan kos RM 2,690,000.00, mula beroperasi sekitar Februari 2011, setelah dua tahun zoo tersebut dirasmikan, "tapi kini sekitar setahun lebih tama tema air itu dibuka kepada orang ramai, ia menjadi terbiar, MB dan MPK kena jelaskan megapa jadi begitu,"ujarnya ketika ditemui. Beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga seperti seperti kemudahan 'buggy' dan 'ran gajah' juga tidak lagi disediakan kepada orang ramai kerana telah rosak dan mengalami pelbagai masalah. Menurutnya, pembinaan berterusan yang tidak berkesudahan juga menyebabkan beberapa bahagian dalam zoo tersebut ditutup kepada orang ramai. Mengulas perbelanjaan kerajaan yang besar dalam membangunkan pusat rekreasi terbabit, beliau berkata Ahmad Said mungkin tersalah kira atau terlupa tentang jumlah sebenar wang digunakan. Beliau yang seorang ahli perniagaan berkata, beberapa tender pakej pembangunan zoo tersebut yang telah dilaksanakan telah pun hampir RM20 juta. "sebagai contoh, membina Akuarium pada 4 Ogos 2008 bernilai RM 595,000.00, Membina Tempat Letak Kereta pada 3 Mei 2009 berjumlah RM 100,000.00, Pembangunan Pakej 7 : African Savana sebagaimana tender yang diberikan pada 14 September 2011 berjumlah RMRM 9,450,000.00, "kemudian Pembangunan Pakej 9 : Wild Asia pada 18 Mac 2012 sebanyak RM 9,000,000.00,"jelasnya. Katanya, itu tidak termasuk projek membina pencawang elektrik sebanyak RM172,000, pembinaa Pakej 8; Water Reticulation bernilai RM3.6 juta dan pembinaan pakej 5 jalan dan longkang yang berjumlah RM2 juta. Beliau berkata demikian sebagai respon kepada jawapan Ahmad dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 25 April lalu. Ahmad ketika menjawab soalan ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata pembinaan zoo terbabit hanyalah kira-kira RM14 juta sahaja. | ||
Kontrak Ahmad Fuad tamat bulan depan Posted: 20 Jun 2012 04:34 PM PDT Datuk Bandar baru Kuala Lumpur akan diumumkan pada akhir bulan ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, hari ini. Beliau berkata ini berikutan kontrak bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur sekarang Tan Sri Ahmad Fuad Ismail akan tamat 15 Julai depan. Ahmad Fuad (gambar) bersara wajib pada 15 Julai 2011 tetapi perkhidmatannya dilanjut setahun lagi secara kontrak. Terdahulu Raja Nong Chik melakukan upacara pecah tanah bagi projek jalan baru di Kg Sungai Penchala, di sini. Pembinaan jalan baru dua lorong sepanjang 660 meter lengkap dengan pembinaan laluan pejalan kaki dan longkang tepi jalan itu menghubungkan sebahagian Kampung Sungai Penchala dengan Taman Tun Dr Ismail melalui Jalan Datuk Sulaiman. "Projek itu dijangka siap dalam tempoh 24 minggu dan menelan belanja kira-kira RM5.4 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis itu. Beliau berkata pembinaan infrastruktur yang sistematik di kawasan Kampung Sungai Penchala akan menjadikan kawasan itu berpotensi tinggi dan memberi peluang kepada pemilik tanah untuk membangunkan kawasan sekitarnya. | ||
Linda Onn didakwa ‘jual mahal’ Posted: 20 Jun 2012 04:32 PM PDT Penyampai radio Suria FM, Linda Onn menolak dakwaan mengenakan bayaran tinggi sehingga menyebabkan segala tawaran untuknya bergelar pengacara televisyen tidak diberikan.Linda berkata, dia tidak pernah meletakkan harga melampaui batas kepada mana-mana pihak yang mahukan khidmatnya malah sentiasa terbuka untuk berunding jika melibatkan soal bayaran. "Soal bayaran tidak pernah menjadi isu kepada saya kerana perkara itu boleh dibawa berbincang terlebih dahulu dan rasanya saya tidak pernah meletakkan caj yang melampau untuk mana-mana pihak mendapatkan khidmat saya. "Siapa yang pernah bekerja dengan saya, mereka tahulah mengenai perkara ini," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui selepas rakaman program Fenomena Raya di Angkasapuri di sini pada Selasa. Tambah Linda, sepanjang 15 tahun berada dalam industri hiburan tempatan, kadar bayaran dirinya tidak pernah berubah dan terkilan jika isu itu menjadi punca dia tidak lagi menjadi pilihan mana-mana pihak yang memerlukan khidmatnya. Dalam pada itu, Linda turut menolak tanggapan kesibukan dirinya sebagai penyampai radio dan perniagaan melibatkan restoran yang dimilikinya menjadi penyumbang kepada situasi tersebut. Menurut Linda, sebagai seorang yang telah lama berada di dalam industri hiburan, pengurusan masa tidak pernah menjadi masalah buatnya. "Saya tidaklah sesibuk mana kerana kehidupan saya sekarang lebih kepada kerja di studio selain menguruskan perniagaan. Insya-Allah isu pengurusan masa ini tidak pernah menjadi masalah kepada saya," katanya. Bagaimanapun Linda mengakui dia agak lama tidak muncul sebagai pengacara televisyen dan sudah tidak lagi menerima tawaran seperti mana sebelum ini. Tidak menafikan agak rindu untuk kembali mengacarakan program televisyen namun menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya buat masa ini. "Minat saya memang kepada penyampaian radio dan pengacaraan program televisyen dan apabila kurang mendapat tawaran sudah tentu saya berasa rindu. Apa nak buat… belum rezeki saya. "Kalau ada tawaran saya teringin nak buat program berbentuk bual bicara seperti Ellen DeGeneres atau pun Oprah Winfrey Show," katanya. Sementara itu, Linda memberitahu, lebihan masa pada yang ada pada dirinya ketika ini membolehkan dia memberi tumpuan kepada keluarga selain melakukan perkara yang diminatinya seperti menunggang motosikal berkuasa besar serta bersukan. "Sekarang ini masa lapang saya banyak dihabiskan dengan bermain badminton dan menunggang motosikal selain dapat menumpukan perkara-perkara lain yang mungkin sebelum ini tidak pernah menjadi perhatian saya," katanya. | ||
Lynas: Kenyataan Che Rosli diputarbelit Posted: 20 Jun 2012 04:25 PM PDT Laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berkenaan Lynas Advanced Material Plants (LAMP) tidak memperincikan butirannya secara saintifik.Biarpun pendengaran awam yang dijalankan mengambilkira pandangan daripada pelbagai pakar, persoalan yang membimbangkan rakyat masih tidak terjawab.Demikian dinyatakan ahli parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat (gambar) pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau berkata sewajarnya sebuah makmal ditubuhkan bagi mengkaji secara terperinci segala kesan dari pemprosesan nadir bumi terhadap kesihatan dan alam sekitar. Mengakui beliau hanya mempunyai kepakaran di bidang nuklear dan tidak arif mengenai bidang-bidang lain, justeru beliau meminta tidak ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataan beliau sebelum ini. "Memang saya mengatakan projek Lynas itu hanya mempunyai kadar radiasi yang rendah, namun ia tidak membuktikan ia selamat," tegas beliau lagi. Ini kerana, katanya kesan dari proses penguraian bahan-bahan nadir bumi itu akan menghasilkan tiga jenis residu yang memberi kesan kepada kesihatan. Sehubungan itu, beliau mengatakan keperluan untuk mengadakan 'Health Impact Assessment' (HIA) dan 'Health Risk Assessment' (HRA) dan aspek pengurusan residu perlu dititikberatkan. Dalam pada itu, ahli parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata pengalaman dalam kes Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah tercetus akibat ketiadaan pelan pengurusan sisa membabitkan bahan radioaktif. "Memang kadar radiasinya rendah sebagaimana dinyatakan Hulu Langat (Che Rosli), tapi residu yang terhasil dari bahan itu yang membimbangkan kita," tegas beliau. Katanya, tindakbalas kimia ini menghasilkan 'heavy metals' seperti plumbum, merkuri, arsenik, cadmuim dan nikel, yang mana ketiga-tiga 'heavy metals' terakhir itu adalah karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser. Atas sebab itu, beliau berpendirian PAS tidak dapat menerima projek tersebut kerana ia tidak dikemukakan secara saintifik berhubung kesan-kesan sampingan dari pemprosesan nadir bumi tersebut. Turut serta dalam sidang media itu ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad. PAS menyatakan persetujuan mengenai pembinaan projek Lynas sekiranya kerajaan memberi jaminan dapat menyelesaikan isu berkaitan keselamatandan kesihatan. Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata parti itu tidak ada masalah sekiranya kerajaan mahu melaksanakan projek tersebut jika bukti saintifik mengenai tahap keselamatannya dikemukakan. "Ya (setuju dengan projek Lynas), dan (jika) terbukti ianya selamat. Apa masalahnya? (untuk bersetuju). "Kita tak kata ianya (Lynas) muktamad sebagai tak selamat. Tetapi apabila kita bangkitkan soalan begini…jawab. Jangan alihkan isu dengan hanya kata radiasi rendah. "Memang rendah. Tapi masih ada bahaya, jadi beri jaminan macam mana nak tanganinya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu. Selain itu Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS II Selangor menegaskan pada peringkat ini parti itu tidak bersetuju dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) agar kerajaan memberi lesenpengendalian sementara (TOL) kepada Lynas. "Apa yang kita pertikaikan ialah proses yang begitu cepat memberi kelulusan, belum semua soalan dijawab, lesen nak diberi. "Berdasarkan laporan, ada banyak persoalan yang tidak dijawab, kami tidak bersetuju dengan keputusan memberi TOL kepada syarikat itu," katanya. | ||
Wacana Roketkini II: Benarkah dasar DAP mengancam Islam? Posted: 20 Jun 2012 04:22 PM PDT Roketkini.com. KUALA LUMPUR: Setelah berjaya menganjurkan beberapa siri wacana awam, kali ini Roketkini kembali merancakkan aktiviti politik awam yang lebih hangat dan menyihatkan dengan menganjurkan siri Wacana II – "Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam?". Wacana ini akan berlangsung di Hotel Quality Shah Alam pada Rabu 27 Jun 2012 bermula jam 8 malam. Semua dijemput hadir dan masuk adalah percuma. Wacana kali ini akan menampilkan tokoh utama Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang bersama dengan tokoh akademik Dr. Maszlee Malek, Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Moderator untuk wacana ini akan dijalankan oleh Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS. Mengenai tajuk wacana ini iaitu 'Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam?', ia bertujuan membawakan hujah Guan Eng secara langsung mengenai hakikat sebenar di sebalik dakyah-dakyah pihak tertentu mengenai DAP. Hadirin dan juga akan didedahkan dengan hujah dan fakta dari tokoh akademik Dr Maszlee yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang politik Islam antarabangsa. Menurut Penyaralas Roketkini, Mazir Ibrahim, wacana ini seiring dengan peredaran masa demi meraikan ruang demokrasi yang lebih sihat dan rasional. "Kami dengan sukacitanya ingin menjemput semua pihak, merentasi sempadan bangsa, agama, budaya dan politik untuk turut hadir dan menyertai wacana yang sarat dengan maklumat dan hujah bernas ahli panel," katanya. – Roketkini.com. | ||
JAWI salah dakwa,KDN belum haram buku Posted: 20 Jun 2012 04:19 PM PDT Kedai buku Borders mengecam pendakwaan pengurusnya, Nik Raina Nik Abdul Aziz oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta mendakwa jabatan itu telah menganiaya dan melanggar hak perlembagaan dan perundangan Nik Raina.Yau Su Peng, Ketua Pegawai Operasi Berjaya Books Sdn Bhd – yang memiliki dan mengendali rangkaian kedai buku Borders di Malaysia, berkata syarikat itu sangat kecewa dengan pendakwaan tersebut. Nik Raina Nik Abdul Aziz, 36, didakwa terhadap pertuduhan menyebarkan dengan cara menjual buku bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan dengan iman) terjemahan buku tulisan Irshad yang bertajuk "Allah, Liberty and Love" (The courage to reconcile faith and freedom) yang bertentangan dengan hukum syarak. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai buku Borders, milik Berjaya Books Sdn. Bhd., Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, lebih kurang 8.41 hingga 9.45 malam, 23 Mei lepas. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Borders menegaskan bahawa pertuduhan itu adalah ekoran serbuan JAWI di kedai buku Borders di Gardens Mall pada 23 Mei dan merampas buku Manji. Tetapi buku itu, tegas Yau, belum lagi diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri ketika serbuan itu dibuat. "Juga tidak terdapat fatwa mahupun apa-apa bentuk pemberitahuan yang dikeluarkan oleh JAWI kepada Borders," katanya. "Kami difahamkan bahawa Kementerian Dalam Negeri hanya mewartakan pengharaman buku Manji pada 29 Mei dan fakta itu telah diterbitkan pada 14 Jun 14." Beliau berkata Berjaya Books, pada setiap masa, telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan telah mengarahkan pekerjanya, yang beragama Islam dan bukan Islam, supaya membantu siasatan JAWI walaupun syarikat itu tidak tertakluk dalam bidangkuasa JAWI kerana ia adalah entiti non-Muslim. Pada 5 Jun, syarikat itu telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meminta bantuan dan campurtangan mereka berhubung tindakan JAWI itu, tetapi sehingga semalam, belum menerima sebarang jawapan. "Pihak pengurusan Berjaya Books menyokong kakitangan kami Nik Raina sepenuhnya yang hanya melaksanakan tugasnya sebagai pengurus kedai. Sebagai pengurus kedai, dia tidak mempunyai pengaruh atau kawalan ke atas pemilihan buku-buku di Borders. "Buku-buku yang disita itu, tidak pada masa penyitaan dibuat, diisytiharkan telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Ataupun JAWI telah memaklumkan apa-apa kepada Berjaya Buku berhubung buku-buku yang disita," katanya. Yau mendakwa Nik Raina telah memberi kerjasama penuh dan mematuhi semua arahan JAWI, dan menghadiri siasatan pada 30 Mei bersama dua rakan sekerja dan turut disertai peguam yang dilantik oleh Borders, tetapi mendakwa mereka telah dilayan secara kasar oleh kakitangan JAWI dan telah dikeluarkan waran tangkap. Beliau juga mendakwa, JAWI juga enggan membenarkan Nik Raina menemui peguam. "Kami melihat ini sebagai penganiayaan secara terang-terangan dan melanggar hak perlembagaan dan undang-undang pekerja kami." Pada 18 Jun, Berjaya Books telah memfailkan di Mahkamah Tinggi permohonan mendapatkan semakan kehakiman berhubung tindakan JAWI itu. Hishammuddin dan Jamil Khir juga telah dinamakan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman tersebut. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh Nik Raina selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan. Terdahulu peguam Rosli Dahlan yang mewakili Nik Raina memohon supaya pertuduhan yang dihadapi anak guamnya tidak dibacakan di mahkamah dan sekiranya mahkamah membenarkan pertuduhan itu dibaca, peguam itu memohon supaya pengakuan tidak dibuat dan kes ditangguhkan kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Hakim Syarie Abdul Walid memerintahkan supaya pertuduhan itu dibaca dan menetapkan 19 September untuk sebutan semula kes. Mahkamah turut membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM500 dengan seorang penjamin. | ||
Jenayah: Kenapa kerajaan BN takut dedah statistik terperinci? Posted: 20 Jun 2012 04:11 PM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: DAP mempersoal tindakan Kementerian Dalam Negeri dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) kerana mengemukakan statistik jenayah secara terpilih dengan menyembunyikan maklumat terperinci kadar jenayah di Selangor kepada Parlimen dan orang ramai. Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, kes jenayah yang berlaku beberapa bulan kebelakangan ini telah meningkatkan kebimbangan orang awam terutamanya di lembah Klang dan kawasan bandar. "Amat menyedihkan apabila Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein tidak mendedahkan maklumat terperinci indeks jenayah yang berlaku mengikut daerah di Selangor seperti mana soalan bertulis saya kepada Parlimen," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara. Beliau menjelaskan, Hishammuddin juga bersikap lepas tangan apabila menganggap kes-kes yang berlaku kebelakangan ini sebagai 'terasing' termasuk kes seorang pengusaha perniagaan internet Chin Xin Ci dalam cubaan culik dan mencuri kereta di The Curve serta kes aktivisi sosial Dr Wong Chin Huat yang dibelasah ketika berjoging. Hishammuddin juga telah dilaporkan sebagai menyalahkan persepsi yang ditimbulkan akibat kes-kes tertentu seolah-olah negara tidak selamat walau pun kerajaan Barisan Nasional takin dengan data yang dikeluarkannya menunjukkan indeks jenayah sudah turun. "Masalahnya ialah apabila kami meminta data rasmi indeks jenayah dari menteri, tidak semua data tersebut dinyatakan. Jadi bagaimana? "Saya telah mengajukan pertanyaan yang serupa di Parlimen sejak dua tahun lalu tetapi saya masih mendapat jawapan yang sama dengan maklimat yang terhad," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini semalam. Dalam soalan terkini beliau kepada kerajaan, Pua meminta jawpaan tentang statistik jenayah yang berlaku secara terperinci mengikut daerah seperti Petaling Jaya, Serdang dan sebagainya dan jenis jenayah yang dilakukan samada pembunuhan, kes rogol, kecurian, rompakan bersenjata serta lain-lain jenayah yang berlaku di Selangor sejak tahun 2006. Malangnya, menteri enggan memberikan butiran terperinci. "Ini menunjukkan sikap pentadbiran Najib yang hanya mahu menyediakan maklumat yang dilihat positif semata-mata untuk memperbaiki persepsi rakyat terhadap kerajaan BN yang semakin buruk. "Kerajaan sebenarnya cuba berselindung, walau pun ada kawasan yang telah berkurang ke jenayah, tetapi banyak lagi kawasan panas (hot spot) yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi," tambah beliau. Beliau menjelaskan bahawa hakikatnya kadar jenayah di Selangor telah meningkat. "Pada tahun 2010, jumlah keseluruhan jenayah kekerasan di Selangor ialah 7,853 kes tetapi meningkat kepada 8,141 kes pada tahun 2011. "Manakala jenayah kecurian melibatkan harta benda pula meningkat dari 31,838 kepada 36,161 kes dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan jumlah kes jenayah keseluruhan di Selangor semakin buruk dengan kenaikan kadar sebanyak 11.6% dari 39,691 kepada 44,302." Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Serdang, dalam sidang media yang sama, menjelaskan bahawa jawapan kerajaan BN kepadanya tahun lalu, mendedahkan bahawa nisbah anggota polis di Malaysia adalah 1: 274 yakni seorang polis disediakan untuk 274 penduduk. "Tetapi di kawasan saya di Serdang, nisbahnya ialah 1:1,600, iaitu seorang anggota polis menjaga keselamatan 1,600 penduduk," katanya. Beliau turut mempersoalkan nibah kebangsaan 1:274 itu turut mengambil kira semua kakitangan awam yang bekerja di balai polis. "Adakah pihak polis benar-benar dapat menjamin keselamatan diri kita daripada jenayah yang semakin membincangkan?" tambah beliau. – Roketkini.com | ||
Panas: Gara-Gara Debat, 'UMNO Temerloh' Cadang Padamkan Nama Saifuddin Jadi Calon BN PRU-13 ! Posted: 20 Jun 2012 03:50 PM PDT PAHANG DAILYTEMERLOH - Gara-gara memberanikan diri untuk berdebat dengan Salahuddin Ayub malam tadi, kini heboh diperkatakan oleh penyokong UMNO Temerloh bahawa nama Datuk Saifuddin Abdullah (foto) bakal digugurkan sebagai calon parlimen itu pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini nanti. Sebelum ini, desas-desus mengatakan nama Saifuddin tidak lagi akan tersenarai sebagai calon BN bagi kerusi parlimen itu memang sudah hangat kedengaran. Di fahamkan, terdapat usaha-usaha pihak tertentu dalam UMNO Bahagian Temerloh untuk menjatuhkan Saifuddin kerana mereka tidak suka seorang pemimpin yang berpendirian terbuka seperti beliau. Malah, ada info dari Temerloh yang mengatakan usaha untuk menganyang Saifuddin kini melibatkan pimpinan tertinggi UMNO bahagian terbabit termasuk Ketua Bahagiannya. Dato' Sharkar Samsuddin. Banyak majlis-majlis Saifuddin kini dicuri oleh Sharkar, termasuk semasa merasmikan projek jambatan gantung yang menyeberangi Sungai Temerloh baru-baru ini. Program yang asalnya melibatkan Saifuddin selaku Ahli Parlimen telah ditukar oleh Sharkar atas kapasiti Ketua UMNO Bahagian. Sharkar merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lanchang dan Exco Kerajaan Negeri Pahang sekarang. Persoalannya, jika benar Saifuddin mahu diketepikan gara-gara sikap yang beliau tunjukkan, maka UMNO sebenarnya menjerat diri mereka sendiri dalam menghadapi PRU-13 nanti. [Apa yang jelas dapat dilihat, debat yang disiarkan secara langsung dan disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia malam tadi jelas sekali menggambarkan amalan demokrasi sebenarnya yang sepatutnya diamalkan oleh kerajaan UMNO BN bersama media arus perdana mereka. Dengan berdebat maka rakyat dapat menilai segala hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak baik wakil kerajaan atau pun pembangkang. Namun anehnya, kerajaan mengatakan negara ini demokrasi tetapi amalan sebegini tidak mahu disuburkan. Maka, apa makna demokrasi itu agaknya?. Dalam debat malam tadi, jelas sekali Saifuddin gagal menggunakan ruang terbuka untuk memberi hujjah yang berkualiti. Beliau lebih banyak mengelakkan menjawab beberapa persoalan atas alasan tidak mahu lari tajuk. Akibatnya imej beliau kini tercalar di mata rakyat dan Saifuddin seharusnya membuat keputusan untuk bersama rakyat dalam perjuangan yang berbeza dari apa yang dilalui sekarang. Beliau tidak sesuai duduk di dalam UMNO kerana jiwanya memberontak. Maka, jika UMNO Temerloh membuang beliau sekali pun, rasanya Pakatan Rakyat bila-bila masa akan menerima Saifuddin kerana beliau lebih sesuai berada dalam perjuangan parti itu. Saifuddin Abdullah perlulah membuat keputusan segera demi menyelamatkan masa depan karier politik beliau sekarang ini]. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan